Ahad, 26 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Detik indah Tyas, Syazwan

Posted:

Detik indah Tyas, Syazwan

Detik indah Tyas, Syazwan

BUKAN nama besar, bukan juga pemenang anugerah, namun, dua anak muda dengan nama Syazwan Zulkifly dan Tyas Mirasih itu bagaikan sudah mendapat anugerah berprestij. Mereka diberi kepercayaan untuk berjuang bersama aktor pemenang anugerah seperti Eman Manan, Wan Hanafi Su dan Nasir Bilal Khan dalam filem Laga.

Sejak menemui penonton pada 23 Januari lalu, filem yang menjadikan judi laga ayam sebagai inti penceritaan itu mendapat banyak kritikan memberansangkan. Itu semua sudah memadai untuk dinilai oleh Syazwan dan Tyas sebagai satu anugerah. Moga-moga, ada impak yang bakal diraih sehingga mendebungakan lagi inspirasi untuk penghasilan kerja lakon lebih baik.

"Sejurus mendapat tawaran dan menerima skrip filem itu dahulu, saya membuat rujukan untuk tahu siapa pelakon dan pengarah yang terbabit. Pencarian saya berhasil kerana rata-rata yang terlibat semuanya nama-nama besar. Ini satu peluang terbaik untuk saya. Untung juga sebab diberi tunjuk ajar pelakon dan pengarah yang hebat ketika di lokasi. Mereka semuanya mesra. Harap-harap lakonan saya juga diterima baik," ujar Tyas mesra saat diganding semula dalam fotografi bersama kekasih layar peraknya, Syazwan.

Bersatu sebagai pasangan bercinta, semasa awal penglibatan Tyas dan Syazwan sepanjang penggambaran di Kuala Kangsar, Perak keakraban mereka pernah disalah anggap. Khabar angin kisah cinta lokasi mereka segera tersebar. Kisah cinta itu pantas memperkenalkan identiti Mirasih Tyas Endah atau Tyas Mirasih yang berasal dari Jakarta, Indonesia kepada peminat hiburan tempatan.

"Saya tidak anggap kisah sensasi yang diperbesar-besarkan itu akan terus kekal dalam minda peminat. Saya mahu dikenali sebagai pelakon dan mengharapkan lakonan dalam Laga akan berbekas dalam minda khalayak di sini.

"Tambah pula, Syazwan itu karakternya gila-gila, jadi kami mudah serasi dan jadi kawan baik. Orang cuma salah anggap tentang hubungan kami," ujar Tyas barangkali penat dibayangi kisah lama.

TYAS MIRASIH anggap penglibatan dalam filem Laga akan melebarkan sayap kariernya di Malaysia pada masa depan.


Pelakon berumur 26 tahun itu juga pernah menjalin hubungan bersama model dan pelakon Malaysia, Keith Foo yang sebelum ini memulakan karier di Jakarta. Perhubungan mereka tidak bertahan lama lalu masing-masing membawa hati ikut cara sendiri.

Bertamu lagi ke Kuala Lumpur dalam rangka promosi filem yang sudah ditayangkan beberapa hari lalu, bintang yang pernah menempa sensasi ekoran keberaniannya tampil seksi dalam beberapa judul termasuklah Air Terjun Pengantin dan Hantu Budeg juga sudah bersedia untuk dikritik.

"Saya masih belum dikenali di sini, jadi segala respons penonton di Malaysia terhadap lakonan saya sungguh bernilai. Jika dikritik tidak bagus, saya juga akan terima. Tetapi, berlakon bersama pengarah dan pelakon yang sudah cukup dikenali atas hasil kerja mereka itu memberi banyak ilmu. Banyak detik indah dan pengalaman berguna yang dapat saya kutip untuk melebarkan lagi karier lakonan saya nanti," ujarnya yang kini mahu mengelak daripada melakonkan watak-watak seksi.

Ujar Tyas, dia sudah cukup dewasa untuk memberi corak kepada karier seni yang dimulai dari pentas peragaan sejak berumur 12 tahun lagi.

"Di Indonesia, saya tertumpu untuk berlakon telemovie sehinggakan ada juga digelar Ratu Telemovie. Puncanya saya kurang senang berlakon dalam sinetron dan tidak banyak terima tawaran untuk filem. Tempoh penggambaran sinetron terlalu panjang, ia memenatkan. Untuk filem pula, saya sebenarnya tidak terlalu cerewet, asalkan ia menyeronokkan dan memberi ruang untuk berkembang, saya terima. Dalam masa yang sama, semakin lama rasanya dalam bidang ini, wajar untuk saya memilih," kata Tyas yang meminati sutradara Lukman Sardi untuk mendepani hari-hari bergelar anak seni.

SYAZWAN ZULKIFLY mula dikenali sebagai budak nakal dalam drama dan filem Juvana, kini teralih untuk berlakon drama korporat.


Obses laga ayam

Empat tahun dalam industri, lakonan di kaca televisyen sudah cukup untuk menjadi laluan buat Syazwan masuk ke layar yang lebih besar. Usai kisah remaja nakal Juvana The Movie, Syazwan bakal muncul dengan sebuah filem yang sarat imej lelaki dalam Laga.

"Masa sebelum penggambaran, saya ingat Laga akan bergerak macam filem seni. Saya punya tanda aras ialah Bunohan, tapi bila sudah selesai, saya dapat agak Laga sebenarnya serampang dua mata, ia sebuah filem komersial yang ada seni. Saya yakin, pertaruhan produksi filem yang diterajui sutradara Ismail Yaacob itu tidak 'kosong'," ujar Syazwan, 26.

Namun kemampuan Laga yang baru kenal perjudian sebenar di pawagam tempatan itu mampu melonjakkan Syazwan untuk masuk ke liga aktor handalan.

"Jauh lagi perjalanan saya untuk sampai ke tahap handal. Filem sebegini juga 'makanan' buat aktor-aktor macam Eman dan Nasil Bilal Khan, saya ini masih cetek ilmu lakonan tapi saya memang rasa bertuah dan besar hati sebab dapat terlibat dengan naskhah seperti Laga.

"Kalau pun saya tidak terlibat langsung dalam filem itu, rasanya saya tetap akan akan berbangga ada pihak yang berani menerbitkan filem Melayu yang sedemikian untuk tontonan rakyat Malaysia," ujar Syazwan yang seronok mengenali heroinnya Tyas menerusi filem berkenaan.

Melihat Tyas dan Syazwan yang mesra, tidak mustahil mereka sebenarnya sudah menyulam cinta ketika di lokasi.

Berbalik kepada Laga, debaran yang berdetak dalam dada Syazwan belum pulih. Biarpun sudah tiga hari filem keduanya itu berada di pawagam, soal penerimaan penonton tidak mudah untuk diramal.

GARA-GARA berlakon sebagai pasangan kekasih, Syazwan dan Tyas pernah disensasikan dengan gosip cinta lokasi.


"Melihat respons di laman sosial dan sebagainya, sambutan terhadap Laga boleh dikatakan bagus, tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan. Siapa pelakon yang tidak mahu filem lakonannya box office di pawagam?" ujar Syazwan yang melakonkan watak Sabri, pemuda yang terlalu meminati judi laga ayam dalam filem tersebut.

Sering diperlihatkan sebagai remaja nakal, sarat imej jalanan serta mampu mempersembahkan aksi pertarungan, menerusi Laga, hal itu tidak banyak membezakan Syazwan dengan karakter-karakter yang pernah didukungnya.

"Imej pemuda kampung rasanya sebati dengan saya. Saya sangat selesa dengan karakter sebegitu. Dalam Laga apatah lagi, filem itu sendiri berlatarkan suasana kampung manakala Sabri pula pemuda yang tidak berpelajaran.

"Itu dalam filem, tetapi untuk kerja-kerja lakonan yang terbaharu, saya harus akur dengan permintaan penerbit. Ada yang mahu saya tukar imej, perbanyakkan karakter korporat sebab watak sebegitu itu sedang hit buat masa ini," beritahu Syazwan yang bakal muncul menerusi drama Suamiku Mr. Perfect 10, Melrose, Takdir Cinta , Peplum Cinta Hatiku dan Aku Bukan Mistress tidak lama lagi.

Selain Laga Syazwan juga sedang menanti sebuah lagi filem lakonannya, Sunti yang bergenre seram.

Tumpang populariti adik-beradik

Posted:

Tumpang populariti adik-beradik

Tumpang populariti adik-beradik

SELEBRITI yang berkongsi minat dan populariti bukan sesuatu yang luar biasa, bahkan sudah menjadi trend dalam industri hiburan di mana jua.


KEMUNCULAN selebriti adik-beradik dalam industri seni bukan sesuatu yang luar biasa, bahkan sudah menjadi trend.

Trend selebriti adik-beradik di Hollywood begitu popular dengan kehadiran seperti aktor James Franco dan Dave Franco, Miley Cyrus dan Brandi Cyrus, Adam Levine dan Michael Levine begitu juga Justin dan Sebastian Theroux.

Di Bollywood, kehadiran selebriti yang mempunyai pertalian adik-beradik dengan nama-nama popular juga tidak kurang hebatnya. Lihatlah bagaimana populariti yang pernah dikecap oleh Karisma Kapoor yang kemudiannya diteruskan pula oleh Karina Kapoor. Namun ada selebriti adik-beradik yang tidak mendapat perhatian peminat.

Suasana selebriti adik-beradik di Malaysia juga tidak kurang meriahnya. Dalam bidang nyanyian, industri muzik mampu berbangga dengan pencapaian Anuar Zain dan Ziana Zain yang masih bertahan sehingga kini. Dunia lakonan turut menyaksikan kehadiran pelakon adik-beradik seperti Umie Aida dan Erma Fatima, Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah, Anne Ngasri serta Darling dan Bell Ngasri.

Kini, nama-nama seperti Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose serta adik-beradik anak kepada pelukis negara, Ismail Maembong iaitu Emma dan Chacha Maembong dilihat semakin mengorak langkah. Lahir dengan kecantikan semula jadi, namun dari satu sudut berbeza, pencapaian yang diraih mereka kelihatan belum setara.

Kehadiran mereka mampu memeriahkan suasana industri, sama popular dan sama laris tetapi tersalah langkah, mereka juga boleh berkongsi impak negatif.

Sensasi Bintang berkesempatan berbual santai dengan Uqasha Senrose dan Chacha Maembong berhubung corak kemasukan mereka ke bidang seni. Bukan menidakkan bakat yang dimiliki tetapi pada yang sama mereka menumpang tempias populariti adik-beradik yang terlebih dahulu mencipta nama.

SENSASI BINTANG: Apa pendirian kalian jika pengkritik mendakwa anda hanya menumpang tuah?

CHACHA MAEMBONG (C): Saya secara peribadi berbangga apabila melihat pencapaian Emma yang terlebih dulu mencapai populariti berbanding saya. Biarlah orang tidak mengenali saya tetapi pada hakikatnya saya sebenarnya adik kepada Emma Maembong. Saya percaya jika suatu hari nanti sama ada saya atau Emma yang diangkat sebagai artis yang lebih popular, tiada perasaan cemburu terlintas dalam hati ini. Saya menganggap Emma sebagai idola, malah dia lah yang banyak memberikan tunjuk ajar.

UQASHA SENROSE (U): Saya kagum melihat pencapaian adik saya, Nelydia yang kini semakin popular. Sudah tentu Nelydia akan lebih menyerlah berbanding saya memandangkan dia sudah lama dalam industri lakonan, saya baru sahaja memulakan kerjaya lakonan pada tahun lepas. Banyak teknik lakonan yang saya tidak tahu dan minta tunjuk ajar daripadanya. Saya tidak mementingkan soal populariti kerana lakonan harus diutamakan.

UQASHA SENROSE dan Chacha Maembong tidak pernah berasa cemburu melihat kejayaan keluarga mereka.


Adakah anda berasa kehadiran mereka sebagai satu ancaman?

C: Sebenarnya orang tak sedar bahawa saya yang terlebih dulu memulakan kerjaya lakonan namun saya tidak pernah berasa cemburu apabila Emma lebih popular berbanding saya kerana pada waktu itu saya belum serius untuk bergelar pelakon. Emma dilihat lebih serius untuk menjadikan kerjaya lakonan sebagai satu profesion.

U: Saya tidak pernah berasakan hal ini sebagai satu persaingan kerana Nelydia memulakan kerjaya lakonan dulu. Tambahan pula, sebelum bergelar pelakon saya bekerja sebagai seorang pramugari. Selepas itu, saya mendapat tawaran untuk berlakon drama dan berterusan sehingga hari ini. Saya masih bergantung harap kepada Nelydia untuk membantu saya dalam selok-belok lakonan dan saya benar-benar bersyukur kerana dia banyak membantu saya di set penggambaran. Tanpa bantuan daripadanya saya tidak akan berada dalam industri seni ini.

Bagaimana kalian mengekalkan hubungan baik apabila masing-masing sibuk dengan kerjaya lakonan?

C: Kami berdua jarang bertemu di rumah kerana masing-masing sibuk di set penggambaran. Kadangkala apabila saya mempunyai masa lapang, Emma pula sibuk dengan penggambaran begitulah seterusnya. Kami mengambil keputusan untuk berjumpa hampir setiap hari di set penggambaran. Emma akan datang temankan saya dan memberikan komen mengenai teknik lakonan kerana dia seorang pelakon yang hebat. Lebih-lebih lagi, watak menangis. Jika, kami berdua mempunyai masa lapang, kami menonton filem bersama-sama. Hobi itu menjadi pengubat rindu kami adik-beradik.

U: Kebiasaannya kami berdua akan berjumpa di rumah kerana kami tinggal bersama. Banyak masa kami habiskan bersama di rumah. Jika ditanya bagaimana kami mengekal hubungan pula, kami akan sentiasa berfikiran positif dan menyelesaikan masalah bersama kerana pada akhirnya kami berdua tetap adik-beradik yang tidak dapat dipisahkan.

Boleh kongsikan pandangan tentang kehadiran selebriti adik-beradik yang memeriahkan industri hiburan tempatan.

C: Saya amat berbangga kerana tergolong dalam keluarga Maembong. Apabila kami adik-beradik menjadi selebriti, secara tidak langsung kami dapat bekerja dalam satu kerjaya yang sama. Ibaratnya susah senang bersama. Keluarga kami sentiasa memberikan sokongan dan sentiasa mengingatkan saya di mana saya bermula dahulu sehingga menjadikan saya sebagai seorang pelakon kini.

U: Sudah tentu saya gembira kerana ini merupakan peluang keemasan, tidak ramai yang dapat peluang ini. Saya bersyukur kerana ini merupakan rezeki yang Tuhan berikan kepada keluarga Senrose. Malah, kehadiran selebriti adik-beradik tidak langsung mendatangkan satu bebanan atau masalah untuk kami sama-sama membina karier.

Bagaimana jika diberikan tawaran untuk digandingkan bersama dalam drama?

C: Sudah tentu saya akan menerima tawaran tersebut. Terbaharu, saya dan Emma bakal digandingkan buat kali pertama dalam sebuah drama terbitan Zeel Production yang berjudul Yes Boss. Tidak sabar rasanya untuk bekerja dengan kakak sendiri. Pasti banyak petua yang akan diturunkan kepada saya supaya setiap watak yang dibawa boleh memberikan kelainan.

U: Saya dan Nelydia pernah terlibat dalam sebuah drama bersiri bertajuk Setia Hujung Nyawa. Namun saya belum berkesempatan untuk berganding dalam sebuah adegan yang sama memandangkan babak kami berbeza ketika itu. Jika diberi peluang, saya tidak akan melepaskan peluang itu kerana ia akan menjadi satu momen yang paling menyeronokkan. Kami berdua mempunyai persamaan yang sama. Lagi pun Nelydia pun boleh membantu cara lakonan saya.

Awie, Erra dan Ziana ungkit cinta lama

Posted:

Awie, Erra dan Ziana ungkit cinta lama

Awie, Erra dan Ziana ungkit cinta lama

SEMASA sama-sama tersohor dalam Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah, Erra, Awie dan Ziana masih bujang tetapi dalam konsert yang akan merakamkan semua nostalgia filem-filem berkenaan, ketiga-tiga figura itu masing-masing sudah berkeluarga dan beranak-pinak.


SUDAH namanya pelakon, apa yang berkocak dalam hati berdasarlah ia di hati kerana persembahan luaran lebih penting untuk kepuasan khalayak. Tiada sesiapa yang dapat menterjemah secara tepat tentang segala rasa yang terbenam di hujung sanubari antara Erra Fazira dan Awie.

Umum tahu, dua insan popular itu pernah mendaki gunung yang sama, mengecap zaman gemilang berdua, mengutip kisah suka-duka percintaan sehinggalah memasuki fasa pertunangan, namun tragedi mengisi epilog asmara mereka pada penghujung 1998.

Itu momen yang kemas tersimpan di benak umum. Sehingga ke hari ini, kisah lama itu tidak pernah lapuk untuk menjadi bahan usikan dan gurauan, jika Awie dan Erra dilihat bertembung di mana-mana acara atau program hiburan.

Tidak sekadar kisah cinta lama yang sangat berbekas dalam ingatan ramai, peminat dunia hiburan tempatan juga tidak pernah lupa terhadap fenomena percintaan paling dramatik dalam sejarah filem Melayu lakonan Erra dan Awie. Sembilu melakar sejarah kutipan tertinggi filem Melayu dengan RM4.2 juta dan Sembilu 2 (RM6.1 juta) cukup besar impaknya pesona bintang Awie dan Erra. Filem-filem lain, Tragedi Oktober dan Maria Mariana juga tidak kurang hebatnya.

Awie sendiri cukup sedar tentang zaman kemasyhurannya itu. Era 1990-an menjadi titik penting yang membawa namanya untuk terus mekar di hati peminat sehingga ke hari ini.

"Selepas kembali menonton filem Sembilu sekitar dua tahun lalu, saya terfikir alangkah bagusnya jika kegemilangan Sembilu bersama Erra dan Ziana itu bersatu dalam sebuah persembahan. Ziana juga heroin saya dalam filem Merah. Saya mahu kenangan mahal itu dikembalikan semula dan dikongsi dengan peminat ketika ini.

"Bagi saya, era 1990-an merupakan satu tempoh penting dalam karier seni lakonan dan nyanyian yang membawa kepada siapa Awie ketika ini. Ketika itu industri hiburan di Malaysia melonjak dengan fenomena baik. Bermula daripada situlah datangnya idea untuk saya menerbitkan konsert bersama-sama dengan Erra dan Ziana," jelas Awie yang menerbitkan sendiri Konsert Teaterikal Suara Kita melibatkan dirinya sendiri, Erra dan Ziana Ziana untuk dipersembahkan di Istana Budaya pada 3 Mac nanti.

Kenangan mahal itu bagaimanapun mampu membangkitkan skeptikal lama.

"Sebelum idea ini hendak dilestarikan, isteri saya, Rozana Misbun menjadi orang pertama yang saya ajak berbincang. Saya jelaskan semuanya dan minta keizinannya untuk meneruskan hasrat ini. Saya tahu konsert ini melibatkan banyak perasaan dan saya juga perlu menjaga hati keluarga.

"Bila isteri sudah beri lampu hijau, keluarga semua sudah okey, barulah saya tanyakan sendiri kepada Ziana kemudian kepada Erra. Soal dapat kembali bercinta atau tidak, dalam karier seni ini kena ada keterbukaan. Dahulu kami berlakon ketika sama-sama muda, sekarang kami akrab kembali lagi ketika sudah sama-sama matang, mana tahu persembahan nanti akan lebih baik dan lebih real," jelas Awie mengenai konsert yang menggunakan khidmat Edrie Hashim sebagai pengarah muzik itu.

Satu lagi perkara yang turut merunsingkan Awie adalah bagaimana hendak mendapat penajaan korporat bagi membantu melancarkan pembikinan konsert yang disasarkan akan mencecah kos sebanyak RM1.4 juta itu.

"Saya mahu mengangkat martabat muzik dan penyanyi yang terlibat dalam konsert ini ke satu tahap yang lebih tinggi. Saya harap sangat agar ada pihak sanggup bersama-sama kami, harap juga Datuk Yusof Haslam akan beli tiket untuk satu panggung sebagai tanda sokongan," kata Awie sedikit berseloroh.

Erra tempeleng Awie

Seperti Awie yang memikirkan perasaan isteri dan keluarga, Erra juga tidak terkecuali. Kegusaran utama Erra ialah memikirkan reaksi masyarakat umum tidak terkecuali izin daripada suaminya, Engku Emran Zainal Abdin.

KERINDUAN Ziana terhadap kenangan 20 tahun lalu bakal terubat tidak lama lagi.


"Kita tidak terlepas daripada memikirkan perasaan orang. Saya rasa perkara ini tidak akan menjadi satu masalah sebab kami (saya dan Awie) boleh bersifat profesional memandangkan kami pelakon," jelas Erra yang tidak pernah meletakkan sebarang syarat sepanjang penglibatannya dalam konsert berkenaan.

Kata Erra: "Saya percaya kepada Awie dan pihak produksi lain, begitu juga dengan Erma Fatima yang akan menulis skrip dan mengarah segmen teater. Saya yakin tidak akan ada adegan-adegan keterlaluan memandangkan ruang lingkup industri dan budaya kita sendiri pun ada batasan."

Tidak pernah membayangkan untuk kembali bergandingan dengan Awie, Erra juga mengakui selama ini mereka banyak mengambil pendekatan untuk mengelak antara satu sama lain. Setelah sekian lama, pertembungan Erra dan Awie berlaku apabila Erra bersetuju menjadi tetamu sekali gus satu kejutan buat Awie menerusi program Tunggu Sekejap yang dihoskan oleh Awie sendiri.

Ditanya juga tentang adegan paling dramatik yang pernah dilakonkan bersama Awie, Erra tersenyum sambil menggigit bibir.

"Semestinya babak saya menampar Awie. Saya percaya semua pengikut filem Sembilu akan ingat perjalanan cerita dan tahu impak babak tersebut. Sama ada babak itu akan dimasukkan dalam segmen teaterikal nanti, kami ada berbincang tetapi semua itu terpulang kepada kreativiti Erma. Lagi pun, penceritaan dalam segmen teaterikal nanti merupakan satu kisah baharu yang momen-momennya diambil daripada lima filem iaitu Sembilu, Sembilu 2, Maria Mariana, Tragedi Oktober dan Merah," terang Erra sambil menuntut satu janji terhadap Awie.

Tambahnya: "Projek ini semacam situasi menang-menang, hari ini saya terlibat dengan projek Awie, akan datang, dia pula kena bekerjasama untuk projek bawah kendalian saya pula."

Ziana peluk Awie

Gelaran orang paling 'sempoi' sepanjang sidang media perjanjian dan pelancaran Konsert Teaterikal Suara Kita ini menjadi milik Ziana Zain. Biarpun tidak seperti Erra dan Awie yang pernah ada sengketa satu ketika dahulu, Ziana tetap mendapat restu suaminya, Armin Zahari sebelum bersetuju untuk memberi sepenuh komitmen terhadap konsert berkenaan. Memandangkan konsert turut menyelitkan elemen teaterikal, sudah pasti rejim latihan yang bakal diikuti bermula bulan Februari nanti agak intensif.

"Semasa berlakon sama-sama dahulu, kami semua masih solo. Saya solo, Erra dan Awie pula dengan dunia mereka, tetapi sekarang, masing-masing dah jadi mak-mak, sudah beranak-pinak. Izin suami memang wajib, kami dah pakat untuk hantar anak-anak rumah emak, saya kena berlatih nanti," bicara Ziana bersulam canda.

Kembali semula mengintai nostalgia dalam filem-filem yang pernah mempopularkan namanya di layar perak itu, perkara paling manis buat ibu beranak empat ini adalah suasana berkampung semula bersama kawan-kawan. Bezanya kali ini, dahulu mereka berkampung di segenap lokasi penggambaran, tetapi kali ini berkampung pula di Istana Budaya untuk sebulan latihan sebelum persembahan konsert selama tujuh malam.

"Rindu nak berkampung, itu yang manisnya konsert ini. Apabila tengok filem-filem yang diulang tayang di televisyen, teringat zaman muda-muda dahulu. Tapi, anak-anak pula akan sibuk tanya itu dan ini, kenalah menjawab," ungkap Ziana yang hebat beraksi sebagai penggoda dan gadis bermasalah dalam Sembilu dan Maria Mariana.

Sewaktu berlakon di sisi Awie dahulu, minda Ziana masih tersimpan sebuah kenangan.

"Saya bukan seorang pelakon, menyanyi bolehlah. Saya ingat lagi bila disuruh peluk Awie dalam satu babak. Saya boleh peluk tapi tak mahu bersentuhan, saya punyalah tak tahu nak buat apa, susahnya. Tapi rasanya adegan itu tak akan dimasukkan untuk konsert ini nanti," cerita Ziana.

Bercakap pula tentang seleksi lagu-lagu yang bakal dinyanyikan, Ziana menyerahkan kuasa memilih kepada pihak produksi.

"Saya ada banyak lagu, nak nyanyi semua memang tak dapat, tapi rasanya lagu Anggapanmu, Korban Cinta dan Kepastian kena jadi lagu wajib," tutup Ziana, 46.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved