Jumaat, 30 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kepayahan hidup sebelum merdeka

Posted:

Kepayahan hidup sebelum merdeka

Kepayahan hidup sebelum merdeka

MASIH segar lagi memori datuk kepada lapan orang cucu itu apabila diminta bercerita keadaan penduduk di Tanah Melayu sebelum ia mencapai kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957.

Dibesarkan di sebuah kampung di Rompin Bahau, Gemas, Negeri Sembilan, Mejar bersara Lee Ah Pow, 76, begitu teruja menceritakan zaman kanak-kanaknya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, kampung tersebut dihuni kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

"Masa itu saya masih kecil, kami hidup bermasyarakat.

"Saya sendiri ada lima hingga enam kawan Melayu dan India dan tiga hingga empat orang sahaja kawan Cina. Tiada kawan lain lagi kerana semua orang sibuk bertani dan menoreh," katanya yang lahir pada tahun 1937.

Namun, hubungan erat yang terjalin antara kaum pada zamannya dahulu sukar dilihat pada masa kini. Generasi kini pada pandangan Ah Pow suka melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

"Dahulu hidup susah. Bapa saya datang ke Tanah Melayu dengan beberapa saudaranya pada tahun 1910 dan menjadi ketua persatuan orang Cina di Rompin.

"Ketika kecil, saya melihat komunis minta wang daripada petani. Kami orang kampung mana ada apa-apa. Jika tiada wang, mereka minta makanan," ujarnya sambil memberitahu, siapa yang enggan membantu komunis akan dibunuh.

Masih terbayang-bayang di minda Ah Pow apabila melihat saudara-saudaranya semua habis dibunuh komunis dengan kejam sekali kerana mereka dituduh antikomunis.

Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan olehnya dalam usia yang masih mentah iaitu dalam lingkungan usia tujuh hingga sembilan tahun.

"Sangat sedih apabila melihat penoreh getah diikat pada pokok getah, dirobek perutnya hingga terkeluar isi perut gara-gara tidak memberi bantuan makanan kepada komunis.


MOHAMAD NOR menunjukkan pingat-pingatnya sambil dibantu oleh isterinya, Bibah Said.


"Kejadian itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mahu menjadi tentera untuk membalas dendam di atas perbuatan kejam mereka," ceritanya penuh bersemangat.

Menurut Ah Pow, dia bernasib baik kerana ketika itu, Maktab Tentera Diraja (RMC) membuka tawaran kepada budak-budak sekolah sekali gus dapat menunaikan hasratnya untuk menjadi tentera.

Mula diterima masuk RMC pada tahun 1953, Ah Pow bertekad tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan hingga berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958.

Ketika Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan buat Tanah Melayu, Ah Pow memberitahu, hatinya gembira bukan kepalang walaupun pada ketika itu dia sibuk menguruskan tetamu kenamaan dari luar negara sempena hari bersejarah tersebut.

Terima penghargaan

"Saya bertugas sebagai pegawai protokol ketika itu di bawah Muhammad Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) yang bertanggungjawab merangka program keselamatan buat tetamu kenamaan.

"Siapa yang tidak gembira apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Kita bebas daripada penjajah dan anasir luar yang menghuru-harakan negara," katanya yang pernah berkhidmat di Congo dan membantu pasukan pertahanan negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963.

Ah Pow dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1964. Momen itu memberikan kepuasan dalam dirinya sepanjang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mejar bersara ini juga menerima penghargaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan jasanya sebagai ketua pasukan pengaman selain menerima Pingat Khidmat Bakti, Pingat Peringatan Malaysia dan Pingat Perkhidmatan Awam.


AH POW menunjukkan gambar-gambar dan pingat-pingat yang dikurniakan kepadanya sepanjang perkhidmatannya dengan ATM.


Dia yang bersara pada usia 38 tahun bersyukur dengan elaun yang diterima selepas mendapat pingat PGB bagi menyara sisa-sisa usianya bersama isteri tercinta, Alice Tan.

Ditanya mengenai pendapatnya terhadap anak-anak muda kini yang lebih suka menyuarakan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan, Ah Pow memberitahu bahawa semua itu berlaku kerana mereka terlalu bebas, tidak tahu menilai sesuatu perkara dan emosional apabila bertindak.

"Apa yang mereka mahukan lagi? Saya sudah pergi banyak tempat di luar negeri dan yang paling aman ialah negara kita, Malaysia. Lihat sahaja negara Asia seperti India dan China rakyatnya susah, malah kerja pun susah.

"Generasi kini, kurang menghargai nilai kemerdekaan seperti kami dahulu kerana mereka tidak lalui kepayahan pada zaman komunis, konfrontasi dan sebagainya. Mereka tidak melalui kesusahan dan penderitaan generasi terdahulu," luahnya sedikit terkilan tetapi pada masa yang sama memuji usaha kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Berkongsi kepayahan hidup pada zaman Jepun dan komunis, Mohamad Nor Mahmud, 75, berasal dari Kampung Penajis, Rembau, Negeri Sembilan memberitahu, makanan ruji pada ketika itu adalah ubi kayu.

Memandangkan keluarga Mohamad Nor boleh dikatakan senang pada ketika itu, beras sentiasa dalam simpanan. Namun begitu, bahan mentah tersebut tidak boleh disimpan di dalam rumah.

"Beras dan padi disimpan di dalam hutan, seperti dalam filem Sarjan Hassan kerana khuatir diketahui oleh barua-barua tentera Jepun.

"Zaman itu memang susah. Masa zaman Jepun, orang-orang Cina ramai dipancung. Kemudian selepas Jepun kalah dan British mahu ambil semula Tanah Melayu, komunis ambil kesempatan mahu memerintah selama 14 hari," katanya sambil menyifatkan tempoh 14 hari yang dahsyat.

Baginya antara komunis dengan Jepun, komunis lebih kejam. Ketika komunis berkuasa, setiap hari ada sahaja berita polis dibunuh.


ANGGOTA Pasukan Pertama Rejimen Infranti Fiji bersama lima mayat komunis yang ditembak mati di Batu Pahat, Johor pada 18 September 1953.


Wayang pacak

Walaupun yang diseksa tidak melibatkan saudara terdekat, Mohamad Nor tekad masuk askar pada 7 Julai 1958 kerana dendam kesumatnya terhadap komunis.

Mohamad Nor yang bersara daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 6 Julai 1979 memberitahu, ketika Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan, dia bersama penduduk kampung menonton wayang pacak menyaksikan detik-detik bersejarah itu.

"Bagi saya, kemerdekaan sangat berharga. Keamanan yang ada kini tidak harus dipersiakan semata-mata kerana kepentingan pihak-pihak tertentu.

"Semangat watan, jati diri, sayangkan negara dan bangsa sudah luntur dalam diri generasi kini kerana tiada pengalaman melalui saat-saat genting, semuanya telah tersedia buat mereka," ujarnya.

Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti, negara ini kembali dijajah oleh kuasa luar jika perpaduan tidak diperkukuhkan.

"Kuatkan perpaduan, hormati budaya dan agama masing-masing. Jangan sesekali sentuh perkara-perkara yang mendatangkan sensiviti hingga menggugat keharmonian kaum," pesan bapa kepada 14 cahaya mata ini.

Patriotik bukan sekadar kibar bendera

Posted:

Patriotik bukan sekadar kibar bendera

Patriotik bukan sekadar kibar bendera


SEMANGAT patriotisme perlu dipupuk sejak kecil supaya rasa cintakan negara sentiasa subur di dalam jiwa individu.


HARI ini genap 56 tahun negara kita yang tercinta mengecapi kemerdekaan dengan tema sambutan tahun ini memberi makna yang cukup mendalam, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku. Namun, apa yang semakin membimbangkan ialah semangat patriotisme generasi baharu yang dikatakan semakin pudar dan rapuh.

Penganalisis Politik di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, kaedah atau cara menonjolkan semangat patriotik adalah subjektif. Ia tidak boleh diukur dan dinilai dengan menyanyikan lagu kebangsaan, memasang bendera Malaysia di rumah dan seumpamanya.

"Jika generasi baharu terkait dengan isu kepudaran semangat patriotik, saya mohon supaya perkara ini diutarakan dengan lebih spesifik. Jangan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Saya berpendapat, generasi muda dari peringkat kanak-kanak hingga pelajar sekolah menengah dipupuk dengan semangat cintakan negara, bangsa dan negara yang kuat oleh pihak sekolah, keluarga dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Begitu juga dengan sistem pendidikan peringkat universiti yang menerapkan kursus-kursus seperti Kenegaraan Malaysia serta Hubungan Etnik dan Ras.

Generasi

Dalam pada itu, ramai yang berpendapat bahawa generasi dahulu lebih menghargai kemerdekaan berbanding generasi kini. Keadaan tersebut berlaku kerana perjalanan dan pengalaman hidup kedua-dua generasi tersebut ternyata berbeza.

Ujar Noor Sulastry Yurni, perkara yang sama juga berlaku di negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

"Cara mereka menghargai jasa dan sumbangan para pejuang ternyata lebih luhur kerana mereka terlibat dalam kesukaran perjuangan mempertahankan negara.

"Generasi hari ini mempelajari sejarah perjuangan tempatan secara teori yang dilihat sarat menekankan konsep-konsep seperti terima kasih, syukur, tanggungjawab dan hutang budi," ujarnya.

Tambah beliau, sentimen-sentimen sebegitu memberi generasi muda kesempatan untuk berfikir dan membuat pilihan tentang apa yang dipelajari kerana kehidupan yang mereka lalui pada hari ini lebih selesa, baik dan teratur.

Generasi baharu tidak lupa perjuangan lama, tetapi perjuangan anak muda hari ini lebih cenderung kepada sesuatu yang bersifat hak asasi manusia dan global merentasi kehendak bangsa, kaum dan agama.

"Sejarah tidak hanya boleh difahami secara teori tetapi juga praktikal dan bukan hanya sentiasa dianggap sebagai mata pelajaran yang membosankan.

"Kepelbagaian teknik pengajaran perlu dilakukan dan Sejarah sebagai subjek wajib lulus merupakan jalan yang terbaik," katanya.

Noor Sulastry Yurni memberitahu, langkah itu bukan merupakan satu 'penderaan' minda kepada para pelajar.

Jelasnya, Korea Selatan sudah menerapkan pelajaran sejarah negara itu kepada kanak-kanak seawal usia empat tahun.


SEJAK awal merdeka pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan negara.


Identiti

Pembentukan identiti masyarakat baharu bukan tertakluk kepada apa yang mereka pelajari. Banyak faktor yang menyumbang kepada sebuah masyarakat yang berkualiti.

Katanya, pelbagai perkara perlu diambil kira memandangkan isu itu digambarkan sebagai masalah kronik apabila kadar jenayah kian membimbangkan semua pihak.

Perkara tersebut amat subjektif. Sukar untuk meramalkan hati dan jiwa seseorang warga Malaysia.

"Namun, asas pendidikan dan didikan keluarga yang baik mampu membantu meningkatkan penghasilan modal insan yang baik.

"Ini bukanlah kerja pihak yang mentadbir negara sahaja tetapi perlu melibatkan semua pihak terutamanya ibu bapa, guru-guru dan masyarakat," pesannya.

Teknologi

Dalam pada itu, seorang jurutera di syarikat swasta, Khairul Shazwali Taib, 27, berkata, cara golongan muda dan golongan terdahulu menunjukkan semangat patriotisme terhadap negara adalah berbeza mengikut zaman masing-masing.

"Pada pendapat saya, semua orang adalah patriotik dengan cara tersendiri. Jika orang-orang lama berjuang kudrat dan tenaga untuk mencapai kemerdekaan, golongan muda lebih kepada penggunaan teknologi moden untuk melahirkan rasa cinta kepada negara.

"Mengapa tidak golongan profesional di negara ini memanfaatkan teknologi yang ada untuk menyampaikan perihal sejarah negara dalam bentuk yang lebih interaktif?," katanya.

Misalnya, pembikin filem boleh menghasilkan filem-filem bertemakan kemerdekaan dan perjuangan menentang penjajah yang bermutu tinggi bagi mendidik masyarakat ten tang nilai kemerdekaan.

Selain itu, beliau beranggapan tidak semua kritikan negatif yang diberikan golongan muda terhadap suatu isu membuatkan mereka wajar dilabel sebagai rakyat yang tidak patriotik.

"Malah, perbuatan itu jika dilihat dari sudut positif menunjukkan golongan ini mengambil berat dengan apa yang sedang berlaku dalam negara," ujarnya. - NURUL IZZA ROSLY

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia tetap hormati India

Posted:

Malaysia tetap hormati India

Malaysia tetap hormati India

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

REVINGTON mengetuai sesi latihan skuad negara menjelang aksi separuh akhir Piala Asia 2013 menentang India di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam.


ATAS kertas, Malaysia dan India dilihat memiliki peluang sama rata untuk memenangi pertemuan separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 ketika kempen Piala Sultan Azlan Shah di gelanggang sama Mac lalu.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa skuad hoki negara masih berpeluang untuk menewaskan India meskipun pasukan di ranking ke-11 dunia itu dilabel pasukan pilihan mara ke final.

Hakikat bahawa India perlu menjuarai Piala Asia 2013 untuk layak ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda juga dilihat menyukarkan lagi misi anak-anak buah Paul Revington menjulang trofi ini buat pertama kalinya.

Namun, kapten negara, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah tetap optimis Malaysia yang berjaya menamatkan kemarau 12 tahun beraksi di pentas Piala Dunia akan berjuang bermati-matian bagi merealisasikan misi yang diletakkan ke atas bahu mereka itu.

"Saya lihat peluang skuad negara dan India untuk menang pertemuan ini adalah 50-50, jadi sesiapa yang beraksi dengan lebih baik malam esok (hari ini) nanti sudah pasti akan muncul juara.

"Bagaimanapun, saya tetap rasa kami masih mampu menewaskan mereka, namun kami tidak boleh pandang mudah pertemuan itu nanti, sebaliknya cuba mengurangkan kesilapan seperti mana yang terjadi ketika menentang Jepun tempoh hari," jelas Shahrun Nabil semalam.

Pemain yang beraksi buat Terengganu Hockey Team (THT) itu turut menegaskan bahawa mental pemain negara kini dalam keadaan terbaik.

Berbeza ketika kejayaan 4-2 ke atas Jepun, Shahrun Nabil menegaskan, skuad negara akan tampil lebih bertenaga malam ini serta akan cuba memperbaiki kelemahan ketara di barisan pertahanan yang dilihat melepaskan gol mudah kepada lawan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami akan turun dengan lebih bertenaga kali ini dan tidak akan bermula dengan perlahan seperti menentang Jepun.

"Kami tiada masalah dalam segi jentera serangan, cuma ada beberapa perkara ketika strategi bertahan yang kami perlu perbaiki lagi.

"Apa pun, menentang India nanti kami akan cuba mendapatkan gol lebih awal dan tidak akan membiarkan gawang dibolosi dengan mudah.

"Semua pemain negara juga sudah bersedia untuk berjuang berhabis-habisan kerana kami tidak rela menghancurkan harapan besar peminat yang setia menyokong kami di sini," ujarnya lagi.

Khairy beri tempoh sebulan

Posted:

Khairy beri tempoh sebulan

Khairy beri tempoh sebulan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my



"TUBUHKAN Jawatankuasa Integriti segera jika enggan berdepan sebarang tindakan tegas termasuk dibubarkan".

Demikian amaran Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) terhadap kesemua persatuan bola sepak negeri (FA) bagi membanteras gejala rasuah yang dikatakan kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan.

Khairy berkata, pihaknya memberikan tempoh selama sebulan kepada kesemua FA bagi menubuhkan Jawatankuasa Integriti tersebut.

Jika tidak katanya, beliau akan merujuk perkara itu kepada Pesuruhjaya Sukan bagi menentukan bentuk hukuman yang bakal diambil terhadap mana-mana FA yang masih 'berdegil'.

"Saya minta tubuhkan (Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri) sudah lama... sejak tiga bulan lepas.

"Persatuan negeri perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Integriti, takkan nak harap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) semata-mata.

"Saya bagi mereka tempoh selama sebulan, jika tidak saya berhak mengambil tindakan mengikut peraturan Pesuruhjaya Sukan termasuk membubarkan persatuan," katanya kepada pemberita ketika mengulas kenyataan Presiden Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang kecewa apabila skuad Hoben Jang Hoben didakwa kembali dipalit dengan gejala rasuah semalam.

Mohamad Hasan dilaporkan mendakwa, senario itu bukan sahaja membabitkan skuad Negeri Sembilan tetapi beliau percaya ia kembali berleluasa dan melibatkan seluruh industri bola sepak tanah air.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, penubuhan Jawatankuasa Integriti di peringkat FA negeri sangat penting sebagai antara langkah membanteras gejala tidak bermoral berkenaan.

"Pemain tidak tahu hendak buat laporan kepada siapa. Identiti mereka tidak dilindungi selain khuatir keselamatan diri dan keluarga terancam.

"Sebab itu ia harus ditubuhkan. Saya sendiri sering menerima aduan daripada pemain yang enggan mendedahkan identiti berhubung isu ini.

"Sekarang, saya enggan terima sebarang alasan daripada persatuan negeri. Jika mereka enggan (tubuhkan Jawatankuasa Integriti), surat amaran akan dikeluarkan sebelum dikenakan tindakan," tegas beliau.

Pada masa sama, Khairy juga menggesa PDRM supaya menangani gejala itu dengan lebih serius.

"Tiada judi, tiada bookie. Saya percaya sindiket perjudian merupakan dalang sebenar punca wujudnya bookie.

"Saya harap PDRM dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap isu ini serta meningkatkan operasi kerana ia juga jenayah berat," katanya.

'Saya ada maruah'

Posted:

'Saya ada maruah'

'Saya ada maruah'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


MANIAM (tengah) mengambil alih tugas Irfan pada sesi latihan skuad Selangor
di Padang SUK, Shah Alam semalam.


KEPUTUSAN Irfan Bakti Abu Salim (gambar kecil) melepaskan jawatan selaku jurulatih Selangor masih menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan para peminat sukan bola sepak tempatan.

Irfan mengambil keputusan drastik itu sebaik skuad kendaliannya tewas 0-3 kepada Sime Darby pada aksi ketiga peringkat Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu.

Biarpun Selangor masih berpeluang untuk layak ke peringkat suku akhir sekiranya berjaya memungut sembilan mata pada baki tiga perlawanan, namun Irfan tetap dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatannya itu.

Namun, bagi Irfan, kekalahan itu membuka jalan kepadanya untuk berundur daripada skuad Gergasi Merah demi kesejahteraan pasukan.

"Saya ada maruah. Inilah perjalanan (karier) jurulatih, mereka bila-bila masa sahaja boleh berhenti.

"Saya sangat kecewa dengan kekalahan 0-3 kepada Sime Darby dan saya terpaksa mengambil tindakan demi pasukan.

"Kami tewas kepada Sime Darby meskipun Selangor sebenarnya dibarisi ramai pemain kebangsaan. Saya tidak menyalahkan pemain Selangor tetapi inilah adalah cara terbaik untuk menyelamatkan pasukan ini.

"Berhubung hala tuju saya selepas ini, saya enggan memikirkan perkara itu kerana saya mahu berehat dahulu dalam dua atau empat minggu ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Irfan bertindak menghantar surat perletakkan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) gara-gara beliau mengakui bertanggungjawab atas kemerosotan prestasi Selangor dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mohktar Ahmad percaya keputusan Irfan itu tidak melibatkan pihak lain.

Jelasnya, beliau berharap pengunduran Irfan secara sukarela itu mungkin memberikan satu petanda positif untuk kebangkitan juara 32 kali Piala Malaysia tersebut.

"Irfan datang jumpa saya dan air muka beliau cukup serius. Beliau mengakui rasa malu dan bertanggungjawab dengan kekalahan Selangor.

"Ini kerana Irfan menegaskan beliau tidak boleh menerima kekalahan itu. Irfan adalah seorang jurulatih yang baik dan banyak pengalaman.

"Mengenai keputusannya, dia harus berprihatin dalam hal ini. Ini kerana Irfan menganggap beliau sudah gagal untuk menjayakan pasukan selama dua tahun.

"Itulah had Irfan dan FAS menerima keputusan ini secara terbuka. Jika beliau paksa diri (melatih Selangor), mungkin situasi itu mengubah kepada tidak baik sekiranya mengendali pasukan dengan tertekan," katanya.

Sementara itu, Mohktar mengesahkan pembantu jurulatih, P. Maniam bertindak sebagai pengendali sementara untuk mengharungi kempen Piala Malaysia sebelum memutuskan pengganti Irfan sebaik kejohanan itu berakhir pada 3 November depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Khairunnisa bangkit melawan SLE

Posted:

Khairunnisa bangkit melawan SLE

Khairunnisa bangkit melawan SLE

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

SEBELUM ini, Khairunnisa Ahmad Sabri menjalani kehidupan yang riang bersama keluarga, namun lima tahun lalu kakinya mula membengkak sekali gus mengubah perjalanan kehidupannya.

Ketika itu, wanita berusia 26 tahun tersebut beranggapan kakinya membengkak disebabkan masalah berat badan yang dihadapinya.

Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital swasta dan diberikan ubat, namun masalah tersebut semakin serius, malah bengkak pada kakinya tidak surut.

Rawatan susulan yang dilakukan di hospital tersebut mendapati anak sulung daripada lima adik-beradik itu mempunyai masalah buah pinggang dan bukannya berat badan. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang, Selangor.

"Kali pertama saya didiagnosis menghidap SLE (Systemic Lupus Erythematosus) ialah pada bulan Oktober tahun 2007 apabila doktor mengesan gejala Nephritic syndrome selepas menjalani ujian biopsi.

"Kencing kotor yang berbuih dan mengandungi darah, tekanan darah tinggi mencecah bacaan 179/90, manakala bacaan kolesterol pula 6.9," katanya yang menghidap SLE pada usia 20 tahun.

Tambahnya, dia yang tidak mengetahui mengenai penyakit SLE telah melayari internet dan mendapati penyakit tersebut boleh membawa maut.

"Apabila mengetahui penyakit ini boleh membawa maut, saya menjadi takut dan berputus harap.

"Saya mula merasai kesakitan pada sendi, rambut gugur, sakit lutut, edema (bengkak kaki), mata berdarah dan selalu penat," ujarnya yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis ketika mula didiagnosis menghidap SLE pada tahun 2007.

Penyakit kronik

SLE merupakan sejenis penyakit kronik autoimun yang menyebabkan antibodi yang berfungsi melindungi badan bagi melawan penyakit tiba-tiba menyerang sel badan atau organ manusia.

Ia juga dilabel sebagai penyakit pelbagai wajah kerana penghidapnya menunjukkan gejala penyakit lain seperti demam, sakit sendi, keletihan, sakit otot dan ruam kulit.


BERKAT doa dan sokongan keluarga, Khairunnisa berjaya mengharungi saat-saat getir melawan SLE.


Ekoran itu, Khairunnisa berasa sangat sedih malah terpaksa mengambil ubat sehingga 30 biji sehari merangkumi ubat darah tinggi, kolesterol, gout, tulang, kalsium dan steroid.

Sejak itu, berat badannya daripada 70 kilogram (kg) meningkat sedikit demi sedikit sehingga mencecah 125 kg.

"Syukur kerana keluarga memberikan sokongan emosi yang kuat. Sejak itu saya amalkan gaya hidup sihat, ubah cara makan, bersenam dan sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan.

"Kini, daripada makan 12 biji pil steroid, saya makan sebiji sahaja dan jumlah ubat yang diambil sekarang ialah lima biji berbanding 30 biji sebelumnya," katanya sambil memberitahu kedua-dua buah pinggangnya masih dalam keadaan baik.

Ketika rakan lain sibuk meneruskan rutin sebagai penuntut di menara gading, Khairunnisa yang pada ketika itu berusia 20 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Arau dan Hospital Serdang secara berkala.

Sungguhpun begitu, gadis berjiwa kental itu berjaya menamatkan pengajiannya dalam Diploma Sistem Maklumat Perakaunan pada tahun 2008 walaupun terpaksa bergelut dengan kesakitan.


PADA peringkat awal penyakit SLE Khairunnisa dikesan, dia perlu mengambil 30 biji ubat sehari dan daripada jumlah itu 12 biji merupakan pil steroid.


Jika dulu Khairunnisa terpaksa 'melapor' diri ke hospital dua minggu sekali bagi memantau keadaan kesihatannya, kini tempoh tersebut dipanjangkan kepada empat bulan sekali untuk tujuan pemeriksaan darah dan urin.

Bersikap positif

Ditanya mengenai reaksi ibu bapanya ketika dimaklumkan doktor mengenai dirinya menghidap SLE, penolong akauntan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia itu memberitahu, ibu bapanya tenang sekali dan tidak langsung menunjukkan tanda kerisauan.

"Secara zahirnya, berita mengejutkan itu diterima dengan hati yang tenang, namun gejolak hati mereka hanya Allah yang mengetahuinya.

"Sokongan mereka membuatkan saya kembali kuat untuk meneruskan kehidupan ini. Sebelum itu, saya pernah bertanya kepada ibu, ada atau tidak kubur di sebelah tok bah untuk saya kerana ketika itu saya terlalu tertekan," ujarnya yang kini reda dengan ketentuan-Nya.

Baginya, setiap yang berlaku pasti ada rahsia dan sebabnya. Apa yang penting, sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit mahupun menempuh kehidupan seharian.

"Ikut nasihat doktor, buat pemeriksaan seperti disarankan, jangan dengar kata orang yang tidak tahu tentang penyakit SLE dan bercampur bersama individu positif sahaja," katanya sambil menitipkan pesanan buat mereka yang senasib.

Walaupun ibunya, Azmawati Ahmad, 51, dan ayahnya, Ahmad Sabri Ibrahim, 53, begitu terkejut dengan penyakit yang dihidapi Khairunnisa, segalanya dihadapi dengan tabah walaupun ada yang secara terang-terangan memberitahu bahawa penyakit itu tidak boleh sembuh dan pengakhirannya adalah maut.

"Hati siapa yang tidak luluh apabila mendengar orang berkata sebegitu. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk menyembuhkan puteri kami.

"Dengar sahaja ada orang pandai mengubat, terus kami pergi," ujar Azmawati yang turut membawa anaknya berjumpa lebih 10 orang pengamal perubatan alternatif.

Doanya tidak pernah putus supaya kesihatan anaknya kembali pulih seperti sedia kala. Walaupun hatinya sentiasa gundah dan air mata terlalu murah tumpah, namun tidak sekali-kali si ibu menunjukkan kesedihan di hadapan anaknya itu.

"Kami sekeluarga memberikan sokongan padu kepadanya dan mahu dia sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi ujian kehidupan.

"Bagi mereka di luar sana yang mengalami situasi yang sama, berilah sokongan kepada ahli keluarga atau kenalan yang menghidap SLE kerana ia mampu mengubah kehidupan mereka dan jangan sesekali abaikan nasihat doktor," pesannya.

Membentuk jiwa merdeka

Posted:

Membentuk jiwa merdeka

Membentuk jiwa merdeka


ERTI merdeka cukup luas dan bukan hanya tertumpu kepada pembebasan negara daripada cengkaman penjajah, malah merangkumi ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup. - Gambar hiasan


MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Perkataan yang asalnya dilaungkan pada tanggal 31 Ogos 1957, bakal dilaungkan seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu pada sambutan kemerdekaan Malaysia yang diadakan pada setiap 31 Ogos.

Tahun ini, Malaysia telah merdeka selama 56 tahun. Alhamdulillah, kita semua dapat hidup di negara yang aman, bebas bergerak sambil menikmati keindahan alam dan mengisi perut dengan aneka hidangan.

Namun, apakah itu cukup untuk memberi erti bahawa kita telah merdeka? Realitinya, terlalu luas maksud perkataan merdeka dan satu persoalan yang menarik, apakah diri kita sendiri turut merdeka?

Jiwa merdeka

Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda, kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang.

Tidak perlu ada banyak harta atau wang berjuta untuk menjadi merdeka kerana memiliki jiwa merdeka bukan bermaksud bebas melakukan apa sahaja tetapi perlu menepati undang-undang negara.

Malah, sebagai seorang Muslim, paling utama anda menepati kehendak-Nya dengan menuruti setiap perintah dan meninggalkan setiap larangan-Nya.

Lantas, bagaimana caranya untuk membentuk jati diri dan jiwa merdeka?

Solat

Sebagai seorang insan, kita semua mempunyai kewajipan dan tanggungjawab. Tertunaikah sudah segala kewajipan dan tanggungjawab anda sebagai seorang anak, isteri, suami, kakak, adik, abang, ayah atau ibu?

Selain itu, bagaimana dengan tanggungjawab anda sebagai seorang hamba yang dipinjamkan sementara untuk menikmati hidup di dunia ini? Rata-rata individu pada hari ini, mengabaikan kewajipan terhadap pencipta-Nya.

Kewajipan yang paling nyata sering diambil mudah ialah solat. Semua individu Muslim tahu, kita perlu mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Malangnya, berapa ramaikah yang betul-betul menjalankan kewajipan solat lima waktu sehari semalam itu?

Kajian membuktikan, masalah sosial remaja meningkat kerana pengabaian solat. Bahkan, masalah yang berlaku dalam institusi perkahwinan dan kekeluargaan berlaku kerana pengabaian solat.

Nafsu

Apabila seseorang itu ingkar untuk solat bererti dia berani menentang Allah yang mencipta-Nya.

Dimaklumkan juga, solat merupakan tiang agama dan mampu menjauhkan diri seseorang daripada terjebak dalam perkara yang merosakkan diri.

Lantaran, tidak melaksanakan solat, mana mungkin jiwa akan betul-betul merdeka?

Saya akui, dalam kalangan mereka yang bersolat masih berlaku masalah dalam perkahwinan mereka.

Malah kita seakan-akan biasa mendengar individu bergelar ustaz atau ustazah terlibat dalam perkara melanggar etika dan akhlak.

Jangan lupa, walau ustaz atau ustazah, dia juga manusia yang serba kekurangan dan sering diuji serta digoda oleh syaitan termasuk dihasut oleh nafsu sendiri.

Maksudnya, sebagai manusia dan makhluk-Nya, kita akan sentiasa diuji dan digoda oleh syaitan yang tidak akan berputus asa untuk terus menyesatkan kita.

Malah kita 'dikawankan' dengan nafsu yang hakikat kejadiannya adalah lebih jahat daripada syaitan.

Diriwayatkan, syaitan hanya enggan tunduk kepada Nabi Adam tetapi nafsu yang dimasukkan ke dalam diri manusia enggan mengakui Allah sebagai pencipta-Nya.

Untuk mengekang nafsu yang kekal bermaharajalela 24 jam sehari dan 365 hari setahun termasuk di bulan Ramadan (syaitan dirantai ketika Ramadan), maka kita perlu meningkatkan iman dengan cara mempertingkatkan ilmu dan amal.

Ujian

Kalau kita ada ilmu agama tetapi tidak dipraktikkan, kalau ada pengiktirafan ilmu tapi tidak faham satu apapun, kalau solat tonggeng terbalik tetapi tidak faham apa yang dilafazkan, bagaimana solat kita itu boleh menjadi pelindung diri seterusnya menjadikan kita individu berjiwa merdeka?

Hidup bererti ujian. Ujian Allah kepada hamba-Nya pelbagai bukan saja kesusahan dan penderitaan malah juga kesenangan dan kegembiraan.

Ujian bermaksud sesuatu yang diizinkan Allah berlaku untuk menguji tahap keimanan kita kepada-Nya. Namun, tidak ramai yang menyedari, segala kebahagiaan, kejayaan dan keseronokan itu termasuk dalam ujian daripada-Nya.

Ramai yang merasakan mereka sedang diuji ketika merasai kesakitan.

Reda

Tidak mengapa sakit hari ini kerana percayalah Dia sedang menyediakan penyembuh untuk anda di belakang hari dengan syarat anda hanya perlu reda.

"Reda...senang dilafaz tapi sukar dilaksana." Ramai yang berpendapat sedemikian. Setuju? Memang diakui untuk melaksanakan reda tidak semudah melafazkannya.

Persoalannya, apakah yang menjadikan reda itu sukar dilaksanakan?

Jawapannya hanya satu, terima! Jika anda mahu menerima sesuatu yang berlaku dalam hidup anda sebagai takdir-Nya dengan penuh hikmah, anda mudah untuk reda sebaliknya jika enggan atau sukar untuk menerimanya, nescaya anda sukar untuk reda.

Keadaan tidak boleh menerima inilah yang menjadikan reda itu sukar buat anda. Ini bererti, tidak sukar untuk reda, hanya perlu terima kenyataan tersebut.

Semoga kita tidak sekadar melaungkan merdeka saban tahun tetapi turut mempunyai jiwa yang merdeka!

Ubat kucing ada unsur haram

Posted:

Ubat kucing ada unsur haram

Ubat kucing ada unsur haram


ANDAI kucing anda mengambil ubat yang mengandungi unsur haram, tidak perlu disamak kerana anda tidak menyentuh unsur tersebut secara terus.


SAYA ada seekor kucing dan kerana kucing tersebut mengalami masalah cirit-birit, doktor telah memberikannya ubat makan yang mempunyai kandungan unsur babi. Perlukah saya memberikannya ubat tersebut? Jika saya memberikan ubat tersebut dan kucing kemudian menjilat barang di rumah mahupun anggota badan saya, adakah saya perlu menyamaknya?

JAWAPAN:

SEKIRANYA ubat yang diberikan mengandungi bahan atau enzim babi itu merupakan satu-satunya ubat untuk merawat kucing berkenaan, maka anda haruslah memberikan ubat tersebut. Anda tidak perlu menyamak jika kucing itu menjilat barangan atau tubuh.

Ini kerana ubatan itu telah dihadamkan di dalam perut kucing tersebut dan tiada kaitan dengan lidah dan tubuh haiwan berkenaan. Walaubagaimanapun, jika anda tersentuh babi secara terus, maka perkara itulah yang wajib disamak. Wallahu a'lam.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Gangguan air di Kuala Lumpur dan Selangor akibat lori diesel terbalik

Posted:

Gangguan air di Kuala Lumpur dan Selangor akibat lori diesel terbalik

Gangguan air di Kuala Lumpur dan Selangor akibat lori diesel terbalik

30/08/2013 9:08pm

KUALA LUMPUR - Sebahagian besar penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air setelah empat loji rawatan air ditutup selepas Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid

berkata, tumpahan minyak berlaku apabila sebuah lori tangki diesel terbalik dan muatannya melimpah dan mengalir ke dalam Sungai Selangor pada kejadian kira-kira pukul 8 pagi ini.

Berikutan insiden itu, beliau berkata empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai

Selangor, iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SPP2) dan Fasa 3 (SPP3) serta LRA Rantau Panjang ditutup bagi mengelak rawatan air mentah yang sudah dicemari.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, Mahdzir berkata, proses pembersihan minyak sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa yang lama.

Sungai Selangor merupakan sumber bekalan air untuk dirawat oleh empat loji berkenaan sebelum disalurkan ke rumah pam dan kolam-kolam. - Bernama

Esscom ditubuhkan untuk jaga keselamatan

Posted:

Esscom ditubuhkan untuk jaga keselamatan

Esscom ditubuhkan untuk jaga keselamatan

30/08/2013 8:11pm

PUTATAN - Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) secara keseluruhan amat baik dan berkesan bagi mengawal kemasukan

pendatang haram atau penceroboh ke negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat ruang untuk memperbaiki dan memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di kawasan perairan negeri ini.

"Bila kita membuat sesuatu yang positif, ada sahaja yang tidak setuju.

Mengkritik itu boleh, tetapi haruslah mengkritik untuk kebaikan iaitu memberi idea atau pendapat bagaimana ia boleh diperbaiki.

"Tujuan kerajaan menubuhkan Esscom ialah untuk mengawal kemasukan pendatang haram atau penjenayah, atau mereka yang menceroboh ke negara kita, khususnya Sabah, dan kalau ada kelemahan, saya tidak hairan kerana Esscom baharu ditubuhkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Putatan di pekarangan Pejabat Daerah Putatan hari ini. - Bernama

Pembantu APMT ditahan, dipercayai seleweng duit BR1M RM250

Posted:

Pembantu APMT ditahan, dipercayai seleweng duit BR1M RM250

Pembantu APMT ditahan, dipercayai seleweng duit BR1M RM250

30/08/2013 7:54pm

BANDAR PERMAISURI - Seorang pembantu sebuah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) ditahan untuk siasatan susulan kehilangan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikeluarkan kepada seorang

penerima pada 5 Jun lepas.

Suspek berusia 23 tahun itu ditahan Rabu lepas setelah pengadu berumur 33 tahun membuat laporan polis kerana gagal menunaikan baucar BR1M bernilai RM250.

Dalam laporan kepada polis, pengadu menerima baucar BR1M itu pada 5 Jun lalu tetapi apabila cuba menunaikannya di sebuah bank di Jerteh, didapati baucar itu telah pun ditunaikan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Abd. Rahman Raja Mohamed ketika mengesahkan perkara itu hari ini berkata, pengadu membuat laporan di Balai Polis Bandar Permaisuri pada 10 Jun.

Katanya, polis melalui Bahagian Jenayah Komersial menjalankan siasatan dan akhirnya berjaya mengesan suspek, dua hari lepas di Setiu.

Abd. Rahman berkata, hasil siasatan mendapati baucar BR1M itu telah ditunaikan suspek di Bank Simpanan Nasional Bergerak Cawangan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri sebelum ini. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak amal sikap pilih bulu

Posted:

Tidak amal sikap pilih bulu

Tidak amal sikap pilih bulu

PADA asalnya, sesi fotografi yang diaturkan bersama pelakon Khatijah Tan, Pierre Andre dan Mikail Andre bertujuan untuk keluaran khas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Selain berkongsi cerita mengenai pengalaman menyambut Aidilfitri mereka sekeluarga, Pierre dan Mikail turut bercerita mengenai perkembangan karier seni masing-masing.

Bagi Pierre atau pemilik nama sebenar Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre itu, dia mengakui agak gembira kerana adiknya telah menunjukkan minat dan berkecimpung dalam lapangan sama serta mengikut jejak langkah dia dan ibunya bergelar anak seni.

"Sudah lama saya dapat menjangkakan bahawa bakat seni ibu dan saya akan mengalir turut mengalir dalam diri Mikail, malah saya berbangga kerana dia kini semakin menyerlah.

"Begitu juga dengan mutu lakonan yang ditampilkan sudah menunjukkan peningkatan yang ketara. Kini saya semakin percaya dengan kebolehan yang ada pada dirinya," jelasnya.

Bagaimanapun, di sebalik penampilan Mikail yang semakin ketara terutamanya di layar perak, sudah mula timbul persoalan apabila dia kerap mengambil adiknya itu berlakon dalam beberapa buah filem arahannya itu.

Sehingga kini, sudah terdapat empat buah filem yang dilakonkan oleh Mikail di bawah arahannya iaitu 1 Lawan Satu, Sniper, Highland Tower dan Perempuan Muka Surat Tujuh.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Pierre menafikan bahawa dia menggunakan kuasanya sebagai pengarah untuk memilih adik sendiri berlakon dengannya.

Tegasnya, pemilihan pelakon untuk membintangi sesebuah filem itu dibuat berdasarkan kepada perbincangan dengan pihak penerbit sebelum keputusan dibuat.


MIKAIL mengakui abangnya, Pierre merupakan seorang yang serius dan cukup teliti ketika bekerja.


"Sebenarnya dalam beberapa buah filem yang saya arahkan, Mikail bukanlah pilihan utama saya. Misalnya, dalam filem terbaru saya iaitu Sniper, dia sekadar menjadi pilihan terakhir saya.

"Untuk filem berkenaan, saya telah mencadangkan dua nama pelakon lain untuk memegang watak utama, tetapi kedua-duanya telah menolak tawaran yang diberikan kerana jadual yang tidak sesuai dan akhirnya Mikail yang menjadi pilihan kerana saya melihat dia sesuai membawakan watak yang diberikan," dedahnya.

Berkenaan dengan layanan yang diberikan terhadap adiknya ketika menjalani penggambaran, Pierre memberitahu, dia langsung tidak membezakan Mikail dengan pelakon-pelakon yang lain.

Menurutnya, sebagai seorang pengarah dia perlu bertindak secara profesional dan tidak boleh memberikan sebarang keistimewaan kepada darah daging sendiri.

"Tidak bermakna Mikail itu adik saya, layanan yang diberikan perlu berbeza dengan pelakon lain. Kalau ada sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan, saya akan tetap tegur demi kebaikannya.

"Kalau boleh, saya tidak mahu mengamalkan sikap pilih bulu kerana ia boleh memberikan impak yang kurang baik. Bekerja dalam sebuah pasukan sudah tentu memerlukan kerjasama yang baik antara satu sama lain," jelasnya.

Mengakui agak serius terhadap adiknya semasa bekerja, namun hubungan dia dan Mikail sangat rapat di luar waktu kerja memandangkan dia tidak mempunyai adik-beradik lain.

Beri peluang

Ketika ini penampilan Pierre di layar perak dilihat semakin berkurangan. Kali terakhir dia berlakon adalah menerusi filem X terbitan Metrowealth pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Pierre, dia telah mengambil untuk berehat seketika daripada dunia lakonan kerana mahu memberi lebih fokus kepada bidang pengarahan sepenuhnya.

"Buat masa ini saya rasa seronok untuk menjadi seorang pengarah. Lagipun kebanyakan tawaran berlakon yang diterima kurang menarik minat saya.

"Selain itu, saya rasa lebih baik sekiranya peluang diberikan kepada pelakon-pelakon baharu. Dengan kemunculan ramai pelakon sekarang ini, saya lihat ada antaranya yang memiliki bakat dan potensi yang sangat besar," ujarnya.

Namun begitu, Pierre menegaskan bahawa dengan keputusan yang dibuat itu tidak bermakna dia akan meninggalkan terus dunia lakonan buat selama-lamanya.

Menurutnya, perasaan rindu untuk berlakon itu memang ada. Malah, dia tidak menolak kemungkinan bakal kembali ke dalam dunia lakonan seawal-awalnya pada tahun hadapan.

"Seboleh-bolehnya saya mahu komitmen terhadap bidang pengarahan akan selesai sebelum saya berlakon semula kerana mengikut kontrak dengan Metrowealth, masih ada enam buah filem lagi yang perlu disiapkan," jelasnya.


PIERRE mempunyai baki enam buah filem lagi untuk dilakonkan seperti yang sudah termeterai menerusi kontraknya bersama Metrowealth.


Tiada kelebihan

Bagi pelakon Mohd. Mikail Andre pula, dapat bekerja di bawah arahan abang sendiri sebenarnya langsung tidak memberi sebarang kelebihan buat dirinya kerana dia perlu berusaha keras dan memberi sepenuh komitmen agar tiada pihak yang mempertikaikan kemampuannya serta mengharapkan ehsan abang sendiri.

Ujarnya, hubungan antara dia dan Pierre sepatutnya tidak harus menjadi persoalan, meskipun kini dia sering menjadi pilihan untuk membintangi filem di bawah arahan abangnya itu.

"Mula-mula berlakon dulu, memang saya berasa sedikit gugup apabila Pierre bertindak sebagai pengarah dalam filem yang saya lakonkan, namun lama-kelamaan perasaan itu terus hilang.

"Selain ibu yang banyak memberi bimbingan kepada saya untuk menjadi pelakon yang baik, Pierre juga sering membantu dan berkongsi pengalamannya memandangkan saya masih lagi baharu dalam bidang ini," ujarnya.

Ditanya mengenai pandangan terhadap Pierre sepanjang berlakon di bawah arahan abangnya itu, dia melihat seorang yang cukup teliti dan serius sewaktu bekerja.

Sementara itu, memandangkan karier lakonannya yang semakin berkembang apabila kerap muncul di layar perak, Mikail turut berterima kasih kepada pihak Metrowealth yang banyak memberi peluang berlakon kepadanya.

Dia menjelaskan dirinya sentiasa terbuka untuk berlakon dengan produksi luar dan sentiasa menimbangkan sekiranya terdapat sebarang tawaran yang sesuai.

"Pihak Metrowealth tidak pernah halang langsung kalau ada sebarang tawaran, malah menggalakkan saya supaya cuba berlakon dengan produksi lain sebagai langkah mengembangkan lagi bakat lakonan yang ada.

"Tidak dinafikan tawaran itu memang ada saya terima, tetapi disebabkan masa yang kurang sesuai kerana bertembung dengan kerja lain menyebabkan saya terpaksa menolak," jelasnya yang bakal muncul dalam filem Kisah Paling Gangster terbitan B&L Kreatif Sdn. Bhd. arahan Brando Lee pada bulan November ini.

Wind Chimes In A Bakery, drama inspirasi Korea

Posted:

Wind Chimes In A Bakery, drama inspirasi Korea

Wind Chimes In A Bakery, drama inspirasi Korea

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

AHMAD NABIL (kanan) dan Koe Yeet merupakan pelakon utama drama Wind Chimes In A Bakery.


PEKA terhadap persekitaran yang semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia, jenama terkenal Samsung telah mempersembahkan kepada rakyat Malaysia sebuah drama cinta yang ditayangkan di laman YouTube.

Drama yang diberi judul Wind Chimes In A Bakery ini telah diinspirasikan oleh jalan cerita cinta filem Korea yang mana ia juga digarap oleh seorang pengarah dari Korea iaitu, Jang Jae Hyeok.

"Sebagai satu jenama yang menerajui teknologi telefon dan solusi digital di negara ini, kami gembira kerana berjaya menarik minat masyarakat menerusi drama yang disiarkan menerusi laman YouTube ini.

"Apa yang menariknya, setelah empat minggu bersiaran sejak awal bulan lalu, drama ini telah pun mencapai bilangan tontonan sebanyak empat juta penonton dan itu belum termasuk episod akhir.

"Bagi kami, ia merupakan satu kejayaan yang sangat cemerlang," tutur Ketua Korporat dan Penjenamaan Samsung Malaysia, Elaine Soh pada majlis previu episod akhir drama tersebut di GSC, Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pengarah Kreatif Bersama Leo Burnett, Kevin Carleen pula berkata, selain kisah cinta, apa yang ingin ditonjolkan sebenarnya adalah tentang bagaimana pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan seharian.

"Bagi yang menonton, pasti mereka perasan dengan penggunaan telefon Samsung GALAXY S4 yang diketengahkan berkait rapat dengan kehidupan Sue dan Adam.

"Cabarannya pula sudah tentu bagaimana untuk menggabungkan produk ini dengan drama agar ia menjadi satu jalan cerita. Kami beruntung kerana telefon bimbit Samsung GALAXY S4 ini sememangnya memahami kehendak masyarakat kini.

"Kami juga mahu jadikan ia sebuah drama yang sangat natural dan hasilnya kami berjaya gabungkan kedua elemen tersebut," jelas Kevin.

Pertama kali

Dalam pada itu, kedua-dua pelakon utama drama itu iaitu Ahmad Nabil Mahir dan Koe Yeet, ia merupakan sebuah filem yang penuh emosi

"Saya perlu banyak bermain dengan emosi dalaman yang mana pada mulanya ia agak sukar dan memberi tekanan buat saya kerana bekerja terlalu lama.

"Bagaimanapun, Kevin banyak membantu kami dalam meneruskan apa yang diinginkan oleh pengarah.

"Memang sebelum ini saya merupakan seorang aktres, namun saya banyak terlibat dalam produksi berbahasa Cina.

"Drama ini merupakan projek bahasa Inggeris saya yang pertama dan sejujurnya saya gembira bekerja dengan mereka semua," jelas Koe yang memegang watak sebagai Sue, seorang anak orang kaya yang memerlukan kasih sayang.

Ujar Nabil pula, sebelum ini dia hanya terlibat dalam bidang peragaan. Bagaimanapun, ini merupakan penglibatan pertama dirinya dalam bidang lakonan.

"Bercerita mengenai watak saya sebagai Adam, dia sebenarnya mempunyai impian tetapi bimbang untuk meneruskannya. Oleh kerana itu anda dapat lihat, Sue hadir dan membantunya mencapai impiannya itu.

"Sejujurnya, itu juga seperti apa yang saya alami sendiri. Saya punya impian namun, tidak berani untuk teruskan suatu ketika dahulu.

"Oleh itu, bagi saya ia tidak terlalu sukar untuk melakonkan watak Adam," jelas Nabil yang katanya mempunyai keserasian setelah bersama Koe dalam beberapa episod.

Wind Chimes In A Bakery boleh tonton menerusi laman YouTube Samsung Malaysia. Ia telah bersiaran sebanyak tujuh episod dan episod akhir akan disiarkan pada hari ini, Jumaat, 30 Ogos.

Saya telah disabotaj rakan sendiri - Aweera

Posted:

Saya telah disabotaj rakan sendiri - Aweera

Saya telah disabotaj rakan sendiri - Aweera

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TIDAK mahu KRU Studos campur tangan dengan isu yang dihadapinya, Aweera menganggap apa yang dihadapinya adalah merupakan masalah peribadinya.


USIANYA baru sahaja mencecah 22 tahun, tetapi vokalis kumpulan Mojo, Aweera berhadapan dengan pengalaman pahit apabila telah diisytiharkan muflis.

Perkara berkenaan tersebar menerusi satu notis yang telah dikeluarkan oleh sebuah akhbar pada 11 Julai lalu, malah pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham turut mengakuinya.

Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini, pelantun lagu Andaiku Bercinta Lagi itu enggan mengulas lanjut.

Tegasnya, dia mahu semua permasalahan yang melanda dirinya itu diselesaikan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada mana-mana pihak.

Kosmo!: Kalau tidak keberatan, boleh Aweera jelaskan dengan lebih lanjut berhubung pengisytiharan muflis tersebut?

AWEERA: Saya ingin memohon maaf kerana tidak boleh bercerita dengan lebih mendalam. Apa yang boleh saya katakan, ia masih lagi dalam proses untuk diselesaikan.

Ketika ini saya masih lagi berbincang dengan pihak bank dan mencari jalan supaya perkara ini dapat diselesaikan. Kalau sudah ada keputusan muktamad dibuat, barulah saya akan buat kenyataan.

Apakah tujuan Aweera membuat pinjaman?

Rasanya ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum, namun ia merupakan pinjaman peribadi yang dibuat ketika saya berusia 19 tahun dan sudah bekerja di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di unit kebudayaan.

Adakah Aweera telah ditipu oleh mana-mana pihak sehingga tidak mampu membuat bayaran dan diisytiharkan muflis?

Semasa bekerja dahulu tidak dinafikan memang ada rakan sekerja yang mempunyai hasad dengki. Saya akui semua yang terjadi ini akibat daripada sabotaj oleh rakan sendiri.

Adakah masalah ini telah menjejaskan karier Aweera selaku seorang penyanyi?

Apabila ramai yang sudah mendapat tahu mengenai perkara ini terdapat sedikit tekanan yang saya rasai, terutamanya ada yang telah bertanya mengenainya.

Jadi, untuk menghilangkan rasa tekanan yang dialami itu, saya lebih fokus kepada kerja. Saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat dan berharap semuanya dapat diselesaikan.

Adakah pihak KRU Studios turut campur tangan dengan masalah yang dihadapi Aweera?

Memandangkan ini merupakan masalah peribadi saya sendiri, mereka langsung tidak masuk campur. Namun begitu, mereka telah menasihati saya supaya mencari jalan terbaik dan tenang berhadapan dengan segala cabaran yang dilalui ini.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan Aweera bersama Mojo sekarang?

Ketika ini kami baru sahaja selesai merakamkan lagu runut bunyi untuk filem Vikingdom yang berjudul Dark Clouds. Lagu hasil ciptaan Edry dan Yusry Abdul Halim itu boleh dikatakan single terbaharu Mojo selepas Andaiku Bercinta Lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved