Isnin, 17 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Et rentas dari China ke Pakistan

Posted:

Et rentas dari China ke Pakistan

Et rentas dari China ke Pakistan

Dalam tempoh 37 hari, Et yang berkelana sejauh 6,077 km merentas China hingga ke Pakistan hanya membelanjakan RM2,000, malah berjaya melewati lebuh raya paling bahaya di dunia.


GAMBAR wanita tua duduk di ruang tamu dalam sebuah gua yang menjadi tempat tinggalnya di Ghizer, Pakistan.


SEBAIK sahaja redup bayang-bayang senja melatari landskap gua batu dan padang gurun di bandar purba itu, Siti Noridah Ab. Rahman, 30, merasakan ada sesuatu yang tidak kena sewaktu dia berjalan kaki melewati kawasan tersebut.

Rupa-rupanya ada seekor anjing meluru ke arahnya membuatkan wanita itu berlari sambil menggalas beg seberat 12 kilogram (kg) untuk menyelamatkan diri.

Pengalaman lucu yang mendebarkan itu dialami di Dunhuang, China masih terpahat kemas dalam ingatannya ketika mengembara secara solo selama 37 hari merentasi bumi China hingga ke Pakistan. Pengalaman manis dan pahit disimpan kemas dalam lipatan kenangan agar menjadi pedoman bagi pengembaraan akan datang.

Siti Noridah yang selesa dipanggil Et merupakan pegawai teknologi maklumat di institusi swasta di ibu negara. Dia memulakan misi kembara solo melalui Laluan Sutera dari Chengdu di China merentasi beberapa bandar sebelum menamatkan perjalanan di destinasi terakhir iaitu Islamabad di Pakistan.

Apa yang memeranjatkan, wanita kental itu memberitahu, dia hanya menghabiskan kira-kira RM2,000 bagi kos perbelanjaan berkelana sejauh 6,077 kilometer (km).

Seperti pengembara lain, Et menyediakan perancangan rapi sebelum memulakan pengembaraan tersebut. Tidak ketinggalan, dia turut mendapatkan insurans perjalanan daripada syarikat AIA bagi perlindungan keselamatan.


ET merakam gambar kenangan dengan penduduk setempat di Gupis, Pakistan.


Tidak mudah

Namun, misi yang ditempuh tidak semudah yang diharapkan. Lebih-lebih lagi apabila maklumat mengenai laluan yang ingin diredah tidak banyak terdapat di internet terutamanya tentang Pakistan.

"Selain maklumat yang agak terhad, saya menghadapi masalah ketika membuat permohonan visa di Suruhanjaya Tinggi Pakistan (STP) yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Saya perlu melampirkan surat jemputan dan salinan pasport kenalan dari Pakistan bagi memastikan permohonan visa diluluskan. Ia melambatkan proses permohonan kerana syarat tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam borang yang disediakan," ujarnya yang perlu menghadiri sesi temu duga dikendalikan oleh STP bagi melengkapkan permohonan tersebut.

Pengembaraan Et bermula dengan penerbangan selama empat jam 25 minit ke Chengdu yang terletak di Wilayah Sichuan, barat daya China. Di Chengdu, dia menginap di rumah couchsurfer (CS), Jiang yang merupakan wanita tempatan.

CS merupakan gelaran kepada pemilik akaun laman sosial Couchsurfing. Laman tersebut menyediakan ruang kepada ahlinya untuk mencari atau menjadi hos penginapan kepada pelancong dari seluruh dunia secara percuma.


ET dijamu oleh masyarakat tempatan di Pakistan dengan hidangan capati dan ikan goreng ketika dipelawa ke rumah mereka.


Kebanyakan CS yang dikenalinya sangat arif dengan lokasi makanan halal dan banyak membantunya untuk bergaul dengan masyarakat setempat.

"Ada satu tempat yang saya kunjungi merupakan pekan kecil yang tiada komuniti Islam. Saya terpaksa makan makanan segera atau mi sahaja selama 12 hari," ceritanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bandar Chengdu dihiasi dengan landskap bandar yang moden seperti bandar-bandar utama dunia. Biarpun bandar tersebut besar dan maju, penduduknya kelihatan agak tenang dan santai. Mereka gemar melakukan senaman aerobik di taman-taman terutama pada waktu petang.

Laluan Sutera

Lain pengembara, lain cita rasa kembaranya. Et memilih untuk menjelajah Laluan Sutera kerana sangat berminat untuk melihat perbezaan etnik dan gaya hidup masyarakat terutama di kawasan pedalaman.


BEGINILAH pakaian yang dipakai wanita di Kashgar pada setiap hari.


Selepas Chengdu, Et meneruskan pengembaraan ke bandar Xi'an, wilayah Shaanxi, China dengan menaiki kereta api selama 16 jam. Setibanya di bandar yang didiami kira-kira 5.25 juta penduduk itu, Et memilih tempat penginapan ala asrama bagi menjimatkan kos.

Tatkala Et memberitahu pengalamannya berkunjung ke muzium Tentera Terracotta, Xi'an yang dibina sejak 2,222 tahun lalu, terbayang-bayang gerakan kung fu bintang ternama China, Jackie Chan yang beraksi di muzium tersebut menerusi filem The Myth pada tahun 2005.

Muzium tersebut dipenuhi 8,000 patung tentera, 520 kuda dan 150 pasukan tentera berkuda. Matanya seakan-akan terpaku melihat keunikan setiap patung yang dihasilkan daripada tanah liat kerana tidak ada satu pun patung yang serupa antara satu sama lain.

Menurut sejarah, sekumpulan pekerja menjalankan kerja mengorek perigi di luar bandar Xi'an pada 1974. Tanpa diduga, satu penemuan arkeologi terbesar di dunia terbenam di lokasi berkenaan. Ia tidak ubah seperti lautan askar yang sedia bertempur di medan perang.

Melalui tulisan sejarah mahkamah, Siam Qian, askar tanah liat itu dibina dengan kerahan tenaga 700,000 hamba atas titah Maharaja Qin Pertama. Titah tersebut bertujuan untuk melindungi maharaja berkenaan di alam akhirat selepas kemangkatannya.

Tambah Et, bandar Xi'an disifatkan sebagai kota penuh bersejarah dan ia dikelilingi dengan tembok lama sepanjang 13.74km dan setebal 12 hingga 16 meter (m).

"Selagi anda berada dalam kawasan yang dikelilingi tembok, itu bermakna anda masih di dalam bandar Xi'an," tambahnya yang gemar menjelajah ke kawasan terpencil berbanding pusat bandar.


MASYARAKAT di Kashgar, Xinjiang, China masih mengamalkan sistem perniagaan ala barter melibatkan haiwan ternakan, pakaian dan barangan kraf.


Wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu menggemari aktiviti mendaki semasa mengembara. Dia sentiasa membawa kelengkapan seperti kasut, sandal, selipar, beg tidur dan lampu kepala mengikut keperluan destinasi yang dituju.

Formasi gunung

Biarpun belum puas menerokai keunikan di segenap 'bandar tembok' tersebut, Et meneruskan jua pengembaraan Laluan Sutera sejauh 1,150 km (12 jam) ke bandar Zhangye. Di sana, terbentang luas pemandangan menakjubkan formasi gunung berwarna-warni yang dipanggil Batu Warna-warni Danxia.

Matanya terpaku melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Ia seolah-olah kanvas lukisan tiga dimensi yang dilimpahi ledakan warna terang pada gugusan gunung batu kapur seluas 73,945 hektar.

Sepanjang perjalanan merentasi beberapa bandar, Et menghadapi masalah komunikasi kerana rata-rata masyarakat di China tidak boleh berbahasa Inggeris terutama penduduk di kawasan pedalaman.

Menyedari hakikat tersebut, Et mencari jalan penyelesaian dengan meminta bantuan pekerja hostel untuk menulis perkataan atau nama tempat dalam bahasa Cina. Dia menunjukkan kertas tersebut kepada penduduk tempatan untuk memudahkan mereka berkomunikasi.

"Mereka memang tidak pandai langsung berbahasa Inggeris dan tidak memahami tulisan rumi. Pada masa sama, saya ada juga belajar perkataan-perkataan asas dalam bahasa Cina.

"Contohnya, ayat seperti 'berapa harga ini?' (barang atau tiket) dan perkataan stesen bas serta kereta api," jelasnya.

Seterusnya, Et menyambung kembara solonya ke lima bandar China lain iaitu Dunhuang, Urumqi, Kashgar, Karakul dan Taskurgan sebelum ke Pakistan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved