Selasa, 7 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Membebaskan 'pelega kesakitan'

Posted:

Membebaskan 'pelega kesakitan'

Membebaskan 'pelega kesakitan'

RUANG kelas yang sepi tiba-tiba bertukar menjadi bising dengan dekahan ketawa tanpa henti 12 orang yang lagaknya seperti orang hilang akal.

Sambil tangan mengombak ke atas, mereka terus ketawa dengan penuh semangat dan saling berpandangan mengejek antara satu sama lain.

Bermula dengan ketawa dalam keadaan menunduk sambil menghayunkan tangan, mereka kemudian menukar gaya dan menepuk kedua-dua belah tangan sambil disusuli dekahan panjang.

Bagi Sophen Tew, 36, itu merupakan rutinnya pada setiap hujung minggu di dalam kelas Dr. Dhilip Kumar, seorang pakar psikoterapi dan naturopati di Pusat Yoga Kevala Centre, Subang Jaya.

Menurutnya, aktiviti itu dikenali sebagai terapi ketawa yang membantu dirinya mengawal emosi, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan diri.

"Dahulu saya sering jatuh sakit dan kerap ke klinik kerana sering sakit kepala ekoran tekanan di tempat kerja.

"Bagaimanapun, sejak mengikuti kelas ini pada November 2011, saya boleh mengawal emosi dan tekanan yang dialami melalui kaedah pernafasan yang dituntut dalam terapi ketawa," katanya.

Tew menambah, badannya juga terasa lebih ringan dan lega apabila segala tekanan dikeluarkannya dalam bentuk ketawa.

Peranan berbeza

Sementara itu, Dhilip, 65, memberitahu, ketika individu ketawa, 'pelega kesakitan' atau hormon endorfin akan dibebaskan daripada kelenjar pituitari anterior dan mengurangkan tekanan serta mengembalikan mood seseorang.


TERAPI ketawa melibatkan teknik-teknik tertentu bagi memberikan manfaat optimum kepada diri individu.


Bukan sekadar itu, ujarnya, terapi tersebut juga membantu memperbaiki keadaan organ dalaman badan.

"Individu yang selalu terasa tertekan, bimbang dan marah kebiasaannya mengalami pernafasan laju dan pendek. Ini akan memudaratkan tahap kesihatan mereka.

"Terapi ketawa ini dapat membantu memperbaiki cara pernafasan dan menyediakan urutan sistematik pada otot abdomen, limpa, hati, buah pinggang, pankreas serta usus. Ia juga meningkatkan kecekapan sistem pernafasan, peredaran darah dan saraf," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, terapi berkenaan bukan sekadar merawati penyakit tetapi juga merupakan agen antipenuaan semula jadi apabila kesemua otot muka turut bersenam ketika ketawa.

Terdapat beberapa teknik terapi ketawa yang mempunyai peranan berbeza dalam meningkatkan kualiti kesihatan.

Antara teknik terapi yang diajar oleh Dhilip adalah ketawa pendulum, menepuk tangan, cara teh tarik, satu meter, bercakap di telefon, goyangkan badan dan singa mengaum.

Teknik ketawa cara teh tarik misalnya merupakan latihan untuk memanjangkan pernafasan, sementara ketawa goyangkan badan dapat membantu melancarkan peredaran darah.

Bagi Jo Chew, 47, yang sudah mengikuti kelas terapi ketawa selama tiga tahun, kaedah rawatan itu membantu dirinya kembali tidur lena selepas 10 tahun mengalami insomnia atau kesukaran tidur.

"Sebelum ini saya mengambil pil tidur atau melakukan aktiviti yang menggunakan banyak tenaga supaya dapat tidur lena pada waktu malam.

"Bagaimanapun, selepas menghadiri kelas ini, saya berasa lebih tenang dan tidak lagi mengalami masalah sukar tidur, malah tidur saya lebih lena," ujarnya.

Menurutnya, dia mengalami masalah sukar tidur kerana banyak berfikir.


TEKNIK ketawa menggoyangkan badan membantu melancarkan peredaran darah.


Bagi Chew, terapi ketawa, yang diketahui menerusi seorang rakan, juga telah membantunya meningkatkan ketenangan rohani.

Mengulas lanjut tentang keistimewaan terapi ketawa, Dhilip berkata, aktiviti tersebut merupakan satu seni pernafasan memperbaiki masalah kesihatan secara semula jadi.

"Beberapa jenis penyakit atau masalah kesihatan yang tidak serius seperti kitaran haid tidak teratur, artritis, insomnia, asma, selesema, tekanan darah tinggi, kembung perut dan migrain sebenarnya boleh dirawati dengan terapi ketawa tanpa perlu mengambil pil-pil yang meninggalkan kesan sampingan,

"Apa yang perlu dilakukan hanyalah ketawa dengan sepuas-puasnya, tetapi ketawa juga mempunyai cara. Saya sendiri mengambil masa selama lima tahun untuk mahir dalam mengawal pernafasan," katanya.

Tambah oksigen

Mengajar terapi ketawa, Dhilip berkata, dia mula mengetahui tentang rawatan tersebut selepas berhijrah ke India untuk mengubati kedua-dua belah kakinya yang separuh lumpuh akibat kemalangan di tempat kerja.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai seorang jurutera kapal terbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan dan mengalami kemalangan ketika berusia 28 tahun.

"Selepas hampir berputus asa kerana kaki yang semakin lemah, rakan-rakan saya memberi sokongan dan mengesyorkan supaya mendapatkan rawatan di India. Ketika itulah saya diperkenalkan dengan terapi ketawa sambil dimaklumkan bahawa ia mampu membantu kelancaran peredaran darah," katanya.

Dhilip memberitahu, dia boleh berjalan semula dalam tempoh kurang dari tiga bulan selepas menjalani terapi berkenaan.

Selepas kembali pulih, beliau akhirnya terpikat dengan kursus pernafasan dan mendalami ilmu tersebut di India selama lima tahun sebelum meneruskan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains psikoterapi di Universiti Terbuka Antarabangsa di Sri Lanka pada tahun 1995.


TERAPI ketawa memperbaiki cara pernafasan dengan kadar yang lebih rendah dan sistematik.


Berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pengurusan tekanan, Dhilip membuka kelas yoga di Subang Jaya, yang mengajar tentang teknik pernafasan dan terapi ketawa.

Kelas terapi ketawa tersebut diadakan selama sejam setengah dan diselitkan dalam setiap kelas yoga yang diadakan setiap hari.

Terapi ketawa dikatakan dapat meningkatkan fungsi tubuh badan dengan penambahan kuantiti oksigen pada otak setiap kali menarik nafas yang panjang.

Kekurangan oksigen akan melemahkan fungsi badan dan otak untuk berfikir yang seterusnya boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain.

Secara purata, setiap manusia bernafas antara 14 hingga 18 kali dalam seminit apabila bangun daripada tidur dan empat hingga lapan kali ketika tidur.

"Namun demikian, kadar purata yang terbaik bernafas adalah antara dua hingga tiga kali dalam seminit.

"Latihan bernafas menerusi kaedah terapi ketawa boleh mengurangkan kadar pernafasan kepada tiga hingga empat kali seminit," ujar Dhilip.

Restoran mewah banjiri pasaran India

Posted:

Restoran mewah banjiri pasaran India

Restoran mewah banjiri pasaran India


SUSUN atur restoran tampak mewah sesuai statusnya sebagai salah satu jenama terkenal antarabangsa.


CHEF MATTEO BOGLIONE diminta oleh pelanggannya untuk menghasilkan lebih banyak menu vegetarian di cawangan baharu restoran mewah, Le Cirque Signature di Mumbai, India.

Disebabkan itu, restoran yang terkenal dengan menu seperti stik T-Bone Florentine turut menawarkan hidangan baharu seperti cauliflower flan bersama porcini dan avocado panzanella, daging fondu mozzarella dan kulat hitam truffle pada harga yang lebih berpatutan.

Hidangan vegetarian itu diletakkan pada harga antara 1,250 rupee (RM66) berbanding menu mewah, stik T-Bone Florentine iaitu AS$130 (RM426).

Restoran berpangkalan di New York, Amerika Syarikat itu beroperasi di hotel terkemuka India, Leela Mumbai. Ia antara premis makanan mewah yang kini membanjiri negara kelahiran Mahatma Ghandi itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membuka restoran mewah antarabangsa menjadi trend di India seperti yang berlaku di Dubai dan Hong Kong.

Lokasi baharu

Banyak restoran mewah memberikan tumpuan kepada India sebagai lokasi baharu. Ia berikutan jumlah kekayaan isi rumah India yang meningkat RM6.56 trilion dalam masa lima tahun kebelakangan ini. Berdasarkan kenyataan Boston Consulting Group, ia dijangka meningkat kepada RM14.77 trilion pada 2017.


PELANGGAN Le Cirque, Mumbai lebih gemar membelanjakan wang membeli wain mahal berbanding menu mewah.


Cawangan jenama antarabangsa lain seperti Hakkasan, restoran makanan Cina dari London, England dibuka pada 2011 dan restoran Yauatcha yang popular dalam kalangan elit Mumbai, bakal dibuka di empat lokasi baharu di India. Tahun lepas, restoran dari Sepanyol, Arola dibuka di Hotel JW Marriott, Mumbai.

Namun begitu, ia berdepan dengan beberapa cabaran dalam menghidangkan menu signatur tetapi pada masa sama, menuruti permintaan sesetengah pelanggan yang berpegang kepada tradisi dan agama.

Sebilangan pengunjung India merupakan vegetarian dan tidak memakan daging lembu atas sebab tuntutan agama. Selain itu, kebanyakan ramuan diimport menyebabkan kos harga naik mendadak.

Sensitif harga

Dalam pada itu, wartawan Vir Sanghvi menyatakan, sebilangan pengguna India menolak untuk berbelanja secara mewah kerana telah imun dengan budaya restoran antarabangsa. Ia menjadikan India sebagai pasaran yang sensitif harga.

Restoran Le Cirque dibuka pada 1974 oleh Sirio Maccioni dan kini diselenggarakan oleh anaknya, Mario.

Rantaian restoran mewah di India memilih untuk membuka premis di hotel yang menjadikannya sebagai francais dengan menampung keseluruhan kos. Restoran itu juga tidak sukar mendapatkan pelanggan kerana sudah sedia ada peminat tersendiri. Pembukaan restoran tersebut dilihat menjadi faktor penting dalam perniagaan hotel.

Berdasarkan rekod buruk restoran-restoran Perancis yang banyak menghidangkan menu daging, Le Cirque di India mengambil langkah selamat dengan menekankan menu ala Itali.


PERBEZAAN adat dan kepercayaan menyebabkan Boglione mencipta menu baharu yang bersesuaian dengan sosiobudaya India.


"Restoran ala Perancis berdepan pelbagai masalah. Kami tidak mahu berada dalam kategori tersebut," ujar Presiden The Leela Palaces, Hotels and Resorts, Rajiv Kaul. Bulan hadapan, satu lagi cawangan Le Cirque akan dibuka di Bangalore.

Restoran termahal

Cawangan restoran itu di New Delhi yang dibuka pada tahun 2011, menawarkan menu signatur pada harga antara RM265 hingga RM318 seorang. Ia menjadikan Le Cirque sebagai antara restoran termahal di India dengan jumlah keuntungan sebanyak RM530,730 sebulan.

Sebuah lagi restoran import di hotel itu di New Delhi ialah restoran Jepun dari New York, Megu. Restoran berkenaan turut mengimport sebahagian bahan-bahan asas dari luar negara.

Kaul menjangkakan jumlah perbelanjaan di Le Cirque Mumbai adalah 20 peratus lebih rendah dari New Delhi. Saiz restoran juga kecil dan tidak terlalu formal jika dibandingkan dengan cawangan di New Delhi. Ia disebabkan kebanyakan pelanggan lebih gemar membelanjakan wang untuk membeli wain mahal.

Bagi Boglione, 38, memasak untuk pelanggan India bermakna dia perlu menghidangkan menu yang lebih vegetarian, tidak seperti yang biasa dilakukan oleh jejaka dari Florence, Itali itu. Malah dia merancang untuk menggunakan bahan-bahan yang sukar dicari seperti cendawan porcini dan ubi bit kuning.

"Dengan menggunakan sayur-sayuran, anda akan menghasilkan hidangan-hidangan yang menarik," ujarnya. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved