Jumaat, 7 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Selesa dengan lawak kampung

Posted:

Selesa dengan lawak kampung

Selesa dengan lawak kampung

PERSAINGAN dalam industri hiburan tempatan tidak hanya tertumpu pada cabang seni lakon dan muzik sahaja, malah pentas komedi yang dikuasai oleh pelawak-pelawak yang tampil dengan cara persembahan berbeza juga semakin diterima ramai.

Pertandingan seperti Raja Lawak, Maharaja Lawak dan Maharaja Lawak Mega (MLM) yang dianjurkan saban tahun tidak pernah gagal meraih pengikut yang dilihat semakin bertambah selari dengan kemunculan bakat-bakat baharu yang mewarnai dunia komedi tanah air.

Selain bijak mencuit hati para penonton menerusi lawak jenaka yang dipersembahkan, mereka begitu komited dalam memberikan persembahan yang berkualiti tanpa mengira rasa jemu. Selain itu, bakat-bakat ini juga terbukti mampu menguasai bidang seni yang lain termasuklah bidang lakonan dan nyanyian.

Tidak terlepas daripada suluhan lampu dunia glamor, kumpulan Shiro yang kini makin mendapat tempat di hati peminat mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan momentum mereka dalam memberikan persembahan berkualiti kepada penonton.

Lawak kampung

"Kami selesa mengetengahkan lawak kampung," ujar Ajak ringkas atau nama sebenarnya Mohd. Hanffi Razak, 27, ketika ditemu bual pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N'dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Jelasnya, lawak yang dipersembahkan (lawak kampung) sememangnya senang diterima oleh semua lapisan masyarakat. Ia tidak terlalu rumit dan penonton mampu untuk memahami isi kandungan komedi yang cuba disampaikan.


PERSEMBAHAN pada pusingan separuh akhir bersama Awie pada minggu lalu dilihat sebagai klimaks persembahan Shiro.


"Kebanyakan penonton yang setia mengikuti program Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) datangnya dari kampung. Jadi, tidak salah rasanya lawak-lawak seperti ini diketengahkan. Pada pendapat saya, jarang rasanya peguam menonton MLM 2013," ujar Ajak berseloroh.

Menyertai pertandingan seperti ini memerlukan daya pemikiran yang kreatif dan kritis. Selain itu, tempoh masa yang suntuk untuk membuat persediaan menyebabkan setiap peserta harus bertungkus lumus dalam usaha memberikan persembahan yang menarik buat penonton.

Bagi Shahrol Azizie Azmi, 29, atau lebih senang disapa Shahrol, dia mempunyai cara tersendiri dalam mencari idea bagi menghidupkan lagi persembahan Shiro sewaktu beraksi.

"Bagi saya, tempat yang sunyi dan tenang banyak memberikan ruang untuk berfikir dan memerah idea bagi dipersembahan setiap minggu.

Namun, Ajak lebih menggemari tempat-tempat pelik seperti hospital dan stesen kereta api," jelas Shahrol yang gemar mengkaji gelagat orang ramai agar dapat digunakan dalam persembahannya bersama Ajak.

Pelawak baharu

Walaupun kedua-dua jejaka yang berasal dari negeri Johor ini pernah menjuarai pertandingan Raja Lawak musim keenam, kehadiran mereka dalam industri hiburan, terutamanya dalam bidang komedi seperti dipandang sepi dan tidak mampu untuk berdiri sebaris dengan bekas peserta Raja Lawak yang lain.

Namun begitu, setelah mengambil keputusan untuk menyertai MLM 2012 dan 2013, nama Shiro semakin rancak meniti di bibir peminat. Menyedari hakikat itu, Shiro berkata, mereka tidak pernah terfikir untuk kekal selesa dalam liga yang dicipta mereka sendiri.

MENJADI pemenang tempat ketiga MLM 2012, adakah Shiro mampu menjadi juara MLM 2013 yang berlangsung pada malam ini?


"Kami menjuarai Raja Lawak musim keenam pada tahun 2012. Ketika itu, program tersebut telah berpindah dari saluran percuma, kepada saluran berbayar.

"Sedikit sebanyak, jumlah penonton berkurangan kerana Astro Warna merupakan saluran berbayar. Jadi, kemenangan kami mungkin disedari oleh sebilangan kecil penonton yang betul-betul mengikuti perkembangan kumpulan Shiro dari minggu pertama hinggalah ke minggu akhir.

"Setelah mula dikenali menerusi MLM 2012, kami berasa sungguh bersyukur. Sewaktu pergi ke Kuala Selangor baru-baru ini, sebilangan Orang Asli di sana turut mengenali kami. Itu yang membuatkan kami mahu berusaha dengan lebih kuat bagi memberikan yang terbaik kepada peminat," jelas Ajak menyifatkan yang perjalanan karier mereka masih jauh jika mahu dibandingkan dengan rakan-rakan seperjuangan lain.

Tuah humor Awie

Persembahan Shiro pada minggu ke-12 bersama penyanyi rock terkenal, Awie mendapat sambutan yang hangat daripada para penonton.

MLM 2013 yang bersiaran secara langsung dari Dewan MPJB Johor Bahru, Johor itu menyaksikan sebuah gabungan unik yang menampilkan sisi berbeza kedua-dua mereka.

Hanya mengambil masa beberapa jam berlatih bersama Awie sebelum naik ke atas pentas, Shiro dan Awie hanya berbual melalui telefon bagi membincangkan tentang idea dan perancangan tentang gabungan mereka pada malam itu.

"Selama seminggu, saya dah Shahrol hanya bercakap dengan Awie melalui telefon sahaja. Segala perancangan dan idea terpaksa dibincangkan menerusi panggilan telefon.

"Akibat sibuk dengan jadual kerja yang agak padat, kami dapat menjalankan latihan sekitar pukul 7.30 malam bersama Awie sebelum bersiaran secara langsung pada pukul 10 malam," ujarnya.

Dalam pada itu Shahrol menambah, idea bagi persembahan tersebut datangnya daripada Awie sendiri dan mereka hanya menambah beberapa perkara bagi menjadikan gabungan tersebut lebih menarik.

"Awie merupakan seorang selebriti yang cukup berbakat. Dia sangat profesional dan terkenal dengan sifatnya yang kelakar. Jadi, selepas memberikan idea tersebut, kami tidak teragak-agak untuk mempersembahkannya. Tidak sangka ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," ujar Shahrol.


SHIRO mampu bertahan kerana keserasian dan kesefahaman yang dibina antara satu sama lain.


Saingan sengit

Kalah atau menang merupakan adat bagi sesebuah pertandingan. Sewaktu menyertai MLM 2012, Shiro yang memulakan langkah sebagai juara Raja Lawak musim keenam selesa apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga program tersebut.

Kali ini, selepas beberapa kali tampil dengan persembahan yang hebat, ramai yang mengatakan bahawa Shiro bakal menjuarai MLM 2013.

Bersyukur dan menghormati andaian yang dibuat, Ajak berkata, selain memerlukan persembahan berkualiti, saingan yang diberikan oleh para peserta pada penganjuran MLM 2013 kali ini begitu sengit.

"Para peserta yang berjaya untuk beraksi pada final MLM 2013 begitu hebat. Kebanyakan daripada mereka merupakan bekas juara Raja Lawak dan mempunyai peminat yang ramai.

"Jika ada yang mengatakan kami bakal menggondol gelaran juara, kami terima dengan hati yang terbuka.

"Setakat ini, kami tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap gelaran juara. Apa pun, kami akan mencuba sehabis baik pada malam final nanti," ujarnya mengakhiri perbualan.

Hamil, berat Didie naik sembilan kilogram

Posted:

Hamil, berat Didie naik sembilan kilogram

Hamil, berat Didie naik sembilan kilogram

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my

DIDIE mengakui, dia perlu banyak berhati-hati dan kerap melakukan pemeriksaan di hospital kerana hamil pada usia selepas 40-an.


CAHAYA mata yang dikurniakan Allah SWT merupakan rezeki yang paling bermakna buat pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga.

Apatah lagi, kurniaan itu dapat menambahkan keceriaan pada pasangan tersebut bersama dengan suami serta anak-anak yang lain. Situasi ini dapat digambarkan secara jelas oleh pelakon dan pelawak terkenal, Didie Alias.

Ketika berpeluang bertemu dengannya pada majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, aktres berusia 41 tahun itu ternyata begitu gembira tatkala menerima perkhabaran tentang kehamilannya lebih kurang tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali berkata, berat badannya meningkat dengan mendadak walaupun usia kandungannya baru mencecah empat bulan.

Ibu kepada Nurdania Ridzuan, 21; Muhammad Daniel, 20; Nur Dinie Ridzuan, 18, Nur Dayini, 16; dan Nur Diyana, 15, itu turut gusar dengan risiko kandungannya yang dipengaruhi oleh faktor usia yang agak lanjut.

Ikuti temu bual selanjutnya mengenai kandungan pertama Didie bersama suami kedua, Norisham Ismail dan perkembangan terbaharunya dalam bidang lakonan serta perniagaan.

Kosmo!: Tahniah dengan kehamilan keenam Didie. Bagaimanakah rasanya hamil pada usia melebihi 40 tahun?

DIDIE: Terima kasih. Sejujurnya, saya agak risau sewaktu mengambil keputusan untuk hamil. Doktor turut memberitahu bahawa kehamilan pada usia lanjut sangat berisiko tinggi tetapi ia dapat dielakkan jika saya sering melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital. Selain itu, penjagaan kesihatan yang rapi turut dititik-beratkan.

Apakah perbezaan ketara yang Didie alami sekarang berbanding kehamilan sebelum ini?

Tiada apa yang berbeza cuma pada awal kehamilan, saya sering mengalami mual-mual pada waktu pagi. Walaupun begitu, selera makan saya pula makin bertambah. Jika tidak kemana-mana, saya akan duduk di rumah dan makan. Berat saya sebelum hamil hanya 49 kilogram tetapi sekarang sudah mencecah 58 kilogram.

Agak kurang normal bagi orang yang sedang hamil kerana sewaktu hamil anak kelima, berat badan saya mencecah 60 kilogram pada bulan kesembilan kehamilan. Bayangkan jika saya tidak menjaga makan, mungkin berat badan saya akan makin bertambah! (Sambil ketawa).

DIDIE ALIAS mengalami berat badan yang agak mendadak dalam tempoh kehamilan empat bulan.


Apakah reaksi keluarga mengenai berita gembira ini?

Tentu sekali suami saya dan keluarga sebelah mertua merupakan individu-individu yang paling gembira saat saya memberitahu tentang kehamilan ini. Insya-Allah, bayi ini bakal menjadi cucu pertama ibu mertua saya.

Bagaimanakah penerimaan anak-anak yang lain terhadap berita kehamilan Didie?

Anak-anak saya begitu gembira apabila mengetahui mereka bakal mendapat adik baharu. Lebih-lebih lagi anak lelaki sulung saya, Daniel yang tidak sabar menunggu kelahiran adiknya ini. Anak-anak saya yang lain turut sama membantu menguruskan saya jika mereka ada kelapangan.

Ada meletakkan harapan pada jantina bayi?

Sejujurnya, saya teringinkan anak lelaki tetapi saya tidak menolak sebarang rezeki yang Allah berikan. Lelaki atau perempuan saya terima dengan hati yang terbuka.

Apakah perkembangan terbaharu bisnes bengkel motor dan jualan baju Didie?

Alhamdulillah, perniagaan saya masih berjalan lancar. Buat masa ini, bengkel motor S4M Motorsports Big Bike Garage dikawal selia oleh anak buah saya manakala saya sibuk mereka rekaan baharu untuk koleksi akan datang.

Bagaimanakah dengan aktiviti lakonan Didie? Jika Didie menerima tawaran, bagaimana anda ingin melakonkan watak wanita normal?

Buat masa ini saya masih lagi menerima tawaran berlakon. Mengenai saiz perut, saya masih lagi boleh menutup dengan mengenakan pakaian besar dan longgar agar kehamilan saya tidak nampak ketara. Selain itu, saya mengehadkan aktiviti-aktiviti lasak dan menerima karakter komedi sahaja.

Muzika Ekstravaganza ikat dua negara

Posted:

Muzika Ekstravaganza ikat dua negara

Muzika Ekstravaganza ikat dua negara


BARISAN artis yang terlibat dalam konsert Muzika Ekstravaganza bergambar bersama wakil pihak RTM (Malaysia) dan MediaCorp (Singapura) pada sidang akhbar yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin.


DALAM usaha mengetengahkan bakat-bakat baharu, terutamanya dalam bidang nyanyian, pelbagai inisiatif dilakukan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk menonjolkan bakat masing-masing.

Ternyata, usaha seperti ini dapat dilihat melalui penganjuran konsert Muzika Ekstravaganza oleh RTM bersama MediaCorp yang menggabungkan barisan artis-artis baharu terkemuka tanah air dan Singapura.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, konsert Muzika Ekstravaganza yang telah memasuki tahun kelapan penganjuran ini bakal menyaksikan kelainan dari segi penyampaian dan persembahan artis-artis yang terlibat.

"RTM tidak pernah selesa dengan setiap pencapaian yang dikecapi. Setiap kali menganjurkan konsert Muzika Ekstravaganza, pihak kami akan cuba sedaya upaya untuk mencabar diri bagi melakukan sesuatu yang lain daripada yang lain.

"Justeru, pada kali ini, persembahan yang bakal ditampilkan cukup berbeza. Ini termasuk lagu-lagu yang akan didendangkan serta barisan penyanyi yang mengambil bahagian," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Jailani, selain membuka peluang kepada artis-artis menonjolkan bakat, hubungan erat yang terjalin antara dua buah negara turut dapat diperketatkan sempena penganjuran konsert tersebut.

SOO WINCCI teruja kerana pertama kali terbabit dalam program yang telah memasuki tahun kelapan penganjurannya.


"Sesuai dengan tema konsert iaitu The Power of Dreams, kami juga mahukan hubungan yang terjalin antara dua buah negara sentiasa rapat dan kukuh sehingga bila-bila," katanya lagi.

Dalam pada itu, Jailani menambah, RTM menyasarkan seramai satu juta penonton bakal menonton konsert tersebut secara langsung.

"Saya yakin, jumlah itu dapat dicapai dengan adanya kemudahan menonton secara online dan hebahan oleh penyanyi yang mengambil bahagian menerusi laman sosial mereka seperti Twitter, Facebook dan Instagram," katanya lagi.

Sementara itu, menurut artis serba boleh, Soo Wincci, ini merupakan penglibatan pertamanya dalam konsert Muzika Ekstravaganza dan bakal berduet dengan Sleeq menerusi lagu Sahabat.

"Saya sungguh tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan Sleeq kerana mereka sangat berbakat. Selain itu, saya turut akan mempersembahkan single kedua saya berjudul Musim Asmara," jelasnya.

Turut hadir memeriahkan majlis, Naib Presiden Kanan MediaCorp, Suhaimi Jais.

Menampilkan gandingan pengacara dari Malaysia, Muaz Mohamed dan Huda Ali (Singapura), Konsert Muzika Ekstravaganza bakal membariskan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Black, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Soo Wincci, Mawi, RJ dan Kumpulan Paladdin, Aliff Aziz, Sleeq, Maiya Rahman dan Daly Filsuf.

Konsert tersebut akan bersiaran secara langsung pada pukul 8.30 malam ini menerusi saluran TV2 dan MediaCorp TV 12 Suria (Singapura). - IZWAN MOHD. ISA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved