Khamis, 16 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pahang sedia gempur Lions XII

Posted:

Pahang sedia gempur Lions XII

Pahang sedia gempur Lions XII

Oleh M.RIZAL NOR
sukan@kosmo.com.my

BARISAN pemain Pahang giat menjalani latihan sebagai persiapan terakhir menentang Lions XII pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.


PAHANG berazam memulakan musim 2014 dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Tampil selaku juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang akan membuat perhitungan dengan juara Liga Super 2013, Lions XII pada perlawanan Sumbangsih yang dijadikan aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagi kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar, dia dan rakan-rakan sepasukannya telah menanam azam untuk menghadiahkan trofi sulung buat ribuan penyokong mereka nanti.

Pada masa sama, Jalaluddin mahu melengkapkan koleksi peribadinya dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

"Saya sudah menjulang trofi Liga Super pada 2004, Piala FA (2006) serta Piala Malaysia tahun lalu dan kini mahu membawa pulang Piala Sumbangsih pula.

"Pahang tidak harus melepaskan peluang ini kerana bukan senang untuk berentap merebut Piala Sumbangsih, apatah lagi kami berdepan pasukan dari Singapura itu," katanya.

Menurut Jalaluddin, kejayaan mendakap Piala Sumbangsih juga boleh dijadikan sebagai hadiah hari lahirnya yang ke-39 pada 1 Januari lalu.

"Secara peribadi, saya sudah bersedia untuk menempuhi saingan Liga M musim ini dan rakan-rakan juga sudah tidak sabar untuk beraksi," ujarnya.

Sementara itu, penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid tidak rela pintu golnya dibolosi dengan mudah pada pertemuan menentang Lions XII malam ini.

"Saya akan bekerja keras seperti aksi final Piala Malaysia tahun lepas agar gawang kami tidak dibolosi pasukan lawan nanti.

"Jika diberi peluang berada dalam kesebelasan utama, saya akan memastikan Pahang menjulang Piala Sumbangsih selain mengutip tiga mata penuh," katanya.

Azhan memberitahu, pemain tengah Pahang pula harus bijak mengatur strategi agar jentera serangan yang diketuai Dickson Nwakaeme dan Matias Conti mampu mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

"Apa yang penting adalah semua pemain harus mengetahui peranan masing-masing dan bermain dengan semangat satu pasukan selain mematuhi arahan jurulatih," jelasnya.

Kedah tekad kembali bangkit

Posted:

Kedah tekad kembali bangkit

Kedah tekad kembali bangkit

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my


BARISAN pemain Kedah diperkenalkan kepada para peminat dan penyokong mereka di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.


KEDAH optimis mampu untuk kembali melakar kejayaan gemilang pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Mukhriz Tun Mahathir, perkara itu tidak mustahil berdasarkan transformasi besar-besaran termasuk tajaan sebanyak RM15 juta yang diperoleh daripada kerajaan negeri dan beberapa syarikat korporat.

"Sebelum ini timbul masalah tiada peruntukan dan sebagainya yang merencatkan kejayaan pasukan Kedah.

"Namun, dengan peruntukan besar musim ini serta sokongan padu peminat tempatan, kita yakin pasukan Kedah mampu mencipta kejayaan membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan para pemain dan penaja skuad Liga Premier serta Piala Presiden Kedah musim 2014 di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Tambah Mukhriz, pihaknya bersikap realistik bahawa transformasi yang dilakukan dalam pasukan ketika ini memerlukan jangka masa panjang dan tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

"Berilah kami masa dan saya yakin dalam tempoh tiga tahun lagi, Kedah akan kembali ke landasan kejayaan seperti yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

"Untuk musim ini, kami mensasarkan untuk berada dalam kelompok teratas Liga Premier, sekali gus layak ke Liga Super.

"Pada masa hadapan, kami yakin untuk terus mencipta lebih banyak kemenangan yang lebih besar termasuk memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, pengendali Kedah dari Australia, David Mitchell berkata, kekuatan pasukannya terletak kepada gabungan antara pemain import berpengalaman dan tenaga muda tempatan.

"Saya yakin dengan kemampuan dua tonggak utama kami iaitu ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zambri yang berpengalaman luas dan mampu mampu mengemudi pemain-pemain muda.

"Kami turut diperkuatkan dengan empat tonggak import iaitu Billy Osman Mehmet dari England, Jose Franco Gomez (Sepanyol), Adam Griffths dan Adriano Pellegrino (Australia) yang pastinya menggentarkan pasukan lawan.

Jelasnya, berdasarkan persiapan yang telah dilakukan setakat ini, beliau yakin Kedah mampu mencipta sesuatu kejutan musim ini.

"Bagaimanapun, kami akur dengan saingan sengit yang bakal dihadapi nanti, misalnya pasukan Polis Diraja Malaysia yang turut berbelanja besar musim ini untuk mendapatkan pemain berkualiti di samping mendapat mendapat sentuhan bekas legenda bola sepak negara, Dollah Salleh.

"Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga perlu diberi perhatian. Kesemua pasukan ini juga pastinya berazam untuk untuk berada dalam kelompok teratas liga selain layak ke Liga Super," katanya.

Tok Gajah makin digeruni

Posted:

Tok Gajah makin digeruni

Tok Gajah makin digeruni

Oleh M. RIZAL NOR
sukan@kosmo.com.my


TENGKU ABDUL RAHMAN (berdiri, tengah) bergambar bersama barisan pemain Pahang pada majlis penajaan antara PBNP dan PUMA di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENAMPILAN Pahang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat dan penyokong setia skuad Tok Gajah itu.

Bukan sahaja penyokong sendiri, malah tidak keterlaluan jika dikatakan Pahang kini menjadi tumpuan seluruh peminat dan pemerhati sukan bola sepak tanah air.

Ia bersandarkan reputasi Pahang yang muncul selaku juara Piala Malaysia musim lalu.

Malam ini, Pahang akan membuka kempen 2014 dengan berdepan juara Liga Super, Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Turun dengan status juara Piala Malaysia 2013, skuad Tok Gajah pastinya mahu melakar permulaan bergaya, sekali gus membuktikan betapa mereka wajar diberi perhatian pasukan lawan.

Atas kertas, Pahang yang kini dibimbing jurulatih baharu, Ronald Smith memiliki kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri, tambahan pula mendapat sokongan padu daripada penyokong dan peminat ultras mereka - Elephant Army.

Bagaimanapun, pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh tidak mahu bermegah dengan status juara Piala Malaysia kerana ia kini menjadi sejarah, malah mereka perlu melipat gandakan usaha untuk mengekalkan kejuaraan tersebut.

"Usaha untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia amat susah kerana pasukan lain pasti berusaha untuk merampasnya daripada kami.

"Apa yang penting adalah semua pemain harus bermain dengan baik dan mempamerkan aksi yang mantap dalam setiap perlawanan sejak awal hingga penghujung musim," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, Tok Gajah tidak mengeluarkan belanja yang besar untuk membentuk pasukan musim ini kerana majoriti tonggak musim lalu masih dikekalkan.

"Kita hanya membawa masuk dua pemain import iaitu penyerang dari Nigeria yang juga bekas pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme serta Zeshan Rehman (pertahanan) dari Pakistan.

"Kita turut mengambil dua pemain dari skuad Piala Presiden iaitu Muhammad Saufi Mohd. (penjaga gol) menggantikan Mohd. Rosfaizul Azuar Ali dan penyerang, Mohd. Shafie Zahari bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mohd. Hazuan Mohd. Daud yang berhijrah ke PDRM.

"Saya yakin semua pemain yang berada dalam skuad Tok Gajah musim ini mampu mempamerkan mutu permainan yang baik untuk kembali memartabatkan maruah bola sepak Pahang," jelasnya.

Dalam persiapan menjelang musim Liga M 2014, Pahang mengharungi enam siri perlawanan persahabatan termasuk 'berkampung' di Hong Kong.

Dalam tiga aksi persahabatan di Hong Kong, anak-anak buah Smith gagal meraih keputusan yang baik apabila mengalami dua kekalahan dan satu seri.

Selain itu, Pahang tewas 1-2 kepada Selangor PKNS dan menang dua kali iaitu ketika menentang UiTM FC 4-1 dan PDRM 3-0.

Sementara itu, Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, buat masa ini pihaknya hanya menawarkan kontrak selama tiga bulan bermula Januari hingga Mac ini kepada Smith untuk bergandingan dengan penolong jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

"Kita bukan tidak yakin dengan kemampuan Smith, namun PBNP mahu melihat kemampuan beliau mengendalikan skuad Tok Gajah.

"Sekiranya beliau berkhidmat dengan cemerlang, barulah kita akan meneruskan khidmatnya dengan syarat tertentu," katanya.

Smith pula mengakui menggalas tugasan berat kerana membimbing pasukan yang kini tampil dengan reputasi sebagai juara Piala Malaysia.

"Saya baru saja bersama Pahang dan masih banyak perkara yang saya perlu lihat dan kaji untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

"Pada masa sama, saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh PBNP dan berharap agar semua pihak sama ada pihak pengurusan, pegawai, pemain dan penyokong dapat memberi kerjasama yang baik kepada saya," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved