Jumaat, 14 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tempahan siap kurang 24 jam

Posted:

Tempahan siap kurang 24 jam

Tempahan siap kurang 24 jam

Syarikat pencetakan pusat sehenti Achik Sdn. Bhd. yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu mampu menawarkan pelbagai khidmat percetakan. Sistem nombor giliran antara kaedah yang digunakan supaya pelanggan mendapat layanan yang adil dan terbaik.

MEMBAWA beberapa gulung kertas kajang, Asma Ahmad, 32, duduk menunggu hampir sejam untuk mendapatkan perkhidmatan rekaan grafik daripada pekerja berbakat di syarikat pencetakan, Achik Sdn. Bhd. (Achik) di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pegawai Pemasaran syarikat perumahan, Sri Binaman itu seringkali menjeling nombor di paparan skrin untuk memastikan dia tidak terlepas nombor gilirannya.

Menurut Asma yang sabar menunggu, syarikatnya merupakan pelanggan setia kedai cetakan tersebut dan biasa membuat tempahan kad nama dan risalah sejak tahun 2009.

"Saya membawa bersama contoh rekaan syarikat sendiri supaya pereka grafik tidak mengambil masa yang lama dan mereka hanya perlu membaiki apa yang perlu.

"Saya tidak kisah menunggu kerana hasil yang diperoleh sangat memuaskan dan kami juga selalu membuat tempahan kad nama, justeru mereka turut menyimpan rekod kami di sini untuk kegunaan masa hadapan," kata anak kelahiran Kedah ini.

Tambahnya, urusan yang sistematik di kedai tersebut turut menjadi antara punca syarikatnya menjadi pelanggan setia pusat cetakan Achik.

Sistem giliran

"Di sini tidak seperti kedai cetakan yang lain kerana ia mempunyai sistem nombor giliran dan pembahagian kaunter mengikut jenis perkhidmatan.

"Selain itu, turut disediakan kemudahan untuk pelanggan seperti tandas awam yang bersih dan selesa," jelasnya yang akan ke kedai Achik tiga kali setahun bagi mendapatkan perkhidmatan rekaan dan cetakan risalah.

Asma memberitahu, syarikatnya akan membuat tempahan risalah di Achik sekurang-kurangnya 1,000 salinan pada setiap awal tahun.

Menurut pemilik kedai cetakan pusat sehenti itu, Mazni Fadzil, 36, dia sentiasa memikirkan tentang keperluan pengguna termasuk perkhidmatan dan kemudahan.

"Kedai yang berslogan One Stop Printing Centre ini menyediakan 25 jenis perkhidmatan melibatkan penggunaan kertas, cap getah, cakera padat, baju dan nombor plat.

"Selain menyediakan pelbagai perkhidmatan, saya turut menitikberatkan keperluan pengguna yang terpaksa menunggu seperti surau, tandas dan sofa," katanya yang meminati dunia perniagaan sejak berusia 12 tahun.

PERKHIDMATAN rekaan grafik antara keunikan pusat sehenti pencetakan Achik.


Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah pusat internet, cetakan, reka grafik, kedai alat-alat tulis, kain rentang, pengimbas dokumen, papan tanda, tempahan baju dan plat kereta. Tempahan yang dibuat oleh pelanggan pula dijanjikan siap dalam tempoh kurang 24 jam.

Penubuhan

Menceritakan kisah penubuhan kedai sehenti itu, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu memberitahu, Achik dibuka secara rasmi pada tahun 2005 dengan modal kecil.

"Saya memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM25,000 dan sekarang syarikat ini mengeluarkan modal pusingan sebanyak RM6 juta setiap bulan bagi menampung pembelian bahan-bahan pencetakan.

"Pada permulaan, kedai ini hanya memiliki 10 buah komputer, namun kini saya menyediakan 31 buah komputer meja, lebih 20 mesin jenama Xerox dan peralatan-peralatan pencetakan," jelasnya.

Dalam pada itu, Mazni yang lebih mesra dipanggil Achik berkata, rahsia kejayaan syarikatnya ialah bekalan bahan mentah seperti dakwat dan kertas diperoleh secara terus dari China.

"Harga di China lebih murah berbanding dalam negara. Bagaimanapun, peniaga mesti bijak memilih pembekal bagi mengelakkan penipuan seperti produk rosak atau kualiti rendah.

"Keadaan tersebut antara faktor penghalang, lebih-lebih lagi bagi masyarakat Melayu untuk berjaya dalam dunia perniagaan kerana sering ditipu pembekal sekali gus berasa serik untuk berniaga, " jelasnya.

Bagaimanapun, sejak empat tahun lalu, pusat cetakan Achik mula menampakkan kredibiliti sehingga mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat korporat untuk menyediakan dokumen bernilai ratusan ribu ringgit.

Namun, keuntungan yang diperoleh tidak terus dinikmati, sebaliknya Achik melaburkannya dengan membeli tiga lot kedai sekali gus membentuk wisma yang kini menjadi ibu pejabat syarikat tersebut.

Kejayaan pada hari ini hanya dikecapinya selepas sembilan tahun membanting tulang dan setiap titik peluhnya akhirnya berbaloi dengan jumlah aset pencetakan mencecah RM1.2 juta.


PELANGGAN diberi perkhidmatan di kaunter mengikut nombor giliran masing-masing.


Kepercayaan

Selain di Taman Melawati, Achik mempunyai cawangan di Klang Gate, Setapak; Wangsa Maju dan Cheras, Kuala Lupur, manakala di Selangor pula di Kolej Islam Antarabangsa, Batu Caves dan Institusi German Malaysia, Bangi.

Sehingga kini, Achik mempunyai kira-kira 70 orang pekerja yang terdiri daripada pereka grafik, pengurus seliaan mesin, pegawai pemasaran, pekerja pusat internet dan kedai alat-alat tulis.

Salah seorang pekerjanya, Fazli Lon, 27, berkata, dia telah bekerja di pusat cetakan itu selama dua tahun sebagai pereka grafik yang memerlukan khidmat profesional.

Menurut Fazli yang merupakan graduan sarjana muda daripada Universiti Malaysia Kelantan, dia akan membuat rekaan grafik sekiranya pereka grafik kaunter hadapan memerlukan pertolongan.

"Sesetengah pelanggan meminta rekaan grafik bagi risalah dan kulit buku keras yang terlalu rumit untuk disiapkan dalam tempoh masa satu jam seperti yang diperuntukkan oleh polisi syarikat ini.

"Jadi, saya akan mengambil alih rekaan tersebut bagi mengelakkan pelanggan menunggu terlalu lama dan hasil yang diberikan kepada pelanggan juga berkualiti," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Lantai Achik Internet Cafe, Mohd. Fitri Abd. Rahim, 28, tidak lokek berkongsi pengalamannya selama hampir 13 tahun bekerja di situ.

"Kesabaran adalah kunci kejayaan untuk terus berkhidmat di kedai ini kerana kebanyakan pelanggan berharap bahan cetakan mereka dapat disiapkan pada kadar segera.

"Kadang-kadang kami dihamburkan dengan kata-kata kesat oleh pelanggan yang tidak faham tentang kerumitan kerja-kerja rekaan grafik atau pesanan diterima terlalu banyak pada satu-satu masa.

"Bagaimanapun, kami tetap melayan mereka dengan senyum dan berusaha memberikan khidmat yang terbaik," katanya.

Tahun lalu, pusat percetakan Achik Sdn. Bhd. menerima sijil daripada pengeluar mesin salinan, Xerox sebagai usahawan pertama memiliki mesin Xerox jenis Xerox docuwide c842, mesin inkjet warna di Malaysia. Syarikat ini turut menjadi gedung kertas bagi syarikat korporat seperti Jabatan Kerja Raya, Petronas, Pos Malaysia, Pusat Sains Negara, Maybank, Astro dan Takaful Malaysia.

Cagarkan kereta bapa untuk berniaga

Posted:

Cagarkan kereta bapa untuk berniaga

Cagarkan kereta bapa untuk berniaga


WISMA Achik Sdn. Bhd. meliputi tiga lot kedai dan menyediakan 25 jenis perkhidmatan.


"BERAKIT-RAKIT ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian." Itulah peribahasa yang paling tepat menggambarkan perjalanan karier seorang usahawan berjaya yang pernah diusir bapanya sendiri demi memastikan perniagaannya berjaya.

Kepada Pengarah Urusan Achik Sdn. Bhd. (Achik), Mazni Fadzil, 36, perjalanan hidupnya untuk mengecapi kejayaan penuh pancaroba. Namun, dengan semangat juang yang tinggi, jenama Achik yang kini berusia sembilan tahun dilihat sebagai antara pembekal bahan cetakan terkemuka di Malaysia.

Menurut anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mesra dengan panggilan Achik ini, sebelum menubuhkan pusat sehenti cetakan tersebut, dia pernah menjalankan perniagaan kafe internet yang dikenali sebagai Achik Internet Cafe pada tahun 2001.

"Saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2000 kerana meneruskan pengajian selama dua tahun di Institut Bina Usahawan dan membuat kerja sampingan di sebuah pusat internet di Taman Melawati untuk menampung perbelanjaan seharian.

"Namun, selepas setahun bekerja di sana, pemilik kedai ingin berpindah dan membuka cawangan lain di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Ketika itulah saya menawarkan diri untuk meneruskan perniagaan tersebut dan meletakkan nama Achik Internet Cafe," jelasnya.

Dihalau bapa

Sehubungan itu, Achik berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM25,000 pada awal pembukaan perniagaan itu. Pada masa itu, dia hanya memiliki 10 buah komputer meja yang dipinjam dan disewa daripada rakan-rakannya.

Malah, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu pernah 'memperdayakan' ayahnya, Fadzil Mat, 60, dengan mengajak lelaki tua itu datang ke Kuala Lumpur menaiki kereta tanpa memberitahu agenda sebenarnya.

Setibanya Fadzil di Kuala Lumpur, Achik terus membawa kenderaan ayahnya itu ke kedai kereta dan mencagarkan geran untuk menampung wang modal sebanyak RM8,000.

"Pada ketika itu ayah naik berang dan saya merayu-rayu kepadanya untuk memaafkan saya. Saya turut berjanji kepadanya untuk membayar kembali RM8,000 kepada pemilik kedai tersebut dan menebus semula keretanya," ceritanya yang kini memiliki enam cawangan kedai cetakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Tidak cukup dengan itu, Achik memberitahu, dia pernah dihalau Fadzil kerana meminta izin membawa komputer peribadi adiknya untuk digunakan di pusat internetnya itu.

Walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuhi, dia yang masih belajar ketika itu tidak pernah berputus asa dan nekad meneruskan perniagaannya.


USAHA Achik, dengan bantuan isterinya, kini kedai cetakan ini semakin dikenali ramai.


"Saya telah menggaji seorang pekerja untuk menjaga kedai pada waktu siang dan menerima wang keuntungan kedai kira-kira RM100 sehari. Namun, saya agak musykil kerana kedai dibuka dari pagi sehingga lewat malam, malah pelanggan juga semakin ramai.

"Jadi, untuk mengetahui sama ada saya ditipu atau tidak, saya telah meminta isteri saya yang pada ketika itu merupakan teman wanita, untuk menjaga kedai. Alangkah terkejutnya saya apabila menerima ratusan ringgit dalam masa sehari," jelasnya yang kini mempunyai tiga cahaya mata bersama Raja Zainoranuara Raja Ali.

Selepas beberapa tahun melihat potensi perniagaan, di samping mempelajari kejayaan peniaga lain, perniagaan pusat internet itu diperluaskan dengan penyediaan perkhidmatan salinan foto, mengikat fail dan cetakan.

Wisma Achik

Lima tahun selepas itu, Achik telah menubuhkan Achik Sdn. Bhd. dengan membawa slogan One Stop Printing Centre atau Pusat Percetakan Sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi kemudahan pelanggan.

"Tidak berasa selesa dengan kejayaan yang dikecapi, saya sentiasa membuat kajian tentang perniagaan pencetakan demi melancarkan lagi operasi, di samping menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Salah satu langkah yang diambil ialah mendapatkan bahan-bahan mentah terus dari China kerana harga di sana lebih murah dan tidak menggunakan orang ketiga," katanya.

Berkat usaha dan doa, perniagaan Achik semakin maju dan mula menerima tempahan daripada syarikat-syarikat korporat.

Pada tahun 2010, Achik membeli tiga lot kedai di Taman Melawati untuk dijadikan Wisma Achik.

"Kini, syarikat saya mempunyai bangunan sendiri dan menerima tender daripada syarikat-syarikat swasta dan kerajaan.

"Malah, tiga tahun yang lalu, saya telah membawa ayah datang ke sini dan dia turut mengalirkan air mata. Alhamdullilah, saya telah menunaikan janji-janji saya kepadanya dan berharap dapat terus mengemudi syarikat ini sehingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

Daripada sebuah pusat internet kecil, perniagaan Achik terus berkembang dan kini menyediakan 25 jenis perkhidmatan perniagaan termasuk cetakan, reka grafik, kad nama, kain rentang, kulit buku keras, risalah, papan tanda, pelekat, pengimbasan dokumen, cop getah, alat-alat tulis, baju dan plat kereta.

Syarikat ini dioperasikan oleh 70 kakitangan yang rata-rata terdiri daripada graduan sarjana muda daripada universiti tempatan dan terus menarik ratusan pelanggan setiap hari. - DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Perhimpunan Jemaah Tabligh Bangladesh

Posted:

Perhimpunan Jemaah Tabligh Bangladesh

Perhimpunan Jemaah Tabligh Bangladesh


PESERTA solat Jumaat di tepi sungai Turag pada hari pertama perhimpunan.


BERIBU-RIBU masyarakat Islam dari seluruh dunia berkumpul di tepi sungai Turag, Tongi di Bangladesh bagi menghadiri sesi Bishwa Ijtema yang sering diadakan pada awal tahun baharu Masihi.

Perhimpunan yang bertujuan mendapat rahmat daripada Allah dengan melakukan aktiviti keagamaan seperti solat dan berdoa itu merupakan perhimpunan umat Islam kedua terbesar di dunia selepas musim haji di Mekah.


FERI turut menjadi tumpuan peserta selepas perhimpunan yang memakan masa selama tiga hari ini tamat.


Menurut sejarah, perhimpunan tersebut bermula apabila seorang pelajar India bernama Muhammad Ilyas al-Kandhlawi berkumpul bersama sebilangan kecil individu beragama Islam di sebuah masjid di tepi sungai Turag pada tahun 1948.

Kini perhimpunan tersebut diteruskan oleh Jemaah Tabligh Bangladesh. Perhimpunan itu juga memberi peluang kepada masyarakat Islam tempatan berinteraksi dengan orang luar yang seagama dengan mereka.

Walaupun perhimpunan itu telah berusia 66 tahun, namun Tongi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari utara Dhaka masih dipilih sebagai lokasi perhimpunan pada setiap tahun.


SEORANG lelaki memasak sendiri makanan ketika menyertai perhimpunan ini.


Perhimpunan yang berlangsung selama tiga hari itu dihadiri oleh jemaah dari 80 buah negara termasuk para ulama India dan Pakistan yang menyampaikan ucapan khusus mengenai Islam.

Sepanjang tempoh tersebut mereka menginap di khemah-khemah kecil yang dibina di atas tanah seluas 160 hektar sambil dikawal ketat oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain Tongi, perhimpunan Bishwa Ijtema juga diadakan di Raiwind, Pakistan dan Bhopal serta Madhya Pradesh di India namun jumlah kehadiran tidak seramai di Tongi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved