Khamis, 6 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Daging yu paus termahal di dunia

Posted:

Daging yu paus termahal di dunia

Daging yu paus termahal di dunia

BAU hanyir menusuk hidung, darah pula memenuhi lantai basah kilang itu. Ikan yang dipotong dan disiang para pekerja kilang tersebut bukan sembarangan ikan. Ia adalah ikan yang terbesar di dunia.

Penemuan aktiviti haram oleh dua lelaki daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemuliharaan marin, Wild Life Risk yang berpangkalan di Hong Kong pada penghujung Januari lalu itu mengejutkan masyarakat dunia.

Ikan yu paus, spesies yang berada dalam Senarai Merah Pertubuhan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Sekitar dan Sumber Semula Jadi (IUCN) sebagai hidupan yang berisiko diancam kepupusan dibunuh tanpa perikemanusiaan.

Ia juga spesies di bawah perlindungan China dan memburunya tanpa permit khas yang diluluskan pemerintah adalah haram.

Selepas menjalankan siasatan selama tiga tahun bermula Januari 2010 hingga Disember 2013, Alex Hofford dan Paul Hilton daripada Wild Life Risk berjaya memecahkan tembelang sebuah syarikat yang berdaftar di bawah nama China Wenzhou Yueqing Marine Organisms Health Protection Foods Co Ltd.

Rakaman video dan audio tersembunyi hasil penyamaran mereka telah mendedahkan kegiatan haram perusahaan di Pu Qi, berhampiran Wenzhou, tenggara Wilayah Zhejiang, itu.

Dalam rakaman tersebut, pengurus kilang yang dikenali dengan nama Li Guang itu sendiri memberitahu bahawa kilangnya mungkin tempat pemotongan dan penyiangan ikan yu terbesar di dunia. Setiap tahun, dianggarkan lebih 600 ikan yu paus diproses di kilangnya.

Selain yu paus, dua lagi spesies ikan yu yang bernasib malang turut ditemui iaitu yu basking dan putih.

Kenyataan daripada Biro Perikanan yang diletakkan di bawah Kementerian Pertanian China menerusi akhbar South China Morning Post menyatakan: "Pemburuan dan penjualan ketiga-tiga spesies yu itu adalah haram di tanah besar China dan pesalah boleh dihukum dengan denda atau penjara."


Yu paus bersaiz besar yang ditangkap hidup-hidup mampu dijual pada harga RM103,183 seekor.


Pembunuhan kejam

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wild Life Risk: "Bagaimana hidupan tidak berbahaya dan mesra ini sanggup dibunuh dalam skala yang besar.

"Terlalu banyak pembunuhan dan kekejaman dilakukan dalam satu tempat. Ia sangat menyayat hati lebih-lebih lagi apabila anda pernah berenang bersama mereka."

Hofford dan Hilton yang berkunjung ke kilang itu sebanyak tiga kali dengan menyamar sebagai pembeli menambah, siri siasatan yang dijalankan turut meliputi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Hasil ujian yang diperoleh dari makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu mendapati, ikan yang digunakan dalam produk keluaran kilang itu bukanlah ikan tilapia seperti yang tertera pada label produk. Namun, ia mengesan DNA tiga ikan yu jenis basking, putih dan paus.

Selain yu paus, basking dan putih juga adalah spesies terlindung di bawah Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

Sebarang perdagangan antarabangsa melibatkan produk hasil daripada spesies terancam atau yang terletak di bawah kawalan CITES adalah haram. China juga merupakan salah sebuah negara yang menandatangani perjanjian CITES.

Relevan di sebalik pembunuhan kejam ikan yu paus bertujuan memenuhi permintaan industri besar dalam pasaran global. Sebahagian besar dijadikan produk kecantikan seperti lipstik dan krim muka untuk dihantar ke negara Barat. Suplemen kesihatan yang diproses menjadi minyak ikan yu.

"Tambah menghampakan apabila mendapat tahu pembunuhan spesies ini adalah bagi menghasilkan barangan bukan keperluan asas untuk orang-orang kaya," luah Hofford.

Hofford dan Hilton juga memberitahu bahawa kulit ikan yu itu dijual dalam pasaran beg kulit. Perut, daging dan mulut ikan itu pula dijual kepada restoran-restoran untuk dijadikan menu pilihan kepada pelanggan.

Daging ikan yu yang dijual ditawarkan dalam bentuk segar, sejuk beku atau diasinkan. Hatinya pula diproses untuk dijadikan minyak, sirip untuk sup, organ dalaman bagi penggemar makanan eksotik manakala rawan diekstrak menjadi herba Cina.


LEBIH 600 ekor yu paus dibunuh dan diproses di kilang di Pu Qi ini dalam tempoh setahun.


Daging termahal

Guang seperti yang didedahkan dalam rakaman video itu mengaku menjual daging ikan yu kepada Taiwan sebagai tukaran untuk tulang dan kulit. Biarpun Taiwan telah mengharamkan pemburuan yu paus sejak enam tahun lalu, Guang masih aktif berjual beli dengan nelayan di sana.

Difahamkan, daging yu paus adalah antara yang termahal di dunia dan dijual pada harga tinggi di kebanyakan negara Asia seperti Taiwan. Kira-kira 10,000 kilogram (kg) daging ikan itu dijual pada harga mencecah AS$21,4000 (RM71,390).

Begitupun, penjana keuntungan paling lumayan adalah minyak ikan yu. Ia diekstrak untuk dijadikan produk penjagaan kulit, pengilat kasut dan lipstik.

Sementara itu, pengurus kilang itu turut mendedahkan bahawa sebelum dieksport ke luar negara, minyak itu terlebih dulu dihantar ke sebuah kilang milik Syarikat Bio-farmaseutikal Produk Marin Hainan Jianhua yang terletak di Pulau Hainan.

Di situ, ia dicampur bersama minyak ikan yu pelbagai jenis sebagai persediaan untuk dieksport ke negara Barat seperti AS, Kanada dan Itali.

Wild Life Risk berjaya mengesan sebuah syarikat yang menerima produk tersebut: Omojo yang berpangkalan di Washington, AS. Laman web Omojo menyatakan: "Kami mengawal 100 peratus kualiti produk daripada proses awal hingga akhir."

Sirip ikan yu paus yang dikeringkan di Pu Qi pula dihantar ke Guangzhou untuk dijual kepada pengusaha restoran. Bahagian tersebut sering dijadikan hiasan restoran kebanyakan peniaga.

Sirip yang besar diikat dengan reben merah dan digantung pada jendela restoran yang menjual sup sirip ikan yu bagi menarik pelanggan.

Pemerhatian dalam satu hari pada tahun 2012 oleh Wild Life Risk mendapati, sebanyak 260 sirip besar, 136 daripadanya milik yu paus dan selebihnya daripada yu basking dan putih dijual di pasar kering makanan laut di Guangzhou.

Ironinya, para aktivis percaya bahawa kilang di Pu Qi hanyalah salah satu daripada rantaian perdagangan bagi yu paus di perairan China.

Ikan-ikan yu yang berada di kilang itu dipercayai ditangkap dari perairan Laut China Selatan ketika hidupan itu melintasi laluan migrasi mereka.


SIRIP ikan yu yang dijual kepada pengusaha restoran dijadikan menu tarikan kepada pengunjung.


Saiznya yang besar, pergerakan perlahan dan kebiasaan berenang hampir dengan permukaan air menjadikan ia mangsa mudah untuk ditangkap.

Kawasan lain yang dilalui yu paus termasuklah lokasi popular di Terumbu Ningaloo; pesisir barat laut Australia, perairan Indonesia, Filipina dan Mexico.

Yu paus bersaiz besar yang ditangkap hidup-hidup mampu dijual pada lingkungan harga AS$31,000 (RM103,183) di pelabuhan. Ia dilaporkan dijual oleh para nelayan oportunis yang berada di jeti pelabuhan.

Bagaimanapun, siasatan mendedahkan bahawa ikan yu paus hanya boleh diperoleh daripada nelayan China selepas melalui beberapa peringkat termasuk agen dan orang tengah.

Hentikan makan sirip yu

Terdapat pertikaian menarik tentang melindungi yu paus di habitat asalnya. Hidupan yang jarang ditemui itu dikatakan lebih bernilai ketika hidup daripada mati.

Kumpulan Alam Sekitar Pew menyatakan: "Ekopelancongan menjadi bukti bahawa ia satu penjana ekonomi yang lebih menguntungkan berbanding industri perikanan.

"Pelancongan yu paus, khususnya daripada rekreasi menyelam dianggarkan bernilai AS$47.5 juta (RM158.46 juta) di seluruh dunia."

Pengurus program Wild Aid China, NGO yang berpangkalan di AS dan China, May Mei pula menyeru agar masyarakat menghentikan masyarakat memakan sup sirip ikan yu.

"Sistem kawalan kami sahaja tidak cukup. Kita perlu mendidik para nelayan mengenali spesies terlindung. Pengawasan di semua peringkat juga perlu diperbaiki termasuk jabatan kastam," saran Mei.

Sementara itu, pendedahan oleh Wild Life Risk itu bakal dipaparkan dalam dokumentari rencana berjudul The Heist. Ia merupakan hasil kerjasama Wild Life Risk dengan pengarah yang memenangi Anugerah Oscar pada 2009 menerusi dokumentari The Cove, Louie Psihoyos.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved