Isnin, 17 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kak Engku bantai Fathia

Posted:

Kak Engku bantai Fathia

Kak Engku bantai Fathia

KAYANYA teater bangsawan terletak pada penceritaan, ada magis, ada manis, ada fantasi dan tersirat pengajaran. Perihal itu disampaikan menerusi pementasan teater Bidasari yang telah mula dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.

Teater itu dilakonkan oleh Nur Fathia sebagai Bidasari, Aiman Hakim Ridza (Tengku Indra), Hairul Azreen (Tengku Iskandar) dan Raja Azura (Permaisuri Laila Sri) sebagai tunjang utama.

Malangnya, hal yang harus diakui bahawa watak Bidasari yang dilakonkan oleh Fathia kurang menyerlah ketika pementasan pertama bersama media pada 10 Februari lalu.

Memandangkan Bidasari sendiri diangkat sebagai subjek cerita dan fokus utama, kekurangan itu dilihat sebagai satu percaturan yang salah apabila menenggelamkan karakter utama yang dinanti-nantikan penonton.

Sebaliknya, watak Permaisuri Laila Sri lakonan Raja Azura atau popular disapa Kak Engku jauh lebih berkualiti dan berjaya membawa penonton menerokai perjalanan kisah penglipurlara Melayu itu.

Kak Engku mencuri perhatian menerusi lantunan suaranya yang lantang dan karakter kejam permaisuri yang berjaya disampaikan secara bersahaja.

Selain itu, ada beberapa babak yang melibatkan Kak Engku memukul Nur Fathia yang melakonkan watak Bidasari secara bersungguh-sungguh hingga mengundang jeritan teruja penonton.

Snow White Melayu

Naskhah Bidasari atau sering disamakan dengan Snow White versi Melayu itu menceritakan seorang gadis cantik yang menjadi saingan semua wanita termasuk Permaisuri Laila Sri.


LAKONAN Raja Azura dalam Bidasari dikatakan lebih menyerlah berbanding Nur Fathia.


Bidasari merupakan anak angkat seorang saudagar yang berkongsi nyawa dengan seekor ikan. Dek cemburu, permaisuri jahat itu mengumpan Bidasari untuk tinggal di istana dan 'menidurkannya' menerusi nyawa ikan tersebut.

Akhirnya, hikmah seutas kalung telah berjaya membuka semula sumpah itu dan menghidupkan kembali Bidasari sekali gus menghapuskan Permaisuri Laila Sri.

Kenapa sering disamakan dengan pengkisahan Snow White? Salah satunya jalan cerita watak utama ditidurkan dan dihidupkan semula menerusi magis, adanya karakter permaisuri jahat dan hero yang menyelamatkan si puteri.

Permaisuri jahat pasti akan melengkapkan sesebuah cerita tentang penganiayaan seorang gadis cantik dan baik. Begitu juga teater Bidasari yang telah melonjakkan keupayaan pemain watak itu, Raja Azura.

"Perempuan jahat memang selalu orang nampak walaupun satu babak. Kalau ditonton menerusi filem hitam putih Bidasari, karakter permaisuri kurang menyerlah.

"Jadi, saya menyuntik semua elemen yang sewajarnya mengikut pemahaman saya sendiri menjadi lebih dramatik, berkuasa dan kejam.

"Saya tidak suka menciplak karakter itu satu persatu tapi saya menaik tambah, selain menggambarkan watak itu dalam masa sama penonton akan terhibur," ujarnya yang menyuntik humor semasa terutama babak membabitkan dayang-dayang.

BIDASARI merupakan pementasan teater pertama yang menggandingkan Nur Fathia bersama Aiman.


Bersilat

Kali terakhir berlakon di pentas teater menerusi teater muzikal Sinbad pada tahun 2008, Raja Azura menyifatkan lakonannya kali ini mengubat kerinduan dan platform untuk dia lepas geram.

"Penonton lihat saya menyerlah mungkin kerana pengalaman, kalau dulu sayalah ratu di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lepas satu-persatu saya berlakon.

"Drama Pendekar kemudiannya melatih saya untuk mahir berpencak silat, dilambung tinggi-tinggi, diikat, ditolak, terbang dari pokok ke pokok dan kerana itu juga saya kebal untuk beraksi sekali lagi.

"Selepas datang menonton teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang tahun lalu, Abang Jo (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) mengajak saya untuk berlakon sekali lagi dalam teater ini dan saya tidak boleh berkata tidak kerana saya juga peminat naskhah ini.

"Diberi pula watak permaisuri jahat, memanglah makanan saya. Ibaratnya kalau sudah lama tidak berlakon, saya menjadi kemaruk dan melepaskan segala yang terpendam selama ini," jelasnya.

Ditanya adakah teater Bidasari berjaya membuka ruang hatinya untuk kembali berlakon selain menjadi penyampai radio sepenuh masa di Sinar FM ketika ini, jawab Kak Engku dia akan menerima sekiranya ada tawaran watak yang menarik.

"Takbir Suci arahan Rashid Sibir adalah telefilem terakhir yang saya berlakon. Memang rindu tapi jujur saya katakan jadual saya penuh sampai bulan Jun, risau tidak dapat memberikan komitmen dan menyusahkan pihak lain," katanya.


PEMENTASAN Bidasari berlangsung dari 10 Februari lalu dan bakal berakhir pada hari ini, 17 Februari.


Tambah Kak Engku, menariknya mengenai teater bangsawan contohnya Bidasari kerana tersurat adab dan perilaku bangsa Melayu yang ramah serta santun.

"Ramai yang tidak mengetahui cara untuk bercakap depan raja, generasi sekarang pun tidak mengerti makna sopan-santun, dengan adanya pementasan teater ini secara tidak langsung mampu mendidik penonton," ujarnya.

Dalam pada itu, aspek teknikal pementasan teater itu harus diberikan pujian. Permainan cahaya, audio, koreografi pentas, susunan plot, kualiti props gergasi, grafik, busana dan ensemble (penari dan pemuzik) yang mengalir sempurna melengkapkan teater Bidasari.

Rabecca lebih tenang berhijab

Posted:

Rabecca lebih tenang berhijab

Rabecca lebih tenang berhijab

Oleh IZWAN MOHD. ISA

RABECCA sangat bersyukur kerana hatinya kini sudah terbuka untuk berhijab.


PELAKON Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, atau Rabecca Al-Islam pernah dikecam hebat kerana sering berpenampilan seksi. Para peminat kepada aktres yang berusia 28 tahun ini turut membandingkan imej berani wanita itu dengan keindahan namanya yang nyata sangat jauh berlawanan.

Bagaimanapun, usai mengerjakan ibadah umrah pada minggu lalu, Rabecca sekali lagi mengejutkan para peminatnya apabila dia mengambil keputusan mengenakan busana menutup aurat serta mengenakan hijab.

Dia yang pernah popular menerusi drama bersiri Dejavu Di Kinabalu itu mengakui, kini dirinya berasa lebih tenang setelah tampil dengan imej baharu. Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Rabecca menerusi telefon baru-baru ini.

Kosmo!: Tahniah kerana Rabecca tampil dengan imej baharu. Mengapa anda mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya?

RABECCA: Setelah hampir dua minggu berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah, saya berasa kekok jika tidak mengenakan hijab di Kuala Lumpur. Perasaan tenang ketika berada di sana begitu kuat dirasai hingga ke hari ini. Insya-Allah, saya akan terus berpenampilan sebegini sehingga bila-bila.

Bagaimana Rabecca boleh terbuka hati untuk mengerjakan ibadah umrah?

Keluarga sebelah suami merancang untuk ke Mekah secara berkumpulan. Jadi, dia mengajak saya untuk turut serta. Namun, saya agak sibuk dan jadual kerja pula sangat padat. Bagaimanapun, ibu saya yang banyak menggalakkan dan memberi nasihat kepada saya untuk ikut serta bagi mengerjakan ibadah umrah. Katanya, ramai orang yang boleh bercuti ke luar negara tetapi tidak mampu untuk ke Mekah. Menyedari hakikat itu dan peluang yang sudah ada di depan mata, saya pun bersetuju untuk mengikuti rombongan tersebut.

Apakah persediaan Rabecca sebelum menjejakkan kaki ke Mekah?

Saya banyak mengikuti kursus serta membaca buku-buku berkaitan ibadah umrah.


HAMPIR dua minggu, Rabecca bersama suami mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini.


Apakah perkara yang paling Rabecca rindu setelah pulang ke tanah air?

Saya sangat rindu untuk melihat Kaabah kerana saya berasa sungguh tenang ketika berada di sana. Saya juga rindu untuk bersembahyang di Madinah. Apa yang membuatkan saya begitu gembira ketika berada di sana ialah kelancaran untuk beribadah. Saya sangat bersyukur kerana diberi ketenangan sebegitu oleh Allah S.W.T.

Bagaimanakah reaksi suami apabila melihat perubahan Rabecca?

Suami saya cukup terkejut apabila melihat saya pulang dari pejabat dengan memakai hijab. Namun, dia merupakan seorang suami yang sangat memahami dan menyokong setiap keputusan saya.

Sebelum ini, Rabecca terkenal dengan imej yang seksi. Apakah yang anda ingin lakukan terhadap baju-baju yang anda miliki?

Setakat ini, saya hanya ada sedikit koleksi baju yang menutup aurat, jadi saya harus mencari baju-baju baharu untuk menggantikan baju lama. Bagi baju-baju yang seksi, saya mengambil keputusan untuk menjualnya menerusi akaun Instagram saya. Jika berminat, mereka boleh membeli dengan potongan harga sehingga 80 peratus.

Adakah Rabecca ingin meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun sudah berhijab sepenuhnya?

Ya, saya tetap akan berlakon. Minat saya terhadap bidang seni sememangnya tidak pernah padam. Saya sangat suka berlakon dan akan terus bergelar sebagai seorang pelakon. Saya juga ingin mencuba untuk menjadi pengacara rancangan berunsur dakwah jika diberi peluang.

Apakah perkembangan terbaharu karier Rabecca?

Saya sekarang dalam proses untuk memulakan bisnes pengaturcaraan majlis bersama kakak saudara. Perniagaan ini juga melibatkan dekorasi pelamin untuk majlis perkahwinan. Buat masa ini, kami beroperasi di Kelantan tetapi saya masih cuba untuk mencari tempat yang sesuai untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.

Liyana Jasmay pilihan Sam

Posted:

Liyana Jasmay pilihan Sam

Liyana Jasmay pilihan Sam

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

ADA sebab kenapa Shaheizy Sam memilih Liyana Jasmay untuk berkolaborasi menerusi single, Bangun.


PADUAN vokal dua ikon industri hiburan tanah air, Shaheizy Sam dan Liyana Jasmay menerusi single terbaharu mereka, Bangun ternyata mempunyai keunikan tersendiri.

Dihasilkan menerusi kempen Nescafe On Sam, single ciptaan terbaharu komposer terkenal Audi Mok itu merupakan sebuah naskhah yang berkisar tentang perjalanan hidup Sam sepanjang kariernya sebagai penggiat seni lakonan dan nyanyian tanah air.

Penghasilan Bangun tercipta melalui percambahan idea kira-kira 50,000 peminat Sam yang menghantar cadangan lirik sepanjang dua bulan kempen Nescafe On Sam berlangsung.

Menurut Sam yang popular menerusi single duetnya bersama Yana Samsudin berjudul, Begini Caranya itu, dia sudah lama berhasrat untuk menyampaikan lagu hasil sumbangan lirik daripada peminatnya.

Sam menambah, melalui penghasilan lagu itu, ia dapat merapatkan hubungan antara peminatnya.

Selain itu, dia merasakan lagu tersebut sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang banyak membantunya untuk terus bertahan dalam dunia hiburan ini.

"Saya sungguh bersyukur menerusi penghasilan lagu itu, walaupun lahirnya saya dalam bidang hiburan bukan daripada bidang nyanyian, saya berusaha untuk menyampaikan lagu tersebut dengan cara saya sendiri.

"Saya senang bekerja bersama Audi Mok kerana dia memahami saya. dia tidak pernah mengkritik malahan memberi saya motivasi untuk terus bernyanyi," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Talent Lounge, Pusat Dagangan Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, ujar Sam, dia tidak bercadang untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai profesion utamanya.

LIYANA JASMAY dijadual melahirkan anak sulungnya menjelang bulan April ini.


Namun hero filem Adnan Sempit itu berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada bidang nyanyian.

"Berlakon merupakan karier saya, dan bidang nyanyian adalah salah satu cabang seni yang saya minati," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Liyana Jasmay sebagai artis duetnya, Sam berkata, dia memilih Liyana disebabkan penampilan dan gaya Liyana yang dikatakan berlainan daripada artis lain.

"Saya memilih Liyana sebagai artis duet disebabkan dia mempunyai gaya dan attitude yang tersendiri.

"Bagi saya, kesempurnaan vokal tidak penting. Apa yang penting, lagu tersebut dapat disampaikan dengan cara kami tersendiri.

"Selain itu, kami rasa senang bekerja bersama disebab sudah kenal lama sejak zaman persekolahan lagi," ujar Sam yang bakal membintangi filem baharu, Adnan Sempit Sawadikap.

Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon comel, Liyana Jasmay kelihatan ceria apabila ditanya mengenai penglibatannya dengan single Bangun.

"Saya rasa ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk bekerjasama dengan Sam dan Audi Mok, memandangkan ini merupakan projek yang pertama antara kami. Saya rasa amat selesa bekerjasama dengan mereka," ujarnya yang kini sarat mengandung anak pertama yang dijangka lahir pada bulan April ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perniagaan Minuman Nestle, Jasmmine Wong berkata, pemilihan konsep tersebut bertujuan memberi ruang kepada peminat Sam untuk lebih rapat bersama idola mereka di samping mengembangkan bakat nyanyiannya.

"Kami menerima maklum balas yang amat positif daripada peminat Sam sepanjang dua bulan kempen tersebut berlangsung.

"Ia merupakan satu penghormatan kepada kami untuk terus menjadi orang kuat di sebalik perjalanan karier nyanyian Sam pada masa akan datang," katanya.

Penonton yang ingin melihat klip video Bangun boleh melayari YouTube dengan kata kunci Bangun - #NescafeOnSam.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved