Sabtu, 15 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Berpuasa selama 30 jam

Posted:

Berpuasa selama 30 jam

Berpuasa selama 30 jam

PADA 19 Julai akan datang, Vanness akan membuat kemunculan istimewa menerusi sambutan kemuncak kempen 30-Hour Famine 2014.


KADANGKALA, nilai populariti yang bercambah hasil titik peluh memperjuangkan karier dalam dunia seni, ada gunanya.

Tidak hanya diperlukan sekadar untuk meraih publisiti atau promosi, populariti juga penting bagi membantu memberi kesedaran kepada orang ramai terutamanya dalam menangani isu-isu serius yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Jadi, tidak hairanlah jika penyanyi dan pelakon terkenal yang berasal dari Taiwan, Vanness Wu, 36, bersetuju untuk menggunakan platform sebagai seorang selebriti bagi menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap dan duta untuk kempen 30-Hour Famine 2014 yang dianjurkan oleh World Vision Malaysia bagi menangani masalah kebuluran dalam kalangan kanak-kanak.

Ketika berkesempatan bersua muka dengannya pada majlis pelancaran kempen tersebut yang berlangsung di Hotel Empire, Subang, Selangor baru-baru ini, Vanness mengakui begitu teruja serta bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk ikut serta dalam penganjuran kempen tersebut.

"Dalam menjalani kehidupan, kita langsung tidak sedar bahawa kita mampu untuk menerima banyak mesej yang berguna setiap hari. Tidak kira apa pun, mesej-mesej yang dikutip itu sedikit sebanyak mempengaruhi cara kita meneruskan perjalanan hidup.

"Saya bukanlah manusia sempurna atau insan yang mampu untuk mengubah nasib orang lain. Tetapi, pada pendapat saya, apabila berpeluang untuk melakukan sesuatu yang betul, saya harus tekad melakukannya," kata Vanness yang juga merupakan bekas ahli kumpulan pop terkenal, F4.

Menurutnya lagi, sebagai seorang bintang yang dikenali di seluruh pelosok dunia, dia begitu beruntung kerana mampu menggunakan kehadirannya dalam industri seni sebagai penyalur maklumat berguna bagi membangkitkan kesedaran kepada masyarakat.

"Jika dilihat pada posisi saya sekarang ini, saya merupakan seorang penghibur yang dikenali. Apa yang saya katakan pasti mendapat perhatian daripada orang ramai, terutamanya para peminat saya.

"Justeru, saya amat bersyukur kerana diberi peluang seumpama ini untuk membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia," katanya yang sungguh teruja ketika diberitahu bakal menjadi duta bagi kempen 30-Hour Famine 2014.

Menerusi kempen yang telah diperkenalkan sejak tahun 1997 ini, para peserta yang mengambil bahagian diminta untuk berpuasa selama 30 jam bagi meraih sejumlah kutipan dana yang bakal ditentukan pada setiap penganjurannya.

Dana tersebut diraih daripada yuran penyertaan yang dibayar oleh setiap peserta.

Ketika ditanya mengenai pemilihannya sebagai duta kempen tersebut, Vanness berkata, pihak World Vision Malaysia yang bertanggungjawab membuat pilihan dan seterusnya membawanya datang ke Malaysia.

"Ketika berada di Taiwan, saya sering menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh yayasan World Vision di sana. Jadi, apabila saya diberitahu tentang pemilihan saya sebagai duta pada tahun ini, saya berasa cukup berbesar hati.

"Bagi saya, kempen seperti ini merupakan satu aktiviti yang sungguh menyeronokkan serta mampu memberikan manfaat kepada para peserta yang terlibat. Lagipun, sudah lama saya tidak melawat Malaysia, jadi peluang ini saya gunakan sebaik mungkin," katanya lagi.

Ubah cara hidup

Melanjutkan perbualan pada petang itu, Vaness yang baru sahaja pulang dari Sabah bagi melawat projek komuniti World Vision di daerah Tulid, Keningau memberitahu, dia begitu teruja dengan penerimaan penduduk-penduduk tempatan terhadap kehadirannya di sana.

"Saya sungguh gembira sewaktu berada di Sabah. Apabila berpeluang melihat kerenah kanak-kanak di sana, saya sering terfikir mengenai diri saya sendiri.

"Mereka masih boleh menikmati erti kebebasan dan kegembiraan sedangkan saya sering sibuk menguruskan pekerjaan.

"Selain itu, saya turut berbangga kerana mereka tidak melupakan pelajaran walaupun hidup dalam serba kekurangan. Berjalan kaki ke sekolah tanpa menghiraukan keadaan cuaca membuatkan saya begitu menghormati mereka.

"Justeru, dengan adanya dana yang bakal dikumpulkan kelak, saya berharap agar ia dapat digunakan untuk membantu mereka bagi mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna serta pelajaran yang mencukupi," ujar Vanness yang sedikit kecewa kerana tidak berpeluang untuk melawat beberapa kampung di sekitar daerah Tilud atas sebab kekangan masa.

Persembahan kemuncak

Kempen berpuasa yang bakal berlangsung selama 30 jam ini bermula pada 19 Julai depan. Bagi menyambut hari kemuncak kempen, ia akan diakhiri dengan sambutan besar-besaran yang bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada keesokan harinya, iaitu pada 20 Julai. Vanness selaku duta bakal hadir sekali lagi ke Malaysia bagi meraikan para peserta yang terlibat dalam kempen ini.

"Saya akan kembali ke Kuala Lumpur pada acara kemuncak yang akan diadakan pada bulan Julai nanti. Pasti sambutan yang akan diadakan meriah kerana saya akan terlibat dalam membuat persembahan bersama-sama artis yang lain.

"Dalam pada itu, saya turut akan berpuasa bersama-sama dan mengira detik berakhirnya kempen yang berlangsung selama 30 jam itu pada hari yang sama," katanya yang begitu teruja untuk kembali semula ke Malaysia.

Sasar kutipan RM2.2 juta

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif World Vision, Liew Tong Ngan, pemilihan Vanness sebagai duta bagi kempen ini bersesuaian dengan sasaran asal kempen tersebut bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya menangani masalah kebuluran.

"Bagi saya, pemilihan Vanness boleh membantu menyedarkan orang ramai betapa pentingnya makanan dan nutrisi kepada kanak-kanak. Sebagai seorang selebriti yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai, saya yakin Vanness mampu untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Selain itu, dengan bantuan pihak media juga, saya yakin masalah kebuluran serta kemiskinan yang melanda Malaysia dan seluruh dunia dapat diatasi," katanya.

Selain memberi kesedaran kepada orang ramai, World Vision ini turut menyasarkan jumlah kutipan dana sebanyak RM2.2 juta usai berlangsungnya kempen tersebut.

"Tahun ini, saya berharap agar World Vision dapat mengutip jumlah dana sebanyak RM2.2 juta atau lebih. Melalui dana yang dikumpulkan ini, kita dapat membantu beberapa badan kebajikan di Malaysia dan di seluruh dunia," katanya lagi.

Buat julung-julung kalinya, kempen berpuasa untuk kanak-kanak telah diperkenalkan pada tahun ini bagi memberikan peluang kepada mereka yang berumur 12 tahun dan ke bawah untuk sama-sama merasai kehangatan kempen ini.

"Bintang kanak-kanak, Crystal Lee telah terpilih sebagai duta dan jurucakap bagi kempen 8-Hour Kidz Famine yang hanya berlangsung selama lapan jam sahaja," ujar Liew.

Mereka yang berminat boleh melawat laman web www.famine.worldvision.com.my untuk keterangan lanjut.

Hisyam, Rosmawati sedia hadapi gosip

Posted:

Hisyam, Rosmawati sedia hadapi gosip

Hisyam, Rosmawati sedia hadapi gosip

Oleh IZWAN MOHD. ISA


HISYAM lebih senang karier seni diuruskan isterinya, Rosmawati.


BAGAIKAN sudah menjadi lumrah dan adat dalam industri hiburan tanah air, seseorang artis itu pasti akan dihambat kisah-kisah negatif sebaik sahaja namanya mula dikenali ramai.

Bahkan, tempias aura negatif tersebut bukan sahaja dialami oleh artis terbabit. Sementelah, ia juga turut dirasai kaum keluarga serta individu yang paling rapat dengannya.

Situasi ini tepat sekali menggambarkan tohmahan yang diterima oleh pendatang baharu dari Singapura, Hisyam Hamid dan isterinya, Rosmawati Hanafi.

Sejak menguruskan karier suaminya, Rosmawati, 33, didakwa mula menunjukkan sikap berlagak dan bertindak mengawal segala keputusan Hisyam sewaktu berada di Kuala Lumpur.

Ketika berpeluang menemui pasangan ini pada majlis pelancaran program Terima Kasih Sayang di Restoran Talent Lounge, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini, Hisyam, 29, ternyata terkejut dengan dakwaan terhadap isterinya itu.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Ariana Rose itu juga turut meluah rasa terkilan kerana menuduh isterinya dengan dakwaan yang tidak benar. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Hisyam.

Kosmo!: Isteri Hisham didakwa mula menujukkan sikap berlagak dan mengamalkan sikap lebih sudu daripada kuah. Benarkah dakwaan tersebut?

HISYAM: Ketika mula-mula mendapat tahu tentang cerita ini, saya dan isteri betul-betul terperanjat. Saya terkejut kerana selama dia menguruskan karier saya di sini, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah ketika berurusan dengan mana-mana syarikat produksi tempatan.

Pada pandangaan Hisyam , adakah dakwaan itu mula timbul setelah nama anda dikenali di Malaysia?

Isteri saya mula menguruskan karier saya sejak saya aktif berlakon di Singapura lagi. Jadi, dakwaan sedemikian tidak benar sama sekali. Mungkin orang itu tidak mengenali saya dan isteri, jadi dia terus membuat andaian sendiri tanpa berbincang dengan kami terlebih dulu.

Kehadiran Hisyam di Malaysia begitu disenangi oleh banyak pihak dan kerjaya anda dilihat berkembang dengan baik di sini. Ada perancangan untuk berpindah ke Kuala Lumpur?

Ya, saya dan isteri merancang untuk membawa anak-anak berpindah ke sini pada Januari 2015 bagi memudahkan saya fokus terhadap bidang lakonan. Sebelum itu, kami harus pastikan bahawa urusan rumah dan sekolah untuk anak-anak selesai.

Jadi, Hisyam berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur?

Buat masa ini, saya tinggal di Shah Alam bersama ayah saya sementara anak-anak masih di Singapura. Jika ada kelapangan, saya akan menjenguk mereka di sana.

Apakah perkembangan terbaharu Hisyam?

Saya akan memulakan proses penggambaran drama Di Luar Garisan di Singapura tidak lama lagi. Saya juga akan berkerjasama dengan Neelofa untuk sebuah filem arahan Osman Ali berjudul Sinaran. Selain itu, saya akan muncul bersama isteri saya menerusi program realiti TV, Terima Kasih Sayang di TV3 pada 28 Mac depan.

Azad, Shafnida tak kisah adegan mesra

Posted:

Azad, Shafnida tak kisah adegan mesra

Azad, Shafnida tak kisah adegan mesra

Oleh IZWAN MOHD. ISA


PERKAHWINAN Azad dan Eira dikurniakan anak yang dinamakan Amarra Sofea Rose, kini berusia setahun.


DALAM bidang lakonan, kita sering melihat pelakon-pelakon yang sedang memadu kekasih beraksi di hadapan kamera bersama-sama. Adakalanya, mereka yang telah berkahwin juga turut memegang watak sebagai pasangan suami isteri di dalam drama atau filem.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan pelakon hitam manis yang cukup sinonim dengan watak komedi, Azad Jadzmin. Bagi aktor yang bakatnya mula dicungkil menerusi rancangan realiti Audition ini, peluang berlakon dengan adik iparnya sendiri memberikan pengalaman baharu buat dirinya sepanjang dia bergelar pelakon.

Azad, 30, berkata, dia agak terkejut ketika mula-mula mendapat tahu bakal bergandingan dengan Shafnida Shyuhaimi, adik kepada isterinya, Eira Syazira, 30, menerusi filem Fobia Malam Pengantin.

"Sewaktu mula-mula menghadiri uji bakat untuk filem tersebut, saya hairan mengapa Shaf (panggilan bagi Shafnida) turut hadir di pejabat produksi Nusantara Seni Karya.

"Ketika itu saya langsung tidak diberitahu mengenai pelakon yang bakal membawakan watak isteri saya dalam Fobia Malam Pertama.

"Jadi, sewaktu mendapat tahu bahawa Shaf bakal memegang watak heroin, perasaan canggung mula timbul. Tetapi, hubungan saya dan dia sememangnya rapat dan kami tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang penggambaran berlangsung," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Fobia Malam Pengantin di TGV 1Utama, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Azad, walaupun filem ini banyak menampilkan adegan dan dialog romantik, isterinya tidak memberikan sebarang halangan mahupun syarat untuknya terus berlakon bersama Shafnida.

Isteri memahami

"Isteri saya juga merupakan seorang pelakon dan dia mengerti tuntutan karier yang memerlukan saya dan Shaf untuk beraksi secara profesional," kata Azad yang kelihatan semakin kurus kerana sibuk menjaga anaknya, Amarra Sofea Rose, setahun.

Sementara itu, Azad turut bertindak sebagai pemberi nasihat terhadap adik iparnya untuk terus memperbaiki diri dalam dunia lakonan.

"Ini merupakan kali pertama Shaf berlakon dan dia perlu mencari cara untuk lari daripada bayangan kakaknya.

"Isteri saya bermula sebagai pelakon drama, dan Shaf pula bermula sebagai pelakon filem. Jadi, ini merupakan batu loncatan baginya untuk tampil berbeza daripada kakaknya sendiri," kata Azad yang memegang watak Asraf dalam filem arahan Murali Abdullah itu.

Kakak beri dorongan

Dalam pada itu, menurut Shafnida, kesempatan dan peluang yang diterima olehnya harus digunakan sebaik mungkin bagi terus membina nama dalam bidang lakonan.

"Saya memang minat untuk berlakon tetapi dalam masa yang sama, saya juga merupakan seorang yang sangat pemalu. Justeru, kakak saya banyak memberikan dorongan dan sokongan ketika mula-mula mahu memulakan sesi penggambaran.

"Dia turut berpesan kepada saya supaya tidak mudah terleka dan sentiasa fokus dalam setiap apa yang saya lakukan," kata gadis berusia 24 tahun ini sambil tersenyum.

Pelajar semester akhir jurusan Komunikasi Media di Kolej Segi ini memberitahu, dia turut bersedia untuk menerima sebarang kritikan sebaik sahaja filem ini menemui penonton pada 13 Mac ini.

Tidak tolak drama

"Saya sudah puas menerima kritikan sewaktu saya masih belum bergelar pelakon. Jadi, saya sudah bersedia dan mengambil sebarang kritikan sebagai pengajaran untuk saya berfikir dengan lebih matang pada masa akan datang," katanya lagi.

Shafnida turut tidak menolak jika dia diberi peluang untuk berlakon dalam produksi drama pada masa akan datang. Katanya: "Sebagai seorang pelakon saya tidak boleh memilih. Setiap produksi itu mempunyai kelebihan masing-masing.

"Jika saya diberi peluang untuk berlakon drama, saya akan menerimanya. Dari situ, saya akan lebih mengerti tahap pencapaian saya dalam bidang lakonan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved