Sabtu, 8 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Wanita dikubur bersama manik

Posted:

Wanita dikubur bersama manik

Wanita dikubur bersama manik


AKSESORI manik boleh diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi dan dikatakan mempunyai nilai yang tinggi apabila diwarisi.


LITAD MULOK, 60, sedang leka menguli adunan tanah liat ketika dia didatangi kru Jurnal di gerai pamerannya sempena Karnival Bersama Muzium 2014 di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang selesa mengenakan sepasang baju kebaya Nyonya berona kuning cair dengan kain sarung bercorak pua kumbu kelihatan malu-malu apabila gambarnya dibidik jurufoto Ghazali Basri.

"Tidak payah ambil gambar saya banyak-banyak. Saya sudah tua, tidak cantik lagi," ujarnya berseloroh.

Sesi temu bual tambah mengujakan apabila wanita berketurunan Lun Bawang itu langsung tidak kekok berbahasa Melayu. Setiap butir katanya pula kedengaran baku persis gaya percakapan orang Sabah.

"Saya berasal dari Lawas, Sarawak. Daerah ini bersempadan dengan negeri Sabah. Tidak jauh kalau mahu ke Sipitang, Sabah, kira-kira 37 kilometer sahaja. Itu sebab cara pertuturan kami kedengaran seperti pelat orang negeri itu," ceritanya tersenyum.

Sambil menggentel dan mengepal adunan tanah liat menjadi bentuk bebola kecil, Litad memberitahu, manik yang siap dibentuk perlu dibakar sebelum diwarnakan.

"Tidak susah untuk buat manik. Macam buat biskut sahaja.

"Lepas siap diuli, kita buat bentuk yang diingini dan bakar dalam ketuhar," seloroh wanita bertubuh kecil itu sambil disambut ketawa kecil beberapa pengunjung yang secara kebetulan berada di situ untuk melihat demonstrasi yang ditunjukkan.

Bagaimanapun, Litad mengakui proses membuat alat perhiasan itu memerlukan pengalaman serta kesabaran yang tinggi.

Ibu kepada enam orang zuriat itu berkata, manik boleh diperoleh dalam pelbagai warna, bentuk dan jenis selain memiliki identiti serta fungsi tersendiri.

Menurutnya, manik yang biasa menjadi pilihan termasuklah yang diperbuat daripada kaca, tanah liat, batu permata, cangkerang dan logam.

"Ada juga yang diperbuat daripada gigi, kuku atau tulang binatang seperti beruang, babi hutan, badak sumbu, landak dan tenggiling.

"Etnik Bidayuh misalnya sangat menghargai manik kaca berwarna kebiru-biruan manakala etnik Kayan menggemari manik seramik dengan corak tertentu seperti roset dan tribal.

"Masyarakat Orang Ulu dan Iban pula sinonim dengan manik-manik kecil beraneka warna yang biasa dijahit pada pakaian tradisional, bakul, bekas tembakau serta pengendong bayi.


KEMAHIRAN Litad membuat manik seramik menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara.


Buaya

Litad yang menjalankan perusahan manik seramik di Kampung Long Tuma berkata, dia mendapatkan sumber tanah liat mentah dari tebing Sungai Lawas.

Dia yang diiktiraf sebagai 'Tukang Ulung' oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan pada tahun 2013 menjelaskan, tanah liat lebih mudah digali dari dasar sungai ketika air surut.

"Kalau air pasang, kami terpaksa menyelam lebih dalam untuk mendapatkan tanah liat," katanya sambil memberitahu, sumber alam itu boleh diambil sepanjang tahun.

Bertutur lanjut, Litad berkata, aktiviti tersebut bagaimanapun jarang dilakukan ketika air pasang memandangkan buaya gemar muncul ke permukaan air pada waktu tersebut.

"Biasanya kami menjalankan kerja secara berkumpulan terdiri daripada enam hingga tujuh orang wanita.

"Bukan apa, kalau ramai, kami boleh saling menjaga keselamatan antara satu sama lain," katanya yang pernah terserempak dengan reptilia ganas itu tetapi mujurlah sempat beredar.

Berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang seni pembuatan manik seramik, Litad menerangkan, tanah liat itu kemudian dijemur di bawah terik matahari selama tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, setelah betul-betul kering, ia akan ditumbuk menggunakan lesung batu bagi mendapatkan tekstur yang halus dan sekata.

"Seterusnya, serbuk tanah liat atau napal tadi akan diayak bagi mengasingkan lebihan pasir. Proses ini penting supaya manik tidak merekah atau pecah apabila dibakar.

"Selepas itu, ia dicampur dengan air dan diuli sehingga menjadi doh sebelum dibalut di dalam plastik bagi mengekalkan kelembapan," jelasnya yang mampu menghasilkan sehingga 2,000 biji manik seramik sehari.

Litad yang mengusahakan perniagaan itu bersama anaknya, Patricia Busak berkata, manik perlu dibakar sebanyak dua kali bagi mendapatkan warna yang cantik dan berkilat.

REKA bentu manik diberi nafas baharu supaya bersesuaian dengan cita rasa pelanggan.


Harta pusaka

"Pembakaran pertama selama lapan jam dibuat pada suhu 800 darjah Celcius. Proses mewarna menggunakan cat seramik dilakukan sebelum dibakar sekali lagi dalam tempoh sama, kali ini pada suhu 1,800 darjah Celcius," katanya.

Menurut Patricia, 45, pilihan warna tradisi seperti rona hitam, merah, kuning dan putih dikekalkan bagi memelihara keunikan pembuatan manik tradisional.

Diilhamkan daripada motif flora serta corak imej tribal, manik dijadikan aksesori rantai, anting-anting, gelang tangan, hiasan kepala dan tali pinggang bagi menyerlahkan rupa paras si pemakai.

"Corak-corak ini dilukis dengan teliti supaya kelihatan seragam dengan manik-manik lain.

"Tekstur jalur pada manik juga dilorek menggunakan pencungkil gigi untuk mencipta sedikit kelainan khususnya dalam seni pembuatan manik moden," tuturnya.

Tambah Patricia, seperti emas dan perak, manik seramik turut mempunyai nilai tersendiri.

Katanya, selain digunakan sebagai perhiasan diri, ia dikumpul sebagai koleksi dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Oleh sebab ia barang warisan, seutas rantai manik tanah liat berusia ratusan tahun mampu mencecah harga ribuan ringgit, manakala sebiji manik tersebut berharga ratusan ringgit.

"Manik pusaka disifatkan sangat berharga dan diangkat sebagai simbol kemewahan yang melambangkan status sosial si pemakai dalam masyarakat.

"Dulu, manik hanya dipakai oleh golongan bangsawan, penghulu, ketua kampung atau tuai rumah.

"Bagi masyarakat Lun Bawang, 50 biji manik jenis 'bao tulong buror' yang memiliki corak jalur seperti penyedut minuman dikatakan mempunyai nilai bersamaan dengan seekor kerbau," katanya.

Seekor kerbau betina dengan berat 200 hingga 450 kilogram (kg) dijual pada harga RM700 hingga RM1,700 manakala kerbau jantan dengan berat antara 300 hingga 600 kg boleh didapati pada harga RM2,500 hingga RM4,000 seekor.

Bagaimanapun, kata Patricia, ada yang beranggapan manik terlalu berharga untuk diperdagangkan lebih-lebih lagi jika ia merupakan warisan nenek moyang.

"Manik pusaka lazimnya diwarisi oleh golongan wanita baik anak perempuan, anak saudara perempuan atau menantu perempuan.

"Bagi yang tiada waris, mereka akan dikuburkan bersama manik tersebut bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan orang lain," jelasnya.

Busukkan diri sebelum kahwin

Posted:

Busukkan diri sebelum kahwin

Busukkan diri sebelum kahwin


TEPUNG dan telur antara bahan yang dilempar kepada bakal pengantin.


MENJADI kelaziman, individu yang ingin melangsungkan perkahwinan akan pergi ke spa kecantikan bagi rawatan diri. Namun, amalan tersebut boleh dilupakan penduduk Scotland.

Ini kerana badan bakal pengantin akan dikotorkan terlebih dulu sebagai salah satu acara praperkahwinan yang merupakan tradisi masyarakat setempat.

Upacara yang dikenali sebagai blackening itu dilakukan ke atas bakal pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan.

Ia tradisi yang dianggap kotor dan menjijikkan, namun itulah budaya yang masih wujud dalam kelompok masyarakat di Scotland sehingga hari ini.

Upacara praperkahwinan itu memerlukan bakal pengantin dilempar dengan pelbagai barangan untuk mengotorkan diri mereka.

Dalam tempoh seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung, pasangan pengantin akan ditangkap secara mengejut.


DI Orkney Isles, upacara blackening dilakukan ke atas pengantin lelaki sahaja.


Sungguhpun begitu, bakal pengantin selalunya tahu apa yang bakal berlaku semasa mereka 'diculik'.

Bergantung kepada sesetengah negeri, upacara itu ada yang dilakukan ke atas kedua-dua pasangan dan ada juga hanya dikenakan ke atas salah seorang pengantin.

Misalnya, penduduk di perkampungan Balintore sekadar mengamalkan upacara tersebut ke atas bakal pengantin perempuan, begitu juga di Aberdeenshire.

Bagaimanapun, di Orkney Isles upacara blackening itu dibuat ke atas bakal pengantin lelaki sahaja.

Antara barangan yang digunakan dalam tradisi tersebut ialah telur, tepung, sirap dan cecair yang boleh menyebabkan tubuh berasa melekit, kotor dan busuk.

Selepas itu, pasangan pengantin akan dibawa berarak mengelilingi kawasan perkampungan dengan menaiki lori atau trak.

Sepanjang perjalanan itu, mereka digalakkan membuat bising sekuat yang mungkin dengan menggunakan hon kereta, jeritan, wisel, dan sorakan.


SELEPAS badan dikotorkan, pasangan akan dibawa berarak ke kawasan sekitar dengan iringan bunyi hon kenderaan dan sorakan.


Menyeronokkan

Bunyi bising tersebut dikatakan bagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa pasangan tersebut akan mendirikan rumah tangga.

Sungguhpun tradisi itu dipandang pelik oleh masyarakat luar, namun amalan ini menjadi ritual yang menyeronokkan bagi penduduk tempatan.

Warga Scotland juga percaya bentuk 'penghinaan' dengan mengotorkan pengantin ini merupakan simbolik bahawa mereka bersedia untuk menempuh cabaran mendatang.

Ritual pelik ini juga menjadi kayu pengukur bagi pengantin untuk mengenal pasti tahap kesediaan mereka untuk berumah tangga.

Malah, ada juga yang beranggapan ia sebagai ganti kepada ritual lama yang mengetengahkan tradisi membersihkan kaki dan rambut yang dilakukan orang dulu-dulu.

Mereka percaya pasangan bakal pengantin perlu dikotorkan sebelum mereka melalui satu fasa baharu yang dianggap bersih menerusi perkahwinan.

Menerusi upacara ini juga, ia dapat mengeratkan lagi hubungan sesama pasangan.

Ini kerana apabila pasangan tersebut sudah kotor, tiada siapa yang mampu mendekati mereka kecuali mereka berdua sahaja yang akan saling berdampingan.

Misteri rumah Darmo

Posted:

Misteri rumah Darmo

Misteri rumah Darmo


KELUARGA pemilik kediaman di kawasan perumahan elit Darmo Permai ini didakwa dibunuh secara misteri pada tahun 1980-an.


SURABAYA merupakan salah satu kota bersejarah di Indonesia yang memiliki cerita-cerita rakyat berunsurkan mistik.

Antara cerita yang terkenal dalam kalangan warga tempatan dan kawasan sekitarnya ialah kisah Rumah Hantu Darmo yang lebih dikenali dengan nama singkatan RHD.

Banglo yang dipercayai berhantu itu terletak di kawasan perumahan elit di Surabaya Barat iaitu Darmo Permai.

Dikatakan mereka yang benar-benar berani sahaja akan pergi ke rumah tersebut kerana kawasan itu dihuni banyak makhluk ghaib.

Terletak di Jalan Puncak Permai II, pelbagai kisah seram disampaikan dari mulut ke mulut oleh penduduk setempat.

Keadaannya yang usang sudah cukup untuk membuatkan orang ramai takut menghampirinya.

Takut

Apa yang tinggal di bangunan itu sekarang hanyalah tiang dan dinding yang merekah dan pecah. Rumah itu tidak berbumbung lagi.

"Memang betul, penduduk di sini menggelarnya rumah hantu," ujar seorang penduduk bernama Minto.

Minto memberitahu, banyak kejadian aneh yang menyebabkan dia takut walaupun sekadar memandang rumah tersebut.

Dia pernah merasai pengalaman menyeramkan semasa bekerja sebagai penjual surat khabar suatu ketika dahulu.

"Saya ingin menghantar surat khabar ke kawasan perumahan Darmo Harapan. Ketika itu waktu subuh.

"Semasa lalu di sini, saya lihat ada makhluk seperti seorang wanita mengenakan pakaian berwarna putih.

"Mahluk itu berjalan perlahan di hadapan rumah hantu ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ira, 16, berkata, dia pernah datang ke rumah tersebut pada waktu malam bersama rakannya yang memiliki 'deria keenam' iaitu kebolehan mengetahui kehadiran entiti ghaib.

"Kata rakan saya itu, dia nampak satu makhluk bertubuh besar di samping seekor harimau," ujarnya.

Menurut cerita orang lama, kejadian aneh sering berlaku sejak tahun 1980-an lagi selepas pasangan suami isteri dan tiga orang anak mereka yang menghuni rumah tersebut dibunuh secara misteri.


TINDAKAN muda-mudi yang melakukan perkara sumbang dikaitkan sebagai punca banglo ini terbakar pada tahun 1997.


Perjanjian jin

Ada juga yang cuba mengaitkan kes pembunuhan tersebut dengan tindakan penghuni rumah yang dikatakan telah membuat perjanjian dengan jin.

Menurut cerita, keluarga itu telah membuat pertaruhan nyawa dengan jin bagi mendapatkan kemewahan hidup.

Namun, atas sebab tertentu, pemilik rumah kemudian tidak sanggup lagi meneruskan perjanjian tersebut.

Jadi, mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah bot peribadi. Malangnya, bot itu karam dan tidak dijumpai sehingga kini.

Sejak itu, ramai yang mendakwa mendengar suara orang menangis dari dalam rumah tersebut pada malam hari.

Seorang pembantu rumah berumur 25 tahun yang ditinggalkan keluarga itu pula ditemui mati dibunuh di rumah tersebut.

Apa yang menyedihkan, pembunuhnya tidak diketahui hingga sekarang.

Rumah itu juga pernah terbakar pada tahun 1997 namun tiada siapa yang tahu puncanya.

Bagaimanapun, penduduk setempat percaya ia disebabkan penunggu tersebut marah apabila muda-mudi menjadikan rumah tersebut tempat untuk melakukan perkara yang tidak senonoh.

Menurut Rouf pula, setakat ini sudah tujuh kejadian pengunjung rumah berhantu berkenaan diserang histeria.

"Mungkin mulut mereka celupar semasa melawat rumah tersebut," ujar pengawal keselamatan itu yang bekerja di kawasan berdekatan rumah tersebut.

Misteri RHD turut mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan sehinggakan pihak polis terpaksa campur tangan.

"Kita kena pastikan rumah tersebut tidak didatangi orang ramai," kata Ketua Polis Daerah Sukomanunggal, M. Baderi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved