Rabu, 26 Mac 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Bebas trafik di tengah ibu kota

Posted:

Bebas trafik di tengah ibu kota

Bebas trafik di tengah ibu kota

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA

AGAK asing berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur tanpa sebarang bunyi hon, kelibat kenderaan yang mengasak termasuk penunggang motosikal yang mencilok tatkala keadaan trafik sesak di ibu kota.

Cuma sesekali kedengaran bunyi enjin komuter bergema meneruskan rutin perjalanan di sekitar Dataran Merdeka dan ribuan warga kota yang bebas melakukan aktiviti di jalan raya utama bandar raya itu.

Hasil idea Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya merubah hiruk-pikuk kota itu kepada lokasi yang menenangkan walaupun dalam tempoh dua jam bermula pukul 7 pagi sehingga 9 pagi.

Program Kuala Lumpur Pagi Bebas Kenderaan dianjurkan atas kesedaran mengurangkan penggunaan kenderaan, merupakan tarikan terbaharu di Kuala Lumpur selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM).

Dianjurkan pada hari Ahad minggu pertama dalam setiap bulan, program berkenaan memberikan peluang kepada pengunjung melakukan pelbagai aktiviti riadah di jalan raya utama di ibu kota tanpa sebarang gangguan lalu lintas.

Terdapat pelbagai aktiviti dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki dan berbasikal. Ia juga menjadi saat yang terbaik buat keluarga meluangkan masa melepak di Kuala Lumpur.

Bebas kenderaan

Dalam tempoh dua jam tersebut, DBKL menutup jalan raya sepanjang enam kilometer (km) meliputi Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Tun Perak, Jalan Raja, Jalan Mahkamah Persekutuan dan Jalan Leboh Pasar dari sebarang kenderaan.

Pada pukul 6 pagi, sekitar kawasan Dataran Merdeka sudah mula dibanjiri pengunjung. Pelbagai ragam yang dapat disaksikan. Ada yang merakam gambar, tidak kurang sekadar membentang tikar dan berbaring sambil menghayati keindahan bandar raya itu.


PROGRAM KL Pagi Bebas Kenderaan bertujuan merealisasikan impian bandar raya hijau.


Bagi pengunjung yang sudah terbiasa dengan keadaan sesak di Kuala Lumpur mengakui pelik berada dalam wajah baharu kota raya itu. Namun, mereka akui seronok berpeluang merasai sendiri sisi berbeza bandar yang tidak pernah lelap itu.

Seorang pekerja swasta di Jalan Sultan Ismail, Anita Talib, 43, berkata, sepanjang lebih 10 tahun dia belum pernah merasai suasana Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang amat aman.

"Perasaan saya ketika ini tenang dan seronok. Bayangkan hampir setiap tahun hanya ketika musim perayaan kami warga kota bebas daripada kesesakan lalu lintas di sini.

"Program anjuran DBKL ini lagi hebat kerana kami boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah di jalan raya yang lazimnya sibuk dengan kenderaan," katanya ketika ditemui.

Berpesta

Kelibat beberapa pengayuh beca turut menarik perhatian pengunjung, termasuklah pasukan berkuda DBKL yang sedang berkawal sepanjang program itu berlangsung.

Kawasan berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Jalan Raja Uda pula berubah menjadi medan pentas persembahan kasut beroda.

Tepukan gemuruh dan sorakan teruja pengunjung menarik perhatian orang awam mengerumuni kira-kira 20 ahli pasukan Roller Sports Family.

Mereka melakukan pelbagai aksi seperti melompat palang dan meluncur secara berkumpulan. Ia umpama menyaksikan sebuah persembahan pakar akrobatik kasut beroda.

Seorang daripada ahli kumpulan berkenaan, Nur Farisha Emalin, 18, berkata, dia bersama ahli kumpulan sengaja mempersembahkan kelincahan masing-masing bagi memeriahkan lagi program tersebut.

Dia yang turut teruja apabila kali pertama beraksi di jalan raya ibu kota, menganggap persembahan tersebut sebahagian daripada latihan pasukan.

"Semakin ramai pengunjung berkumpul, pasukan kami semakin bersemangat. Selain menajamkan kemahiran sedia ada, ia merupakan sumbangan kami dalam menyatakan sokongan terhadap program ini," katanya.

Nur Farisha yang juga pelajar Kuala Lumpur Metropolitan University College dalam bidang fisioterapi mula aktif dalam persembahan kasut beroda sejak berusia 13 tahun.


PASUKAN berkuda DBKL yang berkawal turut menarik perhatian pengunjung.


Dia yang sering ke kuliah sama ada menaiki kemudahan awam atau kenderaan peribadi menyokong penuh terhadap program terbaharu DBKL itu.

"Saya pernah membayangkan bagaimana keadaan di sekitar Kuala Lumpur tanpa kenderaan sesak sepanjang hari.

"Apabila diberitahu rakan-rakan mengenai program sehari tanpa kenderaan di Kuala Lumpur, ia umpama mimpi menjadi realiti," ujarnya.

Sementara itu, sekumpulan wanita dilihat rancak berbual sambil memerhatikan anak-anak mereka yang bebas bermain di jalan raya.

Aminah Ali, 43, ketika ditemui berseloroh sambil berkata hanya di Program Go Green-KL Car Free Morning mereka berasa selamat bersembang di tengah-tengah jalan raya.

"Saya yakin program ini boleh diteruskan pada setiap hujung minggu bukan sahaja pada Ahad pertama setiap bulan.

"Kami warga kota menyokong penuh sekiranya program ini berterusan. Selain beriadah, kami boleh berjumpa kenalan baharu dan menggunakan kualiti masa hujung minggu bersama keluarga sebaiknya," katanya.

Jelajah tiga wilayah dengan berkereta

Posted:

Jelajah tiga wilayah dengan berkereta

Jelajah tiga wilayah dengan berkereta


PASAR terapung Klong Hoe yang dibuka dari pukul 2 petang hingga 10 malam antara tarikan yang terdapat di Hat Yai.


MELANCONG atau mengembara antara salah satu daripada hobi penulis. Mengembara memang menyeronokkan, apatah lagi jika ke luar negara.

Penulis rasa cukup bertuah kerana ibu bapa penulis gemar membawa penulis bercuti, sekali gus memperluaskan pengalaman melihat negara orang dengan pandangan sendiri.

Baru-baru ini, perasaan penulis begitu gembira apabila ibu bapa menyatakan hasrat untuk ke Thailand.

"Kita akan ke Phuket dan Krabi tetapi sebelum itu singgah sekejap di Hat Yai."

Penulis begitu teruja kerana sangkaan penulis, kami akan menaiki kapal terbang tetapi rupa-rupanya perjalanan kami adalah dengan kereta.

Tidak mengapa, walaupun tidak sepantas pengangkutan udara, tegas ibu, faedahnya cukup banyak termasuk melihat sendiri warna-warni kehidupan penduduk di tiga wilayah di Thailand.

Kembara santai ke Hat Yai, Krabi dan Phuket bermula dari Kuala Lumpur. Sebelum bertolak, penulis sempat membuat sedikit penyelidikan dengan melihat kedudukan tiga wilayah tersebut dalam peta. Hat Yai, destinasi pertama percutian kami.

Kata ibu, Hat Yai merupakan wilayah paling besar di Songhkla.

"Sejak sedekad lalu, ia terkena sedikit tempias akibat siri keganasan berpanjangan di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat," ujar ibu yang banyak mengikuti perkembangan di wilayah selatan Thailand.


AKTIVITI memberi ikan makan antara suatu kemestian jika berkunjung ke pantai di Phuket.


Ramai pelancong

Apa yang mengejutkan, di sebalik laporan keganasan, Hat Yai tetap dikunjungi pelancong.

Hat Yai yang bersaiz sebesar George Town, boleh diteroka dalam masa sehari. Di sini majoriti penduduknya masih bertutur dalam bahasa Melayu, jadi komunikasi bukan masalah. Lebih mengujakan, mata wang ringgit Malaysia diterima untuk bayaran makan minum.

Di Hat Yai, kami berkali-kali ke pasar tera- pung Klong Hoe. Ia menawarkan pelbagai jenis menu yang unik dan yang penting halal bagi mereka yang beragama Islam. Hanya 20 minit perjalanan dari pusat bandar Hat Yai, pasar ini dibuka dari pukul 2 petang dan ditutup pada pukul 10 malam.

Jika tidak mahu sesat, perkhidmatan tuk-tuk boleh menjadi alternatif dengan tambang sekitar RM20 untuk pergi balik.

Di pasar ini, para peniaga menawarkan pelbagai jenis makanan asli Thailand. Menariknya, juadah disediakan berwarna-warni dan sangat kreatif, sekali gus menarik pengunjung untuk membelinya. Pemandangan pada waktu senja sangat indah, sama seperti pasar terapung Sungai Chao Pharaya di Bangkok.

Keesokan hari, kami singgah di Pantai Samila di Hat Yai. Patung duyung emas di tepi jalan menandakan kita sudah tiba di Pantai Samila. Tiupan anginnya cukup nyaman dan menenangkan, apatah lagi jika berpeluang menikmati ikan disalut tepung di tepi pantai.

Selain pantai ini, pelancong kebiasaannya akan ke Santusuk Market atau Yong Dee bagi membeli cenderamata.

Selepas Hat Yai kami bergerak ke Krabi dan perjalanan sejauh 300 kilometer yang mengambil masa selama lima jam.

Penulis sanggup 'menahan mata' semasa bapa memandu sepanjang perjalanan kerana mahu menikmati pemandangan kampung. Apa yang menarik ialah bentuk rumah dan cara mereka berpakaian mereka sama seperti penduduk di Kelantan.

Di wilayah ini, rata-rata penduduknya menggunakan bahasa Siam. Namun, sebaha- gian besar penduduknya beragama Islam. Penulis mengetahui nama Krabi kerana ia antara tempat yang terjejas kerana tsunami pada tahun 2006.


PENIAGA yang melakukan urus niaga di atas sampan menjadi tarikan pelancong ke pasar terapung Klong Hoe.


Tsunami dilupakan

Berdasarkan pembacaan penulis di Phang Nga misalnya, lebih 1,000 orang maut dengan hampir seluruh perkampungannya musnah kerana ombak tsunami. Bagaimanapun, semasa melalui kawasan Krabi, penulis tidak nampak lagi kesan-kesan musnah akibat tsunami. Ini kerana banyak hotel dan kedai-kedai dibina khususnya apabila menghampiri bandar.

Semasa di Krabi, penulis berpeluang ke pulau atau bermain di pantai. Dengan begitu ramai orang di pantai dan pulau ibu berkata: "Nampaknya, kebanyakan pelancong sudah lupa dengan peristiwa tsunami."

Pantai Aao Nang, antara pantai tercantik dan paling digemari di Krabi. Di pantai ini, pelancong kebiasaannya merakamkan pemandangan waktu senja, matahari terbenam yang sungguh mempesona.

Dari Krabi, pengunjung boleh ke Phi Phi Island, pulau yang terkenal dengan keaslian dan keindahan air pantainya yang berwarna kehijauan.

Perjalanan dengan kereta hanya mengambil masa tiga jam dari Krabi ke Phuket. Keadaan jalannya juga selesa. Malah, tempat-tempat rehat dan kemudahan tandas banyak disediakan sepanjang perjalanan.

Hari pertama di Phuket kami manfaatkannya dengan menikmati keindahan pantai dan merehatkan minda kerana terlalu lama berada di dalam kereta.

Keesokan harinya, barulah kami menikmati pantai-pantai di sekitar Phuket.

Phuket merupakan sebuah bandar hiburan lebih-lebih lagi pada waktu malam. Namun, kami hanya makan malam dan kemudiannya tidur kerana keesokan harinya kami ingin penuhi dengan aktiviti menyelam dan snorkeling.

Apa menarik ialah ikan-ikan di pantai Phuket sangat jinak dan sering menyambut baik kedatangan pengunjung. Ikan-ikan ini berada di gigi air dan dapat dilihat tanpa memakai alat snorkeling.

Sebelum pulang, kami sempat menikmati makanan tempatan seperti pulut mangga, tom yam dan som tam iaitu antara makanan tradisional Thailand.

Bagai berada di rumah sendiri

Posted:

Bagai berada di rumah sendiri

Bagai berada di rumah sendiri


EKSEKUTIF lounge dengan hiasan dalaman mewah untuk para tetamu melepaskan lelah.


ALIRAN trafik di Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas pukul 11 malam yang ditinjau dari tingkap suite penginapannya itu seakan-akan satu pemandangan yang sangat indah. Jika sebelum ini, sebaik pulang dari tempat kerja Haleeza Azlan, 34, lazimnya merehatkan diri di tempat tidurnya selepas membersihkan diri tanpa memperdulikan apa yang berlaku di keliling. Namun, kali ini perhatiannya tertancap pada pemandangan di atas jalan raya tersebut.

"Mengujakan. Saya tidak pernah membayangkan bahawa pemandangan kota raya ini yang dikelilingi pencakar langitnya dan kehidupan pada waktu malam yang dilihat dari suite tingkat 11 ini sungguh luar biasa.

"Ia seolah-olah membawa saya menghayati denyut nadi kota ini dan kehidupan sebenar masyarakatnya," komen eksekutif di salah sebuah syarikat swasta itu ketika menginap di Ambassador Row Serviced Suites (ARSS) by Lanson Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, apa yang lebih penting ialah ARSS tidak menawarkan pengalaman yang stereotaip kepada tetamunya. Menginap di ARSS seolah-olah tetamu berada di rumah sendiri.

Jauh daripada suasana urban, lokasi yang ideal, ruang tamunya yang luas, bilik tidur yang selesa dan kemudahan memasak yang moden, ARSS by Lanson Place merupakan serviced apartment di Kuala Lumpur yang sesuai untuk golongan ekspatriat dan keluarga mereka yang tercari-cari kediaman ideal. Dibuka sejak tahun 1995, penginapan itu baru-baru ini melaksanakan projek menaik taraf fasa pertama secara ekstensif ke atas suite sedia ada.

Proses pembaharuan yang dijalankan sejak bulan Mac 2013 lalu melibatkan 75 suite dan kini ia sedia untuk dibuka kepada tetamu.

Melibatkan enam tingkat, suasana eksklusif dengan penetapan zon larangan merokok, suite ini turut disempurnakan bersama Duta Lounge yang menawarkan sarapan mewah stail Eropah.


SUITE dengan sebuah bilik tidur ini menawarkan pemandangan indah pada waktu malam dan menara KLCC.


Direka oleh firma rekaan prolifik, Hospitality & Leisure Asia (HLA), suite tersebut mengetengahkan gaya kontemporari, menepati cita rasa tetamu dari segi ruang dan keselesaan.

Setiap suite mempunyai ruang tamu elegan, dapur terbuka yang dilengkapi perkakas, bilik tidur yang luas bersama bilik air peribadi, akses internet percuma, sistem hiburan rumah, saluran TV satelit dan banyak lagi.

"Selepas beroperasi selama 18 tahun, kami berjaya menyempurnakan fasa pertama projek menaik taraf ini dalam menyediakan penginapan umpama rumah sendiri bagi membolehkan tetamu yang terdiri dalam kalangan eksekutif dan keluarga mereka dapat menikmati keselesaan dan kebebasan seperti yang mereka impikan.

"Secara ringkasnya, ARSS by Lanson Place merupakan sebuah penginapan yang sederhana, selesa dan moden," ujar Pengurus Besar ARSS by Lanson Place, Michael Chan. Lanson Place merupakan subsidiari penuh milik Wing Tai Properties Limited (Wing Tai), syarikat senaraian awam di Hong Kong (Kod saham HKEx: 369), yang menguruskan sembilan hartanah (empat melibatkan ekuiti Wing Tai) di bawah jenama Lanson Place. Ia merangkumi serviced apartment mewah dan hotel butik di Hong Kong; Beijing, dan Shanghai; China, Kuala Lumpur serta Singapura.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved