Khamis, 4 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

Posted:

Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

PROF. Datuk Dr. Nik Safiah Karim cukup mengenali lelaki itu. Mereka pernah sama-sama menuntut di Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) sekitar awal tahun 60-an.

Beliau mengakui, biarpun menuntut di fakulti yang sama, mereka tidak begitu akrab. Hanya bertemu sekali- sekala, itu pun jika ia melibatkan aktiviti-aktiviti di fakulti.

Sungguhpun begitu, Nik Safiah amat mengagumi lelaki itu. Beliau bukan sahaja pelajar cemerlang malah seorang yang aktif dengan pelbagai aktiviti dan persatuan di universiti.

Bagaimanapun, pada pagi Isnin lalu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh telah pergi untuk selama-selamanya pada usia 79 tahun.

Selepas lapan tahun terlantar akibat strok dan beberapa penyakit lain sebelum ini, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Beliau meninggalkan balu Puan Sri Salmah Abu Bakar, 69, dan tujuh anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Mengimbau kenangan bersama ketika di zaman universiti, Nik Safiah berkata, ketokohan dan bakat kempimpinan Awang Had sudah terserlah apabila beliau menjawat beberapa jawatan penting termasuk menjadi Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

"Di bawah kepimpinan beliau, PBMUM menjadi sebuah persatuan pelajar yang aktif dalam memperjuangkan bahasa Melayu dan bidang sastera di negara ini.

"Selain berkemampuan memimpin, beliau juga cukup berbakat dengan menghasilkan pelbagai karya dan penulisan sastera yang bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Nik Safiah, selepas tamat pengajian mereka membawa haluan masing-masing.

Beliau meneruskan kerjayanya sebagai tutor di Jabatan Pengajian Melayu, UM sementara Awang Had pula menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Rakan setugas

Bagaimanapun sekitar tahun awal tahun 70-an, mereka mula menjadi rakan setugas apabila Awang Had dilantik sebagai Penolong Pensyarah di Fakulti Pendidikan, UM.

Jelasnya, Awang Had merupakan seorang cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Novel pertamanya, Biru Warna, terkenal dengan bahasa yang indah dan puitis sesuai dengan keperibadiannya yang lemah-lembut dan berhemah ketika berbicara.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat termasuk ketika menjadi penulis jemputan.

"Beliau seorang penulis yang tiada tolok bandingnya. Setiap karyanya bukan sahaja sempurna tanpa kesalahan bahasa, malah mempunyai kata-kata indah yang lahir daripada jiwa.


SUMBANGAN Awang Had dalam bidang pendidikan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.


"Malah sepanjang mengajar di UM, saya turut menggunakan beberapa karya beliau sebagai sumber rujukan dan pengajaran kepada pelajar," ujarnya yang memberitahu, pemergian Awang Had merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Dilahirkan pada 24 Jun 1934 di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang Had mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Betung.

Pada tahun 1956, beliau telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 sebelum menyambung pengajian di UM dalam bidang sastera dan seterusnya di peringkat kedoktoran dalam bidang pendidikan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Berkhidmat di UM sehingga tahun 1978, beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Tidak cukup dengan itu, Awang Had juga pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

Malah beliau juga bertanggungjawab membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989.

Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sementara itu, seorang rakannya, Datuk Dr. Baharudin Zainal, berkata, selain cemerlang sebagai ahli akademik dan pentadbir universiti, Awang Had juga merupakan seorang pejuang bahasa Melayu yang sukar dicari ganti.

Pernah bersama-sama menuntut di UM satu ketika dahulu, Baharudin atau lebih dikenali dengan nama penanya, Baha Zain memberitahu, mereka pernah berjuang bersama-sama dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

"Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa beliau merupakan antara mereka yang terawal memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan ketika itu," katanya.


BIARPUN sibuk dengan pelbagai komitmen, Awang Had (tengah) tetap meluangkan masa menyertai forum atau persidangan yang berkaitan bahasa Melayu dan sastera.


Tambahnya, biarpun sibuk dengan pelbagai komitmen dan jawatan yang disandang sama ada di peringkat universiti atau kerajaan, Awang Had tetap meluangkan masa untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sastera di negara ini.

Secara tidak langsung usaha gigih yang dilakukan beliau dan rakan-rakan seangkatannya berjaya memartabatkan bidang sastera melalui pelbagai aktiviti, forum dan sebagainya.

Mencintai ilmu

Berpengalaman sebagai seorang guru, tidak hairanlah jika Awang Had begitu mencintai ilmu sehingga akhir hayatnya.

Perkara itu diakui sendiri oleh menantunya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Katanya, walaupun sudah bersara daripada bidang pendidikan dan mempunyai ijazah kedoktoran, bapa mertuanya itu gigih mempelajari pelbagai bidang ilmu untuk mengisi masa lapang.

"Beliau menganggap ilmu perlu dituntut sehingga akhir hayat. Tidak hairanlah ketika masih sihat dahulu beliau sanggup mengambil pengajian jarak jauh dalam bidang lukisan kerana minat melukis," ujarnya dalam satu temu ramah bersama sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahman, satu perkara yang paling dikagumi tentang bapa mentuanya ialah beliau amat menitikberatkan soal pendidikan dalam keluarga.

"Setiap kali pulang dari luar negara beliau akan membelikan hadiah bahan bacaan buat cucu-cucunya kerana baginya jika diajar mengenali buku sejak kecil, mereka akan menghargai buku sehingga dewasa.

"Kata-kata itu ternyata ada kebenarannya, sampai sekarang anak-anak saya tidak boleh tidur jika tiada buku. Itu yang membuatkan saya kagum," jelasnya.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa-jasa dalam bidang pendidikan, beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1982.

Selain itu, beliau juga turut menerima pelbagai anugerah akademik dari dalam dan luar negara. Antaranya, Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada UKM dan Profesor Emeritus daripada UUM.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


37 staf UMSKAL berkursus di Kiulu

Posted:

37 staf UMSKAL berkursus di Kiulu

37 staf UMSKAL berkursus di Kiulu

SEBAHAGIAN kakitangan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan yang menyertai Kursus Kecemerlangan Diri di Tamparuli, Sabah baru-baru ini.


SEMANGAT. Seramai 37 kakitangan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menyertai Kursus Kecemerlangan Diri (Team Building) di Kiulu, Tamparuli, Sabah baru-baru ini.

Kursus tiga hari itu bertujuan untuk mendorong para peserta membina komitmen dan sikap kerjasama berpasukan, di samping menerapkan sikap positif individu dalam melaksanakan atau menyelesaikan sesuatu kerja.

Timbalan Pendaftar UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah berkata, kursus itu disertai oleh kakitangan dan urus setia universiti yang terdiri daripada semua peringkat jawatan.

Katanya, antara pengisian program kursus adalah Trail Run & River Swim, Borneo Rafting, Village of Adventure dan Team Endeavor iaitu aktiviti yang bercorak Corporate Wargame.

Rumah kebajikan terima sumbangan DRB-HICOM

Posted:

Rumah kebajikan terima sumbangan DRB-HICOM

Rumah kebajikan terima sumbangan DRB-HICOM


MOHD. KHAMIL (tiga dari kanan) bersama para penerima sumbangan Kumpulan DRB-HICOM semasa DRB-HICOM Auto Fest 2013 II di Setia SPICE, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.


TUNAI TANGGUNGJAWAB. Kumpulan DRB-HICOM menyampaikan bantuan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan dua rumah kebajikan pada pameran DRB-HICOM Auto Fest 2013 di Setia SPICE, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

Sumbangan sebanyak RM50,000 diterima Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) untuk membiayai projek kemanusiaan Mercy di Gaza, Palestin.

Dua rumah kebajikan iaitu Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas dan Persatuan Perlindungan Kanak-kanak Pulau Pinang pula menerima sumbangan barangan keperluan harian selama setahun.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.

Beliau berkata, sumbangan itu sebahagian tanggungjawab sosial syarikat automotif konglomerat tempatan tersebut.

Bank Rakyat serah zakat RM1 juta kepada PZNS

Posted:

Bank Rakyat serah zakat RM1 juta kepada PZNS

Bank Rakyat serah zakat RM1 juta kepada PZNS


TUANKU MUHRIZ (kanan) menerima replika cek daripada Mustafha sambil diperhatikan Mohamad (dua dari kanan) di Seremban baru-baru ini.


ZAKAT PERNIAGAAN. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menerima zakat perniagaan Bank Rakyat yang dibayar kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) sebanyak RM1,001,543 juta.

Wang zakat itu diserahkan oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak di Istana Hinggap, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ia kemudian diterima oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar sebagai wakil PZNS.

Mohamad berkata, pembayaran zakat itu disebabkan iklim rancak ekonomi selain peningkatan keuntungan yang dicapai melalui enam cawangan Bank Rakyat di negeri berkenaan.

"Ia satu petanda baik ke arah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan yang semakin berkembang pesat pada masa ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Meringkuk dipenjara kerana seks

Posted:

Meringkuk dipenjara kerana seks

Meringkuk dipenjara kerana seks

MUHAMMAD KHAIRI dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dijatuhi hukuman penjara.


SHAH ALAM – Kematian seorang gadis yang mayatnya ditemui dibakar teman lelakinya dua tahun lepas berakhir dengan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Ahmadi Aznawi menjatuhi hukuman tersebut ke atas Muhammad Khairi Nor Aziz, 21, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian Nurul Awatif Mohd. Syakir, 19, pelajar Maahad Tahfiz-At-Tijarah di Selayang, Selangor.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 12 September 2011.

Muhammad Khairi didakwa menyebabkan kematian Nurul Awatif di No. B-119, Apartmen Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor antara pukul 9 malam 4 September 2011 hingga pukul 2.15 pagi pada 5 September 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Muhammad Khairi sebelum ini berhadapan hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 kanun sama.

Ahmadi dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira umur tertuduh yang masih muda, tiada rekod jenayah dan laporan dari Penjara Kajang yang menunjukkan tertuduh mempunyai tingkah laku baik sepanjang ditahan.

Namun begitu, beliau menyifatkan kesalahan Muhammad Khairi adalah serius dan tiada kewajaran bagi tertuduh untuk menyebabkan kematian mangsa.

"Awak ada kemahuan dan kehendak serta rasa diri amat tinggi untuk bersama dengan mangsa. Awak paksa diri awak ke atas mangsa dan mangsa menolak kemahuan awak.

"Perkara ini tidak beri kewajaran kepada awak untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa dengan menekupnya sehingga mangsa tidak bernafas," katanya.

Menurut Ahmadi lagi, tindakan tertuduh membakar mangsa hanya untuk menyembunyikan perbuatan menyebabkan kematian adalah tidak wajar sama sekali.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, dalam kes ini kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh dan dia memerintahkan Muhammad Khairi dihukum penjara 18 tahun bermula dari tarikh ditangkap.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Sesah isteri guna tali pinggang

Posted:

Sesah isteri guna tali pinggang

Sesah isteri guna tali pinggang

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my


Farid Kamal dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Tindakan tidak berhati perut seorang petani membelasah isteri dengan tali pinggang sehingga cedera bulan lalu akhirnya berbalas apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM5,000 ke atas tertuduh semalam.

Lebih mendukacitakan, lelaki berstatus mualaf itu sanggup bertindak ganas ke atas wanita itu hanya kerana dia gagal mendapat wang RM10 daripada isterinya itu untuk membeli arak.

Majistret Nik Habri Muhamad mengenakan hukuman tersebut ke atas Farid Kamal Bala, 29, selepas dia mengaku bersalah memukul Siti Khadeejah, 32. Siti Khadeejah merupakan mualaf warga Thailand yang memeluk Islam enam tahun lalu.

Tertuduh didakwa memukul Siti Khadeejah pada pukul 8 malam, 8 Jun lalu di sebuah rumah di Pondok Terusan Pasir Tumboh dengan menggunakan tali pinggang menyebabkan wanita itu cedera di dahi, lengan tangan kanan dan jari kecil tangan kanan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri mengendalikan dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut jika sabit kesalahan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

10,000 rakyat Malaysia di Mesir selamat

Posted:

10,000 rakyat Malaysia di Mesir selamat

10,000 rakyat Malaysia di Mesir selamat


PENDUDUK Mesir meraikan tindakan tentera menggulingkan Presiden Mohammed Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KUALA LUMPUR - Lebih 10,000 rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya terdiri daripada para pelajar di Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat walaupun suasana di negara itu tegang selepas Presidennya, Mohammed Morsi digulingkan pihak tentera semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah membuka bilik operasi sejak 28 Jun lalu bagi memastikan rakyat Malaysia di negara tersebut terus berada dalam keadaan selamat selain memantau serta mengawasi perkembangan yang berlaku secara dekat.

"Kita minta mereka (rakyat Malaysia) mengehadkan pergerakan serta mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan dan pihak berkuasa tempatan.

"Mereka juga dinasihatkan agar menjauhi kawasan konflik seperti Dataran Tahrir, Dataran Rabaa di Nasr City dan Dataran Al-Nahda berhadapan kampus Universiti Kaherah," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Anifah memberitahu, kerajaan berharap ketidakstabilan politik di negara berkenaan dapat diselesaikan secara aman dan mengembalikan semula proses demokrasi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Ayuh gempur Jerman

Posted:

Ayuh gempur Jerman

Ayuh gempur Jerman

Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my

MISI HIDUP MATI... Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memburu kemenangan ketika menentang Jerman pada aksi suku akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam ini.


PERTEMUAN menentang pasukan No. 1 dunia, Jerman pada aksi suku akhir Liga Hoki Dunia bukan suatu tugas yang mudah buat Malaysia.

Namun, tiada apa yang mustahil dan impian untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik pada kejohanan tersebut, sekali gus layak ke Piala Dunia tahun depan mampu dicapai.

Justeru jurulatih skuad negara, Paul Revington menuntut anak-anak buahnya tampil dengan komitmen tinggi ketika berdepan Jerman di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam ini.

"Sejak hari pertama kejohanan ini berlangsung, kemungkinan untuk bertemu Jerman sememangnya sudah dijangka.

"Kami tidak akan gentar dan akan menghadapinya sebagaimana kami berdepan Australia pada perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah lalu.

"Kami menghormati pasukan lawan tetapi kami sama sekali tidak ada rasa gerun apabila berada di padang," kata Revington.

Skuad negara terpaksa berhadapan Jerman pada pusingan suku akhir apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B setelah tewas 1-2 kepada England kelmarin.

Jerman pula merupakan naib juara Kumpulan A selepas seri menentang Argentina, menang 5-0 ke atas Korea Selatan serta menundukkan Jepun 3-1.

Sementara itu, penyerang berbisa, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil berkata, dia hanya mahu berfikiran positif kerana yakin Revington akan merancang sesuatu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad negara.

"Memang laluan sukar tetapi kami akan cuba yang terbaik bagi memastikan impian kami menjadi kenyataan.

"Tambahan pula, rekod kami menentang Jerman tidak begitu buruk. Kami hanya tewas tipis kepada Jerman sebelum ini," katanya.

Bagi pemain veteran dan berpengalaman, Chua Boon Huat pula, hanya satu permintaannya buat rakan-rakan sepasukan iaitu tampil dengan rentak permainan terbaik dan bermain bermati-matian untuk menewaskan Jerman.

"Peluang tetap ada. Jerman bukanlah pasukan yang tidak boleh ditewaskan dan saya yakin mereka pasti ada kelemahan.

"Nasihat saya kepada rakan-rakan sepasukan agar bertenang dan jangan sesekali ada rasa takut kepada Jerman," kata pemain yang pernah beraksi pada Piala Dunia 2002 dan Sukan Olimpik 2000 itu.

Terengganu kuasa mendayung

Posted:

Terengganu kuasa mendayung

Terengganu kuasa mendayung

Laporan MOHD IKHSAN
FIRDAUS AZMI, NOR AZIRAN
YUNUS dan SHANIKA ABDULLATIB


BANGGA... Barisan pendayung Terengganu ternyata unggul apabila membawa pulang lapan pingat emas pada temasya Sukma kali ini.


TERENGGANU menyapu bersih lima pingat emas pada hari terakhir acara mendayung Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Pusat Latihan Mendayung Kebangsaan, Empangan Batu, Ulu Yam semalam.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Terengganu selaku kuasa besar acara mendayung pada temasya Sukma kali ini apabila mengumpul keseluruhan lapan pingat emas dan satu perak.

Ketua jurulatih mendayung Terengganu, Mohd. Shahrol Mat Saad berkata, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana anak-anak didiknya berjaya melepasi sasaran yang telah diletakkan.

"Pada Sukma 2011, kami meraih lima emas, satu perak dan dua gangsa, jadi kali ini saya mahu menaikkan sasaran itu kepada enam emas, mungkin tiga daripada kategori lelaki dan selebihnya daripada perempuan.

"Begitupun, atlet kami tampil hebat dan bersemangat pada Sukma tahun ini apabila meraih lapan emas dan lebih menggembirakan, hari ini (semalam) mereka sapu bersih kelima-lima emas acara final," kata Shahrol ketika ditemui pemberita semalam.

Terengganu mengungguli kesemua kategori wanita semalam menerusi Nur Fatiha Che Yon Rosni (individu scull), Nor Shazlin Che Adnan-Che Ku Nurul Asma' Che Ku Abdullah (lightweight berpasangan scull), Yeni Ernita Daswir-Eleonie Rikan Marten (berpasangan) serta gandingan Ika Natasha Yahya, Siti Niartun Aniqah Anirad, Kasyifah Mohiddin dan Siti Ratin Nabilah Mohd. Ashini (lightweight berempat).

Satu lagi pingat emas hadir menerusi gandingan Abdul Rasyid A. Hasan, Amirul Asraf Rosmawi, Mohamad Zailudin Abdullah, Mohammad Ikram Abdul Aziz, Muhammad Shazzmmir Roslan, Mohamad Hanif Azmi, Syed Muhammad Iskandar Putra Syed Abdul Fattah, Abdul Hadi Omar dan Mohamad Firdaus Nordin dalam saingan coxed lapan berpasukan lelaki.

"Kelebihan yang saya lihat ada pada mereka ialah semangat dan kerja keras yang ditunjukkan. Mereka akan datang lebih awal daripada waktu yang saya berikan dan berlatih bersungguh-sungguh.

"Saya percaya jika mereka mampu mengekalkan konsistensi itu, mereka mampu pergi lebih jauh," ujar Shahrol.

Misi sama Selangor, Johor DT

Posted:

Misi sama Selangor, Johor DT

Misi sama Selangor, Johor DT

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


PERTAHANAN Selangor, Adam Griffith (kanan) mengasak pemain T-Team, Damir Ibric Yuksel pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


PASUKAN manakah yang lebih layak mengiringi Kelantan untuk beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan?

Biarpun Lions XII sudah sah ditabalkan selaku juara Liga Super musim ini, namun wakil Singapura itu tidak layak beraksi pada kempen Piala AFC disebabkan status mereka sebagai pasukan jemputan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Sabtu lalu, Kelantan telah mengesahkan slot ke Piala AFC 2013 secara automatik selepas muncul juara Piala FA hasil kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kini, Selangor dan Johor DT mencongak peluang masing-masing memburu gelaran naib juara Liga Super, sekali gus melayakkan diri secara automatik ke saingan Piala AFC musim depan.

Secara kebetulan, Selangor dan Johor DT akan berentap sesama sendiri pada aksi terakhir Liga Super di Stadium di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu ini.

Bagi pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, beliau optimis skuad Gergasi Merah kini berada pada landasan terbaik dalam usaha untuk merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini.

"Ia satu pertembungan menarik. Lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan berhajat untuk memburu kedudukan naib juara Liga Super.

"Lebih menarik, kami bertemu pada aksi penutup tirai Liga Super dan saya percaya perlawanan itu nanti pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong setia kedua-dua pasukan.

"Memang kami hanya perlukan seri untuk muncul naib juara, seterusnya layak beraksi pada Piala AFC, namun tiada istilah seri untuk para pemain Selangor.

"Selain itu, saya hanya menuntut mereka melebarkan rekod tiga kemenangan berturut-turut," kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan menyifatkan Johor DT umpama harimau terluka selepas tewas kepada Kelantan pada aksi final Piala FA Sabtu lalu.

Begitupun, Irfan yakin skuad kendaliannya mampu mengulangi prestasi cemerlang ketika mereka menewaskan Johor DT 2-1 di gelanggang lawan pada saingan Piala FA April lalu.

"Saya mahu anak-anak buah saya tampil lebih yakin tetapi biarlah berwaspada. Ini kerana sikap terlalu yakin boleh mengecewakan Selangor.

"Kami menyedari, bukan satu tugas yang mudah untuk menentang Johor DT. Mereka sudah pasti mahu memburu tiga mata berharga pada aksi terakhir liga di depan penyokong sendiri.

"Namun, kami pernah mencipta kejayaan di sana (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) dan saya yakin, Selangor mampu mengulangi persembahan positif itu nanti," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Keletah minion mencuit hati

Posted:

Keletah minion mencuit hati

Keletah minion mencuit hati

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

BLIND DETECTIVE


SEKUEL Despicable Me tampil dengan jalan cerita yang lebih menarik dan menghiburkan menerusi Despicable Me 2. Lawak dan keletah karakter minion yang mencuit hati pasti menjadi pilihan buat si cilik berhibur pada minggu ini.

Saksikan pertarungan hebat antara Dr. Gru dan penjahat baharu, Eduardo menerusi misi yang dirancang bersama Liga Antikejahatan. Pada masa sama, mampukah Vector menumpaskan musuh ketatnya, Dr. Gru untuk bergelar penjahat nombor satu dunia?

Selain itu, Layar Perak minggu ini membawakan sebuah filem yang dibikin berdasarkan siri televisyen popular Amerika Syarikat pada tahun 1950, The Lone Ranger.

Filem yang diterbitkan oleh Jerry Bruckheimer itu menceritakan pengembaraan seorang polis Texas bernama Armie yang dibantu oleh orang asli Amerika Syarikat, Tonto.

Turut menemui kaki wayang pada minggu ini, filem aksi bahasa Mandarin berjudul Blind Detective lakonan mantap Andy Lau dan Sammi Cheng.

Blind Detective mengisahkan kehidupan seorang detektif buta bernama Johnston yang bertemu dengan regu hebat yang memiliki deria bau dan pendengaran yang luar biasa, Inspektor Goldie.


JANGAN ketinggalan menonton pelbagai aksi lucu melalui karakter minion dalam sekuel Despicable Me 2.


Despicable Me 2

Tarikh tayangan: 4 Julai 2013

Genre: Komedi, animasi, kekeluargaan

Durasi: 1 jam 38 minit

Pengarah: Chris Renaud, Pierre Coffin

Pelakon: Steve Carell, Miranda Cosgrove, Elsie Fisher, Dana Gaier, Russell Brand, Kristen Wiig, Benjamin Bratt, Moises Arias, Steve Coogan, Ken Jeong, Pierre Coffin dan Chris Renaud

Sinopsis: Dr. Gru kembali ke layar perak bersama pengikut-pengikutnya dan tiga orang kanak-kanak. Misi Gru masih sama seperti filem pertama, menewaskan musuh ketatnya, Vector. Vector pada masa sama masih terdesak untuk menjadikan dirinya sebagai penjahat nombor satu dunia dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gelaran itu. Bolehkah Dr. Gru menewaskan Vector sekali lagi? Liga Antikejahatan pula terpaksa mendapatkan khidmat Gru untuk menumpaskan penjahat baharu bernama Eduardo.

THE LONE RANGER


The Lone Ranger

Tarikh tayangan: 4 Julai 2013

Genre: Aksi, pengembaraan

Durasi: 2 jam 25 minit

Pengarah: Gore Verbinksi

Pelakon: Johnny Depp, Armie Hammer, William Fichtner, Tom Wilkinson, Barry Pepper, Mason Cook, Ruth Wilson, Helena Bonham Carter dan James Badge Dale

Sinopsis: Seorang pahlawan Red Indian Amerika Syarikat bernama Tonto menceritakan sebuah kisah yang mentransformasikan seorang petugas undang-undang, John Reid, seorang legenda. Dua hero yang tidak sefahaman itu harus bekerjasama untuk menentang jenayah rasuah dan kongsi gelap.

Blind Detective

Tarikh tayangan: 4 Julai 2013

Genre: Aksi komedi

Durasi: 2 jam 10 minit

Pengarah: Johnnie To

Pelakon: Andy Lau dan Sammi Cheng

Sinopsis: Filem ini mengisahkan seorang bekas detektif bernama Johnston Chong See Tun yang terpaksa meletakkan jawatannya selepas hilang penglihatan.

Dia cuba menyara hidup dengan menyelesaikan kes lama untuk pihak polis. Sewaktu rompakan di sebuah bank, Johnston bertemu dengan Inspektor Goldie Ho Ka Tung yang mempunyai deria bau dan pendengaran yang luar biasa.

Jatt and Juliet 2

Tarikh tayangan: 5 Julai 2013

Genre: Romantik/komedi

Pengarah: Anurag Singh

Pelakon: Diljit Dosanjh, Neeru Bajwa dan Jaswinder Bhalla

Sinopsis: Bagi peminat filem Punjabi, jangan lepaskan peluang menyaksikan sekuel kedua Jatt and Juliet 2. Ia mengisahkan seorang lelaki Punjabi, Fateh yang mahu memecahkan tradisi keluarganya apabila menjadi seorang inspektor. Sebelum ini kebanyakan ahli keluarganya hanya berjawatan sarjan.

Namun, untuk mendapat jawatan tersebut Fateh mempunyai misi khas di Kanada. Fateh perlu mencari dan memujuk anak komisioner polis bernama Pooja yang sebelum ini terpisah untuk pulang semula ke India. Apakah yang terjadi kepada Fateh, semuanya bakal terjawab dalam Jatt and Juliet 2.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Korban gempa bumi Aceh meningkat kepada 24 orang

Posted:

Korban gempa bumi Aceh meningkat kepada 24 orang

Korban gempa bumi Aceh meningkat kepada 24 orang

BEBERAPA penduduk mengawasi jenazah saudara-mara mereka yang terkorban dalam gempa bumi di Blang Mancung, Aceh kelmarin.


BLANG MANCUNG - Angka korban akibat gempa bumi di wilayah Aceh meningkat kepada kira-kira 24 orang, termasuk beberapa orang kanak-kanak yang maut apabila sebuah masjid runtuh.

Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang masih hidup di lokasi terjejas semalam.

Hampir 250 orang turut cedera apabila gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan kawasan pedalaman di Aceh.

Bencana tersebut meruntuhkan sejumlah bangunan dan menyebabkan tanah runtuh.

Gempa yang berlaku pada kedalaman sepuluh kilometer itu mencetuskan situasi panik di Aceh, selepas meragut lebih 170,000 orang ketika tsunami melanda pada tahun 2004.

Sementara itu, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak maut dan 14 yang lain terperangkap selepas sebuah masjid di kampung Blang Mancung, daerah tengah Aceh runtuh semasa sesi membaca al-Quran.

"Saya harap mereka boleh ditemui dengan selamat. Tetapi, peluang amat tipis," kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan, Subhan Sahara kepada agensi berita AFP kelmarin.

Menurut agensi itu, pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan beberapa pegawai pemerintah tempatan berusaha memasuki kawasan terjejas semalam dengan menggunakan laluan darat dan udara.

Namun, sejumlah laluan masuk ke lokasi tersebut terhalang oleh tanah runtuh.


PENDUDUK kampung melintas sebuah rumah yang ranap di daerah Blang Mancung, dalam wilayah Aceh semalam.


Agensi berkenaan telah menghantar sebuah helikopter dari wilayah Riau bagi membantu usaha menyelamat. Sebuah pesawat tentera turut digunakan.

"Setakat ini seramai 22 orang terkorban, 210 orang cedera dan beribu-ribu bangunan dan rumah rosak akibat gempa," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Katanya, mangsa-mangsa yang terjejas teruk melibatkan daerah tengah Aceh dan Bener Meriah. Sejumlah orang menerima rawatan di hospital-hospital di Aceh.

Seorang pegawai agensi bencana tempatan, Fauzi berkata, sekitar 300 orang berkhemah di padang bola sepak di Bener Meriah selepas gempa menggegarkan kawasan itu.

Menurut Fauzi, orang ramai kini mengharapkan bantuan makanan.

"Terdapat gempa bumi kuat semalam (kelmarin) dan orang ramai enggan pulang ke rumah. Jadi, mereka bermalam di kawasan terbuka. Malangnya kami kekurangan khemah," katanya.

Di ibu negeri wilayah Aceh, Banda Aceh, orang ramai berlari keluar dari rumah mereka apabila gempa melanda dengan situasi sama berlaku di Medan, selatan Aceh.

Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera kerap dilanda gempa. - AFP

Swift cari kekasih untuk Selena Gomez

Posted:

Swift cari kekasih untuk Selena Gomez

Swift cari kekasih untuk Selena Gomez


SELENA Gomez (kiri) bergandingan dengan Justin Bieber sewaktu detik bahagia mereka. Di kanan ialah Taylor Swift.


LOS ANGELES - Penyanyi popular, Taylor Swift memujuk teman rapatnya, Selena Gomez untuk menjalinkan hubungan dengan penyanyi pop Amerika Syarikat, Austine Mahone.

Menurut portal hiburan TMZ yang memetik kenyataan sumber dalaman, Swift ingin menyatukan penyanyi itu kerana tidak mahu Gomez kembali ke pangkuan bintang Pop, Justin Bieber.

"Ia adalah idea Swift untuk menyatukan Mahone dan Gomez kerana dia merasakan penyanyi berusia 17 tahun itu adalah pilihan yang tepat untuk Gomez pada waktu ini," kata sumber itu.

"Swift akan terus mencuba kerana dia bimbang Gomez akan kembali ke pangkuan Bieber walaupun temannya itu sebelum ini bersumpah tidak akan menerima kembali bekas kekasihnya," jelas sumber itu lagi.

Sebelum ini Swift cuba menyatukan penyanyi Ed Sheeran dengan Gomez, namun bekas kekasih Bieber itu hanya menganggapnya sebagai kawan. - Agensi

Senjata api dipamer di Instagram

Posted:

Senjata api dipamer di Instagram

Senjata api dipamer di Instagram


ANTARA senjata yang dirampas pihak berkuasa lapangan terbang AS termasuk pisau dan bom tangan.


NEW YORK - Semakin ramai penumpang cuba melepasi kawalan keselamatan lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) dengan membawa senjata termasuk senjata api dan bom tangan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) di laman sosial Instagramnya.

TSA mencatat rekod senjata api terbanyak dirampas dalam tempoh seminggu pada Mei lalu apabila anggotanya menemui 65 pucuk pelbagai jenis senjata api dengan 45 daripadanya berisi peluru.

Gambar-gambar senjata berbahaya itu dimuat naik di laman Instagram TSA pada Jun lalu.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, pihak TSA menemui 894 pucuk senjata api yang dibawa oleh penumpang dalam bagasi mereka.

Angka tersebut mencatat peningkatan 30 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Pada tahun lepas, TSA menemui 1,549 pucuk senjata api yang cuba dibawa masuk oleh penumpang pelbagai penerbangan di AS.

Mengulas perkembangan membimbangkan itu, seorang pakar budaya pemilikan senjata api AS, Jimmy Taylor berkata, situasi tersebut antara lain berlaku kerana warga AS sudah biasa membawa senjata api bersama mereka.

"Bagi sebahagian warga AS membawa senjata api adalah seperti membawa dompet atau kunci semasa keluar rumah," katanya. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lebih 50 keluarga dipindah berikutan banjir di Langkawi

Posted:

Lebih 50 keluarga dipindah berikutan banjir di Langkawi

Lebih 50 keluarga dipindah berikutan banjir di Langkawi

04/07/2013 9:56pm

LANGKAWI - Sebanyak 59 keluarga membabitkan 152 orang dari beberapa kawasan di Langkawi dipindah ke dua pusat penempatan sementara berikutan banjir kilat hari ini.

Sehingga 5 petang, sejumlah 43 keluarga dipindah ke Dewan As-syifa, Padang Matsirat manakala 16 lagi ke Sekolah Menengah Kedawang.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Langkawi Che Ahmad Che Noor berkata kejadian banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat sejak semalam hingga hari ini, yang melibatkan beberapa kampung di empat mukim.

Antara kawasan yang terlibat ialah Kedawang, Temoyong, Kampung Belak, Ulu Melaka, Kampung Titi Chankung, Kampung Limbong Putra dan Kampung Bukit Kemboja.

Beliau berkata mangsa banjir akan dibenar pulang jika tiada hujan malam ini.

- Bernama

Rampasan kuasa di Mesir stu tindakan lapuk - ABIM

Posted:

Rampasan kuasa di Mesir stu tindakan lapuk - ABIM

Rampasan kuasa di Mesir stu tindakan lapuk - ABIM

04/07/2013 9:55pm

KUALA LUMPUR - Rampasan kuasa di Mesir, yang menyaksikan Presiden Mohamed Morsi diguling, adalah satu tindakan lapuk dan terkebelakang dalam landskap politik dunia hari ini, kata Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Ab Rahman.

Mohamad Raimi dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu tidak menjamin kestabilan Mesir untuk tempoh jangka panjang.

"Morsi seharusnya diberi peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan pimpinannya.

"Rampasan kuasa ini secara langsung menafikan keinginan rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sebagaimana yang dilaungkan sejak 2011 dan kemudian diterjemah melalui proses pilihan raya," katanya.

ABIM turut meminta pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa berwaspada serta peka terhadap perkembangan semasa.

Pada masa sama, ABIM meminta Wisma Putra menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan situasi di Mesir. - Bernama

Swaziland berminat belajar daripada kejayaan Malaysia

Posted:

Swaziland berminat belajar daripada kejayaan Malaysia

Swaziland berminat belajar daripada kejayaan Malaysia

04/07/2013 9:11pm

CYBERJAYA - Raja Mswati III dari Swaziland berkata negaranya berminat belajar daripada kejayaan Malaysia beralih daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian.

"Melihat Malaysia, kami percaya ia telahpun mencapai status negara maju, walaupun rakyatnya menyatakan mereka masih berusaha untuk mencapai ke arah itu," katanya pada majlis penganugerahan doktor falsafah kehormat kepada beliau oleh Universiti Limkokwing, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Swaziland juga mahu berjaya seperti Malaysia, dan berharap dapat menjalin perkongsian kukuh dengan Malaysia dan institusinya seperti Limkokwing.

"Kami mahu kerajaan Eswatini beralih daripada bergantung kepada komoditi utama dan menambah nilai kepada komoditi-komoditi ini seperti yang berjaya dilakukan Malaysia bertahun-tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, dengan Malaysia berjaya membina ekonomi berdaya tahan, banyak yang boleh dipelajari oleh negara-negara membangun daripadanya, termasuk pembangunan taman sains dan teknologi.

"Di Swaziland, kami sedang dalam proses membangunkan taman bioteknologi dan teknologi sains.

"Terdapat ruang pengembangan dan kami merancang membangunkan lebih banyak taman seumpama itu untuk menyediakan kepada negara pelbagai pengetahuan dan teknik yang berguna kepada rakyat kami," katanya.

Beliau berharap Limkokwing boleh menimbang untuk menjalin lebih banyak perkongsian dengan negara tersebut dan membangunkan lagi taman sains yang akan menjadi penyumbang utama kepada transformasi teknologinya.

Beliau juga mengumum memperuntukkan sebidang tanah di negaranya bagi Limkokwing untuk membina sebuah universiti tetap serta struktur-struktur lain kemudiannya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ubah sejarah The Lone Ranger

Posted:

Ubah sejarah The Lone Ranger

Ubah sejarah The Lone Ranger

PADA usia lima tahun, Johnny Depp merupakan peminat fanatik siri televisyen popular ketika itu, The Lone Ranger.

Dia menonton program tersebut dengan minat yang sangat mendalam. Namun jauh di sudut hatinya, ada sesuatu yang dirasakannya tidak kena dengan program TV yang disiarkan di layar kaca Amerika Syarikat dari 15 September 1949 hingga 7 Jun 1957 itu.

"Ada sesuatu yang tidak kena," ujar Depp dalam satu temu bual dengan sebuah media Barat di Santa Fe, New Mexico, Amerika Syarikat baru-baru ini mengenai program TV tersebut.

The Lone Ranger versi TV itu menampilkan dua karakter utama - seorang lelaki kulit putih, The Lone Ranger (lakonan Clayton Moore) dan pemuda kaum peribumi Red Indian, Tonto (Jay Silverheels).

Apa yang menimbulkan perasaan tidak puas di hati Depp ialah perbezaan yang ketara tentang bagaimana dua karakter tersebut digambarkan.

Katanya: "Kenapa pula lelaki kulit merah (Tonto) perlu pergi ke sana dan ke mari untuk lakukan itu dan ini serta sekadar digambarkan sebagai watak kawan baik kepada The Lone Ranger? Kenapa pula lelaki kulit putih itu (The Lone Ranger) diangkat sebegitu rupa sehingga menjadi figura pujaan?"

The Lone Ranger pada asalnya merupakan sebuah program radio yang mula ke udara pada tahun 1933 sebelum dijadikan siri buku dan TV. Ia juga beberapa kali diadaptasi ke layar perak.

Namun, watak Tonto dipaparkan secara stereotaip sebagai seorang kaum peribumi Amerika Utara tanpa jiwa dan latar budaya - sekadar ditampilkan sebagai gandingan The Lone Ranger yang diangkat sebagai wira utama.

Depp mahu mengubah karakter Tonto tersebut yang telah digambarkan dengan penuh klise oleh Hollywood selama ini.

Justeru, apabila pada tahun 2006 dia ditawarkan melakonkan watak tersebut untuk produksi terbitan Disney yang diberi judul The Lone Ranger itu, Depp melompat kegirangan.

Reaksi bapa kepada dua orang anak itu adalah impak daripada peluang keemasan yang diraihnya untuk menghidupkan karakter Tonto dengan penuh luhur dan jujur.

"Ia (Tonto) sebenarnya adalah satu-satunya sebab saya mahu menjadikan filem ini muncul sebagai suatu naskhah yang jujur dan luhur," tuturnya.

Tambah Depp: "Ia merupakan sesuatu yang saya mahu lakukan mengikut cara saya sendiri. Jelas sekali, ia adalah satu sumbangan kecil daripada saya secara peribadi, tetapi sekurang-kurangnya itulah suatu pencetusan rasa diri ini."

EKSENTRIK. Depp memiliki cara tersendiri dalam merealisasikan pelbagai karakter lakonannya.


Diarahkan oleh Gore Verbinsky yang pernah berkolaborasi dengan Depp menerusi siri filem Pirates of the Caribbean dan naskhah animasi, Rango, versi layar perak terbaharu The Lone Ranger itu buat kali pertamanya dipaparkan menerusi perspektif Tonto.

Ia sekali gus menampilkan Tonto untuk posisi karakter utama dengan The Lone Ranger (lakonan Armie Hammer) muncul sebagai rakan gandingannya. Terbalik dan seratus peratus songsang berbanding kesemua naskhah The Lone Ranger yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Apa yang menarik, Tonto yang direalisasikan Depp itu masih mengekalkan sikap dan tabiat figura yang sudah sebati di mata penonton yang pernah menyaksikan naskhah-naskhah The Lone Ranger sejak berdekad yang lalu.

Kekok bertutur dalam bahasa Inggeris dan sentiasa melagukan doa dalam bentuk yang sukar difahami.

Itu dua ciri sinonim Tonto yang dikenali sekian lama di layar perak dan kaca TV tetapi dikekalkan oleh Depp dalam menghidupkan semula karakter tersebut.

Ujar aktor berusia 50 tahun itu, dia melakukannya kerana tidak mahu penonton yang sejak tahun 1950-an lagi mengenali sisi seorang Tonto melihat karakter itu sebagai sesuatu yang asing.

Namun dalam masa yang sama, Depp menerusi The Lone Ranger versi 2013 cuba membawa penonton dalam pengembaraan untuk mengenali Tonto yang telah diberikan nafas baharu. Ia masih sama tetapi tidak lagi serupa.

"Saya fikir bodohlah diri ini jika tidak kembali menampilkan ciri-ciri yang pernah ada pada Tonto dan memaparkan kembali dirinya yang sudah biasa dikenali penonton.

"Bagi saya, biarkan penonton terlebih dahulu berasa selesa menyaksikan kemunculan semula Tonto sebelum kemudian mengangkat karakter tersebut ke peringkat yang seterusnya. Itu harapan saya," jelasnya.

Tonto penangan Depp disuntik dengan elemen kelucuan, kebijaksanaan dan keramahan yang pernah diterapkan menerusi karakter-karakter lakonannya sebelum ini seperti Willie Wonka, Edward Scissorhands dan Jack Sparrow.

Sebagai Tonto, Depp tidak melafazkan apa yang ingin cuba disampaikan dari dalam naluri dirinya secara terang-terangan.

Cukup sekadar menerusi gerak isyarat pada wajah, kerdipan mata dan pergerakan badannya yang bagaimanapun sukses dalam menyerlahkan segalanya.

Misi dan visi Depp jelas sekali dalam usahanya menarik minat penonton terhadap Tonto versi terkini itu.

Malah lebih unik dan agak eksentrik, Depp melakukan pendekatan terhadap produksi terbitan Jerry Bruckheimer itu dengan melihatnya sebagai sebuah filem bisu.


JOHNNY DEPP (kiri) di samping Armie Hammer. Mereka masing-masing melakonkan karakter Tonto dan The Lone Ranger menerusi naskhah terbaharu Disney, The Lone Ranger.


Karyawan tersohor industri filem bisu lewat era awal 1990-an, Buster Keaton dijadikan inspirasi buat dirinya.

"Harapan saya, Tonto muncul sebagai pemerhati yang menjadi mulut dan telinga kepada penonton. Biarlah kurang berdialog tetapi dia lebih banyak bermain dengan pergerakan wajah dan mata.

"Ia mampu menyerlahkan cerita dengan maksud yang lebih mendalam. Saya sentiasa menaruh keyakinan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap fakta tersebut," ujarnya.

Depp juga menerapkan imej baharu Tonto berdasarkan lukisan hasil kreativiti pelukis Kirby Sattler.

Jika selama ini, Hollywood menampilkan Tonto dengan imej jambul yang berjuntaian dilengkapi dengan cekak rambut. Namun Tonto yang dijelmakan Depp itu sebaliknya tidak berbaju, dihiasi bulu haiwan, wajahnya dilukis dengan lakaran belang berwarna putih dan kepalanya pula ditempatkan dengan bangkai burung gagak.

Ia kedengaran agak melampau. Namun itulah revolusi imej Tonto yang dicetuskan Depp dan dia mempunyai alasan tersendiri kenapa nekad melakukannya.

Jelas Depp: "Saya menyukai lakaran belang putih pada wajah Tonto. Ia nyata mewakili personaliti dan pemikirannya. Berbanding burung gagak sekadar berterbangan di belakang dirinya, saya fikir lebih baik bangkai haiwan itu menjadi perhiasan di kepalanya.

"Justeru, saya menjelmakan Tonto menerusi suatu siri yang tersurat tetapi penuh dengan makna tersirat."

Dalam pada itu, timbul kontroversi apabila ada sesetengah masyarakat Red Indian tidak gembira dan menuduh Depp cuba memanipulasi ciri stereotaip Tonto tanpa sokongan realiti sebenar budaya.

Ia dikhuatiri sehingga boleh menjejaskan imej dan maruah puak mereka pada pandangan umum dalam dunia moden hari ini. Depp tetap ada jawapan terhadap isu tersebut.

Katanya: "Saya dan Gore (Verbinsky) meneliti skrip filem ini bersama-sama dengan (penulis skrip) Justin (Haythe) dan kami kemudian membahagi-bahagikannya kepada beberapa bahagian yang kecil. Kami lakukannya supaya ia tidak terlalu kompleks dan mudah difahami.

"Ini kerana saya tidak mahu timbul pelbagai persoalan dalam kalangan penonton seperti tentang makna dan apakah yang telah dilakukan serta bagaimana mereka (karakter-karakter dalam filem) hidup?"

Energi Konsert AIA Kpop

Posted:

Energi Konsert AIA Kpop

Energi Konsert AIA Kpop

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


4 MINUTES menyampaikan rangkaian lagu hit mereka, termasuk Hot Issue yang telah mempopularkan mereka.


MALAM Khamis minggu lalu, tiga artis Korea yang bernaung di bawah bumbung Cube Entertainment, iaitu kumpulan 4Minute, Beast dan penyanyi solo G.Na telah menghiburkan hampir 8,000 peminat mereka yang membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Meskipun ini bukanlah kali pertama mereka mengadakan persembahan di Malaysia, sambutan yang diberikan peminat terhadap AIA KPop Concert Live in Kuala Lumpur itu sungguh luar biasa.

Tepat pukul 8.30 malam, G.Na membuka tirai persembahan. Tampil di atas pentas dengan gaya seksi, penyanyi yang fasih berbahasa Inggeris ini bijak menarik perhatian penonton untuk memberi fokus kepadanya. Diiringi empat penari, G.Na memulakan persembahan dengan lagu Supa Solo dan 2Hot.

"Saya gembira dapat kembali semula ke sini. Nantikan album terbaharu saya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi", katanya yang sudah tiga kali berkunjung ke Kuala Lumpur.

Meneruskan persembahan, G.Na mendendangkan lagu I'll Be Off So You Can Live Better versi bahasa Inggeris. Peminat bagai diserang histeria apabila JunHyung (Beast) membuat kemunculan istimewa sebagai pelengkap persembahan lagu itu.

Persembahan G.Na selama setengah jam itu bertambah rancak dengan dendangan enam buah lagu lagi iaitu Banana, Take A Bow, Rude Boy, First Kiss, Top Girl dan diakhiri dengan lagu Black & White.

Selepas larut dengan genre balada daripada G.Na, pentas kembali hangat dengan aksi tarian daripada kumpulan 4Minute.

Tampil dengan penuh bergaya tetapi masih kelihatan sopan berbanding pakaian persembahan mereka sebelum ini, So-hyun (21), Ji-yoon (22) Hyuna (21), Ga-yoon (23) dan Ji-hyun (23) memulakan persembahan dengan lagu What's Your Name.

G.NA menjadi artis pembuka tirai pada AIA KPop Concert Live in Kuala Lumpur pada minggu lalu.


Kumpulan ini sememangnya terkenal dengan kelincahan dan aksi seksi salah seorang ahlinya, Hyuna. Sekali lagi Hyuna mencuri perhatian ramai dengan gaya nakal dan menggodanya di atas pentas.

Meneruskan persembahan, 4Minute mendendangkan lagu Mirror Mirror, I'm Ok, Huh, Muzik, Heart to Heart dan lagu yang mempopularkan mereka iaitu Hot Issue.

Rasanya ramai peminat yang hadir pada konsert kali ini merupakan peminat setia kumpulan Beast. Buktinya, apabila Beast muncul di atas pentas, suasana bertukar menjadi kecoh dan penuh dengan jeritan terutamanya gadis-gadis remaja yang menggilai enam anak muda ini.

Tidak mengambil masa yang panjang, Beast memulakan persembahan dengan lagu Beautiful Night.

Ironinya, pada awal persembahan mereka telah diganggu dengan masalah mikrofon. Meskipun begitu, mereka bijak mengatasi masalah tersebut dan meneruskan persembahan seperti biasa.

Mempamer aksi persembahan mantap lagi energetik Doo-joon, Dong-woon, Gi-kwang, Yo-seob, Hyun-seung dan Jun-hyung meneruskan persembahan penuh energi mereka dengan lagu Bad Girl, Shock, Special dan Fiction.

Suasana rancak bertukar ke sentimental apabila kumpulan Beast mendendangkan lagu ciptaan Jun-hyung yang berjudul On Rainy Days serta sebuah lagu baharu mereka, I Will You Be Alright sebelum meneruskan persembahan dengan lagu I knew It, Freeze, Beautiful dan V.I.U.

Rata-rata persembahan mereka tidak ada cacat celanya, namun, mungkin sudah terlalu kerap melihat persembahan ketiga-tiga artis ini di Malaysia, sudah tidak ada kelainan yang ditonjolkan.

Namun, peminat seperti tidak kisah dengan persembahan dan tarian yang sama asalkan mereka dapat melihat penyanyi pujaan mereka dari jarak yang dekat.

Siti berminat taja kanak-kanak Palestin

Posted:

Siti berminat taja kanak-kanak Palestin

Siti berminat taja kanak-kanak Palestin

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

SITI NURHALIZA tidak keberatan jika diberi peluang menjaga anak dari Palestin.


BIARPUN jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti seni, ia langsung tidak menghalang penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk melakukan kerja-kerja amal.

Baru-baru ini penyanyi berkenaan telah menjayakan acara minum petang Rebuild Gaza For a Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani anjuran Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) dan Rabbani Production Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor.

Antara matlamat utama penganjuran acara tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza di Palestin serta daerah yang musnah teruk angkara serangan Zionis Israel.

Siti yang ditemui selepas berakhirnya acara menyatakan, sebagai seorang umat Islam dia perlu bersikap lebih prihatin terhadap nasib saudara seagama di Palestin yang teruk ditindas.

"Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan mengikut jejak langkah beberapa artis lain seperti Heliza Helmi dan Afdlin Shauki.

"Kalau diizinkan oleh Allah dan suami, saya berharap dapat pergi ke sana, terutamanya ke Masjid Al-Aqsa dan Gaza. Saya sentiasa berdoa agar impian ini terlaksana," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk mengambil anak angkat atau menaja kanak-kanak Palestin, Siti memberitahu dia pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Mapim.

"Andai ditakdirkan saya menerima seorang kanak-kanak dari Palestin, sudah tentu saya gembira dan akan menjaga sebaik-baiknya. Cuma pihak Mapim menjelaskan agak sukar untuk membawa kanak-kanak Palestin keluar dari tanah air mereka.

"Saya diberitahu bahawa lebih baik mereka terus tinggal di negara asal. Namun begitu, untuk menaja pula rasanya tiada masalah. Saya memang berminat dengan langkah sebegini sebagai satu sumbangan kecil saya," jelasnya.

Menurut Siti, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya di samping mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Mapim tentang langkah seterusnya.


DATUK SITI NURHALIZA (berbaju hijau tua) bersama kumpulan Rabbani dan anggota Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) pada acara minum petang Rebuild Gaza For A Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani baru-baru ini.


Siti belum dikurniakan anak sejak berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada tahun 2006.

Imej baik

Atas dasar keprihatinan yang ditunjukkan terhadap nasib umat Islam Palestin, Siti menerima kejutan apabila menerima Anugerah Kemanusiaan Mapim.

Menurut Siti, dia agak terkejut dengan anugerah itu, namun bersyukur. Dia berharap anugerah itu mampu memberi dorongan kepada dirinya dan rakan-rakan artis lain supaya prihatin terhadap nasib umat Islam yang lain.

"Kalau dilihat sumbangan saya ini agak kecil berbanding dengan beberapa ahli Mapim yang telah memberanikan diri pergi ke Palestin dan memberikan bantuan yang diperlukan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Siti layak menerima anugerah berkenaan kerana dia mempunyai imej yang baik sebagai seorang artis serta bersikap kepada umat Islam Palestin.

"Sewaktu pihak Mapim mahu mengundang Siti untuk menjayakan acara minum petang ini sebagai salah satu aktiviti mengutip dana bagi membantu rakyat Palestin, dia terus menerimanya.

"Selain itu, kami banyak berkongsi mengenai keadaan terkini yang berlaku di Palestin. Akhirnya, ahli jawatankuasa Mapim mengambil keputusan untuk memberikan anugerah ini kepada Siti," ujarnya.

Pada majlis tersebut, Siti mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Oda Di Bumi Anbia, Ketika Cinta dan Kepadamu Kekasih, manakala Rabbani mendendangkan lagu-lagu seperti Intifada, Teman Sejati serta Mawar Berdarah yang merupakan lagu baharu mereka.

Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan meluangkan masa hadir pada acara tersebut. Pada masa yang masa berlangsung majlis pelancaran buku The Tunnel Girl tulisan Mohammad Qayyum Badaruddin dan Nur Sakinah Hanani Mohd. Azmi.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved