Isnin, 7 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Al-Sa'adah kompleks bersepadu saudara baharu

Posted:

Al-Sa'adah kompleks bersepadu saudara baharu

Al-Sa'adah kompleks bersepadu saudara baharu

PENULIS dan jurugambar Wahidin Salim berpusing-pusing di sekitar Jalan Rahang, Seremban, Negeri Sembilan mencari sebuah bangunan yang kini menjadi buah mulut dalam kalangan komuniti mualaf Cina di seluruh Malaysia.

Berpandukan foto bangunan yang dirujuk daripada internet, kami berdepan sedikit kesulitan mencari tempat tersebut. Selepas bertanya kepada beberapa penduduk sekitar, barulah kami tiba di lokasi tersebut.

Bangunan itu terletak betul-betul di pinggir jalan yang sunyi, redup dipayungi pohon-pohon besar. Papan tandanya tertera jelas, Kompleks Al-Sa'adah. Ya, itulah bangunan yang kami ingin kunjungi untuk eksplorasi murni kali ini.

Kedatangan kami disambut seorang lelaki berkopiah. Janggutnya sederhana panjang, mengingatkan saya kepada watak dalam drama Cina klasik ditambah pula dengan alis kening tebal dan mata sepetnya. "Tidak susah bukan mencari tempat ini?" ajunya kepada kami yang masih keliru dengan reka bentuk kompleks tersebut.

Lelaki itu, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah, 33, kemudiannya menuntun kami ke bahagian atas kompleks berusia dua tahun tersebut. Sebelum tiba di ruang utama solat, pengunjung perlu melewati taman mini bangunan tersebut.

Pandangan dijamu dengan kehijauan pokok-pokok hiasan yang sinonim dalam komuniti Cina. Sejenis bonsai daripada kumpulan ficus diletakkan di setiap penjuru empat taman kecil itu dan di tengahnya terletak indah pasu-pasu dengan ukiran tulisan Cina berisi pohon fir China.


KELAS agama yang dijalankan di kompleks ini bertujuan membimbing saudara baharu dalam Islam dan diadakan secara percuma.


"Secara asas, kompleks ini didirikan berteraskan nilai-nilai kesenian masyarakat Cina. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Besar Xian di wilayah Shaanxi, China manakala reka bentuknya menerapkan ciri-ciri bangunan di Uzbekistan.

"Kesemua hiasan dinding dan kebanyakan bahagian bangunan yang berunsur kesenian Cina dibawa khas dari China," jelas Ridzuan yang memeluk Islam pada tahun 2001.

Fungsi

Kompleks berkeluasan 0.7 hektar itu juga mempunyai sebuah pagoda, menara bertingkat yang dikelilingi bumbung hiasan pada setiap tingkat yang juga lambang konseptual agama Buddha. Bahagian utama kompleks itu termasuk sambungan kecil juga ketara kelihatan seperti rumah ibadat agama tersebut.

"Memang pernah beberapa kali orang Cina beragama Buddha datang ke sini kerana menyangka kompleks ini tokong untuk sembahyang. Namun selepas dijelaskan, mereka terkejut dan mengagumi penerapan budaya Cina pada keseluruhan kompleks ini yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan utama Cina Muslim di Negeri Sembilan.

"Pada awalnya, orang awam keliru dan kami tidak ralat terhadap persepsi tersebut. Kompleks ini menjadi bukti bahawa kebudayaan asal sesuatu bangsa itu bukanlah pemilikan mutlak sesebuah agama dan jika orang Cina, khususnya, memeluk Islam sekalipun, kami masih bebas mengagungkan kesenian bangsa kami," penuh isi penerangan Ridzuan yang menetap di salah sebuah kuarters di kompleks tersebut.

Kompleks Al-Sa'adah yang mula beroperasi pada tahun 2011 dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Januari tahun lalu.

Cadangan pembinaan kompleks itu pada asalnya adalah bagi mewujudkan sebuah masjid khas untuk komuniti Cina Muslim di Negeri Sembilan.

Kamal Amran Kamarudin, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memberitahu, ketika itu, orang Melayu, India Muslim, Pakistan, India Malabar, komuniti berbahasa Tamil, Urdu dan sebagainya telah mempunyai masjid atau madrasah masing-masing.


KOMPLEKS Al-Sa'adah merupakan pusat perlindungan kepada mualaf Cina yang pertama di Malaysia menggunakan konsep penerapan budaya kaum Cina pada bangunannya.


"Kompleks Al-Sa'adah diwujudkan sebagai tempat untuk masyarakat Cina Muslim berkumpul dan menjalankan aktiviti mereka.

"Peruntukan operasi kompleks dan pembiayaan saudara baharu yang mendapatkan perlindungan di sini dibiayai sepenuhnya oleh MAINS melalui dana zakat (asnaf mualaf)," jelas Kamal Amran ketika dihubungi Kosmo!.

Kelas agama

Sementara itu, kompleks itu turut menyediakan kelas fardu ain dan al-Quran sepanjang minggu pada sebelah malam untuk saudara-saudara baharu di kompleks tersebut dan kawasan sekitar. Kesemua tenaga pengajar yang mengendalikan kelas tersebut datangnya daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan berpengalaman dalam mengajar kelompok mualaf.

Ketika kunjungan kami ke kompleks itu, kebetulan sedang berlangsung satu kelas agama yang dihadiri sebilangan kecil saudara baharu Islam. Seorang wanita berusia 63 tahun, Fatimah Ng Abdullah antara mualaf Cina yang sempat saya temui.

Jika diamati secara kasar, wajah warga emas itu tiada bezanya seperti wanita Muslimah lain. Siapa sangka, di sebalik tudung yang meliputi penuh kepalanya, Fatimah ialah mualaf yang sudah lima tahun setengah mendalami ajaran Islam.

Dia yang ditemani anak keduanya, Usman Hew Abdullah, 41, juga seorang mualaf dahulunya berpegang kepada kepercayaan Kristian.

"Segalanya bermula apabila seorang daripada tiga anak lelaki saya memeluk Islam dan mengahwini seorang perempuan Melayu. Kami sekeluarga menerima pilihannya dengan hati yang terbuka dan selepas itu kami mula belajar tentang Islam.

"Bagaimana solat membantu kerohanian seseorang dan keluhuran akhlak dan pekerti murni yang diterapkan Islam akhirnya membentuk dimensi berbeza kami terhadap agama ini. Arwah suami saya telah meluahkan hasratnya menganut Islam dan secara berperingkat, kami sekeluarga selamat diislamkan," kongsi Fatimah yang hampir dua tahun mengikuti kelas agama di kompleks tersebut.

Islam di China

Menyempurnakan keistimewaan Al-Sa'adah sebagai serambi dakwah mualaf Cina di negara ini adalah dengan pelantikan imam tetap kompleks itu, Abu Bakar as-Siddiq atau nama Cinanya Yu Xiao Long, 36, yang berasal dari Gansu, China.

Jangka masa empat tahun di Malaysia pada mulanya meletakkan Abu Bakar di Sarawak. Dua tahun setengah menabur bakti selaku mubaligh ajaran Islam di sana, pemilik ijazah dalam hadis, tauhid dan pengajian Islam itu kemudiannya dipanggil Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Negeri Sembilan untuk berkhidmat di As-Sa'adah sejak dua tahun lalu.


MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) turut sama memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di kompleks ini.


Abu Bakar memang dilahirkan sebagai Islam dan menguasai bahasa Arab dengan sempurna. Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, proses dakwah di Malaysia kini melalui perkembangan positif.

"Konsep penyebaran agama Islam di China dan Malaysia tidak banyak beza cuma di sini bahasa menjadi antara cabaran utama. Kaum Cina di sini kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan tinggi terhadap Islam.

"Malaysia perlu memperbanyakkan pendakwah berketurunan Cina bagi melancarkan kerja-kerja dakwah. Berdasarkan pengalaman saya, ramai orang Cina di sini ingin mengenali Islam tetapi tidak menemui rujukan yang terbaik.

"Jika diimbas semula, zaman Tunku Abdul Rahman merupakan waktu kegemilangan dakwah Islam kepada orang Cina di negara ini. Ketika itu, Malaysia dan China menjalinkan hubungan dakwah Islam.

"Seorang tokoh agama Islam terkenal dari China pada masa itu juga bertanggungjawab membawa masuk imam-imam dari China ke Malaysia untuk berdakwah kepada kaum Cina di sini," ujar Abu Bakar yang dilahirkan dalam etnik Hui, suku ketiga terbesar di China dengan majoritinya beragama Islam.

Muzium Memorial 11 September 2001

Posted:

Muzium Memorial 11 September 2001

Muzium Memorial 11 September 2001


DINDING usang pada bahagian kiri ini merupakan dinding asas yang asal kepada bangunan Pusat Dagangan Dunia dan item terakhir yang dikeluarkan dari tapak runtuhan.


SABAN tahun, setiap kali ulang tahun tragedi 11 September 2001 diraikan, dunia pasti mengenang bencana tersebut sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.

Lokasi tragedi di Ground Zero, New York, Amerika Syarikat (AS) itu menjadi saksi kepada keruntuhan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas ia dirempuh dua pesawat penumpang dalam siri serangan pengganas Al-Qaeda.

Kini, selepas 12 tahun bencana itu terjadi, kawasan itu dibangunkan semula sebagai mercu tanda peringatan. Di tengah-tengah tapak Ground Zero itu, terletak Plaza Memorial yang menempatkan dua kolam besar. Setiap kolam mempunyai lowong di tengahnya, menjadi saluran air yang mengalir tenang, setenang suasana di kawasan tersebut.

Setiap kolam dikelilingi dengan ukiran 2,983 nama mangsa yang terkorban dalam bencana dahsyat itu. Kesunyian tempat itu bertambah apabila emosi lebih 10 juta pengunjung bersatu dengan kepiluan mereka yang menangisi pemergian insan yang tersayang.

Itu gambaran yang dapat dilihat di kawasan memorial, jauh berbeza dengan apa yang berlaku di bawah tanah tempat tersebut. Bunyi bising kerja-kerja gerudi dan percikan api daripada kimpalan kian jelas didengari dan dilihat apabila memasuki tapak pembangunan yang terletak di dalam perut Ground Zero.

"Kami menyediakan ruang khas di bawah tanah Plaza Memorial ini. Jadi pengunjung di sini sedang berjalan di atas bumbung sebuah muzium," ujar Pengarah Muzium & Memorial Negara 11 September yang kini berada pada fasa akhir pembangunan.


KOLAM di Plaza Memorial secara amnya merupakan bumbung kepada muzium memorial yang terletak di bawah tanah kawasan Ground Zero.


Memori

Muzium yang dibangunkan di bawah tanah dengan ketinggian tujuh tingkat itu pernah berdepan beberapa kali penundaan. Dana dan banjir akibat taufan Sandy antara cabaran yang dilalui sepanjang projek itu berlangsung.

Namun dua masalah itu agak kecil jika dibandingkan dengan cabaran bagi menghentikan mimpi ngeri tragedi 11 September. Seperti yang diketahui umum, fungsi utama muzium itu adalah bagi mengenang memori yang mahu dilupakan semua rakyat AS.

"Kebanyakan muzium merupakan bangunan yang mengandungi artifak. Muzium ini pula terkandung dalam artifak," tambah Greenwald.

Semua artifak besar daripada tragedi tersebut seperti dua serpihan besi bengkok, impak pelanggaran pesawat yang merempuh menara utara WTC dan tiang besi yang remuk yang menyerupai bebola benang gergasi telah siap diletakkan di dalam muzium tersebut.

"Kami memperoleh momentum yang tinggi bagi menyiapkan muzium ini menjelang hujung tahun ini dan ia sesuatu yang mengagumkan," luah Ketua Pegawai Operasi muzium, Joseph Daniels.

Tahun lalu, kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan kira-kira 12 bulan akibat perselisihan pendapat antara pihak muzium dan pemilik tapak, Port Authority of New York and Jersey. Sejurus pergeseran itu diselesaikan, taufan Sandy pula melanda AS dan membanjiri tapak pembinaan.

Bayaran masuk

Terdapat juga kontroversi lain, misalnya, pada awal tahun ini, lembaga muzium memutuskan untuk meletakkan bayaran masuk muzium itu pada harga AS$20 hingga AS$25 (RM65 hingga RM82). Keputusan itu menimbulkan kemarahan kepada kumpulan yang mahukan kemasukan diberikan secara percuma.

Ironinya, operasi tahunan muzium yang dibina pada kos RM2.3 bilion itu dianggarkan bakal mencecah RM197 juta. Setakat ini, ia berjaya meraih RM1.4 bilion dan menerima RM1.2 bilion daripada pemerintahan pusat.

"Kami membuka sebuah tempat suci, jadi standardnya perlu tinggi dan keselamatannya mesti diutamakan. Untuk itu, kami memerlukan dana yang tinggi," ujar Daniels.

Katanya, keluarga mangsa bencana itu tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan diberi potongan bayaran masuk khusus untuk beberapa kumpulan. Daniels turut menambah: "Muzium akan dibuka secara percuma selama beberapa jam untuk setiap minggu."

Ujar Daniels, bayaran masuk akan ditetapkan sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan tiketnya dijual seawal tahun 2014.

Artifak pertama yang akan disaksikan pelawat apabila mereka melintasi astaka kaca di aras bawah muzium itu ialah dua besi trisula yang pernah menjadi sokongan kepada dua menara WTC.

Para pelawat juga berpeluang melihat foto-foto bandar Manhattan beberapa minit sebelum pesawat merempuh WTC. Ketika melalui ruangan peta dunia, mereka akan mendengar rakaman masyarakat di seluruh dunia tentang kejadian tersebut.

SERPIHAN besi dari menara utara Pusat Dagangan Dunia turut dipamerkan di muzium memorial ini.


Dua bahagian

Mereka turut dibawa merentasi dinding usang, konkrit bertulang yang pada asalnya dibina bagi mengekang kemasukan air Sungai Hudson ke dalam WTC dan berjalan pada tangga mangsa terselamat yang dianjurkan dari Plaza WTC ke Vessey Street, yang menjadi laluan keluar kepada ratusan mereka yang terselamat.

Di tengah-tengah Foundation Hall pula, terletaknya kepingan besi terakhir yang dialihkan dari tapak kejadian pada upacara yang berlangsung pada Mei 2002. Ia dipenuhi dengan nota, mesej dan tanda kenangan pekerja yang terselamat dan saksi utama kejadian.

Muzium itu dipecahkan kepada dua bahagian. Zon pertama didedikasikan kepada 2,983 mangsa yang terkorban di tempat kejadian, termasuk enam individu yang dibunuh pada serangan 1993.

Terletak di tapak asal menara selatan WTC, ia akan mempamerkan sebahagian barangan mangsa termasuk rakaman mesej tentang mereka daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Zon kedua pula yang terletak di tapak asal menara utara, dikhaskan untuk penceritaan sejarah kejadian tersebut. Maklumat berkenaan perancang tragedi itu, Osama bin Laden dan ahli kumpulan Al-Qaeda, turut diletakkan di dalam seksyen sejarah, namun jauh daripada kawasan pameran untuk ahli-ahli keluarga mangsa. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Pelajar SMK Batu Kikir diberi motivasi sebelum STPM

Posted:

Pelajar SMK Batu Kikir diberi motivasi sebelum STPM

Pelajar SMK Batu Kikir diberi motivasi sebelum STPM

SEBAHAGIAN pelajar SMK Batu Kikir yang mengikuti program motivasi bergambar kenangan bersama tenaga pengajar dan kakitangan MAINS di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.


SEMANGAT. Seramai 123 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyertai program motivasi anjuran Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) baru-baru ini.

Penyelaras Kaunselor MAINS daerah Kuala Pilah, Mohd. Hasni Zulkiflee berkata, program yang dinamakan 'Ku tahu Ku ada Kamu' dianjurkan sebagai persediaan kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak lama lagi.

"Pada program kali ini seramai 17 kaunselor MAINS dari pelbagai daerah memberi bimbingan kepada para pelajar ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kelak.

"Pada program ini juga kita banyak memberi penekanan berkaitan bidang agama, selain mengajar teknik betul menjawab soalan untuk memperoleh keputusan yang cemerlang," katanya.

100 pelajar UCB sertai khidmat masyarakat

Posted:

100 pelajar UCB sertai khidmat masyarakat

100 pelajar UCB sertai khidmat masyarakat


PARA pelajar University College Bestari bergambar kenangan pada program kemasyarakatan di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu baru-baru ini.


BERKHIDMAT. Seramai 100 pelajar University College Bestari (UCB) berpeluang menimba pengalaman baharu apabila mereka menyertai pelbagai aktiviti dalam program kemasyarakatan di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu baru-baru ini.

Mereka yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Kewangan mengikuti program seperti membersihkan kawasan masjid, balai raya dan mencari lokan di sungai.

Program tersebut anjuran UCB dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Fikri.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UCB, Prof. Madya Ahmad Suhaily Mohd. Salleh berkata, beliau yakin para pelajar mendapat pengalaman manis memandangkan kebanyakan mereka baru pertama kali mencari lokan di sungai selain menyertai aktiviti kemasyarakatan di kampung itu.

"Untuk aktiviti gotong-royong, para pelajar turut membersihkan masjid dan kawasan sekitarnya selain menanam pokok kelapa.

"Program ini memberi peluang kepada pelajar berbakti dan beramah mesra dengan masyarakat setempat," katanya.

Arena Conduct FC juara karnival futsal

Posted:

Arena Conduct FC juara karnival futsal

Arena Conduct FC juara karnival futsal


PASUKAN Arena Conduct FC (jersi putih) bergambar bersama pasukan F1 United sebelum perlawanan akhir Karnival Futsal 2013 di Safira Sports Planet Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.


MENANG. Pasukan Arena Conduct FC dari Kulim, Kedah muncul juara Karnival Futsal 2013 selepas menewaskan F1 United FC pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-1 di Safira Sports Planet Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Arena Conduct membolot hadiah utama RM3,000 manakala United FC pula berpuas hati dengan wang tunai RM2,000 pada perlawanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM6,500 itu.

Pengerusi karnival, K. Lingasparan memberitahu, sebanyak 48 pasukan menyertai perlawanan itu yang dianjurkan Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Pulau Pinang.

Majlis perasmian karnival itu disempurnakan oleh Pengerusi FMM Pulau Pinang, Khoo Cheok Sin manakala hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi FMM, S. Pitchaiappan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Enam terbunuh dirempuh trak gergasi di Mexico

Posted:

Enam terbunuh dirempuh trak gergasi di Mexico

Enam terbunuh dirempuh trak gergasi di Mexico

KEADAAN menjadi kecoh selepas trak raksasa itu merempuh para penonton yang berada di salah satu pentas pada pertunjukkan kelmarin.


CIUDAD JUAREZ - Enam orang maut dan 47 yang lain cedera selepas sebuah trak gergasi merempuh pentas utama semasa satu pertunjukan di utara Mexico kelmarin, kata beberapa pegawai.

Nahas berlaku selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi.

Jurucakap majlis perbandaran Chihuahua, Jose Luis Dominguez berkata, dua kanak-kanak merupakan antara yang terkorban dalam acara Extreme Airshow di bandar itu.

Menurut Dominguez, kemalangan berlaku pada pukul 7 malam (waktu tempatan) apabila kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh pentas di taman El Rejon.

Pertunjukan memusnahkan sejumlah kereta kecil dengan trak pikap bertayar gergasi kelmarin menarik sekitar 3,500 penonton. - AFP

AS tangkap pemimpin Al-Qaeda

Posted:

AS tangkap pemimpin Al-Qaeda

AS tangkap pemimpin Al-Qaeda

TRIPOLI - Tentera Amerika Syarikat (AS) berjaya menangkap seorang pemimpin kumpulan militan Al-Qaeda di Libya yang dikaitkan dengan pengeboman Kedutaan AS di timur Afrika pada tahun 1998.

Suspek itu, Nazih Abdul-Hamed al-Ruqai yang turut dikenali sebagai Anas al-Libi dikehendaki oleh AS sejak lebih sedekad lalu.

Penangkapannya memberi tamparan hebat kepada organisasi Al-Qaeda yang pernah diterajui oleh Osama bin Laden.

Menurut beberapa anggota keluarganya, kumpulan lelaki bersenjata menaiki tiga buah kereta memberkas Anas di luar kediamannya di Tripoli.

Anas dipercayai kembali ke Libya semasa perang saudara pada tahun 2011 yang menyaksikan bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh.

Abangnya, Nabih berkata, tiga kende- raan mengepung pemimpin Al-Qaeda berusia 49 tahun itu semasa dia meletakkan kereta di luar rumahnya pada pagi kelmarin selepas solat subuh.

Sementara itu, pegawai AS yang enggan namanya didedahkan berkata, tiada kecede- raan berlaku ke atas tentera AS dalam operasi tersebut.

Anas merupakan senarai individu paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dengan ganjaran sebanyak AS$5 juta (kira-kira RM15.9 juta).

Suspek pernah didakwa di mahkamah persekutuan di New York kerana dituduh terlibat dalam pengeboman Kedutaan AS di Dar es Salaam, Tanzania dan Nairobi, Kenya pada 7 Ogos 1998.

Insiden itu mengorbankan lebih 250 orang.

Anas yang merupakan penuntut keju- ruteraan elektronik dan nuklear dari Universiti Tripoli dipercayai menjadi pakar komputer untuk Al-Qaeda, selain se- orang aktivis anti-Gaddafi. - AP

Sean Penn taja lima pelari Haiti

Posted:

Sean Penn taja lima pelari Haiti

Sean Penn taja lima pelari Haiti


SEAN PENN


NEW YORK - Pelakon terkenal Hollywood, Sean Penn berasa teruja apabila pertubuhannya akan menaja pelari dari Haiti untuk me- nyertai Maraton New York.

Larian sejauh 42 kilometer itu akan diadakan pada 3 November depan.

Penn, 53, menyatakan bahawa Pertubuhan Bantuan Rakyat Haiti (HRO) akan meneruskan usaha membangunkan semula Haiti dengan menghulurkan bantuan perubatan, penempatan semula, pro- gram pembangunan masyarakat, selain membawa harapan baharu kepada negara pulau itu.

"Kami telah mendapat lima pelari Haiti. Semuanya berjumlah 10 orang pelari yang akan berlari untuk mewakili Haiti dan pertubuhan ini," ujarnya yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif HRO.

HRO ditubuhkan oleh Penn selepas gempa bumi sekuat 7.0 pada skala Richter mengorbankan nyawa lebih 100,000 pendu-duk Haiti pada Januari tahun 2010.

"Saya baru pulang dari Port- au-Prince untuk melawat pelari maraton Haiti kami. Mereka sangat berdisiplin dan bersemangat tinggi.

"Ini merupakan kunjungan pertama mereka ke New York,"jelasnya. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Piala Malaysia: Separuh akhir pertama Kelantan dan ATM ditukar ke Stadium Shah Alam

Posted:

Piala Malaysia: Separuh akhir pertama Kelantan dan ATM ditukar ke Stadium Shah Alam

Piala Malaysia: Separuh akhir pertama Kelantan dan ATM ditukar ke Stadium Shah Alam

07/10/2013 9:08pm

KUALA LUMPUR - Venue perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan pada 18 Oktober ini telah ditukarkan ke Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, perlawanan tersebut dijadualkan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) iaitu gelanggang tuan rumah ATM.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, penukaran venue itu adalah atas permintaan ATM selepas mengambil kira jumlah penonton dan soal keselamatan..

Bagaimanapun, sepak mula perlawanan itu kekal pada jam 8.45 malam, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Stadium MPS mempunyai kapasiti 16,000 penonton manakala Stadium Shah Alam boleh menampung 80,000 penonton.

Stadium Shah Alam juga akan menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia pada 3 November ini berikutan penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kerja-kerja penambahbaikan padang di dalam stadium berkenaan. - Bernama

Dua beranak mati lemas, bot dinaiki dipukul angin kuat

Posted:

Dua beranak mati lemas, bot dinaiki dipukul angin kuat

Dua beranak mati lemas, bot dinaiki dipukul angin kuat

07/10/2013 8:56pm

KUALA LANGAT - Seorang bapa dan anak lelakinya maut apabila bot yang dinaiki mereka bersama tiga anggota keluarga yang lain dipukul angin kuat ketika sedang bersiar-siar di Sungai Telok Mengkuang dekat sini dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Nordin Manan berkata, mangsa pertama Hisham Hizir, 42, ditemui terapung berhampiran lokasi kejadian kira-kira setengah jam selepas insiden, dan disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke jeti Jalan Bandar Lama di sini.

Beliau berkata, mayat anak lelaki mangsa berumur tiga tahun, Muhammad Shammirul pula ditemui kira-kira pukul 2.45 petang ini.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Banting di sini untuk dibedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata kedua-dua mangsa bersama tiga lagi anggota keluarga sedang menaiki bot berkenaan apabila secara tiba-tiba ia menyenget akibat dipukul angin kuat.

Hisham, katanya, cuba menyelamatkan anak bongsunya itu namun kedua-duanya terjatuh ke dalam sungai.

Nordin berkata, ekoran kejadian itu satu operasi dijalankan namun dihentikan pada pukul 10.30 malam semalam dan disambung semula kira-kira pukul 8 pagi ini sebelum menjumpai mayat Muhammad Shammirul. - Bernama

Semua produk makanan KR1M perlu papar Sijil Mesti

Posted:

Semua produk makanan KR1M perlu papar Sijil Mesti

Semua produk makanan KR1M perlu papar Sijil Mesti

07/10/2013 8:39pm

BATU PAHAT - Setiap produk makanan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mesti memperoleh Sijil Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri (Mesti) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malik berkata, sehubungan itu adalah tidak benar tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan barangan makanan yang dijual kedai serbaneka itu berkualiti rendah.

Menyangkal dakwaan tersebut, beliau berkata, KR1M adalah antara pilihan utama rakyat untuk membeli barangan dapur kerana selain barangan berkualti, barangan yang dijual lebih murah antara 30 hingga 50 peratus berbanding barangan berjenama.

"Berikutan sambutan menggalakkan, kita merancang membuka 40 lagi kedai KR1M di seluruh negara termasuk 15 di Semenanjung untuk tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai KR1M di Bandar Baru Ayer Hitam di sini hari ini.

Kedai KR1M itu merupakan cawangan ke-12 kedai serbaneka itu di Johor.

Di Johor, sebanyak empat lagi KR1M akan dibuka iaitu di Segamat, Batu Pahat, Bakri serta Sri Gading dan setakat ini sebanyak 101 buah KR1M telah dibuka di seluruh negara, katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ikut langkah bintang Hollywood

Posted:

Ikut langkah bintang Hollywood

Ikut langkah bintang Hollywood

KATY PERRY, Mariah Carey, Britney Spears, Beyonce dan Victoria Beckham. Menyusur lembaran hidup bintang-bintang terkenal antarabangsa itu, mereka berkongsi arah tuju yang sama - mula menyanyi, mencipta nama kemudian memiliki jenama fesyen atau produk penjagaan diri sendiri.

Hal yang sama diledani penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 38, yang terbaharu tampil dengan jenama pewangi dikenali sebagai Ning.

Menyelak semula halaman hidup Ning terdahulu, isteri kepada Omar Sharif Christopher Layton Dalton itu pernah menghasilkan koleksi kapsul Ning's Fling hasil kolaborasi dengan jenama antarabangsa Flow tahun lalu.

Malah, ibu kepada Ryan Sky Dalton itu juga terdahulu terjun dalam dunia fesyen menerusi StunNing Creations yang mengeluarkan rangkaian pakaian lelaki dan wanita beberapa tahun lalu.

Ditanya adakah Ning meletakkan dirinya bak bintang antarabangsa terutama Hollywood dengan melebarkan sayap dalam dunia fesyen, jawabnya ringkas, ini hadiahnya kepada peminat.

"Saya tidak meletakkan diri setinggi artis Hollywood tapi selama 20 tahun dalam industri nyanyian saya mahu memberikan buah tangan kepada peminat dan penyokong tetap saya menerusi produk-produk ini di samping album.

"Tidak dinafikan langkah ini juga menjadi ikutan artis Hollywood setelah mereka melakar nama, mereka mahu mempunyai signatur sendiri," ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran wangian terbaharu Ning di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Faktanya, Ning merupakan artis ketiga di Malaysia yang mempunyai haruman jenama sendiri selepas Datuk Siti Nurhaliza menerusi Simplysiti dan Yuna (Yuna Decorate).

FIGURA ini juga bakal muncul dengan produk muzik hasil kolaborasi dengan komposer Indonesia, Ade Govinda.


Ning

Dua tahun, kata Ning, adalah tempoh masa yang diperuntukkan dalam proses pemilihan, penilaian dan penghasilan wangian terbaharu itu.

"Kecintaan saya adalah menyanyi dan menghiburkan peminat saya, maka penghasilan wangian Ning ini merupakan sisi peribadi saya sebagai wanita, ibu dan artis.

"Mempunyai jenama wangian sendiri adalah salah satu daripada impian terbesar saya dan langkah ini memerlukan banyak usaha, proses yang panjang serta tekanan dari segenap sudut.

"Pada mulanya saya tidak tahu bagaimana untuk bermula, saya mahukan wangian saya eksklusif maka saya memilih wajah, bau dan rupa yang tidak boleh sama dengan wangian lain di pasaran," katanya yang merancang untuk menghasilkan haruman untuk lelaki dan bayi kelak.

Tambah Ning, haruman itu mengambil inspirasi bau bunga-bungaan yang terdiri daripada bunga Afrika, oren mandarin, buah plum, bunga melur dan madu.

Ning sendiri sebenarnya terbabit dengan proses pemilihan bau wangiannya dan ujar Ning proses uji bau dijalankan selang seminggu selepas dia menghidu lebih 10 jenis bau setiap pagi.

Selain dijual di beberapa gedung beli-belah terkemuka seluruh negara, Ning turut memasarkan wangiannya menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad untuk pasaran antarabangsa.

Konsert

Umum sudah sedia maklum akan spekulasi penangguhan Konsert Pelangi Untukmu Ning Baizura dari tarikh 21 September ke 16 November memandangkan kegagalan penyanyi tersebut menyiapkan dua buah lagu terbaharunya.

Kembali mempersiapkan diri dan mengetepikan segala andaian negatif mengenai penangguhan konsert itu, kata Ning dia kini sudah bersedia untuk beraksi.

"Ada enam minggu lagi menjelang konsert, saya kini dalam proses menguruskan badan dan setiap hari akan ke gimnasium selama dua jam untuk mendapatkan bentuk badan yang saya inginkan.

"Selain itu, saya perlu lebih peka dan menjaga pemakanan dan sudah pasti diet ibu saya yang mengamalkan pengambilan sayuran menjadi panduan.

"Malah, dua minggu sebelum konsert saya akan mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Syafi Sharif untuk melatih dan mencari kembali kekuatan vokal saya selepas dua tahun beraksi di pentas konsert besar," katanya.

Ning menegaskan, pihaknya langsung tidak mengambil untung atas penjualan tiket berharga RM50 dan RM75 untuk konsert yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen TM itu, sebalik- nya hasil kutipan tiket akan digunakan untuk membayar kos teknikal sahaja.


MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hadir merasmikan majlis pelancaran pewangi Ning Baizura yang dikenali dengan jenama Ning di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Konsep konsert kali ini lebih personal dan mesra bersama peminat. Tidak akan ada tarian atau gimik yang tidak perlu, malah pentas juga bersifat arena 360 darjah untuk memudahkan saya berinteraksi dengan peminat.

"Kerana itu harga tiket yang dijual juga berpatutan. Saya bukan mahu mengambil untung, sebaliknya ini lebih kepada dedikasi saya kepada peminat," tambah Ning.

Album

Sementara itu, Konsert Pelangi Untukmu, kata Ning, akan dipecahkan kepada tiga segmen utama yang kebanyakan menceritakan tentang kehidupannya kini.

"Pertama, saya menggambarkan perasaan saya sebelum menjadi seorang ibu, kemudian segmen kedua lebih kepada kisah saya dan Ryan. Segmen terakhir berkisar kenangan lagu-lagu lama," ungkap Ning.

Ning bakal menyanyikan kembali beberapa buah koleksi lagu lamanya yang akan diberikan nafas baharu yang sengaja dibikin khas bersama tiga buah lagu baharu untuk dimuatkan dalam album terbaharu berjudul Kekal.

"Sudah pasti pendengar akan membandingkan versi lagu asal tapi saya mahu mereka mendengar perubahan vokal, susunan muzik dan perasaan saya dalam sentuhan baharu.

"Sempena Konsert Pelangi Untukmu juga, saya telah menyiapkan sebuah album terbaharu, judulnya Kekal yang memuatkan 10 buah lagu-lagu lama saya serta tiga buah lagu baharu," jelasnya.

Tiga buah lagu baharu yang dimaksudkan itu iaitu Bukan Wanita Sempurna, Pelangi Untukmu dan Embunan Bersinar digubah oleh Alvin Santiago serta komposer Indonesia, Ade Govinda.

Usai Konsert Ning@KL Live dua tahun lalu, konsert Pelangi Untukmu bakal melakar portfolio baharu dalam karier seni Ning.

Di samping berjaya tampil dengan jaluran produk penjagaan diri terbaharu dan pembabitan langsung pentas fesyen, kecemerlangan Ning menghasilkan album ke-12 tahun ini sebenarnya bukti Ning Baizura masih relevan dalam dunia hiburan.

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

Posted:

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

Oleh HARYATI KARIM

DIANA mengaku kesibukan suaminya, Zamarul membuatkan mereka jarang keluar bersama, namun Zamarul tetap pulang ke rumah.


HUJUNG minggu lalu dalam sebuah akhbar mingguan terdapat khabar angin yang mengatakan rumah tangga pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar yang dibina pada tahun 2009 itu sedang bergolak.

Semuanya gara-gara Diana yang dilihat sering bersendirian apabila menghadiri acara hiburan termasuklah persandingan pelakon Fouziah Gous baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, menurut khabar angin yang bertebaran, Zamarul dikatakan terlalu sibuk dan sudah lama tidak pulang ke rumah menjenguk isteri dan anaknya, Kashfi Haiqal, 3 tahun. Diana pula sering lihat berada di rumah ibunya di Shah Alam, Selangor.

Bagi mendapatkan pengesahan mengenai khabar angin ini, Kosmo! menghubungi Diana semalam dan ternyata dia cukup terkejut dengan khabar angin terbaharu itu. Bagaimanapun, Diana tidak menafikan dia sering bersendirian sejak kebelakangan ini.

Kosmo!: Benarkah rumah tangga Diana dan Zamarul sedang bergolak?

DIANA: Perkara itu tidak betul dan saya nafikan khabar angin tersebut. Kami masih bahagia dan rumah tangga saya berada dalam keadaan baik. Sebenarnya saya sendiri terkejut apabila tiba-tiba sahaja keluar berita seperti ini.

Sejauh manakah kebenaran yang mendakwa anda sering dilihat bersendirian tanpa suami menghadiri majlis-majlis hiburan?

Saya tidak nafikan memang saya selalu bersendirian ke mana-mana majlis hiburan dan majlis rasmi. Saya tidak boleh elak untuk keluar rumah sendirian kerana saya juga ada kerja yang harus diselesaikan, takkan kerana suami saya sibuk saya tidak boleh keluar rumah.

Khabar angin mendakwa, Zamarul sudah lama tidak pulang ke rumah manakala anda pula sering berada di rumah ibu di Shah Alam, Selangor. Benarkah?

Walaupun sibuk sehingga 3 pagi, suami saya tetap pulang ke rumah setiap hari. Kalau orang selalu lihat saya di rumah ibu, sebenarnya rumah saya, ibu serta kakak-kakak saya semuanya berdekatan. Kebetulan anak saya bersekolah dekat dengan rumah ibu, apa salahnya saya melawat ibu setiap hari.

DIANA RAFAR dan Zamarul Hisham masih bahagia sebagai suami isteri.


Jika kalian bahagia, bagaimanakah isu pergolakan rumah tangga ini boleh timbul?

Mungkin sebab memang orang selalu lihat saya sendirian dan kemuncaknya apabila saya hadir ke majlis persandingan Fouziah Gous seorang diri. Ramai rakan artis dan media bertanya di mana suami saya? Memanglah waktu itu, kami bercadang untuk hadir bersama tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia terikat dengan penggambaran. Mahu tidak mahu saya hadir seorang diri, memenuhi jemputan rakan saya.

Adakah kalian sudah berbincang mengenai khabar angin ini?

Setakat ini kami belum sempat berbincang lagi kerana cerita ini keluar secara tiba-tiba. Suami saya juga sibuk dengan kerja, cuma keluarga ada bertanya hal ini kepada saya, mereka juga terkejut tetapi selepas diterangkan keadaan sebenarnya mereka faham.

Isu rumah tangga bukan perkara yang remeh. Adakah anda tertekan dengan khabar angin ini?

Saya akui memang agak tertekan sebab saya tahu cerita ini pun daripada orang. Bila saya keluar tiba-tiba banyak mata yang memandang serong dan bertanyakan hal rumah tangga kepada saya. Sekarang saya masih kuat, saya takut jika khabar angin ini berlarutan, saya jadi tidak kuat.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?

Sekarang memang saya perlahankan kerjaya seni untuk beri tumpuan kepada keluarga tetapi saya masih berlakon dalam banyak telefilem. Jika tidak ada aral melintang, selepas ini saya akan terlibat dalam penggambaran drama bersiri untuk slot Samarinda. Selebihnya saya sibuk dengan urusan perniagaan dan tugas sebagai duta produk kecantikan Sumber Ayu dan Maixara.

Que Haidar cari bakat anak Felda

Posted:

Que Haidar cari bakat anak Felda

Que Haidar cari bakat anak Felda

Oleh HARYATI KARIM

QUE HAIDAR masih dengan prinsip yang sama iaitu selektif terhadap naskhah yang akan dibintanginya.


AKTOR Que Haidar anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor, cukup berjaya sebagai aktor yang disegani manakala rakan sekampungnya, Mawi pula berjaya sebagai penyanyi.

Rentetan daripada kejayaan mereka berdua, Ikatan Seni Kebudayaan Anak Felda kini sedang menjelajah Felda di seluruh Malaysia untuk mencari bakat baharu dalam bidang lakonan.

Que yang ditemui pada majlis memperkenalkan pakaian Girza 87 di butik Lord's Tailor, Bangsar, Kuala Lumpur bertindak sebagai panel uji bakat dalam siri jelajah itu.

"Saya anak Felda, jadi saya tahu apa yang dilalui anak-anak Felda. Bagi saya, program pencarian bakat ini satu perkara yang cukup bagus kerana berdasarkan pengalaman saya bukan mudah untuk bergelar seorang pelakon.

"Dulu, saya datang ke Kuala Lumpur seorang diri demi mengejar cita-cita sebagai pelakon. Banyak kesusahan dan cabaran yang terpaksa dilalui. Sekarang peluang itu ada di depan mata, cukup mudah untuk mereka sebagai anak Felda menunjukkan bakat yang ada," jelasnya.

Tambahnya lagi, peluang keemasan itu tidak patut dilepaskan kerana jika terpilih, mereka akan terus berlakon dalam filem yang berkisar tentang kehidupan di Felda dan ditaja oleh pihak Felda.

"Memang nampak mudah kerana pihak kami yang cari bakat mereka di Felda tetapi saya tahu kebanyakan remaja Felda mereka takut untuk mencuba kerana bimbang dikutuk rakan walaupun dalam diri minat terhadap seni lakonan cukup tinggi.

QUE HAIDAR menasihatkan anak Felda jangan malu diejek teman sekampung hanya kerana bercita-cita menjadi pelakon.


"Cara saya cukup mudah, jika saya nampak mereka berminat, saya terus tarik mereka hadiri uji bakat. Bagi saya peluang datang sekali. Sayang jika hanya kerana malu dan bimbang dikutuk rakan, mereka melepaskan peluang yang ada. Siapa tahu masa depan mereka cukup cerah selepas itu?" balasnya.

Setakat hari ini, Que telah menjalankan uji bakat di Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tidak lama lagi di Johor.

"Syarat utamanya, peserta mesti anak Felda. Jika tidak, mereka tidak layak. Sebenarnya saya sendiri terkejut, ramai anak Felda yang mempunyai bakat terpendam.

"Jika tidak ada aral melintang, selepas filem, mungkin pihak Felda ingin menubuhkan Institusi Kesenian Felda," katanya.

Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Que memberitahu, selain filem Rock 3, dia juga ditawarkan berlakon dalam dua filem lain.

Bagaimanapun, dia masih mempertimbangkan untuk menerima tawaran tersebut ataupun tidak kerana pada usia 34 tahun, Que lebih bersikap selektif.

"Sekarang saya lebih matang, bukan semua filem sesuai dengan saya. Kalau boleh saya tidak mahu filem yang membuatkan saya kelihatan bodoh.

"Drama pula, bukan saya tidak mahu tetapi tempoh penggambaran terlalu panjang terutama drama bersiri. Komitmen saya terhadap keluarga dan kerja lain akan terganggu. Jika bertemu dengan skrip yang sesuai dan kena dengan masanya, saya tidak keberatan untuk terima tawaran tersebut," jawabnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved