Jumaat, 3 Januari 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kenaikan harga himpit belanjawan

Posted:

Kenaikan harga himpit belanjawan

Kenaikan harga himpit belanjawan

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

PENING. Itulah luahan rata-rata ibu bapa apabila ditanya mengenai persiapan persekolahan anak-anak sempena pembukaan semula sekolah yang kebanyakan negeri bermula semalam.

Tinjauan persiapan sekolah oleh wartawan Kosmo! di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur pada Isnin lalu mendapati ada ibu bapa yang masih mencari keperluan untuk persekolahan anak masing-masing.

Ada yang menggaru kepala kerana saiz baju yang dicari telah habis, pilihan kasut terhad dan tidak kurang pula mengeluh mendakwa harga kelengkapan sekolah semakin mahal.

Anak-anak pula kelihatan sangat teruja untuk mendapat set pakaian dan peralatan sekolah baharu yang elok dibungkus dalam plastik lutsinar.

Bagi ibu kepada tiga orang anak, Tengku Suraya Tengku Bahazman Shah, 49, dia masih mencari kasut sekolah berwarna hitam untuk anak bongsunya yang masuk darjah enam.

"Saya datang dari Kuantan, Pahang untuk melawat anak kedua di Kolej Matrikulasi Selangor, Banting. Memikirkan kami sudah dekat dengan Jalan TAR, jadi saya memutuskan untuk mencari kasut sekolah anak di sini sahaja.

"Kelengkapan lain seperti baju dan beg sudah dibeli secara berperingkat sejak awal Disember lalu," katanya.

Sambil menunggu pekerja kedai mengambil saiz kasut anaknya, Suraya berkata, dia membelanjakan antara RM500 hingga RM600 yang merangkumi pembelian pakaian, buku-buku dan alat tulis.

"Setiap tahun saya akan membeli sekurang-kurangnya dua baju sekolah, tiga helai seluar, sepasang kasut dan dua baju sukan lengkap dengan seluar untuk aktiviti kokurikulum.


GURU-GURU sibuk mengagihkan buku latihan dan buku teks kepada ibu bapa ketika sesi pendaftaran murid-murid di sekolah. - Gambar hiasan


Lebih mahal

"Bagaimanapun, kos kelengkapan sekolah tahun ini lebih mahal. Buku-buku sahaja sudah mencecah RM100, belum lagi kos membeli beg, kasut dan baju sekolah yang harganya telah naik sebanyak RM2 hingga RM3 setiap satu berbanding tahun lalu," jelas Tengku Suraya.

Di sampingnya Md. Naqib Shah, 12, tidak sabar menyarung kasut baharunya itu. Bagaimanapun, selang beberapa minit dua beranak itu diberitahu bahawa kasut saiz lima yang dipinta telah ketiadaan stok.

Memujuk Naqib yang sedikit kecewa, ibunya berjanji akan membeli kasut sekolah di pusat beli-belah, Kuantan Parade sebaik tiba di sana nanti.

Meninjau di gedung menjual pakaian sekolah pula, seorang ibu dilihat sibuk mengukur baju seragam pengawas di badan anak perempuannya, sementara si suami membelek-belek beg galas yang sesuai.

Dia memastikan ukuran atas baju tidak melepasi bahu anaknya, Nur Syuhada Azhar, 12, kerana tidak mahu ia kelihatan gelobor apabila dipakai.

Mariam Mamat dan suami, Azhar Mohd. Ghazali, masing-masing berusia 43 tahun sedang mencari pakaian sekolah untuk empat orang anak mereka di gedung pakaian, Kamdar.

Menurut Mariam, yang juga merupakan pengasas sebuah tadika di Serdang, Selangor, dia lewat menyediakan persiapan sekolah anak-anaknya gara-gara terlalu sibuk dengan tugasan di tempat kerja.

"Selalunya kami akan membeli baju sekolah mereka pada awal bulan, tetapi tahun ini saya terlalu sibuk menguruskan pembukaan pendaftaran prasekolah sehingga tidak sedar masa persiapan sekolah anak-anak semakin suntuk.

"Ini adalah hari kedua kami melakukan persiapan untuk anak-anak. Semalam kami telah membeli beg galas dan keperluan lain seperti alat tulis serta kasut," jelasnya.

Menguruskan perbelanjaan sekolah anak-anak, Azhar berkata, dia telah mengeluarkan kira-kira RM1,500 pada hari pertama mencari kelengkapan sekolah.

Jelasnya, untuk menjimatkan kos, Mariam turut menempah baju kurung sekolah dua orang anak perempuannya dengan saudara yang pandai menjahit.

"Kos persiapan anak sulung yang bersekolah di Sekolah Sultan Alam Syah, Shah Alam sahaja mencecah kira-kira RM2,000.


AZHAR (kanan) memilih beg sekolah baharu untuk anak-anaknya.


Merancang perbelanjaan

"Jadi, kami harus merancang perbelanjaan dan membeli apa yang perlu sahaja. Isteri turut membeli kain dan menempah sekurang-kurangnya lima helai baju kurung sekolah anak," katanya.

Di bilik persalinan berdekatan pula, seorang suri rumah sepenuh masa, Parameswary Muthusamy, 47, sedang menunggu anak terunanya mencuba seluar sekolah.

Itu adalah hari pertama Parameswary dan tiga anak lelakinya mencari pakaian dan kelengkapan sekolah yang lain.

Menurutnya, anak bongsunya terpaksa mencuba saiz seluar yang besar sedikit berbanding ukuran sepatutnya kerana ketiadaan saiz lain.

"Ukuran pinggang anak bongsu saya bersaiz 30, tetapi yang ada cuma saiz 33 dan ke atas. Abang-abangnya tidak ada masalah untuk mendapatkan seluar kerana saiz pinggang mereka lebih besar.

"Saya terpaksa mencari seluar sekolahnya di kedai pakaian lain," katanya dengan raut wajah yang kecewa.

Menetapkan bajet sebanyak RM500, Parameswary berkata, dia akan mendapatkan semua kelengkapan persekolahan yang baharu untuk anak-anaknya sebagai pemangkin semangat memulakan sesi baharu persekolahan.

Karnival zakat saluran dakwah

Posted:

Karnival zakat saluran dakwah

Karnival zakat saluran dakwah

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


UMI NATRAH (kanan) mengambil peluang bertanyakan soalan kepada selebriti jemputan.


KESEDARAN umat Islam terhadap kepentingan membayar zakat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menyedari perubahan positif tersebut, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengambil kesempatan dengan menganjurkan Karnival Zakat 2013 untuk memperkenalkan saluran bayaran zakat daripada umat Islam kepada umat Islam lain.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan buat pengunjung sepanjang 18 jam karnival tersebut berlangsung. Acara yang bermula seawal pukul 4 pagi itu dimulakan dengan majlis qiyamullail dan ditutup dengan sesi cabutan bertuah pada pukul 9.30 malam.

Antara acara lain yang disusun ialah kuliah subuh, sembang dhuha roti canai dan teh tarik, sesi pesan ustaz, santai bersama selebriti dan sesi memasak dengan iman.

Sesi memasak dengan iman merupakan acara yang paling mendapat sambutan kerana pengunjung berpeluang melihat dan bermesra dengan lebih dekat bersama chef terkenal iaitu Chef Ammar Al Ali atau lebih dikenali sebagai Chef Ammar.


SHAM KAMIKAZE turut memeriahkan karnival zakat yang pertama kali dianjurkan PPZ.


Sunah memasak

Biarpun hujan lebat mengiringi program pada petang itu, orang ramai masih tidak meninggalkan tapak khemah demonstrasi masakan Chef Ammar. Semua pengunjung kelihatan teruja mendengar tip-tip memasak yang dikongsikan chef tersebut.

Chef Ammar dilihat sesekali mengeluarkan air mata dan terbawa-bawa dengan emosi kerana terasa terkilan kerana sebelum ini beliau mensia-siakan amalan memasak dengan iman seperti yang diterapkan dalam Islam.

"Amalkan sunah dalam semua perbuatan termasuk ketika di dapur dan seeloknya berselawatlah semasa memasak. Kita selalu terlupa tentang sunah ketika memasak.

"Kurangkan makan di luar kerana kita tidak tahu sama ada tukang masak berkenaan membaca Bismillah atau tidak semasa memasak," katanya yang mula dikenali selepas muncul di stesen televisyen, TV Alhijrah.

Lebih 4,000 pengunjung hadir pada karnival tersebut dan sambutan di luar jangkaan pihak penganjur.

Karnival yang dianjurkan di Masjid Muadz Bin Jabal, Persiaran Taman Setiawangsa, Setiawangsa, Kuala Lumpur itu sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan dan kegunaan masjid.

Matlamat lain yang ingin disampaikan pihak penganjur adalah masjid bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat.


PERMAINAN interaktif disediakan bagi menarik minat kanak-kanak.


Jalinan ukhuwah

Penuntut Institut Profesional Baitumal, Kuala Lumpur, Umi Natrah Redzwan, 18, mengakui banyak manfaat yang diperoleh pada kunjungannya ke karnival tersebut.

"Karnival ini dapat merapatkan ukhwah antara pengunjung dengan penganjur dan tetamu jemputan yang terdiri daripada pendakwah-pendakwah bebas dan selebriti.

"Saya tertarik dengan sesi perkongsian ilmu oleh Ustaz Mohammad Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Mad China, Ustaz Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang, Diana Amir dan Shamril Mohd. Salleh atau Sham Kamikaze," katanya ketika ditemui di karnival berkenaan.

Umi Natrah menambah, karnival itu juga sebagai satu perantara atau gaya dakwah baharu yang mampu menarik minat anak muda.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi PPZ, Mohammed Hassan berkata, karnival berkenaan merupakan acara skala besar yang pertama dianjurkan oleh pihaknya.

"Jika sebegini sambutan yang diterima, kami akan mempertimbangkan untuk menjadikannya satu acara tahunan supaya lebih ramai orang boleh menghayati keindahan Islam sambil menikmati acara-acara santai yang disediakan.

"Kita mahu menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa berdakwah itu boleh datang dalam pelbagai cara dan tidak terhad kepada dakwah secara formal," ujarnya.

Inspirasi pokok pain bantu kumpul dana

Posted:

Inspirasi pokok pain bantu kumpul dana

Inspirasi pokok pain bantu kumpul dana

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


DARI KIRI: Nor Laila, Ziana dan Sim bergambar pada majlis pelancaran kempen Bangun Bersama Pain Ajaib di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


TIDAK sekadar menyediakan produk terbaik dalam penjagaan kebersihan diri masyarakat Malaysia, malah syarikat pengeluar sabun berjenama Antabax, Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd. (Kumpulan Lam Soon) turut membantu golongan-golongan yang memerlukan.

Jenama produk penjagaan diri itu, dengan kerjasama AEON Co. (M) Bhd. (AEON), telah melancarkan kempen Bangun Bersama Pain Ajaib.

Pengurus Produk Kumpulan Lam Soon, Angeline Sim berkata, sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan penjualan produk Antabax yang dijual di rangkaian AEON di seluruh negara akan disalurkan kepada inisiatif With All Our Hearts (WAOH), Yayasan AEON Malaysia .

"Produk-produk penjagaan kebersihan diri ini termasuk krim mandian, sabun, cecair pembersih tangan, tisu antibakteria, cecair sanitasi tangan dan penyembur sanitasi tangan," katanya ketika majlis pelancaran kempen berkenaan di pusat beli-belah

1 Utama, Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Turut hadir ialah penyanyi terkemuka merangkap Duta Selebriti Antabax, Ziana Zain danPengurus Kanan Komunikasi Korporat dan Penjenamaan AEON, Nor Laila Mohd. Samin.

Sim menjelaskan, kempen itu diinspirasikan daripada kekuatan pokok pain di Rikuzentaka, Jepun yang juga merupakan satu-satunya tumbuhan yang terselamat dalam bencana tsunami pada Mac 2011.

"Kejadian bencana itu telah melenyapkan 70,000 batang pokok yang lain dan hanya pokok pain ini yang kekal hidup.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pokok itu mati kerana kesan air laut. Namun, penduduk kampung di sana telah mengumpul dana bagi mengekalkan pokok pain yang dianggap ajaib ini sebagai satu simbol keazaman, ketabahan serta harapan yang tidak mudah luntur," jelasnya yang tersentuh dengan kisah tersebut.

Sehubungan itu, katanya, golongan kurang bernasib baik seharusnya dibantu dan diberi dorongan seperti pokok pain di Jepun berkenaan dengan menyediakan mereka barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perkakas harian.

Dalam pada itu, tiga buah rumah kebajikan yang akan dipilih kelak oleh yayasan berkenaan akan turut menerima bekalan produk Kumpulan Lam Soon selama setahun sebagai langkah meringankan beban mereka.

Kempen Bangun Bersama Pain Ajaib ini berlangsung sehingga 30 April ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved