Selasa, 21 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bergurau bukan bercumbu

Posted:

Bergurau bukan bercumbu

Bergurau bukan bercumbu

ZIZAN dan Emma realistik terhadap hubungan baik mereka dan menyerahkan soal jodoh kepada Allah.


IBARAT kata pepatah, tak tumbuh tak melata tak sungguh orang tak kata. Kisah yang bertebaran lewat hujung minggu lalu membabitkan dua bintang sensasi, Emma Maembong dan Zizan Razak yang didakwa bercumbu di dalam kapal terbang benar-benar mencuri perhatian.

Laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar mingguan Ahad lalu menyatakan, dua pelakon popular itu tanpa segan silu bercumbuan di dalam pesawat ketika dalam perjalanan menuju ke Los Angeles, Amerika Syarikat sekitar dua minggu lalu.

Cumbuan yang dimaksudkan merangkumi aksi mesra, intim dan mencium pipi. Lebih memalukan, perilaku itu berlaku di hadapan penumpang lain di dalam penerbangan tersebut.

Kosmo! secara eksklusif kemudiannya mendapatkan respons daripada Emma dan Zizan sendiri berhubung kontroversi tersebut.

Jawab Emma atau nama sebenarnya, Che Fatimah Rohani Ismail, 22, kepulangannya dari Los Angeles disambut dengan khabar yang benar-benar mengaibkan namanya dan keluarga. Terkilan, kecewa dan tertekan, Emma menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

"Bercumbu? Melampau dakwaan itu! Saya menafikan sama sekali tuduhan tidak berasas itu dan cubalah berfikir secara logik mana mungkin kami akan melakukan perkara itu, tambahan pula di hadapan orang ramai dalam pesawat.

"Selagi tiada sebarang ikatan Emma tidak akan sesekali melakukan perkara itu (bercumbu) walaupun ramai yang membuat spekulasi Emma dan Zizan bercinta, janganlah sampai membuat fitnah sebegini.

"Cerita ini secara tidak langsung memburukkan nama Zizan dan mengaibkan keluarga kami. Pasti ramai yang menganggap kami selalu buat perkara bukan-bukan seperti ini.

"Emma sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenai cerita ini, memang benar orang selalu cari salah kita," katanya kepada Kosmo! petang semalam.

Duduk sebaris

Emma menjelaskan sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih 12 jam dari Kuala Lumpur ke Los Angeles, Amerika Syarikat dua minggu lalu, ada masanya dia tertidur dan kepalanya terlentok ke bahu Zizan.

"Malah, kalau bergurau pun tidak pula sampai tahap bercumbu. Memang ada kami bergurau senda sepanjang penerbangan tetapi Zizan pun ada bergurau dengan Kaka (yang mengikuti trip bersama) tapi tidak pula keluar cerita.

"Mungkin kebetulan Emma duduk bersebelahan Zizan dan ada pula spekulasi kami bercinta sebelum ini, maka orang senang menjatuhkan hukuman," jelasnya yang ke Los Angeles untuk projek Jom Upgrade Mamee Chef.

Pelakon drama Projek Memikat Suami itu menerangkan, dia duduk bersebelahan Zizan dan sebaris dengan penyanyi Kaka serta pengurus Wire Frame Entertainment, Marina Juki.

"Emma tidak marahkan penyampai cerita itu sebab semua tahu perkara yang sebenar, malah sampai sekarang Emma tidak pasti siapakah individu yang bertindak menyebarkan cerita itu. Mungkin juga ada peminat yang tersalah anggap.

"Agak sedih sebenarnya apabila cerita itu keluar tanpa bertanyakan dahulu kepada Emma atau Zizan. Kalau betul Emma salah, Emma minta maaf," ujarnya yang menyifatkan Zizan adalah lelaki paling rapat dalam hidupnya.

Impak keluarga

Terbit kisah itu sekali gus mengundang tanda tanya keluarga masing-masing. Terang Emma, dia sudah menjelaskan situasi tersebut kepada keluarganya dan mengharapkan agar tidak timbul sebarang isu berbangkit.

"Keluarga ada bertanya akan hal itu dan Emma sudah jelaskan satu persatu, mereka memahami dan menyokong Emma.

"Begitu juga Zizan, apabila dimaklumkan mengenai perkara itu dia memang terkejut. Tiada apa yang boleh dibuat melainkan menceritakan perkara sebenar," katanya.

UJAR Zizan, dia menghormati jika ada peminatnya atau Emma kurang menyenangi hubungan mereka.


Permainan Zizan

Tenang suaranya menyambut gosip bercumbu dengan Emma yang menjadi santapan umum hujung minggu lalu.

Dalam nada yang emosi dikawal rapi dan waras, Zizan yang sudah terbiasa dengan pelbagai provokasi dan sensasi sepanjang menjadi anak seni mula berbicara.

Satu persatu soalan dijawab rapi dalam balutan isi yang tersirat.

Anak Terengganu ini tidak menafikan kemesraannya di dalam pesawat seperti yang didakwa entah siapa penyampai cerita.

Namun tegasnya, ia jauh sekali mendekati istilah bercumbu seperti yang didakwa.

"Ya, di dalam pesawat kami duduk bersama. Namun harus saya ingatkan bahawa kami bukan duduk berdua, sebaliknya bersama pengurus saya, Marina Juki dan Kaka.

"Di dalam pesawat, dengan banyak orang yang ada di dalamnya, mana mungkin kami bercumbu.

"Jika istilahnya bergurau, ya. Mungkin pada waktu si penyampai cerita mendakwa kami mesra kerana ternampak kami bergurau, itu tidak saya nafikan.

"Kami memang ada bergurau tetapi bukan bercumbu," katanya yang bagaimanapun memaafkan si penyebar cerita kerana jelasnya jika dia mahu memarahi pembawa cerita itu, ia telah pun disiarkan dan diketahui umum.

Zizan yang ditanya bagaimana dia melihat gosip sehingga mampu memberi impak terhadap kehidupan dan kariernya menjelaskan bahawa gosip pada kawalan mindanya tidak ubah seperti sebuah permainan video.

Sebagai seorang pemain, dia perlu mengawal permainan dengan bijak, profesional dan bermain secara serius.

Jelasnya yang mengaku keluarganya memahami perihal gosip: "Jika saya ditimpa gosip, saya kira tidak guna untuk melenting, sebaliknya lebih baik saya bijak mengemudi permainan video yang sedang dimainkan dengan baik.

"Saya fikir bersikap rasional dan profesional itu lebih baik daripada melenting. Sebab itu, sebolehnya saya akan menjawab setiap gosip atau persoalan yang diberikan kepada saya.

"Bagaimanapun, pada hal-hal yang saya kira terlalu peribadi untuk dikongsikan, saya akan simpan untuk diri sendiri."

Dilanjutkan lagi tentang hubungannya dengan Emma. Ada getar suara berlucu di corong telefon, sedikit menyindir dalam bahasa humornya kerana saya tidak lupa soalan sedemikian, Zizan bagaimanapun menjawab cermat persoalan-persoalan yang dilontarkan.

Soalannya, digosip terlalu kerap, jawapan mengenal hati budi menjadi santapan, adakah hanya itu sahaja yang mahu dijawab berulang-ulang oleh Emma dan Zizan.

Tidak adakah satu jawapan yang solid dan mempunyai ketetapan tentang hala tuju hubungan mereka?

Jawab Zizan yang disua tentang jarak usia antaranya dengan Emma sebanyak sembilan tahun dan keperluannya menunggu tempoh matang pelakon lawa itu untuk disunting sebagai suri, katanya, faktor usia bukan penentu.

Sebagai seorang lelaki yang telah mantap dari segi ekonomi dan usia 30 tahun, jujurnya luah Zizan dia memang berniat untuk berkahwin pada tahun ini.

Bagaimanapun sebagai manusia, merencana itu mudah, namun perjalannya ditentukan Allah.

"Ya, sejak berusia 25 tahun, saya memang telah memasang niat untuk berkahwin pada usia 30 tahun. Insya-Allah jika tiada halangan, memang saya ingin menamatkan zaman bujang pada tahun ini," katanya ringkas.

Namun kata Zizan, hal yang barangkali membuat rencana itu sedikit tersekat adalah kerana kesibukannya.

Komitmen bersama filem Cicakman 3 yang masih dalam penggambaran selain kerja-kerja yang perlu dilunaskan sepanjang tahun barangkali menjadi kekangan hasratnya itu.

Ditebak adakah wanita itu hampir pasti Emma, Zizan ketawa dan menjawab: "Doakan kami. Saya hanya perlu doa daripada semua orang buat masa ini."

Apit teman rapat saya - Saida

Posted:

Apit teman rapat saya - Saida

Apit teman rapat saya - Saida

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


SAIDA selesa berkawan dengan duda anak dua yang dipanggil Apit.


SELEPAS sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya pada tahun 2011, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 6, Siti Nursaida Tarudin pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki termasuk yang berpangkat Datuk.

Bagaimanapun, menurut laporan sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu kini sudah berjumpa pengganti baharu.

Memetik laporan sebagai berkata, ibu kepada empat anak itu (Siti Nurunnyssa, 17, Anas, 15, Khalid, 11, dan Siti Nurul Mashitah, 8) sering memuat naik foto bersama seorang jejaka kacak di laman sosial Instagram dan mendapat respons positif daripada peminat.

Kosmo! berkesempatan bertemu dengan Saida, 38, kelmarin, pada majlis sambutan ke-10 Sitizone dan ulang tahun ke-35 Datuk Siti Nurhaliza di K Klub, Taman Melawati, Kuala Lumpur, berusaha untuk mendapatkan komen lanjut. Ikuti penjelasan Saida.

Kosmo!: Benarkah khabarnya Saida kini sudah bertemu pengganti?

SAIDA: Alhamdulillah, masih dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing dan saya ikut resmi 'go with the flow' (ikut arus) saja.

Siapakah lelaki itu sebenarnya?

Saya panggil dia Apit dan sejujurnya memang dia lelaki paling rapat dengan saya sekarang. Dia berasal dari Pulau Pinang, bekerja sendiri dan seorang duda anak dua. Walau usianya empat tahun lebih muda daripada saya, rasanya tiada masalah untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Adakah status dan usia penghalang dalam perhubungan?

Saya sudah ada anak dan matang dalam perhubungan yang lebih baik, tidak mustahil untuk pergi lebih jauh.

Berapa lamakah usia perkenalan kalian dan adakah Saida sudah mempunyai perancangan untuk peringkat lebih lanjut dalam hubungan tersebut selepas ini?

Kami berkenalan dua tahun lalu dan insya-Allah kalau sudah serasi akan ada fasa seterusnya. Dia rakan perniagaan saya dan bertemu pun ketika bekerja. Buat masa sekarang kami cuba dulu mengenali satu sama lain.

Apakah kriteria yang ada pada diri Apit yang membuatkan Saida selesa bersamanya?

Dia seorang lelaki yang memahami dan tidak mendesak. Persefahaman itu penting dalam membentuk keharmonian dalam sesebuah perhubungan, jadi dia faham saya dan saya faham dia, maka tiada sebarang masalah.

Bagaimanakah penerimaan anak-anak Saida terhadap Apit?

Mereka secara perlahan-lahan mengenali Apit dan proses perkenalan sudah pastinya mengambil masa. Apabila betul-betul serius barulah boleh bertanyakan kepada anak-anak. Namun biasalah budak-budak, mereka agak lambat untuk menerima individu baharu dalam hidup mereka. Kalau pasangan kita mampu menambat hati anak-anak lebih cepat, itu lebih baik.

Tahun 2014, mungkin Saida mempunyai impian ke arah membina sebuah keluarga baharu atau perancangan kerjaya yang lebih sempurna?

Tahun ini saya lebih utamakan anak saya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jodoh itu kuasa Allah, saya hanya boleh merancang tetapi tidak tahu kesudahannya bagaimana. Ada rezeki, insya-Allah ada jodohnya.

Bakal ada projek terbaharu membabitkan kerjaya nyanyian Saida?

Ya, saya akan berduet dengan seorang penyanyi wanita yang pernah popular suatu ketika dulu menerusi sebuah lagu ciptaan Adi (Sixth Sense) berjudul Setia.

Buah tangan ini untuk peminat saya yang sudah sekian lama menunggu dan saya sendiri mahu memeriahkan industri hiburan dengan produk baharu. Saya juga sedang mencari lagu rancak atau pop rock sebagai permulaan ke arah muzik yang berbeza.

Mesej Ah Beng buat penonton

Posted:

Mesej Ah Beng buat penonton

Mesej Ah Beng buat penonton

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


FILEM francais Ah Beng yang diberi judul Ah Beng: Mission Impossible mempunyai adegan bogel yang diluluskan seratus peratus oleh pihak Finas.


KUTIPAN pecah panggung bagi filem Melayu sudah menjadi kebiasaan dalam industri hiburan Malaysia. Namun, bagi filem Cina Malaysia yang berjaya mendapat kutipan tinggi adalah suatu perkara yang mampu dianggap sebagai kejayaan besar.

Ini kerana bagi filem Cina, masyarakat negara ini lebih gemar memilih filem-filem aksi dari Hong Kong yang dianggap dapat memberi kepuasan kepada mereka.

Bagaimanapun, apa yang menariknya, filem Ah Beng yang bermula dari tahun 2012 yang diberi judul Ah Beng: 3 Wishes itu layak dianggap sebagai satu kejayaan besar buat industri filem Cina Malaysia.

"Memang saya akui, jika filem Cina, penonton lebih suka pilih filem Hong Kong. Namun, kami cukup berbangga kerana filem Ah Beng mampu melawan kutipan filem-filem Hong Kong dan memperoleh kutipan yang sangat memberangsangkan.

"Ini bermakna kami berjaya menarik minat penonton Cina di Malaysia khususnya untuk memilih filem yang memberikan mereka hiburan menjelang perayaan Tahun Baru Cina," jelas penerbit serta pelakon utama, Jack Lim ketika sidang akhbar di TGV Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor.

Tahun ini merupakan tahun ketiga filem Ah Beng akan berada di pawagam.

Filem yang digarap oleh Silver Yee dan diterbitkan oleh The Film Engine yang diberi judul Ah Beng: Mission Impossible dan bakal ditayangkan bermula 23 Januari ini.

Cabaran

Antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh penggarapnya, Silver Yee termasuklah kekangan masa yang wujud dalam kalangan pelakonnya.

Ini kerana, kesemua pelakon utama yang terlibat bukanlah pelakon sepenuh masa.

"Kebanyakan pelakon merupakan penyampai radio, pembaca berita serta pengacara televisyen. Jadi, untuk mengumpul kesemua artis tersebut memang bukan perkara mudah.

"Bagaimanapun, kami berjaya juga menyiapkan filem ini dalam masa 29 hari dan harap kami melakukan kerja yang baik," tutur penerbit dan pelakon utama filem ini, Jack Lim.

Cerita Silver pula, sebagai pengarah, dia menganggap kesemua babak yang ada sebagai cabaran buat dirinya. Ini kerana, setiap babak yang ada akan dibuat sebaik mungkin termasuk lakonan dan dialog yang diungkap.

"Bagaimanapun, paling mencabar juga buat saya adalah kekangan masa. Ini kerana ada beberapa pelakon yang terlibat dengan program secara langsung di televisyen.

"Jadi, jadual penggambaran sangat ketat dan perlu dihabiskan dalam masa yang ditetapkan. Ada sesetengah babak yang hanya perlu dilakukan selama 30 minit sahaja kerana mereka punya komitmen lain," katanya.

Filem ini menggunakan seramai 40 orang pelakon.

Adegan bogel dan cium

Walaupun wujud adegan bogel dan bercium dalam Ah Beng: Mission Impossible, jelas Jack, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) tidak memotong atau mengarahkan untuk mengeluarkan mana-mana babak dalam filem tersebut.

Bagaimanapun, mereka berpuas hati walaupun ia termasuk dalam kategori yang boleh ditonton oleh umur 13 tahun dan ke atas sahaja.

"Tiada babak yang dipotong atau diminta untuk dikeluarkan oleh Finas. Ia termasuklah babak cium serta adegan bogel kerana ia bukan bertujuan untuk seks tetapi hanya untuk menyajikan komedi buat penonton. Kami juga diberitahu ia tidak terlalu sensitif.

"Kali ini, dalam Ah Beng: Mission Impossible, selain komedi, kami juga ingin sampaikan mesej buat penonton.

"Antara mesejnya adalah wang bukan segalanya dalam hidup. Jika anda punya banyak wang pun tetapi tidak mendapat kebahagiaan, tiada gunanya juga. Mesej yang lain pula adalah tentang kesetiaan dalam percintaan," jelas Jack tentang babak yang mungkin agak sensitif yang diselitkan dalam filem ini.

Selain itu, filem yang turut dilakonkan oleh Jeff Chin ini juga telah menjalani penggambaran di Korea dan menelan kos sebanyak RM3.5 juta.

Silver dan Jack menyasarkan filem ini mampu memperoleh kutipan sebanyak RM8 juta berbanding filem kedua, Ah Beng: One Upon A Time sebanyak RM7.55 juta pada 2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved