Jumaat, 17 Januari 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Jantina bukan penghalang

Posted:

Jantina bukan penghalang

Jantina bukan penghalang

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

DEK kerana minat yang mendalam dalam sukan menembak, Lans Koperal Diani Shazlizan Ahmad Rasdi, 29, sanggup menahan kesakitan di pergelangan tangannya ekoran luka terkena serpihan besi piring sasaran.

Dia yang merupakan anggota pasukan Batalion Khas 19, Polis Gerakan Am (PGA), tetap meneruskan tembakan ketika bersaing bersama pasukannya, Briged Tengah pada kejohanan Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2013.

Pengorbanan tersebut ternyata berbaloi apabila pasukannya muncul juara dalam kejohanan tersebut yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor, November lalu.

Itulah cebisan pengalaman dikongsikan oleh Diani dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang penembak profesional dan pengiring tetamu kehormat.

Menurutnya, faktor jantina tidak menjadi penghalang untuk dirinya menggalas tanggungjawab sebagai penembak tepat.

"Di bangku sekolah menengah lagi saya telah menyertai persatuan kadet polis kerana minat terhadap tugasan dan latihan yang mencabar seperti aktiviti kawad kaki.

"Faktor jantina tidak pernah membataskan minat saya apatah lagi menjadi seorang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan negara," katanya ketika ditemui di Padang Sasar Tembak, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebaik menamatkan persekolahan, dia telah mengikuti kursus asas polis selama enam bulan dan terus diserap ke cawangan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur sebagai pelatih karate.

Bermula daripada bawah, akhirnya Daini telah ditugaskan di Batalion Khas 19 yang berperanan sebagai pengiring atau kawalan VVIP pada 2008.

Sejak itu, dia telah menyertai tiga kejohanan anjuran KPN yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Wanita kelahiran Pekan, Pahang itu menjalani latihan menembak seminggu sekali iaitu dari pagi hingga tengah hari. Dia berharap menjadi seorang penembak profesional sekali gus mewakili Malaysia di Sukan SEA kelak.


AZILA menunjukkan pusat sasaran menembak kepada tiga rakan yang lain.


Mengasah bakat

Rakan sepasukannya ketika menyertai KPN 13, Lans Koperal Siti Noraida Suria Baharudin, 29, mula mengasah bakat menjadi pembidik sejak berusia belasan tahun sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah.

Siti Noraida kini bertugas dalam unit PGA selama 14 tahun dan berkhidmat di Batalion Khas 19 yang berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebagai seorang penembak, kejayaan menembak tepat pada sasaran memberi satu kepuasan.

"Saya telah mewakili Batalion Khas 19 pada kejohanan KPN sebanyak dua kali dan berjaya mendapat tempat ketiga pada kejohanan KPN 2008 dalam kategori Senjata Walther P999.

"Tahun lalu, saya dan rakan-rakan berjaya meraih tempat pertama dengan 99 mata untuk kategori Senjata HKM P5.

Menyentuh soal keselamatan dirinya semasa mengendalikan senjata tersebut, Siti Noraida yang sedang mengandung anak kedua memberitahu, dia sentiasa mempraktikkan langkah-langkah pencegahan kecederaan yang diajar dalam latihan.

Antara langkah persediaan awal yang dilakukannya termasuklah, memakai kasut tutup penuh, baju berlengan panjang, menggunakan penutup telinga dan gogal.

"Selain itu, cara pengendalian senjata juga amat penting semasa menembak. Sebagai contoh, senjata harus dipegang kemas dengan kedudukan jari telunjuk berada di sisi gelangsar pistol untuk mengelakkan tertekan picu.


EMPAT wanita berani ini menunjukkan cara-cara memasukkan kelopak pistol.


"Semasa menembak, nafas perlu ditahan supaya tangan tidak terikut dengan pergerakan turun naik dada. Kaki juga perlu dibuka sedikit bagi memberi kestabilan badan untuk menahan lantunan tembakan dan lebih fokus," jelasnya.

Tambahnya, dia mengambil tempoh selama dua tahun untuk menjadi penembak profesional dan menjalani latihan ketat enam jam setiap hari selama sebulan sebagai persiapan sebelum kejohanan.

Latihan turut dipraktikkan oleh anak kelahiran Pontian Johor, Lans Koperal Nor Hafizah Rosli, 27.

Kesukaran

Dia yang mengikuti kursus asas latihan polis di Pulapol Ayer Hitam, Negeri Sembilan mengakui mengalami kesukaran menembak pada peringkat awal.

"Pengalaman pertama kali menembak sememangnya mendebarkan dengan bunyi tembakan berdesing di gegendang telinga dan lantunan keras pistol.

"Tangan berasa lenguh beberapa hari kerana sewaktu menembak saya lebih selesa meluruskan kedua-dua belah tangan," katanya yang sentiasa melakukan senaman tekan tubi sebelum memulakan latihan menembak.

Nor Hafizah memberitahu, latihan tersebut diiringi oleh pengawal lapang sasar yang memberikan arahan untuk menembak.

"Saya harus menunggu arahan daripada pegawai lapang sasar sebelum menembak dan kira-kira 10 orang akan berlatih dalam satu sesi yang sama.

"Masa latihan bergantung kepada keupayaan penembak. Kebiasaannya saya akan menjalani tiga sesi tembakan dengan setiap satu mempunyai 10 butir peluru," jelasnya yang mempunyai jiwa patriotik tinggi dalam menjaga kesejahteraan negara.

Berkongsi tentang jenis-jenis senjata digunakan untuk menembak, Koperal Nor Azila Abd. Latip, 39, dari Bridget Tengah berkata, antara jenis-jenis senjata tersebut ialah Walther P99, Yavuz, .38, HK MP5, M-16 dan Berreta.

PISTOL P99 ini digunakan oleh anggota penembak tepat wanita PGA dalam latihan menembak.


"Namun, bagi saya senjata api yang sukar dikendalikan ialah pistol jenis Walther P99 buatan Jerman kerana ia lebih ringan dan memerlukan ramasan lebih kuat.

"Saya lebih selesa mengendalikan pistol jenis Yavuz kerana senjata api ini lebih berat dan tembakan dapat disasarkan dengan tepat," katanya

Dalam pada itu, ibu kepada empat orang anak itu turut mengakui menjadi penembak tepat wanita bukanlah perkara yang mudah.

"Profesion ini amat berat, terutama untuk kaum wanita kerana ia memerlukan komitmen tinggi, selain menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan isteri di rumah," jelasnya.

Dia yang telah berkhidmat selama 17 tahun dalam unit beruniform turut menjelaskan, menembak menuntut kemahiran ramasan senjata, seni membidik, pemfokusan dan keyakinan yang tinggi.

Ikea cungkil bakat kanak-kanak

Posted:

Ikea cungkil bakat kanak-kanak

Ikea cungkil bakat kanak-kanak

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


PARA pemenang bagi kedua-dua kategori iaitu 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun dalam pertandingan Ikea Kid Talent Show 2013 bergambar bersama hadiah kemenangan mereka.


TAMPIL dengan persalinan busana persis sang puteri dari kayangan, persembahan tarian tradisional oleh Puteri Nor Batrisyia Norashid berjaya menarik perhatian juri sekali gus dinobatkan sebagai juara pada pertandingan bakat kanak-kanak Ikea 2013.

Memilih lagu Asmaradana nyanyian Tiara Jacquelina sebagai irama untuk tarian yang dipersembahkan, bakat yang dilihat pada peserta berusia lapan tahun itu begitu menyerlah.

Riak wajahnya langsung tiada tergambar perasaan cemas atau gementar, sebaliknya penuh yakin mengatur langkah tari mengikut alunan lagu yang menjadi soundtrack filem Puteri Gunung Ledang itu.

Berlangsung di Ikea Damansara, Petaling Jaya pada 7 Disember lalu, seramai 20 peserta terpilih untuk beraksi pada pusingan akhir yang melibatkan dua kategori usia iaitu tujuh hingga sembilan tahun dan 10 hingga 12 tahun.

Persembahan mereka meliputi pelbagai genre seperti nyanyian, tarian, bermain alat muzik dan kemahiran bercerita.

Pengurus Stor Ikea Damansara, Roszalena Mashurdin berkata, program tersebut diadakan sempena meraikan pelancaran rangkaian produk baharu kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun.

Keyakinan

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan kanak-kanak dan mengekspresi personaliti mereka dalam bidang yang diminati.

"Daripada 137 penyertaan yang diterima Ikea dalam tempoh perekrutan selama lebih dua minggu, hanya 100 peserta terpilih bagi menghadiri uji bakat pada 1 Disember lalu.

MESKIPUN baru berusia 10 tahun, Chan Nickee tampil dengan tarian Lolipop yang menghiburkan.


"Selepas sesi uji bakat, total 20 penghibur terbaik dalam setiap kategori telah disenarai pendek bagi mengambil bahagian ke peringkat akhir," jelas Roszalena yang merupakan salah seorang panel juri dalam menilai persembahan peserta.

Bagi Puteri Nor Batrisyia, minatnya dalam bidang tarian sudah bermula sejak berusia lima tahun lagi ketika berada di sekolah tadika.

"Saya memang suka menari. Sudah banyak pertandingan yang saya sertai untuk mencari pengalaman. Mula-mula memang takut, tetapi lama-kelamaan rasa seronok.

"Ibu selalu memberi dorongan kepada saya membuat persembahan termasuklah menyediakan pakaian cantik," ujarnya yang mengungguli kategori kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun sambil tersenyum.

Hasil kemenangannya, Puteri Nor Batrisyia berjaya membawa pulang RM3,500 dalam bentuk baucar Ikea. Tempat kedua pula dimenangi oleh Charmaine Koh Sher Min, 9, yang menyampaikan lagu I Dreamed A Dream dari teater muzikal Les Misérables. Charmaine menerima baucar RM2,500.

Sementara itu, tarian pop yang dipersembahkan oleh Chan Zi Xuan, 7, membolehkannya memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah bernilai RM1,500.

Persembahan menarik

Untuk kategori 10 hingga 12 tahun pula, setiap peserta tampil dengan pelbagai persembahan menarik sekali gus menyukarkan pengadil membuat keputusan. Malah, dua peserta terpaksa dipanggil membuat persembahan sekali lagi kerana mendapat markah seri.

Bagaimanapun, tuah memihak pada Shalini Hari Krishnan, 12, yang membawakan tarian klasik India apabila dinobatkan sebagai juara.

Naib juara dimenangi Ellya Keesha Zarif Ahmed Zaharani, 10, yang lincah menari hip hop manakala tempat ketiga milik Janelle Arnelia, 12, yang mempesonakan khalayak menerusi lagu I Give My Love For You. Ia merupakan lagu tema dari teater muzikal Saigon yang mengisahkan tentang kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Golongan yang layak menerima zakat

Posted:

Golongan yang layak menerima zakat

Golongan yang layak menerima zakat


ORANG miskin yang pendapatan hariannya tidak mencukupi termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat.


MENJELANG hujung tahun, para mukmin pasti sibuk menguruskan pembayaran zakat terutamanya zakat pendapatan.

Tuntutan rukun Islam ketiga ini bertujuan untuk membantu golongan-golongan memerlukan dalam membantu meringankan beban dalam menyediakan keperluan asas kehidupan.

Bagaimanapun, syarat utama bagi penerima zakat adalah penerima mesti beragama Islam, kecuali cucu bani Hasyim dan bani Muttalib. Zakat juga boleh diberikan kepada kanak-kanak dan orang gila, tetapi dengan syarat walinya yang harus menerima pemberian tersebut.

Menurut Imam al-Ghazali, terdapat lapan golongan yang berhak menerima zakat. Pertama ialah golongan orang fakir iaitu sesiapa yang tidak memiliki harta sama sekali dan juga tidak sanggup bekerja.

Kedua ialah orang miskin yang pendapatan hariannya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup minima serta para petugas zakat (amil).

Seterusnya, mereka yang digembirakan hatinya atau mualaf iaitu orang yang memeluk Islam. Pemberian zakat tersebut dianggap sebagai dorongan untuk kaumnya turut sama menyembah Allah SWT.

Dalam pada itu, zakat juga diberikan kepada al-Mukatib iaitu hamba yang menebus dirinya sendiri. Bahagian itu boleh diberikan kepadanya dan kepada tuannya. Dalam hal ini, si tuan tidak harus memberi hasil zakat itu kepada hamba yang berstatus mukatab iaitu hamba yang dijanjikan akan merdeka oleh majikannya jika ia mampu membayar dirinya secara beransur-ansur.

Zakat turut diberikan kepada mereka yang berhutang bagi memenuhi keperluan hidup. Selain itu, para perajurit yang tidak mendapat gaji dari negara juga layak menerima bantuan zakat walaupun keperluan mencukupi.

Yang terakhir, ialah golongan musafir yang tidak mempunyai harta bekalan perjalanannya tetapi dengan syarat penghijrahan itu dilakukan dengan berbuat taat kepada Allah SWT.

Terdahulu, lapan golongan ini turut dinyatakan dalam al-Quran surah At-Taubah ayat 60: "Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang terlilit hutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved