Selasa, 11 Mac 2014

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Thai jadi lokasi pemalsuan dokumen

Posted:

Thai jadi lokasi pemalsuan dokumen

Thai jadi lokasi pemalsuan dokumen

MARALDI menunjukkan pasportnya di sebuah balai polis di Phuket, Thailand kelmarin.- AP


BANGKOK - Peranan Thailand sebagai hab jaringan jenayah menggunakan dokumen palsu mula menjadi perhatian selepas dua penumpang misteri yang menaiki pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) menggunakan pasport yang dicuri di negara ini.

Identiti penumpang tersebut yang masih misteri mencetuskan kebimbangan bahawa kehilangan pesawat itu sejak pagi Sabtu lalu itu berpunca daripada serangan pengganas, lapor agensi berita AFP semalam.

Terdapat dua nama individu yang berasal dari Eropah dalam senarai penumpang pesawat tersebut yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.

Bagaimanapun, nama dalam senarai itu, Christian Kozel yang berasal dari Austria dan warga Itali, Luigi Maraldi sebenarnya tidak menaiki pesawat tersebut.

Sebaliknya dua penumpang misteri menggunakan pasport mereka yang dicuri dalam dua kejadian di Thailand.

Pendedahan itu menyebabkan pihak berkuasa Malaysia menyiasat kemungkinan ada unsur keganasan dalam kehilangan pesawat itu.

Pihak berkuasa di Malaysia kemudian bekerjasama dengan agensi perisikan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung kes tersebut.

"Thailand sebelum ini pernah digunakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa sebagai zon operasi mereka, untuk mengumpul dana atau merancang sesuatu serangan,'' kata penganalisis antikeganasan Asia Tenggara, Rommel Banlaoi.

Pada tahun 2010, dua lelaki Pakistan dan seorang wanita Thailand ditahan di negara itu kerana disyaki membuat pasport palsu untuk sebuah kumpulan pengganas yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.

Pasport palsu itu digunakan dalam satu operasi antarabangsa yang dikaitkan dengan siri serangan pengganas di Mumbai, India pada tahun 2008 dan serangan bom kereta api di Madrid, Sepanyol pada 2004.

Bagaimanapun, Banlaoi menegaskan bahawa pasport palsu yang digunakan oleh penumpang misteri dalam penerbangan MH307 itu mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah yang lain seperti pendatang haram.

"Thailand adalah destinasi bagi organisasi jenayah antarabangsa untuk mendapatkan dokumen perjalanan dan dokumen kewangan,'' kata satu sumber perisikan Thailand.

"Ia bukan sahaja berkait dengan keganasan tetapi mempunyai hubungan dengan jenayah yang lain.

"Ia merupakan jaringan yang kompleks yang mempunyai kaitan dengan jaringan-jaringan yang lain,'' katanya.

Menurutnya, jaringan itu melibatkan warga Thailand dan warga asing selain turut disertai pencuri pasport, pakar penipuan dokumen, orang tengah dan para pelanggan.

Pihak polis Thailand mengumumkan satu siasatan berhubung kemungkinan kewujudan satu sindiket mencuri pasport di Pulau Phuket iaitu lokasi pasport dua lelaki tersebut dilaporkan hilang.

Pasport Maraldi dilaporkan dicuri di Pulau Phuket pada 2013 manakala dokumen perjalanan Kozel hilang ketika dalam penerbangan dari Phuket ke Bangkok.

Maklumat penerbangan yang diperoleh agensi berita AFP menunjukkan tiket dua penumpang misteri yang menggunakan pasport lelaki itu dibeli di Pattaya pada 6 Mac lalu dan dibayar dengan menggunakan mata wang baht.

Sehingga kini, tidak banyak maklumat berhubung penumpang misteri itu.

Pihak berkuasa Malaysia semalam memberitahu bahawa pihaknya telah mengenal pasti identiti salah seorang penumpang berkenaan tetapi hanya mendedahkan dia bukannya warganegara Malaysia.

Kedudukan geografi yang strategik dan mempunyai sebuah lapangan terbang yang utama, Thailand dikenali sebagai hab pengedaran dadah serta penyeludupan haiwan liar termasuk gading gajah dari Afrika.

Negara itu juga dikenali sebagai penyumbang dokumen untuk imigran yang berhijrah atau melalui negara-negara di wilayah berkenaan.

Satu sumber diplomatik berkata, perjalanan penumpang misteri itu dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing sebelum ke Eropah merupakan laluan biasa bagi imigran haram.

Tambahnya, sebahagian besar pasport yang dicuri dari pelancong di Thailand kemudiannya digunakan oleh golongan imigran untuk berhijrah ke negara lain.

Menurutnya, industri itu semakin berkembang kerana ramai pegawai polis di negara itu terlibat dalam rasuah.

"Pihak polis hanya menutup mata mereka sekiranya ada yang menawarkan wang,'' katanya.

Mengikut undang-undang di Thailand, sesiapa yang didapati menjual atau memiliki dengan niat untuk menjual pasport palsu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Profesor Madya Ahmed Salah Hashim dari Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura berkata, memasuki negara Barat dengan mengguna pasport dari negara-negara Barat yang dicuri bukannya merupakan kaedah yang mudah.

Justeru, beliau menyokong teori kemungkinan pengganas menyasarkan penerbangan MH370 itu ekoran dua pasport yang dicuri tersebut di bawah pengawasan Interpol.

Seorang pegawai Imigresen Thailand memberitahu bahawa pihaknya tidak mengimbas pasport pelancong dengan pangkalan data dokumen perjalanan yang hilang dan dicuri milik Interpol.

Polis antarabangsa itu juga menggesa semua negara anggota untuk mengimbas semua pasport dengan pangkalan data itu demi kepentingan penumpang yang tidak berdosa.

"Saya berharap semua kerajaan dan syarikat penerbangan mengambil iktibar daripada kehilangan pesawat malang ini dan mengimbas semua pasport penumpang sebelum membenarkan mereka menaiki pesawat,'' kata Setiausaha Agung Interpol, Ronald Noble.

"Dengan berbuat demikian secara tidak langsung kita mengambil satu langkah bagi memastikan keselamatan penerbangan,'' tambahnya.

Dalam pada itu, akhbar Daily Mail semalam mendedahkan gambar tiket penerbangan yang ditempah oleh dua penumpang misteri tersebut.

Rekod tempahan elektronik menunjukkan tiket sehala yang dibeli mereka dikeluarkan pada 6 Mac lalu oleh sebuah agensi perlancongan di Pattaya.

Seorang pegawai polis Thailand, Supachai Phuykaeokam berkata, syarikat agensi pelancongan itu pula membuat tempahan melalui pejabat syarikat penerbangan China Southern Airlines di Bangkok.

Pemilik agensi pelancongan di Pattaya itu sering berurusan dengan pelancong dari Iran.

Pihak polis Thailand dan pegawai Interpol telah menyoal siasat pemilik agensi tersebut.

Seorang operator syarikat Penerbangan KLM yang berpangkalan di China kelmarin mengesahkan bahawa penumpang bernama Maraldi dan Kozel menempah tiket penerbangan sehala dari Beijing menuju ke Amsterdam, Belanda pada Sabtu lalu.

Maraldi kemudian menempah penerbangan menuju ke Copenhagen, Denmark dan Kozel pula menuju ke Frankfurt, Jerman.

Sebagai pemegang pasport Kesatuan Eropah yang dalam perjalanan menuju ke negara Eropah, kedua-dua penumpang misteri itu tidak memerlukan visa untuk datang ke China.

Misi mencari pesawat MH370 itu memasuki hari ketiga semalam dan diteruskan pada hari ini melibatkan kawasan di perairan Vietnam dan Malaysia sejak Sabtu lalu. - Agensi

Penduduk Palestin mati ditembak

Posted:

Penduduk Palestin mati ditembak

Penduduk Palestin mati ditembak


BEBERAPA askar Israel mengawal pintu masuk ke Lintasan Allenby di Tebing Barat semalam.- AP


BAITULMUQADDIS - Seorang penduduk Palestin mati ditembak oleh anggota-anggota keselamatan Israel semalam, kata tentera regim Zionis.

Menurut tentera Israel, kejadian itu berlaku ketika penduduk Palestin tersebut cuba untuk merampas selaras raifal daripada seorang askar Yahudi.

Tentera regim Zionis menyatakan, kejadian tersebut berlaku di Lintasan Allenby yang terletak di sempadan antara Tebing Barat dan Jordan.

Kejadian itu berlaku semasa penduduk Palestin datang dari Jordan untuk memasuki Tebing Barat.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, polis sedang menyiasat kejadian itu.

Rosenfeld menyatakan, kejadian itu disiasat kerana perbuatan tersebut mungkin mempunyai motif berkaitan dengan perjuangan negara Palestin.

Lintasan itu beroperasi menerusi kerjasama Jordan, Israel dan Pihak Berkuasa Palestin.

Beberapa diplomat asing dan pelancong asing turut menggunakan lintasan itu.

Lintasan tersebut juga digunakan untuk penghantaran barang dari Israel, Terbing Barat dan Jordan. - AP

Ikan paus sepanjang 10 meter tersangkut pada pukat

Posted:

Ikan paus sepanjang 10 meter tersangkut pada pukat

Ikan paus sepanjang 10 meter tersangkut pada pukat


BEBERAPA orang menyaksikan seekor ikan paus yang mati kerana tersangkut pada pukat nelayan di Pelabuhan Sidi Bou Said, utara Tunisia kelmarin.- REUTERS


TUNIS - Seekor ikan paus sepanjang 10 meter dijumpai mati kelmarin selepas tersangkut pada pukat milik seorang nelayan di Tunisia di persisiran pantai Sidi Bou Said yang terletak di utara bandar ini. kelmarin.

Nelayan itu, Bilel Jerbi, 24, berkata, pada mulanya dia menyangka pukat miliknya tersangkut pada sebuah bampar kereta.

"Selepas saya menarik jaring berkenaan, saya melihat ekor ikan paus berkenaan,'' katanya.

Ujarnya. spesies ikan paus itu masih belum dikenal pasti dan haiwan itu hampir mati ketika ia tersangkut pada pukat tersebut.

Jerbi kemudiannya membawa ikan paus itu ke sebuah pelabuhan di Sidi Bou Said.

Beberapa nelayan dan anggota pengawal pantai berusaha untuk membawa naik ikan paus tersebut ke darat.

Pelabuhan itu juga dipenuhi orang ramai yang mahu melihat haiwan gergasi berkenaan dengan lebih dekat.

Tambah Jerbi, dia mengalami kerugian yang besar selepas pukat yang digunakan untuk menangkap ikan rosak selepas ikan paus itu tersangkut pada pukat tersebut.

"Saya berharap dapat menjual daging ikan paus ini dan wang berkenaan digunakan untuk membeli pukat yang baharu,'' katanya.

Seorang pengawal pantai berkata, ikan paus sepanjang 10 meter itu dianggarkan seberat tujuh hingga lapan tan.

"Kami sebelum ini pernah melihat ikan paus sepanjang empat meter tetapi haiwan ini yang terbesar pernah dijumpai di sini,'' katanya.

Menurutnya, punca kematian ikan paus berkenaan masih belum dapat dipastikan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved