Rabu, 8 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kediaman 270 spesies haiwan

Posted:

Kediaman 270 spesies haiwan

Kediaman 270 spesies haiwan

KEHENINGAN dataran savana tanpa deruman enjin kenderaan mahupun hiruk-pikuk kota dan hanya ditemani hingar-bingar penghuninya cukup menggambarkan suasana alam safari.

Bayangkan pula suasana safari di bumi Afrika Selatan diterbangkan sejauh 8,381 kilometer ke Malaysia. Sudah tentu ia menjimatkan masa dan wang kerana anda tidak lagi perlu mengeluarkan kos belanja sebanyak RM4,000 untuk tiket penerbangan ke sana.

Segalanya ada di Taman Safari Bukit Gambang (TSBG), Kuantan, Pahang. Begitulah sedikit sebanyak apa yang dirasakan kru Kosmo! ketika berpeluang berkunjung ke bandar resort tersebut baru-baru ini.

Pemanduan sejauh 213 kilometer yang memakan masa dua jam 30 minit dari ibu negara ke TSBG terasa amat berbaloi. Pada mulanya, kami tertanya-tanya, di manakah lokasi taman safari yang dikatakan?

Ia disebabkan persekitaran luaran kelihatan tidak ubah seperti hutan tebal yang biasa kita lihat. Namun, perasaan seperti berada di satu dunia lain sebaik memasuki zon TSBG yang terpisah dengan taman tema air Bukit Gambang.

Pengunjung, Muhammad Azraei Yahya, 25, berkata, TSBG menyediakan hab keriangan sehenti bagi mereka yang menggemari sukan air sambil menikmati keindahan flora dan fauna.

"Saya memang teruja semasa kali pertama berkunjung ke TSBG kerana sebelum ini, saya tidak pernah melihat kanggaru, hyena dan singa putih di depan mata. Jika ada pun, hanya di kaca televisyen sewaktu menonton dokumentari National Geographic.


KUDA belang merupakan salah satu spesies haiwan dari benua Afrika yang diterbangkan ke TSBG.


Menyeronokkan

"Sudah tentu pengalaman tersebut sungguh berharga kerana saya turut berpeluang memberi zirafah makan," ujarnya yang sudah dua kali berkunjung ke taman safari tersebut.

Tambah Azraei yang mesra disapa Ayai itu, taman safari berkenaan lebih menyeronokkan kerana ada menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung pada waktu siang dan malam berbanding zoo lain di negara ini.

Bagaimanapun, Ayai berpendapat masih terdapat kekurangan pada infrastruktur dan facade bangunan yang boleh diperbaiki pada masa akan datang. Difahamkan, kekurangan tersebut disebabkan TSBG belum siap sepenuhnya tetapi sudah mendapat permintaan orang awam untuk berkunjung ke sana.

TSBG memiliki lebih 1,000 ekor haiwan yang terdiri daripada 270 spesies buat masa ini. Difahamkan, dalam masa terdekat jumlah tersebut akan meningkat kepada 3,200 ekor haiwan daripada 486 spesies.

Duta Taman, Nurul Nadwani Adawiyah Ghazali, 24, berkata, tugasnya adalah sebagai penyalur maklumat kepada pengunjung tentang semua perkara yang berkaitan dengan taman safari.

"Tugas utama saya adalah memberikan maklumat berkenaan setiap haiwan yang ada di sini. Kebanyakan pengunjung teruja apabila masuk ke zon savana binatang liar kerana bukan senang untuk melihat haiwan tersebut secara dekat.

"Selain itu, pengunjung turut gembira apabila berpeluang masuk ke dalam kandang haiwan walaupun hanya melihat dari dalam tram. Mereka ditegah untuk membuka tingkap tram bagi tujuan keselamatan," ujar gadis yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu.

Nurul Nadwani Adawiyah bijak menangani situasi apabila berdepan dengan pengunjung yang tidak mematuhi peraturan. Beliau akan cuba menasihatkan pengunjung dalam nada gurauan agar pengunjung tidak berkecil hati.


KAMBING turut dilatih untuk membuat pertunjukan di TSBG.


Pelatih burung

Dalam pada itu, penjaga dan pelatih burung, Mohd. Izuan Ramli, 25, memberitahu, minatnya terhadap burung membawanya berkelana ke bumi Kuantan biarpun terpaksa meninggalkan kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan.

"Dahulu, saya bekerja di Taman Negara Pahang Sungai Relau dan bertugas menjaga ikan kelah di sana. Majikan dahulu yang mencadangkan saya berpindah ke TSBG selepas dia mendapat tahu taman burung akan dibuka di sini.

"Di sini, saya perlu memberi makan dan melatih burung bagi tujuan persembahan. Pengunjung turut dibenarkan memberi makanan yang disediakan iaitu kuaci kepada burung-burung," katanya.

Jangan terkejut, burung juga makhluk yang boleh haus jika makan kuaci terlalu banyak. Selain diberi minum air, burung-burung akan diberikan buah pada sebelah petang sebagai penghilang rasa haus tersebut.

Lemah lembut

Seperti haiwan lain, penjagaan burung perlu dilakukan dengan lemah lembut kerana mereka tidak mudah mempercayai manusia. Tingkah laku burung ketika berkomunikasi dengan manusia bergantung kepada pengalaman masa lalu burung tersebut dengan orang ramai.

Burung yang tidak diberikan makanan, dijinakkan atau pernah dianiayai dikatakan sukar mempercayai orang.

Buat masa ini, terdapat kira-kira 100 spesies burung dari seluruh dunia ditempatkan di taman burung TSBG. Taman safari tersebut merupakan yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 55.84 hektar.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman makan tengah hari yang paling istimewa di ruang makan mewah sambil ditemani Raja Rimba.


BAGI melengkapkan lagi percutian ala safari anda, Bukit Gambang menyediakan pakej penginapan menarik di Arabian Bay Resort yang terletak berdekatan TSBG.


Raja Rimba tersebut bukan calang-calang singa yang biasa kita lihat kerana ia merupakan seekor singa putih yang ditempatkan di taman mini di bahagian luar dinding kaca dewan gourmet Plaza Bukit Simba.

Pada sebelah petangnya pula, pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan haiwan dan drama pergelutan alam rimba antara haiwan terlatih dengan si penjahat di Arena Desa.

Tidak sah kunjungan anda ke TSBG jika tidak menonton aksi 'orang api' dalam persembahan mendebarkan sambil menari tarian api dan makan api oleh pelagak aksi ngeri profesional di Laman Desa pada sebelah malam.

Survival alat permainan Playmobil

Posted:

Survival alat permainan Playmobil

Survival alat permainan Playmobil


ANTARA figura permainan Playmobil yang menjadi pujaan kanak-kanak di seluruh dunia.


BAVARIA merupakan sebuah daerah luar bandar di negara Jerman. Kewujudan sebuah kilang pembuatan permainan dari negara itu, Playmobil merupakan signatur kawasan tersebut sehingga dikenali di seluruh dunia.

Playmobil merupakan sebuah jenama permainan plastik berbentuk manusia yang telah berada di pasaran sejak 40 tahun lalu.

Karakter figura setinggi 7.5 sentimeter itu dihasilkan di bangunan yang tidak mempunyai sebarang daya tarikan di Zindorf. Figura permainan Playmobil itu terkenal dengan rekaan manusia berkepala bulat yang tersenyum seperti mana yang digambarkan dalam lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak.

Tiga karakter figura antara terawal dicipta oleh Playmobil ialah Pahlawan Amerika, Kesatria Medieval dan pekerja binaan yang memakai topi yang menjengah pasaran pada tahun 1974.

Playmobil juga menjadi kegilaan kanak-kanak waktu itu setelah tampil dengan puluhan tema dan karakter seperti polis sehingga ke watak jahat seperti lanun.

Syarikat itu juga memperkenalkan sebanyak 30 tema figura permainan dan telah dipasarkan di lebih 80 buah negara.

"Dalam usaha untuk mencipta empayar Playmobil, ia mengambil masa selama dua tahun," ujar Ketua Pembangunan Playmobil, Bernhard Hane.

Di dalam kilang itu, setiap koridor dipenuhi deretan laci yang mengandungi kira-kira 35,000 aksesori bersaiz kecil untuk pelbagai karakter figura seperti pedang dan perisai. Setiap rekaan senjata itu diletakkan pada bahagian tangan setiap karakter yang berwarna-warni.


SELAIN figura permainan, taman tema Playmobil juga merupakan antara tumpuan pelancong di Zindorf.


Mesin

Di bengkel pula, pekerja Playmobil menggunakan mesin sebagai peralatan utama membuat acuan bagi set permainan baharu yang bernilai 180,000 Euro (RM811,935).

Ia merupakan salah satu kaedah untuk mengelakkan pemalsuan produk syarikat itu. Ketepatan pada setiap rekaan figura amat dititikberatkan oleh syarikat tersebut.

Sehingga kini, dianggarkan 2.6 juta unit figura telah dihasilkan oleh Playmobil. Setiap figura perlu sepadan dengan aksesori dan set rekaan latar belakang pemandangan seperti bandar Wild West, istana, zoo dan stesen angkasa.

Playmobil dihasilkan sepenuhnya di Eropah tidak seperti kebanyakan jenama permainan yang menjadikan Asia sebagai pangkalan utama untuk pembuatan produk mereka.

Figura karakter manusia Playmobil dikilangkan di Republik Malta manakala haiwan dan bahagian yang bersaiz besar seperti kapal lanun dihasilkan di sebuah kilang di Dietenhofen, Bavaria.

Kemudian, figura itu dipasang di Republik Czech dan dihantar kembali ke Dietenhofen untuk dibungkus dan disimpan di kilang setinggi 12 tingkat.

Muzium

Tidak jauh dari kawasan itu, di Speyer, terdapat sebuah muzium yang mempamerkan figura Playmobil selepas empat dekad bertahan di pasaran dunia. Jualan pada tahun 2012 telah mencatat rekod baharu dengan kutipan sebanyak RM2.4 bilion dan dijangka meningkat sebanyak lima peratus pada tahun lalu.

Dua pertiga daripada hasil jualan itu diperoleh dari negara Jerman dan Perancis manakala angka jualan di Asia pula telah dihadkan setakat ini. Syarikat itu juga melihat pertumbuhan prospek jualan produk itu di negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Sejak tahun 2000, syarikat itu telah menghasilkan pasu plastik berkualiti tinggi berjenama Lechuza yang terjual sebanyak RM211.7 juta pada tahun 2012.

Figura Playmobil sesuai untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun malah, ada juga permainan yang direka khas untuk anak kecil.


MESIN-MESIN automatik yang digunakan untuk memasang alat permainan di kilang syarikat Playmobil di Dietenhofen, Jerman.


Syarikat itu juga sedang mengorak langkah baharu untuk melebarkan lagi sayap Playmobil pada tahun ini dengan penciptaan permainan video dan cakera video digital. Selain itu, siri televisyen yang dibintangi oleh karakter figura itu juga merupakan antara kejutan kepada peminat permainan tersebut pada tahun ini.

Playmobil merupakan sebuah syarikat keluarga Geobra Brandstaetter dan kini mempunyai kira-kira 3,700 kakitangan yang berkhidmat dalam pembikinan figura jenama itu.

Syarikat berkenaan telah memberi penyelesaian kepada penggunaan plastik pada tahun 1970-an ketika krisis minyak yang meningkatkan kos pembuatan produk plastik.

Rekaan figura itu telah dihasilkan oleh pereka acuan, Hans Beck yang meminimumkan penggunaan plastik.

"Figura permainan Playmobil telah menemui kunci imaginasi kanak-kanak sejak tahun 1974 dan masih memegangnya sehingga ke hari ini," ujar Ketua Eksekutif Playmobil, Andrea Schauer.

Jelasnya, kemampuan syarikat itu berkekalan dalam sektor tersebut kerana sektor alat permainan kanak-kanak adalah berdaya saing.

Dunia masa kini penuh dengan bunyi-bunyian berteknologi dan paparan skrin definisi tinggi, namun jenama itu terus membina kesederhanaan menerusi karakter imaginasi.

"Nyawa untuk figura Playmobil hadir ketika bermain. Kanak-kanak memberi kehidupan dalam setiap cerita yang ada dalam fikiran mereka," ujar Schauer. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved