Jumaat, 14 Februari 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Bukti pemahaman keperluan penunggang

Posted:

Bukti pemahaman keperluan penunggang

Bukti pemahaman keperluan penunggang

Oleh SHAWKATH AZDE

NINJA 1000 ABS berjaya menyatupadukan elemen sport dalam dunia pengembaraan bermotosikal.


TINDAKAN Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) di Jepun menampilkan model Ninja 1000 pada tahun 2011 membawa satu perspektif berbeza bagi penggemar motosikal serata dunia. Ia berjaya menyatupadukan tunggangan dua segmen motosikal iaitu prestasi sebuah jentera sport yang berkeupayaan kembara dengan selesa.

Dalam kata lain, Kawasaki Ninja 1000 diperkenalkan bagi mengisi vakum pasaran antara model unggul Kawasaki ZX-10R dan model jarak jauh iaitu Concours 14 ABS. Untuk makluman, Ninja 1000 juga dikenali sebagai Z1000 SX di beberapa pasaran lain seperti Eropah.

Sejak dari itu, pengeluar motosikal negara matahari terbit itu acap kali mengetengahkan pelbagai inovasi pada model baharu Ninja 1000 untuk memperhalusi kehendak pengguna selain memenuhi jangkaan khususnya berhubung aspek pengalaman tunggangan. Harus diakui, jentera yang tergolong dalam kategori kembara sport itu ialah model kembar kepada Z1000.

Biarpun begitu, Ninja 1000 sudah melepasi pelbagai fasa transformasi kosmetik untuk menjadikannya sebuah motosikal kembara. Begitu juga situasinya apabila KHI menampilkan Ninja 1000 ABS edisi 2014 sempena pameran motosikal EICMA di Milan, Itali, November lalu.

Selayang pandang, motosikal itu mungkin kelihatan tidak jauh berbeza dengan edisi 2013. Realiti sebenar hanya diketahui selepas menunggang kedua-dua model berkenaan. Pakej yang diadun pada Ninja 1000 ABS 2014 selari dengan objektif menjadikannya sebuah motosikal kegunaan harian.


REKA bentuk bahagian belakang ada sedikit persamaan dengan model Z1000 edisi 2014.


Pembaharuan paling signifikan ialah adunan pelbagai teknologi sokongan tunggangan. Ia mencerminkan pemahaman mendalam pasukan jurutera KHI berhubung trend dan keperluan para penunggang masa kini. Antaranya, ciri mod cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control), pilihan kuasa enjin dan sistem brek yang diperbaharui.

Berbekalkan konsep kembara sport, model itu menawarkan posisi tunggangan ergonomik. Hasilnya, penunggang boleh memilih postur tunggangan sport atau santai tanpa mengorbankan respons output daripada unit enjin empat silinder sebaris. Unit enjin itu sebenarnya sama seperti model Z1000 edisi 2014. Tiada sebarang talaan berbeza antara kedua-dua motosikal itu.

Sistem KTRC

Untuk memudahkan penunggang baharu, Ninja 1000 ABS dilengkapi tiga mod KTRC (Kawasaki Traction Control) yang boleh diubah mengikut selera dan situasi semasa jalan raya. Mod 1 dan 2 memberikan cengkaman berpatutan apabila memecut. Mod 3 pula sesuai untuk permukaan jalan licin. Kesemua mod itu boleh dipadamkan jika mahu.

Kotak gear motosikal itu ditala semula sebagai usaha membolehkan nisbah gear akhir mengimbangi keperluan tunggangan sport dan kembara jarak pendek. Kadar nisbah gear keenam didapati lebih panjang dan memberikan keselesaan apabila menunggang di kawasan lebuh raya.

Pengguna juga dibenarkan mengubah tetapan kuasa sama ada High Power (H) atau Low Power (L) dengan hanya menekan butang pada bahagian kiri hendal. Tetapan H membenarkan penunggang menikmati perahan kuasa maksimum manakala pilihan L akan mengehadkan kuasa enjin sehingga kadar 70 peratus.

Aspek keselesaan tunggangan Ninja 1000 ABS turut dipengaruhi oleh kejuruteraan casis motosikal. Tindakan menggunakan kerangka aluminium regangan tinggi dilakukan bagi menjayakan pengemudian lebih stabil dan tepat. Malah sambungan stereng antara hendal dan fork direka untuk mengurangkan kadar geseran ketika menunggang pada kelajuan rendah.


PENGHADANG angin Ninja 1000 ABS boleh diselaras tiga tahap mengikut keperluan para penunggang.


Sistem ABS

Tugas mengawal dan memberhentikan jentera disandarkan kepada set brek cakera dengan angkup monoblok Tokico. Respons menarik tuil brek dan kadar cengkaman omboh angkup sememangnya lembut tetapi kuasa membrek cukup memberangsangkan. Set brek cakera itu didatangkan bersama teknologi sistem brek antikunci (ABS).

Ninja 1000 ABS juga dilengkapi penghadang angin boleh dilaras tiga peringkat untuk gayaan sport sehingga perlindungan maksimum. Kerja menyelaras itu cukup sekadar mengunakan tangan sahaja.

Jentera itu didatangkan bersama tangki minyak berkapasiti 19 liter sekali gus mengurangkan kadar kekerapan untuk mengunjungi stesen minyak sewaktu menunggang.

Maklumat semasa tetapan dan tunggangan dipamerkan menerusi kombinasi paparan analog dan digital pada panel instrumen meter. Jenis skrin yang digunakan ialah LCD pelbagai fungsi.

Antara maklumat ditayangkan ialah tetapan KTRC, mod kuasa, indikator tunggangan ekonomik, kadar penggunaan bahan api, suhu sistem penyejukan, kelajuan tunggangan, baki status minyak, odometer, takometer, jam, dua trip perjalanan dan lampu amaran.

Penulis sempat menunggang uji model Ninja 1000 ABS 2014 sempena program Malaysian Press Introduction anjuran Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Biarpun sesi tunggangan itu agak singkat namun penulis sempat merasai perbezaan antara model 2013 dan 2014. Harus diakui, Ninja 1000 ABS edisi 2014 jauh lebih selesa dan memuaskan jika dibandingkan dengan model sebelumnya.

Perincian lanjut mengenai sesi tunggang uji itu akan disiarkan dalam edisi Garaj! akan datang sejurus sahaja penulis mendapat lampu hijau untuk meminjam Ninja 1000 ABS bagi satu ujian yang lebih komprehensif.

Forester XT bukan sembarangan SUV

Posted:

Forester XT bukan sembarangan SUV

Forester XT bukan sembarangan SUV

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


FORESTER ini mungkin kelihatan lebih garang jika mempunyai air scoop di atas but hadapan.


SUBARU Forester mula diperkenalkan dalam pasaran Jepun pada tahun 1997 dengan menggunakan platform Impreza.

Mula dikenali sebagai sebuah kenderaan wagon pada generasi pertama namun model hampir dua dekad itu kini masih mengekalkan identitinya sebagai sebuah jentera sport SUV.

Generasi keempat Subaru Forester mula dibawa masuk ke negara ini oleh pengedar Motor Image Malaysia Sdn. Bhd. pada tahun lalu.

Bagi merasai pengalaman memandu SUV ini, pihak Motor Image telah memberi peluang kepada Garaj! untuk memandu uji Subaru Forester XT yang menggunakan enjin Boxer Turbo.

Penulis melakukan pandu uji ini ke Johor Bahru. Pemanduan di lebuh raya tidak menjadi masalah kerana kuasa yang dihasilkan daripada

RUANG enjin hadapan Forester ini padat dan kemas.


Forester XT ini tidak pernah mengecewakan.

Tambahan pula, Forester dilengkapi dengan pilihan beberapa mod pemanduan seperti i, S dan S#. Setiap mod ini mempunyai watak dan gaya pemanduan yang berbeza.

Ketika menggunakan mod pemanduan i, Forester amat mudah dikendalikan kerana stereng menjadi ringan manakala kuasa yang dihasilkan semasa memijak pedal minyak tetap memuaskan.

Selepas menekan butang S# watak Forester XT ini bertukar menjadi agresif. Penulis mencubanya, sekejap sahaja selepas memijak pedal minyak meter kelajuan menunjukkan 220km/j.


RUANG kabin Forester XT ini kelihatan sederhana tetapi kemas dan selesa.


Mod S# juga sesuai digunakan ketika menggunakan laluan berselekoh kerana stereng akan menjadi sedikit berat dan memberikan keyakinan kepada pemandu.

Cuma SUV ini boleh dikatakan sebuah jentera yang bertenaga tetapi tempat duduk belakangnya yang agak rata membuatkan penumpang 'tidak duduk tetap'.

Subaru Forester XT yang diimport sepenuhnya ini menggunakan rim bersaiz 18 dengan tayar Bridgestone Dueler H/L 400 bersaiz 225/55.

Perjalanan jauh yang mengambil masa kira-kira empat jam tidak terasa kerana Forester XT ini dilengkapi dengan sistem audio premium dengan lapan speaker jenama Harmon Kardon.

Antara ciri-ciri menarik lain yang ada pada Subaru Forester XT ini seperti but belakang elektrik dan bumbung suria.

Lamborghini Huracan LP 610-4

Posted:

Lamborghini Huracan LP 610-4

Lamborghini Huracan LP 610-4

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


CASIS model baharu ini diperbuat daripada material gentian dan aluminium.


HURACAN LP 610-4 memasuki pasaran secara rasmi mulai Disember lalu selepas Automobili Lamborghini membuat keputusan untuk menghentikan jualan Gallardo. Model itu turut ditugaskan untuk membentuk suatu sempadan baharu dalam segmen kereta mewah berprestasi tinggi.

Huracan yang didatangkan bersama reka bentuk unik, pakej teknologi inovatif, kedinamikan dan kualiti tinggi didakwa membawa perspektif pengalaman baharu dalam barisan kereta seumpamanya. Lamborghini mendakwa Gallardo merupakan model paling berjaya dengan produksi mencecah 14,022 unit sejak diperkenalkan 10 tahun.

Sebagai rekod, nama Huracan diambil dari pertandingan laga lembu. Lembu Huracan datangnya dari baka Conte de la Patilla Sepanyol dan terkenal dengan keberanian serta bersifat agresif.

Huracan menterjemah semula Gallardo yang mana profail binaan dipengaruhi oleh satu garisan yang menyatukan bahagian depan, kokpit dan belakang kereta. Identiti lain Lamborghini pada Huracan ialah pencahayaan LED pada lampu utama.

Buat julung kalinya dalam segmen ini, model itu dilengkapi LED pada nyalaan lampu sebagai aksesori standard. Ruang dalaman pula dilengkapi sebuah panel instrumen TFT 12.3 inci yang memaparkan maklumat seperti meter putaran enjin, peta navigasi dan fungsi multimedia.

Casis Huracan dibina mengikut kemahiran mendalam Lamborghini dalam bidang gentian kaca. Kali ini mereka menggunakan kaedah hibrid melalaui aplikasi elemen gentian dan aluminium. Berbekalkan berat kering hanya 1,442 kilogram (kg), Huracan bukan sahaja mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang rendah iaitu 2.33kg kepada setiap kuasa kuda malah turut memberikan ketepatan seperti kereta lumba dengan ketegaran tinggi.

Kereta super itu menggunakan enjin baharu 5.2 liter V10 berkuasa 610hp pada 8,250rpm dan tork maksimum 560Nm pada 6,500rpm. Sistem pancitan yang digunakan dipanggil Iniezione Diretta Stratificata (IDS) yang mana pancitan terus dan bukan terus (indirect). Ia membantu menjadikan enjin itu lebih berkuasa dan tingkatkan kuasa tork tanpa melibatkan penggunaan minyak secara berlebihan.

Lamborghini Huracan boleh mencapai kelajuan melebihi 325 kilometer sejam (km/j) manakala pecutan dari pegun ke 100km/j hanya mengambil masa selama 3.2 saat. Model itu juga didatangkan bersama teknologi henti mula. Ciri-ciri itu mengurangkan penggunaan minyak kepada 12.5 liter bagi setiap 100km.

Kuasa buas enjin V10 dialihkan ke permukaan jalan dengan transmisi berkembar tujuh kelajuan baharu yang dikenali sebagai Lamborghini Doppia Frizione (LDF) dan sistem pacuan empat roda yang dikawal penuh secara elektronik. Seleksi mod pemanduan berbeza boleh diatur melalui suis pada stereng dengan tiga pilihan iaitu STRADA, SPORT dan CORSA. Tiga pilihan itu mengubah karakter kotak gear dan enjin, sistem pacuan empat roda dan kawalan penstabilan elektronik (ESC).

Dipasangkan standard pada Huracan ialah brek gentian seramik manakala sistem nisbah stereng boleh ubah (Lamborghini Dynamic Steering) dan magneto-rheologic suspension damper control ditawarkan sebagai aksesori pilihan yang turut ditala mengikut tiga seleksi pemanduan.

Lamborghini Huracan bakal dibina di ibu pejabat Automobili Lamborghini di Sant'Agata Bolognese. Penghantaran pertama kepada pelanggan dijadualkan berlangsung pada bulan Mac tahun ini dan kemungkinan 'lembu laga' itu akan berada di Malaysia tidak lama lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved