Jumaat, 24 Januari 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kecekalan seorang CEO wanita

Posted:

Kecekalan seorang CEO wanita

Kecekalan seorang CEO wanita

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

"JANGAN buat pada orang apa yang kita tidak mahu orang buat pada kita." Itu falsafah hidup yang menjadi pegangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim dalam menjalani kehidupan harian.

Menurut Hafsah, setiap apa yang dilakukan, sama ada dalam konteks kerjaya atau rutin seharian, harus mempunyai matlamat dan fokus yang jelas.

"Allah memberi masa 24 jam sehari kepada manusia. Tiada yang mendapat lebih atau kurang. Jadi, ia bergantung kepada sejauh mana kita menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya untuk keluarga mahupun kerjaya," ungkap anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Mengetuai SME Corp yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) sejak 21 Ogos 2009, Hafsah berjaya membuktikan bahawa wanita juga mempunyai kemahiran memimpin yang tinggi.

Persepsi masyarakat

Namun, wanita berusia 56 tahun ini mengakui ketika zaman sekolah beliau langsung tidak terfikir untuk berada pada tahap seperti yang dikecapi hari ini.

"Jujurnya, sewaktu remaja saya memang tidak memikirkan apa-apa mengenai kerjaya yang akan dipilih. Tambahan pula, dahulu persepsi masyarakat diukur terhadap kejayaan anak-anak yang bergelar doktor, arkitek dan sebagainya.


HAFSAH sentiasa menasihatkan kakitangan SME Corp agar melakukan tugas dengan hati yang ikhlas untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.


"Saya masih ingat apabila habis belajar dan beraya di kampung, orang akan bertanya kerja di mana. Bila saya jawab kerja kerajaan, mereka terus menganggapnya ia satu kerjaya yang hebat. Itulah persepsi kejayaan bagi orang tua dulu-dulu," imbau Hafsah mengenai masa lampaunya.

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer dari Universiti Sains Malaysia (USM), Hafsah bertuah kerana sebaik tamat peperiksaan semester akhir, beliau terus diminta melapor diri di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pegawai sementara pada tahun 1982.

Selepas sesi temu duga, beliau kemudian ditempatkan di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Maka, di situlah bermulanya kariernya dalam sektor perkhidmatan awam.

"Bagi saya, ilmu yang diperoleh di universiti boleh menjadikan kita pegawai yang efektif atau sebaliknya. Alhamdulillah, saya dapat mempraktikkan ilmu tersebut untuk membantu membangunkan industri kelapa sawit sebagai satu perusahaan utama negara.

"Walaupun saya dari latar belakang saintifik dan tidak pernah belajar mengenai bidang ekonomi, tetapi saya mengaitkan diri dalam konteks memberi input yang bernas. Ketika itu, isu yang paling hangat ialah bagaimana untuk menjana diesel daripada kelapa sawit," katanya.

Beliau menambah, jadi, saya ditugaskan untuk membuat pelan perintis yang bernilai RM10 juta dan beberapa tugas lain.


HAFSAH (kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kanan) dalam satu majlis rasmi pada tahun lalu.


"Ia merupakan satu pengalaman bermakna untuk saya selaku pegawai baharu dan masih muda ketika itu. Ini kerana saya berpeluang berinteraksi terus dengan menteri bagi menerangkan tentang projek tersebut," ujar Hafsah yang berbesar hati kerana diberi peluang dalam merangka dasar negara pada ketika itu.

Pembangunan PKS

Ternyata putaran masa yang berlalu begitu pantas memberi pelbagai warna dalam kehidupan Hafsah. Tanpa sedar, sudah 30 tahun ibu kepada tiga cahaya mata itu memberi khidmat yang jitu pada kerajaan.

Selepas berkhidmat dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selama enam tahun, Hafsah ditukarkan ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (enam tahun) dan kemudian, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari tahun 1995 sehingga 1996.

Akhirnya, beliau dipinjamkan ke Smidec pada tahun 1996 sebelum ia bertukar nama kepada SME Corp. pada Ogos 2009.

Hingga kini, sudah hampir 18 tahun Hafsah menabur bakti di SME Corp yang bertanggungjawab membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan agar menjadi lebih kompetitif dalam menangani krisis ekonomi.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi beliau dalam menyumbang terhadap pembangunan industri, Hafsah memberitahu, dalam aspek profesional, ia tidak menjadi satu masalah buatnya.

"Ini kerana, gender bukan satu halangan untuk seseorang itu menunjukkan kemampuannya. Malah, saya bersyukur kerana kerajaan tidak memandang rendah pada kemampuan wanita, sebaliknya melihat pada kualiti kerja yang dipamerkan.


KREDIBILITI Hafsah sebagai pemimpin agensi besar seperti SME Corp membuktikan wanita juga mampu memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara.


"Cuma, sebagai seorang pegawai muda dan baru berumahtangga serta mempunyai anak-anak yang masih kecil, ia antara cabaran besar buat saya. Tetapi, jika kita tahu menggunakan masa dengan baik, saya percaya seorang wanita mampu memberikan fokus di pejabat dan kepada keluarga apabila di rumah," tuturnya.

Dalam usaha untuk memastikan agensi yang dipimpinnya sentiasa dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat, beliau sentiasa memberi motivasi kepada pegawai bawahannya agar memainkan peranan untuk menunaikan amanah yang terpikul di bahu.

"Objektif penubuhan kami adalah untuk membantu para usahawan meraih kejayaan sekali gus mendorong kepada peningkatan ekonomi negara.

"Justeru, setiap kakitangan perlu ikhlas dalam memberikan khidmat bakti mereka agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai. Jika sifat ikhlas sentiasa tertanam dalam diri, barulah kita akan memperoleh kepuasan dalam kerjaya dan pada organisasi," tegas wanita yang gemar membaca ini lagi.

Ekspo Gajet Rahsia Doraemon

Posted:

Ekspo Gajet Rahsia Doraemon

Ekspo Gajet Rahsia Doraemon

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
diyanatul.atiqah@kosmo.com.my


ASAL USUL Doraemon turut didedahkan dalam Ekspo 100 Gajet Rahsia Doraemon yang merupakan pameran sulung seumpamanya di Asia Tenggara.


SIAPA yang tidak mengenali watak seekor kucing robot berwarna biru yang berkawan dengan seorang budak lelaki bernama Nobita dalam komik manga hasil nukilan Fujiko Fujio, Doraemon.

Pengembaraan antara Doraemon, yang datang dari masa hadapan melalui sebuah mesin cahaya masa, bersama Nobita dan rakan-rakannya, ternyata menambat hati pembaca tanpa mengira batasan usia.

Sempena meraikan 100 tahun sebelum kelahiran Doraemon pada abad ke-22, Animation International (M) Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen utama Doraemon di Malaysia, mengadakan ekspo berkenaan karakter kegemaran ramai itu di Dewan Ekspo Viva Home, Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Steve Chow berkata, pameran 100 Gajet Rahsia Doraemon yang turut memaparkan patung-patung karakter itu telah bermula sejak 14 Disember 2013 dan berlangsung sehingga 23 Mac depan.

"Ekspo ini diadakan selama empat bulan bagi memberi peluang secukupnya kepada peminat Doraemon melihat 100 jenis reaksi dan gajet mempesona kucing robot kesayangan mereka.

"Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang mendalami dunia Doraemon melalui kewujudan semula babak dan lokasi menarik yang sering dipaparkan dalam siri komik dan animasi televisyen seperti taman permainan dan kediaman Nobita," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Chow menambah, pihaknya juga mengadakan pelbagai permainan karnival dan konsert menarik bagi kegembiraan seisi keluarga.

Tarik negara jiran

Menurut beliau, ekspo tersebut juga diadakan bagi memeriahkan lagi acara promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

"Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang mengadakan pameran Doreamon dan kami berharap ekspo ini berjaya menarik peminat karakter tersebut dari negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina.

"Ini sekaligus memeriahkan lagi TMM 2014," ujarnya sambil memaklumkan ekspo juga mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Sekretariat TMM 2014.


PENGUNJUNG berpeluang merasai suasana kejiranan Doraemon seperti yang digambarkan dalam komik dan siri animasi televisyen popular itu.


Dalam pada itu, beliau turut berharap ekspo tersebut dapat mewujudkan suasana gembira sesama pengunjung yang mempunyai minat terhadap komik yang sama.

Menurut Ma Ka Man, 26, dia dan lima rakannya yang lain datang dari Pahang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan 100 karakter kegemaran mereka itu.

"Sebaik sahaja saya dan rakan-rakan melangkah masuk ke dalam ruang ekspo ini, apa yang paling mengujakan kami adalah dapat merakamkan kenangan manis bersama dengan 100 patung Doremon dan mengimbau kembali setiap babak dalam episod ditonton.

"Saya juga ada mengumpul cakera video digital (DVD) filem Doraemon sejak di bangku sekolah lagi. Sehingga kini saya mempunyai kira-kira 50 buah koleksi cerita pengembaraan Doraemon dan rakan-rakannya," katanya.

Bagi si cilik, Darren Goh Qi Huan, 10, dia sangat teruja apabila dibawa oleh keluarganya ke ekspo berkenaan.

Darren memberitahu, dia meminati watak Doraemon sejak berusia 7 tahun dan mengumpul berbelas-belas buku komik serta koleksi lain yang berkaitan karakter popular itu seperti DVD.

Selain mempamerkan 100 koleksi patung Doraemon bersaiz manusia, antara 100 buah gajet ikonik karakter itu yang disediakan kepada pengunjung adalah lampu suluh ajaib, pintu suka hati dan buluh terbang.

Cenderamata eksklusif

Terdahulu, ekspo tersebut telah diadakan di Hong Kong, Beijing dan Taiwan.

Mengulas lebih lanjut mengenai ekspo berkenaan, Chow memberitahu pusat pameran itu turut menyediakan kedai cenderamata untuk para pengunjung.

Antara cenderamata yang dijual termasuk patung, rantai kunci, bantal, pakaian kanak-kanak, lampu, kasut dan pelbagai barang hiasan berkaitan Doraemon yang ditawarkan pada harga serendah RM2.90 sehingga RM499.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket ekspo di laman web MYTicket Malaysia atau www.my.ticket.my pada harga RM25 untuk dewasa dan RM15 kanak-kanak.

Tiket juga boleh diperoleh di 100 buah stesen minyak BHP di seluruh negara atau kaunter khas di Viva Home. Bagi kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah serta warga emas, kemasukan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.100Doraemon.com.

Mencari rumah kekal abadi

Posted:

Mencari rumah kekal abadi

Mencari rumah kekal abadi

UMAT Islam perlu berusaha untuk meraih kejayaan di akhirat dengan melakukan amal kebaikan ketika di dunia.


PINTU boleh dibuka dan dikatup. Bila membuka pintu kerana mahu meninggalkan rumah, mata menoleh ke belakang berniat mahu memastikan ia terkunci. Malah, beberapa kali kita mencuba semula sama ada ia masih boleh dibuka. Aneh, meskipun baru sekejap tadi kita tahu bahawa anak kunci rumah baru dicabut.

Pintu mahu dikatup, rumah mahu dikunci. Barangkali ada sesuatu di dalam rumah menyebabkan kita mahu ia selamat. Ada ketika kita masih terfikir, 'berkuncikah rumah?'

Perasaan was-was muncul dan boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak sepatutnya. Bila pulang, kita mencari-cari anak kunci daripada gugusan yang ada. Ada masanya sekali pilih tetapi acap kali berulangkali. Dan selama bertahun-tahun ia begitu.

Ramai yang tidak mahu belajar bagaimana mahu membuka pintu dengan sekali memilih anak kunci. Ia kelihatan tidak terlalu mustahak kerana akhirnya pintu akan terbuka.

Selain itu, ada masanya kita melihat pencarian anak kunci ini sebagai satu rutin yang mahu dilalui tanpa sebab. Barangkali kerana rutinnya semenjak kita memegang anak kunci tersebut.

Pintu dan rumah itu milik kita. Ada perjanjian dan hak milik. Sekurang-kurangnya ketika hayat di dunia. Namun sampai masa, apabila roh dan jasad bersatu kembali setelah berpisah dan mencari-cari rumah baru tetapi terhalang. Ia bukan rumah biasa yang dikenali.

Hanya ada rumah kekal abadi namun kuncinya tiada di tangan. Tuan Rumah menyebut melalui surah al-A'raaf, ayat 40 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan."

Rumah kekal abadi sudah tersedia. Kuncinya perlu dicari. Ia ada dalam diri. Namun manusia tidak mahu belajar seumpama mencari satu anak kunci daripada segugus yang banyak.

Sikap manusia

Hakikatnya, pintu rumah yang kekal abadi sudah tersedia dan ia dinyatakan oleh Allah SWT melalui surah Shaad, ayat 49-50 yang bermaksud:

"Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang yang bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik (iaitu) syurga dan yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka."

Rumah terdapat dalam pelbagai bentuk. Pintu yang terpasang pada ruangnya sepadan dengan rumah yang dibina. Ada pintu cermin, kayu jati, aluminium dan pelbagai lagi. Ia mengikut kemampuan tuan punya rumah.

Namun fungsi pintu tetap seragam iaitu untuk keluar masuk.

Jika rumah itu ibarat diri, maka melalui pintu itulah diri mampu melihat dari dalam dan luar. Namun, melihat sahaja tidak mencukupi. Ia perlu dikatup kemas bila mahu meninggalkan rumah dan mudah dibuka apabila pulang semula.

Tidak. Kita tidak mahu menunggu unta memasuki lubang jarum untuk dibenarkan kembali ke rumah yang kekal abadi. Ia sindiran daripada Allah SWT yang sangat menyesakkan dada bagi mereka yang mahu berfikir. Malah sifat angkuh dan sombong manusia di dunia bakal menjadikan mereka begitu.

PINTU berfungsi sebagai laluan keluar dan masuk penghuni di dunia ini.


Pencarian

Hakikatnya, pencarian kunci kepada rumah kekal abadi tidaklah terlalu sukar. Kaedahnya telah dinyatakan secara jelas. Misalnya, jika kita teragak untuk mendiami rumah di syurga Firdaus, Allah SWT telah memberi garis panduannya melalui surah al-Mu'minun, ayat 1 hingga 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersih hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Mereka akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya."

Bayangan keadaan rumah di sini sungguh mempesonakan. Misalnya, ia telah dinyatakan terdapat sungai-sungai yang mengalir di bawahnya.

Sesungguhnya setiap kali kita diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan, maka kita akan berkata, 'inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan kami diberikan rezeki yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya)'.

Malah pasangan kita di rumah yang kekal abadi yang sentiasa bersih suci serta tidak sekali-kali mempunyai perasaan cemburu, khianat dan dengki. Ia kehidupan kekal selama-lamanya.

Begitulah. Kunci rumah di sana hanyalah bayangan semata. Ia tidak perlu dipegang daripada segugus kunci yang banyak.

Kita tidak perlu menoleh ke belakang setiap kali meninggalkan rumah tersebut. Saya fikir ia sentiasa terbuka dan terdedah dengan tiada siapa yang mempedulikannya. Masing-masing sudah mempunyai rumah sendiri yang terbaik.

Jumpa lagi minggu hadapan. Moga damai di hati.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved