Selasa, 11 Februari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Cinta fantasi penuh hikmah

Posted:

Cinta fantasi penuh hikmah

Cinta fantasi penuh hikmah

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

THE WEDDING BREAKER merupakan karya sulung Evelyn Rose yang sudah beberapa kali diangkat sebagai Buku Terlaris di toko-toko buku utama negara.


FENOMENA drama dan filem yang diadaptasi daripada novel semakin rancak mewarnai industri seni tanah air. Kini, suhu drama bersiri terbitan Pena Creative bertajuk Ariana Rose yang mengisi slot Akasia di TV3 sedang hangat meniti di bibir peminat drama tanah air.

Terdetik di hati untuk mengenali nama di sebalik penulis cerita asal drama tersebut. Ariana Rose merupakan drama adaptasi novel The Wedding Breaker karya sulung Evelyn Rose.

Orangnya secantik nama. Itulah apa yang dirasakan kru Kosmo! ketika menatap gambar kiriman Evelyn Rose atau nama sebenarnya, Wan Iman Wan Mohd Nazi, 27, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui di Universiti Newcastle, England.

Anak kelahiran Kelantan itu sebenarnya mempunyai latar belakang pendidikan yang jauh berbeza dengan bidang penulisan. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mikroelektronik dari Universiti Sheffield, England. Sebelum ini, Evelyn Rose pernah bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Katanya, penulisan sudah sebati dengan dirinya kerana sejak zaman sekolah beliau pernah dilantik sebagai editor majalah bulanan sekolah, editor untuk Hari Kebudayaan Jepun peringkat Sekolah Berasrama Penuh Malaysia dan mempunyai blog yang membicarakan isu-isu serius sewaktu di universiti.

Beliau mula menulis novel The Wedding Breaker secara dalam talian pada April 2012 dan dihantar ke laman web milik penerbitan Karya Seni iaitu penulisan2u.com. Ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada pembaca dan pihak Karya Seni menawarkan Evelyn Rose peluang menerbitkan novel tersebut ke naskhah cetak.

Setakat ini, Evelyn Rose sudah menghasilkan sebanyak dua buku iaitu The Wedding Breaker diterbitkan pada November 2012 dan 13 Jam A380 diterbitkan pada Ogos 2013.

Minatnya yang mendalam terhadap bidang penulisan dianggap sebagai medan luahan hati, emosi dan terjemahan minda. Beliau berpendapat, penulisan mampu menyentuh hati dan minda manusia melalui susunan ayat yang betul.

NOVEL 13 Jam A380 mengisahkan percintaan ala fantasi yang dialami oleh Hana Sofea.


"Penulisan bagaikan ada kaitan yang rapat antara hati dan akal manusia.

"Nama-nama tersohor yang mempengaruhi revolusi politik dunia juga terlibat dalam bidang penulisan, contohnya Hitler dan Martin Luther King Jr. yang mengeluarkan beberapa buah buku dan Karl Marx yang terlibat dalam pengeluaran akhbar radikal," ujarnya.

Tema cinta

Kedua-dua buku Evelyn Rose mengangkat tema cinta yang disulam dengan aspek kendiri, motivasi, falsafah kehidupan dan ketuhanan. Melalui novel 13 Jam A380, Evelyn Rose menonjolkan kisah seorang gadis, Hana Sofea yang menyimpan angan-angan untuk berjumpa jutawan muda terkenal, Syed Haydar yang telah lama diminati.

Doa dan impiannya tercapai apabila mereka bertemu dalam penerbangan ke London, England. Peluang itu digunakan untuk berkenalan dan mula mencipta kenangan terindah di langit biru.

Mereka bergelar kekasih kayangan untuk empat jam, menari tango, menjelajah seluruh pesawat dan merasai keenakan minuman Caramel Latte. Namun, segala-galanya berubah apabila merpati dua sejoli itu mendarat di lapangan terbang. Perubahan tersebut membawa Hana Sofea dalam perjalanan mencari erti cinta dan pencarian diri.

Di London, A380 turut menerbangkan Hana Sofea kepada jutawan kacukan, Fawwaz Hussaini sekali gus menghiasi kehidupan keluarga si jejaka. Pada saat semuanya bagaikan baru bermula, Syed Haydar datang menuntut sebuah cinta.

Novel setebal 752 itu disiapkan dalam tempoh tujuh bulan dan Evelyn Rose perlu membuat banyak rujukan supaya ilmu yang disampaikan itu betul selain kekangan masa kerana terpaksa memberikan tumpuan terhadap pengajian.

Novel terbaharu buah tangan Evelyn Rose itu diterbitkan oleh Karya Seni dan boleh didapati di kedai-kedai buku utama seluruh negara pada harga RM28 senaskhah.

Rekaan berinovasi pelajar UiTM

Posted:

Rekaan berinovasi pelajar UiTM

Rekaan berinovasi pelajar UiTM

Oleh HAFIZ AHMAD
mohammadhafiz.ahmad@kosmo.com.my


NURUL ALIAA (kanan sekali) menerangkan aplikasi Grocez kepada pengunjung yang menghadiri pameran Bold.


KEBIMBANGAN terhadap semangat patriotisme yang semakin menipis dalam kalangan generasi muda memberi idea kepada penciptaan satu inovasi bagi mengembalikan rasa kecintaan pada negara.

Produk yang dinamakan sebagai Negaraku oleh Jefri Adam, 48, telah dipamerkan dalam Pameran Bold anjuran pelajar tahun akhir rekaan grafik dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor.

Ia merupakan set alat mainan untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun yang menggunakan simbol-simbol kenegaraan dan disertakan buku-buku komik sebagai kesinambungan permainan dam ular yang popular di Malaysia.

"Idea tersebut timbul selepas menyedari kanak-kanak sekarang tidak mengambil kira isu-isu yang melibatkan sejarah dan simbol negara.

"Bagi menarik perhatian mereka, saya reka permaian ini menggunakan watak-watak komik," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jefri menambah, set permainan tersebut mempunyai empat peringkat. Dalam peringkat permainan dam ular, pemain akan ditanyakan beberapa soalan asas sejarah atau kenegaraan.

"Antara soalan-soalan yang ditanyakan seperti jata negara, monumen-monumen negara dan sejarah ringkas berkaitan Malaysia," ujarnya.

Produk Jefri itu diangkat sebagai salah satu daripada lima inovasi terbaik dalam pameran tersebut.

Sehubungan itu, beliau melihat permainan itu dapat dimanfaatkan sebagai satu kaedah pembelajaran di sekolah-sekolah agar semangat patriotisme negara terus disemai dalam kalangan generasi muda.

Bagi Nur Alis Razman Sham, 26, aplikasi ciptaannya yang dinamakan CookPro diharap dapat membantu golongan muda, terutamanya kaum Hawa, mempelajari cara-cara memasak dengan betul.

"Kesibukan sering dijadikan alasan hingga menyebabkan ramai wanita berasa canggung ketika berada di dapur.

Kelas memasak

"Rentetan masalah itu, aplikasi ini boleh menyediakan 'kelas memasak' dengan cepat dan mudah," ujarnya yang turut menerima penghormatan inovasi terbaik di pameran berkenaan.

Jelasnya, pengguna akan melalui beberapa peringkat memasak bermula dengan cara-cara pemotongan bahan mentah seperti sayur-sayuran dan daging.

BELAJAR memasak menggunakan aplikasi CookPro ciptaan Nur Alis.


"Selepas berjaya pada peringkat tersebut, mereka akan diajar beberapa jenis masakan Melayu yang menjadi kegemaran masyarakat tempatan," jelasnya yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur.

Pada peringkat memasak hidangan, ia turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti hidangan mudah hingga sukar.

"Apabila pengguna melepasi satu tahap, mereka akan diberikan gelaran mengikut tahap kepakaran masakan," katanya.

Terdapat 26 jenis masakan yang boleh dipelajari dalam aplikasi tersebut. Menu-menu tersebut dipilih menerusi perbincangan bersama pelajar-pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM, Shah Alam.

Kepayahan mencari tempat letak kereta dan fasiliti-fasiliti yang terdapat pasar raya besar dapat dimudahkan menerusi penggunaan aplikasi Grocez yang dihasilkan oleh Nurul Aliaa Mahamad Radzi, 25.

Maklumat

Aplikasi yang mendapat kerjasama daripada rangkaian pasar raya Tesco itu akan memberikan maklumat kepada pelanggan mengenai kapasiti semasa pengunjung di pasar raya.

"Selain itu, ia dapat menyimpan senarai barangan dapur yang ingin dibeli bagi menjimatkan masa ketika berada di pasar raya," ujarnya.

Maklumat mengenai jumlah pengunjung dalam pasar raya diperoleh melalui sumbangan daripada komuniti yang menggunakan aplikasi tersebut.

"Mereka akan memuat turun informasi-informasi itu dalam aplikasi dan ia akan dijadikan panduan kepada pengunjung lain sebelum datang ke pasar raya," jelas Nurul Aliaa.

Dua lagi penerima inovasi terbaik Pameran Bold ialah Syazana Aqilah Abdul Karim dan Nafissa Mazlan.

Mengulas penganjuran pameran itu, Timbalan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Prof. Dr. Muliyadi Mahamood berkata, para pelajar diberi peluang menunjukkan kebolehan dalam mencipta inovasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

"Kami amat menggalakkan pelajar untuk terlibat secara terus dengan industri sebenar bagi mendapatkan kualiti produk yang lebih berkesan.

"Saya melihat melalui jalinan kerjasama itu, pelajar dapat menghasilkan satu inovasi yang boleh digunakan terus oleh orang awam," ujarnya ketika merasmikan pameran yang diadakan di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved