Sabtu, 17 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Aidilfitri menteri lebih meriah

Posted:

Aidilfitri menteri lebih meriah

Aidilfitri menteri lebih meriah

Oleh WARTAWAN KOSMO! AHAD
ahad@kosmo.com.my

SEMUA menteri Kabinet beragama Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.


PASCAPILIHAN Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu menyaksikan perubahan dan penampilan muka baharu dalam barisan Kabinet Persekutuan dan di negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional.

Antara tokoh yang pertama kali menjadi menteri ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Tokoh yang pertama kali menjadi menteri besar ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Menteri Melaka, Idris Haron dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Seramai 18 orang menteri selepas PRU-13 merupakan muka baharu dengan 12 daripadanya beragama Islam.

Justeru, 1 Syawal lalu merupakan Hari Raya Aidilfitri pertama yang mereka sambut selepas kira-kira tiga bulan menjawat jawatan masing-masing.

Menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Jemaah Menteri di Masjid Negara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara merupakan detik paling manis buat Hasan sejak bergelar menteri.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pagi Syawalnya banyak dihabiskan bersama keluarga dan masyarakat di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

HASAN MALEK


Pada hari raya kali ini, katanya, beliau berpeluang menyambutnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Jemaah Menteri pada pagi Aidilfitri.

"Selepas itu, kami turut sama memeriahkan rumah terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya," katanya.

Ceritanya, walaupun beliau berada di Masjid Negara dan Putrajaya pada pagi Syawal, ia tidak menghalangnya daripada pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta di kampung halaman.

Ujar Hasan, juadah istimewa yang wajib ada pada pagi Syawal ialah ketupat nasi yang dihidangkan bersama kuah kacang.

"Walaupun saya menggemari sate tetapi apabila ketupat nasi dan kuah kacang sudah terhidang di depan mata, ia sudah cukup untuk saya melupakan seketika juadah kegemaran saya itu," selorohnya.

Sambutan Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna kepada Rohani selaku Ahli Parlimen Batang Lupar. Ini merupakan kali pertama beliau menyambut Syawal sebagai menteri.


DATUK Abdul Rahman Dahlan (kanan) beramah mesra dengan pelancong dari Jerman yang turut hadir dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.


Pada tahun ini, beliau berpeluang meraikan sambutan hari raya Aidilfitri bersama golongan kurang berkemampuan, warga emas, kanak-kanak, anak yatim, orang kelainan upaya dan wanita.

Rohani memberitahu, beliau sebenarnya mula bersama kumpulan masyarakat tersebut sejak bulan Ramadan lagi.

"Program seperti majlis berbuka puasa, solat tarawih dan rumah terbuka sangat meriah lebih-lebih lagi apabila kakitangan kementerian turut turun padang untuk menjayakannya.

"Menerusi cara tersebut, kita dapat mendekati kelompok sasaran ini dan secara tidak langsung memberi mereka peluang untuk merasai keseronokan berhari raya," katanya.


KATA Rohani, beliau menyambut hari raya bersama keluarga secara sederhana sahaja.


Rohani turut menyertai majlis sambutan hari raya bersama Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada pagi raya lalu.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, walaupun kali pertama meraikan hari raya sebagai menteri, sambutan Syawal tetap diraikan secara sederhana bersama keluarga dan sahabat handai.

"Saya juga menziarahi pusara kedua-dua arwah ibu dan bapa sehari sebelum hari raya.

"Memandangkan jadual kerja agak padat, saya ziarah lebih awal pada tahun ini bagi memastikan tanggungjawab sebagai anak tetap ditunaikan," katanya.

Bercerita mengenai juadah raya, Rohani berkata, menu kegemaran rayanya ialah ketupat pulut, kari ayam ala Sarawak dan daging masak hitam resipi arwah ibunya.

"Saya turut menyediakan juadah seperti soto ayam, laksa Sarawak, kuah kacang dan nasi himpit untuk memberi kepelbagaian kepada menu. Kek lapis Sarawak dan baulu kelapa juga tidak terkecuali," katanya.

Kemeriahan malam raya Khairy

Posted:

Kemeriahan malam raya Khairy

Kemeriahan malam raya Khairy

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my


BIARPUN sibuk, Khairy dan Nori (dua dari kanan) tetap meluangkan masa untuk persiapan raya anak-anak mereka.


KALAU sudah namanya kanak-kanak, pasti habuan duit raya yang diperoleh setiap kali tibanya Syawal membuatkan mereka gembira bukan kepalang. Apa tidaknya, kanak-kanak berpeluang memegang jumlah wang yang lumayan sekali dalam setahun.

Dalam pada kanak-kanak lain bergembira dengan kutipan wang raya masing-masing, rupa-rupanya figura politik yang memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada waktu kecil pernah menangis gara-gara duit raya yang diberikan kepadanya terpaksa dipulangkan semula kepada si pemberi.

Memori tersebut masih terpahat kemas dalam ingatan bondanya, Datuk Rahmah Abdul Hamid ketika mereka sekeluarga menyambut lebaran di Kuching, Sarawak pada akhir tahun 1970-an. Ketika itu, bapa Khairy berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu di sana.

"Pada mulanya, kami tidak tahu budaya orang di sana yang akan memasukkan duit raya ke dalam poket anak-anak. Bila arwah bapa Khairy tengok ada duit RM1,000, dia pulangkan kepada orang tersebut.

"Arwah berpesan agar jangan beri wang sebanyak itu kepada anak-anaknya dan beranggapan ia bukan duit raya. Jadi menangislah Khairy kerana wangnya diambil," ujar Rahmah yang tersenyum mengingatkan kejadian tersebut. Katanya, Khairy baru berusia tiga tahun pada waktu itu.

Khairy lekas mencelah, beliau tidak begitu ingat akan peristiwa berkenaan kerana masih kecil. Namun, Khairy, 37, secara berseloroh berkata, beliau pasti menyimpan duit tersebut dengan cepat sekiranya mengetahui tentang nilai wang itu.

Dilahirkan di Kuwait, membesar di Tokyo, Jepun, bersekolah di Singapura dan menamatkan zaman universiti di London, England mencalitkan pelbagai nostalgia Aidilfitri pada diri Menteri Kabinet termuda Malaysia yang dilantik pada Mei lalu.

RAHMAH tersenyum mengenangkan peristiwa Khairy menangis kerana duit raya yang diterimanya dipulangkan semula.


Persiapan raya

"Saya sukakan makanan Jepun kerana dibesarkan di sana. Tapi apabila tiba hari raya, saya kena makan ketupat, rendang, ayam golek dan lemang.

"Ketika masih kanak-kanak saya tertanya-tanya, apakah hidangan tersebut. Semua itu saya pandang dengan berhati-berhati," katanya sambil tergelak besar.

Lama-kelamaan, beliau mula menyukai hidangan tradisional masyarakat Malaysia terutamanya suasana raya yang lengkap dengan baju Melayu, bersamping dan bersongkok. Baginya, itulah kelebihan berada di luar negara dan perkara itu benar-benar istimewa kerana peluang sebegitu hanya datang sekali setahun.

Jika sebahagian besar umat Islam di negara ini menjadikan pagi Aidilfitri sebagai masa yang paling ideal untuk berkumpul beramai-ramai, bermaaf-maafan dan menjamu selera dengan juadah lazat, lain ceritanya dengan keluarga besar Khairy.

Sambutan itu diraikan lebih awal iaitu pada malam raya (selepas solat Isyak). Semua sanak saudara akan berkampung di rumah ibunya di ibu negara untuk menikmati hidangan raya bersama-sama.

Tradisi itu sebenarnya memudahkan Khairy selepas beliau menceburi bidang politik kerana beliau tidak perlu risau tentang sambutan pada pagi Syawal. Semuanya sudah diuruskan pada malam sebelumnya.

Rutin lain yang dilakukan pada petang Ramadan terakhir adalah menziarahi kubur arwah bapanya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan kubur arwah ibu Nori di Putrajaya.

Tahun pertama bergelar menteri pada tahun ini mengubah sedikit jadual hari raya pertamanya yang sebelum ini pasti diluangkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Rembau, Negeri Sembilan. Tahun ini, beliau perlu mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama jemaah menteri yang lain menghadiri majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara.

Berkongsi tentang persiapan raya pula, Khairy dan isterinya, Nori Tun Abdullah tidak terkecuali untuk berkunjung ke Masjid India, Kuala Lumpur seperti ibu bapa lain. Mereka ke sana untuk membeli-belah kelengkapan raya bagi anak-anak mereka, Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar, 5, dan Timor Abdullah Jamaluddin Abu Bakar, 4.

KHAIRY mesra melayan anak saudaranya yang menghidap sindrom Down, Aisha Jamaluddin Aziz, 10 (dua dari kiri).


Ayam golek

"Kami akan tunggu dua hingga tiga hari sebelum raya untuk ke Masjid India kerana waktu lain terlalu sesak. Biasanya waktu itu sudah ramai warga kota pulang ke kampung halaman.

"Saya meminta pembantu pejabat untuk kosongkan jadual pada tempoh tersebut dan biasanya memang tidak banyak aktiviti rasmi kerana kebanyakan orang sudah balik kampung," jelasnya sambil memberitahu, tugas menyiapkan pakaian anak-anak pada pagi raya diuruskan oleh Nori.

Figura tinggi lampai yang gemar berjenaka itu turut memberitahu yang beliau memasak sendiri 20 ekor ayam golek untuk dihidangkan kepada saudara-mara pada pagi raya. Ayam golek merupakan menu wajib bagi keluarganya.

Nori yang anggun dengan busana kaftan labuh ketika temu bual kelihatan mengerling sambil tersenyum ke arah suaminya.

"Itulah dapur fantasia Khairy Jamaluddin," kata Nori dan membiarkan kru Kosmo 2 menafsir sendiri sejauh mana kebenaran Khairy hebat di dapur.

Diusik dengan soalan adakah mereka sekeluarga mengamalkan tradisi memakai persalinan sedondon, mereka lebih selesa memakai baju raya daripada kumpulan rona yang sama dan tidak semestinya sedondon.

Menurut Khairy, konsep menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia sudah semakin lari daripada hikmah asalnya iaitu melatih kesabaran, mengawal hawa nafsu dan meraih ketakwaan.

"Saya harap kita dapat kekalkan ketulenan sambutan kedua-dua bulan mulia ini dan tidak terlalu dikomersialkan walaupun ia sukar dielakkan.

"Sambutan raya bukanlah pesta material tapi sebaliknya menerapkan prinsip kemaafan, mengeratkan silaturahim dan mengenang kembali pengorbanan yang dilakukan selama sebulan pada bulan Ramadan," ujar Khairy.

Sementara itu, kebimbangan terhadap jalinan kemesraan yang terganggu antara keluarga dan sanak saudara pada hari lebaran turut mendapat perhatiannya.

Kata Khairy, memang akan ada saingan daripada program menarik di televisyen dan gajet seperti telefon pintar yang mengganggu perhatian. Katanya, masa sewajarnya diluangkan untuk bersama keluarga tercinta.

Sekiranya perlu, mereka yang menyambut Aidilfitri elok menutup seketika siaran televisyen, mematikan talian telefon bimbit dan menyembunyikan gajet daripada anak-anak.

Khairy turut berharap agar pengusaha stesen televisyen menyelitkan nasihat khidmat masyarakat yang menganjurkan rakyat meluangkan masa bersama keluarga sewaktu program raya disiarkan.

Bayi koma

Posted:

Bayi koma

Bayi koma


YU (kiri) dan Liu (kanan) tidak menyangka anak mereka, Lucas, masih hidup selepas kemalangan ngeri yang mereka alami.


PERIHAL keajaiban boleh dikatakan berlaku kepada sesiapa sahaja. Cerita seumpama itu turut berlaku ke atas seorang wanita, Wei Liu, 30, yang dibedah untuk mengeluarkan bayinya di sebuah hospital di Manchester, England baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia dibedah semasa dirinya berada dalam keadaan koma setelah terlibat dalam nahas jalan raya.

Liu yang bekerja sebagai seorang pembantu kedai telah terlibat dalam satu kemalangan di Ancoats, Manchester.

Dia dan teman lelakinya Geng Yu, 24, sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka dengan menaiki sebuah teksi. Teksi itu kemudian dilanggar sebuah kenderaan lain pada 3 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, wanita malang ini sedang sarat mengandung lapan bulan. Dia yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Manchester Royal Infirmary.

Tulang pipi Wei turut retak, patah kaki dan luka di kepalanya memerlukan 48 jahitan.

Situasi istimewa berlaku kerana doktor berjaya menyelamatkan nyawa Lucas yang dilahirkan sebulan lebih awal menerusi pembedahan. Selepas 40 hari berada di hospital, wanita yang bekerja sebagai pembantu jualan di Selfridges, Manchester itu dibenarkan pulang.

LIU masih tidak dapat berjalan dengan normal akibat kecederaan kedua-dua pergelangan kakinya.


"Semasa terjaga daripada koma, orang ramai berada di sekeliling saya. Terdapat satu benda di dalam perut saya menyebabkan saya tidak boleh bercakap. Tapi, saya menyedari perut saya semakin kecil dan bayi saya sudah tiada.

"Mereka (orang yang berada di sekelilingnya) menyatakan bayi saya selamat," ujarnya kepada akhbar Manchester Evening News baru-baru ini.

Dia terjaga daripada koma selepas tiga hari nahas itu berlaku.

Walaupun selamat, Wei perlu menggunakan kerusi roda selama beberapa bulan.

"Saya berasa bertuah kerana dapat terus hidup dan Lucas berada dalam keadaan baik," kata Wei.

Teman lelakinya itu juga patah tulang rusuk, serta cedera di kaki dan paru-paru.

Menurut Yu, dia berasa amat gembira apabila mendapati nyawa Wei dan anak mereka berjaya diselamatkan oleh doktor.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Taraf PR pemilik resort dilucut

Posted:

Taraf PR pemilik resort dilucut

Taraf PR pemilik resort dilucut

SYED AHMAD (kiri) yang dilucut status pemastautin tetap Malaysia.


KUALA LUMPUR – Taraf pemastautin tetap (PR) pemilik resort Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dilucutkan serta-merta ekoran sikap lelaki kelahiran Singapura itu yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini merupakan kali pertama kerajaan mengambil tindakan yang sebegitu tegas.

"Tindakan ini dibuat selepas kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat kajian mendalam terhadap pemilik resort itu, pasal taraf pemastautin tetap ini hanyalah satu kemudahan yang diberikan kerajaan Malaysia dan bukan satu bentuk keistimewaan," kata beliau kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Persatuan Pengasih di sini semalam.

Pada 10 Ogos lalu, lelaki bernama Syed Ahmad Syed Salim Alkaff, 45, yang merupakan pemilik sebuah resort di Sedili Besar membenarkan surau di resort berkenaan digunakan untuk upacara keagamaan bagi sekumpulan penganut Buddha.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiga kerabat Diraja parah, seorang maut

Posted:

Tiga kerabat Diraja parah, seorang maut

Tiga kerabat Diraja parah, seorang maut

Oleh JAZALY AMRY JAAFAR
berita@kosmo.com.my


ANGGOTA bomba mengeluarkan salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Gua Musang semalam.


GUA MUSANG – Tiga kerabat Istana Kelantan yang juga dua pupu Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V parah selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan yang turut membabitkan seorang maut di Kilometer 25.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Bukit Sejuk, Gua Musang di sini pada pukul 7.30 pagi semalam.

Kemalangan yang membabitkan empat kenderaan itu berlaku selepas kereta Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mereka iaitu Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissel, 38, dan dua adiknya, Tengku Fatimah Ainura, 34, serta Tengku Farini Amelina, 26, dipercayai hilang kawalan sehingga bertembung dengan tiga kenderaan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.

Seorang daripada tiga kerabat itu dikatakan tercampak keluar dari kenderaan. Ketiga-tiga mereka merupakan anak kepada Tengku Feissal Sultan Ibrahim yang juga sepupu ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Mengamuk selepas dihalang kahwin

Posted:

Mengamuk selepas dihalang kahwin

Mengamuk selepas dihalang kahwin

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
berita@kosmo.com.my

PONTIAN – Seorang lelaki yang gagal menahan marah selepas hajatnya untuk berkahwin lagi dihalang isterinya bertindak membelasah wanita berkenaan dengan kayu dan peralatan perabot hingga cedera dalam kejadian di Kampung Parit Wakaf, Tenggayun di sini kelmarin.

Lebih tidak berhati perut, lelaki berkenaan turut memukul anak lelakinya yang berusia 17 tahun dengan senjata yang sama hanya kerana mangsa mengajak rakan-rakannya datang beraya di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin (gambar) berkata, pihaknya bertindak menahan lelaki berusia 40 tahun tersebut selepas menerima aduan daripada anak perempuan pasangan itu yang berusia 18 tahun pada pukul 9.25 malam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Susu percuma tarikan ke sekolah

Posted:

Susu percuma tarikan ke sekolah

Susu percuma tarikan ke sekolah

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my

SUSU berperisa coklat menjadi kegemaran murid-murid SK Sri Permai di Gua Musang, Kelantan.


MASIH segar di minda betapa seronoknya hari persekolahan suatu ketika dahulu apabila guru memberitahu ada susu kotak akan diedarkan kepada murid-murid pada hari itu.

Susu berperisa coklat yang diberikan ketika di sekolah rendah secara percuma oleh kerajaan melalui Program Susu Sekolah (PSS) itu menjadi rebutan murid-murid sejak tahun 1981 lagi.

Namun, akibat terpaksa berhadapan dengan beberapa isu serius terutamanya keracunan laktasi yang berpunca daripada 35 peratus bekalan susu dicemari bakteria, PSS dimansuhkan pada 22 Mei 2007.

Bagaimanapun, program pemberian susu sekolah itu dihidupkan semula menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 September 2010.

Penganjuran semula program itu melibatkan peruntukan sekitar RM4 juta.

Sebanyak empat buah syarikat pengedar susu telah dilantik untuk menjayakan program itu termasuk Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia).

Syarikat multinasional itu telah memperbaharui kontrak selama dua tahun bagi tahun 2013 dan 2014 pada Mac lalu dengan liputan pengedaran termasuk Kelantan dan Terengganu.

Menurut Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross, tanggungjawab tersebut lebih mencabar kerana kawasan terbabit mempunyai banyak sekolah di pedalaman.


MENURUT Rashidah (tengah), seramai 1.4 juta murid sekolah rendah mendapat manfaat daripada Program Susu 1Malaysia.


"Bilangan sekolah yang terlibat dalam edaran kami ialah sebanyak 769 buah membabitkan 232,489 orang murid.

"Tidak seperti tahun lalu apabila kawasan pengedaran bertumpu di Selangor yang sinonim dengan kawasan bandar.

"Tahun ini kami berdepan dengan lebih banyak cabaran kerana terpaksa memasuki kawasan pedalaman terutamanya ke sekolah-sekolah Orang Asli yang adakalanya mengambil masa perjalanan sehingga enam jam," katanya.

Penghantaran

Baru-baru ini pihak Dutch Lady Malaysia telah memberi peluang kepada anggota media untuk melihat sendiri proses penghantaran susu tersebut ke sekolah-sekolah terlibat.

Kami telah dibawa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di Gua Musang, Kelantan yang merupakan sebuah sekolah Orang Asli. Perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda itu mengambil masa selama tiga jam dari jalan utama Gua Musang.

Untuk sampai ke sekolah tersebut, rombongan harus melalui dua buah bukit dan meniti curam yang hanya boleh dilepasi menggunakan kenderaan.

"Cabaran utama penghantaran seperti ini adalah cuaca dan masa.

"Susu mesti tiba di sekolah sebelum waktu persekolahan tamat pada tengah hari. Sekiranya hujan, kumpulan penghantaran tidak boleh keluar ekoran tanah basah, berselut dan ini amat berbahaya," jelasnya.

Salah seorang guru sekolah berkenaan, Rosli Abd. Rahim, 39, berkata, program susu tersebut dapat menarik minat murid-murid untuk hadir ke sekolah.

"Setiap murid menerima sekotak susu pada setiap hari Isnin dan Rabu. Mereka akan minum terus susu tersebut di hadapan guru dan tidak dibenarkan membawanya pulang," jelas beliau.

Menurut Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah, Anis Fauzana Ismail, 31, tidak sukar untuk meminta murid-murid terlibat meminum susu yang dibekalkan.

Nutrisi tambahan

"Susu yang diedarkan berperisa coklat dan sudah tentu ia menjadi kegemaran kanak-kanak. Tambahan pula, kanak-kanak pedalaman ini sukar untuk mendapatkan akses kepada susu coklat yang berada di pasaran.

"Dengan adanya susu ini, mereka boleh mendapatkan nutrisi yang mencukupi kerana ramai antara mereka tidak pernah minum susu selain susu ibu semasa kecil," ujarnya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Murid Kementerian Pelajaran, Datin Rashidah Md. Yusoff.

Katanya, program yang diperkenalkan itu mampu menjadi satu mekanisme bagi mencapai sasaran kehadiran murid 100 peratus bagi sekolah-sekolah di pedalaman.

"Tahun ini Kementerian Pendidikan membelanjakan sebanyak RM103 juta bagi bantuan susu segar menerusi PS1M yang membabitkan 1.4 juta murid sekolah rendah di seluruh negara," katanya.

Cara masakan perlu diubah

Posted:

Cara masakan perlu diubah

Cara masakan perlu diubah


CHEF Muluk (dua dari kiri) memantau wakil media dan kakitangan Nestle menyempurnakan tugasan menyediakan tiga jenis hidangan dalam Cabaran Kulinari Kotak Misteri di Petaling Jaya baru-baru ini.


TIDAK dapat dinafikan bahawa nutrisi sangat penting lebih-lebih lagi kepada seluruh rakyat Malaysia. Mengapa? Malaysia mencatatkan angka tertinggi penyakit diabetes dan pelbagai penyakit tidak berjangkit berbanding negara-negara lain.

Menyedari kepentingan nutrisi terhadap gaya hidup masyarakat Malaysia, Nestle Malaysia menampilkan cara masakan baharu bagi menangkis tanggapan bahawa makanan sihat tidak sedap.

Pakar Pemakanan Kanan Nestle Malaysia, Nurul Iliani Ahmad memberitahu, penyediaan makanan sihat perlu merangkumi pelbagai kumpulan dalam piramid makanan.

Andai tidak melibatkan setiap kumpulan zat, bermakna seseorang itu tidak menghidangkan makanan sihat dan berkhasiat buat keluarga mereka.

"Mengikut garis panduan diet Malaysia, pengambilan gula maksimum sehari ialah sebanyak 15 sudu teh, minyak empat sudu besar dan garam satu sudu teh.

"Adalah mustahil untuk mengurangkan pengambilan gula secara drastik. Apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkannya sedikit demi sedikit," katanya sambil memaklumkan pengunaan rempah seperti kulit kayu manis dan buah pala boleh memberikan rasa manis.

Tambah Nurul Iliani, pengambilan minyak ke dalam masakan perlu dikawal.

"Setiap satu sudu besar minyak, anda menambah 100 kalori dalam masakan," ujarnya.

Bagi menyediakan masakan sihat dan berkhasiat, cara masakan perlu diubah. Jika sebelum ini masakan selalu ditumis atau menggunakan minyak yang banyak, ia seharusnya diubah dengan cara mengukus, memanggang, rebus atau stu.

"Gunakan sedikit garam dalam masakan. Sebelum meletakkan garam, rasa dulu masakan tersebut.

Berkhasiat

"Kurangkan penggunaan makanan yang mempunyai tahap kemasinan tinggi seperti ikan, telur dan sayur masin serta belacan," ujarnya sambil menyarankan orang ramai supaya tidak memasak sayur terlalu lama kerana ia akan menghilangkan zat dalam sayuran tersebut.

KARI ayam ini dimasak tanpa menggunakan santan kerana telah digantikan dengan yogurt.


Sejajar dengan hasratnya menggalakkan pemakanan secara sihat dan berkhasiat, Nestle Malaysia telah menjemput wakil media bagi menyaksikan demonstrasi masakan menggunakan Maggi Magic Meals oleh Chef Eksekutif Maggi, Abdul Muluk Rambli atau lebih dikenali sebagai Chef Muluk.

Antara menu yang dimasak oleh beliau adalah ayam masak kicap, ayam masak merah, kari ayam, nasi ayam Hainan, nasi beriani dan salad mi Maggi.

Katanya, bagi menyediakan hidangan ayam masak kicap, kita hanya perlu masukkan ayam, perencah ayam kicap, hirisan bawang, cili yang dipotong dua dan daun ketumbar ke dalam plastik khas yang disediakan dalam paket Magic Meals kemudian sebatikan ramuan-ramuan itu.

"Panaskan periuk, masukkan empat sudu besar minyak, letakkan marjerin dan tumiskan halia serta bawang putih. Masukkan setengah kilogram beras siam dan gaulkan.

"Dua sudu setengah stok ayam dimasukkan ke dalam periuk bersama 600 mililiter air dan masukkan daun pandan. Masukkan plastik yang mengandungi ayam kicap tadi ke dalam periuk dan tunggu sehingga nasi masak," ujarnya sambil menekankan kaedah itu sangat mudah disediakan.

Usai menonton demonstrasi masakan, wakil-wakil media menyahut Cabaran Kulinari Kotak Misteri untuk menyediakan hidangan dengan menggunakan bahan-bahan masakan yang disediakan dalam kotak khas yang disediakan.

Setiap kumpulan terdiri daripada empat individu yang menggandingkan wakil media dan kakitangan Nestle Malaysia.

Masing-masing beraksi menunjukkan kemahiran memasak dengan menghasilkan tiga jenis hidangan iaitu hidangan protein, nasi goreng dan sayur sambil dipantau oleh Chef Muluk.

Ternyata, tidak sesukar mana untuk memasak hidangan berkhasiat lagi enak menggunakan produk Maggi kerana dalam masa kurang 30 minit, wakil media berjaya tampil dengan pelbagai hidangan antaranya, nasi goreng cina, ikan masak asam, nasi goreng kampung dan kari ayam.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Mesir gagal kekang demonstrasi jalanan

Posted:

Mesir gagal kekang demonstrasi jalanan

Mesir gagal kekang demonstrasi jalanan

RAKYAT Mesir menangisi kematian saudara-mara mereka di Masjid Al-Fatah di Kaherah semalam.


KAHERAH - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di seluruh negara dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi di Mesir semalam, kata Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan, sebanyak 25 orang dibunuh di satu lokasi protes iaitu di Dataran Ramses di sini.

Kementerian Kesihatan menyatakan, empat orang mati dalam keganasan di bandar Ismailiya dekat Terusan Suez manakala lapan lagi maut di bandar Damietta, utara Mesir.

Sumber keselamatan pula memberitahu agensi berita AFP bahawa lima penunjuk perasaan terkorban dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Ismailiya.

Sumber sama memberitahu, seorang anggota polis mati apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah pos kawalan di ibu kota Mesir di sini.

Keganasan semalam berlaku apabila penyokong Morsi berarak di beberapa buah bandar raya di Mesir dalam bantahan yang digelar (Kemarahan Jumaat).

Demonstrasi itu diadakan kerana membantah pembunuhan beratus-ratus penyokong setia Morsi dalam operasi pembersihan oleh pasukan keselamatan pada Rabu lalu.

Tunjuk perasaan itu diadakan di bandar raya ini, Iskandariah, Beni Sueif, Fayoum dan di Hurghada serta beberapa tempat lain.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian dalam negeri menyatakan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan peluru hidup jika penunjuk perasaan bertindak menyerang bangunan kerajaan. - AFP

Polis siasat letupan festival bunga api

Posted:

Polis siasat letupan festival bunga api

Polis siasat letupan festival bunga api


BEBERAPA anggota polis memeriksa lokasi letupan di festival bunga api di bandar Fukuchiyama dalam wilayah Kyoto kelmarin.


TOKYO - Polis Jepun semalam menyiasat punca letupan di sebuah festival bunga api yang menyebabkan lebih 59 orang cedera.

Beberapa mangsa teruk melecur dalam letupan di pesta tersebut yang sarat dengan pengunjung.

Saksi-saksi berkata, ramai mangsa termasuk kanak-kanak menjerit dan berguling di tanah untuk cuba memadamkan api yang menyambar badan mereka.

Terdahulu, beribu-ribu orang berkumpul untuk menyaksikan pesta bunga api itu kelmarin.

Letupan dipercayai berlaku di tebing sebuah sungai semasa beratus-ratus orang sedang menonton pesta tahunan musim panas itu di bandar Fukuchiyama, dalam wilayah Kyoto.

Festival itu menarik kehadiran sekitar 100,000 orang.

Api yang menyambar turut membakar gerai-gerai minuman dan makanan ringan sebelum satu letupan lebih besar berlaku.

Menurut beberapa keterangan awal, insiden itu dipercayai berpunca daripada sebuah tong gas.

Namun, agensi berita jiji Press melaporkan polis mengesyaki kebakaran bermula apabila seorang pemilik gerai menambah minyak tanah ke dalam generator yang dihidupkan.

Menurut polis, daripada 59 mangsa yang cedera sekurang-kurangnya 19 orang parah akibat melecur dengan seorang kanak-kanak ditempatkan di unit rawatan rapi.

Festival bunga api tersebut dibatalkan selepas kejadian itu. - AFP

Aktres bermasalah meninggal dunia

Posted:

Aktres bermasalah meninggal dunia

Aktres bermasalah meninggal dunia


LISA ROBIN KELLY


LOS ANGELES - Aktres yang membintangi siri komedi popular That 70's Show, Lisa Robin Kelly meninggal dunia kelmarin, lapor portal hiburan TMZ.

Pelakon berusia 43 tahun itu meninggal dunia ketika sedang tidur di sebuah pusat pemulihan di sini.

Jurucakap Kelly memberitahu TMZ bahawa aktres itu mendaftarkan diri secara sukarela di pusat tersebut beberapa minggu bagi merawat masalah ketagihan alkohol.

"Dia melawan kejahatan dalam dirinya untuk seketika tetapi tewas dalam perjuangan tersebut," kata jurucakap berkenaan.

Menurut satu sumber dalaman, suami Kelly telah memukulnya pada May lalu untuk mendapatkan wang hasil lakonan aktres itu.

Lelaki berkenaan, Robert Gilliam telah disabitkan kesalahan oleh sebuah mahkamah di sini kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan jenayah domestik.

Gilliam dijatuhkan hukuman penjara 35 hari di samping berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun kerana kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Kelly turut memfailkan perceraian terhadap Gilliam pada Julai lalu.

Aktres yang pernah membintangi filem seram Amityville Dollhouse itu pernah ditangkap sekurang-kurangnya empat kali sejak tiga tahun yang lalu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melakukan serangan ke atas orang lain. - Agensi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tawfiq utamakan persatuan belia yang menonjol

Posted:

Tawfiq utamakan persatuan belia yang menonjol

Tawfiq utamakan persatuan belia yang menonjol

17/08/2013 10:05pm

SANDAKAN - Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berjanji akan membantu setiap persatuan belia yang menonjol di negeri ini.

Katanya, mana-mana persatuan belia yang aktif, progresif dan berdaya maju serta menggunakan budaya sihat akan diutamakan.

"Saya berjanji akan terus beri bantuan dan sokongan serta jaminan kepada persatuan berkenaan," katanya pada majlis Penutupan Jambori Antarabangsa 100 Tahun Pengakap Sabah dan Jambori Sabah Kedua 2013 di sini hari ini.

Menurut Tawfiq, generasi belia yang merupakan aset penting negara perlu terus dibentuk agar menjadi modal insan yang berjaya di masa akan datang.

Menurut beliau, modal insan dalam sesebuah negara menjadi tonggak dan penentu kemajuan dan kekuatan negara ini.

"Berbeza dengan situasi zaman sebelum ini, keteguhan negara diukur melalui kekuatan ketenteraan dan kekayaan, hari ini yang menjadi penentu adalah seberapa ramai dan hebatnya modal insan yang dilahirkan oleh sesebuah negara.

"Oleh itu, saya amat berharap agar persatuan belia khususnya pergerakan pengakap mampu menjadi tunjang kekuatan negara," katanya. - Bernama

Ditetak dan ditembak, pekerja bengkel warga India parah

Posted:

Ditetak dan ditembak, pekerja bengkel warga India parah

Ditetak dan ditembak, pekerja bengkel warga India parah

17/08/2013 10:08pm

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja bengkel kenderaan warga India parah selepas ditetak dan ditembak sekumpulan empat lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Johor, Tampoi di sini tengah malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Superitendan Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada pukul kira-kira 12.30 tengah malam apabila mangsa yang berusia 30-an berada di luar pekarangan kediaman majikannya sebelum dia tiba-tiba diserang suspek yang bersenjatakan parang dan senjata api.

"Beliau yang cedera ditetak cuba melarikan diri ke dalam rumah, namun seorang daripada suspek sempat melepaskan dua das tembakan sebaik sahaja mangsa berjaya masuk ke dalam kediaman berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, majikan mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik, bergegas ke luar rumah sebaik mendengar bunyi tembakan dan menemui mangsa terbaring di ruang tamu rumahnya.

Suspek pula dipercayai melarikan diri sejurus selepas itu.

Beh memberitahu, polis bergegas ke lokasi selepas menerima laporan berhubung kejadian itu dan menemui dua kelongsong peluru serta beberapa kesan cap jari di pagar rumah berkenaan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an manakala dua lagi masih diburu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - Bernama

TGV Cinemas sedia mainkan lagu Negaraku di pawagamnya

Posted:

TGV Cinemas sedia mainkan lagu Negaraku di pawagamnya

TGV Cinemas sedia mainkan lagu Negaraku di pawagamnya

17/08/2013 9:50pm

KUALA LUMPUR - Pengendali rangkaian panggung wayang TGV Cinemas Sdn. Bhd. (TGV) bersedia untuk memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem di panggung miliknya sekiranya cadangan itu dikuatkuasakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gerald V. Dibbayawan berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh bagi merealisasikan hasrat tersebut di semua rangkaian pawangamnya seluruh negara.

"Kami berbesar hati dapat bersama-sama memainkan peranan untuk membantu membina semangat patriotisme di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dibbayawan berkata, setakat ini, pihaknya masih menunggu panggilan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi perbincangan lanjut berhubung cadangan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam mencadangkan supaya lagu Negaraku dimainkan di pawagam di seluruh negara, sama ada dua atau tiga hari sebelum dan selepas 31 Ogos atau diteruskan hingga Hari Malaysia pada 16 Sept. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ziarah raya Shah Iskandar, Elfaeza

Posted:

Ziarah raya Shah Iskandar, Elfaeza

Ziarah raya Shah Iskandar, Elfaeza

MUDAH benar perjalanan sesi fotografi bersama dua anak seni yang namanya mula meniti di bibir peminat ini.

Biarpun dihala bidikan lensa kamera di bawah terik matahari Ramadan beberapa hari sebelum tanggal 1 Syawal lalu, pelakon Shah Iskandar dan Elfaeza Ul Haq, kekal mengukir senyuman.

Suasana tengah hari di laman ala kampung Melayu sekitar Kompleks Kraf, Jalan Conlay, di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu tidak terasa dek hiburan sampingan daripada canda gurau dua sahabat 'sekampung' itu.

Sengaja diaturkan sesi fotografi tersebut di lokasi berlandskap tradisional itu agar kedua-dua mereka berpeluang merasai pengalaman beraya dalam suasana perkampungan Melayu.

"Kalau di Malaysia suasana kampung seperti ini masih dapat dirasai apabila mereka pulang beraya. Tetapi di Singapura yang ada hanyalah taman warisan yang rupanya hampir begini.

"Namun, sudah menjadi kebiasaan kami beraya dalam bandar," ujar Shah Iskandar mengungkap rasa hati.

Shah Iskandar dan Elfaeza merupakan anak seni kelahiran Singapura yang merantau jauh meninggalkan kampung halaman demi meneruskan cita-cita di Kuala Lumpur.

Biarpun ini merupakan kali keempat menyambut Ramadan dan Syawal sebagai pelakon di Malaysia buat jejaka yang mesra disapa Shah dan tahun kedua buat Elfaeza, rasa rindu pada tanah kelahiran mereka kekal menebal.

Bahkan, ketiadaan ruang untuk bersama-sama rakan perantau yang lain menambah lagi hiba Ramadan mereka di Kuala Lumpur.

"Jika tahun lalu kami sempat bersahur atau berbuka bersama, namun pada tahun ini kami tiada masa langsung untuk berjumpa.

"Bahkan sesi fotografi hari ini adalah kali pertama kami bertemu pada Ramadan ini," ujar Elfaeza.

Walaupun sayu dan kesunyian menjadi peneman sepanjang berpuasa di perantauan, saat membuka cerita soal hari raya, rasa teruja mula menghambat dua jiwa itu.

SAMBUTAN hari raya keluarga Shah akan meriah pada minggu kedua dan ketiga Syawal.


Sementelah, masing-masing ada cerita manis yang mahu dikongsikan.

Shah beraya di Johor

Sebagai seorang lelaki bujang, Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz tidak cerewet dalam soal persiapan hari raya. Tidak banyak yang dilakukan, sebaliknya Shah menumpukan perhatian kepada kerjanya sepanjang Ramadan.

"Untuk bulan puasa sahaja, saya terlibat dengan lima buah telemovie. Persiapan hari raya hanya dilakukan selepas balik ke Singapura kira-kira lima hari sebelum hari raya.

"Selalunya kami sekeluarga akan membeli-belah persiapan hari raya di Plaza Angsana, Johor Bahru kerana di situ pelbagai kelengkapan hari raya ada dijual," katanya yang bercuti hingga hari raya kelima.

Tambah Shah, dia akan mengunjungi sanak saudara pada hari pertama lebaran.

Tiada sebarang persiapan besar yang dilakukan di rumahnya kerana mereka sekeluarga akan menjamah hidangan di rumah yang dikunjungi.

"Selepas sembahyang raya kami akan mengunjungi kaum keluarga di Malaysia dahulu seperti melawat datuk dan nenek serta saudara-mara di Pontian dan Kampung Melayu, Johor Bahru," katanya.

Bagaimanapun, persiapan di rumah keluarganya akan lebih meriah pada minggu kedua atau ketiga raya apabila giliran saudara-mara berkunjung ke rumahnya di Woodlands.

SETIAP kali tiba Aidilfitri, Elfa akan menyenaraikan rumah dan lokasi yang ingin dikunjungi.


"Pada minggu-minggu berikutnya barulah mereka bertandang ke rumah kami pula kerana kebanyakan mereka adalah saudara-mara yang lebih tua dan lebih dihormati," ujar jejaka berusia 31 tahun itu.

Elfa beraya naik trak pikap

Berjauhan dengan keluarga tercinta pada bulan Ramdan sedikit sebanyak mengganggu emosi si gadis pemilik nama penuh Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq itu.

"Walaupun ini kali kedua saya berpuasa di sini, saya tetap sedih kerana bersendirian.

"Tetapi jika tiada penggambaran saya akan balik ke Singapura untuk berpuasa bersama mereka.

"Untuk tahun ini, separuh daripada tempoh bulan puasa saya habiskan bersama keluarga dengan cara berulang alik ke sana," kata Elfaeza, 28.

Saat diajak berbual tentang hari raya pula, pelbagai kisah gembira hari raya mahu diceritakan oleh gadis berdarah campuran Melayu-Pakistan itu.

Suasana meriah pada malam raya antara saat yang ditunggu Elfaeza apabila seluruh keluarganya akan sama-sama membuat persiapan saat akhir.

"Macam menjadi kebiasaan kami apabila persiapan hari raya dilakukan pada malam raya. Pelbagai perkara mahu disiapkan termasuklah memasak, mengemas rumah dan menukar langsir.

"Selalunya kami akan tidur selepas waktu subuh dan bangkit semula pada pukul 9 pagi.

"Walaupun mata bengkak kerana tidak cukup tidur, kami akan keluar beraya juga selepas itu," katanya teruja.

Jelas Elfaeza, dia akan menyenaraikan lokasi yang harus dikunjungi sepanjang hari raya. Dari rumahnya yang terletak di Jurong, Elfaeza sekeluarga akan berkunjung ke lokasi mengikut turutan bagi menjimatkan masa.

"Sekurang-kurangnya sepuluh buah rumah saudara-mara akan dikunjungi dalam masa sehari yang akan dimulakan dengan rumah nenek di Chua Chu Kang.

"Selepas habis sesi kunjung-mengunjung, saudara-mara akan berkonvoi ke tempat rekreasi atau tepi pantai untuk berkumpul," katanya yang menyediakan sepasang baju raya pada tahun ini.

Saat mengenang zaman lalu, Elfaeza mendedahkan pelbagai kisah manis pada zaman kanak-kanak dan remajanya.

"Suatu ketika dahulu hari raya meriah kerana kami akan berkunjungan dengan menaiki trak pikap. Selalunya kanak-kanak akan duduk di belakang.

"Selain itu, semasa bersekolah kami suka ziarah-menziarah secara berkumpulan dengan menaiki MRT (transit aliran massa).

"Apabila bertembung dengan kumpulan lain kami akan saling bertegur sapa dan melambai-lambai walaupun tidak mengenali antara satu sama lain," ujar Elfaeza yang menggemari juadah sambal udang pada hari raya.

Hans berhenti terbitkan filem

Posted:

Hans berhenti terbitkan filem

Hans berhenti terbitkan filem

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

FILEM Lemak Kampung Santan menggandingkan Hans Isaac bersama Neelofa gagal menarik perhatian penonton untuk menonton filem tersebut.


KETIKA mengadakan sesi fotografi raya bersama Kosmo! pada bulan puasa lalu, penerbit, pengarah dan pelakon Hans Isaac ada memberitahu bahawa dia akan berhenti menghasilkan filem sekiranya produksi Lemak Kampung Santan gagal meraih sambutan.

Terbaharu, Hans seperti mengotakan kata-katanya itu lantaran filem yang menampilkan dirinya dan Neelofa sebagai pelakon utama itu sekadar mengumpul kutipan sebanyak RM100,000 berbanding kos penerbitannya RM1.7 juta.

Menerusi laman Twitter miliknya baru-baru ini, Hans meluahkan hasratnya untuk tidak lagi terbabit dalam industri perfileman tempatan sebaliknya mahu memberi fokus kepada pementasan teater pula.

Mendapat pelbagai maklum balas yang positif dan negatif terhadap keputusannya itu, Pengarah Urusan Tall Order Productions Sdn. Bhd. itu lantas memberikan penjelasan lanjut apabila dihubungi Kosmo! kelmarin.

Kosmo!: Berdasarkan kenyataan yang dibuat menerusi Twitter, anda seperti tidak mahu lagi terbabit dalam bidang perfileman. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut?

HANS: Apa yang dimaksudkan ialah saya tidak mahu lagi melabur dalam penerbitan filem, tetapi saya masih lagi mengarah dan berlakon filem sekiranya ada tawaran.

Sebagai seorang penerbit, buat apa lagi saya melabur dalam perniagaan yang mendatangkan kerugian. Lebih baik pelaburan dibuat ke dalam perniagaan yang memberikan keuntungan seperti penerbitan teater.

Anda meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap Lemak Kampung Santan. Apa hebatnya filem itu sehingga orang ramai perlu menontonnya?

Saya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa filem ini menjadi penanda aras untuk saya terus menghasilkan filem atau sebaliknya. Ternyata, dengan sambutan yang diterima membuatkan saya terpaksa mengambil keputusan sebegini.

Untuk filem ini pula, kekuatannya terletak kepada kualiti ketika dihasilkan. Saya mengambil berat mengenainya kerana saya mahu memberikan sebuah bentuk hiburan yang berkualiti kepada penonton supaya mereka tidak memandang rendah kepada filem tempatan lagi.

HANS bakal menerbitkan teater berjudul Supermokh The Musical yang dijangka menelan kos mencecah RM3 juta.


Adakah anda terkilan apabila Lemak Kampung Santan tidak menjadi pilihan penonton?

Saya tidak boleh salahkan penonton kalau mereka tidak mahu menonton filem saya. Masing-masing ada hak untuk menonton filem kegemaran mereka. Saya lebih kecewa dengan perniagaan dalam industri perfileman tempatan sekarang.

Perkara utama yang membuatkan saya lebih berasa terkilan apabila tiadanya perubahan yang berlaku dalam industri hiburan sejak 10 tahun lalu.

Begitu juga dengan layanan yang diberikan oleh pawagam terhadap filem tempatan yang mengecewakan berbanding filem antarabangsa.

Saya juga mendapat tahu bahawa selepas seminggu Lemak Kampung Santan ditayangkan, sudah banyak pawagam yang menarik balik tayangannya. Daripada 60 buah pawagam ketika hari pertama tayangan, kini tinggal 20 pawagam yang menayangkannya. Itu pun pada waktu yang tidak fleksibel.

Bagaimanakah maklum balas yang diterima selepas anda membuat kenyataan menerusi Twitter baru-baru ini?

Saya baca setiap komen peminat, namun tidak dapat membalas semuanya. Memang ramai yang cakap saya merajuk disebabkan filem tidak laku.

Namun begitu, saya tidak menyalahkan pihak yang membuat komen kerana mereka tidak berada di tempat saya. Kalau mereka berada dalam situasi saya sekarang, barulah mereka akan faham.

Selepas tidak mahu melabur lagi dalam pembikinan filem, anda menyatakan mahu fokus kepada penerbitan teater pula. Adakah teater mampu memberi pulangan yang besar?

Sepanjang saya menerbitkan teater, pulangan yang diperoleh memang tidak mengecewakan, malah untuk mendapatkan penajaan juga tidak sukar.

Saya pernah mendapat tajaan daripada 10 syarikat ketika menerbitkan sebuah teater dahulu.

Berbanding dengan menerbitkan filem pula, untuk mendapatkan satu tajaan pun memang sangat sukar. Sehinggakan saya terpaksa mengeluarkan 100 peratus modal sendiri semasa menerbitkan sesebuah filem.

Apakah projek terbaharu Tall Order Productions Sdn. Bhd. sekarang?

Pada bulan Oktober ini kami akan membuat pementasan Lawak Ke Der 3. Kemudian diikuti pula dengan teater Supermokh The Musical yang bakal dipentaskan pada bulan November dan dijangka menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Teater berkenaan mengisahkan tentang bintang legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Sejak dahulu lagi saya begitu mengagumi beliau kerana kesungguhannya mengharumkan nama negara serta tidak mementingkan wang ringgit.

Krisdayanti cuci baju pada hari raya

Posted:

Krisdayanti cuci baju pada hari raya

Krisdayanti cuci baju pada hari raya


KRISDAYANTI (kanan) dan kakaknya, Yuni Shara meraikan Aidilfitri tahun ini di Seoul, Korea Selatan.


BINTANG tersohor Indonesia, Krisdayanti bersama kakaknya, Yuni Shara dan keluarga mereka memilih untuk menyambut lebaran di Korea Selatan.

Mereka bertolak ke ibu kota negara itu, Seoul pada Rabu lalu. Sepanjang meraikan Aidilfitri di Seoul, Krisdayanti terpaksa mencuci bajunya sendiri. Ini kerana mantan isteri Anang Hermansyah itu tidak membawa pembantunya bersama.

Selepas menyelesaikan urusan tersebut, barulah pelantun lagu Menghitung Hari itu mengunjungi tempat-tempat pelancongan di sana. Peluang yang diraihnya itu tidak disia-siakannya, malah dia menghabiskan masa sehari suntuk dengan membeli-belah.

"Kami menghabiskan masa membeli-belah di Myong Dong dan Bon Daemo sampai pagi. Tempat itu terkenal dengan barangannya yang murah dan berkualiti," ungkap Krisdayanti kepada KapanLagi.com.

Meskipun di negara orang, Krisdayanti dan keluarganya tetap berusaha menghidangkan masakan yang selalu disajikan semasa hari raya.

"Kami tetap menghidangkan makanan hari raya seperti lontong, opor, rendang dan beberapa menu raya lagi," ungkapnya.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved