Sabtu, 16 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Garis masa 200 tahun kamera

Posted:

Garis masa 200 tahun kamera

Garis masa 200 tahun kamera

PELUANG berkunjung ke Muzium Kamera yang terletak di George Town, Pulau Pinang memberikan perspektif yang berbeza mengenai dunia kamera.

Rasa teruja untuk melihat sendiri bentuk dan rekaan kamera yang digunakan pada 200 tahun lalu membuak-buak apatah lagi ia muzium kamera pertama di Asia Tenggara.

Pencapaian tersebut membolehkan muzium ini mencatat nama dalam Malaysia Book of Records pada 23 Julai lalu.

Muzium berharga RM1 juta ini dirasmikan pada 31 Ogos lalu.

Salah seorang Pengarah Muzium Kamera iaitu Najieb Ariff Nazir Ariff, 35, berkata muzium itu merupakan ilham bersama enam orang rakannya yang lain iaitu Tony Chng, 34; Chris Cheah, 33; Venus Khor, 28; Lance Ooi, 27; Paul Lee, 27 dan Adrian Soh, 26. Kesemua mereka merupakan jurugambar profesional dan pencinta seni fotografi.

"Idea untuk membuka muzium kamera ini tercetus pada awal tahun 2012 apabila Chng dan Ooi bertemu seorang rakan mereka yang juga pengumpul kamera vintaj pada sebuah majlis makan malam di Terengganu. Chng dan Oii tertarik dengan kamera lama jenis Rolleiflex yang digunakan rakan mereka itu untuk merakam gambar pada majlis tersebut.


MUZIUM Kamera yang dibuka pada 31 Ogos lalu ini bernilai hampir RM1 juta.


Vintaj

"Ketika itu, mereka secara berseloroh memberitahu alangkah bagusnya jika mereka dapat mengumpul kesemua koleksi kamera lama itu," ujar Najieb.

Najieb memberitahu, kamera vintaj dipilih kerana ia sukar diperoleh sekarang.

"Kebanyakan orang kini memiliki telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan kamera. Mereka juga boleh memuat naik gambar yang diinginkan pada bila-bila masa dan di mana jua. Tetapi jangan lupa, 20 tahun lalu kita masih menggunakan filem untuk menghasilkan gambar.

"Pengalaman mengendalikan kamera lama ini juga sangat mencabar. Bayangkan kerja untuk menghasilkan sekeping gambar juga memakan masa yang lebih lama berbanding kamera digital.

"Jadi, Muzium Kamera ingin membawa kembali kenangan fotografi serta mendidik anak-anak muda mengenai asal usul kamera.

"Kami memilih Pulau Pinang sebagai lokasi muzium ini disebabkan kebanyakan daripada kami berasal dari negeri ini. Secara tidak langsung, kami mahu menyumbang kepada industri pelancongan negeri menerusi muzium ini," tambahnya.


HAMPIR 70 peratus kamera lama di muzium ini masih berfungsi dengan baik.


Muzium dua tingkat seluas 371 meter persegi ini menempatkan pameran fotografi dan kedai menjual barangan cenderamata serta kafe di tingkat bawah manakala galeri pameran yang menempatkan lebih 300 kamera vintaj di tingkat atas.

Melangkah masuk ke pekarangan muzium ini, pengunjung dihidangkan dengan pameran fotografi karya jurugambar dokumentari, Maggie Steber serta beberapa replika kamera lama.

Penulis dibawa ke tingkat atas yang menempatkan kamera vintaj, bilik pinhole, bilik obskura dan bilik gelap oleh seorang kakitangan muzium yang bertindak sebagai pemandu pelancong, Mohd. Azzeem Mohd. Naim, 22.

Sebelum memasuki ruang pameran utama, penulis terlebih dulu diterangkan tentang konsep keseluruhan ruang di tingkat atas menggunakan peta. Di sini, pengunjung dapat merasai pengalaman fotografi dengan cara yang berbeza.

Di bilik obskura, pengunjung boleh mengendalikan kamera pertama di dunia, iaitu kamera obskura.

Kamera ini membenarkan cahaya masuk melalui lubang kecil dan menghasilkan imej songsang yang kemudiannya diunjurkan dari cermin bersudut ke panel kaca pada peranti, di mana kertas boleh diletakkan di atasnya supaya imej dapat dikesan.


BILIK gelap ini hampir 100 peratus sama dengan bilik gelap fotografi yang sebenar.


Koleksi unik

Kamera merupakan sejenis alat optik yang merekodkan imej yang boleh disimpan secara langsung dan dihantar ke lokasi lain. Ia diterjemahkan melalui paparan gambar atau imej bergerak seperti video dan filem.

Istilah kamera berasal daripada perkataan Latin, obscura yang bermaksud bilik gelap.

"Pengunjung turut berpeluang mengendalikan kamera antik yang sebenar serta menghayati sejarah kamera sejak abad ke-19 hingga abad ke-21," beritahu Najieb.

Koleksi kamera perisik dan kamera untuk senapang ciptaan Jepun yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua pula menghiasi sebuah bilik unik di muzium ini.

Penulis seterusnya dibawa ke replika bilik gelap yang juga bilik untuk memproses gambar bagi mendidik pengunjung tentang cara gambar filem dihasilkan.

"Terdapat dua bahagian di bilik gelap ini iaitu kawasan kering dan basah tetapi kami tidak menggunakan bahan kimia sebenar untuk memproses gambar disebabkan ia agak bahaya untuk kanak-kanak.

"Replika bilik gelap ini hampir sama dengan keadaan bilik gelap yang sebenar," beritahu Najieb.

Sebahagian daripada koleksi kamera di muzium ini diperoleh dari lebih 20 negara termasuk Jepun, Rusia, China, Jerman, India dan Amerika Syarikat (AS). Ia dibeli secara online melalui laman web eBay.

"Di Malaysia, kami memperoleh koleksi kamera daripada pengumpul kamera lama dan kedai barangan antik di sekitar Terengganu dan Perak," ujarnya sambil memberitahu, penggunaan slogan Bring Back the Time menjadi tema kepada muzium itu.


SEJARAH penciptaan kamera diterjemahkan melalui garis masa di muzium ini.


Tambahnya, antara jenis kamera yang terdapat di muzium itu ialah SLR, kamera polaroid, kamera obskura, kamera pengintip, kamera refleks lensa berkembar, kamera, kamera plat basah dan kamera lipat.

"Kami juga ada mempamerkan koleksi kamera untuk kanak-kanak yang berbentuk karakter kartun Bugs Bunny, Barbie dan Spiderman yang dibawa dari Amerika Syarikat.

"Pengunjung dikenakan bayaran masuk sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi pelajar dan warga emas manakala percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun," jelasnya yang mempunyai lapan orang kakitangan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat peralatan lain yang digunakan bersama kamera seperti tripod buatan AS.

"Kamera yang digunakan pada tahun 1800 sangat berat dan panjang. Kadangkala sesi bergambar memerlukan masa sekitar empat hingga lapan jam bagi sekeping gambar.

"Tripod ini digunakan bagi memastikan gambar yang diambil tidak kabur atau bergegar," tambahnya sambil memberitahu hampir 70 peratus kamera lama yang terdapat di muzium itu masih berfungsi.

Jelasnya, pihaknya juga ada menjual cenderamata yang berasaskan kamera seperti mug bermotifkan lensa kamera, pelekat magnet dan baju-T yang dijual pada harga antara RM5.90 hingga RM200.

Nilai anak di mata penculik

Posted:

Nilai anak di mata penculik

Nilai anak di mata penculik

Oleh ZULHILMI JALIL

FREDDIE JOSEPH ditemui semula di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas 19 jam dilarikan penculik.


TANGGAL 8 November lalu mungkin menjadi detik yang tidak dapat dilupakan oleh Sarah Joseph, 38, selepas hasrat untuk meluangkan masa bersama anaknya di kawasan pekarangan rumah bertukar tragedi yang tidak disangka-sangka.

Anak lelakinya, Freddie Joseph yang berusia setahun enam bulan dilarikan seorang penjenayah ketika Sarah sedang memberi makan kepada anaknya itu di kediamannya di Jalan Temasek, Bangsar, Kuala Lumpur.

Insiden berkenaan mendapat liputan meluas di media cetak dan elektronik.

Episod tersebut membuatkan kita terbayang kembali kejadian pada April tahun lalu apabila seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, dilarikan sewaktu kanak-kanak itu dalam perjalanan ke sekolahnya iaitu Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Setelah seminggu dilarikan, Nayati akhirnya dibebaskan di kawasan Hentian Rawat & Rehat Rawang, Lebuh Raya Utara-Selatan selepas ahli keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM300,000.

Tidak jauh bezanya dengan kes yang menimpa Nurin Jazlin, Nurul Huda Abdul Ghani dan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang sebelum ini yang hilang selepas diculik individu tertentu.

Apa yang menyedihkan ialah misteri kehilangan anak-anak kecil ini berakhir dengan penemuan jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.

Bagaimanapun, guru warga British itu dianggap bernasib baik apabila anak lelakinya itu ditemui semula oleh orang awam di kawasan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas 19 jam dia diculik.

Tidak keterlaluan jika ingin dikatakan kes kanak-kanak hilang berlaku saban tahun di negara ini.

Malah, menurut Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (PaMa), statistik menunjukkan dari 1985 hingga Oktober 2011, sebanyak 17,088 kes kanak-kanak hilang dilaporkan.

Daripada angka itu, hanya 6,944 orang dijumpai semula.

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001 mendefinisikan kanak-kanak sebagai seorang yang berumur di bawah 18 tahun.

KANAK-KANAK yang diculik kebiasaannya dijadikan mangsa tebusan. - Gambar hiasan


Tempat awam

Malah, golongan ini dikatakan merangkumi 35 peratus populasi iaitu seramai 10.3 juta daripada 29.3 juta rakyat Malaysia.

Ini bermakna sekiranya individu yang diculik atau hilang itu merupakan pelajar sekolah menengah, mereka masih dianggap sebagai kanak-kanak.

Pengerusi PaMa, Mohd. Fairuz Mohamed Isa berkata, kes kanak-kanak hilang dapat diklasifikasikan kepada tiga kategori.

"Pertama, hilang akibat lari daripada jagaan, diculik dan sesat di tempat awam.

"Namun, bagi kes culik, kebiasaannya ia melibatkan kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke bawah dan berkait dengan pemerdagangan manusia atau dijadikan sebagai mangsa tebusan," katanya.

Ujarnya, kejadian jenayah seperti ini bukan hanya menjadi igauan di negara ini, malah di luar negara.

Ia terbukti menerusi kajian National Incidence Studies of Missing, Abducted, Runway, and Thrownway Chidren (NISMART) pada tahun 2002 yang menunjukkan sebanyak 58,200 kes kanak-kanak dilaporkan hilang disebabkan penculikan pada tahun 1999 di Amerika Syarikat.

"Namun, realitinya, satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2006 di AS mendapati ibu bapa merasakan kehilangan anak-anak di tempat awam lima kali lebih membimbangkan daripada pengganas dan tiga kali daripada penculikan," ujarnya.

Apa jua terjadi, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada ruang buat penjenayah untuk bertindak sedemikian.

"Sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup di rumah sebenarnya dapat membantu jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Biarpun ia memerlukan sedikit kos, tetapi bagi jangka panjang, ia dapat mengurangkan risiko kejadian jenyah secara terang-terangan ini," ujar Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya.

Malah, katanya, pihak polis juga harus lebih peka dengan membuat pemantauan di kawasan perumahan yang berkemungkinan menjadi sasaran penjenayah seperti di kawasan perumahan elit.

Namun, ujar beliau, masyarakat juga tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ke atas pihak berkuasa semata-mata.

"Masyarakat sendiri juga perlu memupuk kesedaran pencegahan jenayah menerusi penubuhan persatuan rukun tetangga di satu-satu tempat bagi menghidupkan suasana berjiran," ujarnya.

Durian runtuh untuk petani, nelayan

Posted:

Durian runtuh untuk petani, nelayan

Durian runtuh untuk petani, nelayan

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF


ISMAIL SABRI (kiri) menyampaikan replika cek insentif untuk peserta Program Bidang Keberhasilan Utama Negara kepada wakil Koperasi Wawasan Tani Simpang 5 Sg. Besar Bhd. di Kuala Selangor baru-baru ini.


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani komited untuk melaksanakan pelbagai program yang menjana pendapatan golongan peladang, penternak dan nelayan sekali gus menjadikan kehidupan mereka lebih selesa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dapat dilaksanakan berikutan peruntukan RM6 bilion bagi kementerian itu sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2014 baru-baru ini.

Beliau berkata, antara fokus kementerian itu adalah memastikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan strategi mengeksport produk ladang tempatan secara terus.

Menurut beliau, pihaknya juga berusaha untuk membuka agro bazar buah-buahan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat.

Katanya, jika program itu berjaya, konsep agro bazar akan diperluaskan ke negara-negara Asia Barat, Australia dan lain-lain.

Menurut beliau, pihaknya juga akan meningkatkan eksport durian ke China memandangkan permintaan dan harga jualan yang tinggi di negara itu.

Katanya, bagi memastikan kesegaran produk pertanian termasuk durian, kerajaan akan menyediakan kemudahan bilik sejuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Pemasaran produk tempatan ini bukan sahaja berupaya meningkatkan eksport negara malah dapat memberi pulangan yang lebih lumayan kepada petani," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2013 peringkat Negeri Selangor yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Selangor baru-baru ini.

Sepanjang penganjuran HPPN, pelbagai acara menarik diadakan antaranya ceramah agama, sukan rakyat, jualan, pameran, pertandingan memancing dan memasak serta seminar keusahawanan.

Ismail Sabri memberitahu, bagi pasaran tempatan, sebanyak 60 buah pasar tani, 50 buah pasar ikan, 50 buah karavan tani dan 100 buah gerai buah-buahan akan ditambah di seluruh negara.


ISMAIL SABRI melawat sebuah gerai di Kuala Selangor baru-baru ini.


Jualan terus

Katanya, penjualan terus produk makanan dan hasil tangkapan kepada pembeli dapat mengurangkan penguasaan orang tengah.

Usaha berkenaan juga selaras dengan tekad beliau yang mengisytiharkan 2014 sebagai tahun jihad terhadap penguasaan orang tengah yang selama ini mengaut keuntungan atas penat jerih golongan peladang, penternak dan nelayan.

"FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah diarah untuk mewujudkan pusat pengumpulan produk atau buah-buahan di setiap daerah sebelum dihantar ke pasar-pasar tani atau pasar lain," ujarnya.

Ismail Sabri berpendapat antara masalah yang membelenggu serta mengekang golongan berkenaan daripada lebih maju adalah penguasaan orang tengah dalam urusan pemasaran.

Justeru, antara pendekatan yang akan dilaksanakan termasuk memperkukuhkan rantaian nilai bagi setiap sektor pertanian agar golongan itu tidak bergantung kepada orang luar lagi.

"Oleh sebab itu, pihak kementerian bersungguh-sungguh untuk menambah bilangan pasar tani, serta mewujudkan pasar tani kekal dan pasar nelayan di negara ini supaya peladang, penternak dan nelayan boleh terus menjual hasil mereka kepada pembeli.

"Kita yakin golongan ini bukan sahaja akan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan malah menjadikan mereka golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Menurutnya, semua perkara itu terkandung dalam Program Transformasi Pertanian yang dirancang dilaksanakan oleh kementeriannya tahun depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Gadis hina restoran mohon maaf

Posted:

Gadis hina restoran mohon maaf

Gadis hina restoran mohon maaf

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

ZE AIDA menyerahkan kenyataan permohonan maaf kepada Ahamed Azlan (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Fazli di Restoran Nasi Vanggey Greentown di Ipoh malam kelmarin.


IPOH - Kontroversi membabitkan penyebaran maklumat palsu di laman sosial Facebook kononnya sebuah restoran nasi kandar di Ipoh diserbu pihak polis ekoran penemuan najis manusia di tempat memasak berakhir dengan kemunculan seorang gadis membuat permohonan maaf malam kelmarin.

Menggunakan nama Ze Aida, gadis berusia 23 tahun itu memberitahu, dia tidak berniat untuk menghina dan memburuk-burukkan Restoran Nasi Vanggey Greentown sehingga menjejaskan imej dan perniagaan restoran berkenaan.

Wanita itu mendakwa isu tersebut tercetus selepas dia menyalin status seorang pemilik akaun Facebook lain mengenai keburukan Restoran Nasi Vanggey ke akaun Facebook miliknya.

Status Facebook tersebut berbunyi: "Polis baru saja menyerbu restoran vanggey (nasi ganja) % mendapati terdapat 'najis manusia' di dlm peti simpan mknn yang dipercayai untuk salut periuk dgn tujuan ilmu penunduk (ilmu hitam)...patutlah restoren tu x penah kekeringan manusia..apa yg sdp sgt pon x tau lah..euww lah patutlah aku x berkenan!."

Selepas memuat naik status itu pada Khamis lalu, Ze Aida dari Bandar Lahat Baru, Lahat di sini berkata, ada pihak lain telah mencetak paparan statusnya lalu menyebarkan maklumat itu secara meluas menerusi telefon pintar dan internet.

Penyebaran maklumat palsu itu menyebabkan pihak pengurusan Restoran Nasi Vanggey menuntut Ze Aida, seorang graduan ijazah, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak restoran sambil disaksikan wakil media.

Majlis permohonan maaf tersebut diadakan pada sidang akhbar di restoran itu pukul 10.30 malam kelmarin.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Lata Renyuk ragut dua pelajar UMK

Posted:

Lata Renyuk ragut dua pelajar UMK

Lata Renyuk ragut dua pelajar UMK

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
berita@kosmo.com.my

MOHD. AZIMI


JELI – Kegembiraan sekumpulan 15 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menghabiskan cuti hujung minggu berkelah di Lata Renyuk di sini tidak berpanjangan apabila dua daripada mereka mati lemas kelmarin.

Mayat Mohd. Azimi Sameer Nor Zamrie, 21, dari Klang, Selangor ditemui pada pukul 5.26 petang manakala rakannya, Mohd. Zulfikal Mohd. Saupi, 20, dari Tanah Merah, Kelantan dijumpai 12 minit kemudian pada kedalaman 3.6 meter dari dasar kolam.

Kejadian pukul 4.30 petang itu dipercayai berlaku apabila Mohd. Zulfikal cuba membantu Mohd. Azimi yang kekejangan kaki ketika berenang sebelum kedua-duanya tenggelam.

Rakan mangsa, Mohd. Sharil Hakimi Baharuddin, 20, berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakan sedang duduk di atas batu sambil melihat kawan-kawan yang lain berenang.

MOHD. ZULFIKAL


"Mohd. Azimi yang berada di belakang sekali tiba-tiba kejang kaki menyebabkan Mohd. Zulfikal berpatah balik untuk menyelamatkan dia namun kedua-duanya tenggelam.

"Saya cuba membantu mereka namun dihalang kawan-kawan kerana saya tidak pandai berenang. Rakan yang lain juga cuba membantu tetapi tidak berjaya," katanya di sini semalam.

Mayat kedua-dua pelajar itu dibawa ke Hospital Jeli di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pengarah UMK kampus Jeli, Profesor Dr. Ibrahim Che Omar berkata, dia mengetahui kejadian itu pada pukul 5.30 petang.

"Ini merupakan kes kedua melibatkan pelajar UMK yang mati lemas selepas kejadian sama menimpa tiga siswa di Air Terjun Lata Tembakah, Terengganu bulan lalu," katanya.

Dua pegawai penjara maut kereta rempuh pokok

Posted:

Dua pegawai penjara maut kereta rempuh pokok

Dua pegawai penjara maut kereta rempuh pokok

dari kiri MOHAMAD YUSOF, MOHAMAD FIRDAUS, dan MUHAMAD IZWAN


TAPAH - Dua pegawai Penjara Tapah maut apabila kereta jenis Honda Civic yang dinaiki bersama seorang lagi rakan terbabas sebelum merempuh pokok kelapa sawit di Kilometer 12.5, Jalan Tapah-Changkat Petai di sini.

Kejadian pukul 9.20 pagi semalam itu mengorbankan Mohamad Yusof Ahmad, 23, dan Mohamad Firdaus Husin, 20, manakala Muhamad Izwan Mat Alias, 24, parah dan dirawat di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian, tiga sekawan itu sedang menuju ke pekan Langkap, Teluk Intan dari Penjara Tapah dekat sini.

"Kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad Yusof hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit di tepi jalan di kawasan berkenaan," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rajagobal kekal optimis

Posted:

Rajagobal kekal optimis

Rajagobal kekal optimis

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (kanan) bersama pemain Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.


JURULATIH Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal belum berputus asa biarpun menyedari peluang skuad kendaliannya untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 semakin samar ekoran kekalahan 0-1 kepada Bahrain dalam saingan peringkat kelayakan kumpulan D semalam.

Sebaliknya, Rajagobal kekal positif dengan menegaskan, pasukan bimbingannya bakal memanfaatkan baki dua perlawanan bermula pertemuan menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada Rabu ini.

Kini, Harimau Malaya menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata selepas mengharungi empat perlawanan dan skuad Rajagobal dijangka berusaha untuk menamatkan saingan di tempat ketiga terbaik keseluruhan kempen kelayakan Piala Asia kali ini.

Ini kerana satu slot tersebut (tempat ketiga terbaik) turut layak ke kejohanan yang bakal berlangsung di Australia nanti.

"Kami harus kekal positif. Kami masih ada baki dua perlawanan. Kami harus mencari jalan dan terus menampilkan aksi terbaik berdasarkan peluang pada baki dua perlawanan nanti.

"Kami tidak perlu malu dengan kekalahan ini. Kami telah menunjukkan satu persembahan bertenaga.

"Kami bertahan dengan begitu baik pada separuh masa pertama dan tidak membenarkan mereka (Bahrain) memiliki sebarang peluang," katanya.

Di sebalik 'kegembiraan' Rajagobal, rakan sejawatnya, Anthony Hudson tampil dengan nada berbeza apabila mengkritik secara terbuka terhadap taktik bertahan Harimau Malaya.

Hudson menyifatkan, Harimau Malaya tidak berminat untuk 'bermain' bola sepak selain mengakui tidak gembira dengan corak bertahan skuad negara.

"Menentang dengan mana-mana pasukan yang 'parkir dua bas' di dalam kawasan kotak penalti adalah satu perkara yang amat sukar.

"Apabila enam pemain (Harimau Malaya) berada dalam kawasan kotak penalti, saya tidak anggap itu adalah bola sepak.

"Kami tetap bersabar dan menunggu peluang terbaik. Hasilnya, Bahrain berjaya mendapatkan gol kemenangan," katanya.

Mehmet mahu pulih pulih reputasi Selangor

Posted:

Mehmet mahu pulih pulih reputasi Selangor

Mehmet mahu pulih pulih reputasi Selangor



TUGAS berat bakal menanti jurulatih baharu Selangor, Mehmet Durakovic (gambar) dalam usaha mengembalikan reputasi pasukan itu sebagai salah pasukan paling digeruni dalam Liga Malaysia (Liga M).

Biarpun menyedari perjalanan sebagai pengendali skuad Gergasi Merah tidak semudah yang disangka, Mehmet kekal tenang dan menaruh keyakinan bahawa pasukannya berupaya menampilkan prestasi lebih cemerlang pada musim depan.

Azam Mehmet kepada penyokong-penyokong fanatik Selangor adalah beliau menjanjikan agar skuad kendaliannya bakal menyajikan persembahan lebih menghiburkan selain mahu bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi dalam Liga M.

"Sejujurnya, kami akan mencuba sedaya upaya untuk mempamerkan aksi yang lebih baik. Kami telah berjaya mendapatkan beberapa pemain muda dalam skuad ini.

"Saya akan memulakan latihan sesi latihan pada Isnin ini. Apa yang pasti, kami mahu menampilkan persembahan lebih menghiburkan pada musim depan.

"Selain itu, saya turut berharap Selangor dapat menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kedudukan terbaik," katanya selepas sidang akhbar di Hotel One World, Bandar Utama semalam.

Mehmet yang menggantikan Irfan Bakti Abu Salim selepas bekas jurulatih itu bertindak melepaskan jawatan dalam saingan Piala Malaysia 2013, nyata tidak asing buat peminat-peminat Selangor.

Ini kerana pemain kelahiran Australia ini pernah menyarungkan jersi skuad Gergasi Merah sejak 1995 sehingga 1998.

Antara kejayaan manis ketika pengendali berusia 48 tahun itu bersama Selangor adalah beliau berjaya membantu pasukan itu menjulang tiga kali Piala Malaysia pada tahun 1995, 1996 dan 1997.

Tambah Mehmet: "Saya sangat gembira kerana dapat kembali bersama Selangor selepas meninggalkan Malaysia kira-kira 15 tahun lalu. Selangor diibaratkan seperti rumah kedua saya.

Gandingan Thien How-Wee Kiong mara ke final

Posted:

Gandingan Thien How-Wee Kiong mara ke final

Gandingan Thien How-Wee Kiong mara ke final


THIEN HOW (kiri) dan Wee Kiong melakar sejarah tersendiri apabila mara ke final acara beregu lelaki pada Terbuka China semalam.


BEREGU kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menempah slot final Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka China 2013 semalam.

Lebih menarik, pasangan No. 11 dunia itu menewaskan gandingan lama dan baharu tuan rumah, Cai Yun-Chai Biao 23-21, 21-17 untuk mara ke pentas final buat kali pertama pada Terbuka China di Gimnasium Yuan Shen, Shanghai itu.

Begitupun, perlawanan itu tidak mudah bagi Thien How-Wee Kiong yang turut dipaksa berhempas-pulas dalam perlawanan dua set yang berlangsung dalam tempoh 43 minit.

Saingan lebih sengit pada set pertama apabila yang berjaya mengheret perlawanan ke mata penentuan terus mengutip tiga mata untuk mendahului 23-21.

Set kedua hanya sengit pada aksi-aksi awal, namun mereka lebih mengusai perlawanan sebaik sahaja mendahului 8-6.

Pada aksi final hari ini, Thien How-Wee Kiong akan bertemu juara Terbuka Denmark 2013, Lee Yong Dae-Yoo Yeong Seong yang turut mara selepas menewaskan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun 19-21, 21-19, 21-11.

Ternyata kemaraan itu turut menggembirakan jurulatih beregu, Pang Cheh Chang walaupun dia kini ditugaskan untuk menjaga pemain-pemain muda pada Cabaran Antarabangsa Malaysia 2013 di Sarawak.

"Bagus untuk pasukan beregu kerana di sini juga ada wakil di final iaitu Teo Ee Yi-Chooi Kah Ming. Walaupun jauh tetapi saya menonton permainan mereka (Thien How-Wee Kiong) secara langsung di televisyen.

"Mereka memiliki semangat dan strategi yang digunakan juga betul. Saya juga ada hubungi dan memberikan sedikit info supaya mereka ada persiapan," kata Cheh Chang.

Sementara itu, pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng terkandas lebih awal selepas disingkirkan pemain China, Chen Long dalam aksi separuh akhir semalam.

Bagaimanapun pemain No. 17 dunia itu sempat memberikan tentangan sengit kepada Chen Long sebelum tewas dengan lebih mudah pada set kedua 18-21, 7-21.

Wei Feng berkata, kelemahannya yang kerap melakukan kesilapan pada set kedua telah menjejaskan corak permainannya.

"Saya melakukan kesilapan mudah pada set kedua. Jurang mata yang terlalu jauh juga telah telah mengganggu fokus dan keyakinan saya. Saya perlu tingkatkan lagi konsistensi permainan selepas ini," kata Wei Feng.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Mangsa Haiyan kian tenang

Posted:

Mangsa Haiyan kian tenang

Mangsa Haiyan kian tenang

PELANGI muncul di langit semasa mangsa-mangsa Taufan Haiyan menunggu kedatangan pesawat tentera di bandar Tacloban semalam.


TACLOBAN - Kebimbangan akan berlakunya keganasan akibat kekurangan bekalan kemanusiaan di wilayah Leyte yang teruk dilanda bencana Taufan Haiyan semakin hilang semalam.

Sebelum ini, banyak berlaku kes tembak menembak dan rompakan akibat daripada kekurangan bekalan makanan, minuman serta kelengkapan ubat-ubatan.

Namun, ekoran penghantaran bantuan kemanusiaan dipertingkatkan dan kehadiran anggota-anggota pihak berkuasa yang memburu pencuri, kebimbangan akan berlakunya keganasan disebabkan tidak puas hati dengan keadaan di wilayah tersebut kini semakin lenyap.

Menurut Ketua Skuadron Taktik Khas Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), Kapten Jon Shames, sebelum ini ramai mangsa taufan tersebut menyerbu pesawat tentera yang tiba dengan tujuan untuk meninggalkan bandar ini.

Namun, kini, katanya, mangsa-mangsa tersebut tidak lagi melakukan serbuan sebaliknya menunggu giliran mereka untuk menaiki pesawat tentera untuk dipindahkan.

Bagi menjamin keselamatan bandar Tacloban, menurut jurucakap polis, Wilben Mayor, bilangan anggota polis telah dipertingkatkan menjadi 1,200 anggota yang ditempatkan di bandar ini.

Taufan Haiyan yang melanda tengah Filipina pada 11 November lalu dipercayai telah mengorbankan lebih 10,000 orang. Ia turut mencetuskan ombak tsunami setinggi lima meter

Taufan tersebut selaju 315 kilometer sejam dan merupakan antara yang paling kuat di dunia pada tahun ini.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memetik maklumat daripada kerajaan Filipina semalam yang menyatakan bahawa angka kematian rasmi akibat Taufan Haiyan kini berjumlah 4,460 orang. - Agensi

Hotel ais ada penggera kebakaran

Posted:

Hotel ais ada penggera kebakaran

Hotel ais ada penggera kebakaran


BEBERAPA pelanggan berada di dalam bilik tidur sebuah hotel ais di Jukkasjaervi, Sweden pada 8 Januari 2009.


STOCKHOLM - Sebuah hotel ais yang dibina pada setiap musim sejuk di utara Sweden akan dipasang dengan alat penggera kebakaran pada tahun ini.

Ia akan dipasang di hotel itu yang terletak di bandar Jukkasjaervi selepas pihak berkuasa meminta ia dilengkapi alat berkenaan demi keselamatan para tetamunya.

"Pada mulanya, kami berasa sedikit terkejut (permintaan memasang alat itu). Namun, sebab-sebab alat itu dipasang adalah kerana terdapat barang-barang yang boleh terbakar seperti bantal, beg tidur atau kulit rusa kutub," kata jurucakap hotel tersebut, Beatrice Karlsson.

Hotel itu akan dibuka pada 6 Disember hingga 13 April depan.

Bayaran untuk menginap di hotel ais itu ialah dari 1,900 kronor (RM914.88) hingga 7,500 kronor (RM3,612).

Para pelancong akan tidur di dalam hotel tersebut di atas katil ais dengan suhu serendah sehingga - 8 darjah Celsius. - AFP

Pameran motor, kereta unik di Jerman

Posted:

Pameran motor, kereta unik di Jerman

Pameran motor, kereta unik di Jerman


KAISSI bergambar dengan sebuah motosikal buatan tangan yang ditempah khas di pekarangan Pameran Motor Essen di Jerman semalam.


ESSEN, Jerman - Pameran motosikal dan kenderaan yang dibuat berdasarkan tempahan khas akan diadakan di sini pada 30 November hingga 8 Disember depan.

Seorang pembuat motosikal berdasarkan tempahan khas dari Austin, Texas, Amerika Syarikat, Rafik Kaissi turut menyertai pameran tersebut.

Kira-kira 600 buah syarikat akan menyertai Pameran Motor Essen itu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Terengganu atur program tarik pelancong pada musim tengkujuh

Posted:

Terengganu atur program tarik pelancong pada musim tengkujuh

Terengganu atur program tarik pelancong pada musim tengkujuh

16/11/2013 10:59pm

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengatur beberapa program bagi memastikan kedatangan pelancong tidak terjejas dalam musim tengkujuh ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu 2013, Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata, antara acara yang diatur ialah Kejohanan Piala Monsun yang akan berlangsung dari 25 hingga 30 November ini.

"Selain itu kita turut menganjurkan program Terengganu International Rainforest Challenge 2014 yang merupakan acara terbesar pacuan empat roda peringkat antarabangsa.

"Kejohanan akan berlangsung dari 30 November hingga 9 Disember di Gong Chempedak, Marang dan disertai lebih 30 negara," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Ahmad Fathil berkata turut diadakan ialah Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Marin yang bermula Isnin ini di Setiu Wetland. - Bernama

MAIDAM akan adakan temu duga terbuka imam dan bilal

Posted:

MAIDAM akan adakan temu duga terbuka imam dan bilal

MAIDAM akan adakan temu duga terbuka imam dan bilal

16/11/2013 9:57pm

BESUT - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan mengadakan temu duga terbuka bagi mengisi jawatan imam dan bilal untuk 51 buah masjid di negeri ini dari 16 hingga 18 Disember depan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd. Rozali Saleh berkata, temu duga itu ditetapkan di tiga tempat di seluruh negeri bagi calon-calon dari tujuh buah daerah di negeri ini.

Katanya bagi calon dari Besut dan Setiu temu duga diadakan di Pejabat Agama Daerah Setiu pada 16 Disember bermula jam 9 pagi.

Temu duga bagi calon dari Kemaman dan Dungun akan dijalankan di Pejabat Agama Daerah Dungun manakala bagi calon dari Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang temu duga bakal dilangsungkan di Pusat Pentadbiran Islam Negeri, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu pada 18 Disember.

Antara syarat yang ditetapkan kepada calon-calon ialah mereka merupakan rakyat negeri Terengganu atau bermastautin di Terengganu, berumur antara 18 hingga 56 tahun dan mempunyai pendidikan minimun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu mereka juga perlu mempunyai suara yang baik dan berkebolehan dalam bacaan al-Quran serta sihat tubuh badan. - Bernama

Mayat warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Juru

Posted:

Mayat warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Juru

Mayat warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Juru

16/11/2013 8:49pm

BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Kampung Tok Panjang, Juru dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher dan tikaman di perut mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd. Lah berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan pada kira-kira 9.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

"Ketika ditemui, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan dompet duit juga tidak ditemui, mungkin mangsa disamun dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di belukar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kesempatan kedua Noah

Posted:

Kesempatan kedua Noah

Kesempatan kedua Noah

INI bukan satu cerita luar biasa, namun ia menjadi luar biasa bagaimana empat lelaki yang pada satu ketika telah jatuh terhempas di dalam satu lubuk gelap, ditarik semula untuk kembali bernafas dalam udara yang cukup nyaman. Ia, kemudian dianggap sebagai satu rahmat luar biasa yang tidak akan disia-siakan oleh mereka - Ariel, Lukman, Uki dan Reza.

Catatan gelap karier mereka bermula dua tahun lalu bersama Peterpan, saat vokalis mereka, Ariel dipenjarakan atas kesalahan pornografinya bersama beberapa wanita.

Sebaik dia terperuk di penjara, pada saat itu juga, tiga rakan yang lain yang sama-sama memperjuangkan Peterpan, 'mati' sama.

Padahal, sebelum semuanya diregut tanpa pesan, Peterpan saat itu masih khayal dengan kemewahan material dan populariti yang cukup hebat. Bagaimanapun, sepantas kerdipan mata, semuanya hilang ditelan badai.

Namun, Tuhan sayangkan umatNya, dan begitu yang terjadi kepada mereka. Sepanjang Ariel dipenjarakan, sememangnya rakan-rakan yang lain hilang semangat.

Malu untuk keluar berhadapan dengan khalayak, serta hampir berputus asa untuk meneruskan karier bermain muzik.

Bagaimanapun, keyakinan Reza, Uki dan Lukman menanti keputusan mahkamah untuk melepaskan Ariel dan kembali 'memandu' grup baharu mereka membuat Noah kembali berjalan dalam lapangan muzik Indonesia.

Bertemu empat lelaki ini serta seorang ahli baharu mereka, David, mencetuskan satu emosi yang sukar diterjemah dengan kata.

Ada kedukaan yang mereka cuba hilangkan dari ingatan, diganti dengan rasa gembira dan syukur bukan kepalang.

"Kesempatan kedua yang datang pada kami ini adalah kalam Allah," begitu pemain drum mereka, Reza, menyimpulkan tentang kembalinya Noah dalam belantara muzik Indonesia.

Bagi Uki pula yang menjawab dalam bicara penuh tersirat: "Setiap manusia melakukan kesalahan, dan apabila Tuhan bisa memaafkan seseorang itu, bermakna orang itu memang sering berada dalam perhatianNya."

Sementara Ariel yang melafaz kata syukur terhadap musibah yang menimpa dirinya pula dengan ringkas berkata: "Apa yang menimpa diri saya, adalah hal yang tidak berlaku kepada semua orang. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk punya peluang kedua dalam kehidupan saya."

Ternyata, kesempatan kedua yang diberi Tuhan memang diguna sebaik mungkin oleh mereka. Sejak Ariel dibebaskan dengan bersyarat, syarikat rakaman yang menaungi mereka, Musica, mengambil risiko cukup besar untuk kembali mempertaruhkan grup ini.


NOAH kini masih sibuk dengan konsert mereka di seluruh Indonesia.


Mereka merangka jelajah lima negara termasuk Malaysia dan Australia sebagai percubaan melihat termometer grup tersebut, adakah ia masih panas atau sudah tidak dipedulikan.

Tanpa sebarang tajaan, lalu terbang Noah menjengah lima negara memperdengarkan debut perdana mereka, Seperti Seharusnya yang digarap sepanjang Ariel berada di dalam penjara. Hasilnya sukses!

Sejak itu, sudah lebih setahun Noah tertubuh, mereka kini bagai mendapat nyawa baharu. Malah, dalam pada banyak yang menentang perlakuan Ariel pada satu ketika dahulu, kini semuanya terbentuk menjadi positif.

Noah menjadi raksasa dalam muzik Indonesia apabila menjadi grup nombor satu pada masa kini. Mereka juga hampir tidak punya waktu rehat dan padat dengan pelbagai jemputan melakukan persembahan, sekali gus membuat Noah menjadi grup paling mahal di republik tersebut.

Bercakap tentang hal tersebut, Uki dan Ariel tidak lekang menyebut ia sebagai keberuntungan terhadap peluang kedua yang tidak mungkin mereka lepaskan.

Ariel kemudian membuka cerita. Ujar lelaki berusia 32 tahun itu, kekuatan yang membuat dia kembali aktif dalam dunia muzik ialah kerana semangat setia kawan yang tinggi dalam diri tiga sahabatnya yang lain.

Mereka sanggup menunggu dirinya dan yakin bahawa jika mereka kembali aktif, kehadiran mereka mampu mencetus fenomena seperti dahulu.

"Sebenarnya sepanjang berada di dalam penjara, saya pernah menyuarakan pendapat agar mereka menubuhkan grup lain atau berjalan tanpa saya kerana saya tidak tahu tentang keputusan dan masa depan yang akan diputuskan terhadap saya.

"Bagaimanapun, mereka tetap setia dan ia menjadi satu kepercayaan buat saya untuk kembali aktif. Sementelah, dalam masa yang sama, kami juga masih dalam kontrak, jadi masih belum boleh berpecah untuk tidak melanggar kontrak," ujar Ariel.

Uki yang duduk di sebelah Ariel kemudian mencelah. Dia menjelaskan, sepanjang Ariel dipenjarakan, mereka tetap berkarya dan sebagai satu tanda penghargaan, mereka telah melahirkan sebuah album instrumental khusus buat Ariel dan peminat mereka. "Ya, memang kami punya pilihan untuk tidak menanti dia, namun kami percaya kepada semangat setiakawan.

"Lantas, sepanjang dia berada di dalam penjara, kami di luar mengerjakan sebuah album khas untuk peminat tanpa 'menghilangkan' Ariel di situ.

"Saya fikir, terpisahnya kami dulu, bukan alasan untuk kami berjalan tanpa dia. Justeru, sebaik mendengar keputusan mahkamah yang membebaskan dia tanpa syarat, kami terus bersatu untuk memastikan Noah kembali."


NOAH berharap agar filem Noah, Awal Semula dinilai dengan perspektif yang positif.


Sebaik Ariel dibebaskan, masalah mereka ialah adakah pertaruhan yang dirancang akan berhasil. "Sebaik saya dibebaskan, kami bersama Music menggunakan plan A untuk mencuba pasaran kami, dan ternyata ia berhasil, maka setakat hari ini, kami tidak perlu menggunakan plan B yang dipersiapkan jika plan A kami gagal," ujar Ariel pula.

Ariel saat ditanya bagaimana kehidupan di dalam penjara banyak membantu dirinya pada masa kini, tersenyum sebelum menjawab: "Saya telah memanfaatkan waktu dengan sebaiknya. Bukan dahulu saya tak punya waktu, ada, tapi tidak dimanfaatkan dengan perkara-perkara berfaedah.

"Misalnya, sepanjang di dalam penjara, saya banyak menghabiskan masa dengan mentelaah buku dan membuat saya mengerti lebih banyak hal yang sebelum ini saya terlepas pandang.

"Ya, perkara-perkara seperti ini, dalam ruang waktu saya sendiri inilah yang telah membantu kehidupan saya pada hari ini," ujarnya yang masih perlu melaporkan dirinya di penjara di Bandung sebulan sekali sebagai bukti dia tidak lari daripada negara sendiri.

Filem

Selain sukses dengan perjalanan baharu mereka, Noah juga kini melangkah setapak lagi apabila muncul dengan filem sulung yang diberi judul Noah, Awal Semula.

Ia merupakan sebuah filem yang mendokumentasikan semua perjalanan karier mereka sejak bersama Peterpan sehingga mereka bubar dan tertubuhnya Noah.

Menariknya filem yang dihasilkan oleh 700 Pictures, Berlian Entertainment dan Musica Studio's ini ialah garapan atau cantuman karier mereka dalam pelbagai emosi.

Paling meruntun, apabila setiap anggota melahirkan rasa 'mati' mereka saat Ariel ditangkap dan dipenjarakan, selain babak lelaki itu berada di dalam penjara dan bergaul dengan penghuni penjara yang lain.

Menurut sutradaranya, Putrama Tuta, apa yang cuba dia sampaikan di dalam filem tersebut ialah tentang kesempatan kedua yang Tuhan hadirkan buat sesiapa yang Dia kehendaki.

"Keseluruhan filem ini berkisar tentang jatuh bangun Peterpan, Ariel dan rakan-rakan serta Noah. Semuanya dilakukan tanpa satu pun babak lakonan, ia sebaliknya merupakan cantuman rakaman daripada jelajah konsert mereka dan temu bual bersama mereka.

"Harapan saya, agar penonton dapat melihat kejujuran pembikinan cerita ini yang mahu mengangat tentang setiap manusia mempunyai peluang kedua dalam kehidupan dan perlu yakin dengannya," ujar Putrama.

Sementara itu, Ariel dan Uki berharap agar semua khalayak mendapat manfaat daripada filem yang dipersembahkan oleh mereka. Ia bukan soal siapa mereka, tetapi soal kesempatan dan perjuangan mereka dalam dunia muzik.

Lelaki itu bukan muda - Noniswara

Posted:

Lelaki itu bukan muda - Noniswara

Lelaki itu bukan muda - Noniswara

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


PELAKON ini enggan memikirkan soal cinta buat masa sekarang.


BEBERAPA bulan lalu, kes penceraian pelakon Noniswara dengan Datuk Rosman Ridzwan sudah selesai dan kini dia sudah kembali solo. Namun, belum pun cukup setahun usia penceraiannya, wanita yang mesra disapa sebagai Nonis ini kini dihimpit kontroversi dengan gosip baharu tentang dirinya.

Menerusi perkhabaran yang masih bertiup itu, khabarnya Nonis, 44, kini sudah mempunyai kekasih baharu yang jauh lebih muda daripadanya. Nonis juga dikatakan sering juga membawa kekasih baharunya itu ke majlis-majlis dan ada yang pernah terserempak dengan mereka berdua.

Namun, itu sekadar gosip kerana tuan punya badan, tidak mengesahkan apa-apa tentang kebenaran berita tersebut.

Justeru, bagi mendapatkan kepastian dan tidak ingin membuat apa-apa spekulasi tentang perhubungan baharu itu, Kosmo! telah menghubungi Nonis. Ikuti pengakuan Nonis yang berbicara tentang kesahihan cerita yang disebarkan itu.

Kosmo! Bagaimana dengan kehidupan Nonis sekarang ini selepas kembali solo?

NONIS: Kehidupan saya masih seperti biasa. Sibuk dengan beberapa tawaran lakonan serta kerja yang saya lakukan dan juga anak-anak.

Namun, jika dahulu, ada suami, masa bersama suami harus ada. Kini, saya lebih banyak luangkan masa bersama rakan-rakan dan juga punya masa untuk sesi manjakan diri sendiri.

Selain lakonan, adakah Nonis ada melakukan kerja sampingan seperti perniagaan atau seumpamanya?

Bagi tawaran lakonan, saya pilih yang tidak mengambil tempoh masa lama. Saya ada ambil beberapa tawaran drama dan telefilem sahaja.

Selain itu, saya juga ada membuat kerja separuh masa iaitu menjadi perunding kewangan peribadi.

NONIS kini sibuk menguruskan kehidupannya bersama tiga orang anaknya.


Bolehkah Nonis komen tentang gosip yang mengatakan anda kini sudah ada pengganti?

Memang tiada pengganti atau kekasih buat masa ini. Memang saya akui, ada yang mahu mendekati, namun sekarang belum lagi masanya. Tambahan, saya baru habis tempoh edah tempoh hari, mana mungkin pula saya sudah mahu raikan dengan punya kekasih baharu. Saya kini ingin beri fokus terhadap karier dulu.

Jadi, tidak benarlah dakwaan tersebut?

Tak baik cerita begini dibuat. Saya ketika itu mengajak rakan saya untuk menemani saya ke majlis itu sahaja. Dia bukan kekasih atau sesiapa yang istimewa. Banyak lagi benda dalam perancangan saya yang ingin saya lakukan. Bukannya saya serik tapi malas saya ingin fikirkan tentang cinta buat masa ini.

Adakah ini bermakna Nonis tidak serik lagi untuk menjalinkan hubungan yang serius selepas ini?

Jodoh adalah ketentuan Allah, jika benar jodoh saya bersama sesiapapun, memang perkara tersebut tidak dapat dielakkan. Namun, jika benar saya mengenali seseorang, saya akan nilai dan kenal betul-betul sebelum membuat keputusan.

Ini perkahwinan saya yang ketiga, jadi saya mahu sangat berhati-hati dalam memilih pasangan dan membuat keputusan. Memang saya tidak menafikan ada yang mahu rapat tapi saya masih tidak buka ruang itu untuk sesiapa.

Jadi, boleh Nonis beritahu siapakah gerangan jejaka muda yang dilihat bersama anda ke majlis seperti yang diperkatakan?

Lelaki itu sebenarnya kawan saya dan dia bukan muda seperti yang dikatakan. Dia sebaya dengan saya. Orang kenal saya, tahu umur saya, dan orang tidak kenal dia. Mungkin juga penampilannya, orang nampak dia muda. Memang belum terbuka hati saya dan jika keluar pun kami ramai-ramai bersama kawan-kawan.

Mungkin juga orang salah sangka kerana saya sering bertemu dengan klien atas urusan kerja. Saya mahu fokus terhadap masa depan saya kini, dan bukan perkara sebegini.

Saingan finalis Ratu Rania

Posted:

Saingan finalis Ratu Rania

Saingan finalis Ratu Rania

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

AIDA yang nampak lembut sebenarnya seorang wanita yang tegas.


SETELAH sembilan minggu bersaing, program realiti Ratu Rania bakal berakhir. Program yang baru bersiaran untuk musim pertama itu merupakan sebuah rancangan pencarian ikon wanita moden dan kini, dua finalis akhir telah pun diumumkan.

Dua orang ibu iaitu Normazuraida Zakaria, 34 tahun dan Rosnawati Bachok, 37 tahun merupakan finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran Ratu Rania musim yang pertama ini.

Finalis yang dipilih melalui sistem permarkahan 100 peratus oleh tiga orang juri tetap yang terdiri daripada Rizalman Ibrahim, Rozita Che Wan dan Ziana Zain itu telah mengetepikan dua lagi peserta di peringkat separuh akhir.

Selain menguji sejauh mana pengetahuan mereka terhadap produk Safi Rania, mereka juga dinilai mengikut tiga kriteria utama yang lain iaitu keyakinan diri, pengetahuan am dan berpersonaliti menarik.

Walaupun mereka merupakan seorang ibu dan isteri, tanggungjawab terhadap keluarga tidak diabaikan walaupun mempunyai jadual yang sibuk. Namun begitu, mereka terpaksa berkorban dari segi masa untuk dibahagikan antara menjadi peserta program serta menguruskan keluarga.

Aida tegas dalam kelembutan

"Walaupun jadual saya padat, saya tidak sesekali abaikan keluarga ketika sibuk menguruskan karier saya sebagai pegawai tadbir di Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Saya akui saya perlu bijak bahagi masa, tambahan pula saya seorang ibu tunggal," tutur Normazuraida atau lebih mesra disapa Aida ini.

Apa yang menariknya, ketika bertemu wanita itu, dia kelihatan seperti seorang wanita yang lemah lembut pertuturannya.

WATIE, ibu moden yang sudah mempunyai tiga orang anak.


Namun, hakikatnya Aida merupakan seorang yang tegas di tempat kerjanya dan perkara tersebut diakui oleh pekerjanya sendiri.

Bicara Aida tentang kelebihan dirinya sebagai peserta program ini ialah dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta punya personaliti yang menarik.

Tambahnya, sepanjang tempoh menjadi peserta Ratu Rania, dia telah melakukan segala tugasan dengan penuh semangat.

Watie raih sokongan keluarga

Lain pula cerita Rosnawati Bachok atau lebih mesra dengan panggilan Watie yang bersyukur kerana mendapat sokongan suami serta anak-anak sepanjang menjadi peserta program itu. Watie yang merupakan seorang pegawai pentadbiran dan peragawati sambilan berkata, dia perlu bijak menguruskan jadual.

"Ketika saya mula-mula terlibat dalam program ini, keadaan memang kelam-kabut kerana ingin uruskan anak-anak serta suami, tambahan pula dengan karier saya. Namun, saya berterima kasih kepada anak-anak dan suami kerana sentiasa menyokong saya.

"Anak-anak merupakan pengkritik tetap saya di rumah. Selain itu, apabila terlibat dalam program ini, saya terpaksa korbankan karier sebagai peragawati sambilan untuk beri lebih fokus terhadap semua ini," jelas Watie yang mempunyai tiga orang cahaya mata.

Bicara Watie, sepanjang terlibat dalam Ratu Rania, dia menghadapi cabaran dalam mengekalkan stamina untuk mengharungi cabaran yang telah disediakan. Ini kerana sejak beberapa tahun lamanya, dia tidak aktif melakukan aktiviti berat.

Kedua-dua finalis itu ternyata menyimpan harapan untuk menang sejak mula menyertai program ini.

Mereka mempunyai kekuatan diri dalam merebut gelaran juara Ratu Rania musim pertama.

Episod akhir Ratu Rania akan disiarkan pada Rabu, 20 November ini pukul 9.30 malam di saluran Astro Prima (saluran 105). Saksikan siapa yang bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM50,000.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved