Isnin, 9 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Setanding dengan lukisan tangan

Posted:

Setanding dengan lukisan tangan

Setanding dengan lukisan tangan

RUANG pejabat Reacomp Marketing yang terletak di aras 14, Wisma Mirama, Jalan Wisma Putra pada pagi itu sedikit hening. Kelihatan beberapa orang kakitangannya sibuk melakukan tugas di meja masing-masing.

Mohd. Nawiyah Kassim, 50, tidak terkecuali. Sejak dari tadi dia tekun menyiapkan lukisan bertemakan sejarah bangsa Melayu itu.

Lakaran lukisan yang menggambarkan kedatangan Islam di Melaka satu ketika dahulu itu sudah disiapkan terlebih dulu, kini tinggal proses mewarnakannya sahaja.

Menariknya, tanpa sebarang kertas, pen, pensel, berus atau tiub-tiub warna yang lazim digunakan seseorang pelukis, lelaki yang mesra dengan panggilan Nawi itu selesa menggunakan papan kekunci komputer dan tablet grafik khas untuk mencipta karya-karyanya.

"Inilah keunikan teknologi lukisan digital. Seseorang pelukis tidak lagi perlu bimbang melakukan kesilapan apatah lagi terbeban dengan kos tinggi untuk membeli pelbagai peralatan lukisan.

"Hanya berbekalkan bakat, kreativiti dan penguasaan menggunakan perisian tertentu, mereka mampu menghasilkan karya seni bernilai tinggi setanding dengan lukisan biasa," katanya yang berasal dari Kuala Sungai Baru, Melaka.

Meminati seni lukisan sejak dari sekolah rendah, Nawi berkata, dia mula didedahkan dengan konsep lukisan digital selepas melawat satu pameran yang diadakan di ibu negara, 13 tahun lalu.

Katanya, ketika itu dia sangat kagum dan teruja melihat seorang pelukis dari luar negara melukis panorama bandar raya Kuala Lumpur menggunakan komputer.

"Saya tidak pernah bayangkan komputer juga mampu hasilkan sebuah lukisan yang indah dan sempurna. Hati saya membuak-membuak untuk mempelajarinya namun disebabkan kekangan teknologi dan kewangan ketika itu menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendamkan seketika," ujar pelukis kulit buku novelis terkenal tanah air, Khadijah Hashim.


MOHD. NAWIAH (tengah) menunjukkan saiz lukisan yang berbeza-beza yang dilukis secara digital.


Teknologi baharu

Bagaimanapun, peluang itu hadir beberapa tahun kemudian selepas dia menyertai sebuah agensi periklanan di Kuala Lumpur.

Di syarikat itu dia mula terdedah dalam bidang grafik dan animasi termasuk penggunaan gajet dan perisian komputer berteknologi tinggi.

Pada 2011, Nawi mula menyertai Reacomp Marketing. Ia merupakan syarikat tempatan yang menawarkan pelbagai koleksi lukisan, rekaan buku dan kaligrafi bermutu tinggi di negara ini. Di bawah jenama Kancil Art Gallery (KAG), sebuah galeri dalam talian, Nawi mula mengasah bakatnya dalam teknologi lukisan digital.

Tambah anak kelima daripada 10 beradik itu, pada peringkat awal dia agak kekok melukis di komputer menggunakan gajet seperti tablet dan pen digital di samping perlu menguasai perisian Adobe Photoshop.

"Bayangkan selama lebih tiga dekad terlibat dalam bidang ini, saya sudah terbiasa dengan kertas, pensel, pen serta bermain dengan warna-warna daripada cat air, cat minyak dan sebagainya.

"Tidak hairanlah, tempoh masa sebulan dua juga diperlukan untuk mahir dan membiasakan diri. Lagi pun, pelbagai tip yang diperoleh di internet banyak membantu saya berlatih sekali gus menghasilkan hasil seni bernilai tinggi seperti pelukis-pelukis profesional," ujarnya yang gemar menghasilkan lukisan potret, sejarah dan panorama.

Pengurus KAG, Mohd. Yunus Yusof, 50, memberitahu, galeri itu ditubuhkan pada tahun 2011 dengan matlamat mengetengahkan bakat-bakat pelukis tempatan di samping mempelopori teknologi lukisan digital sebagai salah satu cabang seni yang semakin diminati pada hari ini.

Katanya, biarpun teknologi ini masih baharu di negara ini, namun mempunyai pasaran luas dan mampu dijadikan hasil seni yang menarik dan ekslusif seperti lukisan minyak.

"Lukisan minyak sememangnya cantik dan sesuai dijadikan hiasan rumah atau pejabat, namun kosnya yang mahal sehingga mencecah puluhan ribu menyebabkan tidak ramai yang mampu memilikinya.

"Bagaimanapun, dengan teknologi ini, sesiapa sahaja mampu memilikinya dengan kos serendah RM1,000 sehingga RM10,000 sebuah. Apa yang penting ia boleh diulang cetak dalam jumlah yang besar sekali gus memenuhi permintaan semua peringkat masyarakat," ujarnya.

Mohd. Yunus yang juga seorang berpengalaman luas dalam bidang seni lukisan memberitahu, biarpun menggabungkan kombinasi antara manusia dan komputer, namun penghasilan lukisan digital tetap mememerlukan ketelitian mendalam di samping pelukis yang berbakat.


MEOR KAMARUDIN (kanan) bersama Mohd. Nawiah (tengah) berbincang mengenai lukisan digital di Wisma Mirama, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


Karya agung

Jelasnya, pihaknya tidak berkrompomi dengan soal kualiti sesebuah lukisan digital yang dihasilkan sehingga adakalanya ia sukar dibezakan berbanding lukisan minyak biasa.

"Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan pelanggan kami terdiri daripada orang istana, ahli politik dan sebagainya kagum dengan kehalusan dan keunikan hasil seni yang ditonjolkan dalam setiap karya.

"Setakat ini kami mempunyai beberapa siri lukisan digital seperti siri karya agung, raja dan sultan, sejarah Melayu, artis, korporat, politik dan sebagainya," katanya.

Pada satu pameran yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, mereka mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada peminat-peminat seni tempatan.

Tambah beliau, ketika ini KAG mempunyai beberapa pelukis yang berpengalaman luas dalam bidang grafik, ilustrasi dan seni lukis.

"Selain lukisan digital, kami juga menawarkan lukisan minyak dan kolaj di samping menyediakan reka bentuk buku seperti buku teks, jurnal, buku manual, laporan tahunan syarikat, sepanduk, kalendar di samping kaligrafi jawi, Arab serta lukisan mural," jelasnya.

Sementara itu, seorang kakitangan KAG, Meor Kamaruddin Meor Ismail, 51, mengakui penggunaan komputer sedikit sebanyak menjimatkan masa dan kos.

"Peralatan untuk melukis seperti berus, pen serta warna-warna cat air atau cat minyak bukan murah, adakalanya mencecah ratusan ringgit.

"Pada masa yang sama, tempoh untuk menyiapkan juga semakin singkat kerana pelukis boleh berkarya di mana-mana sahaja asalkan mempunyai komputer dan tablet grafik bagi tujuan itu," katanya yang berasal dari Parit, Perak.

Berpengalaman luas dalam bidang ilustrasi dan karikatur kanak-kanak serta penghasilan buku teks, Meor Kamaruddin memberitahu, sebelum ini dia sering berhadapan dengan masalah sekiranya ada antara karyanya ditolak oleh pihak penerbitan.

"Lazimnya, ia melibatkan perubahan-perubahan kecil sahaja, namun disebabkan ia dilakukan secara manual, saya perlu menghasilkan dan menghantar karya yang sama berulang kali sehingga memuaskan hati penerbit.


LUKISAN digital yang dihasilkan boleh dicetak berulang-ulang.


"Bagaimanapun, melalui teknologi digital, saya hanya perlu mengubah suainya di komputer. Apa yang lebih penting ialah saya tidak perlu risau sekiranya ia dicuri, hilang atau rosak kerana karya asal masih tersimpan di dalam memori komputer," jelasnya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, biarpun didedahkan teknologi lukisan digital pada usia yang agak lewat namun dia tetap berpuas hati kerana karya yang dihasilkan bernilai tinggi dan sukar dibezakan berbanding lukisan biasa.

"Biarpun dihasilkan menggunakan komputer, ia bukan karya picisan kerana pelukis-pelukis di galeri ini sememangnya berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

"Lagi pun, melalui teknologi ini kami boleh berkarya dengan lebih kreatif di samping meneroka segala teknik baharu yang ditawarkan dalam perisian berkenaan," katanya.

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak

Posted:

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak

Dilema ibu bekerjaya selepas memiliki anak


SESETENGAH ibu sanggup meninggalkan pekerjaan untuk memberi perhatian kepada anak mereka. - Gambar hiasan


SETIAP wanita bekerja yang bakal melahirkan anak, sering berhadapan dilema untuk menempatkan si manja apabila kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang. Di Malaysia, terdapat beberapa pilihan untuk kaum Hawa yang bekerjaya tetapi ia bukanlah semudah yang disangka.

Antaranya, mereka mungkin memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan keluarga. Namun bukan semua wanita berkeluarga mampu meninggalkan pekerjaan mereka bagi menampung keperluan keluarga.

Pilihan lain bagi kebanyakan wanita bekerjaya ialah meminta bantuan keluarga untuk menjaga anak semasa bekerja, mendapatkan pembantu rumah kepada yang mampu atau menghantar anak kepada pengasuh ataupun pusat penjagaan kanak-kanak.

Walau apa jua pilihan yang diambil, sudah tentu ada kebaikan atau kelemahannya. Ramai ibu yang khuatir untuk meninggalkan anak di bawah jagaan mereka yang bukan ahli keluarga kerana terlalu banyak kemalangan atau kes penderaan ke atas kanak-kanak dilaporkan media sejak kebelakangan ini.

Ani Fadhilah Arrif, 23, memilih untuk berhenti kerja setelah melahirkan anak sulungnya. Menurut Ani, beliau lebih selesa menjadi suri rumah sepenuh masa dan menetap di rumah mertua bagi menjamin keselamatan dan keselesaan anaknya.

"Zafri ialah anak sulung saya dan suami, Syafiq Othman, 29. Kami memang tiada pengalaman menjaga bayi. Kami sepakat menetap di rumah mertua supaya mereka boleh bantu saya menjaga anak semasa Syafiq keluar bekerja," katanya.

Lepas pantang

Ani berpendapat, tindakannya itu adalah satu keputusan yang tepat, selain dapat menimba pengalaman menjaga anak. Dia juga pernah mengalami alahan yang teruk ketika mengandung.

"Sejak lepas pantang sehingga sekarang, saya ada mencari kerja, tapi terpaksa lepaskan semuanya kerana masa kerja tidak sesuai," katanya.

Tambah Ani, kini beliau tidak menghadapi masalah menjaga anak.

Bagi seorang ibu muda, Roslina Anuar, 29, beliau dan suami pada mulanya bercadang untuk menghantar anak mereka ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak. Ketika itu dia mula diselubungi perasaan takut dan bersalah walaupun belum melahirkan anak.

"Sejak mendapat tahu saya mengandung, kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke pusat asuhan atas faktor usia ibu bapa dan mereka tinggal jauh dari rumah kami," katanya yang bekerja dan tinggal di Ampang, Selangor.

KAJIAN membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi mereka. - Gambar hiasan


Namun sebaik anak sulung dilahirkan, Roslina dan suaminya, Jumadi Boyot, 29, mengubah fikiran dan meminta bantuan ibu Roslina yang tinggal di Kuantan, Pahang untuk mengasuh anak sulung mereka.

"Sedih tu memang sedih, tapi kami terpaksa, demi mencari rezeki. Perasaan rindu kala berjauhan hanya Allah yang tahu hingga kadangkala saya menitiskan air mata kerana terlalu rindu. Hanya gambar dan video keletah anak sebagai penawar," kata Roslina dengan nada sebak.

Bagi mengurangkan beban ibunya, setelah anak sulung mereka Husna berusia tiga tahun, Roslina menghantar anak keduanya, Hanis untuk dijaga ibunya dan mengambil Husna untuk dihantar ke rumah pengasuh di Ampang.

"Pada mulanya kami ingin menghantar Hanis dan Husna ke taska, namun Hanis menghidap kudis buta," katanya.

Keadaan itu memaksa Roslina sekali lagi meminta ibunya mengasuh Hanis manakala anak sulungnya Husna dibawa ke Kuala Lumpur.

Lain pula cerita Mashitah Mamat, 30, yang kini mengandung tujuh bulan anak sulung. Menurut Mashitah, beliau belum mengambil sebarang keputusan namun telah bersedia daripada segi mental.

"Saya tak pasti kerana pengasuh yang paling dekat dengan rumah saya sudah menjaga dua bayi lain, saya rasa terlalu ramai untuk seorang pengasuh menjaga lebih daripada dua bayi pada satu-satu masa," katanya.

Mashitah yang agak risau dengan keputusan yang bakal diambil itu berkata, beliau bersedia untuk berhenti kerja jika tidak sanggup berjauhan dengan anaknya. "Saya bercadang untuk meminta bantuan ibu di kampung menjaga anak. Rumah emak jaraknya satu jam perjalanan dari rumah saya. Jika saya terlalu sedih dan tidak dapat tumpu pada kerja kerana risaukan anak, saya mungkin akan berhenti kerja sementara menunggu anak membesar untuk masuk tadika," kata Mashitah sambil mengusap perutnya yang kian membesar.

Taska berdaftar

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Noraini Mohd. Hashim ketika dihubungi memberitahu, ibu bapa diingatkan supaya sentiasa memantau pengasuh dan taska yang mereka pilih.

"Pertama, ibu bapa bekerja yang ada anak tetapi tiada pengasuh, hantarlah ke taska yang berdaftar di bawah JKM. Senarai taska yang berdaftar boleh didapati di laman web JKM," katanya.

Taska menawarkan alternatif dalam penjagaan anak. Apabila taska itu berdaftar, bermakna JKM telah semak seluruh aspek termasuk kemahiran pengasuh, keselamatan premis, kebersihan premis dan kebersihan dapur dan tandas.

"Kami juga menyarankan ibu bapa supaya kerap memeriksa keadaan fizikal, emosi dan tingkah laku anak yang dihantar kepada pengasuh dan taska," katanya.

Menurut Noraini, ibu bapa seharusnya peka tentang apa jua perubahan anak masing-masing dan tidak bersikap lepas tangan setelah anak dihantar kepada pengasuh atau pusat asuhan.

Apa jua pilihan yang dibuat oleh ibu bapa, pilihan itu sepatutnya mengutamakan kebajikan anak.

"Ibu bapa yang bertanggungjawab harus peka dan tahu setiap perubahan anak mereka dan tidak bergantung kepada pengasuh atau pusat asuhan semata-mata," ujarnya.

Banyak kajian membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan menanam nilai-nilai murni dalam diri mereka. - Bernama

Payung mewah buatan Paris

Posted:

Payung mewah buatan Paris

Payung mewah buatan Paris


KOLEKSI payung Heurtault dijual pada harga serendah RM2,150 bagi lelaki dan RM1,100 untuk wanita.


SERING rosak dan hilang, payung biasanya tidak dilihat sebagai barangan mewah. Bagaimanapun anggapan tersebut tidak semestinya benar. Lebih-lebih lagi bagi seorang warga Perancis, Michel Heurtault, apabila payung rekaannya dijual pada harga ribuan euro.

Artisan berusia 48 tahun itu hanya menggunakan material terbaik untuk payung dan parasol yang direka tahan lama dan diwarisi dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Meskipun mahal, premis Heurtault di Paris manarik pelanggan dari serata dunia. Seorang puteri dari Qatar memilih pemegang payung yang dibalut dengan shagreen iaitu sejenis kulit pada kos lebih daripada 8,000 euro (RM35,000).

Permainan

"Saya memiliki minat yang mendalam tentang payung.

"Ia merupakan mainan kegemaran saya sejak kecil. Saya terpesona dengannya, ibu saya beranggapan ia sangat aneh," katanya mengimbas zaman kanak-kanaknya tatkala dia menceraikan dua kaki payung untuk menggabungkannya semula menjadi satu.

Heurtault memulakan perniagaannya sejak tahun 2008, namun sebahagian daripada peralatan yang digunakannya berusia lebih 100 tahun. Lokasi premisnya juga istimewa, ia terletak di salah satu daripada lingkungan abad ke-19 iaitu di bawah jejambat landasan kereta api lama di bahagian timur Paris yang banyak menempatkan kedai-kedai milik artis berkemahiran.

"Kesemua payung itu dihasilkan di China," katanya sambil memerhatikan pejalan kaki melintasi premisnya pada suatu hari yang lembap pada musim luruh.

"Di sini, semuanya dibuat menggunakan tangan, ia unik," jelas Heurtault yang turut membaiki dan mencipta payung untuk industri perfileman.

Rakan perniagaan Heurtault, Jean-Yves Thibert berkata, warga Australia dan Jepun menggilai parasol manakala payung memiliki pengikut tersendiri di Amerika Syarikat dan Eropah, terutamanya Austria dan Jerman.


SETIAP rekaan payung Heurtault menggunakan bahan berkualiti tinggi dan mampu bertahan untuk beberapa generasi.


Bagi wanita, item termurah di premis Heurtault dijual pada harga 250 euro (RM1,100). Payung itu diperbuat daripada sutera dengan pemegang bersalut kulit. Bagi lelaki pula, payung dijual pada harga serendah 490 euro (RM2,150) yang diperbuat daripada twil sutera dan pemegangnya daripada kayu mapel.

"Anda tidak akan menjumpai kemasan yang sama di tempat lain," kata Thibert.

Heurtault kecewa dengan apa yang dilihatnya hari ini sebagai budaya pakai buang.

"Benda menjadi semakin murah, ia tidak tahan lama, mudah rosak dan dibuang. Payung kami dihasilkan untuk tahan selama beberapa generasi.

"Pada tahun 1950-an, orang tidak kehilangan payung, mereka menjaganya dengan baik. Hari ini seorang gadis membeli payung pada harga 10 euro (RM43). Sudah tentu payung itu tidak tahan lama," katanya.

Pilih material

Heurtault melakukan perkara yang berbeza. Pelanggan boleh membeli payung yang ditempah khas, memilih pemegang, fabrik, corak dan material.

"Inilah kemewahan sebenar, ia tidak sama," kata Thibert sambil menunjukkan koleksi pemegang payung antik yang diambil dari seluruh Perancis. Salah satunya diperbuat daripada gading bertatahkan mutiara.

Heurtault turut memberi perkhidmatan untuk industri perfileman. Baru-baru ini dia menghasilkan parasol yang digunakan dalam kisah Cinderella versi filem yang dibintangi Cate Blanchett dan Woody Allen. Penggambarannya dilakukan di Cote D'Azur, Perancis.

"Pembekal kostum bagi filem-filem berlatar belakang zaman dahulu mencari saya sebab mereka tidak mempunyai pilihan lain. Kaedah tradisional untuk menghasilkan payung telah lama hilang," jelas Heurtault yang turut memulakan kerjayanya sebagai pembekal kostum dan pernah bekerja untuk opera dan menghasilkan korset untuk Christian Dior.

Heurtault turut dinamakan sebagai Master of Art baru-baru ini iaitu satu pengiktirafan yang diberikan oleh Perancis untuk artisan profesional dan berkemahiran tinggi.

"Ia merupakan pengiktirafan tertinggi bagi seorang artisan. Saya melihatnya sebagai satu kenaikan taraf berasaskan merit,"katanya bangga. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


SK Ara Rendang rai 21 murid cemerlang UPSR 2013

Posted:

SK Ara Rendang rai 21 murid cemerlang UPSR 2013

SK Ara Rendang rai 21 murid cemerlang UPSR 2013

MURID-MURID cemerlang yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR 2013 memakai jubah khas serta menerima sejambak bunga di SK Ara Rendang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.


SEMANGAT BAHARU. Seramai 21 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ara Rendang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini diraikan pada satu majlis khas di sekolah itu baru-baru ini.

Guru besar sekolah tersebut, Abdul Rahman Yahya berkata, murid yang mendapat keputusan terbaik itu diraikan dengan membenarkan mereka memakai jubah khas.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ara Rendang, Wan Chik Ahmad menyerah sejambak bunga dan kertas keputusan kepada setiap murid berkenaan.

Kumpulan AmBank anjur program amal Kembali Ke Sekolah

Posted:

Kumpulan AmBank anjur program amal Kembali Ke Sekolah

Kumpulan AmBank anjur program amal Kembali Ke Sekolah


SYED ANUAR (barisan ketiga, lapan dari kanan) bersama kakitangan Ambank dan sebahagian murid yang terpilih dalam program amal Kembali ke Sekolah di Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini.


AMAL. Kumpulan AmBank melalui kelab sukannya, Kelab AmBank Group (KAG) telah menganjurkan program amal Kembali Ke Sekolah bagi 100 murid sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Krai,Kelantan baru-baru ini.

Antara pengisian program itu ialah sesi membeli-belah pakaian seragam, beg, alat tulis dan kasut, selain turut menikmati hidangan tradisional Kelantan.

Presiden Kelab AmBank Group, merangkap Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali berkata, aktiviti itu merupakan salah satu Program Amkasih yang memberi tumpuan mendekati masyarakat dan berfungsi sebagai payung kepada semua usaha Kumpulan AmBank membantu masyarakat.

"Ini adalah perhentian pertama kami sepanjang bulan ini sebelum menjalankan program sama ke Sabah, Sarawak, Melaka, Selangor serta Johor," katanya.

Mamee hantar makanan bantu mangsa taufan Haiyan

Posted:

Mamee hantar makanan bantu mangsa taufan Haiyan

Mamee hantar makanan bantu mangsa taufan Haiyan


IDRIS (tujuh dari kanan) bergambar bersama beberapa kakitangan Mamee-Double Decker (M) Berhad pada majlis penyerahan bantuan berbentuk makanan bernilai RM100,000 untuk dihantar ke Filipina di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.


SUMBANG. Mamee-Double Decker (M) Berhad baru-baru ini menghulurkan sumbangan berupa makanan segera bernilai RM100,000 bagi membantu mangsa taufan Haiyan di Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Pang Tee Chew berkata, sumbangan 100,000 paket mi segera itu diberi bagi meringankan beban dialami mangsa yang amat memerlukan bantuan makanan.

"Bantuan seumpama ini bukan kali pertama dilakukan kerana kami juga pernah membantu penduduk Acheh, Indonesia dan Pakistan yang dilanda bencana.

"Bantuan ini juga mendapat kerjasama Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) yang akan membantu dari segi penghantaran," katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Melaka yang juga Presiden WAY, Datuk Seri Idris Haron di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Mangsa banjir pulang ke rumah

Posted:

Mangsa banjir pulang ke rumah

Mangsa banjir pulang ke rumah

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

SEORANG penduduk, Rohida Abd. Jalil membersihkan barangan rumah yang diselaputi lumpur di Kampung Mak Lagam, Kemaman semalam.


KEMAMAN – Kesan bencana banjir yang melanda daerah ini sejak Isnin lalu dapat dilihat dengan jelas apabila penduduk mula pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan kediaman mereka selepas air mulai surut di sesetengah tempat semalam.

Di beberapa kawasan, terdapat timbunan perabot yang dibuang penduduk di tepi-tepi jalan kerana perkakasan tersebut sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Bagi sesetengah kawasan lain pula, masih terdapat kenderaan dan peralatan rumah yang dihanyutkan air tersadai di tepi longkang atau tersangkut pada pagar serta pokok.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pengalaman 28 jam terapung di laut

Posted:

Pengalaman 28 jam terapung di laut

Pengalaman 28 jam terapung di laut

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my


INILAH bot dinaiki oleh 13 anggota tentera yang berjaya mendarat di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka semalam.


MELAKA – Bagaikan mati hidup semula. Itulah yang dirasakan oleh 13 anggota tentera yang hilang selepas bot mereka terbalik dipukul ribut di perairan Pulau Upeh, perairan Selat Melaka di sini Sabtu lalu.

Walaupun berdepan ombak besar, ia tidak mematahkan semangat dua pegawai dan 11 pelatih kursus asas komando dari Pusat Latihan Peperangan Khas, Kem Sungai Udang di sini untuk bekerjasama menyelamatkan diri selepas dilaporkan hilang selama 28 jam hilang di laut.

Salah seorang pelatih yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian angin kuat dan laut bergelora menyebabkan bot mereka terbalik.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bantu perjelas isu kepada rakyat

Posted:

Bantu perjelas isu kepada rakyat

Bantu perjelas isu kepada rakyat

Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my


NAJIB (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Presiden Persatuan Pesara Universiti Teknologi Mara, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke 3, KUPKKM di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA – Para pesara awam di negara ini diminta supaya memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperjelas kepada rakyat tentang beberapa langkah baharu yang dilaksanakan termasuk isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu perlu dilakukan sebagai langkah untuk mengelak daripada terus dimanipulasi pihak lain yang cuba memburukkan usaha yang dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, langkah baharu yang dibuat oleh kerajaan itu adalah untuk menjaga kepentingan rakyat.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Aksi Phoon Eyin menakjubkan

Posted:

Aksi Phoon Eyin menakjubkan

Aksi Phoon Eyin menakjubkan

ATLET wusyu negara, Phoon Eyin tampil cemerlang untuk meraih pingat emas dalam acara qiangshu wanita di Sukan SEA 2013Myanmar semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Atlet pelapis negara, Phoon Eyin melakar kejutan pada hari ketiga acara wusyu dipertandingkan di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A semalam.

Meskipun tidak diletakkan sasaran, Phoon Eyin, 17, berjaya menghadiahkan pingat emas ke-1,000 kontinjen Malaysia sejak menyertai temasya Sukan SEA/SEAP pada tahun 1959.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengutip 9.67 mata dalam acara qiangshu wanita untuk menewaskan pencabar daripada Vietnam, Duong Thuy Vi (9.59 mata) dan atlet Indonesia, Thalia Lovita Sosrodjojo (9.40 mata).

Kejayaan itu cukup bermakna buat Phoon Eyin yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA selepas merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Wusyu Dunia 2013 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

"Ini merupakan penampilan pertama saya pada Sukan SEA. Pada awalnya, saya menyertai temasya ini sekadar untuk mencari pengalaman daripada atlet negara lain.

"Saya hanya melakukan yang terbaik dan cuba mengurangkan kesilapan ketika membuat persembahan. Saya langsung tidak tertekan kerana saya tiada sasaran untuk memenangi pingat emas," kata Phoon Eyin yang baharu dua tahun menyertai skuad kebangsaan.

Pada aksi semalam, sasaran pingat emas ke-1,000 kontinjen Malaysia diletakkan kepada juara dunia, Ho Mun Hua, Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuen.

Bagaimanapun, Mun Hua sekadar meraih pingat perak selepas mengutip 9.68 mata dalam acara nandao lelaki, manakala Diana Bong membawa pulang pingat gangsa dalam acara nangun wanita.

Pingat emas dalam acara yang disertai Mun Hua itu dimenangi atlet Myanmar, Aung Wai Phyo (9.69 mata) dan gangsa menjadi milik Pham Quoc Khanh dari Vietnam (9.67 mata), manakala seorang lagi atlet Malaysia, Kevan Cheah Peng Heng sekadar mengutip 9.63 mata).

Diana Bong, 28, pula mengumpul 9.49 mata untuk ketinggalan di belakang dua atlet Indonesia, Juwita Niza Wasni Wasni (9.64 mata) dan Ivana Ardelia Irmanto (9.61 mata), manakala Cheau Xuen di tempat kelima (9.44 mata).

Ng Say Yoke yang mengutip 9.67 mata turut menyubang pingat gangsa dalam acara daoshu lelaki selepas ketinggalan di belakang atlet Indonesia, Achmad Hulaefi (9.70 mata) dan Nguyen Manh Quyen dari Vietnam (9.68 mata).

Satu lagi pingat gangsa diperoleh menerusi Lim Chi Leng yang tewas kepada Wally Divine dari Filipina pada aksi separuh akhir acara wusyu sanshou wanita (48kg) kelmarin.

Ketua jurulatih skuad wusyu negara, Yoong Thong Foong berkata, Mun Hua telah membuat persembahan terbaik, manakala Diana Bong terlupa untuk melakukan satu gerakan.

"Pergerakan Mun Hua sangat baik dan dia tidak melakukan sebarang kesilapan. Dia berhak untuk memenangi pingat emas sekiranya mendapat sokongan penuh daripada juri.

"Diana Bong pula terlupa untuk melakukan satu pergerakan yang menyebabkan juri terpaksa memotong markahnya. Mungkin dia terlalu ghairah untuk membuat persembahan sehingga terlupa untuk melakukan pergerakan itu.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya tetap berpuas hati dengan persembahan atlet negara terutamanya kejutan yang dilakukan Phoon Eyin," katanya.

Selepas tiga hari bertarung, wusyu berjaya mengutip tiga pingat emas, lima (perak) dan lima (gangsa).

Bagaimanapun, jumlah itu akan bertambah sekiranya atlet negara berjaya mengutip beberapa lagi pingat pada hari terakhir acara wusyu dipertandingkan hari ini.

Hari cemerlang di Myanmar

Posted:

Hari cemerlang di Myanmar

Hari cemerlang di Myanmar


SEBAHAGIAN atlet Malaysia meraikan kejayaaan selepas berjaya memenangi pingat emas yang ke-1,000 di sepanjang pembabitan dalamSukan SEA.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad wusyu negara mengotakan janjinya untuk menghadiahkan pingat emas ke-1,000 kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2013.

Pingat emas yang ditunggu-tunggu itu hadir pada saat-saat akhir menerusi atlet pelapis negara, Phoon Eyin yang menjuarai acara qiangshu wanita di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A semalam.

Phoon Eyin, 17, melakar kejutan itu, sekali gus menebus kekecewaan rakan sepasukan, Ho Mun Hua, Diana Bong Siong Lin dan Tai Cheau Xuen yang diletakkan sasaran untuk memenangi pingat tersebut.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengutip 9.67 mata untuk menewaskan pencabar daripada Vietnam, Duong Thuy Vi (9.59 mata) dan atlet Indonesia, Thalia Lovita Sosrodjojo (9.40 mata).

Kejayaan itu cukup bermakna buat Phoon Eyin yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA selepas merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Wusyu Dunia 2013 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.

Selain sebutir pingat emas yang dimenangi Phoon Eyin, skuad wusyu negara turut mengutip satu perak dan tiga gangsa, sekali gus menambah koleksi pingat untuk menjadikan keseluruhan tiga pingat emas, lima (perak) dan lima (gangsa).

Mun Hua sekadar meraih pingat perak dalam acara nandao lelaki, Diana Bong membawa pulang pingat gangsa dalam acara nangun wanita, manakala dua lagi pingat gangsa diperoleh menerusi Ng Yoke Say dalam acara daoshu lelaki dan Lim Chi Leng (sanshou wanita).

Dalam acara lain semalam, skuad polo air lelaki negara merekodkan kemenangan pertama selepas menewaskan Myanmar 28-11 pada aksi keempat di di Kolam Renang Zayyat Thiri semalam.

Skuad bimbingan Fan Kow Jan itu tewas 7-18 kepada Singapura, tumpas 3-9 kepada Thailand dan 16-2 ke atas Indonesia pada tiga perlawanan sebelum ini.

Pasukan bola keranjang lelaki negara pula mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Kemboja 73-52 di Stadium Tertutup Zayar Thiri A.

Pada perlawanan pembukaan kelmarin, mereka menewaskan Indonesia 61-53.

Bagaimanapun, skuad bola keranjang wanita gagal menyaingi kehebatan Filipina apabila tewas 59-63 semalam.

Sementara itu, pingat gangsa sudah terjamin buat pesilat negara, Helmi Abd. Aziz selepas berjaya menewaskan JulOmhar dari Filipina 5-0 pada aksi suku akhir kelas B lelaki pada hari pertama saingan di Stadium Tertutup Zeyyer Thiri C semalam.

Seorang lagi pesilat negara, Mohamed Fikry Noh gagal untuk menghadiahkan pingat selepas tewas 0-5 kepada pesilat Indonesia, Awaluddin pada aksi suku akhir kelas A lelaki.

Setakat ini, Malaysia sudah merangkul tiga pingat emas, lima (perak) dan 11 (gangsa).

Hari ini, beberapa lagi acara akan berlangsung iaitu wusyu, tinju, badminton, bola keranjang dan silat.

Prospek pingat emas masih terbuka dan tumpuan pasti terarah kepada atlet wusyu negara terutamanya Mun Hua yang akan beraksi dalam acara nangun lelaki.

'Elak lakukan kesilapan'

Posted:

'Elak lakukan kesilapan'

'Elak lakukan kesilapan'

Daripada NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


KIM SWEE (tiga dari kiri) merancang strategi bagi menghadapi Brunei hari ini ketika sesi latihan Harimau Muda di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw petang semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad bola sepak Brunei bukan lawan sebenar Harimau Muda.

Bagaimanapun, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh memandang rendah kemampuan Brunei apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Zeyer Thiri petang ini.

Memenangi perlawanan pertama sangat penting buat Harimau Muda yang tampil dengan misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013.

Kemenangan akan menyuntik moral pemain-pemain negara, manakala kekalahan bakal menyukarkan laluan mereka untuk memburu pingat emas hatrik pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu.

Harimau Muda perlu menjadikan aksi menentang Brunei sebagai medan untuk menguji kemampuan sebenar kerana selepas itu mereka perlu berdepan lawan yang lebih sukar iaitu Vietnam, Singapura dan Laos pada aksi peringkat kumpulan.

Skuad negara perlu mengikut jejak langkah Vietnam yang berjaya membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B kelmarin.

Meskipun Singapura dan Laos sekadar seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan kedua-dua pasukan tersebut.

Harimau Muda juga perlu mencatat kemenangan besar ke atas Brunei bagi memberikan 'amaran awal' kepada Myanmar dan Thailand yang memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan.

Tuan rumah, Myanmar menewaskan Kemboja 3-0, manakala Thailand menang 3-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu memandang rendah keupayaan Brunei dan terlampau yakin bahawa mereka mampu merekodkan kemenangan besar seperti mana yang dilakukan Vietnam.

"Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh, kami akan melakukannya. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

"Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

"Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri," kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Zayyar Thiri petang semalam.

Bagaimanapun, Harimau Muda perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan dalam dua edisi lalu.

Pada aksi di Laos empat tahun lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua di belakang Vietnam.

Harimau Muda menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 pada aksi separuh akhir sebelum memerlukan jaringan sendiri pemain Vietnam untuk melakar kemenangan 1-0.

Selain muncul juara dan memenangi gelaran kelima, kejayaan itu turut menamatkan penantian selama 20 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA.

Dua tahun kemudian, Harimau Muda yang dibimbing Kim Swee menamatkan saingan dalam Kumpulan A di depan pasukan tuan rumah, Indonesia.

Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir sebelum mengecewakan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh permainan sebenar.

Bagaimanapun, Harimau Muda memiliki kelebihan pada edisi kali ini.

Selain mempunyai pengalaman menjadi juara sebanyak dua kali berturut-turut, skuad negara juga bakal diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas di Jakarta dua tahun lalu.

Khidmat penyerang Selangor, A. Thamil Arasu dan enam pemain lain iaitu Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah) ditagih merealisasikan misi memburu 'ibu emas' Sukan SEA 2013, sekali gus melakar kemenangan hatrik.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Diupah 50 sen untuk gunting rambut

Posted:

Diupah 50 sen untuk gunting rambut

Diupah 50 sen untuk gunting rambut

Oleh ALIF ABU BAKAR

BARU sekejap melabuhkan punggung, Bambang Sutrisno Soteto ditembak soalan klise: "Awak orang Malaysia ke Indonesia?" Tertawa kecil lelaki 32 tahun itu dan serentak menjawab: "Saya orang Malaysia, lahir, bersekolah dan membesar di negara ini." Barangkali orang terkeliru dengan nama Bambang yang kedengaran Indonesia, itu punca soalan sedemikian dikitar hampir setiap orang.

Kemeja berkotak dan seluar panjang celoreng merangkul kemas tubuh Bambang. Sengaja dibiarkan misai dan jambang sedikit meliar pada wajah, agar terserlah pesona maskulin. Rambut dirapi semula jadi, sesuai dengan kerjaya Bambang sebagai pendandan rambut profesional.

Memasuki usia tujuh tahun, salon Hairkunst di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor itu masih beroperasi secara teratur. Bezanya, bilangan pelanggan yang hadir kian bertambah. Itu belum lagi dicampur cawangan salon tersebut di Mont Kiara.

Hairkunst kendalian Bambang merupakan antara salon terawal di Malaysia yang menggunakan konsep servis berasaskan janji temu sepenuhnya. Tiada istilah datang, gunting dan balik sesuka hati di Hairkunst, pelanggan perlu menghubungi salon terlebih dulu sebelum datang.

Tujuh tahun yang lalu juga, Bambang tidak mempunyai ramai kenalan di Malaysia, apatah lagi ketika itu dia baru pulang ke tanah air selepas bermukim di bumi Eropah kira-kira enam tahun. Entah dari mana datang kekuatan diri anak jati Kuala Lumpur itu untuk membuka salon berkonsep sedemikian, tambahan pula lokasi Hairkunst di The Curve sedikit tersembunyi daripada bangunan utama.

"Saya buka Hairkunst pada tahun 2007. Memang tak kenal ramai orang dan untuk promosi, saya edar baucar di sekitar The Curve. Waktu itu saya hanya dibantu adik dan pelanggan yang datang kebanyakannya orang asing.

BERGURU dengan pendandan profesional Jerman selama tiga tahun, kepakaran Bambang tentang rambut dapat dilihat menerusi hasil kerjanya.


"Alhamdulillah, selepas tiga bulan beroperasi, saya dihubungi pihak astro dan ditawarkan sebagai pendandan rambut untuk rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-6.

"Sejak itu, saya banyak menerima kerja dandanan untuk program televisyen dan fotografi majalah. Dalam masa dua tahun, baru saya dapat mengukuhkan nama dan jenama Hairkunst dalam kalangan orang tempatan," teruja terbias pada wajah Bambang saat mengimbau memori permulaannya ketika ditemui Stailo.

Asrama

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu mula menggunting rambut pada usia 14 tahun, ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka.

Kehidupan berasrama menyulitkan kebanyakan pelajar lelaki sepertinya untuk memotong rambut di kedai mamak atau salon. Duit belanja juga satu hal, penjimatan wang untuk kegunaan sekolah sahaja sudah menyekat keperluan menggunting rambut. Sudahnya, Bambang menawar diri menjadi tukang gunting untuk kawan-kawannya.

Tanpa kepakaran dan pengetahuan asas, Bambang bermula dengan menipiskan bahagian tepi rambut, menggunting sekadar perlu dan akhirnya berani bereksperimen menggunakan pewarna rambut.

"Kawan saya yang minta saya warnakan rambutnya, alih-alih dengan saya sekali dimarah cikgu," berderai tawa Bambang mengenang kisah lucu tersebut.

Berbekalkan gunting dan sikat biasa, Bambang menerima upah bernilai 50 sen untuk setiap rambut kawan yang digunting. Nilai itu kecil, namun hari ini dia menerima ganjaran berlipat kali ganda menerusi khidmat dandanannya. Bambang amat berterima kasih kepada pengalaman remajanya.

Menjengah fasa awal 20 tahun, Bambang dihantar ibu bapanya ke Mannheim, Jerman bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah sarjana kejuruteraan kimia. Seperti anak perantau lain, Bambang juga berhajat mencari duit poket untuk kelangsungan hidupnya di negara orang.

Sedang berjalan-jalan, Bambang ternampak iklan kerja kosong sebagai pembancuh kopi di sebuah salon. Tanpa berfikir panjang, Bambang mengisi posisi itu dan menunggu kesempatan terbaik sebelum menyuarakan hasrat untuk mendalami dunia dandanan rambut.


SALON Hairkunst di The Curve dibuka secara rasmi pada tahun 2007 dan masih mengekalkan konsep servis berasaskan janji temu.


Hanya selepas lima bulan menyediakan minuman buat pelanggan di salon Mod's Hair, Bambang dijadikan perantis kepada pemilik salon tersebut, Christina Wegschneider. Minat dan kecintaannya terhadap rambut mengungguli ambisinya meskipun dibayar dengan separuh gaji.

"Pernah sekali, saya sedang memotong rambut seorang pelanggan dan dia merungut kepada rakannya di sebelah mengatakan saya tidak pandai bekerja.

"Mungkin mereka tidak tahu bahawa saya boleh bertutur dan memahami bahasa Jerman. Sedikit terguris dengan kenyataan itu, saya meminta bos (Christina) mengambil alih dan memberitahu apa yang terjadi," imbas Bambang dan memberitahu majikannya tidak putus-putus memberi semangat kepadanya.

Hari graduasi Bambang di Universiti Fachochschule Mannheimm berlangsung serentak dengan penamatan sesi pembelajarannya di Mod's Hair. Belum mahu pulang ke Malaysia, Bambang yang ketika itu menerima tawaran bekerja di sebuah salon di London terpaksa membohongi keluarganya bahawa dia mendapat pekerjaan dalam bidang kelulusan pendidikannya.

Rahsia besar Bambang itu akhirnya terlerai selepas dia ke Vienna, Austria untuk belajar sambil bekerja di sebuah akademi dan salon rambut bagi tempoh tiga tahun. Bambang menyampaikan sendiri berita itu kepada ibu bapanya. Mengamuk bapanya hingga menyebabkan dua anak-beranak itu saling tidak berkomunikasi selama enam bulan.

BUHA

Lebih 10 tahun berada dalam industri dandanan rambut, Bambang bangkit mengubah industri rambut tanah air. Bersama beberapa pendandan rambut bumiputera, Bambang menubuhkan Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera (BUHA) Selangor dan Kuala Lumpur.

BAMBANG mula menggunting rambut ketika berumur 14 tahun.


Selaku presiden, Bambang berhasrat untuk mengembangkan potensi pendandan rambut Melayu dan bumiputera agar lebih berdaya saing. Persepsi masyarakat terhadap keupayaan salon Melayu memberikan perkhidmatan berkelas profesional jarang positif, malah kerap diperlekehkan.

Menerusi kursus setiap bulan, kelompok bumiputera yang masih baharu atau telah bertaraf profesional dapat berkongsi kepakaran masing-masing, sekali gus meningkatkan kemahiran dandanan untuk diaplikasikan di salon masing-masing.

"Visi BUHA adalah membuka sebuah akademi dandanan rambut untuk kumpulan bumiputera yang akan dilatih sendiri pemilik salon dan pendandan rambut profesional bumiputera.

"Jangan pilih bidang dandanan sebagai suka-suka jika ingin berjaya. Kalau anda bersungguh-sungguh dan sedia belajar, percayalah bahawa bidang ini boleh memberikan pulangan yang menguntungkan," berkobar-kobar Bambang meraih sokongan golongan bumiputera khususnya anak-anak muda.

Percaturan gaya minimalis

Posted:

Percaturan gaya minimalis

Percaturan gaya minimalis

Oleh NIZHA PERIASWAMY


AKSESORI penyempurna gaya seperti sebai amat menepati tema musim luruh/sejuk.


SERLAHKAN tubuh sasa menerusi rekaan baharu Zara yang mengutamakan kombinasi warna minimum namun maskulin. Setiap helaian sempena musim luruh/sejuk kali ini dipadankan secara sempurna mengikut perwatakan lelaki metroseksual moden. Bagi mengimbangi keselesaan dan ciri perkasa si jejaka, Zara menyediakan pilihan baju satu warna, seluar berstruktur, kot kulit tiruan (faux) dan but.

Untuk gaya yang lebih matang, kekalkan kesederhanaan dengan baju panas (sweater) kait corak kabel dan seluar kulit tiruan. Kombinasi berlapis melibatkan lebih dua warna dengan mengutamakan rona kelabu amat digalakkan. Putih juga akan kelihatan ideal jika disatukan bersama dua warna yang berbeza. Gaya pakaian bercetak pula memaparkan ciri ringkas terutamanya pada bahagian kolar dan bahu.

Koleksi Zara dengan bayangan terang bersama fabrik yang ringan khas untuk lelaki muda urban. Bersama jean super skinny yang dipadankan dengan kemeja berkotak dan sebai kait bercorak, personaliti bebas dan terbuka seorang lelaki dapat dipaparkan secara bersahaja.

Kanak-kanak

Kanak-kanak juga mempunyai keinginan berfesyen dan peraturannya tetap serupa iaitu harus bersesuaian mengikut musim. Zara juga tidak ketinggalan memperkenalkan pakaian dengan cita rasa fesyen yang tinggi buat kanak-kanak sempena musim sejuk dan luruh tahun ini.


KOMBINASI rona minimum mengukuhkan aura kelelakian jejaka Zara.


Cetakan motif haiwan dan flora pada skirt, legging dan dres menjadi pilihan yang stailo untuk gadis cilik Zara. Kanak-kanak perempuan yang tidak memilih gaya sofistikated pula boleh menyarungkan helaian ringkas Zara menerusi rekaan dengan cetakan bunga kecil dan kardigan berwarna terang.

Kanak-kanak yang aktif pula akan menggemari penampilan bergaya bersama but, skirt berkotak dan jaket bomber kulit tiruan. Bagi menyerlahkan sisi santai kanak-kanak, pakaian seperti kardigan dengan cetakan harimau bintang, kemeja-T bermesej dan jean adalah pilihan yang tepat.

Dalam pada itu, koleksi musim luruh/sejuk Zara untuk kanak-kanak lelaki juga memilih trend yang segar dan terkini. Kombinasi jaket dan denim dikhususkan untuk budak lelaki yang mahukan gaya santai, manakala bagi mereka yang kurang aktif, padankan sehelai jean, kasut bertapak lembut (sneaker), kemeja-T dan baju panas.

Menambah nilai kepada sensasi fesyen kanak-kanak adalah trend pakaian berlapis yang mencipta fenomena gaya terkini. Misalnya, padankan kardigan bercorak bunga atau jaket berkait dengan penutup kepala (hoodie) pada tubuh genit kanak-kanak perempuan. Kasut sued fringe yang mengutamakan ciri keselamatan pula melengkapkan eksperimen fesyen si kecil.

Kombinasi menarik keluaran Zara kali ini pasti memberikan keyakinan kepada kanak-kanak perempuan untuk bergaya dengan padanan rekaan yang mengujakan. Kanak-kanak lelaki pula sudah semestinya menginginkan perhatian yang sama. Kemeja lengan panjang bersama seluar khaki atau seluar daripada fabrik plush akan menyerlahkan identiti penuh kelelakian tetapi masih sesuai dengan sifat keanak-anakan.

Rambut sihat dengan teknologi Enerjuve

Posted:

Rambut sihat dengan teknologi Enerjuve

Rambut sihat dengan teknologi Enerjuve

Oleh NIZHA PERIASWAMY


RANGKAIAN produk Satinique diperkaya dengan teknologi Enerjuve bagi membantu mengatasi masalah rambut.


RAMBUT yang sihat dan menawan akan memberikan keyakinan kepada seseorang wanita mahupun lelaki. Menurut data sebuah firma penyelidikan pasaran terkemuka, lebih daripada dua pertiga individu di peringkat global semakin mementingkan penjagaan rambut dalam rejimen kecantikan harian mereka. Kini, rambut menjadi perlambangan kepada sikap dan warisan seseorang.

Koleksi Satinique oleh Amway menawarkan rawatan penjagaan dan penggayaan lengkap menerusi teknologi berpaten dan botani terpilih. Keberkesanannya terbukti dalam menyelesaikan masalah rambut tidak terurus.

Rambut terdiri daripada tiga bahagian iaitu kutikel atau lapisan luar, korteks yang membentuk bahagian besar rambut dan medula iaitu pusat rambut. Apabila dibesarkan, imej kutikel kelihatan seperti kelikir yang menyaluti permukaan rambut. Kelikir tersebut melindungi korteks, mempengaruhi kelicinan, kilauan dan menentukan tahap kemudahan rambut untuk diuruskan.

Korteks pula menentukan jumlah melanin (warna), kelebatan dan pola rambut sama ada lurus, ikal atau keriting. Akhir sekali ialah medula yang berfungsi sebagai teras rambut namun tidak memiliki peranan yang jelas. Bagaimanapun ia penting bagi menambah kelebatan helaian rambut.

Perkara yang diutamakan di sini ialah kompleks membran sel iaitu pengikat di antara sel-sel kutikel dan korteks yang mengekalkan integriti rambut. Setiap kali rambut menjadi lemah akibat penggayaan, terdedah kepada cahaya ultraungu, diwarnakan dan pelbagai lagi faktor lain, membran sel akan mengalami kerosakan.

Sel kutikel tidak sepatutnya diratakan dan sel-sel korteks yang terdedah akan melemahkan ikatan protein serta mengakibatkan masalah yang amat ditakuti iaitu rambut bercabang. Justeru produk Satinique cuba menggantikan membran sel yang terjejas di kawasan yang mengalami kerosakan dan mengukuhkan semula ikatan yang lemah dalam korteks.

Rambut yang sihat, lembut dan bersinar melambangkan penjagaan rambut yang efektif. - Gambar hiasan


"Komitmen Amway terhadap inovasi telah mengangkat Satinique sebagai salah satu jenama penjagaan rambut terbaik dalam pasaran," ujar Timbalan Presiden Global Beauty Amway, Maud Pansing. Tambahnya lagi, Amway telah meningkatkan penanda aras dalam produk penjagaan rambut menerusi teknologi dan prestasi dalam rumusan yang benar-benar membawa perbezaan kepada kesihatan luaran dan dalaman rambut.

Keistimewaan Satinique terletak pada teknologi Enerjuve berpaten iaitu teknologi eksklusif yang dibangunkan para saintis Amway. Ia merupakan kompleks bercas positif yang mengandungi lipid penguat, pengukuh kreatina dan pelicin 18-MEA yang hanya terdapat dalam rambut kita.

Cas positif Enerjuve mengatasi cas negatif semula jadi rambut dan hasilnya ialah aliran baharu dalam penjagaan rambut. Tiga bahan utama Enerjuve yang bertindak untuk hasil yang mengagumkan tersebut ialah seramida dan kreatina yang bertujuan melindungi, menguat dan memperkukuhkan rambut. Apabila digabungkan, manfaat yang diaplikasikan menjadikan rambut lebih kuat. 18-MEA pula hanya terdapat pada lapisan kutikel paling luar dan memberikan kilauan serta memudahkan rambut diurus.

Kandungan dan nutrien

Rumusan Satinique dengan kandungan semula jadi memainkan peranan penting untuk kesihatan rambut. Antara bahan semula jadi tersebut ialah minyak biji kukui yang memberikan kilauan untuk rambut kusam, kering dan sukar diuruskan. Minyak kacang makadamia pula bertindak selaku perapi ringan, memberikan kelebatan semula jadi untuk rambut nipis yang tidak bermaya.

Ekstrak delima dijadikan bahan yang baik bagi memperbaiki kerosakan dengan lembut dan membantu mengekalkan warna rambut. Tidak ketinggalan, minyak borage yang dijadikan perapi bagi merawat rambut. Vitamin E dan vitamin pro B5 turut dirangkumkan dalam formulasi produk tersebut.

Produk Satinique yang merangkumi syampu, perapi dan topeng (mask) rambut boleh didapati di pasaran bermula Disember ini pada harga bermula RM41 hingga RM81.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Bonjour Garden pilih konsep dalam taman

Posted:

Bonjour Garden pilih konsep dalam taman

Bonjour Garden pilih konsep dalam taman

SUASANA ceria di kafe membolehkan pelanggan meluangkan masa untuk menjamu selera secara santai dan selesa.


UNGKAPAN Timur Bertemu Barat bukan baharu. Ia juga tidak asing, bukan sahaja dalam aplikasi teknologi dan perniagaan tetapi juga dalam masakan dan pengeluaran makanan. Apabila pakar kulinari Jepun yang memenangi beberapa anugerah kerana kejayaannya menerapkan cita rasa Eropah dalam inovasi masakannya, ia sememangnya layak diberi perhatian.

Bonjour Garden sebuah restoran terbaharu di Intermark Mall, Kuala Lumpur memberi peluang kepada warga kota kosmopolitan menikmati cita rasa Timur bertemu Barat. Ia merupakan cawangan kelima yang dibuka selepas memulakan perniagaan di Kota Damansara pada 2011.

Dilancarkan oleh Ketua Chef merangkap Pengarah Urusan, Yukichi Matsubara, Bonjour Garden merupakan bakeri dan restoran berkonsep gaya hidup dalam taman serta inspirasi masakan ala Perancis.

Keprihatinan warga urban terhadap pemakanan sihat, menyebabkan Bonjour Garden terpanggil untuk menyediakan makanan sihat dan kreatif. Suasana ceria di kafe membolehkan pelanggan meluangkan masa untuk menjamu selera secara santai dan selesa.

Menyenaraikan lebih 100 jenis makanan meliputi pelbagai makanan konfeksi, pastri dan sajian utama yang pasti menambat selera pelanggan. Bonjour Garden Intermark beroperasi setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.

CHEF Matsubara menunjukkan makanan Perancis yang disediakan di Bonjour Garden.


Chef Matsubara menjelaskan, Bonjour Garden diilhamkan oleh sentimen pasaran yang menyaksikan persaingan kemunculan restoran. Memilih konsep taman terapeutik yang memberikan nafas segar dalam hutan konkrit, Matsubara percaya Bonjour Garden satu tempat makan yang merehatkan minda.

"Golongan profesional di bandar raya Kuala Lumpur bersantai sambil meneguk secawan mocha dan menikmati kelazatan croissant bersama rakan-rakan sudah menjadi satu trend," kata beliau.

Menu utama

Lima menu utama di restoran tersebut dikenali sebagai 5C iaitu caramel cheese raisin (roti mentega gulung), ciabatta (roti keras), croissant, campagne (roti levain) dan cranberry cheese (roti levain).

"Sekiranya makanan tidak disediakan dengan sempurna, maka hidangan itu tidak akan 'meninggalkan' dapur," jelas Matsubara mengenai falsafah dan komitmen peribadinya terhadap Bonjour Garden.

Pakar kulinari kelahiran Kobe, Jepun itu mendapat latihan dalam teknik klasik Perancis dan mengasah kemahirannya di Tokyo dengan bekerja di Kimuraya Bakery.

Chef Matsubara turut menulis buku bertajuk Latest Style of Boulanger Desserts dan menyertai program televisyen Jepun untuk tayangan antarabangsa, Chojin Chef, Bakery Skills. Pada tahun 2004, beliau memenangi pingat emas dalam Cabaran Kulinari Kismis California, pertandingan yang menarik penyertaan pakar bakeri profesional dari seluruh dunia.

Produk di restoran tersebut disediakan oleh kakitangan bakeri sendiri dan dibuat setiap hari menggunakan bahan terbaik dan mengikut resipi tradisional dengan cara moden.

"Kami menggunakan bahan semula jadi tanpa pengawet, yang bermutu paling tinggi dan sihat dalam pembuatan makanan konfeksi kami. Sebagai contoh, kami menggunakan Tepung Torigoe yang termasyhur dari rantau Kyushu di Jepun dan yis asli buatan sendiri yang dibuat daripada Kismis California untuk 'menaikkan' roti. Ini memberikan aroma dan rasa yang tersendiri," katanya.


SALAH satu sandwic istimewa yang boleh didapati di Bonjour Garden.


Mentega yang digunakan di Bonjour Garden juga bergred Appellation d'Origine Protégée (AOP) yang dikeluarkan di Poitou-Charentes, Perancis.

"Keadaan tanah dan iklimnya memberikan rasa lemak mentega dengan cirinya yang tersendiri. Bagi kami, kreativiti bukan sahaja terletak pada rasa, kandungan dan persembahan, tetapi juga inovasi yang penting dalam eksplorasi paduan bahan dan rasa berlainan untuk mencipta kelazatan yang menarik sepanjang masa," tambah Matsubara.

Bonjour Garden Intermark, Kota Damansara dan Bukit Jelutong, Shah Alam adalah bakeri dan restoran manakala dua lagi cawangan iaitu Mutiara Tropicana dan Valencia Sierramas pula berbentuk kios untuk pesanan bawa pulang.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/bonjourgarden atau hubungi talian 03-6140-7603.

Paddle Pop raikan 150 kanak-kanak istimewa

Posted:

Paddle Pop raikan 150 kanak-kanak istimewa

Paddle Pop raikan 150 kanak-kanak istimewa


THILA (kiri) dan Tan diapit oleh Ollie (maskot Legoland Malaysia Resort), model Lego Paddle Pop (tengah) dan maskot Paddle Pop.


SEMPENA Hari Kanak-kanak Sedunia baru-baru ini, Wall's Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort telah bekerjasama menganjurkan karnival istimewa membabitkan kira-kira 150 kanak-kanak di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.

Didatangkan dari enam buah rumah kebajikan di Lembah Klang iaitu Yayasan Sunbeams Home, Good Samaritan Home, Rumah Bakti Nur Syaheera, Shelter Home for Children, Pusat Jagaan Siddhartan dan Rumah Juara, kanak-kanak tersebut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti permainan yang menyeronokkan.

Antaranya, Velcro Olympics, permainan sukan mini dan permainan yang bertemakan blok-blok Lego. Acara kemuncak penganjuran karnival itu ialah penampilan model Lego Paddle Pop yang diperbuat daripada 53,928 buah blok Lego.

Ternyata kanak-kanak berkenaan teruja dengan kehadiran blok itu, terutamanya apabila mengetahui mereka merupakan kumpulan pertama di Malaysia yang berpeluang mendekati model berketinggian 1.6 meter dan seberat 77 kilogram itu.

Menurut Ketua Kategori Aiskrim Wall's Unilever (M) Sdn. Bhd., Shawn Tan, jenama Paddle Pop sering menggalakkan kanak-kanak mengimbangi antara pendidikan dan waktu bermain.

"Sehubungan itu, karnival ini bertujuan untuk memberikan kegembiraan bermain di luar dan menyediakan pengalaman Legoland Malaysia Resort kepada kanak-kanak istimewa yang hadir pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tan menambah, penyediaan ruang bermain yang mengujakan di luar juga dapat mengalakkan pembangunan fizikal kanak-kanak dengan memberi mereka peluang untuk meneroka persekitaran mereka, di samping bersenam, mendapat kawan baharu dan membina keyakinan diri.


PELBAGAI aktiviti termasuk sukaneka disediakan untuk kanak-kanak.


Pengalaman unik

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia Resort, M. Thila berkata, aktiviti yang diadakan juga merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak menikmati pengalaman unik Legoland di luar taman tema bersepadu yang terletak di Nusajaya, Johor itu.

"Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini kerana taman-taman kami seperti Taman Tema Legoland dan Taman Air Legoland direka khusus untuk keluarga dan kanak-kanak dengan tumpuan diberikan terhadap aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Tan memaklumkan bahawa model Lego Paddle Pop akan mengunjungi 30 buah rumah anak yatim serta 100 buah taman awam dan permainan di Semenanjung Malaysia menerusi satu pameran bergerak selama lima minggu yang telah dimulakan pada 20 November lalu sehingga 29 Disember ini.

"Antara lokasi terpilih ialah Zoo Negara dan Taman Tema Kidzania di Selangor serta Taman Burung Melaka. Sebagai kejutan untuk kanak-kanak sepanjang musim cuti sekolah ini, model tersebut akan mengadakan kunjungan mengejut di taman-taman permainan di kawasan kejiranan dan blok-blok apartmen.

"Kami berharap dapat membawakan keseronokan dan kegembiraan kepada kanak-kanak di seluruh negara menerusi kepelbagaian aktiviti yang dirancang oleh Paddle Pop. Kanak-kanak perlu merasai keseronokan berada di luar rumah dan berehat seketika daripada kesibukan jadual harian," kata beliau.

Selain dapat mendekati model Lego Paddle Pop berkenaan, Tan menambah, kanak-kanak juga berpeluang bermain permainan dan memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan.

Bagi mendapatkan senarai penuh kemunculan model Lego Paddle Pop, sila layari laman web www.paddlepop.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved