Sabtu, 18 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Selangor bukan 'superstar'

Posted:

Selangor bukan 'superstar'

Selangor bukan 'superstar'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PEMAIN sayap Selangor, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan (kanan) diasak pemain T-Team pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ petang semalam.


JURULATIH Selangor, Mehmet Durakovic tidak mahu terlalu cepat mendabik dada dan berpuas hati dengan kejayaan menewaskan T-Team 2-0 pada aksi pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) petang semalam.

Mehmet berkata, beliau tidak mahu skuad kendaliannya dilabel sebagai pasukan gergasi dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun, bekas pengendali Melbourne Victory itu mengakui berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan barisan pemain skuad Gergasi Merah.

"Saya berpuas hati dengan persembahan anak-anak buah saya. Kami cuba bermain dengan baik. Meskipun permukaan padang kurang elok, kami berjaya menampilkan satu permainan yang cukup menarik.

"Kami berjaya menjaringkan dua gol dan mungkin boleh menambah dua lagi gol tetapi corak permainan kami sangat baik.

"Kami bukan skuad yang besar tetapi kami memiliki ramai pemain muda. Jadi, falsafah saya adalah mahu skuad ini bermain dengan cantik.

"Kami bukan pasukan berstatus 'superstar' tetapi Selangor memiliki pemain yang ada karakter. Semua pemain bermain dengan baik pada petang ini (semalam)," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada aksi tersebut, penyerang import Selangor, Paulo Rangel muncul wira apabila meledakkan dua gol buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-66 dan 73.

Dalam perkembangan sama, Rangel mengakui gembira kerana kerana berjaya menjaringkan dua gol pada aksi sulung bersama Selangor.

"Saya lebih pentingkan kemenangan berbanding jumlah jaringan. Apa yang penting, saya gembira kerana kami berjaya mengutip tiga mata penuh.

"Sejujurnya, saya tidak sasarkan (jumlah jaringan) musim ini dan apa yang saya mahukan adalah meledakkan gol setiap kali diturunkan bersama Selangor," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad The Titans, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui beliau telah bersedia untuk berbincang dengan pihak pengurusan T-Team dalam usaha memburu pemain sayap yang berkualiti.

Azraai berkata, beliau akur dengan kekalahan kepada Selangor dan mahu memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada skuad kendaliannya.

"Kami tewas kepada pasukan yang sangat hebat. T-Team dilihat sedikit bergelut di jentera serangan terutama membabitkan pemain sayap.

"Kami gagal menghasilkan hantaran dari posisi itu. Jadi, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan T-Team untuk mencari pemain sayap pada musim perpindahan pemain, April depan," katanya.

Tok Gajah masih mencari rentak

Posted:

Tok Gajah masih mencari rentak

Tok Gajah masih mencari rentak

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my


BARISAN pegawai dan pemain Pahang menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.


SKUAD Tok Gajah masih mencari rentak permainan sebenar meskipun berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Lions XII 1-0 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Ketua Jurulatih, Ronald Smith berkata, perlawanan tersebut masih tidak menunjukkan potensi sebenar anak-anak buahnya dan peminat boleh mengharapkan corak permainan yang lebih mantap selepas ini.

"Ini baru perlawanan pertama musim ini, saya tidak menjangkakan semuanya akan menjadi dalam percubaan pertama dan pemain dilihat agak gementar.

"Kami juga tidak berpeluang melakukan persediaan pra-musim yang baik disebabkan faktor keadaan seperti banjir selain tempoh rehat antara musim.

"Dengan lebih banyak latihan dan perlawanan, saya percaya prestasi pasukan akan menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan tersebut.

Bagi Smith, kebimbangan utamanya kini ialah bagaimana untuk mengharungi baki perlawanan yang padat musim ini dengan kecederaan yang dialami dua tonggak utama pasukan, Dickson Nwakaeme dan R. Surendran.

"Itu masalah kami sekiranya terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat. Sekiranya berlaku kecederaan, pemain terlepas banyak perlawanan dan diharap tiada sebarang kecederaan lain yang mampu mengganggu musim kami," katanya.

"Namun, kami masih mempunyai barisan pemain-pemain lain dan kesemua mereka akan mendapat peluang masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, Smith sepatutnya boleh menarik nafas lega setelah melihat corak permainan Matias Ruben Conti yang meledakkan gol kemenangan pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-24.

Penyerang sensasi dari Argentina itu juga menyuarakan kesediaannya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan sepasukan.

"Saya sentiasa bersedia (mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nwakaeme) dan ingin bermain dalam setiap perlawanan, itulah sebabnya saya di sini.

"Meskipun berasa rindu dengan keluarga dan sahabat handai, saya gembira di sini dan bermain untuk pasukan Pahang," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kemenangan kali ini adalah sangat istimewa bagi dirinya dan penyokong pasukan Pahang.

"Kami menjulang piala Tuanku ayahanda saya dan bermain perlawanan ini di Stadium Darul Makmur buat pertama kali. Meskipun hanya tiga mata, ia sangat penting dan sentimental.

"Saya sangat berpuas hati dengan cara jurulatih (Smith) mengendalikan pasukan, pemain juga memberikan respon yang baik dan Alhamdulillah, kami dapat keputusan yang dimahukan.

"Setelah menjadi juara dan kemasukan muka baharu, setiap pemain masih beraksi baik dan saya yakin mereka akan mempamerkan kerja berpasukan yang lebih rapi dan licin selepas ini," katanya.

Chong Wei menang percuma

Posted:

Chong Wei menang percuma

Chong Wei menang percuma

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah untuk mendakap gelaran ke-10 pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014.

Juara bertahan itu tidak perlu berdepan dengan kesukaran apabila pencabarnya, Jan O Jorgensen dari Denmark menarik diri pada set kedua selepas mengalami kekejangan otot paha kanan iaitu pada aksi separuh akhir tersebut.

Chong Wei memenangi set pertama 21-13 dan ketika mendahului 3-0 pada set kedua, Jorgensen menarik diri kerana sudah tidak dapat bertahan dengan kesakitan yang dirasai itu.

"Saya rasa, set pertama iaitu ketika mata kesebelas dia (Jorgensen) sudah rasa sakit tetapi saya ingat dia sengaja buat begitu kerana mahu bermain psikologi.

"Saya tidak menghiraukannya kerana mahu fokus untuk menang sahaja. Kemudian baru saya tahu dia rasa sakit betul-betul kerana selepas mata ketiga (set kedua), dia kelihatan sukar untuk bergerak lagi," ujar Chong Wei.

Pada aksi final di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini, Chong Wei akan bertemu pemain Indonesia, Tommy Sugiarto yang turut mara selepas menewaskan Kenichi Tago (Jepun) 21-13, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Biarpun tidak pernah tewas kepada pemain sensasi Indonesia itu, namun Chong Wei mengakui, dia akan tetap membuat persiapan yang terbaik sebagaimana misinya merangkul gelaran ke-10 hari ini.

"Saya tidak kisah siapa lawan saya kerana saya akan cuba membuat persiapan terbaik seperti mahu menghadapi perlawanan paling sukar. Ini kerana ia perlawanan terakhir pada Terbuka Malaysia tahun ini dan saya harap boleh kekal dan raih gelaran ke-10.

"Sebenarnya saya tidak kisah sangat betapa sukar perlawanan itu kerana saya akan cuba bertahan sehingga ke mata terakhir. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk melawan Tommy nanti," ujar Chong Wei.

Kali terakhir pemain berusia 31 tahun itu menewaskan Tommy pada Siri Super Akhir Persekutuan Badminton Dunia di Cheras pada bulan lalu.

Chong Wei merupakan juara Terbuka Malaysia pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved