Khamis, 5 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dosa Bashar terhadap Syria

Posted:

Dosa Bashar terhadap Syria

Dosa Bashar terhadap Syria

"BAGAIMANA anda boleh membunuh 1,500 orang dalam tempoh kurang daripada sejam?"

Soalan itu tadi bukanlah teka-teki untuk menguji kepintaran anda. Sebaliknya itulah persoalan yang dilontarkan oleh seorang aktivis keamanan, Mohamed Zeyara, 19, kepada beberapa orang awam di Kanada kira-kira dua minggu lalu.

Pelbagai reaksi diterima dan rata-ratanya memberikan jawapan senjata kimia adalah senjata paling berkesan untuk membunuh ramai orang dalam tempoh yang singkat.

Semua itu dipaparkan dalam video bertajuk Canadians react to chemical massacre in Syria (Reaksi rakyat Kanada terhadap pembunuhan beramai-ramai di Syria) yang berdurasi lima minit 25 saat di laman YouTube.

Seorang daripada rakyat Kanada yang belum jelas tujuan soalan tersebut ditanyakan kepadanya bertindak menanyakan kembali apa tujuan pembunuhan secara beramai-ramai itu?

Insiden kejam tersebut didakwa dilakukan oleh rejim tentera Presiden Bashar Al-Assad dengan menggunakan senjata kimia sewaktu menggempur pinggir Damsyik, Syria pada 21 Ogos lalu. Antara kawasan yang terbabit ialah Jobar, EinTarma dan Zamalka yang terletak di timur Damsyik.

Rentetan serangan tidak berperikemanusiaan itu, kebanyakan kedai dan pasar raya di Damsyik dipenuhi oleh penduduk tempatan yang berebut menyimpan bekalan makanan sebagai persediaan dalam menghadapi kemungkinan yang lebih buruk.

Pertembungan politik

Rakyat Syria semakin terhimpit kerana harga barangan meningkat secara mendadak berikutan permintaan yang tinggi.

Namun, kesan gangguan fizikal dan psikologi terhadap rakyat Syria memberikan trauma yang mendalam dan mendapat perhatian masyarakat dunia secara umum.

Perang saudara di Syria, yang juga dikenali sebagai Kebangkitan Syria yang tercetus sejak 15 Mac 2011 apabila penunjuk perasaan di Damsyik mahu tahanan politik yang disokong mereka dibebaskan dari penjara.


SEORANG lelaki mendukung mayat kanak-kanak perempuan yang maut akibat terhidu racun kimia.


Pada April 2011, tentera Syria diarah untuk mematahkan pemberontakan yang berlaku semasa demonstrasi jalanan dengan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Selepas berbulan-bulan dikepung tentera, penunjuk perasaan berubah menjadi pemberontak bersenjata. Difahamkan, puluhan ribu penunjuk perasaan telah dipenjarakan dan terdapat laporan mendakwa tahanan tersebut diseksa dengan keganasan di penjara.

Menurut laporan Badan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) yang dikeluarkan pada 31 Ogos lalu, jumlah kematian melibatkan rakyat dan pasukan tentera Syria adalah seramai 110,371 orang.

Rakyat Syria, Kheireddine Nahleh, 53, berkata dia dan sebahagian besar penduduk negara itu sudah lali dengan bunyi dentuman bom yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

"Kematian semuanya sama, sama ada dengan bedilan meriam ataupun peluru berpandu Amerika Syarikat. Saya tidak takut," ujarnya tanpa rasa gentar.

Difahamkan, serangan senjata kimia baru-baru ini telah mengorbankan seramai 1,429 rakyat tidak berdosa termasuk 426 orang kanak-kanak.

Insiden tersebut bukan sahaja mendapat perhatian pemimpin dari negara-negara Islam tetapi turut membuatkan Presiden Perancis, Francois Hollande terpanggil untuk mengecam serangan berkenaan.

Senjata kimia

"Jenayah pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata kimia di Damsyik tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang hukuman," katanya kepada pemberita akhbar Le Monde yang disiarkan pada 30 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Pakar Senjata Kimia di SecureBio Ltd. yang berpangkalan di England, Hamish de Bretton-Gordon berkata, mangsa senjata kimia di Syria mengalami simptom menggelupur di seluruh badan akibat kesan keracunan yang menyerang saraf mereka.

"Saraf pada badan mangsa musnah secara berperingkat-peringkat oleh sejenis bahan kimia seperti sarin," ujarnya dalam wawancara bersama ABC News.

Biarpun ada dakwaan mengatakan rakaman mengenai kesan senjata kimia ke atas rakyat Syria yang dimuat naik di laman YouTube adalah palsu, Hamish tidak meragui sedikitpun kebenaran rakaman berkenaan.

Katanya, kanak-kanak tidak boleh memalsukan penderitaan yang dialami dan beliau sememangnya terkejut sekiranya video tersebut adalah lakonan semata-mata.


PAKAR senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (bertopeng gas) membawa sampel bahan kimia sambil diiringi pejuang bebas di Damsyik.


Bashar bagaimanapun menafikan serangan senjata kimia itu dicetuskan oleh rejim tenteranya dan mendakwa kenyataan itu tidak berasas.

Pakar Senjata Kimia merangkap Penganalisis Penyelidikan di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (England), Dina Esfandiary memberitahu, tanda-tanda yang dialami mangsa adalah mirip dengan kesan serangan senjata kimia.

Dina menyimpulkan senjata kimia yang digunakan tentera Syria bukan daripada jenis sarin seperti yang dipercayai oleh orang ramai.

"Jika senjata kimia tersebut ialah sarin, sistem saraf pasukan paramedik biasanya akan turut terjejas ketika mereka merawat (bersentuhan tanpa pelindungan) mangsa. Mungkin senjata kimia yang digunakan merupakan campuran pelbagai jenis bahan kimia.

"Kebanyakan mangsa mengalami masalah sesak nafas, wajah yang kebiruan, mata mereka seakan-akan mengembang dan tiada seorangpun mangsa menunjukkan tanda-tanda mereka mengalami kecederaan di luar badan," jelasnya.

Kegunaan asal sarin ialah sebagai racun perosak. Ia pernah digunakan oleh rejim tentera Iraq pada zaman Presiden Saddam Hussein bagi membunuh ribuan penduduk di bandar utara Halabja di utara Iraq pada tahun 1988.

Mangsa yang menghidu sarin atau terkena serapan gas kimia tersebut pada kulit akan mengalami kesan kelumpuhan pada sistem saraf dan otot di sekitar paru-paru yang menyebabkan maut.

Pada tahun 2012, Laporan Kongres Perkhidmatan Penyelidikan (CRS) mendedahkan hanya empat negara yang disahkan sebagai mempunyai senjata kimia iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Korea Utara dan Syria.

Syria dilaporkan menghasilkan senjata kimia dari jenis gas sarin, Tabun dan VX.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


5,000 hadiri rumah terbuka UMNO Larut

Posted:

5,000 hadiri rumah terbuka UMNO Larut

5,000 hadiri rumah terbuka UMNO Larut

RAJA AHMAD (tengah) membantu membuat apam balik untuk tetamu pada majlis Aidilfitri Merdeka UMNO Bahagian Larut di Selama baru-baru ini.


MERIAH. Kira-kira 5,000 pengunjung hadir pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Merdeka UMNO Bahagian Larut yang berlangsung di Selama, Perak baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, acara tahunan itu diadakan untuk meraikan penduduk khususnya dalam Parlimen Larut dan kawasan sekitar.

Katanya, kehadiran pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat jelas memperlihatkan keharmonian Malaysia.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Daud Yusop, Naib Ketua, Fauzi Kasim, Ketua Wanita, Sawipah Yahya dan Ketua Pemuda, Anuar Arifin.

Jamuan raya Jaksa Pendamai Daerah Gombak meriah

Posted:

Jamuan raya Jaksa Pendamai Daerah Gombak meriah

Jamuan raya Jaksa Pendamai Daerah Gombak meriah


ROHANI (berdiri dua dari kiri) bersama Zaleha (duduk dua dari kiri) dan Rahman (duduk dua dari kanan) serta tetamu pada majlis rumah terbuka di Batu Caves baru-baru ini.


RAYA. Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat Masyarakat Jaksa Pendamai Daerah Gombak merangkap Ketua Zon Gombak Setia, Rohani Talib mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Majlis dalam suasana santai itu turut meraikan rakan-rakan daripada Jaksa Pendamai Daerah Gombak serta penduduk berhampiran.

Turut hadir Naib Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Zaleha Ismail dan Presiden Persatuan NGO Gombak, Datuk Dr. Rahman Ismail.

Tren Merdeka KTMB KL Sentral-Ipoh

Posted:

Tren Merdeka KTMB KL Sentral-Ipoh

Tren Merdeka KTMB KL Sentral-Ipoh


MOHD. NOORDIN (tengah) bersama penumpang mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Merdeka Raya KTMB di dalam gerabak kereta api baru-baru ini.


TREN MERDEKA. Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) meraikan Hari Kemerdekaan ke-56 bersama kakitangan dan tetamu di dalam tren Ekspres Senandung Langkawi yang dalam perjalanan ke utara.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, program sambutan ambang merdeka itu merupakan acara tahunan yang diadakan sejak 2008 bagi mempelbagaikan aktiviti sempena kemerdekaan negara.

Katanya, program yang bermula dari Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan berakhir di Stesen Ipoh itu merupakan simbolik bagi mengenang semula perjalanan negara menuju ke arah kemerdekaan yang dikecapi kini.

Acara yang bermula pukul 9.30 malam pada 30 Ogos lalu itu melibatkan kira-kira 30 kakitangan KTMB dan pengamal media tempatan.

Menjelang ambang merdeka, peserta mengira beramai-ramai detik 12 tengah malam diikuti laungan merdeka sebanyak tiga kali sebelum mereka menyanyikan lagu Negaraku dan lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31, Jalur Gemilang dan 1Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


RON97 kini RM2.85 seliter

Posted:

RON97 kini RM2.85 seliter

RON97 kini RM2.85 seliter

KERAJAAN perlu mengubah suai cara berbelanja bagi mengimbangi kenaikan harga petrol. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 dinaikkan 15 sen kepada RM2.85 seliter berkuat kuasa tengah malam tadi.

Presiden Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman (gambar) mengesahkan kenaikan harga itu dalam temu bual dengan Bernama semalam.

Beliau berkata, harga RON97 perlu diselaraskan berikutan kenaikan harga minyak dunia, selain ringgit yang susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat.

RON97 tidak disubsidi oleh kerajaan dan harga ditentukan oleh apungan terurus berdasarkan kuasa pasaran.

Harga minyak dunia meningkat dengan minyak mentah Brent meningkat kepada AS$115.56 setong berikutan kebimbangan terhadap ancaman oleh Amerika Syarikat untuk menyerang Syria yang akan menjejaskan bekalan minyak Timur Tengah.

Ini merupakan peningkatan harga pertama untuk petrol RON97 selepas harga runcitnya meningkat 20 sen pada Mac lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kadar tambang pengangkutan darat dikaji

Posted:

Kadar tambang pengangkutan darat dikaji

Kadar tambang pengangkutan darat dikaji

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mengkaji kadar tambang industri pengangkutan darat secara menyeluruh ekoran kenaikan harga petrol dan diesel, Isnin lalu.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya peka dengan kenaikan itu dan kini sedang meneliti kesan langsung dan tidak langsung terhadap kenaikan itu.

"Kajian ini akan mengambil kira komponen kos operasi seperti bahan api, upah, kos penyelenggaraan dan insurans," katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa SPAD akan memastikan hasil kajian itu tidak membebankan rakyat atau pengendali pengangkutan awam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Roti canai, teh tarik naik 20 sen

Posted:

Roti canai, teh tarik naik 20 sen

Roti canai, teh tarik naik 20 sen


GUAT SENG menjual pelbagai barang keperluan di Pasar Awam Maharani, Muar semalam.


GEORGE TOWN - Para pelanggan kedai mamak dan restoran nasi kandar di negeri ini mendakwa mereka kini terpaksa membayar lebih 20 sen bagi setiap harga makanan dan minuman yang dijual di kedai-kedai itu sejak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak Isnin lalu.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Bayan Baru, Bayan Lepas dan George Town mendapati lima buah kedai nasi kandar di kawasan terbabit telah menaikkan harga makanan seperti roti canai, nasi lemak serta pelbagai lauk selain menaikkan harga minuman teh tarik dan minuman berais.

Sekeping roti canai kini perlu dibayar RM1 berbanding 80 sen sebelum ini, teh tarik RM1.20 berbanding RM1, nescafe ais RM1.90 berbanding RM1.70, milo ais RM1.90 berbanding RM1.70 manakala jus buah-buahan pula RM2.70 berbanding RM2.50.

Penyelia sebuah restoran nasi kandar di Bayan Baru memberitahu, harga baharu itu diputuskan oleh pihak pengurusan dan berkuat kuasa serta-merta tetapi dia menolak kenaikan tersebut ada kaitan dengan kenaikan harga petrol.

"Kenaikan harga makanan dan minuman tidak dapat dielakkan kerana kos operasi semakin bertambah. Senarai harga baharu di restoran kami akan dipaparkan sedikit masa lagi," kata penyelia restoran itu yang enggan dikenali.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Gantung dua tahun

Posted:

Gantung dua tahun

Gantung dua tahun

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TAUFEK menunjukkan buku peraturan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan dua tahun ke atas pemain Kelantan, Zamri Ramli yang gagal dalam ujian doping pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak memberitahu, Zamri didapati positif mengambil bahan terlarang iaitu dadah jenis methamphetamine.

"Pemain itu (Zamri) positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan laporan yang dibuat oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di India.

"Dia mengaku salah atas kesalahan mengambil bahan terlarang oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan WADA.

"Selepas membuat pertimbangan dari aspek latar belakangnya, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan dua tahun terhadap pemain itu yang mana dia tidak akan dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti bola sepak di bawah kelolaan FAM dalam tempoh itu," kata Taufek kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Taufek memberitahu, Zamri dibenarkan mengemukakan rayuan memandangkan hukuman tersebut adalah minimum.

"Harus diingat, Zamri dan KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) masih boleh mengemukakan rayuan.

"Buat masa ini, hukuman itu ditangguhkan sementara bagi memberikan peluang dan ruang kepada Zamri dan KAFA untuk membuat rayuan.

"Zamri harus mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari sebaik sahaja FAM mengeluarkan surat (pertuduhan)," tambah Taufek.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Zamri yang enggan mendedahkan identitinya, mengaku tidak bersalah selepas gagal dalam ujian doping tersebut.

Sebaliknya, dia mendakawa hanya mengambil supplemen tambahan tanpa merujuk pegawai perubatan KAFA.

Dalam pada itu, Taufek memaklumkan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM40,000 atas kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan ketika Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 6 Julai lalu.

Ia gara-gara penyokong skuad Harimau Selatan itu yang didapati bersalah membakar suar dan membuang resit putih pada aksi Liga Super itu.

"Johor Johor DT mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut. Mereka didapati gagal menyediakan anggota keselamatan yang mencukupi.

"Pihak FAM sememangnya memandang serius dalam soal keselamatan terutama membabitkan jumlah penonton yang ramai.

"Begitupun, mereka (PBNJ) dibenarkan membuatkan rayuan untuk hukuman tersebut," katanya.

PBNJ hanya perlu tukar nama

Posted:

PBNJ hanya perlu tukar nama

PBNJ hanya perlu tukar nama

Oleh TAUFIK SALIMIN
sukan@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjelaskan bahawa mereka telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan semua ahli gabungan badan induk itu berbuat demikian.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBNJ semalam, jawatankuasa itu telah ditubuhkan pada 12 Jun 2012 semasa Mesyuarat Eksekutif Kedua Sesi 2012/2016 yang dipengerusikan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (gambar).

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Penyiasat, Keselamatan dan Perubatan.

Hal itu juga telah dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Fahmy Yahya yang turut menghadiri Mesyuarat Setiausaha Agung/Kehormat/Ahli-ahli FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

"Salah satu matlamat dan objektif dalam jawatankuasa ini adalah untuk menyiasat segala salah laku pemain dan pegawai dalam pasukan di bawah PBNJ, jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

"Sebagai contoh dalam isu mengatur perlawanan, PBNJ bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Kontinjen Johor sudah membuat siasatan awal sejak bermulanya Liga Malaysia 2013 berhubung isu tersebut yang membabitkan bookie dalam arena bola sepak tempatan," kata kenyataan itu.

Berikutan tindakan PBNJ itu, FAM telah menghantar satu surat bertarikh 4 April lalu yang mahukan semua ahli gabungannya menetapkan satu tarikh khusus bagi mengadakan satu kunjungan antara pihak polis dan FAM di setiap negeri bagi menangani isu bookie dalam bola sepak.

"Bagaimanapun, PBNJ menolak secara baik dalam surat rasmi bertarikh 17 Mei lalu kerana PBNJ terlebih dahulu mengambil inisiatif membanteras kegiatan tersebut pada Mac lalu," kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, selaras dengan kehendak FAM, PBNJ akan menukar nama jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Integriti dengan kadar segera.

Semalam Kosmo! melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mendedahkan PBNJ antara tiga persatuan bola sepak (FA) negeri selain Pulau Pinang dan Sarawak yang masih belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa Integriti.

Hamidin dilapor berkata, ketiga-tiga persatuan tersebut diberikan tempoh seminggu bagi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri masing-masing.

Gambaran hukuman sudah ada

Posted:

Gambaran hukuman sudah ada

Gambaran hukuman sudah ada

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


MOHAMMAD NOOR (kanan) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Bebas di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.


JAWATANKUASA Siasatan Bebas masih memerlukan sedikit masa bagi memperhalusi bentuk hukuman ke atas skuad bola baling Wilayah Persekutuan (WP) yang dipalit masalah disiplin pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Kuala Lumpur Julai lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Bebas, Tan Sri Mohammad Noor Abdul Rahim, pihaknya masih perlu menyiasat beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

"Bayangan hukuman sudah ada tetapi kami perlu lebih jelas dengan bentuk dan tempoh hukuman yang akan dijatuhkan berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

"Sebagai contoh, meskipun pemain berada di tempat kejadian, tetapi tidak semua di antara mereka yang minum, memasuki bilik berlainan jantina atau keluar membeli minuman keras.

"Jadi, perkara-perkara sedemikian perlu diteliti sebelum kami menentukan bentuk hukuman yang akan dihadapi mereka," jelas Mohammad Noor selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Bebas yang berlangsung hampir empat jam di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh empat wakil bebas iaitu Ahmad Zahiri Abdul Kadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian WP), Pandak Ahmad (Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia), Fouzee Abdul Aziz (Pengarah Majlis Sukan Negeri Sembilan) dan Rohayah Karim (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

Mohammad Noor turut menjelaskan jawatankuasa tersebut perlu menghantar dahulu laporan siasatan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Majlis Sukan Negara (MSN).

"Selepas kedua-dua pihak tersebut berpuas hati dengan siasatan ini dan kami mendapat 'lampu hijau' untuk menjatuhkan hukuman, maka kami akan melakukan dengan kadar segera," jelasnya.

Terdahulu, seramai tujuh orang yang terdiri daripada atlet, jurulatih dan pengurus pasukan bola baling WP hadir menghadiri sesi soal siasat semalam.

"Secara asasnya, kami amat berpuas hati dengan mesyuarat pertama hari ini (semalam). Semua pihak yang terlibat memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang sesi soal siasat.

"Sesi soal siasat yang dilakukan secara individu memberi peluang kepada ahli panel mendengar insiden tersebut dengan lebih teliti dan adil.

"Banyak persoalan yang sebelum ini masih kabur, berjaya dijelaskan dengan baik selepas sesi soal siasat secara individu tersebut dilakukan.

"Apa yang kami dapati, memang terdapat beberapa kes pelanggaran disiplin yang berlaku ketika berlangsung temasya Sukma 2013, Julai lalu.

"Tidak dinafikan, kunci utama isu ini adalah melibatkan minuman keras dan pelanggaran waktu di mana ia bukan sahaja melibatkan atlet tetapi pegawai bertanggungjawab ke atas pasukan WP," kata Mohammad Noor yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Seleksi 7 Keajaiban Piza Italiannies

Posted:

Seleksi 7 Keajaiban Piza Italiannies

Seleksi 7 Keajaiban Piza Italiannies

PIZA Roman Vegetarian sesuai bagi penggemar piza vegetarian.


TIDAKKAH anda teringin mencuba piza asli istimewa yang resipinya didatangkan khas dari Itali? Pasti anda tertanya-tanya apakah perbezaannya dengan piza yang pernah dimakan sebelum ini.

Pelancaran seleksi piza baharu dari restoran Italiannies ternyata mempamerkan kelainan dari segi persembahan dan rasa piza melalui promosi 7 Keajaiban Piza yang telah diadakan di cawangan restoran tersebut di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery, Subang Jaya baru-baru ini.

Seleksi baharu itu menampilkan tujuh pilihan piza dengan kombinasi kerak atas yang unik dan ramuan segar. Pelanggan pasti berpuas hati dengan pilihan piza Sicilian, seafood pesto, itik barbeku salai, itik rempah salai, daging kerbau berkeju, udang, ayam panggang dan vegetarian Roman.

Pengurus Serantau Restoran Italiannies, Andrea Rossi berkata, pihaknya berharap penggemar piza di seluruh Malaysia teruja untuk mencuba seleksi piza istimewa tersebut kerana ia ditawarkan untuk tempoh terhad.

"Promosi 7 Keajaiban Piza ditawarkan pada harga RM24.90 hingga RM39.90 dari 27 Ogos hingga 31 Oktober ini di semua cawangan restoran Italiannies.

ROSSI menunjukkan satu daripada tujuh seleksi 7 Keajaiban Piza di Restoran Italiannies di Empire Shopping Gallery baru-baru ini.


"Sepanjang tempoh promosi itu juga nanti, semua pelanggan akan ditawarkan pemanis mulut klasik berkrim dari Itali iaitu sejenis puding panna cotta dan minuman berperisa anggur percuma, Mountain Dew Pitch Black," katanya.

Rossi menambah, seiring dengan pelancaran promosi piza tersebut, Italiannies akan menganjurkan pertandingan makan piza melalui pertandingan The Pizza-lympics di beberapa lokasi terpilih.

Pemenang di setiap lokasi akan memenangi baucar makan bernilai RM200 dan dijemput untuk berentap bersama pemenang lain di pertandingan akhir yang dijadualkan pada 13 Oktober ini.

"Hadiah utama berupa wang tunai RM1,000 dan baucar bernilai RM300 menanti pemenang utama pertandingan berkenaan," jelasnya.

Keterangan lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh layari laman web www.italiannies.com.my. - NADIA SHAIFUL BAHARI

Aiskrim ikonik kapiti

Posted:

Aiskrim ikonik kapiti

Aiskrim ikonik kapiti


SETIAP pek pelbagai aiskrim Kapiti mengandungi enam batang aiskrim berlainan perisa.


PENGGEMAR aiskrim pasti dapat membezakan kenikmatan aiskrim berlainan jenama biarpun mata mereka ditutup seketika.

Menambah kepelbagaian dalam pasaran tempatan dan tentunya memenuhi segenap cita rasa penggemar pencuci mulut manis dan sejuk ini ialah kehadiran jenama aiskrim Kapiti dari New Zealand.

Dilihat mampu memberi saingan kepada jenama-jenama aiskrim antarabangsa lain di pasaran, aiskrim premium baharu itu didatangi dalam varian tab plastik besar, kecil dan pek pelbagai yang mempunyai enam batang aiskrim.

Sering memenangi Anugerah Aiskrim New Zealand, perisa-perisa yang ditawarkan ialah Vanilla bean, Triple Chocolate, White Chocolate dan Raspberry yang boleh didapati di beberapa pasar raya-pasar raya utama di Malaysia.

Antaranya adalah Cold Storage, Jaya Grocer, Village Grocer, Tesco, Ben's Independent Grocer, Mydin, Hero Supermarket dan Quick & Covenience Stores.

Aiskrim tersebut dijual pada harga RM38.80 bagi bekas bersaiz 1 liter, pek pelbagai (RM22.90) dan aiskrim coklat bekas kecil bersaiz 130 mililiter (RM7.90).

Bukan itu sahaja, penumpang syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines, berpeluang menikmati kelazatan aiskrim Kapiti secara eksklusif di ketinggian sembilan kilometer di udara.

Tawaran itu diberikan secara percuma kepada penumpang kelas pertama, bisnes dan ekonomi yang terpilih bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hong Kong dan Melbourne, Brisbane, Sydney di Australia.

Destinasi lain yang terlibat ialah Auckland di New Zealand, Narita di Jepun, London di England dan Shanghai, China.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Wakil rakyat AS rangka draf serang Syria

Posted:

Wakil rakyat AS rangka draf serang Syria

Wakil rakyat AS rangka draf serang Syria

SETIAUSAHA Negara AS, John Kerry berucap kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat di Washington untuk meyakinkan serangan ke atas Syria kelmarin.- AFP


WASHINGTON - Wakil-wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) menyokong pelan Presiden Barack Obama untuk melancarkan serangan tentera ke atas Syria.

Perkembangan itu berlaku selepas Setiausaha AS, John Kerry merayu para pemimpin negara itu agar tidak hanya duduk di kerusi dan melihat sahaja serangan kimia yang berlaku di pinggir bandar raya Damsyik pada bulan lalu.

Wakil-wakil rakyat daripada Parti Demokrat dan Republikan kini merangka draf untuk AS melancarkan serangan ke atas Syria.

Mereka menetapkan tarikh akhir 90 hari untuk AS berbuat demikian.

Namun, Senat menolak penghantaran askar AS ke bumi Syria.

Dua kaji selidik baru-baru ini mendapati, rakyat AS menentang tindakan ketenteraan ke atas Syria.

Konflik di negara Asia Barat itu yang memasuki tahun ketiga telah meragut lebih 110,000 nyawa.

Perkembangan dramatik itu berlaku ketika agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa lebih dua juta orang telah menjadi pelarian ekoran perang di Syria.

Obama sebelum ini menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan ke atas Syria sehingga mendapat kelulusan Kongres pada sesi pengundian, 9 September ini.

"Ini bukan masa untuk kita duduk di kerusi malas. Ini bukan masa untuk kita sekadar menonton pembunuhan beramai-ramaiitu. Negara kita dan sanubari kita tidak boleh berdiam diri," kata Kerry kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Selepas wakil-wakil rakyat Britain mengundi untuk tidak terlibat dalam tindakan ketenteraan terhadap rejim Presiden Syria, Ba- shar Al-Assad, Washington kini mencari sekutu lain untuk membina perikatan antarabangsa bagi tujuan itu.

Perancis sebelum ini menyokong rancangan AS menyerang Syria.

Negara Eropah itu dijadual mengadakan perdebatan tergempar di Parlimen semalam berhubung krisis Syria tetapi Perdana Menteri, Jean-Marc Ayrault menolak sebarang pengundian.

Presiden Perancis, Francois Hollande boleh mengarahkan tindakan ketenteraan tanpa kelulu- san Parlimen tetapi sebahagian wakil rakyat menggesa supaya isu tersebut diundi di Parlimen

Pada masa yang sama, Paris turut menggesa negara-negara Kesatuan Eropah supaya bersatu dan menyokong tindakan menghukum rejim Bashar.

"Eropah perlu bersatu dalam isu ini," kata Hollande dalam satu sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Joachim Gauck.

"Apabila pembunuhan beramai- ramai menggunakan senjata kimia berlaku, apabila wujud bukti dan apabila pihak yang bersalah dikenal pasti seterusnya perlu ada tindak balas," tambahnya.

Sementara itu, pihak penentang Syria menyatakan, ia bimbang tentera Bashar akan melancarkan serangan senjata kimia baharu.

Ia berikutan pihaknya melihat tiga konvoi kenderaan yang dipercayai membawa senjata pembunuh besar-besaran itu baru-baru ini.

Obama memberitahu, serangan senjata kimia pada 21 Ogos lalu yang melibatkan gas sarin itu menjadi ancaman terhadap AS dan sekutu-sekutunya.

"Bashar dan Syria perlu bertanggung jawab," kata Obama.

Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pula memberi amaran serangan tentera oleh Barat akan memburukkan lagi krisis di rantau berkenaan. - AFP

Kes diabetes di China membimbangkan

Posted:

Kes diabetes di China membimbangkan

Kes diabetes di China membimbangkan


GAMBAR fail pada 3 Januari 2009 menunjukkan sejenis alat digunakan untuk mengukur kandungan gula dalam darah pesakit diabetes. - AP


BEIJING - Hampir 12 peratus orang dewasa di China menghidap diabetes pada 2010 ekoran kemakmuran ekonomi, sekali gus lebih tinggi daripada bilangan pesakit berkenaan di Amerika Syarikat (AS), kata beberapa penyelidik kelmarin.

Menurut kajian yang disiarkan dalam penerbitan Journal of the American Medical Association (JAMA), sebanyak 11.6 peratus orang dewasa yang merangkumi 12.1 peratus lelaki dan 11 peratus wanita menghidap penyakit itu pada 2010.

Angka tersebut menyaksikan sebanyak 113.9 juta kes diabetes dicatatkan di China.

Di seluruh dunia, terdapat 371 kes diabetes yang menyerang 8.3 peratus penduduk global.

"Penyakit diabetes meningkat dengan mendadak di China sejak beberapa dekad lalu," menurut JAMA.

"Data ini menunjukkan diabetes mencapai tahap membimbangkan di China dengan risiko berlakunya wabak berkaitan penyakit itu seperti penyakit kardiovaskular, strok dan penyakit ginjal kronik dalam masa terdekat," tambahnya.

Tambah kajian sama, hanya 30 peratus penduduk China yang menghidap dia- betes sedar keadaan mereka.

Kajian itu lagi menyatakan, sekitar separuh populasi China mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko mereka menghidap diabetes.

Penemuan itu berdasarkan sejumlah sampel yang diambil secara rawak di negara itu. - AFP

Scarlett Johansson buru lelaki

Posted:

Scarlett Johansson buru lelaki

Scarlett Johansson buru lelaki

VENICE - Bintang Amerika Syarikat, Scarlett Johansson menakutkan penonton di Festival Filem Venice kelmarin dengan lakonannya sebagai makhluk asing dalam filem Under the Skin.

Johansson memainkan watak makhluk asing yang menjelma dalam bentuk manusia untuk memburu, menggoda dan memakan lelaki di Bumi.

Filem Under the Skin itu diarahkan oleh pengarah Britain, Jonathan Glazer yang bijak bermain dengan cahaya dan permukaan gelap untuk mewujudkan persekitaran makhluk asing yang mantap.

Pengambaran filem itu di buat di jalan-jalan di Glasgow dan tanah tinggi Scotland.

Johansson yang memainkan watak sebagai Laura, memerhati manusia untuk kepentingan klinikal tanpa mempunyai perasaan kasihan.

Bagaimanapun, Laura perlahan-lahan mula mema- hami perasaan manusia termasuk keinginan seksual, sekali gus mengadakan hubungan cinta pertama de- ngan manusia.

Under the Skin merupakan filem sains fiksyen yang menggabungkan dokumentari dengan aksi ngeri serta menggoda tanpa keganasan.

Terdahulu, Johansson, 28, mengakui, pada mula- nya dia berasa sukar untuk memainkan watak tersebut dan memerlukan beberapa minggu untuk men- dalaminya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Polis kenal pasti sebuah pertubuhan haram tidak aktif wujud di Terengganu

Posted:

Polis kenal pasti sebuah pertubuhan haram tidak aktif wujud di Terengganu

Polis kenal pasti sebuah pertubuhan haram tidak aktif wujud di Terengganu

05/09/2013 9:54pm

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu telah mengenal pasti sebuah pertubuhan haram wujud di negeri ini tetapi tidak aktif apabila kebanyakan anggotanya keluar dari pertubuhan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, bagaimanapun polis masih memantau dan mendekati anggota pertubuhan terbabit bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan gejala jenayah di negeri ini.

"Setakat ini pihak polis tiada maklumat berhubung kumpulan berkenaan terlibat dalam jenayah kongsi gelap mahupun gengster yang berleluasa kini.

"Kita telah mengenal pasti kumpulan ini dan kita juga dapati kebanyakan ahli kumpulan berkenaan telah menyertai badan amal dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

100 buah kenderaan berlanggar akibat kabus tebal

Posted:

100 buah kenderaan berlanggar akibat kabus tebal

100 buah kenderaan berlanggar akibat kabus tebal

05/09/2013 9:51pm

LONDON - Lebih daripada 100 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan akibat kabus tebal di Jambatan Sheppey Crossing di tenggara negara ini hari ini, kata polis

Enam dilaporkan cedera parah dan 60 lagi cedera ringan.

Pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 pagi (waktu tempatan).

Cif Inspektor Andy Reeves berkata, ia kemalangan terburuk dalam tempoh 20 tahun.

"Daripada perspektif saya, ia benar-benar ajaib kerana tiada kematian." - AFP

Enam anggota geng Puput ditahan bersabit kes pecah rumah

Posted:

Enam anggota geng Puput ditahan bersabit kes pecah rumah

Enam anggota geng Puput ditahan bersabit kes pecah rumah

05/09/2013 9:32pm

SHAH ALAM - Polis memberkas enam lelaki anggota geng Puput yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di beberapa lokasi di Shah Alam, sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 22 dan 29 tahun itu diberkas di rumah sewa masing-masing di dua lokasi iaitu di Kampung Baru Subang dan Denai Alam, di sini.

"Kesemua suspek ini ditahan dalam tiga serbuan berasingan. Dalam serbuan pertama pada 30 Ogos lepas, tiga suspek diberkas pada pukul 12 malam di Kampung Baru Subang dan hasil soal-siasat ke atas mereka membawa kepada penahanan seorang lagi suspek tiga jam kemudian di kawasan yang sama.

"Manakala dua lagi suspek ditahan di Denai Alam pada Sabtu lepas kira-kira pukul 4.30 pagi dan hasil penahanan itu polis turut menemui semula barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka berjumlah hampir RM50,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Punya agenda tersendiri

Posted:

Punya agenda tersendiri

Punya agenda tersendiri

SOPAN dia bersalaman dan memperkenalkan diri. Senyum bertaut sebelum bicara kami meleret berjam-jam. Dari satu topik kepada topik lain bicara kami melompat.

Pada saat rancak berbicara, banyak mata memerhati, cuba meneka siapa lelaki kurus dengan rambut lurus halus di hadapan saya yang pada masa sama, hampir rokok tidak terlepas dari tangannya sepanjang sesi temu bual berlangsung.

Dia, Amerul Affendi Mohd. Mawardi. Ironi, memang tidak terkenal langsung tuan punya diri. Mencari berita berkaitan dirinya menerusi Google hampir tiada.

Hanya khalayak yang pernah menonton hasil 'permainannya' dalam bidang teater sahaja barangkali tahu betapa hebat lelaki berusia 28 tahun ini memukau hadirin untuk terkesima dengan kemampuannya. Sementelah, dia sendiri bukan jenis tersua- sua kepada media untuk mencari secebis publisiti.

Memang, dia sendiri mengakui bahawa tidak banyak orang yang mengenali dirinya. Tak, padahal dia bukan pucuk muda dalam bidang lakonan. Juga, bukan terlalu lama dalam lapangan ini.

Malah, portfolio kerjanya juga belum masuk dalam kategori puluhan. Namun, dalam hitungan jari naskhah yang dimainkannya, ia bukan naskhah biasa-biasa.

Sebaliknya, Amerul sempat bermain dalam beberapa filem seperti Tolong Awek Aku Pontianak, Bikers Kental dan Bunohan.

Lawan mainnya dalam sesebuah naskhah juga selalu bersama aktor Bront Palarae atau Zahiril Adzim yang merupakan teman-teman baiknya.

Terbaharu, Psiko, Pencuri Hati menjadi naskhah terkini yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, mengapa selalu khalayak terlepas pandang tentang dirinya?

Saat soalan itu diajukan kepada anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, dia hanya tersenyum. Ringkas dia menjawab: "Tidak pasti," dan menyambung senyum semula.

Jujurnya, luah Amerul juga dia tidak melakukan kerja lakonan untuk menjadi popular dan dijulang tinggi.

Ujarnya: "Saya sedar, dikenali orang itu perlu tapi itu bukan matlamat saya. Saya berlakon kerana saya sukakan proses kerja itu sendiri."

AMERUL tidak mementingkan kuantiti produk lakonannya tetapi lebih kepada menilai impak penglibatannya dalam sesebuah naskhah.


Jelas Amerul, kerja lakonan dijalaninya kerana ia bagai meresap sebati di dalam diri secara semula jadi dan tiba-tiba. Dia mengakui bahawa tidak pernah terfikir dirinya mempunyai bakat dalam bidang seni.

"Di sekolah, saya selalu kena buli dan bersendirian. Saya tak ada kawan, sehingga sewaktu berada di tingkatan enam, saya tiba-tiba terjebak dalam pementasan teater di sekolah sehingga masuk ke peringkat negeri.

"Saya bawa watak lelaki India untuk teater berdasarkan karya sastera, Jalan Sempit dan saya menang sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik. Sejak itu, saya kira saya mungkin ada bakat dalam bidang ini," cerita Amerul sambil ketawa mengingati semula kronologi bagaimana dia pertama kali terjebak dalam dunia seni.

Terdorong daripada langkah tersebut, dia kemudian memilih jalan yang lebih serius dengan mendaftar diri di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Kuala Lumpur.

Katanya, tidak sangka dia diterima menjadi pelajar di akademi tersebut dan menuntut dengan individu-individu hebat seperti Ahmad Yatim, Namron, Zakaria Afirin dan Marlia Musa.

Hari ini, selepas meninggalkan akademi tersebut pada 2008, Amerul melebarkan kariernya perlahan-lahan. Dari dunia teater yang kecil, dia ikut masuk menyertai 'padang' yang lebih besar melalui skrin televisyen dan filem.

Alter ego

Naskhah terkininya, Psiko, Pencuri Hati sekali lagi menjadi kayu ukur kepada kredibilitinya. Menerusi pemerhatian media yang telah menonton filem tersebut pada tayangan perdana yang diadakan minggu lalu, lakonan Amerul sebagai Man dan O Sidi, begitu menonjol.

Bermula hari ini, kemampuannya akan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia yang bakal keluar menyaksikan filem tersebut di pawagam.

Hanya mengangguk tanda faham dan terima kasih terhadap pujian yang diberikan kepadanya, Amerul menjelaskan, Man yang dilabelkan sebagai karakter hitam merupakan watak paling 'senang' untuk dilakon- kannya.

"Man ialah alter ego (peribadi kedua) O Sidi. Man boleh dijelaskan sebagai nafsu apabila O Sidi tidak mampu membuat keputusan sendiri. Mengajak orang membuat jahat, sangat mudah. Sangat!" katanya yang tidak suka menonton lakonan pelakon lain terlebih dahulu untuk belajar kerana melihat ia lebih kepada satu peniruan.

Dia membetulkan sedikit kedudukannya, mengetuk punggung rokok supaya mampat sebelum menyambung bicara.

Ujarnya: "Bagaimanapun, sejujurnya saya rasa belum cukup puas dengan watak tersebut. Saya merasakan kelompongan pada asas 'persahabatan' Man dan O Sidi."

Diajak bercerita tentang pembikinan naskhah milik Namron itu, Amerul pantas memberitahu sutradara tersebut sebagai seorang psiko.

Katanya, sepanjang 18 hari penggambaran, setiap pelakon diberi kebebasan untuk membentuk karakter tersendiri.

"Kami tak punya skrip. Sehari sebelum penggambaran, dia (Namron) cakap esok kita shooting dan kami mula berimaginasi membentuk karakter sendiri berasaskan jalan cerita yang diberikan," ujarnya tentang proses mengenal watak yang dilakukannya bersama rakan pelakon lain seperti Sharifah Amani, Syed Hussein dan Bront Palarae.

Sekolah seni

Diasak terus tentang kehidupannya dan populariti, Amerul memberitahu. kelangsungan hidupnya bukan sekadar dalam bidang lakonan, sebaliknya dia mempunyai rumah penerbitan Seni Suri Jawi yang muncul dengan karya pertama tulisan Wanji Aswandi, Mahar Ke Syurga.

Amerul juga menjelaskan, bukan dia menentang untuk menjadi orang popular.

Sebaliknya, sejak dulu dia selesa dengan kehidupan yang dijalaninya. Punya makan dan pakai yang cukup dan kehidupan yang sederhana sudah memadai buatnya.


MENGAKU dia mempunyai lebih banyak peminat dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa impak lakonannya dalam drama Cuak di Astro Ceria.


"Saya tidak menentang popular. Saya tahu benda itu (popular) penting untuk artis tapi setakat hari ini saya selesa dengan kehidupan saya. Saya juga tidak rasa terbeban tidak cukup duit atau sebagainya. Semuanya serba sederhana dan cukup makan pakai.

"Saya pun tak pernah terfikir macam mana kalau saya jadi orang popular sebab seperti yang saya jelaskan, saya masuk dalam dunia ini kerana saya sukakan proses mencari karakter dalam diri saya sendiri untuk dimuntahkan pada saat saya berlakon," jelasnya perlahan-lahan.

Disogok dengan kesederhanaannya bagai tidak realistik dengan kehidupan sebagai anak seni yang barangkali akan terus berada dalam industri untuk tempoh 30 tahun akan datang, Amerul tersenyum. Ternyata, dia punya jawapan tersendiri tentang perkara yang dijolok kepadanya.

Anak keempat daripada enam beradik ini memberitahu, selain mempunyai bakat seni, dia sebenarnya mahu menjadi pendidik dengan kelulusan yang diperoleh.

Menimba ilmu di Aswara dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Seni Persembahan di Universiti Malaya (UM), Amerul menyasarkan tempoh 15 tahun akan datang dia mungkin kembali ke kampungnya di Temerloh dan membina sebuah pondok seni untuk remaja di kampungnya.

"Saya punya impian untuk buka sekolah seni atau mungkin sebuah pondok pendidikan untuk budak-budak kampung belajar tentang seni. Sebab itu saya tidak risau sangat tentang masa depan saya dalam bidang ini.

"Saya kira, cukup kalau saya masih mampu bermain teater dan terbabit dalam naskhah yang berkualiti, berbanding saya terlalu banyak berlakon tetapi ia tidak memberi sebarang impak," jelasnya yang teruja untuk kembali bermain teater dengan Zahiril dalam masa terdekat ini.

Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip

Posted:

Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip

Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

FIGURA ini bakal muncul dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment.


BARU-BARU ini muncul artikel yang mendakwa Sherry merupakan seorang aktres yang sombong dan tidak mahu menghadiri uji bakat yang telah dijalankan oleh sebuah produksi drama.

Sebagai seorang pelakon yang komited dan profesional dengan kariernya, Sherry ternyata seorang yang tidak mudah melatah.

Ikuti temu bual Sherry bersama Kosmo! tentang isu tersebut.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terkini Sherry?

SHERRY: Setakat ini saya tiada tawaran berlakon drama atau telefilem. Bukan saya tidak mahu ambil tawaran, namun ada beberapa tawaran yang bertindih dengan perkara lain yang saya ingin lakukan. Jadi, saya terpaksa tolak. Namun, kelak saya akan tampil dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment iaitu syarikat pengurusan saya kini.

Bercerita tentang tawaran berlakon, ada yang mengatakan anda kini semakin sombong. Boleh komen?

Saya bukan begitu. Sebenarnya ia merupakan perkara lama. Bagi saya, ia perkara remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan sebenarnya kerana ia tidak benar sama sekali. Tanyalah sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan begitu.

Sejujurnya, ini pertama kali ada orang mendakwa saya berperangai sedemikian. Ia merupakan perkara yang tidak profesional dan tidak sangka sampai keluar artikel tentangnya.

SHERRY enggan memanjangkan tentang gosip yang mendakwa dirinya sombong dan enggan menghadiri uji bakat di sebuah produksi drama.


Bagaimanakah Sherry tahu tentang perkara ini?

Saya juga tidak perasan tentang hal itu. Namun, setelah disampaikan kepada saya, terus saya baca artikel tersebut dan terkejut dengan apa yang didakwa. Pada hari tersebut, bukannya saya tidak menegur penerbit itu, namun saya tidak perasan akan kehadirannya.

Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sesi uji bakat dan saya isi borang serta ambil skrip untuk dibaca. Saya pelik kenapa mahu diperbesar-besarkan isu ini dan jujurnya, saya kecewa sebab sampai nak masuk akhbar.

Sherry juga telah didakwa tidak mahu menghadiri uji bakat dan ingin terus mendapatkan watak tersebut?

Tidak benar. Saya memang telah ambil skrip dan isi borang untuk menghadiri uji bakat. Saya pergi ke sana, dan tanya dengan penerbit tentang watak saya. Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sana? Biarlah jadi seorang yang profesional. Saya boleh menjawab semula, namun apa gunanya berbuat demikian. Saya rasa ia perkara mudah yang boleh diselesaikan.

Adakah perkara ini akan mengganggu periuk nasi Sherry sebagai seorang pelakon?

Tidak sama sekali. Bukan saya mahu bercakap besar, namun sebelum ini ada pengarah dan penerbit yang memuji cara kerja saya. Saya memang sangat komited terhadap karier saya dan tidak pernah ada yang membuat aduan.

Mungkin ada apa-apa yang Sherry ingin sampaikan kepada individu yang menyampaikan cerita ini?

Tiada apa-apa. Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Cuma apa yang saya ingin katakan, jangan dengar sebelah pihak sahaja. Biarkan sahaja, saya tidak mahu memperoleh publisiti murahan melalui perkara sebegini.

Teka-teki pernikahan Bront

Posted:

Teka-teki pernikahan Bront

Teka-teki pernikahan Bront

oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

BRONT tiba-tiba mengeluarkan kenyataan menerusi sebuah portal di internet menafikan dia sudah berkahwin.


BRONT PALARAE, nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada peminat filem tempatan. Lelaki tinggi lampai ini memang dikenali dengan bakat lakonannya yang luar biasa dan terlibat dengan banyak filem hebat serta produksi teater.

Bagi yang mengikuti perkembangan Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, memang jarang dirinya dikaitkan dengan kontroversi yang membidas tentang isu peribadi mahupun kisah cinta.

Mungkin wujud sekali dua isu yang memanaskan namanya dalam industri, namun ia tentang lakonan adegan babak ranjang yang dilakonkan bersama Nadiya Nissa dalam filem Jiwa Taiko.

Bagaimanapun pada tahun lalu, Bront pernah digosipkan bercinta dengan pasangan pelakon wanita yang bergandingan dengannya dalam filem Juwanita.

Pelakon yang dimaksudkan ialah wanita tinggi lampai, Cristina Suzanne Stockstill dan ketika itu mereka mengakui sedang berkawan.

Kembali sunyi dan hanya memberi fokus terhadap lakonan, secara tiba-tiba pada hari Selasa lepas, nama Bront kembali panas yang mana keluar sebuah artikel dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Bront telah pun bernikah.

Bront dikatakan telah melangsungkan majlis tersebut secara senyap-senyap dan ramai antara rakan rapat yang mengenalinya juga tidak tahu menahu tentang berita pernikahan tersebut.

"Saya minta maaf, majlis ini secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat.

"Kalau boleh, saya tidak mahu menghebahkan perkara ini kerana banyak hati yang perlu saya jaga, terutamanya rakanrakan artis dan media.

"Sebab itu saya lakukan pernikahan ini secara tertutup," jelas Bront enggan memberi komen lanjut seperti mana yang dipetik daripada sebuah akhbar tempatan pada 2 September lepas.

Artikel tersebut juga telah mendedahkan bahawa Bront telah menjalani akad nikah dengan wanita yang merupakan kenalan lama hanya dengan sekali lafaz pada 31 Ogos di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.

Walau bagaimanapun pada hari yang sama artikel itu tersiar, Kosmo! cuba menghubungi aktor tersebut untuk meminta komen mengenai isu berkenaan, namun dia sekadar memberi jawapan ringkas.

"Saya mengaku saya sudah berkahwin. Majlis pernikahan tersebut dihadiri oleh keluarga terdekat seramai 30 orang. Namun, kakak dan ibu saya tidak dapat menghadirkan diri di majlis tersebut. Saya akan mengadakan majlis resepsi di Hatyai, Thailand kelak," ujar Bront.

Namun, keesokan harinya keluar pula artikel Bront menafikan kepada sebuah portal di internet bahawa dia sudah berkahwin.

Katanya: "Bagi saya, 31 Ogos (tarikh dikatakan berkahwin) merupakan Hari Kemerdekaan dan saya sekarang ini sedang mempromosikan filem terbaharu saya, Psiko Pencuri Hati.

"Saya tidak mahu sebarang isu yang boleh menganggu promosi filem terbaharu saya ini," ujarnya.

Katanya lagi, ini merupakan kali kedua dirinya didakwa telah berkahwin. Malah tegas Bront, pada tarikh dia dikatakan berkahwin itu, dia berada di sebuah konti radio atas urusan kerja.

"Pada tarikh tersebut saya turut berada di sebuah konti radio tetapi jari saya tidak berinai pun. Saya rasa lebih baik jika bertanya sendiri pada sumber yang mengeluarkan berita tersebut (akhbar terbabit)," ujarnya.

Sehubungan itu, Kosmo! turut menemu ramah beberapa rakan baik Bront yang ternyata terkejut dengan berita pernikahan tersebut.

"Saya memang sangat terkejut dengan berita yang disampaikan ini. Memang saya juga tidak tahu-menahu tentang pernikahannya.

"Namun bagi saya, dia berbuat demikian mungkin kerana punya sebab tersendiri atau mungkin juga untuk menjaga hati keluarga.

"Apa pun, saya berharap mereka bahagia," tutur Remy yang ditemui di majlis Cabaran Dashing 2 di Vertigo, The Gardens pada Selasa lepas.

Selain itu, Cristina pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut tentang berita pernikahan rakannya itu.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa tentang ini. Bagai manapun sebagai rakan, saya akan mendoakan kebahagiaan mereka," bicara Cristina ringkas.

Sementara itu, ujar aktor berwibawa Khir Rahman: "Saya baik dengan Bront sebagai rakan industri tetapi tidak dari segi peribadi. Jadi, saya tak tahu dia sudah berkahwin atau tidak.

"Jika benar (sudah kahwin), saya kira molek kalau Bront jangan lari (daripada cerita sebenar), tetapi hadapinya supaya tak timbul fitnah di kemudian hari."

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved