Rabu, 5 Februari 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Medan dekati figura Transformers

Posted:

Medan dekati figura Transformers

Medan dekati figura Transformers

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

CUTI umum sempena Tahun Baru Cina, Jumaat lalu digunakan sebaiknya oleh Mohd. Firdaus Kamis, 31, untuk bercuti bersama isteri dan dua orang anaknya.

Tumpuan utamanya ialah Ekspo Transformers Malaysia 2014 di Arena Of Stars, Genting Highlands. Dia merupakan peminat kepada siri kartun Transformers.

"Saya datang dari Sungai Ara, Pulau Pinang semata-mata untuk menyaksikan dua patung tinggi watak dalam filem Transformers iaitu Optimus Prime dan Bumblebee. Ekspo ini juga memberi maklumat lengkap mengenai sejarah siri kartun dan watak dalam Transformers sejak tahun 1984 sehingga hari ini," ujar Pegawai Teknikal di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu.

Tambahnya, anak sulungnya yang berusia tiga tahun, Muhammad Fayyad juga merupakan peminat permainan yang bercirikan robotik. Ekspo itu merupakan salah satu peluang terbaik kepada Mohd. Firdaus memberi pendedahan kepada anak sulungnya mengenai figura Transformers.

Ekspo Transformers Malaysia 2014 dianjurkan buat julung-julung kalinya di Malaysia dan Asia sempena ulang tahun ke-30 siri kartun, figura aksi dan filem Transformers. Ekspo itu juga merupakan salah satu tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di Genting Highlands.

Penganjuran ekspo itu merupakan kolaborasi pihak penganjur, Target Exposition Sdn. Bhd. (Target Exposition) bersama syarikat permainan dari Amerika Syarikat, Hasbro Inc. (Hasbro) dan Resorts World Genting sebagai penaja lokasi.

Sebanyak enam ruang pameran yang menjadi tumpuan pengunjung di dalam kawasan seluas 3,251 meter persegi di Arena Of Stars. Sebaik sahaja memasuki ruang ekspo, alunan lagu tema filem Transformers menjadi penyambut para tetamu.

Di bilik pameran pertama, pengunjung berpeluang melihat kira-kira 1,520 model patung permainan Transformers milik ahli Kelab Peminat Transformers Malaysia (TransMy) yang dipamerkan.


PAMERAN robotik memberi informasi tentang dunia teknologi masa kini kepada pengunjung.


Disusun rapi

Setiap model patung permainan disusun rapi mengikut kategori, karakter, tahun diterbitkan dan siri kartun sejak tahun 1984 hingga 2013.

Seorang ahli TransMy, Mohd. Hafeez Hilmin, 29, memberitahu, kumpulannya mendapat undangan rasmi untuk menyertai ekspo itu daripada pihak penganjur, Target Exposition.

Dia yang mula mengumpul model permainan Transformers sejak 11 tahun lalu berkata, alat permainan yang dipamerkan di ekspo itu merupakan milik 38 orang ahli TransMy.

"Model permainan ini telah diasingkan dalam 13 ruang. Ia disusun mengikut kronologi tahun siri kartun dan tahun keluaran barangan itu dijual oleh Hasbro Inc. dan Takara Co. Ltd. Ahli TransMy di ekspo ini akan membantu memberi maklumat mengenai setiap model permainan secara sukarela.

"Sepanjang ekspo, ahli TransMy mahu memberi maklumat mengenai mengumpul alat permainan bukan sekadar hobi. Kami juga berkongsi mengenai nilai sesebuah model itu yang mempunyai harga tinggi di pasaran," ujarnya.

Tambahnya, empat karakter Transformers iaitu Optimus Prime, Bumblebee, Megatron dan Starscream merupakan model permainan popular dalam kalangan peminat tegar kartun itu.

TransMy kini mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli di seluruh Malaysia. Kebanyakan ahli TransMy mempunyai koleksi model permainan yang jarang ditemui dalam pasaran tempatan yang dibeli secara dalam talian dari luar negara seperti Perancis, Amerika Syarikat dan United Kingdom.


SEBANYAK 1,520 model permainan Transformers dipamerkan untuk tatapan para pengunjung.


Kereta

Sebaik sahaja melepasi ruang pameran koleksi model permainan, pengunjung berpeluang menyaksikan kereta Chevrolet Camaro SS berwarna kuning yang merupakan watak Bumblebee dalam tiga siri filem Transformers.

Model kereta yang diimport dari Amerika Syarikat itu merupakan satu-satunya versi Transformers yang dipamerkan di Malaysia. Bagi pengunjung yang meminati model kenderaan itu, anda dapat melihat secara lebih dekat bahagian luar dan dalam kereta yang sememangnya seperti watak Bumblebee.

Pengunjung berpeluang menyaksikan maklumat mengenai sejarah Transformers dengan kaca mata tiga dimensi (3D) pada paparan skrin televisyen. Melalui paparan itu, pengunjung akan menyaksikan sinopsis sembilan siri kartun dan tiga filem Transformers.

Pengurus Besar Target Exposition, Jovin Foong memberitahu, ruang pameran keempat ekspo iaitu Peta 3D merupakan antara tarikan utama kepada pengunjung selain dua patung gergasi watak Optimus Prime dan Bumblebee.

Menurutnya, Peta 3D merupakan rangkuman sejarah penubuhan siri kartun Transformers yang disampaikan dalam bentuk yang lebih interaktif.

"Peta 3D dihasilkan daripada pancaran projektor dan pengunjung dapat melihat pergerakan dan formasi watak-watak Transformers mengikut alunan muzik. Melalui pertunjukan itu, pengunjung juga dapat menonton pertembungan Transformers dengan watak antagonis siri kartun dan filem tersebut iaitu Cybertron," ujarnya.

Tuan rumah pertama

Menurutnya, pihak penganjur menyasarkan seramai 200,000 pengunjung sepanjang 17 hari ekspo itu berlangsung.

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah pertama di dunia untuk penganjuran Ekspo Transformers sempena ulang tahun ke-30 siri kartun itu. Segala pengisian ekspo itu dicetuskan oleh Hasbro dan telah diolah dan direalisasikan oleh Target Exposition di Genting Highlands.

PATUNG watak Optimus Prime setinggi tujuh meter menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk mengambil gambar.


"Segala idea Target Exposition disambut baik oleh pihak Hasbro di Amerika Syarikat. Sehubungan itu, pihaknya mahu menjadikan Malaysia sebagai lokasi pertama ekspo yang bertaraf antarabangsa itu," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di ekspo itu.

Ruang ekspo yang kelima sesuai untuk aktiviti interaktif kanak-kanak sebelum menyaksikan model patung Optimus Prime dan Bumblebee.

Model yang mengikut saiz sebenar seperti ciri fizikal dan spesifikasi dalam siri filem Transformers yang ketiga iaitu Dark of the Moon menjadi ruang yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Kebanyakan pengunjung mengambil peluang bergambar bersama Optimus Prime yang setinggi tujuh meter manakala Bumblebee pula setinggi lima meter.

"Kedua-dua model patung ini dihasilkan di Malaysia dan diperbuat sepenuhnya daripada fiber. Bukan sekadar kanak-kanak, golongan dewasa juga kebanyakannya kagum dengan rekaan yang kelihatan sama seperti dalam filem," kata Jovin.

Ekspo sempena ulang tahun ke-30 Transformers yang kedua akan dianjurkan di Toronto, Kanada pada bulan Julai nanti. Penganjuran ekspo di Kanada itu merupakan sempena promosi filem Transformers: Age of Extinction yang bakal menjengah panggung pada bulan Jun.

Memori kopi luwak Indonesia

Posted:

Memori kopi luwak Indonesia

Memori kopi luwak Indonesia


BIJI kopi luwak dipanggang sebelum dihidangkan kepada pelanggan.


PELIK rasanya ketika menghirup kopi susu di sebuah warung berdekatan dengan kediaman penulis di Puchong, teringat semula kenangan manis saat bercuti di Indonesia beberapa bulan lalu.

Peluang bercuti selama empat hari tiga malam di Bali pada September tahun lalu, masih mekar diingatan terutamanya ketika menghirup kopi luwak di Kopi Bali House di Ubud.

Kopi luwak yang merupakan daya tarikan utama di Bali antara kopi termahal di dunia malah turut melibatkan cara pembuatan yang pelik.

Difahamkan, para petani akan memetik buah kopi yang terbaik sebelum luwak iaitu sejenis binatang seakan-akan musang memakan buah kopi itu. Kemudian, terhasillah biji kopi melalui najis luwak.

Sesiapa yang mengetahui cara pembuatan biji kopi luwak pasti meremang bulu roma. Tetapi bagi penulis yang merupakan penggemar kopi, perkara itu sedikitpun tidak menghalang perasaan untuk merasai kenikmatan kopi berkenaan.

Saat tiba di Kopi Bali House yang kelihatan seperti warung itu, perkara pertama yang menyambut kedatangan penulis adalah aroma biji kopi yang sudah dipanggang secara tradisional.

Duduk sahaja di meja, terdapat pelbagai minuman kopi luwak yang disediakan termasuk hidangan teh. Ada antara kopi yang sudah dicampur dengan pelbagai herba seperti ginseng.

Kegemaran penulis ialah kopi susu. Keadaan di Ubud pada petang itu sedikit dingin adalah teman terbaik apabila hirupan demi hirupan menyuntik kepuasan yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Ketika mahu pulang, sempat penulis membeli kira-kira dua peket kopi luwak untuk diminum di tanah air. Kopi berkenaan dijual mengikut gram (g) iaitu 50 g pada harga 200,000 rupiah (RM54).

Selain keenakan kopi, Bali yang popular sebagai lokasi percutian bagi pencinta lautan, turut mempunyai tarikan yang lain.

Gunung berapi

Antara yang menarik perhatian penulis ialah menyaksikan sendiri gunung berapi di Kintamani. Lokasinya yang dingin menawarkan panorama indah di sekeliling gunung berapi itu.

Dari jauh jelas kelihatan di lereng gunung berapi tersebut berwarna hitam dan terdapat kepulan awan seakan-akan asap yang keluar dari kawah gunung itu.

Penulis diberitahu gunung berkenaan selamat dan tidak aktif. Selepas memastikan keadaan selamat barulah perasaan mahu merakam gambar di situ muncul.


PENULIS (kanan) meluangkan masa bersama rakan-rakan sambil menikmati kopi luwak dan teh yang disediakan.


Destinasi seterusnya ialah panggung wayang. Ramai dalam kalangan kenalan rapat mentertawakan penulis kerana sanggup berhabis sehingga RM30 semata-mata untuk menonton wayang di situ.

Lokasinya di pusat beli-belah Beach Walk XXI, Kuta yang terletak berhampiran tempat penginapan penulis di Hotel Sun Royal.

Tajuk filem yang dipilih ialah Cinta Brontosaurus. Tujuan utama penulis menonton sendiri filem genre komedi seram ini adalah untuk menyaksikan gelagat penonton panggung wayang dalam kalangan masyarakat setempat.

Seperti lazimnya, tiada apa yang membezakan budaya menyaksikan filem di pawagam Malaysia dan Indonesia.

Masakan Padang

Masakan Padang yang menjadi buah mulut pelancong di Bali, Indonesia juga tiada bezanya dengan masakan di Malaysia. Penulis memilih Restoran Sederhana.

Menyediakan hidangan lauk-pauk ala bufet antaranya, sambal terung dan ayam goreng masak merah.

Rasanya sedikit berempah dan tidak terlalu pedas bertepatan dengan selera penulis. Air Pokat hasil perahan jus avokado menjadi satu-satunya hidangan di restoran itu yang sedikit berbeza.

Selain itu, penulis turut berkunjung ke Tagalang iaitu lokasi tanaman padi bukit di Indonesia. Tidak lengkap percutian penulis jika tidak mencecahkan kaki di permukaan laut Bali yang terletak di Dreamland Beach.

Misi mencari cenderahati buat keluarga dan rakan terdekat menjadi lebih mudah saat berkunjung di Krisna Oleh-Oleh Khas Bali di Kuta.

Nasihat penulis jangan sesekali melayan penjaja barangan cenderahati di jalanan kerana khuatir ditipu. Pengalaman penulis sendiri kerugian hampir RM10 walhal harga sebenar rantai kunci berkenaan hanya RM3)di Krisna Oleh-Oleh Khas Bali.

Sedikit malang buat penulis kerana tidak berkesempatan menyaksikan persembahan tarian api kecak di Uluwatu. Perasaan sedih itu berjaya diubati dengan hanya meminum kelapa muda segar di situ.

Lengkap sudah cerita percutian penulis pada kali ini. Semoga selepas ini, penulis berpeluang berkunjung ke negara Eropah, Korea atau Jepun sambil berendam dalam salji.

Perkhemahan serba santai

Posted:

Perkhemahan serba santai

Perkhemahan serba santai


SETIAP khemah disediakan antara dua hingga empat buah katil termasuk kipas.


KEDINGINAN lantas 'menggigit' tubuh badan sebaik kaki melangkah keluar dari kereta. Kepenatan menempuh perjalanan kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur umpama tidak dirasai ekoran kenyamanan suasana di Tanah Aina Farrah Soraya yang merupakan sebuah resort di dalam hutan di Raub, Pahang.

Uniknya, resort di alam semula jadi ini turut menawarkan penginapan dalam khemah yang lengkap dengan katil dan kipas. Lebih menarik, bauan harum dari racikan daun pandan menyambut kedatangan para tetamu di dalam khemah itu.

Kesemua 16 khemah itu dibina berdekatan sungai sekali gus mewujudkan suasana lebih sejuk dan tenang. Tidur anda pasti dibuai mimpi indah tatkala mendengar derusan sungai dan bunyi unggas bersahut-sahutan.

"Para tetamu tidak perlu bimbang kerana khemah ini bebas daripada gangguan serangga. Bagi memberikan percutian serba indah kepada para tetamu kami turut menyediakan kemudahan asas seperti tilam dan kipas.

"Khemah ini juga sesuai untuk mereka yang datang berpasangan, percutian bersama rakan-rakan mahupun bersama keluarga. Dalam satu masa, kawasan perkhemahan ini mampu mengisi kapasiti maksimum 60 pengunjung," kata Pengurus Tanah Aina Farrah Soraya, Zulhairi Dzulkafly.

Harga

Setiap khemah boleh diisi dua hingga lima orang dalam satu masa.

Harga yang ditawarkan berpatutan iaitu RM235 seorang bagi dewasa dan RM188 seorang bagi kanak-kanak untuk satu malam.

"Harga tersebut turut merangkumi makanan iaitu sarapan, makan tengah hari dan minum petang," jelasnya.

SETIAP dormitori mempunyai kapasiti antara empat hingga 10 pengunjung.


Tambahnya, harga yang berbeza dikenakan pada hari Jumaat hingga Ahad serta hari cuti umum iaitu RM255 untuk dewasa dan RM208 untuk kanak-kanak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Mengulas lanjut, Zulhairi berkata, pihaknya turut menyediakan pilihan bagi mereka yang tidak mahu menginap di khemah antaranya calet utama, calet bulan madu dan dormitori.

"Jika anda mahu menginap di sini dalam kapasiti yang ramai atau berkumpulan, kami ada menyediakan calet dormitori dengan keupayaan menempatkan empat hingga 10 orang dalam setiap bilik.

"Meranti, Jati, Cengal, Balau dan Kempas adalah nama setiap bilik yang terdapat dalam calet dormitori, Harga yang ditawarkan pula bermula RM196 sehingga RM320 sebilik," katanya.

Bagi pengunjung terutamanya warga kota yang ingin lari seketika daripada hiruk-pikuk bandar raya, Tanah Aina Farrah Soraya menyediakan ketenangan yang anda cari.

Dibina di atas tanah seluar 60 hektar dengan ketinggian 1,700 meter dari paras laut, ia pasti menjanjikan percutian yang sempurna di samping memupuk perasaan cinta terhadap alam sekitar. – AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved