Rabu, 12 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pernah dilamar jejaka India

Posted:

Pernah dilamar jejaka India

Pernah dilamar jejaka India

PERNAH disangka sebagai seorang gadis berketurunan India lantaran wajah yang dimiliki serta kebolehannya berbahasa Tamil, ternyata ia memberikan kelebihan tersendiri buat pelakon Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya itu.

Selain kerap membintangi drama dan telefilem Melayu sejak berkecimpung dalam bidang lakonan tujuh tahun lalu, pelakon berdarah kacukan Melayu dan Malayam itu juga agak 'laku' dalam dunia lakonan Tamil tempatan.

Bagaimanapun, kelebihan yang dimilikinya itu sebenarnya pernah mengundang kekeliruan segelintir pihak kerana ada yang menyangka dia merupakan seorang gadis berketurunan India.

Bertemu dengan Ilya semasa majlis pengumuman pra kemuncak ABP 2013 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada minggu lalu, pelakon itu berkongsi cerita yang agak melucukan.

"Pada tahun lepas saya pernah ikut rakan yang membuat rakaman video ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor memandangkan saya memang teringin hendak melihat dengan mata sendiri tentang penganut agama Hindu meraikan perayaan tersebut.

"Paling menarik kehadiran saya di sana menjadi tumpuan kerana ada yang menyangka saya ini gadis berketurunan India. Sehingga ada seorang lelaki yang berjumpa dengan rakan saya dan meluahkan hasratnya untuk mengambil saya sebagai isteri," ceritanya sambil ketawa tentang kejadian lucu tersebut.

Mengakui agak gementar dengan keadaan yang dialaminya itu, Ilya menyatakan dia agak bernasib baik kerana lelaki berkenaan tidak meneruskan hasratnya itu setelah mengetahui dia merupakan seorang gadis Melayu.

Bercerita tentang perkembangannya dalam bidang seni, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Tamil tempatan berjudul Appalam itu meluahkan rasa gembira dengan segala yang dinikmatinya sekarang.

ILYA mempunyai ramai peminat dalam kalangan penggemar naskhah Tamil.


Ujarnya, sokongan yang diterima terutama dalam kalangan peminat Melayu dan India sangat menggalakkan dan itu yang menyebabkan tawaran lakonan yang diterima semakin mencurah-curah.

"Pada tahun lalu, saya mendapat tahu ada seorang peminat yang sanggup mengendalikan sebuah akaun Facebook khusus untuk para peminat saya iaitu Raja Ilya Fan Club (IFC) tanpa pengetahuan saya sendiri.

"Apa yang mengejutkan, ketika saya menghubungi pengendali akaun Facebook berkenaan, rupa-rupanya dia merupakan seorang remaja lelaki India berusia 17 tahun dan sudah mengikuti perkembangan karier seni saya selama empat tahun," jelasnya.

Menurut Ilya, tanpa mendapat sokongan yang padu daripada peminat sudah tentu dia tidak akan tercalon dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular 2013 bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular buat julung-julung kalinya.

Lebar sayap

Memandangkan kerap tampil dalam produksi drama bersiri dan filem Tamil tempatan, Ilya memberitahu kini dia berpeluang untuk melebarkan sayap lakonannya di luar negara.

Ujarnya, baru-baru ini dia telah mendapat tawaran untuk membintangi sebuah filem Tamil di India dan akan bergandingan dengan seorang pelakon lelaki yang agak popular di sana.

"Kali pertama ditawarkan berlakon dengan sebuah produksi dari India, saya seperti agak terkejut dan tidak percaya. Mungkin kelebihan saya yang mampu bertutur dalam bahasa Tamil merupakan satu kelebihan sehingga ditawarkan watak utama.

"Saya sudah bersetuju berlakon dalam filem berkenaan, cuma belum pasti bila penggambaran akan dimulakan. Ketika ini saya sedang menunggu jadual yang akan dihantar oleh pihak produksi serta masih belum pasti tentang identiti sebenar pelakon lelaki berkenaan," jelasnya.

SUDAH dilamar untuk terbabit dalam sebuah produksi antarabangsa dari India, Ilya kini menunggu masa untuk memulakan penggambaran sulung filem Tamil antarabangsa lakonannya.


Biarpun menyedari tawaran lakonan di Malaysia yang semakin banyak sekarang, namun Ilya meluahkan bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk dia cuba mencipta nama di luar negara menerusi tawaran yang diperoleh itu.

"Sebagai pelakon saya ada sasaran tersendiri dan salah satunya mahu mencipta nama di luar negara dengan kelebihan yang saya ada. Kalau boleh, saya ingin menjadi seperti Tan Sri Michelle Yeoh," luahnya dengan penuh yakin.

Watak antagonis

Jika kebanyakan pelakon gemar sekiranya ditawarkan watak protagonis dalam sesebuah naskhah sama ada drama bersiri atau filem, sebaliknya Raja Ilya mengakui dia lebih tertarik membawakan watak antagonis.

Jelas Ilya, lakonannya dalam drama bersiri Dahlia pada tahun lalu dengan membawakan watak antagonis bernama Haliza ternyata memberi impak tersendiri dalam kariernya sebagai seorang pelakon.

"Ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap lakonan saya dalam drama berkenaan, meskipun membawakan watak yang dibenci penonton. Malah, ia telah memberikan impak yang positif terhadap karier saya sebagai pelakon.

"Pada mulanya agak takut juga untuk membawakan watak antagonis, tetapi rupa-rupanya kekuatan saya lebih terarah kepada watak sedemikian sehingga mendapat banyak pujian daripada penonton," ujarnya.

Berkenaan dengan aktiviti lakonannya yang terkini pula, dia bakal berlakon dalam drama bersiri berjudul Cinta Ibadah sebanyak 80 episod bersama pelakon Zul Huzaimi dan Aishah Ilias.

"Dalam drama berkenaan saya sekali lagi membawakan watak antagonis. Saya sendiri yang minta diberikan watak tersebut. Lagipun sudah lama saya tidak membawakan watak antagonis selepas drama Dahlia," ujarnya.

Selain itu, dia juga bakal membintangi sebuah filem pendek berjudul Rumah Itu Duniaku yang turut menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su dan Josiah Hogan.

Johan tak serik bercinta

Posted:

Johan tak serik bercinta

Johan tak serik bercinta

Oleh HARYATI KARIM

SELEPAS cinta singkat bersama Lana Nodin, Johan menegaskan yang dirinya kini semakin matang.


SEJAK popular dalam dunia lakonan menerusi drama popular, Juvana, nama pelakon Johan As'ari, 28, tidak pernah kering daripada kontroversi.

Bermula dengan pelakon Izreen Azmindar, Johan kemudiannya dikaitkan dengan pelakon Nabila Huda dan penyanyi Shila Amzah.

Terbaharu, Johan telah meninggalkan pelakon seksi, Lana Nodin selepas sebulan bercinta pada akhir tahun lalu atas alasan hubungan mereka tidak direstui keluarga Johan sendiri.

Johan yang ditemui pada majlis sidang akhbar program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor itu mengulas tentang kononnya golongan wanita takut untuk mendekati dirinya impak kontroversi dirinya yang memutuskan hubungan dengan pelakon Lana Nodin.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Johan.

Kosmo!: Adakah selepas kontroversi Johan dan Lana, wanita takut untuk mendekati anda?

JOHAN: Tidak benar kerana saya sendiri tidak ada perasaan serik untuk bersama wanita. Saya faham cinta itu memang perkara yang baik dan saya percaya jika saya hidup tanpa cinta, saya tidak boleh menjadi manusia yang baik. Soal wanita takut mendekati saya tidak wujud kerana saya mempunyai ramai kenalan wanita yang baik dengan saya.

Apakah kontroversi cinta yang Johan alami mengganggu perjalanan kerjaya seni?

Setakat ini alhamdulillah. Kerjaya saya berjalan seperti biasa dan semakin diterima ramai. Saya menjadi lebih matang disebabkan pengalaman yang banyak mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih baik.

Selepas segala kontroversi cinta, adakah restu ibu bapa itu sangat penting?

Saya percaya jodoh itu ketentuan Allah dan saya juga harus utamakan restu kedua ibu bapa dalam mencari wanita bergelar isteri. Jika inginkan wanita yang baik, saya kena perbaiki diri terlebih dahulu supaya saya boleh menjadi suami yang baik.

JOHAN mengakui dia mempunyai ramai kenalan wanita yang baik dengan dirinya.


Adakah anda serik untuk membina hubungan cinta yang baharu?

Saya tidak serik sebab itu sebelum ini saya berani berkata yang saya ingin membina masjid (berkahwin). Saya percaya selepas melalui pelbagai asam garam, ia telah mematangkan saya. Bagaimanapun, saya akur jodoh itu atas kehendak Allah.

Apakah pandangan Johan tentang perkahwinan?

Semua orang ingin berkahwin, begitu juga saya. Jika saya berkahwin, sebagai suami saya kena berani membuat keputusan kerana talak di bawah kuasa saya. Sebagai suami, saya harus memimpin isteri ke jalan yang lebih baik, jadi saya harus buat keputusan awal. Jika tidak, pasti wanita itu bukan jodoh saya. Lebih baik tidak perlu berkahwin, andai berkahwin pun nanti akan bercerai.

Maknanya Johan membuat keputusan yang tepat dalam hubungan cinta sebelum ini?

Saya bukannya mahu bergaduh atau bermusuh, segala keputusan yang saya buat telah difikir sedalam-dalamnya. Apa yang berlaku semua ada hikmah sebaliknya dan banyak pengajaran buat saya atas apa yang berlaku.

Adakah Johan akan lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan kepada pihak media soal cinta pada masa hadapan?

Saya percaya manusia akan rasa bahagia apabila bertemu cinta dan pasangan yang telah ditetapkan untuknya. Saya yang kena berhati-hati supaya tidak melukakan perasaan orang lain selepas ini.

Boleh ceritakan perkembangan terbaharu Johan?

Saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Kanang Anak Langkau arahan Bade Azmi dan akan memasuki set penggambaran sekual drama Juvana dalam masa terdekat.

Selain itu, saya harap seluruh umat Islam akan dapat berkumpul di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya pada 21 Mac pada pukul 8 malam untuk sama-sama terlibat dalam Malam Cinta Allah dan Rasul

Hafiz terbuka soal kekasih

Posted:

Hafiz terbuka soal kekasih

Hafiz terbuka soal kekasih

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

HAFIZ tidak pernah menyembunyikan kisah cintanya daripada pengetahuan umum.


SEBELUM ini penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip lebih selesa untuk mengunci mulut daripada bercerita mengenai teman wanitanya.

Mengulas mengenai perkara itu kata Hafiz, dia mengakui sedang berkawan rapat dengan gadis yang dimaksudkan. Namun begitu, dia masih merahsiakan identiti individu tersebut memandangkan statusnya sebagai seorang penuntut universiti.

"Saya tidak menyembunyikan hubungan kami. Kalau ada yang ternampak kami bersama di luar rasanya tiada masalah, cuma saya tidak mahu realisasikan perkara yang tidak benar.

"Bagi saya, kami melalui kehidupan biasa seperti orang lain dan saya ada perancangan sendiri.

"Kata orang, sebelum tamatkan zaman bujang, saya perlu tempuhi pelbagai pancaroba yang ada di depan mata untuk persediaan hari akan datang," ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar minggu setiausaha A Golden Moment With Hafiz di Restoran Serai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hafiz tidak mendedahkan perancangan untuk peringkat selanjutnya dalam perhubungan mereka kerana enggan mengganggu konsentrasi gadis itu.

Sementara itu, Hafiz dijadual akan mengadakan persembahan sempena minggu setiausaha A Golden Moment With Hafiz yang bakal berlangsung pada 22 April depan bermula pukul 12 tengah hari di Dewan Megah Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Kuala Lumpur.

Penyanyi Adira akan turut berganding dengan Hafiz untuk menyeri- kan acara anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn. Bhd. (Ami Global) itu.

"Saya akan menyanyikan 10 buah lagu hit saya antaranya Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, Ku Akui dan sebuah single terbaharu berjudul Kesimpulan.


HAFIZ dan Adira bersama Yusry pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Selain itu, saya akan berduet dengan Adira untuk lagu Ombak Rindu dan Salahkah (nyanyian asal bersama Datuk Rossa) sempena majlis itu," tambahnya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Pemasaran Ami Global, Yusry Mohamad Yusof.

Pertama kali dijemput untuk menjayakan minggu setiausaha, kata Hafiz, dia tidak melihat kisah silamnya dengan Adira menjadi penghalang untuk berkongsi pentas.

"Mulanya saya sedikit terkejut apabila digandingkan dengan Adira tapi antara kami perlu ada sikap profesional. Yang lepas itu biarkan berlalu.

"Saya perlu pandai membahagikan masa antara kerjaya dan peribadi dan kedua-dua perkara itu tidak boleh dicampuradukkan.

"Alhamdulillah, ini pertama kali saya terbabit dengan minggu setiausaha.

"Pastinya cabaran berbeza daripada persembahan lain sebelum ini kerana saya perlu bercakap dengan audiens selain menyanyi," jelasnya yang mengakui perlu belajar cara berkomunikasi dengan audiens menerusi Youtube.

Selain Adira, majlis itu akan dihoskan oleh pelakon dan pelawak terkenal Afdlin Shauki serta diserikan dengan persembahan peragaan pakaian rekaan Amer Rafiqee dan Erry Anuwar.

Tiket dijual pada harga RM780 untuk tempat duduk platinum, RM680 (emas) dan RM580 (perak). Maklumat lanjut hubungi 03-9200 5526 atau e-mel amiglobal2014@ yahoo.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved