Selasa, 25 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Soo Winccimahu takluk China

Posted:

Soo Winccimahu takluk China

Soo Winccimahu takluk China

PEMINAT di Taiwan lebih mengenali lagu Wincci berbanding dengan dirinya.


DIA bukan sekadar artis atau bekas Ratu Cantik Malaysia yang hanya ingin sentiasa tampil cantik di hadapan peminat. Sebaliknya, Soo Wincci betah menerima kesan lebam dan melecet di tangan dan kakinya demi menjayakan persembahan luar biasa sempena pencalonannya dalam Global Chinese Hits Award pada 5 April depan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penyanyi yang sedang membina nama di Taiwan itu kini giat membuat latihan dengan menggunakan gegelung bertali sejak setahun lalu.

Lebih mengejutkan, ungkap wanita tinggi lampai yang selesa disapa Wincci itu, dia bakal menyanyi sambil melakukan beberapa aksi dengan menggunakan gegelung yang akan diangkat setinggi dua tingkat rumah itu tanpa sebarang tali keselamatan!

"Saya ingin mencabar diri untuk membuat sebuah persembahan yang luar biasa.

"Persembahan saya nanti tidak akan menggunakan tali keselamatan. Saya cuma akan membeli insurans sahaja," jelasnya jika terjadi apa-apa yang tidak diingini ketika menjayakan persembahan tersebut.

Tercalon Top 20 menerusi lagu Not Brave bersama enam negara lain iaitu China, Taiwan, Hong Kong, Kanada dan Singapura, Wincci mengakui latihan tersebut sangat menyakitkan, namun dia tidak kisah asalkan dapat memberikan persembahan terbaik nanti.

Hang Li Po

Selepas dua lagunya I'll Be Alright dan Not Brave berjaya menduduki carta muzik di Taiwan, Wincci kini berhasrat untuk menakluk China bagi mengembangkan karier nyanyiannya pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, kata penyanyi berusia 29 tahun itu, sebelum ke China dia perlu menguatkan namanya dahulu di Taiwan. Ini kerana ramai yang mengenali lagunya tetapi tidak mengenali dirinya.

Wincci yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun Ajai baru-baru ini juga memberitahu, dia bakal terlibat dalam sebuah drama besar yang menggandingkan dirinya dengan pelakon popular Adi Putra dan Erra Fazira.

"Sepatutnya saya tidak mahu pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini kerana ingin menyiapkan album kedua antarabangsa saya dan ingin melakukan promosi. Namun, saya telah ditawarkan dengan watak besar iaitu sebagai Puteri Hang Li Po untuk sebuah drama bersiri yang berkaitan takhta. Jadi, saya pulang ke Malaysia untuk menjalani penggambaran drama itu.

"Saya akan berlakon bersama beberapa pelakon terkenal seperti Adi Putra dan Erra Fazira. Walaupun drama itu hanya enam episod tetapi penggambaran akan berlangsung selama sebulan bermula 25 Mac ini kerana ia melibatkan babak-babak rumit dan besar," bicaranya yang selepas itu akan pulang semula ke Taiwan dan mungkin tidak akan balik ke Malaysia dalam satu tempoh masa yang lama.

Wincci bertindak begitu kerana dua lagunya iaitu I'll Be Alright dan Not Brave berjaya menduduki carta muzik di Taiwan. Malah, di YouTube lagu tersebut berjaya mendapat tontonan sehingga dua juta penonton.

Orang tak kenal Wincci

Malangnya, walaupun lagu-lagunya popular di Taiwan, luah Wincci, orang di sana masih tidak mengenali dirinya.

"Disebabkan itu pihak pengurusan di Taiwan meminta saya tidak kerap balik ke Malaysia. Mereka mahu saya mengadakan konsert jelajah di sekolah-sekolah dan beberapa lokasi lain untuk mempromosikan diri saya di Taiwan," jelasnya yang menyasarkan selama setengah tahun lagi untuk benar-benar dikenali di Taiwan.

Selepas itu, kata Wincci, dia akan melebarkan karier nyanyiannya ke China. Bagaimanapun, hatinya gundah-gulana, takut peminat-peminatnya di Malaysia, terutamanya peminat Melayu akan melupakannya.

"Saya risau selepas tidak dapat balik ke Malaysia dalam satu tempoh yang lama, peminat di sini (Malaysia), terutamanya Melayu akan melupakan saya.

"Disebabkan itu, saya melakukan banyak perkara di Malaysia seperti berlakon, mengeluarkan buku dan album Melayu serta muncul di radio sebelum pulang semula ke Taiwan," ujarnya yang tidak mampu berkongsi gambar mengenai kariernya di sana kerana terikat dengan syarat ketat pengurusan di Taiwan.

Menyambung bicara lagi, kata Wincci, pengurusan muzik di Taiwan tidak membenarkannya mengambil gambar berkaitan pembikinan album terbaharunya dan memuat naik di laman sosial.

Namun begitu, Wincci telah berbincang semula dengan pihak pengurusan di sana supaya tidak terlampau ekstrem dalam soal tersebut dan berharap mereka mengizinkannya memuat naik beberapa keping gambar proses kerjanya di sana tanpa memaparkan proses akhir album tersebut.

"Peminat-peminat saya di sini juga hendak tahu mengenai perkembangan terbaharu saya. Saya tetap akan memuat naik gambar-gambar mengenai perjalanan karier saya di sana tetapi bukan secara menyeluruh," lantunnya.

Disoal kenapa memilih Taiwan dahulu untuk mencipta nama tetapi tidak China, Wincci ada jawapannya.

"Melalui pemerhatian saya, kebanyakan penyanyi popular akan membina nama di Taiwan terlebih dahulu seperti Jay Chou dan Lee Hom. Formulanya, kalau kita sudah berjaya di Taiwan, peminat di China akan mudah menerima anda dan seterusnya anda mudah membina nama di sana.

"Kalau saya pergi ke China dahulu, saya mungkin hanya dikenali di Shanghai tetapi orang-orang di Beijing tidak akan mengenali saya. Sebabnya, China sangat mengehadkan media sosial seperti YouTube dan Facebook.

Jadi, sukar untuk mereka mengenali anda kecuali anda sudah membina nama di Taiwan. China sangat memandang artis keluaran Taiwan," ujarnya seraya menutup perbualannya pada malam itu.

Saya tiada masalah dengan isteri - Black

Posted:

Saya tiada masalah dengan isteri - Black

Saya tiada masalah dengan isteri - Black

Oleh IZWAN MOHD. ISA

BLACK mengakui bahawa isterinya, Naquia banyak memberikan nasihat dalam menangani masalah yang dihadapinya dengan keluarga.


AWAL minggu ini penyanyi bersuara lantang Black, 27, memuat naik sekeping gambar bertulis di akaun Instagramnya. Menerusi gambar tersebut, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanifah meluahkan perasaan kecewanya terhadap seseorang.

Antara luahan Black yang mendapat perhatian: "Kami bukan nak harta, kami bukan nak duit. Cuma mahu kejujuran, cuma mahu keadilan."

Selain itu, dia turut menyelitkan tentang ibu dan bapanya di dalam gambar tersebut berkenaan wang dan keadilan.

Setelah beberapa jam gambar tersebut dimuat naik, para peminat sudah mula membuat spekulasi mengatakan Black kini sedang mengalami persengketaan dengan isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khair, 29.

Ketika dihubungi Kosmo!, penyanyi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Mentor itu menafikan bahawa dia kini sedang mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Ujar Black, kehidupan rumah tangganya berjalan tanpa sebarang masalah.

Sebaliknya, luahan rasa itu ditujukan kepada beberapa orang ahli keluarga yang sedang mengalami krisis dalaman dengan ibu dan bapanya.

Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Black.

Kosmo!: Setelah memuat naik gambar bertulis itu, ada segelintir peminat yang menganggap anda sedang bersengketa dengan isteri. Betulkah tanggapan itu?

BLACK: Andaian yang dibuat oleh mereka tidak benar sama sekali. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan isteri saya. Namun, gambar bertulis itu dimuat naik kerana rasa kecewa dengan tindakan beberapa orang ahli keluarga terhadap kedua ibu bapa saya.

Jadi, mengapakah anda bertindak sedemikian?

Sejujurnya, laman sosial bukanlah tempat terbaik untuk melontarkan pandangan mahupun bertelagah. Ia juga bukanlah platform yang sesuai untuk melepaskan ketidakpuasan hati kepada orang lain.

Namun, ini sahaja saluran yang saya ada untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam jiwa saya.

Apa yang sedang berlaku antara ibu dan bapa anda dengan individu-individu yang anda maksudkan?

Masalah antara mereka dan ibu bapa saya telah lama berlaku dan ternyata ia masih berlanjutan hingga ke hari ini. Saya berasa sedih dengan apa yang telah berlaku kepada mereka.

Sebagai seorang anak, saya rasa terpanggil untuk melindungi ibu dan bapa saya.

Pada pendapat anda, adakah dengan cara ini mereka yang terlibat faham dengan apa yang anda luahkan?

Ya, saya harap mereka membaca dan mengerti tentang perasaan kecewa saya. Cuma, ini adalah kali terakhir saya menggunakan media sosial untuk menyampaikan rasa kecewa saya kepada mereka.

Apakah pesanan anda kepada mereka?

Saya berharap mereka akan lebih bersikap jujur dan sedar tentang kesilapan yang mereka lakukan selama ini.

Setelah apa yang berlaku kepada anda, bagaimana hubungan anda dan isteri?

Alhamdulillah, hubungan kami tetap tidak tergugat dengan kejadian ini. Dia juga banyak memberikan nasihat kepada saya supaya berfikir panjang sebelum mengambil keputusan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal muncul dengan album terbaharu pada bulan Mei depan. Selain itu, saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk drama Ohsem Music Group (OMG) bagi musim kedua. Pada musim ini, ia akan ditayangkan di TV3 juga pada bulan Mei depan.

Ada sebarang perancangan untuk menerbitkan lagu daripada drama berkenaan?

Ya, kami merancang untuk mengeluarkan sebuah album berdasarkan drama bersiri itu. Album itu nanti bakal mengandungi enam buah lagu dan tiga daripadanya lagu berbahasa Inggeris.

Kak Engku kebas satu badan

Posted:

Kak Engku kebas satu badan

Kak Engku kebas satu badan

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


KAK ENGKU menjadi penyampai radio wanita pertama di Malaysia yang bersiaran secara langsung dari tebing Menara Kuala Lumpur.


BAK kata pepatah Inggeris, action speaks louder than words, hal itu dibuktikan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura atau cukup dikenali dengan nama ringkasnya, Kak Engku. Dia ternyata bukan hanya berani bercakap kosong tanpa berani bertindak.

Kata Kak Engku, selama ini dia hanya berani bersuara mengenai isu pemerka- saan golongan wanita tapi kali ini dia membuktikan wanita juga mampu melakukan setiap perkara yang dituturkan.

"Selama ini saya hanya berani bercakap, wanita perlu kuat, tabah, sabar dan mampu buat apa saja tapi kali ini saya sendiri mahu membuktikan saya boleh buat apa yang saya perkatakan.

"Dengan itu, saya menyahut cabaran untuk bersiaran secara langsung sempena segmen Sinar Pagi di tebing pencakar langit Menara Kuala Lumpur dan Alhamdulillah, saya berjaya melaksanakan misi ini dengan baik," ujarnya yang ditemui usai program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said.

KRILL (kiri) dan Salleh Yaacob turut bertugas bersama Kak Engku bersiaran secara langsung dari Menara Kuala Lumpur.


Empat peringkat

Kak Engku atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 42, menyahut seruan itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu.

Teruja dan bangga dengan pencapaian terbabit, ibu kepada tiga cahaya mata itu berjaya melepasi empat cabaran utama sepanjang ke udara bersama dua penyampai radio, Salleh Yaacob dan Krill.

"Saya bangga kerana menjadi penyampai radio wanita pertama di Malaysia yang melakukan cabaran ini. Cuma, ketika berada di ketinggian lebih 300 meter itu hanya Allah saja yang tahu perasaan saya.

"Mula-mula saya dikehendaki berdiri di luar lapangan terbuka menara itu. Berderau darah saya sampai tidak boleh langsung melihat ke bawah.

"Apabila sudah stabil saya dikehendaki melangkah setapak lagi ke tebing paling hujung. Mujur pernah belajar jurus silat, jadi saya bergantung sepenuhnya pada kekuatan kaki yang perlu sentiasa pasang kuda-kuda.


RAJA AZURA di samping ibunya yang hadir memberikan sokongan moral.


"Akhir sekali, saya dicabar untuk menurunkan sebelah kaki kiri saya. Ketika itu separuh badan rasa kebas dan selama 10 saat, saya rasa badan saya hilang sebelum menggigil secara sendirinya.

"Tak cukup dengan itu, cabaran terakhir adalah menjulurkan kedua-dua belah kaki saya ke bawah. Memang berderau darah!" ceritanya.

Tambah mendebarkan, Kak Engku dipasangkan pelbagai alatan komunikasi untuk rakaman stesen radio dan televisyen termasuk mikrofon Sinar FM, Primadona dan kamera go pro sepanjang ke udara selama empat jam bermula pukul 6 pagi.


ZURAIDAH (berdiri belakang, empat dari kanan) bersama kakitangan Menara Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang bergambar kenangan dengan Kak Engku.


Tak tidur malam

Kak Engku mengakui sebelum melakukan cabaran itu dia tidak boleh tidur malam kerana bimbang akan segala hal. Tidak cukup dengan khuatir akan faktor keselamatan, dia juga gusar akan kemampuannya.

"Takut tak boleh buat sampai saya tak tidur malam sebelumnya tapi apabila mendapat kata-kata semangat menerusi laman sosial Facebook dan Instagram, saya kembali pulih.

"Sebelum melakukan cabaran itu saya menghubungi ibu saya untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saya.

"Cabaran utama berdiri di tebing itu sambil ke udara di corong radio adalah untuk menyeimbangkan percakapan dan rasa gugup. Jadi, saya perlu sentiasa bercakap," tambahnya yang tidak menjamah makanan sebelum mula berdiri di tebing menara itu.

Idea itu telah dikemukakan Pengurus Kandungan Sinar FM, Rizal Sahimy dua minggu lalu dan menerusi usaha itu, stesen radio tersebut berjaya mengumpul dana RM3,000 untuk disalur- kan kepada persatuan ibu tunggal.

Selepas berjaya melaksanakan cabaran itu, Kak Engku mengakui akan melakukan cabaran base jump di lokasi sama pada bulan September depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved