Rabu, 1 Januari 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Uji ketahanan fizikal dan mental

Posted:

Uji ketahanan fizikal dan mental

Uji ketahanan fizikal dan mental

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DUA bulan sebelum menyertai perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013, Muhammad Amir Firdaus Abdul Rahim, 24, telah mula membuat persiapan rapi.

Dua kali seminggu, dia akan ke gimnasium berdekatan kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk melakukan senaman kardiovaskular seperti berlari yang mampu meningkatkan stamina dan ketahanan tubuh badan.

Walaupun tidak memasang impian untuk memenangi perlumbaan itu, dia tetap teruja kerana berpeluang menyertai perlumbaan larian menaiki tangga yang merupakan pengalaman baharu kepadanya.

"Setiap peserta perlu melakukan persediaan rapi sebelum menyertai pertandingan ini. Jika tidak, mereka pasti terkandas di tengah jalan dan terlepas peluang menyaksikan panorama ibu kota dari aras 63 Menara Vista ini," ujar kakitangan swasta itu.

Muhammad Amir menyertai kategori terbuka berkumpulan bersama kakaknya, Nur Raihana, 31, dan abang iparnya, Khairul Rahimi Abdul Rahim, 31.

Menerusi kategori tersebut, setiap kumpulan yang mengandungi tiga orang ahli perlu menjelajah sekitar bangunan The Intermark dan menyelesaikan teka-teki serta cabaran fizikal sebelum menuju puncak Menara Vista.

Walaupun kelihatan mudah, peserta perlu berfikir untuk menyelesaikan teka-teki dan pada masa sama menggunakan tenaga untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Menurut Muhammad Amir, setiap peserta perlu menyelesaikan teka-teki di setiap deretan premis perniagaan di tingkat bawah The Intermark.

"Walaupun sukar untuk mencari jawapan, namun halangan itu kami berjaya selesaikan. Bagi saya, cabaran utama sepanjang pertandingan ini ialah ketika menaiki tangga.

"Kami perlu berhenti di titik semak (checkpoint) di beberapa tingkat untuk melakukan cabaran salingan sebelum meneruskan perlumbaan," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menamatkan perlumbaan.


PENGANJURAN pertandingan ini berjaya mengumpul dana berjumlah RM131,636.50 melalui yuran penyertaan dan tajaan untuk disalurkan kepada lima badan amal terpilih.


Kerjasama

Mengulas lanjut, katanya, peserta dikehendaki menaiki tangga ke tingkat 21 dan melakukan cabaran memasukkan bulu tangkis ke dalam bekas dengan menggunakan papan dan memakan buah-buahan tanpa memegangnya.

"Kami telah menggunakan banyak tenaga untuk menaiki tangga dan melakukan cabaran. Ia amat memenatkan," ujar Muhammad Amir.

Beliau berkata, peserta dalam kategori terbuka berkumpulan juga boleh memilih cabaran lain ketika di checkpoint tingkat 21.

"Peserta perlu meniup daun terup keluar daripada garisan dan meninggalkan empat kad yang sama dalam petak bagi tugasan pertama.

"Bagi tugasan kedua pula, mereka perlu menyusun daun terup setelah diberi peluang untuk mengingatkan kedudukan asalnya selama seminit," ujarnya.

Bagi Muhammad Amir, kerjasama merupakan kunci utama kepada setiap pasukan untuk melakukan tugasan sebelum sampai ke puncak Menara Vista.

Walaupun tidak memenangi kategori yang disertai, baginya, pertandingan itu juga merupakan peluang untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga.

BFM-The Intermark Race To The Top 2013 merupakan perlumbaan kali kedua yang dianjurkan oleh syarikat The Intermark Sdn. Bhd. selepas kejayaan pertandingan itu dua tahun lalu.

Edisi kali ini juga merupakan kolaborasi julung-julung kalinya bersama stesen radio perniagaan, BFM89.9.

Pertandingan yang dianjurkan pada 7 Disember lalu itu menarik penyertaan seramai 465 peserta dalam empat kategori iaitu terbuka korporat, berkumpulan terbuka, lelaki dan wanita.


PERLUMBAAN ini turut menarik penyertaan peserta-peserta dari negara asing.


Kutip dana

Selain menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, pertandingan itu juga merupakan satu acara amal.

Hasil kutipan bernilai RM131,636.50 daripada pihak penaja dan yuran penyertaan peserta diagihkan kepada lima buah rumah amal untuk kanak-kanak sekitar ibu kota iaitu Persatuan Kebajikan Rumah Jaireh, Rumah Juara, Shelter Home, Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang dan Yayasan Chow Kit.

Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit, Tunku Abidin Tuanku Muhriz bertitah, dana yang disalurkan melalui perlumbaan itu sudah memadai untuk membantu operasi pertubuhan tersebut bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Titahnya, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat menambah dana untuk kegunaan operasi dan aktiviti pada masa hadapan.

"Pihak kami amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak penganjur kepada rumah amal ini.

"Yayasan Chow Kit memerlukan dana sebanyak RM1.2 juta setahun untuk program, aktiviti dan operasi," katanya.

Para peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM89.90 untuk kategori individu lelaki dan wanita, sementara kategori terbuka berkumpulan dikenakan bayaran RM300 dan kumpulan korporat (RM1,500) bagi setiap kumpulan.

Bagi kategori individu lelaki dan wanita, konsep pertandingan berbeza dengan berkumpulan.

Bagi kategori tersebut, peserta tidak perlu menyelesaikan tugasan dan hanya fokus kepada perlumbaan menaiki tangga sehingga ke puncak Menara Vista.

Bagi kategori ini, peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas dikira sebagai pemenang.

Peserta dari Kenya, Collins Kipkorir Kimosop dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dengan catatan masa 9.09 minit, sementara kategori individu wanita dimenangi oleh Michele Tan Bee Kiang dalam masa 10.17 minit.


CABARAN salingan turut disediakan di titik semak tertentu sebelum peserta meneruskan larian menaiki anak tangga Menara Vista.


Beri inspirasi

Sementara itu, seorang peserta veteran yang menyertai kategori lelaki, Jesmail Singh, 75, berkongsi pengalaman, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan cara terbaik untuknya bertemu dan berkenalan dengan pelari-pelari muda dalam dan luar negara.

Dia yang merupakan pelari maraton sejak 32 tahun lalu berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan salah satu cara untuk mengajak golongan muda menjalani gaya hidup sihat.

"Saya juga telah menyertai pertandingan ini pada edisi pertama ia dianjurkan. Bukan niat saya untuk mencabar golongan muda yang menyertai pertandingan ini.

"Sekiranya saya berupaya menaiki tangga sehingga ke puncak, mereka juga boleh melakukannya. Saya mahu memberi inspirasi kepada mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati peserta agar membuat persediaan rapi terutama aspek stamina sebelum menyertai pertandingan itu.

"Tanpa latihan yang cukup, peserta pasti tidak berjaya menamatkan perlumbaan.

"Saya membahagikan dua teknik larian dalam rutin senaman harian. Pada sebelah pagi, akan berlari selama 30 minit, manakala sebelah petang pula, saya lebih tumpukan kepada kelajuan larian," jelas beliau.

Bapa kepada lapan orang anak ini menegaskan, rutin larian itu merupakan teknik asas bagi peserta untuk menyertai perlumbaan menaiki tangga.

Berasal dari Taman Tun Teja, Rawang, Selangor itu, Jesmail berjaya menamatkan perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013 dengan catatan masa 20 minit.

Permata pelancongan wilayah Lao Cai

Posted:

Permata pelancongan wilayah Lao Cai

Permata pelancongan wilayah Lao Cai


PELANCONGAN amat penting kepada penduduk tempatan kerana kebanyakan wanita dan kanak-kanak terbabit dalam industri ini.


BERKUNJUNG ke Sapa, pastinya merupakan syurga bagi pencinta alam. Pemandangan gunung-ganang menghijau menghiasi segenap kawasan merupakan suatu suasana yang menenangkan.

Selain gunung-ganang, penduduk di kawasan itu yang terdiri daripada etnik Hmong juga menanam padi huma di lereng-lereng bukit yang juga merupakan makanan ruji penduduk tempatan.

Tarikan utama dalam sektor pelancongan di Sapa ialah Fansipan iaitu gunung tertinggi di Vietnam. Jaraknya hanya 19 kilometer dari Sapa. Walaupun jaraknya dekat tetapi laluan ke sana tidak semudah disangka.

Keadaan bentuk muka bumi tidak rata dan cuaca tidak menentu merupakan antara halangan bagi pelancong yang gemarkan aktiviti lasak.

Bagi pelancong yang berhajat untuk menawan gunung setinggi 3,143 meter itu, mereka perlu mempunyai stamina tinggi. Jika tidak, pasti terkandas di tengah jalan.

Puncak gunung itu juga boleh diakses sepanjang tahun tanpa sebarang halangan daripada pihak berkuasa. Secara teknikalnya, pendakian ke puncak gunung itu tidak memerlukan sebarang teknik.

Pendaki hanya memerlukan daya ketahanan yang tinggi untuk menempuh halangan ke puncak yang mengambil masa tiga hari itu.

Kraf tangan

Sapa juga merupakan salah sebuah daerah di wilayah Lao Cai yang terkenal dengan produk hasil kraf tangan. Kebanyakan penduduk wanita etnik Hmong menghasilkan cenderamata kraf tangan sendiri untuk dijual kepada pelancong.

Cenderamata seperti beg tangan dan rantai berwarna-warni merupakan antara barangan yang menarik perhatian pelancong. Bagaimanapun, adakalanya cara penduduk di situ cuba menjual kraf tangan mereka kurang menyenangkan pelancong.

Kaum wanita dan kanak-kanak etnik Hmong memaksa pelancong membeli kraf tangan mereka. Tidak kurang pula yang bertindak menarik tangan pelancong.


KAUM wanita Hmong sangat kreatif menghasilkan produk kraf tangan.


Desakan hidup

Atas desakan hidup, mereka terpaksa melakukan perbuatan itu untuk menarik perhatian pelancong. Jika tidak, tiada pendapatan untuk mereka pada hari itu.

Menurut sebuah portal di Vietnam, vietnamnet.vn, jumlah pelancong ke Sapa dianggarkan mencecah ratusan ribu orang dalam setahun.

Walaupun, masalah lambakan penjual barangan kraf tangan sentiasa berlaku di daerah itu, pelancong tetap berkunjung ke situ kerana keindahan semula jadi yang jarang ditemui di negara lain.

Tidak lengkap kiranya kunjungan ke wilayah tersebut tanpa menjejakkan kaki ke perkampungan Lao Chai yang terletak hanya enam kilometer dari Sapa. Penduduk tempatan di situ juga beretnik Hmong.

Kawasan tersebut juga merupakan titik permulaan sebuah lembah Muong Hoa. Dari kawasan tinggi di kawasan air terjun Sapa, pelancong dapat melihat panorama indah di kawasan lembah dan kampung itu.

Penduduk kampung berkenaan juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong. Etnik Hmong tidak lokek berkongsi budaya dan adat resam. Dianggarkan lebih 100 keluarga Hmong tinggal di kampung tersebut.

Etnik Hmong membina kediaman mereka dengan menggunakan kayu dan buluh. Keunikan rekaan kediaman etnik itu juga merupakan salah satu daya tarikan pelancong di daerah itu.

Sekiranya cuaca panas terik, pelancong juga berpeluang untuk berkelah di sungai Muong Hoa yang hanya beberapa meter dari kediaman mereka. Jika bernasib baik, pelancong juga berpeluang bermandi-manda di sungai itu.


PENGUNJUNG yang berhajat menawan gunung di Fansipan perlu mempunyai stamina tinggi.


Hotel

Walaupun terletak di kawasan pedalaman, terdapat 10 buah hotel yang menjadi tempat tinggal sepanjang berada di Sapa.

Dari Hanoi, pelancong sebaik-baiknya menaiki kereta api malam yang boleh ditempah melalui Sapa-tour.net.

Enam syarikat perkhidmatan kereta api yang menawarkan perjalanan ke Sapa ialah Green Express, Hara Express, Livitrans Express, Fanxipan Express dan Victoria Express.

Kampung Ta Van juga menarik untuk dikunjungi kerana pelancong boleh melihat kehidupan masyarakat pedalaman di Vietnam. Ta Van terletak kira-kira 10 kilometer dari Sapa.

Penduduk kampung tersebut terdiri daripada etnik Hmong, Giay dan Red Dao. Dianggarkan seramai 1,000 penduduk mendiami kawasan berbukit itu.

Jalan ke kawasan kampung itu amat sempit. Di kiri dan kanan laluan, pelancong berpeluang menikmati pemandangan kawasan sawah dan tanaman jagung yang luas.

Pesawah merupakan pekerjaan utama bagi etnik Giay. Mereka juga menghasilkan barangan berasaskan perak untuk dijual kepada pelancong.

Etnik Giay juga kaya dengan kisah-kisah dongeng kebudayaan melalui penyampaian sajak, peribahasa dan teka-teki.

Pemakaian etnik Giay amat ringkas dalam menjalani kehidupan seharian. Mereka hanya memakai baju pendek, beg kain dengan hiasan bunga sulam.

Ekspresi mural golongan belia

Posted:

Ekspresi mural golongan belia

Ekspresi mural golongan belia


ANTARA hasil seni sekumpulan mahasiswa dari MSU yang bertemakan bandar raya Kuala Lumpur.


PUSAT beli-belah 1 Shamelin Kuala Lumpur mungkin menjadi satu-satunya lokasi yang menyediakan ruang buat penggemar mural mengekspresikan hasil kreativiti masing-masing di setiap bidai premis di pusat beli-belah itu.

Penganjuran KL Street Art Festival 2013 (KLSAF) bersama Komuniti Belia Malaysia (MYC) membuka peluang tersebut kepada lebih 100 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Lembah Klang.

Aktiviti tersebut dijalankan pada 7 hingga 8 Disember, diikuti 14 hingga 15 Disember lalu yang memerlukan peserta menghasilkan mural bertemakan bandar raya Kuala Lumpur, Tokyo atau Seoul melalui lukisan mural di atas bidai kira-kira 1,000 premis di pusat beli-belah itu.

Cetusan pelbagai warna dan kreativiti menghiasi setiap ruang pusat beli-belah itu, memaksa setiap peserta memerah idea berbeza untuk menghasilkan mural yang mampu memikat hati para juri.

Berbeza dengan pertandingan lain, KLSAF menitikberatkan kualiti mural dan mesej yang jelas berdasarkan tiga tema yang diberikan itu.


MENARA Berkembar Petronas sinonim dengan tema bandar raya Kuala Lumpur.


Peserta yang juga mahasiswa Diploma Pereka Grafik, Management & Science University (MSU), Muhd. Fuad Supriyanto, 19, berkata, pada mulanya dia tidak mampu memikirkan tema yang sesuai untuk dihasilkan sebelum menggambarkan bentuk penceritaan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang tidak pernah tidur.

"Pada mulanya, saya tidak mampu memikirkan tema yang sesuai untuk menggambarkan Kuala Lumpur. Saya memilih tema Kuala Lumpur kerana ia lambang kebanggaan saya sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di KLSAF di 1 Shamelin Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, dia bersama tiga lagi rakannya dari fakulti dan universiti yang sama memerah setiap idea lalu menghasilkan sebuah mural dengan tema Kuala Lumpur Never Sleep.

Ahmad Afiq Azman Abdul Rahim, 19, pula memberitahu, cabaran utama menyiapkan mural berkenaan adalah memastikan tiada kecacatan berlaku sepanjang proses melakar sehingga mewarna.

"Lihat sendiri permukaan bidai ini melekuk. Ia adalah cabaran untuk kami bagi memastikan setiap lukisan kelihatan seperti dilukis di atas sebuah kain kanvas. Mujur masa yang diberikan cukup untuk kami menyiapkan mural ini," katanya.

Nilai artistik

Sementara itu, seorang pengunjung yang juga peminat lukisan mural, Muhammad Hilmi Jailani, 18, berkata, dia berasa bangga apabila menyaksikan mural yang dahulunya dianggap sebahagian daripada perbuatan vandalisme, kini diangkat sebagai nilai artistik.

"Saya masih ingat ketika kecil, apabila menconteng dinding mesti kena pukul walaupun lukisan berkenaan cantik. Usaha memartabatkan lukisan mural ini sekali gus menempelak mana-mana individu yang masih menganggap ia sebagai kegiatan vandalisme," katanya.

KETELITIAN menjadi kunci utama dalam penghasilan mural.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYC, Jason Ko, berkata, pusat beli-belah 1 Shamelin Kuala Lumpur akan menjadi sebuah pusat beli-belah yang sangat unik dan penuh dengan gaya kehidupan masa kini.

Katanya, dia yakin tiada pusat beli-belah dalam Malaysia, apatah lagi di sekitar Lembah Klang membuka ruang kepada golongan belia untuk berkarya di bidai kedai masing-masing dan dibiarkan kekal.

"Kita mengucapkan ribuan penghargaan kepada pihak pengurusan pusat beli-belah ini kerana berani membuka ruang kepada golongan belia berkarya di sini.

"Mural ini akan menjadi acara tahunan dan kesemua 1,000 bidai premis di sini akan dihiasi dengan pelbagai mural menarik dalam tempoh masa berperingkat," jelasnya.

Kumpulan yang memenangi KLSAF berpeluang membawa peluang wang tunai sebanyak RM10,000 untuk tempat pertama, naib juara RM3,000 dan RM2,000 bagi tempat ketiga.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved