Rabu, 12 Februari 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Promosi kempen kesedaran alam sekitar

Posted:

Promosi kempen kesedaran alam sekitar

Promosi kempen kesedaran alam sekitar

Oleh MOHD NOOR MAT AMIN

MENAIKI kenderaan pacuan empat roda selama enam jam melalui laluan balak ternyata menguji ketahanan mental Khairul Aliza Alias. Walaupun perit dan memenatkan, ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sepanjang menyertai Program Trans Borneo (PTB), Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar 2013 baru-baru ini.

Baginya, program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Sarawak dan Sabah itu memberi kesedaran kepada masyarakat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman di kedua-dua negeri itu betapa pentingnya menjaga alam sekitar.

"Saya kagum dengan sambutan penduduk apabila promosi Rakan Alam Sekitar (RAS) dijalankan di kawasan mereka," ujarnya.

Program PTB itu turut disertai 50 kakitangan JAS dari seluruh negara.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu yang menjelajah Kuching, Sarawak, Brunei dan Kota Kinabalu, Sabah yang berlangsung selama seminggu.

Program yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi dan Strategik, JAS, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Abu Hassan Mohd. Isa itu turut merentasi Sibu, Miri dan Lawas di Sarawak serta Sipitang, Sabah.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah kempen membersihkan sungai, melawat menara pencegahan kebakaran dan mengedarkan borang keahlian RAS.

PESERTA PTB membersihkan kawasan sekitar Kolam Sungai Ranchan sebagai langkah asas memelihara alam semula jadi.


Pembersihan

Taman Air Terjun Serian yang terletak hanya satu kilometer dari Bandar Serian, Sarawak merupakan lokasi pertama program itu dengan menjalankan aktiviti pembersihan.

Taman Air Terjun Serian merupakan destinasi tumpuan penduduk setempat untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah keluarga.

Dari Sibu, peserta meneruskan perjalanan ke Kuala Baram, Miri. Di situ, terdapat sebuah menara pencegahan kebakaran dan pengurusan tanah gambut. Lokasi itu berhampiran dengan sempadan negara Brunei.

Menara setinggi 30 meter yang bernilai RM300,000 itu dibina bagi memantau kawasan sekeliling daripada kebakaran terutamanya pada musim kemarau. Sebelum ini, kawasan hutan tersebut pernah terbakar dan sukar untuk dipadamkan.

Bagi langkah pencegahan kebakaran, JAS Sarawak telah membina sekatan aliran air dan telaga tiub di kawasan tanah gambut di situ.

Seterusnya, peserta konvoi PTB di bawa ke sebuah perkampungan masyarakat Iban di Rumah Panjang, Rh. Jarek, Miri.

Seramai 234 orang Iban yang terdiri daripada 17 etnik berbeza tinggal di rumah panjang itu. Seramai 41 keluarga yang tinggal di situ merupakan peserta program rumah angkat Local Agenda 21 (LA21).

Menariknya, di perkampungan ini, para peserta didedahkan dengan kemampuan penduduk menghasilkan baja kompos bokashi daripada sisa-sisa makanan daripada sayur-sayuran. Ia digunakan untuk mencuci sistem perparitan dan sinki.

ROZI menunjukkan baja kompos yang diproses daripada sisa buangan makanan di Rumah Panjang Rh. Karek, Miri, Sarawak.


Menurut Ketua Rumah Panjang Rh. Jarek, Rozi Elon, baja kompos itu digunakan untuk tanaman sayur-sayuran, mencuci sinki dan sistem perparitan.

"Sebelum kempen RAS dijalankan di kawasan ini, semua sisa makanan dibuang begitu sahaja. Namun, apabila JAS menyediakan tong khas di setiap kediaman, sisa makanan itu dapat dikitar semula menjadi baja kompos.

"Usaha ini dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar terutamanya sungai yang menjadi sumber air utama kepada penduduk rumah panjang ini," katanya.

Pengorbanan dan kerjasama penduduk menjaga kebersihan dan alam di kawasan tersebut nyata berbaloi apabila Rumah Panjang Rh. Karek menerima Anugerah Kampung Angkat Terbaik Miri pada 2009 dan Anugerah Kampung Terbersih Miri LA21 tahun 2011.

Dalam kunjungan itu, para peserta turut mengedarkan beg kitar semula, baju dan borang penyertaan ahli RAS kepada penduduk kampung.

Panorama

Para peserta kemudiannya meneruskan perjalanan sejauh 128 kilometer dengan menaiki 15 buah kenderaan pacuan empat roda menuju ke perkampungan tanpa wayar di Long Pasia.

Sepanjang perjalanan yang penuh berliku itu, peserta meyaksikan keindahan panorama hutan di Sabah, Sarawak dan Kalimatan, Indonesia.

Selepas menempuh enam jam perjalanan, para peserta tiba di tempat penginapan iaitu Resort Long Mio sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Long Pasia. Di situ, peserta berpeluang berkongsi pengalaman sepanjang ekspedisi bersama penduduk setempat.


SEBAHAGIAN peserta PTB dan kakitangan Majlis Daerah Serian yang terlibat dalam aktiviti pembersihan Kolam Sungai Ranchan.


Selain itu, penduduk diberikan tunjuk ajar tentang cara-cara membuat lilin daripada minyak masak terpakai.

Dari Sipitang, rombongan ekspedisi bergerak ke Tuaran. Di Tuaran, Abu Hassan dan Pengarah JAS Sabah, Datin Halili Ghazali menyampaikan sumbangan pasu bunga kepada ketua kampung dan sumbangan beg sekolah kepada 20 murid sekolah rendah.

Sementara itu, Pemangku Setiausaha, Majlis Daerah Serian, Muzaimah Sumar berpendapat, kempen tersebut mampu memberi impak positif kepada masyarakat dalam usaha menjaga kelestarian alam.

"Kempen ini memberi pelbagai pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar terutama kepada generasi muda. Sebelum ini, ia hanya tertumpu kepada kawasan bandar dan pekan besar." ujarnya.

Penangan konsert Soundwave

Posted:

Penangan konsert Soundwave

Penangan konsert Soundwave


KUMPULAN Metallica merupakan teraju utama dalam keseluruhan konsert Soundwave pada tahun lalu.


PENERBANGAN selama lima jam ke Perth, Australia dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), Sepang tidak terasa penatnya. Sejurus sampai di Lapangan Terbang Perth, saya bersama abang terus bergegas ke bilik penginapan sepanjang percutian kami di Perth selama enam hari lima malam itu.

Kami memilih hostel Kanggaroo Inn di Murray Street yang terletak di tengah-tengah bandar Perth. Dengan harga US$20 (RM60) semalam, ia merupakan penginapan pilihan kami walaupun terpaksa berkongsi bilik bersama dua pelancong dari negara lain. Namun, ia bukanlah satu masalah besar buat kami.

Matlamat utama kami berkunjung ke Perth pada tahun lalu ialah untuk menyaksikan konsert Soundwave 2013 iaitu festival muzik tahunan terbesar di negara itu.

Konsert yang berlangsung di Claremont, Perth menampilkan barisan kumpulan muzik pelbagai genre antarabangsa yang mengadakan persembahan di 10 pentas.

Dengan bayaran tiket RM500, kami berpeluang menyaksikan kumpulan Heavy Metal dari Amerika Syarikat iaitu Metallica yang merupakan impian saya sejak kecil lagi.

Tiket konsert telah ditempah secara dalam talian di tanah air sejak tempahan mula dibuka. Kami menghadiri festival itu pada hari ketiga kunjungan di Perth. Ia merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan konsert di luar negara.

Agresif

Sepanjang festival muzik 12 jam tanpa henti itu, saya melihat pelbagai ragam penonton yang jarang sekali dapat dilihat di dalam sesebuah konsert di Malaysia. Mereka lebih agresif terutama ketika sesebuah kumpulan sedang mengadakan persembahan. Tetapi dalam masa yang sama menghormati pelancong seperti kami.

Selain Metallica, kumpulan Linkin Park, A Perfect Circle, Fozzy, Antrax, Madball, Killswitch Engage dan Cypress Hill turut memberi persembahan yang bertenaga sepanjang konsert itu.

Selain konsert Soundwave 2013, saya dan abang turut berpeluang berkunjung ke beberapa destinasi menarik yang terdapat di Perth. Kings Park merupakan antara tumpuan utama kami untuk menyaksikan keindahan malam di bandar yang terletak di bahagian barat Australia itu.


MENYAKSIKAN konsert Soundwave 2013 secara langsung merupakan pengalaman manis penulis sepanjang bercuti di Perth.


Dari hostel penginapan, kami berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk ke kawasan taman awam itu. Suasana dingin malam yang menemani perjalanan membuatkan kami tidak berasa penat walaupun berjalan kaki.

Kings Park merupakan kawasan taman awam popular yang menjadi tumpuan penduduk sekitar bandar itu untuk beriadah. Ia juga digelar sebagai kawasan botanik yang menjadi habitat lebih 3,000 spesies flora dan fauna.

Ketika kami berkunjung di situ, kelihatan masih ramai penduduk Perth sedang berjoging dan berbasikal walaupun pada waktu malam.

Taman awam di Perth itu mengingatkan saya kepada Bukit Ampang, Kuala Lumpur. Kedua-dua destinasi tumpuan pelancong itu mempunyai tarikan yang sama iaitu dapat menyaksikan pemandangan malam bandar Perth dan Kuala Lumpur yang diterangi cahaya lampu.

Penjara

Selain Kings Park, kami juga berkesempatan berkunjung ke penjara Freemantle Prison di The Terrace, Freemantle. Menurut laman web pelancongan di Perth, bekas penjara British itu merupakan destinasi yang wajib dikunjungi sekiranya berada di bandar itu.

Dari pusat bandar Perth, kami menaiki kereta api ke Freemantle.

Penjara yang dibina pada tahun 1829 semasa penjajahan British di Australia itu merupakan tempat buangan bagi warga Britain yang melakukan kesalahan berat seperti membunuh dan merogol. Sebagai pengajaran, mereka yang bersalah dihantar ke penjara itu.

Pemandu pelancong di penjara itu yang berusia dalam lingkungan 60-an banyak memberi maklumat mengenai Freemantle Prison. Dia yang merupakan warden penjara itu sekitar tahun 1960-an turut menceritakan pengalamannya menguruskan banduan di situ.

Menurutnya, antara pengalaman pahit yang dilalui sepanjang bertugas sebagai warden ialah menyaksikan seorang banduan menelan sebutir bom tangan sebelum ia meletup menyebabkan mukanya hancur. Ketika itu, lelaki berkenaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh isterinya.

Kini, Freemantle Prison menjadi destinasi tarikan pelancong. Struktur bangunan yang bercirikan seni bina British masih utuh dan tidak ditelan zaman. Setinggi-tinggi pujian buat pihak kerajaan Australia kerana menjaga khazanah negara yang tiada nilainya itu.


DERETAN sel di Freemantle Prison ini pernah menempatkan ribuan banduan dari British suatu ketika dahulu.


Maklumat mengenai penjara itu terpampang di segenap dinding. Kunjungan ke bilik hukuman gantung merupakan pengalaman yang menyeramkan buat saya. Keadaan dan suasana bilik yang suram itu telah menjadi saksi kepada tamatnya ribuan nyawa banduan di situ.

Selain penjara itu, kami juga berpeluang bersiar-siar melihat persekitaran bandar Freemantle yang menjadi tumpuan pelancong.

Pantai

Destinasi terakhir yang menjadi persinggahan kami sebelum pulang ke tanah air di Perth ialah Pantai Cottesloe. Ia merupakan pengalaman pertama saya berkunjung ke kawasan pantai di luar negara.

Walaupun selesema, saya bersama abang tetap mengambil peluang untuk mandi-manda di pantai itu. Selain aktiviti mandi-manda, ombak tinggi yang menghempas pantai turut menjadi lokasi bagi penggemar sukan luncur air.

Bagi saya, pantai yang angin itu merupakan kawasan yang amat sesuai bagi pengunjung yang datang bersama keluarga untuk beriadah. Kami juga sempat bersiar-siar di sekitar bandar Cottesloe dan berpeluang menikmati hidangan masakan Barat di sebuah restoran popular di situ.

Secara kesimpulannya, dengan bajet RM2,000 bercuti di Perth, saya dapat mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan di bandar itu. Bajet bukanlah menjadi penghalang utama untuk melancong. Sekiranya pandai mengurus kewangan sejak berada di tanah air, Antartika juga bukanlah satu destinasi yang mustahil untuk dikunjungi.

Bagi saya, peluang menyaksikan persembahan Metallica di luar negara merupakan pengalaman yang paling bermakna yang dijadikan modal untuk bercerita kepada rakan taulan mengenai percutian saya tahun lalu.

Persepsi tanpa visual Dialogue In The Dark

Posted:

Persepsi tanpa visual Dialogue In The Dark

Persepsi tanpa visual Dialogue In The Dark


DIALOGUE In The Dark merupakan aktiviti pelancongan terbaharu yang diperkenalkan di Petrosains.


PAMERAN Dialogue In The Dark (DITD) di Pusat Penemuan Sains Petrosains yang terletak di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pastinya pasti memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

Dicetuskan oleh Dialogue In The Dark Sdn. Bhd. (Malaysia), pameran DITD yang dilihat sebagai pameran seumpamanya di negara ini membolehkan pengunjung memasuki sebuah bilik gelap dan melakukan aktiviti secara berkumpualan selama 45 minit.

Jurugambar Kosmo!, Azliza Hailani berkongsi pengalaman, DITD merupakan destinasi terbaik kepada pengunjung yang ingin menyelami kehidupan individu cacat penglihatan.

"Sebelum memasuki dewan pameran, pengunjung dibekalkan dengan sebatang tongkat. Sebaik kaki melangkah ke dalam dewan pameran, keadaan menjadi gelap-gelita kerana tiada sebarang cahaya yang kelihatan. Kami seperti orang buta," jelasnya.

Tidak membiarkan pengunjung teraba-raba mencari jalan, kedengaran Lisa Chee Li Li yang merupakan seorang jurulatih, memberi arahan dan panduan arah bagi membantu mereka yang terlibat.

"Sebanyak 80 peratus keputusan kehidupan harian individu bergantung pada apa yang dilihat, namun pengunjung yang menyertai aktiviti ini hanya menggunakan 20 peratus untuk membuat tindakan atau keputusan.

"Pengalaman berada di dalam dewan ini memberi petunjuk kepada mereka tentang kehidupan seorang yang cacat penglihatan. Pengunjung diajar cara melintas jalan dengan hanya mendengar bunyi kenderaan sekeliling, membeli barangan keperluan di pasar dan beriadah di taman," ujarnya yang buta sejak tiga tahun lalu akibat diabetes kepada Kosmo! baru-baru ini.

Cabaran

Tambahnya, segala aktiviti yang diadakan di pameran tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepekaan umum terhadap cabaran yang perlu diatasi individu cacat penglihatan setiap hari.

Idea asal DITD telah dimulakan oleh seorang usahawan sosial, Dr. Andreas Heinecke di Frankfurt, Jerman pada tahun 1988 ketika bertugas di sebuah stesen radio. Beliau pada ketika itu bertanggungjawab membangunkan sebuah program pemulihan bagi seorang rakan sekerja yang kehilangan penglihatannya dalam satu kemalangan jalan raya.


PENGUNJUNG yang menyertai aktiviti Dialogue In The Dark pastinya merasai pahit dan manis kehidupan seorang individu yang cacat penglihatan. - Gambar Hiasan.


Rentetan pengalaman itu, Heinecke, telah menjadikan DITD sebagai langkah permulaan untuk memberi gambaran mengenai persepsi tanpa visual yang diharungi oleh orang buta setiap hari.

Kaedah terbaik

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DITD (Malaysia), Stevens Chan memberitahu, fokus pameran itu adalah untuk menyediakan satu platform khusus yang membolehkan pembelajaran melalui pengalaman yang lebih terbuka kepada pengunjung.

Menurutnya, kaedah pembelajaran di DITD merupakan salah satu kaedah terbaik untuk mempelajari cara sosial golongan orang kurang upaya, terutamanya yang cacat penglihatan, meniti hari mereka.

"Kaedah ini juga mampu mewujudkan rasa hormat individu normal terhadap orang yang cacat penglihatan. Sesi komunikasi antara pelatih dan pengunjung merupakan kaedah terbaik untuk berkongsi pandangan mengenai aktiviti yang telah dilakukan," jelasnya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim memberitahu, DITD merupakan destinasi yang wajib dikunjungi di pusat pameran sains berkenaan kerana aktiviti yang dianjurkan dapat merangsang minda seisi keluarga.

"Pembelajaran melalui aktiviti di sini diklasifikasikan sebagai proses perkembangan minda yang sihat. Ia juga merupakan kaedah sains sosial secara interaktif di dalam kawasan gelap yang membantu pengunjung lebih fokus dalam melakukan sebarang keputusan," ujarnya. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved