Ahad, 2 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pengguna bimbang keselamatan diri

Posted:

Pengguna bimbang keselamatan diri

Pengguna bimbang keselamatan diri

SUASANA di sekitar Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) di Subang Jaya, Selangor pada petang itu agak sesak dengan kenderaan yang ingin pulang ke rumah masing-masing selepas tamat waktu bekerja.

Dalam kesesakan itu, kelihatan kelibat beberapa buah motosikal cuba melepasi ratusan kenderaan yang bergerak perlahan di atas lebuh raya dengan menyusuri laluan kecemasan.

Itulah situasi yang sering dialami oleh seorang penunggang motosikal, Mohd. Azwan Abdul Hei, 28, yang berulang alik dari Cheras, Kuala Lumpur ke tempat kerjanya di Subang Jaya, Selangor sejak tiga tahun lalu.

Setiap hari dia akan menunggang motosikal di laluan utama berbanding lorong khas motosikal yang telah disediakan oleh pihak konsesi lebuh raya.

Menurut Mohd. Azwan, keputusannya memilih jalan utama berbanding lorong motosikal yang disediakan ialah enggan pisang berbuah dua kali. Pengalaman dirompak ketika menggunakan lorong tersebut dua tahun lalu menyebabkan dia trauma menggunakan kemudahan tersebut.

"Kejadian tersebut berlaku ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Pada masa itu saya sangat yakin berhubung keselamatan saya ketika menggunakan laluan tersebut dan tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk bakal menimpa diri," ceritanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dirompak

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Setibanya Mohd. Azwan di satu selekoh yang jauh dari laluan utama, dia terlihat kelibat sebuah motosikal dalam keadaan melintang di tengah-tengah laluan motosikal.

Dalam fikirannya, kemungkinan motosikal tersebut terlibat dalam kemalangan. Tanpa berfikir panjang Mohd. Azwan terus memberhentikan motosikal Yamaha Lagenda miliknya bagi mengenal pasti situasi sebenar yang berlaku.


JALAN berlopak merupakan salah satu faktor penunggang motosikal enggan menggunakan lorong khas motosikal yang telah disediakan. - Gambar hiasan


"Selepas saya memberhentikan motosikal, tiba-tiba tiga lelaki bertopi keledar muncul iaitu dua dari depan dan seorang dari arah belakang muncul dengan mengacukan pisau ke leher. Mereka memaksa saya menyerahkan semua barang berharga yang ada," kata pekerja swasta itu.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, perasaannya ketika itu tidak dapat digambarkan apabila perompak mengacukan pisau ke lehernya. Ketika itu, dia lebih memikirkan keselamatan diri berbanding harta benda.

Menurut Mohd. Azwan, dalam kejadian tersebut, dia mengalami kerugian wang tunai RM50, sebuah komputer riba dan dua buah telefon bimbit selain rantai motosikalnya turut dipotong oleh perompak sebelum mereka beredar.

"Saya bersyukur kerana tidak diapa-apakan oleh kumpulan perompak tersebut, namun selepas peristiwa itu saya begitu trauma untuk menggunakan laluan khas motosikal lagi," kata Mohd. Azwan yang hanya akan menggunakan lorong khas tersebut jika ditemani oleh rakannya.

Jelasnya, dia bukan sengaja mengambil risiko mempertaruhkan nyawa berhimpit-himpit dengan kenderaan lain di laluan utama tetapi terpaksa berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Sementara itu, seorang lagi penungang motosikal yang mahu dikenali sebagai Azrey Kamarulzaman, 24, berpendapat, laluan khas motosikal hanya selamat digunakan pada waktu siang sahaja.

Menurut anak jati Pulau Pinang itu, keadaan jalan di laluan tersebut yang terlalu gelap pada waktu malam merupakan punca utama penunggang motosikal enggan menggunakan laluan itu.

"Laluan ini sangat gelap sehingga menimbulkan rasa takut dan menyeramkan pada waktu malam. Saya lebih rela disaman pihak polis kerana menggunakan jalan utama berbanding laluan motosikal.

"Keadaan ini berpunca daripada kurangnya lampu jalan di laluan tersebut, kalau ada pun keadaannya tidak sebaik di laluan utama," katanya.

Tambah pegawai pemasaran di sebuah bank itu lagi, antara faktor lain yang menyebabkan penunggang motosikal enggan menggunakan lorong khas motosikal ialah keadaan jalan yang berlopak, berpasir dan berlumut.


MOTOSIKAL merupakan penyumbang utama statistik kemalangan maut di negara ini.


Ujarnya, situasi sedemikian berlaku disebabkan kurangnya penyelenggaraan daripada pihak konsesi sehingga meningkatkan risiko kemalangan.

"Saya dapati lorong khas motosikal terutamanya di ibu negara tidak selamat kerana terdapat banyak lopak yang dibiarkan terlalu lama sebelum dibaik pulih," katanya sambil menunjukkan keadaan tayarnya yang rosak akibat lopak besar di laluan tersebut.

Kurang selesa

Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa kurang selesa terhadap keadaan susur keluar masuk di lorong tersebut yang dianggap tidak selamat dan berbahaya.

Ujarnya, keadaan sekitar susur keluar masuk di laluan itu memaksa penunggang motosikal melihat keadaan di sekeliling terlebih dahulu sebelum menggunakan lorong tersebut.

"Keadaan ini betul-betul berbahaya kerana ia mengundang risiko dilanggar dari arah belakang sekiranya penunggang motosikal masuk atau keluar dari susur tersebut sesuka hati," katanya.

Lain pula pendapat yang dilontarkan oleh seorang pemandu, Muhammad Fikri Azizan, 27. Menurut Muhammad Fikri, kewujudan laluan khas motosikal sangat membantu dalam mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama terutamanya ketika waktu puncak.

Menurut juruteknik di sebuah syarikat swasta itu, kewujudan laluan khas motosikal memberi lebih keselesaan kepada pemandu kereta ketika memandu kerana tidak perlu berasak-asak bersama penunggang motosikal di laluan utama.

Ceritanya, dia sering mengalami situasi cemas ketika hendak menukar lorong walaupun sudah memberi isyarat kerana sering dihimpit motosikal.

"Sukar bagi pemandu untuk menukar lorong kerana mereka perlu memastikan tiada motosikal berada berhampiran kenderaan saya bagi mengelakkan berlakunya pergeseran dan kemalangan.

MENUNGGANG berseorangan di laluan khas motosikal membuka ruang kepada penjenayah.


"Cermin sisi kereta saya sendiri sudah beberapa kali dilanggar penunggang motosikal dan pecah akibat dilanggar motosikal, namun apa lagi yang boleh saya lakkan kerana jalan sudah menjadi semakin sempit terutama pada waktu puncak," jelasnya.

Menurut Fikri, dengan adanya lorong motosikal ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya kemalangan, terutamanya yang membabitkan motosikal.

Motosikal merupakan penyumbang utama statistik kemalangan maut di negara ini, sehubungan itu pihak berkuasa perlu perbanyakkan lorong motosikal terutamanya di beberapa lebuh raya sekitar ibu negara.

"Saya berharap lorong motosikal dapat ditambah di beberapa laluan terutamanya di laluan yang sesak bagi mengurangkan kemalangan. Antaranya ialah Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

"Saya juga berharap pihak konsesi dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan lorong motosikal sedia ada bagi mengelakkan penunggang motosikal memasuki laluan utama," katanya.

Kejayaan perniagaan dalam tiga minit

Posted:

Kejayaan perniagaan dalam tiga minit

Kejayaan perniagaan dalam tiga minit


USAHAWAN wanita di New York diberi masa tiga minit untuk membina rangkaian kenalan baharu bagi mengembangkan perniagaan mereka.


MEREKA adalah usahawan wanita yang terdiri daripada penulis blog, jurutera dan chef yang mengimpikan kejayaan yang dikecapi Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg atau Ketua Pegawai Eksekutif General Motors, Mary Barra.

Bagi merealisasikan impian tersebut, mereka telah menemui satu senjata baharu iaitu acara jalinan rangkaian ala temu janji kilat. Namun demikian, tiada lelaki yang dibenarkan untuk turut serta.

Laungan 'Satu, dua, tiga, tukar!' dan 'Satu, dua, tiga, alih!' mula bergema. Peserta-peserta wanita ini berinteraksi sesama mereka di festival tahunan usahawan wanita anjuran Program Telekomunikasi Interaktif (PTI) di Universiti New York, Amerika Syarikat (AS).

Prosedur

Hampir 280 orang wanita daripada pelbagai peringkat umur dan profesion diberikan masa tiga minit untuk mengenali antara satu sama lain, bertukar maklumat perniagaan dan kad sebelum bertukar kepada individu lain.

Kaedah itu seumpama sama dengan fenomena temu janji kilat yang bermula sejak sedekad lalu yang membuka peluang kepada lelaki dan wanita bujang berkenalan dan diharapkan, berkasih-kasihan.

Sementara itu, suasana menjadi semakin riuh apabila sesi temu janji kilat bermula.

Pasangan wanita berkumpul dan bertukar pasangan temu janji mereka sebelum bertukar kad perniagaan masing-masing.

Ada yang mengangguk kepala dan tersenyum, ada juga yang menguap, tertawa besar atau khusyuk memberi tumpuan sebelum pengacara majlis mengarahkan mereka bergerak untuk bertukar pasangan.

"Kami menyediakan video ringkas yang menyeronokkan untuk meningkatkan populariti individu dalam talian," kata seorang artis multimedia yang berpangkalan di New York, O Zhang.

Kedengaran pasangannya berkata, 'berikan saya kad anda'.

Dari jauh, Milena, seorang wanita berumur dengan mesra mendekati seorang wanita muda yang telah menarik perhatiannya.

"Anda sedang mencari seseorang untuk bercakap?" soalnya sambil memperkenalkan diri sebagai bekas pengarah teknologi yang akan memulakan sebuah projek baharu bersama pengasas laman web Nearly Newlywed, Jacqueline Courtney.


PELANTIKAN Barra sebagai peneraju General Motors memberi inspirasi kepada wanita berkerjaya di Amerika Syarikat.


Laman web tersebut membolehkan pasangan pengantin membeli dan menjual semula pakaian perkahwinan mereka.

Prosedur acara amat mudah, kata Nancy Hechinger yang merupakan seorang ahli ITP dan pengasas bersama acara berkenaan.

"Peserta diberi tiga minit untuk memperkenalkan diri, perniagaan dan minat mereka dalam keadaan kelam-kabut yang terkawal," ujarnya.

Tanpa tekanan

Ejen hartanah, Rosemarie Gambetta mahu menjadikan blog beliau, www.cheapeatsinc.com sebagai rujukan dalam talian, aplikasi mudah alih dan sebuah perniagaan untuk mendapatkan maklumat tentang restoran yang menawarkan sajian pada harga berpatutan.

Gambetta memberitahu, bahawa acara itu merupakan aktiviti yang baik tanpa sebarang tekanan untuk bertemu dengan lelaki.

"Wanita tidak perlu menjual diri mereka, anda tidak perlu menjadi terlalu liar dan agresif untuk menarik perhatian," katanya.

Pemilik laman web aktiviti kanak-kanak www.fidifalimilies.com, Denise Courter berkata, temu janji kilat itu merupakan satu peluang bertemu dengan wanita inspirasi.

"Kebanyakan persidangan yang saya sertai dihadiri oleh lelaki, tetapi persidangan ini memberi tumpuan kepada wanita dan ia sangat menarik kerana kami dapat membantu antara satu sama lain untuk berjaya," katanya.

Di sebalik kisah kejayaan berprofil tinggi seperti yang dikecapi Barra, hanya 15 peratus daripada syarikat di AS dan 4.5 peratus syarikat bertaraf Fortune 1,000 dikendalikan oleh wanita.

Anne-Marie Slaughter, yang telah mencetuskan kontroversi pada tahun 2012 melalui satu artikel di majalah The Atlantic dengan bertanyakan adakah ia benar-benar mustahil bagi seorang ibu yang berkerjaya untuk memiliki segalanya, telah membuka forum tersebut.

"Inilah tempatnya yang memberi galakan kepada wanita untuk bermula dengan cara mereka sendiri," katanya.

Slaughter melepaskan kerjaya di Jabatan Negara AS untuk bekerja di Universiti Princeton bagi membolehkannya meluangkan lebih banyak masa menguruskan dua orang anak lelakinya.

"Usahawan lelaki biasanya mengenali usahawan lain. Saya tahu jalinan rangkaian perniagaan ini amat penting, khususnya apabila kita merupakan golongan minoriti," katanya.

Bagi pengasas DatingbyThreeDegrees.com, Katie Boyko, setiap individu dalam bilik berkenaan merupakan pelanggan yang berpotensi. – AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved