Sabtu, 15 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Itik lima rasa Ombong Salai

Posted:

Itik lima rasa Ombong Salai

Itik lima rasa Ombong Salai

MENYUSURI laluan Hulu Langat dari Batu 9 hingga ke pekan Batu 14 terasa bagaikan sedang pulang ke kampung. Apa tidaknya, di sepanjang bahu jalan ada sahaja gerai-gerai yang menjual kuih-muih Melayu dan buah-buahan tempatan.

Suasana akan lebih meriah pada hujung minggu tatkala ramai warga kota berpusu-pusu menuju ke lokasi perkelahan di daerah di negeri Selangor ini seperti Air Terjun Sungai Congkak dan Sungai Gabai.

Tiba-tiba tumpuan mata tertampan oleh pemandangan itik salai yang digantung berderet di samping ikan keli, ayam dan daging batang pinang.

Sememangnya produk yang diketengahkan Ombong Salai Enterprise di Batu 12, Hulu Langat ini menjanjikan kelainan.

Ketika kru Jurnal menjejakkan kaki ke gerai milik Mohd. Zahari Zainal, 48, itu dia sedang asyik melayan pelanggan. Malah, semasa temu bual berlangsung dia juga terpaksa meninggalkan sesi itu sekali-sekala kerana pelanggan tidak henti-henti singgah untuk mencari makanan kegemaran.

"Beginilah rutin harian saya di gerai ini. Tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli, Alhamdulillah," ujarnya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Orang Negeri Sembilan sinonim dengan makanan salai. Malah, dikatakan makanan salai terbaik hanya ada di Kuala Pilah. Di sana, mereka turut menyalai semua jenis ikan dan burung puyuh selain ayam, itik dan daging.


TEKNIK mengawal bara api sangat penting semasa menyalai makanan.


Tetapi bukan semua warga kota sanggup memandu kereta selama lebih dua jam untuk ke sana semata-mata mahu mencari makanan salai. Jadi, dalam situasi inilah Mohd. Zahari muncul dengan produk salai Kuala Pilah tetapi dijual di Hulu Langat yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan sahaja dari bandar raya Kuala Lumpur.

Itik panggang

Menurutnya, idea itu diperoleh selepas dia tercari-cari jenis perniagaan yang ingin diusahakan sebagai sumber pendapatan.

"Boleh dikatakan kebanyakan ahli keluarga saya berniaga, tetapi saya hendak mencari perniagaan yang kurang persaingan supaya boleh bertahan lama.

"Sebab itu saya menjual makanan salai bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

"Selama tiga bulan saya memikirkan idea perniagaan ini dan akhirnya terlintas di fikiran untuk membawa menu dari Kuala Pilah ke Hulu Langat," jelas bapa kepada empat orang anak ini.

Memulakan operasi dari pukul 11 pagi hingga 7 malam, antara yang menarik di gerai ini ialah menu itik panggang dan itik salainya.

Ini kerana pelanggan akan dapat menikmati lima rasa berlainan seperti manis, pedas, beraroma dan rasa salai apabila menjamahnya.

"Sambutan pelanggan sangat menggalakkan. Sekarang saya perlu menyediakan bahan mentah dalam kuantiti dua kali ganda lebih banyak berbanding semasa mula-mula berniaga dua tahun lalu.

"Sudah tentu menu itik juga mendapat permintaan yang tinggi," katanya.

Sebelum menyiapkan tempahan pelanggan, Mohd. Zahari terlebih dahulu akan bertanya sama ada mereka mahukan itik yang dipanggang atau disalai kerana kedua-duanya berbeza.


PENGGUNAAN tempurung, sabut kelapa dan kayu getah menambahkan lagi aroma pada makanan salai.


Jelasnya, itik panggang boleh dimakan begitu sahaja manakala itik salai perlu dimasak selepas itu sama ada dibuat masak lemak cili api, kari atau rendang.

"Ada juga pelanggan yang tidak tahu perbezaan kedua-dua kaedah itu, jadi saya akan menerangkannya terlebih dahulu," ujarnya.

Menurut Mohd. Zahari, dia menggunakan itik daging yang turut dikenali sebagai itik nila, itik air, itik peking dan itik putih sebagai bahan utama memandangkan itik itu sedap dipanggang.

Mohd. Zahari turut menghidangkan daging itik kepada kru Jurnal. Walaupun ini kali pertama mencubanya, hati sudah tertawan untuk menjamahnya lagi.

"Keenakan lima rasa yang diperoleh daripada itik salai ini hasil penggunaan ramuan herba tertentu. Dua perasa digaul semasa itik ini diperap manakala tiga perasa lagi ditambah ketika disalai atau dipanggang.

"Sebenarnya makanan salai sangat sinonim dengan masyarakat Kuala Pilah. Orang di sana percaya sedap atau tidaknya sesuatu makanan salai itu bergantung kepada teknik mengawal bara api," ujarnya yang mempelajari teknik itu sejak kecil.

Kayu getah

Mohd. Zahari memberitahu, proses menyalai itik tersebut selama sejam diperlukan bagi mengeluarkan minyak daripada haiwan berkenaan.

"Proses itu sama sahaja untuk semua jenis makanan salai lain seperti ayam kampung, daging dan ikan keli.

"Itik dibaringkan di atas para terlebih dulu sebelum diangkat dan digantung di atas bara untuk mengeluarkan lebihan minyak.

"Daging itik yang disalai mempunyai tekstur yang lebih padat dan memudahkan kerja-kerja memasak berbanding daging yang tidak disalai.

"Daging biasa kurang sedap untuk dibuat rendang atau masak lemak cili api," katanya yang menjadikan laman Facebook sebagai medium promosi.

Tambah Mohd. Zahari, kayu getah, rambutan dan sabut kelapa digunakan dalam proses menyalai.


SELAIN itik, ayam kampung, ikan keli dan daging batang pinang turut dijual di gerai yang terletak di Batu 12, Hulu Langat, Selangor ini.


"Bara yang terhasil daripada kayu getah berbeza kerana baranya mengurangkan bau asap tetapi sebaliknya dapat memberikan aroma kepada bahan yang disalai.

"Jika dilihat dengan mata kasar, pasti ada yang beranggapan tugas menyalai ini senang tetapi sebenarnya tidak semudah yang disangka malah memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Bukan hanya perlu bermandi asap tetapi juga proses menyalai kesemua itik di gerai ini mengambil masa yang lama iaitu sehingga dua jam dan perlu sentiasa dijaga rapi," jelasnya sambil memberitahu, harga bagi itik salai bermula dari RM53 hingga RM60 seekor bergantung kepada saiz yang diinginkan pelanggan.

Ujar Mohd. Zahari, dia mendapat bekalan itik segar daripada pembekal tempatan khususnya ladang di sekitar Semenyih, Selangor serta Tanjung Ipoh yang terletak di Kuala Pilah.

"Jika dibandingkan ayam dan itik salai, minyak yang dikeluarkan itik salai menjadikan hidangan itu lebih sedap, sedangkan ayam mengeluarkan rasa salai sahaja," ujarnya yang mendakwa belum pernah menerima komen negatif daripada pelanggan berhubung produk salai keluarannya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nazura Shamsuddin, 39, memberitahu, keenakan makanan salai keluaran Ombong Salai Enterprise tidak diragukan lagi.

"Saya sering membeli makanan salai yang dijual di gerai ini apabila bertugas di sekitar Hulu Langat. Gerai ini membolehkan saya mendapatkan bekalan makanan salai tanpa perlu pulang ke kampung.

"Selain harganya yang berpatutan, hasil salaiannya juga sekata apatah lagi makanan salai menjadi kegemaran saya sekeluarga," katanya yang turut mempromosikan gerai tersebut kepada rakan-rakannya.

Amarah sampah Padang Siding

Posted:

Amarah sampah Padang Siding

Amarah sampah Padang Siding

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


PUSAT Pelupusan Sampah Padang Siding, Arau, Perlis mula terbakar sejak Selasa lalu.


PUSAT Pelupusan Sampah Padang Siding yang terletak di Ulu Pauh, Arau, Perlis menunjukkan 'amarahnya' Selalu lalu apabila berlaku kebakaran di situ yang didakwa berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh pemungut barangan kitar semula.

Kebakaran itu menyebabkan asap tebal memenuhi ruang udara kawasan sekitar. Ia turut menyebarkan bau busuk dan menerbangkan habuk yang menjejaskan pemandangan pemandu kenderaan.

Daerah Arau ibarat diselubungi jerebu. Menghampiri tapak pelupusan sampah yang beroperasi sejak tahun 2007 itu ternyata memedihkan mata manakala hidung ditusuk bau asap yang busuk.

Penduduk berhampiran pula terpaksa memakai topeng muka untuk mengelak daripada menyedut asap.

Kebakaran itu juga mengganggu sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pauh dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min yang terletak kurang 3 kilometer dari tempat kejadian.

Seorang penduduk, Ramli Md. Noor, 52, berkata dia berasa sakit kepala selepas menghidu asap kebakaran itu.

"Sebelum ini, saya tidak pernah mengalami sakit kepala seperti ini. Asap itu turut menjejaskan perniagaan ayam proses saya," katanya.

Rakannya, Riduan Idris, 35, pula terpaksa menempuh jalan yang dilitupi asap tebal untuk menghantar anaknya ke sekolah.

"Saya cuma khuatirkan kesihatan anak saya memandangkan kanak-kanak lebih mudah terkena penyakit," katanya yang berumur 47 tahun.

Kesan langsung kebakaran itu lebih dirasakan oleh penduduk seperti D. Selvakumari, 47.

"Saya tidak selesa untuk duduk di rumah kerana jaraknya cuma 100 meter dari tapak pelupusan sampah itu. Sesak nafas saya dibuatnya," katanya.


SEKOLAH Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min antara dua buah sekolah yang terpaksa ditutup sejak Khamis lalu.


Pusat Pelupusan Sampah Padang Siding yang menggantikan tapak asal di Kampung Wai, Kuala Perlis menguruskan kira-kira 150 tan sisa pepejal sehari.

Sejak awal lagi penduduk berpendapat lokasinya yang terletak pada radius 4 kilometer dari sekolah, kampung dan lot-lot perniagaan tidak sesuai kerana menimbulkan kesan pencemaran bau manakala air sampah yang melimpah mencemarkan sungai serta kolam ikan berhampiran.

Insinerator

Tapak seluas 20 hektar itu juga didakwa tidak mesra alam selain menyebabkan rumah-rumah berhampiran dihurung lalat.

Ekoran kebakaran itu, Menteri Besar Perlis, Azlan Man mengarahkan pihak bomba mengawal kebakaran itu daripada merebak ke kawasan perkampungan berhampiran.

"Untuk itu, pihak bomba melaksanakan kaedah fire breaker iaitu dengan mewujudkan kawasan penampan atau lapangan yang dapat menghalang kemaraan api.

"Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar untuk memantau keadaan di samping membekalkan topeng muka kepada penduduk bagi mengelakkan mereka menghidu asap," katanya.

Azlan berkata, pihaknya juga akan memindahkan lokasi tapak pelupusan sampah itu ke Rimba Emas di Titi Tinggi, Padang Besar dalam masa terdekat.

"Tapak baharu itu sudah ada dan dijangka dilengkapi dengan insinerator yang canggih dan selamat di samping dapat menjana tenaga elektrik," ujarnya yang akan menjalankan kempen kesedaran mengenai manfaat insinerator tersebut sebelum dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Mohd. Fadzil Haroon menjangkakan kebakaran tapak pelupusan sampah itu berlarutan selama seminggu ekoran cuaca kering dan angin kencang.

Peng takut jadi riak

Posted:

Peng takut jadi riak

Peng takut jadi riak


MUHAMAMAD ADIL menunjukkan trofi Anugerah Usahawan yang dimenanginya baru-baru ini.


PENG melabuhkan dagunya rapat ke dada tatkala dia dipuji bertalu-talu. Merah mukanya agak ketara namun pemuda berkulit sawo matang itu cepat mencapai telefon pintarnya, mungkin dia mahu memadam sipu.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu tidak menduga mentornya, Dr. Lokman Salim akan menembaknya dengan pujian menggunung.

Peng atau Pengiran Muhamamad Adil Awang IPR punya banyak cerita walaupun usianya baru menjengah 24 tahun.

Cerita Lokman, Peng yang dihantar belajar ke sebuah sekolah menengah di Kangar, Perlis, 11 tahun lalu tidak seperti pelajar lain yang pasti ditemani ibu bapa setidak-tidaknya pada hari pertama.

"Saya urus sendiri semuanya, beli baju, kasut dan baldi kerana keluarga ada di Sarawak. Gaya itu agak brutal tapi itu menjadikan saya sangat berdikari," kata Peng.

Pendekatan bapa Peng yang kini bertugas sebagai profesor perubatan di Ipoh, Perak, turut membuatkan dia ligat berfikir untuk terus berdikari termasuk dalam aspek kewangan.

Malah, ketika masih dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrikal di Universiti Teknologi Mara cawangan Sarawak, Peng sudah terlibat dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Cerita Peng, penglibatannya dalam pemasaran berbilang tingkat (MLM) merupakan titik tolak dia berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Ditipu tauke MLM

"Pada masa itu bisnes saya agak luar biasa sehingga saya mampu menyimpan RM40,000 dalam tempoh setahun.

"Malangnya saya dan semua peserta ditipu pengusaha MLM itu. Dia sebenarnya bukan jual produk tapi jual program sistem piramid," kata Peng.

Sistem itu hanya menguntungkan peserta awal tetapi peserta baharu terpaksa berputih mata. Berikutan itu, Peng menggunakan wang simpanannya sehingga hanya berbaki RM5.

Pengalaman pahit itu membawa Peng merantau ke Kuala Lumpur sebelum bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan sebagai pembantu jurutera selama setahun.

"Ikut belayar ke sana sini, lapar masak, makan dan akhirnya saya jadi 'gebu'," katanya berseloroh.

Peng akhirnya memikirkan secara serius arah karier setelah keluarga memintanya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.


SABUN dengan jenama Seri Emas boleh dibeli secara online pada harga RM55.


Anak kelima daripada tujuh beradik itu menambah, dia kembali terjebak dalam perniagaan selepas mengikuti program motivasi perniagaan online.

"Ayah turut serta dalam program itu, dia yang asalnya skeptikal kemudian berubah fikiran dan kini menjadi penyokong tegar saya," katanya.

Usai program itu, Peng memilih untuk menjual sabun resdung secara kecil-kecilan. Produk itu dipesan secara online dan dihantar menggunakan pos laju.

"Alhamdulillah, sambutan sungguh menggalakkan. Saya kini mempunyai tujuh pekerja dan 22 pengedar dengan jualan mencecah RM300,000 sebulan," ujarnya.

Jualan tinggi itu membolehkan Peng menikmati pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.

Kejayaan Peng membuatkan namanya terus dicalonkan sebagai wakil Unimap dalam pertandingan Anugerah Usahawan Kementerian Pendidikan 2013.

Sabun resdung

Pantas Lokman menyampuk perbualan.

"Saya tak kenal Peng, dia pelajar di Fakulti Kejuruteraan tetapi saya pensyarah di Fakulti Bisnes. Pelajar yang cadangkan nama Peng untuk mewakili Unimap ke program keusahawanan," kata Lokman yang menjadi pegawai penyelaras di Unimap untuk program tersebut.

Cerita Lokman, sikap Peng yang mudah mesra menjadikannya senang bergaul dan dikenali ramai.

"Saya harus puji dia sebab dia layak. Malah, ketika peringkat pemilihan pemenang, juri sudah memperakui Peng bukan pelajar tetapi dia ahli perniagaan," kata Lokman.

Anugerah Usahawan Kementerian Pendidikan 2013 yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap di Kuala Lumpur pada September tahun lalu itu melayakkan Peng menerima wang tunai RM15,000 dan trofi.

Menyentuh perancangan masa hadapan, Lokman berkata, dia dan Peng akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menggembleng pelajar di beberapa kolej komuniti terpilih untuk mengulang guna konsep perniagaan Peng.

"Perniagaan online perlu ada sistem dan Peng bersama rakannya ada sistem itu.

"Alhamdulillah pengalaman saya selama lebih 28 tahun dalam industri banyak membantunya sebagai mentor," kata Lokman.

Ketika ditanya apa yang paling ditakuti, Peng menjawab:

"Saya takut jadi riak."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved