Jumaat, 17 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Idea segar

Posted:

Idea segar <i>Ke Korea Ke Kita?</i>

Idea segar Ke Korea Ke Kita?

SEJAK kebelakangan ini, banyak program berbentuk dokumentari pengembaraan atau travelog dihasilkan oleh produksi-produksi syarikat penyiaran tempatan.

Ia jelas bagi memenuhi kehendak penonton yang gemar merancang perjalanan sebelum mengambil keputusan memilih destinasi percutian.

Perkara-perkara asas seperti jumlah kos perjalanan, pemilihan tempat tinggal, kemudahan mencari restoran halal serta cadangan tempat-tempat yang menarik untuk dilawati merupakan pengisian utama bagi sesebuah program travelog.

Walaupun berpaksikan dengan tujuan asal yang sama, pihak produksi masa kini begitu pintar dalam mempelbagaikan format program-program yang dihasilkan bagi memberikan variasi menarik buat penonton di rumah.

Menyedari hakikat itu, Primeworks Studios hadir dengan sebuah program travelog tanpa skrip berjudul Ke Korea Ke Kita? yang menjadikan bumi Korea sebagai destinasi pilihan.

Tanpa skrip

Menurut penerbit Ke Korea Ke Kita?, Khairul Adzweri Rosle, 31, idea untuk menerbitkan program itu tercetus apabila pihak TV9 meminta dia dan rakan-rakannya yang lain menampilkan draf awal sebuah program yang dijadualkan untuk disiarkan pada tahun 2014.

Menyedari program travelog pertama terbitannya, Jet Lag mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton, Adzweri sekali lagi memilih rancangan berbentuk serupa yang menerapkan konsep cabaran secara spontan di samping pengembaraan untuk diterbitkan.

"Kami mengetengahkan konsep realiti TV ketika menjalankan penggambaran Ke Korea Ke Kita? di Korea Selatan.


MYO teruja diberikan tanggungjawab mengacarakan program Ke Korea Ke Kita?


"Konsep ini diketengahkan supaya penonton dapat merasai dengan lebih dekat setiap pengalaman yang dialami oleh pengacara program ini.

"Rancangan ini turut bergerak tanpa berpandukan sebarang skrip. Sejujurnya, apa yang dirakamkan di Korea Selatan adalah seratus peratus berlaku scara spontan," katanya yang ditemui di Talent Lounge, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini,

Cetus rasa berani

Konsep unik yang cuba disampaikan oleh produksi tersebut bukan semata-mata mahu mencuri perhatian penonton.

Idea itu dilihat mampu membuka minda orang ramai untuk tidak berasa takut dalam merancang percutian ke sesebuah negara yang mengamalkan cara hidup yang berlainan dengan rakyat di Malaysia.

"Kita bukanlah berada dalam era tanpa teknologi yang memaksa perancangan perjalanan ke sesebuah negara dilakukan secara manual.

"Mungkin suatu ketika dahulu, kita tidak tahu mengenai sesebuah negara itu sehinggalah kita sampai ke sana.

"Kini, segala-segala telah berubah apabila maklumat yang kita inginkan boleh didapati dengan begitu pantas.

"Lagipun dengan kemajuan teknologi kini, setiap telefon pintar dilengkapi dengan kemudahan aplikasi yang sangat membantu dalam merancang perjalanan ke luar negara dengan lebih mudah," katanya.

Ketika ditanya mengenai bantuan teknologi yang banyak membantu mereka sewaktu berada di Korea Selatan, ujar Adzweri lagi, dia banyak bergantung harap dengan aplikasi Whatsapp untuk terus berhubung dengan pihak Organisasi Pelancongan Korea (KTO) di Kuala Lumpur jika terdapat sebarang kesukaran yang dihadapi kumpulan produksi di sana.

"Ketika berada di Pulau Jeju, telefon milik kami telah ditamatkan perkhidmatan sebelum hotel sempat ditempah.

"Pada waktu itu, satu-satunya cara untuk berkomunikasi ialah melalui sambungan internet.


PROGRAM ini membawa penonton meneroka tempat-tempat menarik di seluruh Korea.


"Jadi, kami terus menghubungi kakitangan KTO di Malaysia melalui aplikasi Whatsapp untuk meminta bantuan mereka menghubungi ibu pejabat di Korea Selatan untuk membantu menempah hotel di Pulau Jeju," kata Adzweri yang begitu berbesar hati dengan bantuan yang dihulurkan KTO dalam menjayakan rancangan tersebut.

Selalin aplikasi telefon pintar, Adzewari dan kru turut menggunakan beberapa kemudahan lain termasuklah internet bergerak dan panduan navigasi bersuara (GPS) ketika memandu kereta di sana.

Saingan sihat

Sementara penolong penerbitnya, Mohd. Zahir Zainuddin, 31, berkata, walaupun Malaysia banyak dilambakkan dengan produksi-produksi berbentuk pengembaraan, ia sama sekali tidak memberikan impak yang negatif terhadap penerbitan Ke Korea Ke Kita?.

"Seperti yang kita tahu, banyak program berbentuk travelog dihasilkan setiap tahun.

"Pada pendapat saya, satu saingan sihat dapat diwujudkan jika lebih banyak stesen televisyen tempatan muncul dengan rancangan berbentuk sama.

"Daripada situ, kita dapat menilai dengan lebih mendalam prestasi rancangan terbitan produksi kita dan cuba untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada padanya," jelas Zahir yang gemar menonton program travelog indie yang banyak dihasilkan oleh pengguna laman perkongsian video YouTube.

Menyentuh tentang masa depan penerbitan rancangan berbentuk travelog, ujar Zahir, pasaran untuk program seperti ini berkembang dengan pesat dan permintaan daripada penonton juga dilihat cukup memberangsangkan.

"Program-program seperti ini seharusnya terus diterbitkan dengan idea-idea yang lebih segar mengikut peredaran waktu.

"Tidak mustahil suatu hari nanti kita mempunyai saluran pengembaraan dan percutian sendiri seperti yang ditampilkan oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Britain," katanya.

Pengalaman baharu

Dalam pada itu, menurut pengacara Ke Korea Ke Kita?, Mior Luqman Hakin Lior Mohd. Zain, 27, atau lebih senang disapa Myo, dia bersetuju untuk melibatkan diri dalam rancangan tersebut kerana yakin dengan format dan konsep yang cuba diketengahkan.

JALINAN kerjasama erat antara (dariI kiri) Adzweri, Myo dan Zahir melicinkan proses penerbitan program Ke Korea Ke Kita?.


Tambah vokalis kumpulan Oh Chentaku itu, tidak banyak program seumpama Ke Korea Ke Kita? yang menerapkan elemen-elemen spontan, cabaran serta dialog yang bersahaja sewaktu sesi penggambaran dijalankan.

"Sejujurnya, saya tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pengacaraan.

"Namun, setelah diberitahu mengenai konsep sebenar program ini, saya terus bersetuju untuk mencuba.

"Lagipun, program ini tidak menonjolkan tempat-tempat popular yang mendapat tarikan pelancong sahaja.

"Bagaimanapun, ia turut menampilkan beberapa lokasi menarik yang kurang mendapat perhatian orang ramai," katanya yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Korea Selatan.

Selain itu, Myo memberitahu, banyak perkara baharu yang dipelajarinya sepanjang berada di negara yang kaya dengan tradisi dan ada resamnya itu.

"Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah cara orang-orang di sana menghormati tetamu yang bertandang ke kediaman mereka.

"Tuan rumah akan menuangkan teh ke dalam cawan setiap orang tetamu kecuali cawannya. Ia melambangkan rasa hormat serta nilai murni mendahulukan tetamu pada setiap masa.

"Maka, tetamu yang hadir ketika itu akan membalasnya dengan menuangkan teh tersebut ke dalam cawan tuan rumah," jelas Myo yang teringin untuk mengacarakan program travelog yang berkonsepkan muzik bersama anggota bandnya yang lain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved