Selasa, 28 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet

Posted:

Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet

Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet

GEGAK-GEMPITA sorakan penonton saat pengacara mengumumkan lagu Bahagiamu Deritaku sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) sudah cukup untuk menggamatkan lagi suasana Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Lagu ciptaan LY dan Baiduri yang dilantunkan oleh Hafiz Suip, 24, itu bukan sahaja berjaya menewaskan 11 lagu yang turut bertanding.

Karya tersebut turut meraih beberapa kemenangan menerusi dua kategori lain iaitu Persembahan Terbaik dan Anugerah Juara Mobile kepada penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Ternyata, menerusi kemenangan keduanya dalam penganjuran AJL ini selepas menjuarai AJL 26 menerusi lagu Awan Nano, Hafiz mengaku, dia tidak pernah lari daripada dikejar rasa gemuruh dan gementar saat diumumkan juara walaupun telah acapkali disuakan dengan puluhan anugerah dan pengiktirafan.

"Sejujurnya, walaupun saya telah memenangi banyak pertandingan dan anugerah, rasa gementar dan gemuruh itu masih tidak lekang dalam diri saya.

"Mungkin rasa itu datang apabila ekspektasi peminat dan penonton mula menggunung saat saya memenangi anugerah demi anugerah.

"Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana diberi peluang untuk menunjukkan bakat yang saya miliki.

Hafiz ternyata sangat bersyukur dikurniakan para peminat yang tidak pernah berhenti mendukung kerjayanya sejak dia tamat mengikuti program pertandingan nyanyian Akademi Fantasia musim ketujuh.

Ujarnya: "Saya akan gunakan pemberian ini sebagai satu cabaran untuk memberikan yang lebih baik kepada para peminat pada masa akan datang."

Seorang peminat penyanyi itu mendapat tweet semula (retweet) oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang berbunyi: "Hafiz is the male version of @CTNurhaliza11".

HAFIZ memonopoli AJL 28 dengan menang dua anugerah.


Mengulas mengenai tweet semula itu, Hafiz berkata, jauh lagi perjalanan karier yang harus ditempuhinya untuk selesa menerima gelaran 'Siti Nurhaliza versi lelaki'.

Katanya, kejayaan yang diraihnya kini tidak setanding dengan kejayaan-kejayaan yang pernah dirangkul oleh penyanyi nombor satu negara itu.

"Saya akui, apa yang ada pada saya hari ini belum setanding jika mahu disamakan dengan Datuk Siti Nurhaliza. Dia mengecapi kejayaan pertama di pentas AJL sejak berumur 18 tahun menerusi lagu Jerat Percintaan.

Jika dikira jumlah pencapaiannya, terlalu banyak yang perlu saya tempuhi sebelum boleh disamakan dengannya," ujar Hafiz yang ingin sekali mengikuti jejak langkah penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Langkah mula

Hyper Act menerusi lagu Hanya Aku yang selesa di tangga kedua pula berkata, lagu ciptaan mereka dan lirik oleh Frozen itu dijadikan sebagai penanda aras buat kumpulan tersebut untuk terus melakar nama sebagai penggiat seni muzik tanah air.

Vokalis kumpulan tersebut, Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein berkata, walaupun anugerah yang diterima dianggap sebagai kemuncak karier mereka, namun, ia turut bertindak sebagai satu permulaan bagi mengembangkan kerjaya nyanyian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

"Saya sungguh terharu kerana lagu Hanya Aku berjaya mendapat tempat bukan sahaja di hati para pendengar tetapi turut dipilih oleh juri profesional.

"Bagi kami, lagu ini mempunyai kekuatan yang tersendiri dan begitu diminati oleh pendengar di Malaysia.

"Justeru, untuk perancangan seterusnya, kami akan melancarkan sebuah lagu baharu berjudul Ku Ikat Setia.

"Konsep balada sedih (mellow) masih dikekalkan kerana itu merupakan signatur kumpulan kami," jelasnya optimis.

HYPER ACT kini menyerlah dengan lagu Hanya Aku.


Buka pintu hip hop

Sementara itu, menurut pemenang tempat ketiga, Awi Rafael dan Altimet, lagu Kalau Aku Kaya karya Omar K dan Audi Mok serta lirik oleh Altimet sendiri mampu menjadi sebuah pintu untuk banyak lagi lagu yang mengandungi irama hip hop untuk menerima pengiktirafan pada masa akan datang.

"Saya pernah berbincang dengan Joe Flizzow suatu ketika dahulu bahawa kami mahu membuka pintu kepada penggiat irama hip hop untuk dikenali kerana karya mereka.

"Pintunya sudah terbuka, jadi terpulang kepada penulis lirik dan lagu hip hop untuk melayakkan diri ke pentas yang berprestij ini," katanya yang menyifatkan AJL sebagai pentas pertempuran yang bukan calang-calang boleh disertai oleh penyanyi tanah air.

Bagi Awi pula, jika kolaborasi antara dua penyanyi itu serasi, maka paduan tersebut akan membuahkan hasil.

"Saya lihat diri saya sebagai penyanyi dan penulis lagu muda. Dalam lagu ini, saya memberikan nuansa baharu terhadap korus sehingga boleh melekat di minda pendengar.

"Jadi pada pendapat saya, jika gabungan antara dua penyanyi itu betul-betul unik dan strategi yang digunakan betul, maka insya-Allah ia akan diterima ramai," ujarnya.

Untuk kategori Vokal Terbaik, pemenang Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor berjaya merampas takhta yang dipegang oleh Hafiz setelah berjaya mempertahankan anugerah itu selama tiga tahun berturut-turut.

Kelas tersendiri

Penganjuran AJL 28 dilihat seimbang dari segi kekuatan produksi dan kelancaran sepanjang majlis tersebut berlangsung.

Sistem bunyi dan lampu diatur kemas manakala susunan muzik lagu-lagu yang dipertandingkan turut diberi nafas baharu.

Menariknya, ada sebilangan penyanyi yang menggunakan tema Game On! yang diketengahkan oleh pihak penganjur untuk disuntik ke dalam persembahan mereka.

Sebagai contoh, Stacy yang terkenal dengan kelincahannya menari di atas pentas menyuntik elemen zombi ke dalam lagunya Bosan.

ALTIMET (kanan) dan Awi Rafael teruja meraih tempat ketiga dengan lagu Aku Kaya.


Hazama menerusi lagu Penglipur Lara pula menjadikan permainan video era 80-an sebagai latar utama ketika mempersembahkan lagunya itu.

Selain itu, persembahan penutup yang dibarisi oleh Waris, Zaidi (One Nation Emcees), Ziana Zain, Filsuf, Datuk M. Daud Kilau dan Amy Search turut mendapat sambutan yang hebat daripada para penonton.

Bagaimanapun, ketika pentas AJL dibuka menerusi persembahan konsep perlawanan vokal oleh Shila Amzah dan Mus May, lagu yang dibawa iaitu Mahakarya Cinta nyanyian asal Faizal Tahir seperti tidak selari dengan kekuatan vokal dua penyanyi itu.

Secara keseluruhan, penganjuran AJL 28 berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Tipu jika tiada sebarang cacat mahupun cela sepanjang majlis berlangsung, namun, setelah 28 tahun dianjurkan, apa yang jelas kelihatan adalah peningkatan yang sangat memberangsangkan.

Tak sangka menang vokal terbaik - Jac

Posted:

Tak sangka menang vokal terbaik - Jac

Tak sangka menang vokal terbaik - Jac

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my

JAC mengakui lebih sukar menyanyi lagu rentak perlahan berbanding rancak.


SEWAKTU berlangsungnya Anugerah Juara Lagu Ke-28 (AJL 28), ramai yang menelah Hafiz Suip bakal menyambung legasinya sebagai penerima Anugerah Vokal Terbaik untuk kali yang keempat.

Namun, takhta penyanyi berusia 24 tahun itu akhirnya dikembalikan kepada Jaclyn Victor yang sebelum ini pernah menerima anugerah itu ketika mendendangkan lagu Ceritera Cinta bersama Lah VE pada AJL 22 beberapa tahun lalu.

Ternyata terkejut dengan anugerah tersebut, Jaclyn yang mesra disapa Jac begitu bersyukur dengan pengiktirafan yang diterimanya itu. Ikuti temu bual bersama Jac sejurus selepas tamat AJL 28 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Kosmo!: Tahniah Jac atas kemenangan anda menerusi anugerah Vokal Terbaik dalam AJL 28. Apakah perasaan anda apabila berjaya memecahkan legasi Hafiz setelah empat tahun dia menerima anugerah ini?

JAC: Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada juri-juri yang telah memilih saya sebagai penerimaan Anugerah Vokal Terbaik. Sejujurnya, saya langsung tidak menyangka bakal membawa pulang anugerah ini kerana peminat mengenali saya sebagai penyanyi yang gemar membawakan lagu-lagu balada. Justeru, apabila dipilih, saya begitu bersyukur.

Bagaimanakah anda membuat persiapan dari segi vokal menjelang AJL 28?

Saya tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap anugerah ini, jadi persiapan yang dilakukan sama sahaja dengan persiapan-persiapan saya apabila memasuki pertandingan sebelum ini. Saya dan kawan-kawan yang lain cuma mahu bergembira di atas pentas dan menyanyi untuk peminat-peminat saya.

Bercakap mengenai penyertaan rakan-rakan anda di atas pentas, boleh ceritakan bagaimana tercetusnya idea membawa lima penyanyi untuk mengiringi lagu Ikut Rentakku?

Idea untuk membawa Salamiah Hassan, Dina Nadzir, Adibah Noor, Atilia dan Elvira Arul datang apabila saya dan komposer lagu, Edry Abdul Halim berbincang untuk menghasilkan klip video bagi lagu ini. Saya mahukan elemen yang ringan dan menghiburkan. Jadi, cadangan untuk membawa mereka menyanyi pun tercetus.

Apakah perbezaan menyanyikan lagu berentak rancak berbanding lagu perlahan?

Saya akui, menyanyikan lagu berentak perlahan lebih sukar berbanding lagu rancak, tetapi, lagu Ikut Rentakku ini menuntut saya menggunakan pelbagai teknik vokal yang sedikit berbeza. Jadi, saya gembira kerana ia dapat dilihat menerusi anugerah yang diberikan ini.

Adakah anda merancang untuk menyanyikan lagu-lagu berentak rancak selepas ini?

Saya bermula sebagai penyanyi kelab dan lounge, jadi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyanyikan apa jenis lagu. Buat masa ini, saya menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju perjalanan album saya yang seterusnya.

Blues Buat Teman dedikasi Ramli

Posted:

Blues Buat Teman dedikasi Ramli

Blues Buat Teman dedikasi Ramli


PERSEMBAHAN hebat Ramli Sarip di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEPANJANG tempoh 40 tahun Datuk Ramli Sarip bergelumang dalam dunia seni suara, album Alive yang diterbitkan pada tahun 2000 diakui adalah yang terbaik.

Lanjutan daripada itu, album sama diterbitkan sekali lagi pada tahun 2013 menggunakan judul Ramli Sarip Live 2000 dan sejajar itu juga konsert jelajah Blues Buat Teman telah memulakan langkah pada tanggal 23 Februari lalu.

Blues Buat Teman kata Ramli, 62, adalah satu penghargaan kepada pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya, Selangor.

"Malah, konsert jelajah Blues Buat Teman juga satu dedikasi kepada gitaris Allahyarham Samad Mian, pemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmat dan pemain bass Black Dog Bone, Hamid yang kini berdepan dengan masalah kesihatan.

"Banyak perkara yang ingin saya lakukan untuk membantu mangsa banjir, bekas penagih dadah dan pesakit kanser tapi keluarga artis yang telah saya sebutkan adalah sangat personal bagi saya.

"Saya reda kalau tidak dapat satu sen pun sepanjang konsert ini," katanya yang ditemui selepas showcase pertama di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ramli, sebahagian daripada jualan tiket konsert jelajah itu akan disalurkan kepada keluarga Samad Mian, Yazit dan Hamid menjelang penghujung siri jelajah di Johor Bahru, Johor pada 28 Mac depan.

PEJUANG kental muzik rock ini mengalunkan sebanyak 18 buah lagu pada showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.


Sepanjang showcase selama hampir dua jam itu, Ramli menghiburkan pengunjung dengan 18 buah lagu antaranya Doa, Kenyataan, Musibah, Keliru, Teratai, Batu, Zakia dan Kamelia.

Katanya pemilihan lagu berbeza-beza mengikut lokasi dan tema persembahan. Akan ada antara lagu yang belum pernah dinyanyikan bersama band sebelum ini akan dipersembahkan nanti.

"Kalau persembahan makan malam biasanya saya akan memperbanyakkan lagu bersifat etnik misalnya Nyanyian Serambi dan Jangan Tunggu Lama-Lama dan kurangkan rock n' roll.

"Tapi untuk showcase kali ini saya perlu memilih yang betul-betul bertepatan dengan lokasi, memandangkan kami bermula di Hard Rock Cafe maka lagu yang dipilih juga lebih banyak daripada genre rock," tambahnya.

Ramli bagaimanapun menyangkal dakwaan konsert jelajah Blues Buat Teman menelan kos besar memandangkan perjalanan acara turut membabitkan lokasi di Sabah dan Sarawak.

"Boleh saya katakan konsert ini bukan berskala besar dan tidak menelan kos tinggi kerana bukan membabitkan tenaga teknikal yang banyak.

"Saya tidak mahu meminta-minta untuk menjayakan konsert jelajah ini tapi mengalu-alukan sumbangan ikhlas untuk meringankan beban kawan-kawan artis yang sedang sakit," kata Ramli.

Konsert jelajah Blues Buat Teman seterusnya akan ke Kuching dan Miri, Sarawak pada 1 dan 2 Mac, kemudiannya ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah pada 4 dan 5 Mac. Lokasi seterusnya di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (15 Mac), Perak (22 Mac), Johor (28 Mac) dan Dewan Utusan Melayu, Kuala Lumpur (4 April). Keterangan lanjut hubungi 013-2633938. - KHAIRUL AMRI HASSAN.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved