Isnin, 6 Januari 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Gabungan tiga warna orkid ungguli 2014

Posted:

Gabungan tiga warna orkid ungguli 2014

Gabungan tiga warna orkid ungguli 2014

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

SEJAK lebih sedekad yang lalu, Institut Warna Pantone (Pantone) menjadi peneraju penentuan warna tahunan terhadap pembangunan sesebuah produk. Bermula daripada filem, fesyen, dekorasi kediaman dan gajet, kepatuhan pemilihan warna utama Pantone banyak memberi impak di serata dunia.

Tahun ini menjadi giliran radiant orchid untuk menduduki puncak warna tahunan. Rona lembut hasil cantuman warna fuchsia, ungu dan merah jambu itu kini siap untuk mendominasi rangkaian industri besar di peringkat global.

"Hijau zamrud menjadi warna tahunan yang berjaya menggendong simbol peningkatan kejayaan, pembaharuan dan kekayaan sepanjang tahun lalu.

"Radiant orchid pula menjemput inovasi kepada imaginasi individu agar tampil lebih kreatif. Warna ini mewakili keyakinan, keceriaan, kasih sayang dan kesihatan. Ia merupakan cabang rona ungu yang menawan dan mampu meningkatkan pesona seseorang," ujar Pengarah Eksekutif Pantone, Leatrice Eiseman seperti yang dipetik daripada laman web berita Time.

Tambah Eiseman, tarikan utama tona inspirasi bunga orkid itu adalah nilai versatil bawaannya. Ia juga padan sempurna bersama bayangan gelap dan terang serta mudah disesuaikan mengikut pelbagai jenis warna rambut, kulit dan mata.

KUASA bayangan ungu mampu melembutkan gaya kasar seorang lelaki.


Hasil kaji selidik ekstensif yang dilakukan Pantone bersama pakar-pakar dalam industri utama dan pereka fesyen menjurus kepada pemilihan warna anggun tersebut.

Pemerhatian mereka terhadap penggunaan meluas rona merah jambu dan ungu di pentas peragaan eksklusif seperti Prada, Chanel dan Dior turut mendorong kepada keputusan tersebut. Teorinya mudah, rumah-rumah fesyen yang memiliki identiti gah mempunyai pengaruh besar kepada pereka-pereka fesyen lain.

Rumah fesyen antarabangsa seperti Max Mara, Marc Jacobs, Salvatore Ferragamo dan Ermenegildo Zegna juga antara penggerak dominan yang mempromosikan tona tersebut dalam koleksi mereka sepanjang tahun lalu.

Kitaran normal

Penetapan warna pastel seperti radiant orchid sebagai warna tahun 2014 sudah dijangka kebanyakan pemerhati fesyen. Formula mendahulukan rona lembut pada suku pertama tahunan dirasakan tepat untuk melengkapi selera fesyen musim bunga.

Pereka fesyen tempatan, Melvin Shah berpandangan, pemilihan warna seringkali merujuk kepada penyesuaian empat musim yang utama.

Tahun ini, percikan rona ungu violet, ungu dan ungu lembut (lilac) dikatakan bakal menjadi pilihan teratas majoriti pereka tanah air.

"Sekarang sedang berlaku peralihan musim sejuk kepada bunga. Jadi pemilihan radiant orchid yang berciri lembut memang sesuai.


GABUNGAN warna fuchsia, ungu dan merah jambu membentuk radiant orchid sebagai tona feminin yang mempesona.


"Namun apabila menjelang musim panas kelak, kita akan menyaksikan dominasi warna-warna terang seperti emas metalik, perak dan tembaga di pentas peragaan bagi koleksi avant garde. Rekaan sedia pakai pula bakal dikuasai tona-tona hangat seperti jingga, kuning dan hijau," kongsi Melvin.

Kepekaan masyarakat Malaysia terhadap trend warna juga semakin meningkat.

Dedah Melvin, tidak hairan jika dia sudah menerima tempahan awal pakaian berona ungu dan merah jambu, membuktikan bahawa pengaruh radiant orchid telah memberi efek kepada dunia.

Tahun lalu sahaja, menerusi pemilihan hijau zamrud, Melvin banyak menghasilkan busana perkahwinan berteraskan rona tersebut. Pereka dari Kuala Lumpur itu menjangka bahawa ungu lembut dan ungu violet akan menjadi warna tema perkahwinan yang hangat.

Kesesuaian jejaka

Secara amnya, radiant orchid melengkapi indah warna merah bersama ungu lavender, kuning lembut dan merah jambu.

Untuk gaya maskulin pula, ia boleh diseragamkan dengan hijau zaitun, hijau pemburu (hunter) yang diinspirasikan daripada pakaian pemburu pada abad ke-19 dan bayangan neutral seperti kelabu, kuning air (beige) dan kelabu gelap keperangan (taupe).

Buat kaum Adam, percaturan warna tahun 2014 itu mungkin agak feminin. Namun jika imbangan dan suai padan dapat dikenal pasti, sudah tentu ia mampu membentuk penampilan yang bertenaga.

Bak saranan pereka fesyen tanah air khusus rekaan lelaki, Fairuz Ramdan, pakaian kasual adalah yang terbaik bagi melunaskan keinginan sang jejaka yang mahu bereksperimen dengan radiant orchid.

Jaket varsiti dan kasut sneaker dalam tona tersebut dirujuk sebagai antara item terbaik untuk lelaki sepanjang tahun ini. Ia turut dilambangkan sebagai kunci gaya yang bertepatan untuk pelbagai acara, suasana dan masa tanpa mengundang rasa janggal.

PENGARUH rumah fesyen antarabangsa mempromosikan radiant orchid turut dijadikan penentu kepada pemilihan warna tahunan.


"Mereka yang benar-benar tegar mengenakan warna ini boleh memilih kemeja, tali leher atau sapu tangan yang disisip pada poket atas baju (pocket square). Namun elakkan daripada mengenakan aksesori kecil seperti gelang dan rantai dengan rona ini.

"Selain radiant orchid, biru elektrik juga dilihat bakal menjadi warna pilihan majoriti lelaki pada tahun ini. Tidak lupa konsep corak dan warna. Bagaimanapun, seseorang itu perlu bijak menghubungkan corak yang merangkumi corak atau motif dan warna agar padanan tidak menjadi canggung," terang Fairuz.

Trend celoreng yang perlahan-lahan meresap dalam tata gaya jejaka tempatan tahun lalu juga dijangka memuncak sepanjang tahun ini.

Pakaian pengantin terkini Berinai Bridal

Posted:

Pakaian pengantin terkini Berinai Bridal

Pakaian pengantin terkini Berinai Bridal

Oleh NIZHA PERIASWAMY

DRES rona putih ini antara kesukaan pelanggan Berinai Bridal.


MENGENAKAN sepasang busana yang paling sempurna pada hari penting menjadi impian setiap pasangan yang ingin berkahwin terutama wanita. Demi mencapai impian itu, kebanyakan bakal pengantin wanita sanggup meluangkan masa dan tenaga supaya imej yang ditonjolkan pada hari istimewa itu adalah yang terbaik.

Namun, bukan semua orang berkemampuan mengupah pereka fesyen bertaraf profesional untuk menghasilkan busana impian.

Mengambil kira elemen berfesyen terutama kepada golongan kelas pertengahan, Berinai Bridal mengetengahkan beberapa koleksi pakaian pengantin.

Ia bukan sahaja berpatutan dari segi harga tetapi pemilik butik, Sam Samin memastikan koleksi yang ditawarkan mengikut trend dan permintaan semasa.

Minat mendalam terhadap fesyen pakaian yang menyerlahkan kecantikan luaran si pemakai, lebih-lebih lagi busana yang menambah seri pada hari persandingan, mendorong Samin terlibat dalam bidang dandanan dan rekaan baju pengantin.

"Segala-galanya bermula pada tahun 2008 apabila saya membuka sebuah butik kecil. Ketika itu, saya membeli baju pengantin terpakai dan menyewakan semula. Saya kemudiannya mula memahami cita rasa dan keinginan pelanggan terutamanya golongan muda," kata Samin ketika ditemui pada sesi fotografi di Hotel Palm Resort, Putrajaya.

Pakej lengkap

Dia yang menawarkan pakej lengkap perkahwinan mereka sendiri baju pengantin sebelum mengupah penjahit.

"Saya selalunya mendapatkan inspirasi rekaan pengantin berdasarkan pakaian-pakaian Barat terkini di pasaran. Kemudian, saya akan mengubah suai pakaian tersebut dan mereka semula mengikut kesesuaian pengantin beragama Islam," katanya.

Pengaruh Barat juga menyebabkan kebanyakan rekaan baju pengantin Samin terdiri daripada dres berbanding baju kurung.

"Saya juga banyak melakukan penyelidikan dan suai padan mengikut keperluan serta kehendak pelanggan. Ini membolehkan saya memberikan pelanggan rekaan yang benar-benar segar dan baharu," katanya lagi.

Lazimnya, warna-warna pilihan yang menjadi permintaan pengantin menurut Samin ialah rona lembut seperti putih, biru muda, merah jambu dan beige.

Namun, dia turut menerima tempahan warna-warna berani seperti hijau emerald, kombinasi warna hitam dan merah serta warna-warna terang.

Pada sesi penggambaran itu, Samin membawa koleksi baharu pakaian berwarna pastel dan lembut kecuali bagi warna hijau emerald yang turut mempunyai tarikan tersendiri.

Dari segi rekaan dan potongan baju, Samin memberitahu, hampir kesemua pelanggan ingin pakaian yang mengikut tubuh badan, ringkas atau aturan manik berat di bahagian tertentu dan berenda.

Potongan dres yang sedang hangat sekarang ialah potongan ikan duyung yang ketat sehingga ke bahagian separuh kaki dan kembang sama ada bertingkat atau dibiarkan beralun bebas.

"Terdapat juga permintaan untuk baju dres Muslimah iaitu berpotongan longgar dan kami di Berinai Bridal tetap menyempurnakan permintaan itu," ujar Samin.

Berinai Bridal menawarkan pakej lengkap perkahwinan berharga dari RM15,500 termasuk baju pengantin, makanan, khemah dan pelamin kecuali tidak menawarkan khidmat fotografi serta DJ.

Madu penawar masalah kulit

Posted:

Madu penawar masalah kulit

Madu penawar masalah kulit


PRODUK ini menggabungkan dua fungsi utama iaitu sebagai penanggal solekan dan pembersih muka.


MADU sememangnya sumber alam yang kaya khasiatnya, sama ada untuk industri pemakanan atau kecantikan. Ia juga menjadi penawar semula jadi mujarab bagi bermacam-macam masalah kesihatan.

Dalam industri kecantikan, madu asli atau yang telah diekstrak ke dalam produk sering dijadikan bahan utama bagi menyelesaikan masalah kulit.

Seperti yang dipetik pakar kecantikan semula jadi, Kim Wallace menerusi laman web kimberlyloc.com, kandungan antibakteria dan antioksidan membuatkan madu asli sangat berguna kepada kulit.

"Selagi sesuatu produk itu menggunakan ekstrak madu asli atau anda mengaplikasikan terus madu dalam bentuk asal, ia pasti dapat mengembalikan seri kulit," ujar Wallace.

Kandungan semula jadi antibakteria dalam madu asli amat efektif bagi menangani dan mencegah akne. Ia juga kaya antioksidan sekali gus mampu memperlahankan proses penuaan. Kelembapan dan rasa nyaman yang diberikan khazanah alam itu turut memperbaiki masalah kulit kusam dan tidak bermaya.

Pori-pori yang tersumbat dapat dibuka dengan lancar kerana madu asli adalah antara agen penjernihan semula jadi yang berkesan.

Penggunaan madu dalam produk penjagaan kulit pula telah dipraktikkan sejak dulu. Kebolehannya melindungi kulit daripada sinaran matahari, mengembalikan keremajaan, menyegar dan melembutkan kulit secara asasnya menjadikan ia antara bahan terpenting dalam produk kecantikan.

Sebagai pelembap kulit secara semula jadi, jenama produk kecantikan Pixy menghasilkan siri pembersih solekan berasaskan madu asli yang tidak mengeringkan kulit. Ia bebas alkohol dan menggunakan formulasi Jepun yang telah diuji secara klinikal.


MADU asli kaya dengan kandungan antibakteria semula jadi bagi merawat masalah akne.


Madu asli yang bertindak sebagai ramuan utama kepada produk tersebut bertujuan menghalang pengeringan, mengekalkan kesegaran, melembut dan menyerikan kulit.

Mengambil kira kulit wajah wanita yang sering terdedah kepada pembentukan masalah akibat rutin bersolek, label yang sinonim dengan bedak kompak dua fungsi (two-way cake) itu mahu menggalakkan kaum Hawa agar lebih rajin membersihkan solekan.

Tidak dinafikan, selepas seharian bekerja lebih-lebih lagi pulang ke rumah pada lewat malam membuatkan ramai berasa malas untuk menanggalkan solekan. Namun menerusi siri pembersih solekan Pixy, amalan itu dapat dilaksanakan dengan mudah.

Aplikasi mudah

Sesuai untuk semua jenis kulit, produk yang merangkumi dua rangkaian itu menggabungkan fungsi penanggal solekan dan pembersih muka hanya dalam satu langkah praktikal.

Ia diformulasi khusus bagi menanggalkan solekan secara menyeluruh, membersih dan melembapkan kulit wajah tanpa meninggalkan rasa melekit atau berminyak.

Wanita yang mahu menanggalkan solekan dengan pantas wajar memilih losen Pixy Gentle & Moist Cleansing. Ia lembut pada kulit dan mampu menyingkirkan solekan tanpa bilasan.

Sabun cecair untuk solekan Pixy Single Step pula mencantumkan fungsi penanggal solekan dan pembersih wajah berbuih yang mudah dibilas. Tanpa langkah rumit, ia menanggalkan solekan dan kotoran pada wajah serta memberikan kesegaran pada kulit.

Saiznya juga praktikal untuk diisi di dalam beg tangan dan dibawa ke mana sahaja. Siri pembersih solekan Pixy kini boleh didapati di pasar raya utama, pasar raya besar dan rangkaian farmasi kecantikan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.pixy.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved