Ahad, 19 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Saya juga pelakon serius - Marsha

Posted:

Saya juga pelakon serius - Marsha

Saya juga pelakon serius - Marsha

SUDAH puas Marsha Milan Londoh bersilat melawan sensasi akibat adegan ranjangnya bersama aktor handalan, Wan Hanafi Su dalam filem Laga. Sampai saat filem itu menghampiri tarikh tayangan, Marsha masih belum selesai ditujah persoalan yang sama.

Dari sisi yang lain, wanita yang gila-gila sifatnya itu tidaklah terlalu gila untuk sengaja ingkar kepada budaya orang timur.

"Saya anggap lakonan sebagai Ayu dalam Laga ini satu tugasan berat. Selama ini orang selalu lihat saya dengan watak-watak gedik dan seksi. Jadi, dalam Laga saya buat beranikan diri buat watak sebegitu. Watak saya sebagai wanita muda yang sangat menyintai suaminya walaupun jauh lebih berusia. Memang banyak komen negatif yang saya terima. Saya akui, tapi satu benda yang dapat saya kesan, saya sendiri dapat rasakan kelainan.

"Setidak-tidaknya, saya sudah buka mata ramai orang bahawa saya bukan hanya pelakon untuk karakter gedik-gedik sahaja. Khalayak mula lihat saya sebagai pelakon yang serius," balas Marsha dari sudut pandang berbeza.

Apa jua pandangan negatif yang dilemparkan, Marsha mampu tersenyum. Dia akhirnya berasa lega selepas pratonton filem Laga baru-baru ini.

"Rupa-rupanya adegan asmara yang digembar-gemburkan itu sedikit sahaja. Ternyata kekuatan Laga bukan disebabkan adegan itu sebaliknya penceritaan yang disampaikan. Saya sendiri dapat rasa, kerja yang saya lakukan tidaklah seteruk gosip yang diperkatakan," jawab Marsha.

MARSHA tetap akan meneruskan survival nyanyiannya biarpun berdepan kesukaran.


Sempat juga penulis menanyakan wanita Kadazan-Dusun dari Tamparuli, Sabah itu soal kesanggupan menyerahkan tubuhnya untuk dieksploitasi atas nama karya seni. Dia terdiam seketika sebelum membuka sebuah lagi pengakuan.

"Kalau eksploitasi yang dimaksudkan itu dirujuk kepada adegan berkain batik dan mandi berkemban. Saya akui itu antara realiti yang berlaku kepada segelintir wanita di kampung-kampung. Saya buat ikut kesesuaian skrip. Kalau khalayak anggap itu sebagai eksploitasi, terserah tapi sehabis menonton Laga, ternyata penekanan dan kekuatannya bukan terletak pada adegan berkemban," kata Marsha yang dipuji oleh seorang pelakon hebat, Eman Manan atas impak karakter wanita muda yang menjadi isteri lelaki tua dalam filem berkenaan.

Digilai lelaki

Satu perkara yang menarik. Marsha tidak hanya menjadi isteri kepada aktor besar Wan Hanafi Su. Dalam filem berkenaan, dia juga menjadi kegilaan Nasir Bilal Khan yang sebelum ini menjadi hero kepada heroinnya Sofia Jane dalam filem Perempuan, Isteri dan ... arahan U-Wei Shaari.

"Itu kebetulan sahaja, tapi bagi saya, Sofia Jane salah seorang pelakon yang boleh menjadi rujukan terbaik dalam lakonan. Lakonannya dalam filem itu luar biasa. Saya masih terlalu jauh, jauh sangat dan jangan dibandingkan dengan Sofia Jane," ulas Marsha ketawa saat ditebak jika jodohnya dengan lelaki tua.

"Minta dijauhkan. Janganlah, kasihanlah saya nanti," tambah Marsha yang kini dikhabarkan sedang menjalin hubungan istimewa dengan seorang jejaka Melayu.

Belajar daripada pengalaman, kali ini Marsha tidak mahu kisah cintanya dibuka selebar-lebarnya untuk tatapan umum. Cukup sekadar mengakui hubungan yang berputik itu sedang berterusan seperti biasa, namun kata Marsha, mereka masih berada di fasa awal. Belum ada tanda-tanda bahawa hubungan itu akan berganjak ke fasa yang lebih serius.

"Bila masuk bab kisah cinta, saya jadi takut sikit. Sebelum ini saya pernah bercinta, tapi tidak kesampaian. Jadi, kalau bercerita lagi dan lagi, saya pula yang malu nanti. Untuk kali ini, biarlah orang tahu bahawa kami sedang berkawan seperti biasa. Sampai ke tahap yang bagaimana, belum tahu," katanya tanpa menyebut nama jejaka yang dimaksudkan itu.

PADA usia 29 tahun, Marsha masih belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang walaupun kini dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan seorang jejaka.


Nyanyian sukar

Kembali bercerita tentang karier seninya, tujuh tahun dalam arena hiburan bermula dengan nyanyian, namun kenyataannya Marsha lebih diingati sebagai pelakon.

"Survival saya sebagai penyanyi agak sukar tetapi susah macam mana sekali pun, saya akan teruskan juga kerana nyanyian ialah cinta pertama saya. Orang nampak saya lebih sebagai pelakon kerana rezeki bidang lakonan lebih banyak diterima. Tawaran menjadi pengacara juga tidak kurang banyaknya," kata Marsha yang pernah muncul dengan single Jujur Bilang Cinta pada tahun lalu.

Paling bahagia kata Marsha, pemilihan dirinya sebagai sebagai penyanyi lagu soundtrack sebuah filem animasi terbitan Disney, Frozen yang berjudul Bebaskan merupakan satu penghormatan yang sungguh bermakna. Jika untuk versi bahasa Inggeris lagu itu dinyanyikan oleh Demi Lovato dengan tajuk Let it Go.

"Lagu Bebaskan daripada filem Frozen sebenarnya satu pengiktirafan juga buat saya. Banyak reaksi positif yang saya terima dan saya anggap itu sebagai nyawa baharu saya dalam nyanyian. Sebenarnya, nyanyian untuk muzikal macam teater dan filem sudah lama menjadi minat saya. Saya bermula dari situ tapi setakat ini, belum ada rezeki untuk terlibat dengan pementasan teater muzikal lagi," katanya yang pernah hadir ke uji bakat teater Bahayanya Wanita, P. Ramlee The Musical dan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Marsha menambah: "Selepas ini saya akan muncul dengan sebuah lagi single, kali ini duet bersama vokalis hebat sekitar tahun 1990-an. Biar saya rahsiakan dulu identiti penyanyi itu tetapi lagu yang berjudul Satu Rasa itu sudah selesai dirakamkan," ujar Marsha yang turut dipinjamkan vokalnya untuk featuring dalam lagu Cinta Sesungguhnya, nyanyian Sabhi Saddi.

Percaya nyanyian masih membuka ruang buatnya, Marsha berkira-kira untuk menghasilkan sebuah album kompilasi pada tahun 2014.

"Rezeki sebagai penyanyi masih ada dan tahun 2014 ini, saya merancang untuk membuat album kompilasi daripada single-single yang pernah saya hasilkan. Saya bukan tamak untuk berlakon, mengacara dan menyanyi sekali gus, tapi inilah dunia hiburan di Malaysia, saya kena bergerak banyak cabang untuk survival," tutup Marsha.

Syamsul, Puteri Sarah nikah Februari

Posted:

Syamsul, Puteri Sarah nikah Februari

Syamsul, Puteri Sarah nikah Februari


PUTERI SARAH (kiri) dan Syamsul Yusof kini menanti hari bahagia untuk diijabkabul sebagai suami isteri.


KETIKA filem arahannya, KL Gangster 2 bocor di internet sebulan sebelum ditayangkan tahun lepas, Syamsul Yusof pernah ditebak tentang hubungannya dengan pelakon Puteri Sarah.

Syamsul pernah bertegas, dakwaan dia bercinta dengan Puteri Sarah hanyalah gosip semata-mata malah bermati-matian meyakinkan para peminat bahawa mereka hanya sekadar berkawan. Hubungan Syamsul dengan Puteri Sarah hangat diperkatakan media dan peminat sejak sekitar penghujung tahun 2012 lagi. Ketika itu, Puteri Sarah baru sahaja putus cinta dengan bekas kekasihnya Ammar Alfian Aziz, yang juga seorang pelakon.

Memetik laporan akhbar pada Mei lalu, Syamsul dan Ammar yang ditemukan di Publika, Kuala Lumpur nyaris bertumbuk. Ammar dilaporkan tidak dapat menerima kenyataan bahawa Puteri Sarah ketika itu sudah semakin serius menjalin hubungan dengan Syamsul.

Masuk tahun 2014, dalam diam-diam, hubungan yang awalnya ditegaskan sebagai kawan biasa itu sudah bertukar fasa. Minggu lalu, beberapa keping gambar menunjukkan bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail berpakaian serba indah duduk di atas pelamin bersama Puteri Sarah bertebaran dalam blog-blog hiburan. Gambar-gambar itu dipercayai dirakam semasa majlis merisik Puteri Sarah.

Biarpun sudah terang lagi bersuluh, usaha mendapatkan hitam-putih daripada mulut Syamsul dan Puteri Sarah belum berhasil. Syamsul dan Puteri Sarah masing-masing mengambil pendekatan untuk mengunci mulut. Mujurlah Patimah sudi berkongsi cerita gembira.

SATU daripada beberapa keping gambar Puteri Sarah di sisi ibu bapa Syamsul, Yusof Haslam dan Patimah pada majlis merisik Ahad lalu.


Menurut Patimah, dia serta beberapa ahli keluarga yang lain memang berkunjung ke rumah keluarga Puteri Sarah membawa hasrat Syamsul.

Majlis merisik dilakukan di rumah keluarga Puteri Sarah yang terletak di Sri Damansara, Ahad lalu. Kedua-dua pihak keluarga juga sudah mendapat kata putus bahawa majlis perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah akan diadakan menjelang Februari nanti.

"Kami hanya merisik dan bukannya mengadakan majlis pertunangan. Ini permintaan Syamsul sendiri yang tidak mahu mengadakan majlis pertunangan, dia mahu bernikah terus. Jadi majlis merisik itu hanya diadakan secara ringkas dengan acara menyarungkan cincin sahaja.

"Insya-Allah mereka akan disatukan pada Februari nanti namun kami kami berbincang berhubung tarikh yang sesuai," memetik penjelasan Patimah beberapa hari lalu.

Menurut isteri kepada jutawan filem Melayu itu, Syamsul meluahkan hasrat untuk menikahi Puteri Sarah selepas dia kembali daripada mengerjakan umrah baru-baru ini.

"Kebahagiaan buat Syamsul menjadi kegembiraan kepada kami sekeluarga. Selain Syamsul, anak bongsu saya Syafiq juga akan berkahwin pada Jun nanti. Jadi, majlis menyambut menantu mungkin akan diadakan serentak," jelas Patimah yang menyifatkan bakal menantu itu sebagai wanita lemah lembut dan bersikap terbuka dalam banyak perkara.

Syamsul secara nyata belum bersedia untuk menghebohkan soal pernikahannya kepada umum. Syamsul bersikap 'tertutup' sejak insiden filem KL Gangster 2 yang bocor di internet tahun lalu.

Trauma itu barangkali kembali berdarah apabila majlis merisiknya yang sepatutnya hanya diketahui keluarga terdekat itu turut bocor dan pantas diketahui umum menerusi internet.

Dayang terus melangkah

Posted:

Dayang terus melangkah

Dayang terus melangkah

DAYANG NURFAIZAH tidak menetapkan sebarang tempoh untuk berkahwin namun hasrat ke arah itu harus disimpan kemas kerana sampai ke hari ini dia masih belum mempunyai teman lelaki.


DAYANG NURFAIZAH sudah berada dalam liga tersendiri. Setelah 15 tahun dilambung pancaroba bergelar bintang, dia sudah banyak berkorban namun tidak kurang juga banyaknya pencapaian yang diraih wanita berkulit hitam manis ini.

Terbaharu, pencapaian vokalnya terbukti sekali lagi apabila dipilih sebagai Vokal Wanita Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-20 pada Disember lalu.

Lebih manis lagi kata Dayang, itu merupakan anugerah pertama yang dimenanginya menerusi sebuah album rakaman secara langsung daripada sebuah konsert. Pencapaian itu pastinya tidak datang bergolek. Pasti ada sesuatu yang membawa penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu untuk terus bertahan sehingga kini.

"Saya selalu berfikir soal teknik nyanyian. Jika untuk rakaman lagu dalam studio, saya selalu tidak mahu bermain dengan terlalu banyak skil. Saya mahu simpan ruang untuk bereksperimen ketika persembahan secara langsung.

"Selalu itu pendekatan yang saya buat. Jika berlebih-lebih semasa rakaman dalam studio, risau pula tidak mampu untuk membawa skil yang sama atas pentas nanti," ujar Dayang saat ditanya rahsia persembahan vokal terbaik yang disandangnya.

Kejayaan manis pada hujung 2013 itu menjadi pemangkin untuk Dayang melangkah lebih garang pada tahun ini. Sebagai penggerak kepada kalendar 2014 yang diharapkan membawa lebih sinar kepada perjalanan nyanyiannya, Dayang kini menampilkan sebuah single baharu berjudul Di Pintu Syurga.

Bukan mengaku kalah untuk mempertaruhkan sebuah lagi album studio, kata Dayang: "Saya harus akur dengan strategi dan trend muzik semasa. Pada masa yang sama, saya harus terus mencari lagu-lagu yang terbaik demi survival saya dalam bidang ini."

ALBUM BAHARU

Dayang masih percaya bahawa setiap artis harus memiliki album sebagai bukti pernah berkecimpung dalam industri.

"Saya masih ada harapan untuk terus menerbitkan album. Kepercayaan terhadap album tetap ada cuma tak salah jika saya mencuba untuk menampilkan lagu-lagu dalam bentuk single. Setakat ini saya tak berani cakap bila saya akan muncul dengan sebuah album, tapi harapan tetap ada," katanya yang banyak bermain eksperimen dengan konsep R&B menerusi album terakhir yang diterbitkan sendiri, Sayang & Cahaya tiga tahun lalu.

Tahun lepas, Dayang muncul dengan album Live at Dewan Filharmonik Petronas bersama Anuar Zain. Itu merupakan album rakaman konsert secara langsung oleh Dayang selepas Dayang Live at Planet Hollywood (2008) yang diterbitkan pada tahun 2009.

KAHWIN

Mula menyanyi sejak berusia 18 tahun, jarang sekali Dayang dihimpit kisah cinta. Bakal menginjak angka 33 tahun pada 20 Julai nanti, soal jodoh sudah menjadi satu persoalan yang bergulir dalam hatinya.

"Siapa yang tidak mahu kahwin. Saya memang mahu ada teman hidup, tetapi bagaimana hendak ada teman hidup atau berkahwin kalau teman lelaki pun tiada. Saya jenis tidak masa untuk berkawan-kawan selain memikirkan soal kerja, tapi saya tetap mahu kahwin. Kalau boleh tak mahu sampai umur 40 tahun baru nak kahwin, cuma sekarang tiada sesiapa yang mendesak saya untuk cepat-cepat kahwin. Ibu saya pun jenis yang tidak mendesak," luah Dayang berterus-terang.

Menambah satu cerita tentang jodoh, kata Dayang: "Sekarang saya sudah tidak terkejut jika ditanya tentang kahwin walaupun rasanya saya masih muda, baru 33 tahun (ketawa). Dahulu mungkin saya terkejut jika ditanya perkara ini, bayangkan masa saya berusia 18 tahun pun sudah ada yang tanya pasal kahwin. Waktu itu memang saya terpinga-pinga. Dengar perkataan 'kahwin' pun keliru lagi."

DI PINTU SYURGA & ARIANA ROSE

Lagu Di Pintu Syurga bukanlah projek single yang pertama dihasilkan oleh Dayang. Tahun lepas, Dayang pernah melancarkan sebuah single berjudul Bisikan Rindu. Itu tidak termasuk single-single duetnya bersama Tompi, Marcell pada tahun 2011 dan 2010.

"Tahun lepas saya muncul dengan single Bisikan Rindu dan sekarang single terbaharu saya, Di Pintu Syurga dipilih sebagai pembuka kalendar 2014. Corak lagu masih lagi balada dan bonus juga buat saya apabila lagu berkenaan dipilih sebagai lagu tema drama hit, Ariana Rose. Sebelum ini lagu Bisikan Rindu jadi lagu tema drama Dahlia," ujar Dayang.

Tambah Dayang: "Jadi lagu tema drama boleh beri kesan yang baik kepada lagu, lebih senang ia hendak mesra di telinga peminat. Dari situ, potensi untuk sesebuah lagu itu menjadi permintaan di radio juga cerah, tapi kena drama dan slot siaran juga, ada yang menjadi ada yang tidak."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved