Rabu, 12 Februari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Potensi madu kelulut jana pendapatan

Posted:

Potensi madu kelulut jana pendapatan

Potensi madu kelulut jana pendapatan

SYAKIRAH (kanan) bersama ibunya Norlezah menunjukkan rupa sarang kelulut.


RAMAI yang beranggapan kelulut merupakan sejenis serangga seperti lebah madu yang tidak boleh menghasilkan madu dalam kuantiti banyak. Hakikatnya, serangga yang banyak ditemui di hutan hujan tropika itu boleh membantu menjana pendapatan seseorang jika bersungguh-sungguh mengusakan dan tahu kaedahnya.

Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) penternakan kelulut yang diusahakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya membuktikan meningkatkan pengeluaran madu kelulut sehingga 2 kilogram (kg) untuk satu koloni dalam tempoh satu bulan.

Menurut Pegawai Penyelidik MARDI, Mohd. Fahimee Jaapar, sebelum ini kelulut hanya digunakan sebagai ajen pendebungaan sahaja dan biasanya boleh menghasilkan madu dalam tempoh satu bulan.

"Sebelum tahun tahun 1990, madu kelulut belum lagi dikomersialkan, selepas melihat potensi kelulut, satu program telah diaktifkan oleh MARDI untuk mengkaji perilaku serangga tersebut," katanya ketika ditemui.

Hasil penyelidikan tersebut telah berjaya dimanfaatkan oleh beberapa usahawan produk berasaskan madu, termasuklah Syakirah Hamdan, 24.

Menurut pengusaha madu kelulut yang banyak mendapat nasihat dan tunjuk ajar MARDI itu, beliau berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu dan propolis serangga tersebut.

Propolis ialah struktur binaan sarang kelulut dan kantung simpanan madu yang dihasilkan daripada campuran resin pelbagai sumber botani seperti pokok dan tumbuh-tumbuhan.

Potensi kelulut

Propolis terbahagi kepada dua iaitu propolis yang lembut dan keras dan rapuh.

Syakirah yang mengambil alih perniagaan Trigona Bee daripada ibunya, Norlezah Baharom, 53, akhir tahun lalu menjelaskan, hasil kerjasama dan khidmat nasihat MARDI membolehkan madu dihasilkan lebih banyak dan berkualiti sehingga boleh dikomersialkan.

Ujar bekas penuntut Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur jurusan Diploma Perniagaan itu, sebelum ini Trigona Bee ditubuhkan pada tahun 1995, syarikat tersebut hanya menternak lebah madu sahaja, namun setelah mendapati potensi dan khasiat madu kelulut lebih baik maka syarikat tersebut cuba kepada menternak kelulut.

MADU kelulut mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan baik untuk kesihatan.


"Madu lebah kelulut mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan dipercayai dapat melambatkan proses pengoksidaan dalam badan. Ia baik untuk mengurangkan tahap kolesterol dalam plasma darah dan risiko mendapat kanser perut," katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor.

Kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaannya meningkat sekali ganda sehinggakan syarikat tersebut sukar menampung permintaan tersebut. Madu kelulut syarikat itu diperoleh daripada penternakan dua buah ladang yang terletak di Semenyih dan Serdang, Selangor.

Tambah gadis yang masih belum berumah tangga itu, lebihan permintaan tersebut berlaku disebabkan kelulut hanya menghasilkan madu secara bermusim iaitu pada musim pokok berbunga sedangkan permintaannya berterusan.

Ujar Syakirah, madu kelulut dijual pada harga RM40 bagi 350 gram.

Selain penjualan madu lebah dan kelulut, syarikat Trigona Bee turut menjual koloni kelulut kepada pelanggan yang berminat untuk menternaknya pada harga antara RM400 hingga RM1,000 untuk satu koloni bergantung kepada spesies kelulut.

"Sifat kelulut yang tidak menyengat berjaya menarik minat ramai orang untuk membeli koloni dan menternaknya sendiri di rumah," kata Syakirah yang banyak dibantu keluarganya.

Jenis madu

Kini, hasil jualan keseluruhan produk syarikatnya mampu mencecah RM20,000 sebulan sekali gus menjadikan Syakirah tidak menang tangan.

Selain madu kelulut, syarikatnya turut menawarkan madu-madu lainseperti Madu Hutan, Madu Habbatus Sauda, Royal Honey, Madu Propolis,

"Madu-madu tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri.

"Misalnya, madu hutan yang boleh membantu meringan batuk, lelah, selesema dan masalah tenaga batin," katanya sambil memberitahu produk tersebut mendapat sambutan daripada pengguna dari luar negara seperti Asia Barat.

Prinsip operasi ikut syariah

Posted:

Prinsip operasi ikut syariah

Prinsip operasi ikut syariah


DUBAI Islamic Bank antara bank Islam yang berjaya ditubuhkan selepas persidangan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam di Jeddah, Arab Saudi.


PERBANKAN Islam merupakan salah satu sektor atau juzuk dalam sebuah sistem kewangan Islam yang prinsip operasi dan amalannya berlandaskan hukum Islam atau juga disebut sebagai syariah.

Faktor utama yang membezakan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional ialah segala urusan dalam perbankan Islam hendaklah dikendalikan tanpa melibatkan sebarang unsur-unsur yang bercanggah dengan syariah.

Perbankan Islam dunia mula mengorak langkah seawal tahun 1963, terutamanya apabila tertubuhnya Mit Ghamr Local Saving Bank di Mesir tanpa menggunakan perkataan syariah secara rasmi. Bank ini menggunakan model German Savings Bank mengikut kesesuaian sebuah bank yang berlandaskan Islam.

Penubuhan Islamic Development Bank (IDB) di Jeddah, Arab Saudi pada sidang Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjadi pemangkin kepada kewujudan perbankan Islam di serata dunia.

Berdasarkan hukum

Antara bank-bank Islam yang berjaya ditubuhkan ialah Dubai Islamic Bank pada tahun 1975, diikuti dengan Faisal Islamic Bank of Sudan (1977), Faisal Islamic Egyptian Bank dan Islamic Bank of Jordan (1978), Islamic Bank of Bahrain (1979) dan The International Islamic Bank of Investment and Development, Luxembourg (1980).

Konsep kewangan berdasarkan hukum Islam bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak perkembangan Islam di kepulauan Nusantara pada abad ke-12, undang-undang Islam dalam perdagangan telah mula mempengaruhi masyarakat tempatan.

Dalam Undang-Undang Melaka, terdapat beberapa peraturan yang menyentuh tentang pengharaman amalan riba dalam urusan jual beli. Selepas kemerdekaan, permintaan untuk mewujudkan sebuah institusi kewangan yang halal telah meningkat.

Pada tahun 1963, Lembaga Tabung Haji telah ditubuhkan dengan tujuan untuk membantu umat Islam di Malaysia menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji.

Kejayaan Tabung Haji menyebabkan timbul pula usul untuk mewujudkan sistem perbankan Islam di negara ini.

Hasilnya, Kabinet telah meluluskan penubuhan bank Islam pertama pada tahun 1983 yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad, disusuli dengan kewujudan Syarikat Takaful Malaysia Berhad selaku pengendali takaful yang pertama pada tahun 1984.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula diberi mandat untuk menjadi badan pengawal yang membantu dalam penyelarasan dan keseragaman pentafsiran syariah dalam memperkukuhkan pengawalseliaan dan tadbir urus industri kewangan Islam di Malaysia.

Antara langkah yang telah diambil BNM dalam mengawal selia industri kewangan Islam terutamanya dalam segmen perbankan dan takaful ialah mengeluarkan resolusi, garis panduan dan perkara berkaitan lain yang bertujuan untuk mewujudkan kesepakatan dalam keputusan-keputusan syariah. Ini sekali gus mempertingkat dan memperkukuhkan tadbir urus syariah institusi kewangan.

Produk kewangan

Dahulu, kita mungkin tiada pilihan untuk menggunakan produk kewangan Islam dalam aktiviti-aktiviti kewangan seperti perbankan, pajak gadai, insurans dan sebagainya, namun dewasa ini terdapat pelbagai institusi perbankan islam dan juga bank-bank konvensional yang membuka 'tetingkap Islam' dengan menawarkan produk-produk perbankan Islam kepada mereka yang berminat terutamanya umat Islam.

Antara produk-produk kewangan Islam yang berada di pasaran semasa pada hari ini ialah pajak gadai Islam yang dikenali sebagai al-rahnu, takaful dan sukuk.

Dalam keterbatasan dan situasi darurat, kita mungkin akan memberi alasan tiada alternatif lain melainkan sistem kewangan konvensional. Ini memaksa kita menggunakan kaedah itu sama ada secara rela ataupun tidak.

Tetapi apabila sudah ada alternatif-alternatif produk kewangan Islam di hampir semua institusi perbankan di negara ini di samping kecaman oleh Allah SWT dan Rasul-Nya ke atas pengamal riba, adakah kita masih memilih untuk menggunakan sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba dan mengabaikan sistem kewangan Islam?

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved