Khamis, 23 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tanda kemajuan negara bergolak

Posted:

Tanda kemajuan negara bergolak

Tanda kemajuan negara bergolak

"SAYA sedar bahawa saya akan sentiasa berada dalam bahaya. Tetapi saya sudah bersedia dan mahu meneruskannya. Tuhan bersama saya," tekad Ketua Polis Daerah 1 Kabul, Afghanistan.

Selepas 32 tahun berkhidmat sebagai anggota polis, Kolonel Jamila Bayaz, 50, merupakan wanita pertama yang dilantik mengendalikan sebuah wilayah. Ia dilihat sebagai pelantikan barisan hadapan yang tertinggi bagi seorang wanita Afghanistan. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di bahagian jenayah dan narkotik.

Jika dahulu jubah tradisional dan tudung menjadi pakaian hariannya, kini Jamila membiasakan diri dengan berpakaian seragam yang berseluar berwarna kelabu. Tidak memakai topi polis, kepalanya masih ditutupi sehelai selendang berwarna hitam.

Seiring dengan tanggungjawab yang diberikan, beliau mula mengetuai pasukan di Daerah 1, Kabul yang merupakan salah satu kawasan terpenting di ibu negara Afghanistan itu pada 16 Januari lalu.

Daerah, yang juga sebahagian daripada 10 daerah di Kabul dengan kepadatan penduduk hampir lima juta orang, itu menempatkan beberapa kediaman pemerintah tertinggi, pejabat beberapa kementerian, bank pusat dan pasaran utama emas dan pertukaran mata wang asing negara berkenaan.

Sasaran Taliban

Wanita yang kian menjadi tumpuan orang awam dan media antarabangsa itu berkata, dia tidak gentar melaksanakan tugasnya meskipun menyedari menjadi sasaran utama militan.

"Saya bertugas hampir setiap hari tanpa mengenal erti siang dan malam. Saya bersedia untuk berkhidmat. Pasti ada sebab mengapa Tuhan memberikan saya jawatan ini" jelasnya dalam satu temu bual bersama media baru-baru ini.


KEJAYAAN Jamila sebagai pemimpin dalam institusi yang didominasi oleh lelaki memberi inspirasi kepada golongan wanita Afghan untuk berkhidmat pada negara.


Sejak tujuh bulan lalu, beberapa wanita berkepentingan telah diserang di Afghanistan.

Ia termasuk dua anggota polis wanita di sebelah selatan, seorang penulis dari India yang menetap di timur Afghanistan yang telah dibunuh selepas memoirnya mengenai kehidupan di bawah pemerintahan Taliban pada tahun 1990-an menjadi sebuah filem Bollywood dan seorang senator Afghan yang cedera teruk dalam satu serangan hendap.

Selain berhadapan dengan Taliban, kebanyakan ahli keluarga terdekat terutamanya saudara lelaki, turut menentang pembabitan golongan wanita dalam pentadbiran kerajaan sehingga ada yang menerima ugutan bunuh.

Pada tahun lalu, seorang pegawai kanan polis wanita di wilayah Helmand, Leftenan Islam Bibi, 37, mendedahkan kepada media bahawa dia pernah menjadi sasaran bunuh oleh ahli keluarganya sendiri.

"Adik-beradik saya, bapa, kakak dan abang, semuanya menentang saya. Malah abang saya pernah tiga kali cuba untuk membunuh saya tetapi gagal," ceritanya.

Namun, pada pagi 4 Julai tahun lalu, wanita yang juga menjadi contoh kepada kaum Hawa di wilayah yang konservatif itu telah diserang ketika menunggang motosikal bersama menantu lelakinya di ibu wilayah, Lashkar Gah. Beliau mati akibat kecederaan serius yang dialami di wad kecemasan sebuah hospital.

Peningkatan peranan

Kesemua serangan itu dilancarkan bertujuan meningkatkan ketakutan dalam kalangan wanita Afghanistan yang semakin bebas meneruskan kehidupan seperti mendapat akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan selepas Amerika Syarikat menumbangkan kerajaan Taliban pada tahun 2001.

Bagaimanapun, kematian Islam bukan sahaja menaikkan semangat dalam kalangan wanita di Afghanistan untuk bergelar anggota polis, malahan dia diangkat sebagai ikon.

Khidmat polis wanita ditagih dalam institusi beruniform itu terutamanya yang melibatkan serbuan di premis-premis yang didiami wanita selain bertugas di bahagian siasatan jenayah.


JAMILA (kiri) membuktikan bahawa golongan wanita juga boleh berjaya seperti lelaki.


Menurut satu laporan oleh agensi bantuan antarabangsa, Oxfam International (Oxfam) pada tahun lalu, usaha kerajaan Afghanistan merekrut golongan wanita menjadi anggota polis merupakan satu kejayaan tipis.

"Pada tahun 2005, pasukan polis kebangsaan telah melantik hanya 180 wanita daripada 53,400 orang anggota. Pada Julai 2013, angka tersebut telah meningkat kepada 1,551 orang daripada 157,000 anggota," katanya.

Tambah Oxfam, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran, merekrut lebih ramai anggota polis wanita boleh memberikan manfaat besar kepada negara itu, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan yang sering berasa tidakselesa atau takut untuk membuat laporan jenayah kepada pegawai lelaki.

Menceritakan semula saat berada di bawah pemerintahan Taliban dalam tempoh lima tahun sehingga 2001, pergerakan Jamila sangat terhad.

Kebanyakan wanita dinafikan hak untuk meneruskan kehidupan seperti golongan lelaki. Antaranya, golongan wanita tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa ditemani saudara lelaki. Jamila sendiri menghabiskan kebanyakan masa mengendalikan urusan rumah tangga.

Transformasi kehidupan

Kehidupan ibu kepada lima orang anak ini jelas berubah sejak pelantikannya. Sungguhpun mampu memandu, kini beliau mempunyai pasukan pengawal peribadi tersendiri yang membawanya bergerak di sekitar Kabul dan ke pejabat.

Seperti Islam, Jamila juga menyimpan hasrat mahu menjadi inspirasi kepada wanita yang lain untuk meneruskan kerjaya sebagai polis, sekali gus berkhidmat demi negara.

"Apabila saya keluar dari kenderaan, saya memberi arahan dan mendapatkan maklumat terkini berhubung tugasan pegawai terlibat.

"Ketika itu semua mata tertumpu ke arah saya. Ia adalah saat yang sangat mengujakan. Melaksanakan tugas sambil memakai pakaian seragam diharapkan mampu menjadi inspirasi kepada seluruh wanita Afghanistan," tuturnya.


SEJAK kejatuhan Taliban, wanita lebih bebas meneruskan kehidupan termasuk kerjaya sebagai anggota polis.


Katanya lagi, dia bersyukur dengan sokongan padu yang diberikan keluarganya, termasuk dua anak perempuan dan tiga anak lelakinya terhadap jawatan baharu itu.

Anak bongsu Jamila, Tawhid, 12, berasa bangga kerana ibunya bergelar seorang pegawai tertinggi polis.

"Ya, mak saya selalu sibuk sekarang. Saya sentiasa datang ke pejabat melawatnya. Hati saya gembira dia memegang jawatan ini," katanya sambil berlegar di kawasan pejabat Jamila yang dipenuhi jambangan bunga dan kad ucapan tahniah.

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Kabul, Mohammad Zahir Zahir mengucapkan tahniah di atas kejayaan Jamila.

Dia optimis tindakan yang diambil Kementerian Dalam Negeri itu adalah langkah bijak selain membuktikan wanita mampu melakukan kerja luar selain sebagai suri rumah.

"Kenaikan pangkat ini mengiktiraf golongan wanita selain menjadi bukti mereka mampu melakukan pekerjaan seperti lelaki," katanya.

Manakala jurucakap kementerian, Sediq Sediqi berkata, pelantikan Jamila adalah langkah awal dalam memenuhi kapasiti wanita dalam jawatan kepolisan.

"Mungkin pada masa hadapan kita boleh melihat seorang wanita bergelar Ketua Polis Wilayah," ujarnya dengan penuh semangat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved