Selasa, 10 Disember 2013

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Persiapan kahwin di hujung jari

Posted:

Persiapan kahwin di hujung jari

Persiapan kahwin di hujung jari

Oleh HAFIZ AHMAD

SETIAP wanita mengidamkan satu majlis perkahwinan yang lancar dan meriah dengan menyarungkan busana anggun sari sang pereka, pelamin dihias indah dengan kuntuman bunga segar dan disempurnakan dengan kehadiran tetamu yang dijamu santapan menyelerakan.

Kesemua persiapan bagi hari bersejarah itu perlu dilakukan secara teliti kerana kelalaian kecil mungkin mampu mencacatkan kelangsungan majlis idaman tersebut.

Bayangkan, beberapa jam sebelum acara bersanding diadakan, pengantin dikejutkan dengan berita perkhidmatan katering terlupa ditempah. Pasti kalut jadinya.

Jika dahulu, segala persediaan tersebut dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga dan bantuan jiran tetangga, namun situasi berbeza pada hari ini ekoran kekangan masa dan lokasi bersesuaian yang terhad, khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Disebabkan itu, agak sukar bagi bakal pengantin melakukan sendiri segala persiapan. Malah, ada antara keperluan pada hari bersejarah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lebih awal seperti tempahan dewan majlis.

"Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan besar untuk majlis persandingan. Saya mengambil masa yang lama untuk mencari lokasi yang sesuai," ujar bakal pengantin, Nuratieqah Muhammad, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.

Dia menambah, segala persiapan perlu dilakukan awal bagi mengelakkan tidak mendapat lokasi atau khidmat katering yang dimahukan.

PERSIAPAN perkahwinan memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan kelancaran majlis.


Maklumat lengkap

Selaras dengan kemajuan teknologi hari ini, kebanyakan bakal pengantin mengambil jalan mudah dengan mencari maklumat di laman web dan sosial memandangkan penggiat industri perkahwinan menggunakan internet sebagai salah satu medium promosi.

"Tidak dinafikan, penggunaan internet memudahkan saya dalam persiapan perkahwinan. Sebagai contoh, dalam laman Facebook terdapat banyak akaun yang diwujudkan oleh jurusolek, syarikat katering, pengusaha butik dan perkara-perkara lain yang berkaitan," ujar Nuratieqah.

Kesedaran terhadap kepentingan teknologi maklumat masa kini telah memberi idea kepada Azmierul Che Mat, 22, untuk mewujudkan satu laman web yang membantu pasangan pengantin membuat persiapan majlis berkahwinan mereka iaitu iKahwin.my.

Laman web itu mengumpulkan semua kategori penting sesuatu majlis perkahwinan secara percuma kepada pengunjung.

"Jika sebelum ini pasangan pengantin perlu mencari satu per satu maklumat perniagaan berkaitan di laman web atau sosial berbeza tetapi menerusi iKahwin.my, kesemua maklumat tersedia dalam satu portal," ujar Azmierul ketika ditemui Infiniti baru- baru ini.

Portal iKahwin.my memberikan maklumat terperinci kepada pengguna, terutamanya dari segi harga pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan.

"Melalui senarai harga-harga yang terdapat dalam portal ini, pengguna dapat melakukan perbandingan sebelum melakukan tempahan. Ini dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan bagi majlis tersebut dengan lebih baik," katanya.


TULANG belakang iKahwin.my, Charmaine (kiri) dan Azmierul.


Demi terus menarik perhatian pengguna, portal tersebut turut menyediakan satu blog khas dalam pautan laman utama yang berkongsi pelbagai maklumat berguna kepada bakal pengantin seperti petua dan nasihat rumah tangga daripada pakar-pakar motivasi.

"Terdapat juga pautan yang memberikan panduan perbelanjaan perkahwinan. Ia turut disertakan kalkulator elektronik bagi memudahkan bakal pengantin mengatur perbelanjaan mereka," jelas Pengarang Urusan iKahwin.my, Charmaine Nash.

Tambahnya, kalkulator elektronik itu direka khas dengan senarai semak keperluan yang wajib dalam sesebuah perkahwinan. Bakal pengantin hanya perlu memasukkan amaun yang ditetapkan dan kalkulator itu akan menjumlahkan semua perbelanjaan terlibat.

Kesahihan maklumat

Bagi pengiklan di iKahwin.my, mereka diberikan platform perniagaan yang lebih meluas. Ia berikutan daripada permintaan pengguna muda yang mencari maklumat menerusi laman web.

"Kebanyakan bakal pengantin adalah dalam lingkungan usia 20-an yang aktif dalam penggunaan internet. Disebabkan itu, penggiat industri perkahwinan perlu mengambil peluang ini, khususnya bagi individu atau syarikat-syarikat baharu," kata Azmierul.

Bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat tepat, pihak pengurusan pemasaran iKahwin.my akan bertemu sendiri para pengiklan.

"Kami akan meminta mereka untuk memberikan maklumat tepat seperti alamat lengkap, nombor telefon dan pautan laman sosial, Facebook atau laman web rasmi," jelasnya.

Selain itu, harga-harga bagi setiap pakej juga perlu disertakan bagi memudahkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan perkahwinan mereka.

"Namun, terdapat pengiklan yang tidak mahu berkongsi harga bagi pakej-pakej tersebut tetapi kami menasihatkan mereka untuk meletakkan anggaran kos sebagai rujukan pengguna," katanya.


PORTAL iKahwin.my mengumpulkan semua kategori penting sesebuah majlis perkahwinan termasuk penyedia perkhidmatan kad jemputan dan hantaran. - Gambar hiasan


Setiap pengiklan juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya lima keping gambar berkualiti. Jika tiada gambar tersebut, pihak penyedia portal akan membantu menyediakan foto-foto menarik kepada mereka.

"Ia menjadi kemestian dalam portal kami memandangkan terdapat pengiklan yang tidak mempunyai foto berkualiti. Ia menyulitkan pengguna untuk mendapat gambaran awal perkhidmatan yang diberikan pengiklan," jelasnya.

Selain mengambil foto, pihak portal juga membantu pengiklan dalam membuat laman sosial atau web mengikut keperluan pakej.

Sejak diwujudkan pada Januari 2013, iKahwin.my mempunyai lebih 500 pengiklan dan bakal meningkat dua kali ganda pada tahun depan berdasarkan peningkatan trafik pengunjung setiap bulan.

"Lima bulan sebelum ini, kami hanya menerima sekitar 100 sehingga 200 kunjungan sahaja. Sekarang, jumlah trafik meningkat kepada 15,000 sebulan," jelas Azmierul.

Rancangan

Setakat ini, kebanyakan pengiklan adalah sekitar Lembah Klang tetapi terdapat juga pengusaha dari Kedah dan Johor.

Perkembangan positif tersebut memberi peluang kepada iKahwin.my untuk mencari pengiklan dari seluruh Malaysia.

"Selain itu, kami bercadang untuk menerbitkan majalah dalam talian yang memberi fokus kepada dunia perkahwinan. Intipati majalah itu dapat dijadikan panduan kepada pengguna tanpa perlu membeli naskhah dalam bentuk salinan keras," katanya dengan penuh optimis.

Dalam masa terdekat, ujarnya, iKahwin.my merancang untuk mengadakan festival perkahwinan di lokasi-lokasi strategik yang bakal disertai oleh pengiklan-pengiklan portal tersebut.

Kesan negatif bencana banjir

Posted:

Kesan negatif bencana banjir

Kesan negatif bencana banjir


PENDUDUK Taman Seri Puah, Terengganu mengambil kesempatan pulang untuk melihat keadaan rumah dan mengambil barangan keperluan setelah paras air beransur surut.


BENCANA banjir yang melanda beberapa buah negeri di negara ini sejak 3 Disember lalu telah menyebabkan beberapa kawasan terjejas dan ribuan mangsa terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Situasi dijangka akan bertambah buruk ekoran ramalan berlakunya banjir gelombang kedua apabila beberapa tempat dijangka mengalami hujan sepanjang minggu ini.

Berita itu pastinya akan mendukacitakan penduduk-penduduk di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor yang terjejas teruk akibat bencana alam itu. Sehingga malam 7 Disember lalu, jumlah mangsa banjir telah meningkat kepada 64,752 orang.

Di Pahang, senario banjir melibatkan daerah Kuantan, Temerloh, Jerantut, Mara, Bera, Rompin dan Lipis, manakala di Johor, kawasan-kawasan terlibat adalah Segamat, Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Ledang.

Di Terengganu, daerah-daerah yang mengalami banjir buruk itu ialah Kemaman, Dungun, Marang dan Hulu Terengganu. Di Kelantan, bencana itu dirasai oleh penduduk di daerah Pasir Mas, Kuala Krai, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang dan Tumpat.


BANDAR Kuantan hampir lumpuh akibat dilanda banjir besar ekoran hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu.


Jabatan Meteorologi baru-baru ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di kawasan Pantai Timur, terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

"Amaran ini bermaksud kawasan-kawasan yang berada di kawasan tanah rendah akan mengalami banjir. Pada masa yang sama, amaran peringkat kuning iaitu nasihat hujan lebat telah dikeluarkan di beberapa daerah di Terengganu dan Johor," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan berkenaan baru-baru ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa hujan sekejap-sekejap dan kadangkala sederhana melanda utara Terengganu dan Kelantan dan menjadikan banjir di kawasan tersebut bertambah buruk.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ialah seramai 39,580 orang dengan Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 34,222 orang yang ditempatkan di 38 daripada 121 buah pusat pemindahan banjir yang terlibat yang dicatat sehingga 7 Disember lalu.

Mangsa banjir di Terengganu telah dicatatkan seramai 22,040 orang dengan 18,676 orang daripada jumlah itu ditempatkan di 43 pusat pemindahan di Kemaman.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir ialah seramai 1,613 orang manakala di Johor seramai 1,221 orang. Di Melaka, kesemua 25 orang mangsa yang berada di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing ekoran banjir yang beransur pulih.

Langkah keselamatan

Kejadian banjir ini turut membawa berita sedih apabila di Kemaman, Terengganu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, Mohamad Ashraf Mohd. Nor ditemui lemas di Kampung Banggol, Ladang Pelatoh, Kijal pada Selasa lalu.

Sementara itu di Kuantan, pasukan penyelamat telah menemui mayat dua beranak, Megat Mohd. Nazli Jamali, 17, dan bapanya, Jamali Jani, 45, dua hari selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Isap, Rabu lalu.

Selain nasihat agar sentiasa menjaga diri ketika banjir oleh pihak-pihak berkenaan, penduduk di kawasan terlibat atau berisiko banjir turut digesa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara kesihatan.


TENGKU Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melayan mangsa banjir dengan mencedok makanan buat mereka di Pusat Permindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Belukar, Kuantan, Pahang.


Penyakit-penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan campak adalah antara ancaman kepada mangsa banjir.

Di samping itu, orang ramai juga perlu bersedia berhadapan dengan masalah penyakit biasa seperti batuk, selesema, demam dan jangkitan penyakit kulit.

Menurut pakar pemakanan dan kesihatan awam, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Wan Abdul Manan Wan Muda, jangkitan penyakit, terutamanya penyakit bawaan air adalah suatu kebiasaan semasa dan selepas musim banjir.

"Ini kerana air banjir mengandungi banyak jenis kuman seperti virus, bakteria dan parasit ekoran percampuran air hujan dengan air kumbahan.

"Sehubungan itu, mangsa-mangsa banjir seharusnya menjaga kebersihan diri demi mengelak sebaran jangkitan penyakit dan menghindar sebarang kecederaan kerana jangkitan mudah berlaku, khususnya di kawasan luka akibat kecederaan," katanya.

Beliau mengingatkan, langkah-langkah pengawalan seharusnya diberi perhatian oleh setiap individu, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan pesakit yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

Tambah Prof. Wan Abdul Manan, orang ramai diminta supaya menjaga kesihatan ketika berada di pusat pemindahan.

"Sentiasa minum dan makan makanan yang telah dimasak dengan sebaik-baiknya. Elakkan memakan makanan mentah dan menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling.

"Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor dan rawatan segera sekiranya mengalami cirit-birit dan muntah-muntah," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Komputer riba paparan terbaik

Posted:

Komputer riba paparan terbaik

Komputer riba paparan terbaik


XPS 11 ini merupakan ultrabook paling nipis dan ringan yang ditawarkan dalam pasaran semasa.


PENGELUAR komputer terkemuka, Dell Inc. (Dell) memperkenalkan tiga model komputer riba dan ultrabook rangkaian XPS yang dikemas kini untuk menawarkan paparan skrin terbaik kepada pengguna.

Model XPS 11 yang seberat 1.1 kilogram dengan ketebalan sehingga 1.5 sentimeter (sm), dilihat sebagai ultrabook kompak dua dalam satu yang paling nipis dan ringan di pasaran. Ia menawarkan rekaan tablet dengan fungsi sebuah komputer riba.

Mudah diubah daripada bentuk tablet ke komputer riba dengan rekaan engsel berputar dan papan cahaya belakang sesentuh yang inovatif, XPS 11 mempunyai paparan Quad HD pada skrin 29.5sm yang menawarkan pengalaman paparan yang jelas.

Ia juga mempunyai ciri-ciri tontonan True Color yang dikuasai byeeColor, membolehkan pengguna menikmati warna paparan imej sebenar yang konsisten dalam hampir sebarang cahaya persekitaran.

Model XPS 15 terus menawarkan resolusi tertinggi dalam kelas komputer riba itu dengan rekaan nipis seberat dua kilogram. Ia merupakan komputer riba 39.6sm yang mempunyai paparan Quad HD+ dan ditawarkan dengan pilihan paparan sesentuh dengan resolusi melebihi 5.7 juta piksel, iaitu lima kali amaun definisi tinggi standard.

Ia direka bagi golongan kreatif dengan pilihan pemproses Intel Core i5 dan i7 generasi keempat dan keanggunan grafik NVIDIA.

Sementara itu, model komputer riba XPS 13 yang didatangkan dengan skrin 33.8sm dan berat di bawah 1.4 kilogram. Operasinya lebih pantas dengan pemproses Intel Core generasi keempat, grafik Intel HD 4400 dan jangka hayat bateri yang lebih lama bagi golongan profesional yang inginkan rekaan anggun dan responsif.

Paparan definisi penuhnya menyediakan pengalaman menonton yang lebih terang dan lebih versatil dengan pilihan sentuhan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Mahasiswa UPNM lawat Kosmo!

Posted:

Mahasiswa UPNM lawat Kosmo!

Mahasiswa UPNM lawat Kosmo!

ZAMRI (kiri) bergambar bersama pelajar UPNM yang melawat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


LAWATAN. Seramai 30 mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lawatan rombongan pelajar daripada Kursus Asas Kewartawanan dan Kelab Kewartawanan UPNM itu bertujuan untuk mempelajari dan meninjau lebih dekat operasi akhbar yang diterbitkan Kumpulan Utusan iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Dalam lawatan kira-kira tiga jam itu, rombongan berkenaan diberi taklimat operasi oleh Penolong Pengarang Berita Kosmo!, Zamri Rambli.

Kem remaja Islam dapat sambutan

Posted:

Kem remaja Islam dapat sambutan

Kem remaja Islam dapat sambutan


SEBAHAGIAN daripada pelajar yang menyertai Kem Remaja Like Islam 2013 di Semenyih, Selangor baru-baru ini.


KEM. Seramai 157 pelajar menyertai Kem Remaja Like Islam 2013 anjuran Surau An-Nur, Taman Pelangi, Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Pelajar yang menyertai kem itu berusia antara 10 hingga 17 tahun yang tinggal di sekitar Semenyih, Kajang dan Rinching.

Penyelaras program, Johari Musa berkata, kem itu merupakan satu usaha untuk memenuhi pembangunan sumber manusia dari segi aspek perubahan sahsiah dan pemurnian jiwa untuk golongan remaja.

"Kem tersebut merupakan acara tahunan sejak lima tahun lalu," katanya.

Beliau memberitahu, antara penceramah yang dijemput menjayakan kem itu ialah pendakwah terkenal, Syeikh Abdul Karim Omar dan Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki.

Econsave hulur bantuan kepada pesakit kencing manis

Posted:

Econsave hulur bantuan kepada pesakit kencing manis

Econsave hulur bantuan kepada pesakit kencing manis


ZAMZURI (kanan) menyampaikan bantuan barangan makanan kepada Mohan yang menghidap penyakit kencing manis di Kampung Keoh Seng, Kuala Ketil, Baling, Kedah baru-baru ini.


SIMPATI. Econsave Cash @ Carry Sdn. Bhd. (Econsave) Bandar Puteri Jaya, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani menghulurkan pelbagai barang makanan bernilai RM1,000 kepada seorang pesakit kencing manis, K. Mohan, 48, di Kampung Keoh Seng, Kuala Ketil, Baling baru-baru ini.

Penyerahan barang makanan itu disampaikan oleh Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor dan turut hadir Pengurus Econsave Bandar Puteri Jaya, Ahmad Izuddin Othman melalui Program Dana Prihatin Econsave.

Mohan menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan kaki kiri dari paras lutut telah dipotong tiga bulan lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Denda tinggi jika hilang MyKad

Posted:

Denda tinggi jika hilang MyKad

Denda tinggi jika hilang MyKad

BAGI mengatasi gejala kehilangan kad pengenalan, kerajaan bercadang mengenakan caj yang lebih tinggi untuk permohonan ganti MyKad - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengemukakan cadangan kepada Peguam Negara untuk meningkatkan kadar hukuman terhadap individu yang didapati bersalah menghilangkan MyKad mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan itu adalah untuk individu yang tidak mempunyai bukti atau penjelasan khusus mengenai kehilangan MyKad.

"Kita (telah mencadangkan supaya) meningkatkan caj kehilangan MyKad terhadap mereka yang tidak mempunyai bukti dan penjelasan khusus, melainkan kehilangan berlaku berpunca daripada insiden yang tidak boleh dielakkan seperti kebakaran," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar di Dewan Negara di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Foto percuma buat pasport

Posted:

Foto percuma buat pasport

Foto percuma buat pasport

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my


AHMAD ZAHID menunjukkan contoh pasport yang siap dicetak dengan diperhatikan Alias (dua dari kiri) semasa lawatan ke pameran sempena Hari Imigresen 2013 di Dewan Serbaguna Jabatan Imigresen di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Berkuat kuasa pada 1 Mac tahun depan semua pemohon pasport antarabangsa tidak perlu membawa gambar ke Jabatan Imigresen sebaliknya khidmat tersebut disediakan secara percuma oleh jabatan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan khidmat mengambil gambar di Jabatan Imigresen kepada orang ramai bagi meringankan beban menanggung kos untuk mengambil gambar.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Langit dihujani hujan meteor Geminids

Posted:

Langit dihujani hujan meteor Geminids

Langit dihujani hujan meteor Geminids


CONTOH hujan meteor yang boleh disaksikan oleh rakyat Malaysia pada 3 hingga 17 Disember.


KUALA LUMPUR - Langit Malaysia akan diterangi juraian hujan meteor Geminids mulai 3 hingga 17 Disember ini, menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa) semalam.

Dianggarkan, kira-kira 120 juraian meteor sejam dapat dilihat pada masa kemuncaknya yang bermula dari awal pagi 13 hingga 14 Disember ini.

"Pada tahun ini, kenampakannya tidak begitu baik kerana waktu kemunculannya sama dengan fasa bulan hampir purnama (91 peratus penuh)," demikian menurut kenyataan Angkasa.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Hanya emas yang dicari'

Posted:

'Hanya emas yang dicari'

'Hanya emas yang dicari'

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

JAE-hyung (kiri) menunjukkan teknik panahan yang betul kepada anak didiknya pada sesi latihan mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERDASARKAN pencapaian pingat, tidak sukar untuk dinafikan bahawa 'cuaca suram' mewarnai kem memanah negara sepanjang musim ini.

Selepas Sukan Olimpik London 2012, sasaran pemanah negara seakan semakin jauh tersasar tidak kira dalam acara individu mahu pun berpasukan.

Biarpun begitu, ketua jurulatih, Lee Jae-hyung berkeyakinan tinggi, panahan skuad negara akan kembali tepat pada Sukan SEA di Myanmar yang membuka tirai secara rasmi pada 11 hingga 22 Disember ini.

Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, catatan buruk pada Kejohanan Memanah Dunia di Ankara, Turki dan Kejohanan Asia di Taiwan sudah lama dilupakan malah ia akan menjadi medan pencetus semangat ketika beraksi di Myanmar nanti.

Meletakkan pakar recurve dan juga Olimpian negara, Khairul Anuar Mohamad sebagai sandaran utama meraih emas dalam acara individu, Jae-hyung yakin pasukan memanah negara mampu mempertahankan dua emas yang diperolehi di Palembang, Indonesia dua tahun lalu.

"Kita sudah lama tutup buku mengenai kekalahan di Taiwan walaupun skuad kita adalah juara bertahan. Di Myanmar, cerita baharu serta lapangan baharu.

"Saya tahu kemampuan anak-anak didik saya dan yakin mereka akan membawa pulang sekurang-kurangnya dua emas dalam acara recurve.

"Sejak Sukan SEA di Korat 2007, kita tidak pernah gagal dengan dua emas dan ia akan berterusan," jelas Jae-hyung

Mengakui Thailand adalah cabaran paling besar dalam acara recurve lelaki, Jae-hyung tidak mahu memandang rendah dengan kemampuan dengan pasukan lain.

"Setiap pasukan seperti Indonesia, Myanmar atau Singapura ada elemen kejutan tersendiri dan kita faham, pada akhirnya, nasib akan menjadi penentu.

"Pemanah kita, tidak kira lelaki atau wanita, telah bekerja keras dengan menjalani latihan intensif. Bukan itu saja, sesi fisioterapi dan psikologi yang disertai mereka, banyak membantu latihan mereka.

"Cuma sebelum berlepas ke Myanmar pada 10 Disember nanti, mereka perlu belajar untuk kekalkan tahap konsentrasi kerana hanya itu masalah yang akan menjadi penghalang kepada buruan emas di Myanmar nanti," ulas Jae-hyung.

Sementara itu, pemanah wanita tidak ketinggalan untuk memastikan acara memanah mencipta sejarah sebagai lubuk emas pada temasya kali ini.

Pertama kali bakal berentap di Sukan SEA, Farah Amalina Azhar menganggap penyertaannya di Myanmar akan memberi peluang untuknya membuktikan kemampuan di arena antarabangsa.

"Ia langkah pertama saya sejak menyertai skuad elit sejak awal tahun ini. Walaupun sebelum ini saya ada menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, memanah di Sukan SEA tidak sama.

"Ia acara yang disertai pemanah terbaik dari setiap negara malah ada yang pernah menyertai Olimpik. Jadi, teknik memanah, tahap psikologi dan stamina, sangat berbeza," kata pemanah dari Kedah itu.

Meskipun acara wanita tidak diletakkan sebarang sasaran pingat, Farah Amalina nekad merealisasikan sasaran Jae-hyung untuk melangkah ke pusingan akhir.

"Kami hanya perlu melepasi saingan Indonesia kerana mereka adalah pencabar terdekat kami dalam acara recurve wanita.

"Untuk menyaingi prestasi mereka, saya perlu bekerja keras dan memastikan ia kekal konsisten. Hanya dua perkara tersebut yang akan membantu saya dan rakan lain melangkah ke saingan akhir," katanya.

Bukan sahaja berdepan saingan sengit dari Indonesia, kekangan waktu menjalani latihan turut menjadi cabaran terbesar buat pemanah wanita negara.

"Kecuali saya, pemanah wanita lain bergelut dengan peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan akhir semester.

"Untuk berlatih secara berpasukan, ia agak sukar untuk dilakukan sehinggalah 5 Disember lalu di mana komitmen terhadap pelajaran ketika itu telah berakhir.

"Bagaimanapun, saya sangat kagum dengan rakan sepasukan tersebut. Walaupun bergelut dengan SPM atau peperiksaan akhir semester, mereka tetap datang berlatih jika ada kesempatan," jelas Farah Amalina.

Jae-hyung sendiri mengakui berbanding pasukan lelaki, skuad memanah wanita sedang bergelut dengan masa yang singkat dalam menjalani latihan serta persediaan yang lain.

"Walaupun tahu kemampuan mereka, saya memilih untuk lebih realistik dan kerana itu, saya hanya mensasarkan pusingan akhir.

"Kami lihat peluang untuk Sunantra Suchat mencipta kejutan dalam acara individu sangat besar. Ini berdasarkan pencapaiannya pada sesi ujian pra Sukan SEA pada Februari lalu di mana dia tewas kepada pemanah Indonesia pada peringkat akhir," jelas Jae-hyung.

Sepak takraw mahu tebus maruah

Posted:

Sepak takraw mahu tebus maruah

Sepak takraw mahu tebus maruah


SKUAD sepak takraw negara bertandang ke bumi Myanmar dengan misi untuk menebus maruah yang sudah tercalar.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad sepak takraw negara ada misi penting yang perlu dilaksanakan pada Sukan SEA 2013.

Selain memburu sebutir pingat emas, skuad negara perlu menebus maruah Malaysia yang tercalar di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

Kejayaan itu juga akan menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan prestasi skuad negara secara terbuka sejak akhir-akhir ini.

Penolong Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, para pemain sudah membuat persiapan untuk menghadapi temasya kali ini.

Bagaimanapun, perkara yang lebih penting adalah mengembalikan semula keyakinan rakyat Malaysia terhadap sukan tradisi orang-orang Melayu itu.

Suatu ketika dahulu, Malaysia merupakan sebuah kuasa besar dalam sukan sepak takraw di dunia.

Namun, kekuatan skuad negara 'luntur' sedikit demi sedikit di pentas Asia Tenggara, Asia dan tidak mustahil suatu hari nanti akan 'lenyap' di peringkat dunia.

Sehingga kini, Thailand masih lagi dianggap sebagai musuh tradisi selain Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Laos.

Kebangkitan beberapa negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China mampu memberikan cabaran yang cukup sengit kepada skuad negara pada masa hadapan.

Begitupun, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mempunyai perancangan tersendiri untuk meletakkan kembali Malaysia dalam peta dunia biarpun menerima tekanan yang begitu kuat sejak akhir-akhir ini.

"Rata-rata pemain yang dibawa ke Myanmar kali ini merupakan muka-muka baharu kurang pengalaman. Kami sudah membuat persiapan untuk menghadapi temasya ini.

"Saya yakin, mereka sudah tidak sabar untuk bermain selepas menyertai beberapa kejohanan sebelum ini," kata Tengku Adnan yang juga merupakan pengurus skuad wanita negara.

Pada edisi kali ini, skuad wanita negara akan memulakan saingan menentang Thailand dalam acara berpasukan di Stadium Tertutup Wunna Theikdi hari ini.

Skuad lelaki pula akan memulakan kempen menentang tuan rumah, Myanmar esok.

Pada edisi kali ini, skuad lelaki akan menyertai tiga acara iaitu berpasukan, regu dan double berpasukan, manakala skuad wanita beraksi dalam acara berpasukan, regu dan double regu.

Harimau Muda baham Brunei 2-0

Posted:

Harimau Muda baham Brunei 2-0

Harimau Muda baham Brunei 2-0


ASHRI (kanan) menjaringkan gol kedua Harimau Muda pada aksi menentang Brunei semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Masih mencari rentak. Demikian situasi yang berlaku dengan skuad bola sepak Harimau Muda ketika menewaskan Brunei 2-0 pada aksi sulung Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Selain ketumpulan jentera serangan, kurang persefahaman antara pemain juga menghalang skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu menyamai pencapaian Vietnam yang membelasah Brunei 7-0 pada aksi sulung, Ahad lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya itu.

"Sukar untuk bermain pada perlawanan pertama berbanding Brunei yang beraksi buat kali kedua. Pasukan lawan bertahan dengan baik dan sesekali melakukan serangan balas yang pantas untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad negara.

"Perasaan terlalu yakin untuk menjaringkan gol turut menjejaskan rentak permainan skuad negara. Kami berjaya mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakan semua peluang itu.

"Benteng pertahanan kami tidak begitu lemah tetapi serangan balas pantas yang dilakukan jentera serangan lawan menyebabkan mereka hilang fokus seketika," kata Kim Swee selepas perlawanan semalam.

Pada aksi tersebut, skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-30 untuk mendapatkan gol pembukaan menerusi jaringan Md. Rozaimi Abd. Rahman.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat para pemain Brunei untuk memburu gol penyamaan dan peluang terbaik mereka hadir menerusi Mohd. Azwan Ali Rahman pada minit ke-39 dan 44.

Namun, kecemerlangan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan berjaya menyelamatkan pintu gol Harimau Muda daripada dibolosi.

Pada aksi babak kedua, Brunei menampilkan aksi yang lebih pantas dan beberapa kali berjaya menembusi benteng pertahanan skuad negara sebelum dikejutkan dengan gol kedua hasil jaringan cantik Ashri Chuchu yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti.

Kim Swee berkata, beliau masih mencari formasi terbaik dan yakin skuad negara akan menampilkan persembahan yang lebih bertenaga pada perlawanan kedua menentang Laos, Jumaat ini.

Sementara itu, jurulatih Brunei, Kwon Oh Soon tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tumpas kepada Harimau Muda semalam.

Oh Soon berkata, meskipun anak- anak buahnya mempersiakan-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol, mereka melakukan tugas dengan baik sepanjang perlawanan itu.

"Rata-rata pemain kami masih muda. Lima orang daripada mereka baru berusia 17 tahun. Kami tidak kecewa dengan kekalahan ini kerana ia banyak memberikan pengajaran kepada mereka.

"Pasukan ini baru dibentuk dan kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berlatih bagi menghadapi temasya ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai persembahan Harimau Muda, Oh Soon berkata, Malaysia merupakan sebuah pasukan yang hebat dan mampu mempertahankan pingat emas.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Penghubung baharu Pulau Pinang

Posted:

Penghubung baharu Pulau Pinang

Penghubung baharu Pulau Pinang

Oleh ZAKI SALLEH

UJIAN lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang ini turut diserikan dengan pertunjukan bunga api.


DARI pesisir pantai Queensbay, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kini siap sepenuhnya kelihatan telah bersedia untuk dibuka kepada orang ramai. Struktur mega yang bakal menjadi ikonik terbaharu Pulau Mutiara ini hanya menanti kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya yang dijangka diperoleh hujung bulan ini.

Jambatan sepanjang 24 kilometer (km) itu menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau. Pembinaannya adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang biarpun telah dinaik taraf menjadi tiga lorong.

Sebelum ini, Pulau Pinang telah dihubungkan dengan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang yang pembinaannya dimulakan pada 1982 dan siap tiga tahun kemudian dengan kos sebanyak RM850 juta.

Jambatan sepanjang 13.5 km itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 1985 menghubungkan Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Jelutong di Gelugor dengan tanah besar di Seberang Jaya.

Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd. dan UEM Builders Bhd. yang dilaksanakan sejak tahun 2008. Ini merupakan projek kerajaan pertama yang mendapat pinjaman kewangan daripada kerajaan China.

Pinjaman berjumlah AS$300 juta (RM1 bilion) itu diberikan oleh sebuah bank republik bagi membiayai 20 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan jambatan tersebut yang menelan belanja RM4.5 bilion.

Walaupun jumlahnya tidak banyak berbanding kos keseluruhan, tetapi signifikan yang lebih besar ialah termeterainya kerjasama antara kedua-dua negara bagi projek berskala besar.

Selain menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, ia juga adalah jambatan terpanjang di dunia yang mengaplikasikan penggunaan Gegelung Getah Redaman Tinggi (HRDB).

Konsep binaan ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter dengan pusat pada kira-kira 300 km. Binaan menaranya pula dilindungi besi, berbanding Jambatan Pulau Pinang sedia ada yang dilindungi pulau buatan.


JAMBATAN kedua ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter.


Amat kuat

Difahamkan, kabel jambatan ini amat kuat yang digunakan bagi menampung berat dek jambatan. Jambatan Kedua Pulau Pinang turut menyediakan lorong khas untuk motosikal selain atas faktor keselamatan.

Pada 30 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pertama negara menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.

Beliau tiba di rentang tuju (bahagian tengah) utara jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu kira-kira pukul 3.15 petang dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri kemudiannya diberi penerangan ringkas berhubung kerja-kerja akhir pembinaan jambatan tersebut sebelum beramah mesra bersama kakitangan JKSB sambil menikmati minum petang.

Najib bersama rombongan kemudian menaiki kenderaan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Kepala Batas.

Ketika ditemui pemberita, Najib memberitahu Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah hadiah kerajaan Persekutuan kepada rakyat negeri itu.

"Kita harap bila projek ini siap, ia dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan kita juga harap pemimpin di negeri ini bertindak lebih proaktif untuk menarik lebih ramai pelabur," ujar beliau.

Dalam pada itu, gemerlapan limpahan cahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kali disaksikan ribuan warga negeri ini semasa ujian lampu hiasan yang dilakukan JKSB pada malam menjelang kemerdekaan 30 Ogos lalu.

Semasa ujian ini, lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang dipasang selama enam jam bermula pukul 9 malam sehingga pukul 2 pagi, dan diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahannya, Jambatan Kedua Pulau Pinang telah tercalit episod duka.

Tanjak penyambung jalan sepanjang kira-kira 50 meter di susur keluar jambatan ini di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Batu Maung runtuh.

Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 7.15 malam pada 6 Jun lalu menghempap sebuah kereta mengorbankan seorang lelaki, Tajuddin Zainal Abidin, 45, manakala tiga termasuk dua buruh asing pula cedera akibat terkena serpihan runtuhan.


JAMBATAN Lake Pontchartrain, Amerika Syarikat ini merupakan jambatan terpanjangdi dunia iaitu sepanjang 38.4 km.


Runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada tanjak atau ramp di bawah kerja-kerja pembinaan dalam pakej 3A yang giat dijalankan.

Selamat

Jambatan ini disahkan selamat setelah melepasi ujian beban berat selama tiga hari melibatkan 17 buah treler dengan jumlah berat keseluruhan ialah kira-kira 595 tan ditempatkan di sepanjang 240 meter jarak utama itu.

Ujian itu dilakukan oleh CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., anak syarikat China Harbour Engineering Co. (CHEC) dan kontraktor dilantik untuk Pakej 1 projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua.

Pengarah Urusan JKSB, Datuk Dr. Ismail Mohamed Taib berkata, siri-siri ujian beban itu adalah yang pertama dikendalikan di Malaysia dan Asia Tenggara sebelum ia boleh diperakui untuk perkhidmatan dan dibuka kepada orang ramai.

"Ujian beban itu dijalankan di jambatan kabel 475 meter bagi menentukan kapasiti beban jambatan siap bersamaan dengan yang telah diramalkan oleh teori dan seterusnya menentu ukur model pengiraan," kata beliau.

Ismail berkata, ujian itu amat penting bagi memastikan jarak utama itu dibina mengikut spesifikasi reka bentuk dan menentu ukur struktur sebenar berbanding yang diramalkan oleh teori.

Puisi terapi Alzheimer

Posted:

Puisi terapi Alzheimer

Puisi terapi Alzheimer


SUKARELAWAN daripada program amal Kissing it Better menganjurkan program membaca puisi untuk warga emas yang menghidap Alzheimer.


SUARA seorang remaja memecah kesunyian beberapa warga emas yang beruban dan kelihatan mengantuk. "Anda boleh menyimpan maklumat mengenai diri anda apabila semua tentang anda sedang dilupakan dan salahkan diri sendiri," katanya sambil membaca bait-bait puisi. "Anda akan menjadi manusia biasa semula, anak-anakku," kata salah seorang pesara tersebut.

Alzheimer telah mencuri hampir seluruh kenangan Margaret, tetapi dia masih ingat puisi terkenal Rudyard Kipling yang dipelajarinya beberapa tahun lalu, saat yang amat berharga tentang kejelasan yang tersembunyi di sebalik kabus penyakit kejam ini.

Rumah persaraan di tengah England adalah salah satu daripada institusi dan hospital di seluruh negara menggunakan puisi untuk terapi gejala demensia. Demensia merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan seseorang hilang ingatan, komunikasi dan kemahiran asas.

Kembalikan kenangan

Walaupun ia tidak menyediakan rawatan, irama dan rentak daripada ayat-ayat terkenal boleh bertindak sebagai pencetus yang mengembalikan kenangan dan pertuturan, kata Jill Fraser, yang menganjurkan sesi amal bertema, Kissing it Better untuk warga emas membaca puisi.

"Jika pesakit mendengar satu perkataan dan mereka boleh mengingati puisi itu, ia mencerahkan hari mereka," tambah Elaine Gibbs. Dia mengendalikan rumah persaraan Hylands House di Stratford.

Miriam Cowley, kelihatan elegan dalam pakaian bercorak bunga, rambut ubannya diikat sanggul, mendengar dengan penuh perhatian puisi yang dibacakan seorang remaja bertajuk, Daffodils oleh William Wordsworth.

"Saya tahu puisi itu tetapi saya telah melupakannya. Saya belajar ketika masih kanak-kanak di sekolah, suatu masa yang dahulu," kata guru yang telah bersara dan mengalami hilang ingatan jangka pendek itu.

"Ia membawa kembali kenangan yang baik. Saya dapat melayan beberapa kenangan yang baik menerusi Daffodils."


COWLEY kelihatan elegan dengan pakaian bercorak bunga, rambut ubannya diikat sanggul sambil mendengar puisi.


Rumah penjagaan itu mungkin menjadi tempat yang suram kerana lazimnya penduduk yang menghidap penyakit Alzheimer, diucapkan selamat tinggal yang panjang kerana penyakit itu secara perlahan-lahan mencuri segala-galanya tentang diri seseorang.

Lemparan pinggan oleh seorang wanita tanpa henti ke arah meja di hujung sebuah bilik, seolah-olah menyedarkan semua orang di sekeliling. Salah satu daripada pembaca sukarelawan remaja berkata, menghabiskan masa di rumah itu menyediakan dirinya terhadap cabaran sebenar.

"Anda datang ke sini melihat semua orang duduk melayan diri sendiri," kata Hannah Ciotkowski, 15. Kemudian apabila seseorang mula membaca puisi dengan kuat, secara tiba-tiba anda boleh melihat keghairahan dalam diri mereka, lalu mereka tersenyum."

"Lebih menarik apabila mereka turut serta bersama anda," tambah Anita Wright, 81, seorang bekas pelakon Syarikat Royal Shakespeare yang turut membaca puisi di Hylands.

Beliau mengimbas bagaimana seseorang pesakit dengan masalah demensia yang teruk menangis sejurus mendengar sebuah puisi tentang seorang lelaki mengucapkan selamat tinggal kepada kekasihnya. Dia mula menceritakan kisah tunangnya yang telah meninggal dunia.

"Dia tidak pernah berkata apa-apa sejak tinggal di rumah ini dan puisi itu tiba-tiba membuka mindanya," kata Wright.

Tidak menyembuhkan

Ketua Vokal di Syarikat Royal Shakespeare, Lyn Darnley, berkata, puisi sebagai sangat berkuasa.

"Irama ini mampu menusuk ke dalam diri lalu menyentuh kenangan yang bukan sahaja membabitkan emosi tetapi deria bahasa," katanya.

Walau bagaimanapun, para pakar memberi amaran bahawa puisi tidak akan menghentikan serangan demensia yang dilapor menyerang kira-kira 800,000 orang di Britain.

"Puisi tidak menyembuhkan demensia," kata Dave Bell, seorang jururawat pakar yang bekerja dengan Dementia UK iaitu sebuah badan amal yang beroperasi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka yang terjejas akibat penyakit ini.

"Namun, ia tetap memberi suatu pencapaian dan harga diri kerana mereka boleh mengingati sesuatu," kata beliau sambil menambah bahawa ia juga membantu mereka berhubung dengan orang lain.

Hannah yang berusia 15 tahun cukup yakin. "Saya berharap apabila tua nanti, orang akan datang melawat saya, membacakan puisi dan menyanyi kepada saya," katanya. - AFP

Kreativiti Mural SMK Sultanah Bahiyah

Posted:

Kreativiti Mural SMK Sultanah Bahiyah

Kreativiti Mural SMK Sultanah Bahiyah


PARA pelajar dan guru SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar mengabdikan kenangan selepas muncul juara Pertandingan Mural Sekolah Clean & Clear baru-baru ini.


LUKISAN mural pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah berjaya merangkul hadiah utama dalam Pertandingan Mural Sekolah Clean & Clear baru-baru ini sekali gus memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Pertandingan tersebut diinspirasikan daripada Clean & Clear Fruit Essentials, iaitu rangkaian pembersih muka baharu untuk membersih, menyegarkan dan mencerahkan kulit yang dicipta khas untuk gadis remaja.

Dengan kombinasi buah-buahan yang berwarna-warni dan penggunaan bentuk geometri yang baik, kumpulan lapan orang pelajar tingkatan empat itu berjaya menghidupkan tema pertandingan iaitu Segar-Yakin-Pasti OK dalam mural mereka.

Inspirasi

Lynn Yeo, Pengarah Pemasaran Bersekutu Johnson & Johnson Malaysia, iaitu syarikat pemasar produk Clean & Clear di negara ini menjelaskan, seni mural dipilih kerana ia berkait rapat dengan ekspresi kumpulan remaja.

"Ia membolehkan mereka mengolah hasil seni secara bebas di tempat awam sekali gus membolehkan orang ramai melihat hasil kreativiti mereka.

"Ia selaras dengan semangat di sebalik rangkaian produk Fruit Essentials iaitu membersih, menyegarkan dan menyerlahkan masa remaja agar mereka boleh mencapai potensi diri sepenuhnya setiap hari," katanya.


PERMAINAN Candy Crush Saga memberi inspirasi kepada pasukan SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar menghasilkan mural ini.


Sebanyak 12 penyertaan diterima untuk pertandingan tersebut dengan setiap satu diadili berdasarkan daya kreativiti dalam menterjemahkan tema, teknik, pematuhan syarat kemasukan, kerja berpasukan dan bilangan 'like' yang dikumpulkan di laman sosial Facebook.

Salah seorang ahli pasukan pemenang, Fathin Maisarah berkata, permainan Candy Crush Saga memberikan inspirasi besar dalam penghasilan mural yang membawakan kemenangan kepada pasukannya.

"Kami merupakan peminat Candy Crush Saga. Warnanya yang menarik serta ikonnya yang unik memberi pengaruh besar dalam lukisan kami.

"Bagi kami, ia mencerminkan kesegaran dan keceriaan rangkaian Clean & Clear Fruit Essentials," katanya.

Rangkaian Clean & Clear Fruit Essentials terdiri daripada tiga varian iaitu Energizing Berry, Purifying Apple dan Brightening Lemon.

Ketiga-tiga produk tersebut boleh didapati di premis-premis perniagaan utama seluruh negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Pilihan raya Thailand 2 Februari

Posted:

Pilihan raya Thailand 2 Februari

Pilihan raya Thailand 2 Februari

SUTHEP (kiri) melambaikan tangan ke arah para penyokongnya dekat Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra semalam mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat kira-kira sejam sebelum penunjuk perasaan antikerajaan berarak ke Rumah Kerajaan.

"Biar rakyat tentukan siapa yang patut mentadbir negara ini," katanya dalam pengumuman menerusi televisyen pagi ini yang memeranjatkan banyak pihak.

Beliau menggesa semua parti politik supaya mengambil bahagian dalam pilihan raya yang akan diadakan kelak.

Bagaimanapun, keputusan itu mungkin tidak begitu memuaskan hati pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Taughsuban, yang tidak mahu Yingluck mengetuai kerajaan sementara.

Beliau sebaliknya mahu sebuah majlis rakyat untuk mentadbir negara buat sementara.

Kerajaan Yingluck memerintah pada tahun 2011 selepas memenangi pilihan raya.

Namun, beliau dianggap sebagai boneka abangnya, yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan selepas digulingkan tentera pada tahun 2006.

Thaksin yang didapati bersalah dalam satu kes rasuah, akan dihukum penjara dua tahun jika beliau kembali ke Thailand.

Beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan telah pun berkumpul di sembilan lokasi di ibu negara pagi semalam, memburukkan lagi keadaan lalu lintas di beberapa kawasan.

Dalam satu ceramahnya dekat Rumah Kerajaan di sini, Suthep mendedahkan rancangannya untuk menubuhkan sebuah kerajaan sementara.

Beliau memberitahu para penyokongnya supaya bersedia mendirikan khemah di lokasi ceramahnya itu.

"Kita akan memilih perdana menteri rakyat dan menubuhkan kerajaan rakyat dan perhimpunan rakyat untuk menggantikan Parlimen," kata Suthep.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Suthep kerana mencetuskan tunjuk perasaan antikerajaan di bandar raya ini. Tunjuk perasaan itu bermula sejak hujung bulan lalu.

Ekoran tunjuk perasaan melibatkan lebih 100,000 orang itu, sebahagian besar penduduk di ibu negara memilih untuk menaiki bot sebagai kaedah pengangkutan ke tempat kerja atau untuk menyertai tunjuk perasaan itu.

Dalam pada itu, seorang jurucakap kerajaan Thailand menyatakan, pilihan raya umum negara berkenaan akan diadakan pada 2 Februari depan.

Jurucakap tersebut, Teerat Ratanasevi memberitahu agensi AP bahawa keputusan mengenainya dibuat dalam satu mesyuarat Kabinet semalam.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Yingluck membubarkan Dewan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya lebih awal dalam usaha mententeramkan keadaan susulan krisis politik dalaman yang kian meruncing.

Langkah itu dibuat ketika lebih 100,000 penunjuk perasaan yang berikrar akan menumbangkan kerajaan pimpinan Yingluck, berarak di jalan-jalan raya.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada langkah Yingluck itu dapat memuaskan hati penunjuk perasaan yang bukan sahaja mahu menggulingkannya tetapi turut merancang untuk menghapuskan pengaruh keluarganya dalam senario politik negara.

Bagaimanapun, parti pimpinan Yingluck, Pheu Thai mendapat sokongan ramai pengundi di kawasan pedalaman serta golongan pekerja. - Agensi

27 pekerja Asia Selatan ditangkap

Posted:

27 pekerja Asia Selatan ditangkap

27 pekerja Asia Selatan ditangkap


GAMBAR menunjukkan sebuah kereta polis terbakar dalam rusuhan itu.


SINGAPURA - Seramai 27 pekerja dari Asia Selatan ditangkap kerana merusuh selepas republik ini digemparkan dengan insiden keganasan terburuk sepanjang 40 tahun.

Kekacauan itu yang berpunca daripada satu kemalangan maut, turut menyebabkan 18 orang cedera manakala beberapa kenderaan polis dibakar.

Dalam satu kenyataan, pihak polis memberitahu, huru-hara itu bermula di daerah Little India apabila seorang lelaki India berusia 33 tahun maut dilanggar sebuah bas persendirian.

Polis berkata, kira-kira 400 orang di lokasi kejadian mula merusuh dengan menyerang bas berkenaan dan beberapa kenderaan polis yang tiba untuk mententeramkan keadaan.

Menurut pihak berkuasa, antara yang cedera termasuk 10 anggota polis, empat petugas pertahanan awam selain pemandu dan konduktor bas tetapi keadaan mereka dilaporkan tidak serius.

"Semua 27 pekerja dari negara Asia Selatan itu yang ditangkap boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan disebat jika didapati bersalah," kata polis.

Mengulas kekacauan tersebut, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata: "Kami akan berusaha sepenuhnya untuk mengenal pasti pesalah-pesalah itu dan mengheret mereka ke muka pengadilan."

Sebanyak lima buah kenderaan termasuk tiga kereta polis dan sebuah ambulans pertahanan awam terbakar manakala gambar dan klip video yang dimuat naik di laman sosial pula menunjukkan dua buah kereta polis diterbalikkan oleh kumpulan perusuh.

Beberapa kenderaan persendirian turut rosak dalam rusuhan itu.

Situasi kembali terkawal selepas pasukan elit Unit Tindakan Khas dan pasukan Gurkha yang bekerja untuk pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Kekacauan yang jarang berlaku itu tercetus di lokasi yang menjadi tumpuan beribu-ribu pekerja asing pada cuti hujung minggu dengan kebanyakan mereka berasal dari benua kecil India.

"Saya mahu menyatakan bahawa insiden malam skelmarin tidak boleh diterima. Merusuh, memusnahkan harta benda bukan amalan di sini," kata Ketua Polis Singapura, Ng Joo Hee pada satu sidang akhbar awal pagi semalam.

Sementara itu, badan penyiaran tempatan Media- Corp melaporkan, insiden tersebut adalah rusuhan pertama di pulau ini sejak kekacauan kaum pada 1969.

Pulau ini banyak bergantung kepada pekerja asing dengan buruh dari Asia Selatan mendominasi beberapa sektor industri seperti pembinaan.

Ramai antara mereka mengunjungi daerah Little India pada hujung minggu lalu untuk membeli-belah dan menjamu selera.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan di internet terhadap pekerja asing di pulau ini tetapi pihak berkuasa meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Menurut undang-undang di sini, sesiapa yang didapati membawa objek yang boleh mengancam nyawa sebagai senjata dalam rusuhan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan disebat. - AFP

Warga China jual kasut besi

Posted:

Warga China jual kasut besi

Warga China jual kasut besi


DUA lelaki mengangkat kasut besi milik Fuxing.


TANGSHAN, China - Seorang warga China, Zhang Fuxing mencipta dan menjual kasut besi yang mempunyai berat lebih 200 kilogram (kg).

Menurutnya, dia turut berjalan dengan menggunakan kasut besi itu selama tujuh tahun.

Fuxing berkata, dia berasa bangga apabila kasut besi yang dikeluarkan di sebuah kilang miliknya di sini berjaya mencecah berat sebanyak 400kg.

Lelaki itu berkata, dia boleh berjalan sejauh 15 meter dengan menggunakan kasut tersebut pada setiap hari.

Fuxing, 52, berkata, dia berjaya menggerakkan kasut tersebut dengan menggunakan tenaga dalaman.

"Ia (menggerakkan kasut itu) bukannya dengan menggunakan otot-otot yang kuat," katanya.

Lelaki tersebut menjelaskan, dia boleh berjalan dengan menggunakan kasut tersebut kerana kejayaannya mengawal tenaga dalaman yang terdapat di dalam badannya.

Menurutnya, seni mempertahankan diri Qigong yang dipelajarinya membantu dia berjalan dengan menggunakan kasut besi itu.

Sepasang kasut besi yang seberat 10kg dijual pada harga 550 yuan (RM290.41).

Kasut besi yang seberat 60kg pula dijual pada harga 1,450 yuan (RM766).

Fuxing mendakwa, dia telah menjual sejumlah kasut itu termasuk 10 pasang kepada jiran-jirannya.

Dia mula tertarik untuk menggunakan kasut itu selepas melihatnya seseorang memakainya di televisyen.

"Mereka (para pemakai) menyatakan, ia baik untuk jantung dan tulang," kata Fuxing.

Ketika itu, lelaki tersebut menghidap sakit belakang sehingga dia tidak boleh membengkokkan badannya untuk mencuci muka.

Namun, katanya, penyakitnya itu hilang selepas beberapa bulan dia memakai kasut tersebut.

Salah seorang jirannya, Chen Guanghua berkata, dia turut memakai kasut yang dijual lelaki tersebut.

Menurut Guanghua yang berusia 60 tahun, kasut tersebut baik untuk kesihatan kakinya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tiga pemohon suaka mati lemas dalam tragedi bot karam di Indonesia

Posted:

Tiga pemohon suaka mati lemas dalam tragedi bot karam di Indonesia

Tiga pemohon suaka mati lemas dalam tragedi bot karam di Indonesia

10/12/2013 11:19pm

JAKARTA - Tiga orang pemohon suaka termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia apabila bot dinaiki mereka karam di kawasan laut bergelora di luar Pulau Jawa, manakala sejumlah 29 yang lain berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen, kata polis di sini hari ini.

"Bot yang membawa 32 orang penumpang itu terdiri daripada etnik minoriti Rohingya Islam dari Myanmar, warga Iran dan Bangladesh yang berniat untuk memasuki perairan Pulau Krismas, Australia.

"Tetapi, bot kayu kecil itu karam di luar wilayah Jawa Barat semalam selepas dipukul ombak besar. Nelayan menemui bot itu di luar pantai Ciawi yang terletak di daerah Garut," kata jurucakap polis wilayah, Martinus Sitompul..

Sementara itu, Menteri Imigresen Australia, Scott Morrison berkata, tiada bantuan dimohon dari pihak Australia dalam tragedi itu, sama ada daripada penumpang bot itu mahupun pihak berkuasa Indonesia yang terlibat dalam operasi menyelamat itu sendiri.

"Kesan bot karam itu ternyata menjelaskan kepada kita tentang bahaya aktiviti penyeludupan manusia," katanya. - AFP

Justin Bieber bawa keceriaan kepada mangsa taufan di Filipina

Posted:

Justin Bieber bawa keceriaan kepada mangsa taufan di Filipina

Justin Bieber bawa keceriaan kepada mangsa taufan di Filipina

10/12/2013 11:14pm

MANILA - Bintang pop terkenal, Justin Bieber menyanyikan lagu, mengambil gambar dan meluangkan masa bermain bola keranjang bersama segelintir remaja yang terselamat daripada taufan di Filipina semalam, sejurus selepas penerbangannya tiba di negara itu dalam usaha bagi meningkatkan usaha bantuan bencana antarabangsa.

"Kedatangan Bieber ke bandar Tacloban di sini adalah tidak diduga sama sekali selepas sebulan taufan Haiyan melanda Filipina. Dia turut menyanyikan lagu Krismas dan lagu Holy Night untuk kanak-kanak di City Central Elementary School, salah sebuah sekolah yang terjejas akibat taufan itu," kata Kate Donovan, seorang jurucakap wanita mewakili Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), salah satu daripada tiga agensi bantuan terlibat yang dijangka bakal mendapat manfaat daripada kerja-kerja amal Bieber itu.

"UNICEF berasa gembira dengan kehadiran Justin Bieber ke sini bagi melawat Tacloban, dan sudi singgah di sekolah yang telah mengalami banyak kerosakan struktur ini," ujar penyelaras kecemasan UNICEF, Angela Kearney.

Tambahnya lagi, Bieber telah membawa banyak kegembiraan, harapan dan keceriaan kepada beratus-ratus kanak-kanak yang berada di situ.

"Wang yang diperoleh akan disalurkan kepada mangsa kanak-kanak bagi memberi mereka akses pendidikan, vaksinasi, sumber air bersih dan sanitasi," katanya.

Terdahulu, sebelum melawat Filipina, Bieber telah mencatatkan mesej di laman web pengumpulan dana, Prizeo.com bagi menggesa peminatnya tampil menderma kepada mangsa taufan itu. - AFP

57 diburu terlibat jenayah kekerasan, gengsterisme - KPN

Posted:

57 diburu terlibat jenayah kekerasan, gengsterisme - KPN

57 diburu terlibat jenayah kekerasan, gengsterisme - KPN

10/12/2013 10:22pm

KUALA LUMPUR - Polis kini memburu 57 individu untuk diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 selepas dipercayai terbabit dengan jenayah kekerasan, termasuk gengsterisme.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, di bawah akta sama, ketika ini 41 orang ditahan dan 30 daripadanya dikenakan perintah sekatan.

"11 orang masih dalam tahanan... 57 orang lagi kita akan tangkap bila-bila masa kerana dipercayai terbabit dengan jenayah seperti yang termaktub dalam akta tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Balai League Table 2013 di sini hari ini.

Mengulas pindaan PCA, beliau berharap akta itu dapat diwarta menjelang akhir tahun ini sebelum dikuat kuasa.

"Ada perkara yang masih belum disiapkan dalam akta itu sebelum ia dapat diwartakan seperti prosedur operasi standard dan penggunaan 'peranti pemantauan elektronik'... selepas semua perkara dapat dimuktamad baru ia akan diwarta dan berkuat kuasa," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved