Jumaat, 31 Januari 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Bifa's Collezion buka jalan vendor

Posted:

Bifa's Collezion buka jalan vendor

Bifa's Collezion buka jalan vendor

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


RINA memastikan setiap vendor membawa rekaan produk yang berlainan untuk mewujudkan kepelbagaian di butiknya.


PEMANDANGAN dari luar kaca lutsinar sebuah butik di The Trillium Lakefields, Sungai Besi, Kuala Lumpur sudah menampakkan keunikan pelbagai rekaan baju dan seluar berwarna-warni di patung peragaannya.

Malah, bukan sekadar menjual pakaian, seluar dan tudung, tetapi butik Bifa's Collezion ini juga menawarkan aksesori pelengkap gaya seperti kasut, cermin mata hitam, gelang, beg tangan serta pelbagai hiasan diri yang mempesonakan.

Sebelum ini, Bifa's Collezion memulakan perniagaan pakaian menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan blog pada tahun 2010 dengan menyediakan lebih 200 rekaan pakaian muslimah, santai serta kasual.

Bagaimanapun, dengan sokongan suami tercinta, pemiliknya, Rinawati Rezmi, 26, bertekad melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka sebuah butik pada Februari tahun lalu.

Cuma, apa yang membezakan butik ini berbanding kedai pakaian tempatan lain adalah ia menyajikan puluhan seleksi produk menarik daripada 20 vendor jenama tempatan di bawah satu bumbung sama.

Pengusaha muda yang lebih mesra dengan panggilan Rina ini berkata, selain mewujudkan kepelbagaian rekaan, dia ingin membantu pengusaha-pengusaha baharu memperkenalkan jenama masing-masing.

RINA menggayakan persalinan jenama Rinazara yang dikhususkan untuk ibu hamil.


Variasi rekaan

"Saya mempunyai lima koleksi baju rekaan sendiri di bawah jenama Rinazara, namun pilihan ini terlalu terhad. Jadi saya berpendapat berkongsi ruang niaga dengan pereka-pereka baharu adalah sesuatu yang sangat wajar dalam menyediakan variasi rekaan di butik ini.

"Selain itu, ia juga bagi memberi ruang kepada pereka-pereka muda memperkenalkan jenama mereka dan dapat menyalurkan produk kepada pelanggan dengan lebih dekat," jelasnya yang baru melahirkan anak sulungnya pada 15 Januari lalu.

Antara jenama-jenama yang terlibat di butik Bifa's Collezion ialah Phewwsion, Milyy, The Yellows, Inner Shoppe, Dress2Empress, House Of Rin, Sweety Beauty Shoppe, Pretzel Pn Is, The Pappers, Shinings Shop, AynaKL, Mini Stylista dan Zeline Shop.

Tambahnya, dia sebelum ini turut berhadapan dengan beberapa masalah berkaitan dengan saiz, warna dan kualiti yang tidak memenuhi cita rasa pelanggan menerusi jualan dalam talian.

Justeru, anak jati Kuala Lumpur ini berharap pembukaan butik tersebut dapat memberikan kepuasan dan membina keyakinan pelanggan terhadap jenama Bifa's Collezion.

Bagi pengasas jenama Mini Stylista, Nor Diyana Abd. Aziz, 28, dia memilih butik Bifa's Collezion sebagai tapak permulaan perniagaannya kerana percaya dengan kredibiliti syarikat enterprise berkenaan.

"Saya sebenarnya salah seorang daripada peminat koleksi Bifa's Collezion dan menjadikan laman Facebook menjual pakaian itu sebagai panduan dalam memilih rekaan baju terkini daripada pembekal Mini Stylista.


BARANGAN aksesori seperti kaca mata ini dijual pada harga serendah RM15.


"Namun, saya serta rakan kongsi, Nurul Hamizah Ahmad Tarmizi, 28, hanya menjual pakaian di Instagram dan apabila mengetahui butik berkenaan menawarkan ruang menjual produk, tanpa teragak-agak kami memohon untuk berkongsi kawasan," katanya yang telah meletakkan enam jenis koleksi dress dan baju di butik tersebut bermula Sabtu lalu.

Ikat kontrak

Mengulas lanjut tentang bayaran dikenakan, Rina memberitahu, dia mengenakan caj mengikut ruang yang diminta oleh vendor.

"Mereka akan mengikat kontrak permulaan selama tiga bulan dan bayaran bermula RM150 sehingga RM300 dicaj mengikut kepada keluasan ruang yang diambil untuk pameran produk mereka.

"Selain berkongsi ruang di butik ini, produk-produk mereka juga akan turut dikemas kini di laman dalam talian Bifa's Collezion," jelasnya.

Pemilik jenama Shinings Shop yang menyediakan koleksi kasut, Salina Norlan, 25, pula mengakui, perniagaan dalam taliannya menjadi semakin baik selepas meletakkan produk di Bifa's Collezion.

"Memandangkan produk saya adalah kasut, jadi pelanggan selalu berasa bimbang sama ada saiz kasut tidak muat atau terlalu besar untuk kaki mereka.

"Tetapi, selepas meletakkan 10 jenis rekaan kasut di butik berkenaan, pelanggan saya lebih berpuas hati kerana selain puas membelek gambar di Instagram, mereka boleh mencuba kasut terlebih dahulu di kedai sebelum membeli," jelasnya yang sudah menapak di dalam dunia perniagaan dalam talian sejak tiga tahun lalu.

Padanan aksesori

Meminta pendapat daripada kaca mata seorang pengunjung, Mimi Syarene Ismail, 26, memberitahu kepelbagaian di butik tersebut memberikan idea kepada dirinya dalam memadankan pakaian dengan aksesori ditawarkan.

"Sebelum ini saya pernah membeli baju dan beg tangan daripada Bifa's Collezion. Pembukaan butik ini yang menawarkan pelbagai pilihan membantu memberikan saya idea untuk menggandingkan terus rekaan terbaharu baju, tudung dengan aksesori bersesuaian.

"Harga barang-barang di butik ini juga berpatutan dan tidak lari daripada anggaran bermula RM30 sehingga RM200," katanya.

Mengulas lanjut tentang jenama itu, Rina memberitahu nama Bifa diambil sempena meneruskan legasi keluarga sebelah suaminya, Faizal Bifa Fadzillah sementara collezion bermaksud koleksi dalam bahasa Itali.

Sehingga kini, laman Facebook Bifa's Collezion menerima Like sebanyak 17,783 daripada pengunjung dengan tempahan diterima melebihi 100 pesanan setiap bulan.

Warna-warni Tahun Kuda 2014

Posted:

Warna-warni Tahun Kuda 2014

Warna-warni Tahun Kuda 2014

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


DEKORASI arca kuda yang diperbuat daripada buluh di Publika, Solaris Dutamas menyerlahkan kreativiti pengarcanya.




ACARA makan malam besar-besaran dianjurkan oleh komuniti keluarga di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, China.




DIANGGARKAN 3.6 bilion penduduk dunia akan mengunjungi China sempena musim perayaan tahun ini.


KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina di seluruh dunia dapat dirasai dengan paparan kepelbagaian gambar yang dirakam agensi berita antarabangsa AP, AFP dan Reuters.

KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina di seluruh dunia dapat dirasai dengan paparan kepelbagaian gambar yang dirakam agensi berita antarabangsa AP, AFP dan Reuters.

Daripada kostum naga di puncak jambatan Harbour Sydney yang berlatarbelakangkan bangunan ikonik Australia, Sydney Opera House; arca kuda gergasi yang tersergam di Taman Ditan, Beijing, China hinggalah kecomelan gelagat dua ekor penguin yang dipakaikan cheongsam di taman tema Hakkeijima Sea Paradise, Tokyo, Jepun.

Selain itu, bertempat di Akuarium Beijing, para pengunjung turut dihiburkan dengan aksi para penyelam profesional mempamerkan tarian naga di dalam air.

Di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, kelihatan beberapa peserta berhias memakai kostum dewa Cina ketika menyertai perarakan tradisi yang dikenali sebagai Grebeg Sudiro untuk menghangatkan sambutan.

Pertandingan

Begitu juga di Yangon, Myanmar, satu pertandingan tarian naga turut sebagai signifikan meraikan kemeriahan Tahun Baru Cina.

Tidak ketinggalan, ribuan tanglung yang dihias di sekitar kawasan hub komersial dan kewangan utama China, Pudong turut menarik perhatian lensa kamera jurugambar yang bertugas.

Semuanya itu ternyata membawa keceriaan buat masyarakat Tionghua yang meraikan perayaan terbesar mereka bersama kaum keluarga masing-masing.

Mengikut kalendar lama kaum Cina, Tahun Baru Cina kali ini memberi laluan pada kedatangan Tahun Kuda yang dipercayai membawa kejayaan, pencapaian dan kekayaan buat penganutnya.

Tahun Kuda merupakan pusingan kelapan dalam kalendar zodiak Cina yang melengkapi 12 pusingan tahun mengikut kepercayaan mereka.

Sempena perayaan ini juga, dianggarkan 3.62 bilion orang akan berkunjung ke China. Migrasi besar-besaran ini secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa di republik yang mempunyai populasi penduduk seramai hampir 1.4 bilion.

Malah, situasi ini menyebabkan para penumpang tanpa rasa bersalah meninggalkan sampah di dalam kereta api yang membuat perjalanan dari Shenzhen ke Zhengzhou beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

Menurut Tech in Asia, syarikat media teknologi dalam talian yang berpangkalan di seluruh Asia dan Amerika Syarikat pula, destinasi paling popular bagi perayaan Tahun Baru Cina ini ialah Beijing dan Chongqing manakala bandar-bandar hub, Guangxi dan Hunan terikat di tempat ketiga.

Makan malam

Sementara itu, di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, penduduk tempatan telah menganjurkan acara yang dipanggil 'Ten Thousand Families Dinner' pada 24 Januari lalu, iaitu seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina disambut.

Ia merupakan satu program makan malam besar-besaran yang disajikan kepada lebih 30,000 individu dengan lebih 11,000 menu yang dimasak secara bergotong-royong oleh keluarga komuniti di kawasan tersebut.

Di samping itu, pada perayaan ini juga, makanan tradisi, yee sang merupakan hidangan utama sewaktu makan besar menjelang malam Tahun Baru Cina. Ia diikuti sajian seperti kuih bakul dan limau Mandarin sebagai pencuci mulut.

Turut dikenali sebagai Festival Musim Bunga, perayaan ini turut disambut meriah oleh masyarakat Cina di Malaysia. Malah, kebanyakan pusat beli-belah berlumba-lumba menghasilkan dekorasi paling unik untuk menarik kehadiran pengunjung.

Di Pavilion Kuala Lumpur misalnya, sebanyak 688 patung kuda hiasan memenuhi ruang legar utama pusat beli-belah berprestij tersebut sebagai simbolik meraikan kedatangan Tahun Kuda.

Di Publika, Solaris Dutamas pula, foto yang dirakam jurugambar Kosmo!, Amir Hafiz Abdul Rahman memperlihatkan arca kuda yang diperbuat daripada buluh dan diikat menggunakan tali merah sekali gus menyerlahkan daya kreativiti penghias dekorasi berkenaan.

Tahun Baru Cina akan yang diraikan selama 15 hari dan kemudian diakhiri dengan sambutan Chap Goh Mei. Selamat Tahun Baru Cina buat seluruh masyarakat Cina yang menyambut perayaan ini.

Bangun malam amalan berbaloi

Posted:

Bangun malam amalan berbaloi

Bangun malam amalan berbaloi

Ketika ujian dunia semakin sukar dan mencabar, maka amalan bangun di sepertiga malam untuk bermunajat kepada-Nya mampu memberi rasa damai kepada anak-anak dan kedua-dua ibu bapa.


ANAK-ANAK perlu dididik sejak kecil mengenai kepentingan bangun mengerjakan solat malam untuk melahirkan generasi yang bertakwa.


KEMATIAN tidak terlambat atau cepat walaupun sesaat. Maksudnya, secara mutlak kematian bukanlah disebabkan faktor umur walaupun ia sepatutnya menjadi isyarat jelas betapa setiap perubahan umur mendekatkan manusia dengan kematian.

Mengikut aturannya, mereka yang tua sepatutnya meninggal terlebih dahulu. Begitulah yang diceritakan oleh Allah SWT melalui ayat 67, surah al-Ghafir yang bermaksud:

"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu."

Kita melihat realiti dunia dan kehidupan penghuninya. Contoh ketara, masa singkat kehidupan telah dilalaikan dengan keadaan dunia yang menawarkan harta, pangkat, pengaruh, kuasa dan kaum keluarga.

Lalu manusia terlupa betapa mereka pasti berhadapan dengan kematian, alam kubur dan proses kebangkitan semula untuk dihisab sebelum terjawab sama ada ditempatkan di syurga atau neraka.

Manusia dikatakan mempunyai sifat tamak dan gila kepada dunia sehinggakan mereka hilang pedoman kepada fokus sebenar kenapa mereka dijadikan. Allah SWT menyatakan isu ini melalui ayat 9, surah Yaasin yang bermaksud:

"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)."

Kehidupan dunia

MasyaAllah.. Subhanallah.. Allahu akbar.. Saya sendiri pernah termasuk dalam kelompok manusia terlalai yang hanya mengejar kehidupan dunia semata-mata. Contoh mudah, saya sering bangun malam secara konsisten untuk menelaah pelajaran semasa menuntut di peringkat universiti kerana mahukan kejayaan.

Saya mahu cemerlang dalam kalangan rakan sekelas dan berhasrat mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) tertinggi. Bayangan untuk berjaya sebagai graduan terbaik, memperoleh pekerjaan paling mulia dan tidak akan bermasalah dengan kehidupan di dunia nyata memberi rangsangan dalaman. Saya tidak perlu dimotivasikan oleh sesiapa.

Allah ya Allah.. tidak sedikit pun ia memikirkan persoalan kehidupan selepas kematian. Buktinya nyata. Saya tidak pernah mahu memulakan kehidupan malam ketika itu dengan sujud dan bermunajat seketika kepada-Nya walaupun ia waktu yang begitu signifikan di dalam pembentukan jiwa manusia melalui hubungannya dengan Pencipta.

Baginda SAW menyatakan dengan jelas melalui satu hadis yang direkod oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Allah SWT turun ke langit dunia ketika satu pertiga malam masih tersisa dan Allah menyeru, adakah antara hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampun kepada-Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku, supaya Aku memenuhinya?"

Begitulah. Ia terus berlanjutan sehingga kaki melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan yang lebih mencabar. Pangkat dan jawatan dikejar kelihatan tidak pernah berkesudahan bermula dengan pensyarah, pensyarah kanan, Profesor Madya dan akhirnya Profesor.

Setiap malam saya menghabiskan masa untuk melakukan kerja-kerja ini seumpama waktu remaja yang tidak pernah memikirkan betapa masa bergerak pantas meninggalkan kehidupan dunia.

Nikmat beribadat

Masa tersebut telah berlalu. Sesekali terfikir betapa ruginya bangun malam semata-mata mengejar dunia tetapi tidak pula mengaitkannya dengan rasa nikmat beribadat sejenak secara khusus kepada-Nya.

Kini saya menyampaikan kepada anak-anak tentang kepentingan bangun pada sepertiga malam yang tersisa. Nasihat saya kepada mereka, memadailah dengan melakukan solat sunat dua rakaat (tahajjud) dan satu rakaat witir.

Kemudian berdoa dan bermunajatlah kepada-Nya. Seluruh kehidupan Insya- Allah, mempunyai pengertian berbeza. Ia tidak sesukar mana. Ketika ujian dunia semakin sukar dan mencabar maka amalan ini mampu memberi rasa damai kepada anak-anak dan kedua ibu bapa.

Kehidupan ini sungguh luar biasa. Ia waktu singkat tetapi ujiannya pelbagai. Malah keindahan dunia yang tidak seberapa ini benar-benar mempesonakan manusia.

Mereka sering terlupa yang terdapat kehidupan selepas kematian dan pengakhiran memasuki syurga Firdaus bakal memberi keindahan abadi yang tidak dapat digambarkan oleh akal manusia.

Banyak aturannya yang perlu dipatuhi. Lalu bangun pada sepertiga malam merupakan satu amalan berbaloi sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah SWT dan Baginda SAW.

Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. Jumpa lagi minggu hadapan. Moga damai di hati.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved