Selasa, 28 Januari 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Salur maklumat segera dan berkesan

Posted:

Salur maklumat segera dan berkesan

Salur maklumat segera dan berkesan

INDUSTRI pengangkutan teksi merupakan antara penyokong utama sektor pelancongan negara memandangkan ia secara tidak langsung menjadi 'duta kecil' kepada para pelancong, sama ada tempatan mahupun asing, ketika mengembara di ibu kota.

Selaras dengan inovasi teknologi pada masa kini, satu sistem pengiklanan digital menggunakan teknologi sistem wayarles, SmartaxiAds, bakal diperkenalkan sebagai satu langkah transformasi industri tersebut.

Menurut pengguna perkhidmatan teksi yang juga merupakan seorang jurukamera bebas dari Kuala Lumpur, Shahrul Nazmi Mat Sahar, 27, pembaharuan itu dilihat sebagai satu langkah penting yang mampu mengangkat kualiti perkhidmatan yang disediakan.

"Saya boleh dikategorikan sebagai pengguna kerap pengangkutan awam ini kerana ia memudahkan pergerakan saya di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Selain dapat menjimatkan minyak dan tenaga sekiranya memandu sendiri, kehadiran pemandu yang peramah menjadikan perjalanan ke destinasi yang dituju tidak membosankan.

"Pengenalan SmartaxiAds ini saya pasti akan menambahkan suasana di dalam teksi agar tidak sunyi dan kekok. Ia mampu menyediakan topik perbualan antara pemandu dan penumpang," katanya ketika ditemui Infiniti di KL Sentral baru-baru ini.


DARI kiri: Muhammad Reduan, Aslah dan Arham ketika di majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara Gigalink Solutions dengan Destination Transport berkenaan pengenalan SmartaxiAds di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambahnya, sistem tersebut dapat memberi manfaat kepada penumpang teksi yang datang dari pelbagai tempat untuk memperoleh maklumat-maklumat terkini.

Bagi pengusaha teksi, Shamsuddin Jamaluddin, antara manfaat terbesar pemasangan SmartaxiAds dalam kenderaan itu adalah penyediaan saluran data komunikasi dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti rompakan, kerosakan atau kehilangan teksi, pihak berkuasa boleh mengesan kedudukan kenderaan melalui cip keselamatan yang dipasang pada peranti pengiklanan tersebut," jelas lelaki yang juga Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi KL Sentral ini.

Sistem SmartaxiAds merupakan ilham syarikat terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Gigalink Solutions Sdn. Bhd. (Gigalink Solutions) dalam usahanya memperbaiki mutu perkhidmatan pengiklanan pada pengangkutan awam di negara ini.

Tingkat mutu perkhidmatan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Reduan Abd. Lah Sani, sistem tersebut membolehkan penumpang dan pemandu teksi mendapat maklumat-maklumat terkini melalui kempen-kempen atau pengiklanan yang disediakan seperti kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014), di samping memberikan pendapatan tambahan kepada pengusaha teksi terlibat.

"Teknologi pintar ini dicadangkan kepada syarikat pengangkutan, Destination Transport Sdn. Bhd. (Destination Transport) sebagai pemacu perniagaan mereka di masa hadapan.


KANDUNGAN digital dipaparkan di skrin sesentuh yang terletak di bahagian belakang penyandar kepala kerusi penumpang hadapan.


"Perkhidmatan interaktif ini secara tidak langsung mampu menaikkan mutu perkhidmatan agar setanding dengan negara-negara maju yang mempunyai kemudahan ini," katanya ketika ditemui di majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara Gigalink Solutions dengan Destination Transport bagi penyediaan SmartaxiAds di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan, Selangor yang juga Pengerusi Destination Transport, Datuk Aslah Abdullah dan Timbalan Pengarah (Inovasi), Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM, Prof. Dr. Arham Abdullah.

Muhammad Reduan menjelaskan, sistem pengiklanan digital yang menggunakan teknologi terkini itu telah dipasang pada 50 buah teksi Destination Transport di sekitar Lembah Klang dengan operasi dijangka bermula pada pertengahan Februari ini.

Akses maklumat

Muhammad Reduan berkata, pelbagai maklumat dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan melalui SmartaxiAds yang menggunakan teknologi pengkomputeran awan dan jalur lebar tanpa wayar sebagai medium pelaksanaannya.

"Sistem ini dilengkapi dengan sebuah skrin sesentuh paparan kristal cecair (LCD) berukuran 22.9 sentimeter yang dipasang di bahagian belakang penyandar kepala kerusi penumpang bahagian hadapan teksi.

"Kandungan-kandungan digital baharu kemudian akan dimuat naik pada paparan tersebut untuk tontonan penumpang. Selain daripada hanya memerhati, sistem ini turut memberi peluang kepada penumpang di tempat duduk belakang meneroka pelbagai maklumat dan iklan yang ditawarkan," jelas beliau.


PEMASANGAN peranti SmartaxiAds dimulakan dengan 50 buah teksi Destination Transport.


Menjelaskan cara-cara sistem berkenaan berfungsi, katanya, SmartaxiAds akan memaparkan iklan-iklan yang terkandung secara automatik sebaik sahaja penumpang membuka pintu teksi.

"Sistem iklan akan dihentikan sebaik sahaja pemandu menyahaktif meter tambang di destinasi yang dituju," ujar beliau.

Dalam usaha untuk mengembangkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan, Muhammad Reduan berharap agar lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan, badan berkanun mahupun syarikat swasta akan memberi sokongan dan memaparkan kandungan digital menarik dan bermanfaat kepada pelanggan.

"Medium pengiklanan ini dipercayai akan memberikan satu pengalaman baharu kepada para penumpang teksi.

"Selain itu, penyediaannya tidak akan mengganggu pemanduan kerana pemandu teksi tidak terlibat secara langsung dalam mengendalikan sistem SmartaxiAds ini," jelasnya sambil memberitahu tiada caj tambahan dikenakan kepada penumpang yang mengakses sistem pengiklanan tersebut.

Ivory Coast pindah gajah ancam penduduk

Posted:

Ivory Coast pindah gajah ancam penduduk

Ivory Coast pindah gajah ancam penduduk


SEBUAH trak digunakan untuk memindahkan gajah yang berjaya ditangkap ke Taman Negara Assagny yang terletak di pesisir selatan Ivory Coast.


BAGI mengurangkan konflik antara gajah dan penduduk kampung di Daloa, Ivory Coast, pihak kerajaan meminta bantuan Tabung Kebajikan Haiwan Antarabangsa (IFAW) untuk memindahkan hidupan liar itu ke kawasan yang lebih selamat di barat Afrika.

Gajah Afrika daripada spesies Loxodonta cyclotis itu menceroboh dan merosakkan hasil tanaman penduduk selepas habitatnya semakin mengecil akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan.

Sekumpulan sukarelawan IFAW mengepung dan menggunakan peluru damak untuk menangkap gajah-gajah liar tersebut. Ia kemudian dipindahkan menggunakan trak ke kawasan perlindungan di Taman Negara Assagny yang terletak kira-kira 100 kilometer ke barat pusat ekonomi Ivory Coast, Abidjan.

Misi berkenaan bermula pada 19 Januari lepas dan bakal berakhir pada penghujung bulan ini. Sebanyak tiga ekor gajah turut dipasang alat sistem kedudukan global (GPS) untuk mengesan pergerakan dan memantau perkembangan habitatnya selama dua tahun.

Ivory Coast merupakan kediaman kepada gajah-gajah liar yang hanya terdapat di barat dan tengah Afrika. Disebabkan itu, kelangsungan habitat dan hidup haiwan tersebut saling bergantung antara satu sama lain.


PASUKAN IFAW menggunakan alat penerima gelombang untuk mengesan gajah-gajah di Daloa.


Dua tahun lalu, pencerobohan oleh penduduk yang rakus meratakan hutan di Taman Negara Marahoué menyebabkan sebilangan gajah kehilangan tempat tinggal. Hanya tiga keluarga gajah berjaya melepasi pencerobohan itu dan tinggal di pinggir hutan berdekatan bandar Daloa.

Berasa terancam dengan tindakan agresif gajah-gajah tersebut, penduduk kampung bertindak memasang jerat dan membunuh gajah yang ditangkap.

"Gajah adalah lambang kebangsaan kepada Ivory Coast. Disebabkan itu, pihak berkuasa mengambil langkah alternatif dengan memindahkan haiwan itu.

"Malah, mereka bersungguh-sungguh mencari pembunuh haiwan tersebut," ujar Pengarah IFAW Perancis dan Afrika, CĂ©line Sissler-Bienvenu.

Beliau menambah, langkah pemindahan itu merupakan penyelesaian terakhir selepas mengambil kira faktor keselamatan gajah dan penduduk setempat.

"Langkah awal perlu diambil bagi menyelamatkan gajah-gajah yang terancam. Operasi itu sesuai dilakukan pada musim panas. Ia bakal merungkai masalah keselamatan dan kehidupan penduduk, selain gajah-gajah tersebut," ujar Sissler-Bienvenu kepada AFP.

"Survival gajah liar tersebut amat penting dalam usaha memulihara dan mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan. Usaha ini dapat mendidik generasi akan datang," ujar Menteri Air dan Perhutanan Ivory Coast, Mathieu Babaud Darret.

Perlindungan

Operasi pemindahan dari Daloa ke Taman Negara Assagny itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar, Kebersihan Bandar dan Pembangunan Bandar. Usaha itu dilihat dapat menyumbang kepada perlindungan spesies terancam.


SEKUMPULAN kanak-kanak melihat kandang yang menempatkan gajah yang ditangkap sambil diperhatikan oleh Sissler-Bienvenu (kanan).


Pada tahun 2009, IFAW berjaya melaksanakan operasi pemindahan besar-besaran 83 ekor gajah savana yang terperangkap dalam konflik maut gajah-manusia di Malawi.

Pemindahan sejauh 250 kilometer dari Phirilongwe ke Rizab Hidupan Liar Majete itu mengambil masa selama tiga minggu.

Ditubuhkan pada tahun 1969, IFAW berfungsi untuk menyelamat dan melindungi haiwan di seluruh dunia.

Organisasi sukarela yang telah melakukan pelbagai projek di 40 buah negara itu mempunyai objektif menyelamatkan haiwan secara individu atau berkumpulan, bergiat aktif dalam aktiviti pencegahan kekejaman haiwan dan menyokong usaha melindungi habitat dan hidupan liar.

Pencemaran di China punca perubahan iklim dunia

Posted:

Pencemaran di China punca perubahan iklim dunia

Pencemaran di China punca perubahan iklim dunia


KEPESATAN pembangunan di China membawa implikasi teruk kepada pencemaran udara di republik itu.


PENCEMARAN udara ekstrem yang berlaku di negara-negara Asia sejak kebelakangan ini memberi kesan kepada cuaca dan corak iklim dunia.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Universiti A&M, Texas, Amerika Syarikat dan Makmal Perejangan Jet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendapati China merupakan penyumbang besar kepada pencemaran udara di Asia.

"Perkembangan ekonomi negara berkenaan sejak 30 tahun lalu menyebabkan berlakunya kepesatan sektor pembangunan. Tahap pencemaran udara di beberapa bandar utama China seperti di Beijing ialah 100 kali lebih tinggi daripada had yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia," ujar pensyarah Sains Atmosfera Universiti A&M Texas, Prof. Renyi Zhang.

Para pengkaji menggunakan model iklim dan data terkumpul mengenai aerosol dan meteorologi sejak 30 tahun lepas.

Tambah Zhang, model tersebut jelas menunjukkan pencemaran udara banyak berlaku di Asia yang memberi kesan kepada atmosfera sehingga menjadikan ribut atau taufan bertukar lebih ganas.

"Pencemaran ini memberi impak kepada pembentukan awan, hujan, keamatan ribut dan faktor-faktor lain yang akhirnya mengubah iklim. Ia menyebabkan cuaca beberapa tempat di Amerika Utara terjejas," ujarnya.

Kajian itu turut melaporkan peningkatan pembakaran arang batu dan pelepasan asap kenderaan merupakan punca utama pencemaran di China dan negara Asia lain.

"Beberapa kajian perlu dilakukan pada masa hadapan untuk mencari punca aerosol sehingga meninggalkan kesan pada iklim dunia," jelas Zhang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved