Selasa, 28 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rekod bersih Kelantan lebur

Posted:

Rekod bersih Kelantan lebur

Rekod bersih Kelantan lebur

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

KAPTEN Kelantan, badhri Radzi (depan) cuba dihalang pemain PKNS pada aksi yang berkesudahan PKNS menang 2-1 di Kota Bharu malam tadi.


REKOD tanpa kalah Kelantan musim ini lebur ditangan Selangor PKNS selepas tumpas mengejut 1-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors bermula hambar pada 20 minit pertama apabila setiap gerakan yang dilancarkan mudah dibaca pemain pasukan lawan.

Usaha tuan rumah untuk memburu jaringan awal akhirnya berhasil menerusi tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 yang melepasi jangkauan penjaga gol pelawat Mohd. Ramezey Che Ros.

Seminit kemudian, tonggak import Kelantan Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya melepasi palang gol biarpun ketika itu Ramezey sudah terkeluar daripada posisinya.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-39.

Dua minit berselang, pelawat mengukuhkan cengkaman menerusi gol kedua mereka hasil jaringan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor untuk menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.

Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-46.

Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.

Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudahpun ternganga.

Tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila peluang demi peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan dengan baik oleh jentera serangan The Red Warriors diketuai oleh Forkey Doe.

Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kes masih belum selesai

Posted:

Kes masih belum selesai

Kes masih belum selesai

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

DRAMA membabitkan sebahagian pemain skuad bola sepak Kuala Lumpur yang didakwa terlibat dengan isu rasuah dilihat masih belum ternoktah.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abdul Razak berkata, keputusan sama ada pemain-pemain terbabit didapati bersalah ataupun tidak hanya akan diketahui pada 3 Februari depan.

Ini kerana menurut beliau, masih banyak perkara yang perlu diteliti pihaknya termasuk kenyataan beberapa pegawai Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) selain perlu mempertimbangkan rayuan mana-mana 17 pemain yang telah tampil membantu keterangan setakat ini.

"Masih belum ada keputusan, jadi kena tunggu 3 Februari.

"Buat masa ini, kesemua proses keterangan pemain berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Pada mulanya, pihak kami menjangkakan segala-galanya selesai hari ini (semalam).

"Namun, kami perlu menyemak fakta kes setiap pemain terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman termasuk mungkin ada dalam kalangan pemain mengemukakan rayuan.

"Jadi, saya tidak boleh mengulas lanjut termasuk sama ada mereka (pemain) terbukti bersalah ataupun tidak," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Seramai empat lagi pemain Kuala Lumpur tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan semalam iaitu Muhammad Syafiq Johari, Mohd. Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd. Shukor dan Ahmad Jihad Ismail.

Antara pemain yang telah dipanggil bagi membantu siasatan sebelum ini termasuklah Muhamad Rafeef Raya, Mohd. Badrul Hisyam Azmi, Mohamad Ar'Rauf Roslee, Hishamuddin Othman, Muhammad Hanis Mohtar, Ahmad Dashila Tajudin, Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

Ketika ditanya mengapa Azizon dilihat turut hadir sekali lagi di Wisma FAM semalam, jelas Taufek, ia merupakan prosedur biasa kerana pada mulanya pihaknya menjangkakan segala-galanya selesai semalam.

"Persoalan sama ada bookie sudah dikenal pasti juga saya belum boleh dedahkan, jadi tunggu 3 Februari," kata beliau.

Untuk rekod, lima pemain Kuala Lumpur yang sebelum ini didapati bersalah terbabit dengan gejala rasuah dan mengatur perlawanan adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Rosle. Mereka didenda sebanyak RM20,000 dan digantung seumur hidup.

Ketua jurulatih dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky, penolong pengurus Rosli Omar dan pegawai pasukan, Saari Jani pula antara tiga pegawai yang disabitkan kesalahan dan turut menerima hukuman serupa pada 20 Disember tahun lalu.

Zhuliang ada perancangan tersendiri untuk Wendy

Posted:

Zhuliang ada perancangan tersendiri untuk Wendy

Zhuliang ada perancangan tersendiri untuk Wendy

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

KETUA jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang menegaskan dia mempunyai perancangan tersendiri ke atas Wendy Ng Yan Yee meskipun penerjun itu tidak tersenarai sebagai taruhan utama dalam acara seirama.

"Disebabkan itu, saya ada perancangan tersendiri buat Wendy. Meskipun dia bukan gandingan utama dalam acara 3 meter papan anjal seirama, saya tahu kekuatan serta kelebihan yang dia miliki," jelas Zhuliang.

Dengan prestasi agak konsisten, penerjun berusia 20 tahun itu digandingkan dengan Cheong Jun Hong pada musim lalu dan ternyata langkah tersebut tidak mengecewakan.

Kombinasi Wendy dan Jun Hoong pada aksi Siri Terjun Dunia pada 2013 berjaya membawa pulang tiga butir pingat gangsa daripada enam sirkit iaitu di Moscow, Edinburgh (England) dan Guadalajara (Mexico).

Mereka turut menambah koleksi pingat gangsa pada Grand Prix Amerika Syarikat yang berlangsung di Fort Lauderdale.

Bagaimanapun, kemampuan Wendy itu seolah tidak mencukupi bagi Zhuliang di mana jurulatih dari China itu tetap meletakkan Pandelela dan Jun Hoong sebagai gandingan utama dalam Kejohanan Dunia di Barcelona.

Malah, nama Wendy juga seolah tercicir sekali lagi pada Piala Dunia di Shanghai tahun ini.

Ketika disoal situasi tersebut, Zhuliang menjelaskan bahawa dia berhajat mahu menggandingkan Wendy dengan pendatang baharu, Nur Dhabitah Sabri pada saingan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Korea Selatan nanti.

"Saya akan teruskan gandingan Wendy-Jun Hoong dalam semua sirkit Siri Dunia manakala gandingan Pandelela-Jun Hoong akan kekal sebagai teraju utama.

"Kita bercakap berdasarkan pretasi dan pengalaman. Hingga kini, Pandelela-Jun Hoong adalah gandingan terbaik yang kita ada untuk dipertaruhkan dalam kejohanan utama.

"Tetapi, itu tidak bermakna peranan Wendy diketepikan. Saya mahu dia bersedia menghadapi dua acara sukan terbesar pada tahun ini.

"Saya akan cuba gandingkan (Wendy) dengan Dhabitah. Hingga kini, semuanya berjalan dengan baik. Lebih menarik, mereka mempunyai bentuk tubuh yang hampir sama dan ia adalah kelebihan dalam acara terjun seirama," jelas Zhuliang yang kini berada di Guangzhou bersama 16 penerjun lain serta dua pembantu jurulatih untuk menjalani latihan selama sebulan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved