Sabtu, 15 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kemenangan luar biasa Lorde

Posted:

Kemenangan luar biasa Lorde

Kemenangan luar biasa Lorde

LORDE kini menjadi penyanyi kelahiran New Zealand yang sedang mendominasi pasaran muzik Amerika Syarikat.


LORDE barangkali tidak popular seperti penyanyi Katy Perry atau Miley Cyrus. Juga, cukup asing bagi peminat-peminat di Malaysia.

Namun, sejak lagunya Royals meraih anugerah Grammy 2014, nama penyanyi berasal dari New Zealand itu meledak naik. Apatah lagi dia berjaya mengalahkan Katy Perry yang telah 11 kali dicalonkan dalam anugerah Grammy sejak tahun 2009.

Tahun ini, Katy Perry sekali lagi dicalonkan untuk dua kategori iaitu Persembahan Solo Pop Terbaik dan Lagu Terbaik Sepanjang Tahun menerusi lagu Roar.

Tetapi, kedua-dua kategori tersebut dimenangi Lorde, pendatang baharu yang sudah mampu mengukir prestasi luar biasa pada usia yang masih 17 tahun!

Lorde bukan sahaja berjaya mengetepikan Katy Perry tetapi juga nama-nama besar lain seperti Bruno Mars, Justin Timberlake dan Sara Bareilles.

Menyedari lawannya semua nama-nama besar, Lorde seperti tidak percaya dengan kemenangan yang diperolehnya itu.

"Kemenangan ini merupakan satu perkara yang paling tidak terduga," ucapnya selepas diumumkan sebagai pemenang pada anugerah Grammy 2014 yang berlangsung pada 26 Januari lalu.

"Terima kasih pada semua yang menyukai lagu Royals dan membuat lagu ini popular," tambahnya lagi.

Pemilik nama penuh Ella Maria Lani Yelich-O'Connor itu juga menerima empat pencalonan dalam Grammy tetapi meraih dua kemenangan untuk Persembahan Solo Pop Terbaik dan Lagu Terbaik Sepanjang Tahun menerusi lagu Royals.

Sebaliknya dua pencalonan lain Lorde iaitu Rakaman Terbaik Sepanjang Tahun dan Album Sepanjang Tahun diraih oleh Daft Punk yang membawa pulang lima anugerah Grammy.

Tidak menyerah

Menyentuh mengenai lagu Royals, ia merupakan single pertama Lorde menerusi album mini sulungnya, The Love Club, yang dihasilkan pada bulan November 2012.

Tuah lagu Royals, apabila ia berjaya menduduki nombor satu di carta 40, New Zealand. Bahkan, berjaya mencapai nombor satu di carta Billboard Hot 100 pada tahun 2013. Ia sekali gus menjadikan Lorde penyanyi solo pertama New Zealand yang berada di puncak tangga carta Amerika Syarikat itu.

Dia mungkin masih remaja, namun Lorde percaya bahawa dia seorang yang berdikari. Buktinya, kata Lorde, walaupun cepat naik, dia tidak akan menyerah kepada tekanan populariti.

"Saya tidak akan bertindak aneh seperti Britney atau melakukan sesuatu seperti Amy, kerana saya dibesarkan dalam keadaan normal. Saya tidak boleh minum minuman keras pada usia sekarang dan tidak fikir jika saya mahukannya sehingga dewasa kelak," tegasnya.

Dia menambah: "Enam bulan lalu, tiada seorang pun yang mengenali diri saya. Tetapi sekarang semua orang mengejar saya. Walaupun situasi sudah berubah, saya tidak akan berubah atau membiarkan populariti mengubah diri saya yang sebenarnya."


KISAH peribadi Lorde kini juga mula menjadi tumpuan.


Ibu bapa

Sukses seorang anak itu juga adalah berkat sokongan ibu bapa. Hal itu juga berlaku kepada Lorde. Selepas memenangi dua kategori dalam anugerah Grammy 2014, ibunya, Sonja Yelich yang tinggal di New Zealand sangat terkejut.

"Sebagai ibu, saat saya duduk dan menonton kejadian itu (kemenangan Lorde) di kaca TV, saya amat terkejut. Saya juga sangat bangga dengan kejayaannya," ucap Sonja dalam sebuah temu bual di radio New Zealand Morning.

Sementara ayah Lorde, Vic O'Connor juga tidak menyangka anak perempuannya itu mampu memenangi dua kategori besar itu dan Vic juga bangga dengan pencapaian Lorde.

Rasa gembira dan bangga itu juga dirasai oleh Sekolah Takapuna Grammar, sekolah Lorde sejak tahun 2010 sehingga sekarang.

Selepas Lorde memenangi anugerah Grammy itu, pihak sekolahnya telah memasang banting besar lengkap foto Lorde dengan tulisan 'Tahniah'.

Kekasih

Lorde mempunyai kekasih berketurunan Cina bernama James Lowe.

Jejaka berusia 24 tahun itu telah menerima pelbagai kritikan orang ramai kerana usia dan bangsanya. Bagaimanapun, James masih setia dengan Lorde.

Baru-baru ini sahaja, James dilihat mengiringi teman wanitanya itu di Studios ABC di Sydney, Australia. Pasangan itu juga disertai oleh ibu Lorde, Sonja.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Daily Mail, hubungan kedua-dua remaja itu bermula tahun lepas sebelum Lorde mencapai kemasyhuran melalui lagu Royals.

Dalam satu temu bual dengan Rolling Stone, Lorde mengkritik reaksi orang ramai terhadap hubungannya bersama James.

Katanya: "Kadang-kadang anda tidak percaya apa yang mampu dilakukan manusia. Itulah sebabnya saya agak terkejut bila hubungan kami menjadi satu isu besar. Pada saya, tiada siapa yang boleh mempersoalkan hubungan saya dengan James."

Bahkan, ibu Lorde juga merestui hubungan anaknya itu.

"Saya tidak mengatakan, 'Anda boleh menjalinkan hubungan dengan jejaka berusia 24 tahun'. Tetapi, bapanya dan saya sudah mengenali James dan kami menyukainya.

"Dia (Lorde) mungkin muda tetapi Lorde membuktikan dia mampu berfikir dengan logik dan betul," katanya.

Zara Zya tak lupa diri

Posted:

Zara Zya tak lupa diri

Zara Zya tak lupa diri


ZARA ZYA akui dirinya masih mentah dalam industri lakonan.


TIDAK terfikir dalam benak fikirannya untuk meletakkan sebarang hak eksklusif terhadap dirinya dalam industri hiburan tanah air. Itu pendirian anak seni yang sedang menempa nama dalam industri hiburan, Zara Zya.

Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu secara tiba-tiba meraih populariti menggunung.

Ia tercetus selepas kemunculannya pada tahun lepas menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant yang berjaya meraih jumlah penonton mencecah 4.6 juta orang.

Biarpun dia kini sudah meniti tali populariti, Zara, 29, bagaimanapun merasakan dirinya masih belum layak untuk bergelar pelakon popular.

Malah, dia mengakui, dirinya boleh dikatakan masih terlalu mentah dalam dunia lakonan jika hendak dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang sudah lama berkecimpung dalam industri lakonan tanah air.

Biarpun merendah diri, namun keupayaan Zara menggondol trofi Anugerah Meletop Era 2014 baru-baru ini menerusi kategori Top Top Meletop Era, akhirnya membuktikan dirinya kini sudah mula mendapat tempat dan dikenali ramai.

Namun, kejayaan tersebut tidak dapat memadamkan perasaan takut daripada muncul dalam hati pelakon berkulit sawo matang itu,

Malah, Zara bimbang impak daripada kenaikan mendadak popularitinya dalam masa terdekat ini akan menyebabkan dirinya dipandang sebagai seorang artis yang sombong.

"Saya tidak pernah meletakkan bayaran yang tinggi ataupun demand jika saya dirisik oleh mana-mana syarikat produksi.

"Bagi saya, cukuplah sekadar bayaran yang diterima setimpal dengan usaha yang ditaburkan, itu pun sudah sangat memadai bagi saya.

"Walaupun kini saya diterima oleh peminat, saya menganggap ia satu penghargaan kepada saya untuk terus berusaha keras dan memberi yang terbaik kepada peminat," ujarnya yang sudah menapak lima tahun dalam bidang lakonan.

Pada majlis anugerah yang julung-julung kalinya dianjurkan itu berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Zara turut berjaya memenangi kategori Artis Baru Meletop menewaskan Azhael AF 2013, Faizul AF 2013, Syafiq Kyle dan Risteena Munim.

Dua kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Zara membawa pulang wang keseluruhan berjumlah RM15,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Mencari Datin

Zara mengakui, lakonannya sebagai watak Zaara dalam Love You Mr. Arrogant merupakan antara sebab namanya kini menjadi bualan ramai.

"Saya rasa teruja dan sangat gembira dengan kemenangan meraih dua Anugerah Meletop ini. Tidak sangka kali pertama dicalonkan, saya sudah dinobatkan sebagai pemenang.

"Saya percaya faktor kemenangan ini adalah kerana sokongan daripada peminat drama yang disiarkan dalam slot Akasia TV3 itu.

"Alhamdulillah, saya berasa amat bertuah apabila drama tersebut memberi impak kepada masyarakat sekali gus melonjakkan nama saya.

"Terselit perasaan gembira dan dihargai kerana penonton dapat merasai apa yang saya cuba sampaikan melalui lakonan saya," ujarnya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu dan perancangan masa hadapannya, ujar Zara, dia kini sibuk menjalani penggambaran untuk telemovie, Mencari Datin yang bakal disiarkan menerusi TV9.

"Bersyukur rezeki saya setakat dalam bidang lakonan amat memberangsangkan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan mutu lakonan.

"Saya tidak mahu penonton mengenali saya sebagai artis yang bermusim dan popular melalui satu drama sahaja.

"Insya-Allah, pada masa akan datang saya cuba untuk muncul menerusi produk baharu yang menjadi pencetus fenomena seperti drama sebelum ini," katanya.

Rahim pernah kecewa digelar 'penumpang'

Posted:

Rahim pernah kecewa digelar 'penumpang'

Rahim pernah kecewa digelar 'penumpang'

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


MENJADI lebih terkenal selepas bergabung dengan Sepahtu dalam MLM 2013, Rahim mengatakan dia tidak kisah kerana tidak ditarik terus menyertai kumpulan tersebut.


PEMBABITAN Rahim dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 bersama kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai juara serta membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000.

Di sebalik kejayaan yang diraih itu, pemilik nama sebenar Rahim Mat Ali itu mendedahkan pada peringkat awal bukan mudah buat dirinya untuk bergandingan dengan Jep dan Shuib sepanjang bersaing dalam MLM 2013 dengan peserta lain selama 13 minggu.

Selain mengakui agak sukar untuk mencari keserasian bersama pada peringkat awal, Rahim juga menyatakan dirinya pernah berasa kecewa apabila ada yang menganggap dirinya sebagai 'penumpang' kepada kumpulan tersebut.

Bercerita kepada Kosmo! ketika ditemui selepas berakhir MLM 2013 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor minggu lalu, Rahim menyatakan segala tanggapan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus berjuang.

Kosmo!: Apakah perasaan Rahim sendiri setelah Sepahtu dinobatkan sebagai juara MLM 2013?

RAHIM: Pastinya saya sangat gembira dengan kejayaan ini setelah melalui saingan yang sangat getir sepanjang 13 minggu pertandingan berlangsung. Bukan mudah untuk bersaing dengan peserta lain yang tampil dengan persembahan terbaik, malah kami pernah hampir tersingkir semasa saingan separuh akhir. Saya anggap kemenangan ini merupakan satu rezeki yang tidak dijangka sama sekali.

Bagaimanakah anda melihat gandingan bersama Sepahtu untuk bertanding dalam program ini?

Sebenarnya ia bukanlah gandingan yang mudah dan saya perlu mengambil masa agak lama untuk mendapatkan keserasian dengan Jep dan Shuib, tetapi dengan usaha keras yang dilakukan setiap minggu telah membuahkan hasil.

Ada sesetengah pihak yang berpendapat pembabitan anda sekadar menjadi 'penumpang' memandangkan nama Sepahtu sendiri sudah kuat. Apakah pandangan anda terhadap perkara tersebut?

Sejak dari awal lagi saya sudah dapat jangka akan ada pihak yang memandang sinis serta membuat perbandingan apabila saya menyertai Sepahtu dan tidak dinafikan saya pernah berasa kecewa dengan tanggapan sedemikian. Bagaimanapun, saya anggap itu semua sebagai pembakar semangat buat diri saya untuk berusaha lebih keras dan bersungguh-sungguh kerana ingin membuktikan kepada peminat yang pembabitan saya bukanlah sekadar 'penumpang' semata-mata.

Selepas berakhirnya MLM 2013, adakah anda akan terus bersama Sepahtu?

Pastinya ramai yang tahu, gabungan saya bersama Sepahtu merupakan sebuah projek khas dan pada mulanya kami dikenali sebagai kumpulan Sepahtu & Rahim R2, tetapi disebabkan terlalu panjang akhirnya kami sepakat untuk menggunakan nama Sepahtu sahaja. Selepas MLM 2013, kami kembali bergerak seperti biasa semula dan saya akan meneruskan karier secara solo. Sekiranya ada tawaran persembahan membabitkan gabungan saya dan Sepahtu, saya sedia terima sekiranya mempunyai masa yang terluang.

Apakah perancangan anda dengan wang kemenangan yang diraih itu?

Memandangkan saya sudah berkeluarga serta mempunyai isteri dan anak, sudah tentu keutamaan diberikan kepada mereka. Selain itu, saya akan lebih berhati-hati menguruskan kewangan dengan wang yang diperoleh ini.

Adakah anda akan menyertai pertandingan yang sama pada masa akan datang?

Buat masa ini saya masih belum terfikir lagi mengenainya dan ia bergantung kepada rezeki. Tidak mustahil juga kalau saya akan kembali bertanding dan bergabung dengan pelawak lain pula.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved