Khamis, 20 Jun 2013

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


PAKK Teratak anjur program Hijrah Ilmu 2013

Posted:

PAKK Teratak anjur program Hijrah Ilmu 2013

PAKK Teratak anjur program Hijrah Ilmu 2013

PARA peserta kursus di Kem Alang Sedayu, Gombak baru-baru ini.


KURSUS. Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kampung Simpang Tiga dan Kampung Changkat (PAKK Teratak) menganjurkan program Hijrah Ilmu 2013 dan Kursus Pengukuhan Sukarelawan di Kem Alang Sedayu, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Sebanyak 18 orang anak yatim dari Kampung Simpang Tiga dan Kampung Changkat, Gombak telah menyertai program Hijrah Ilmu yang dianjurkan bersama Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (Yatim) dan Kawasan Rukun Tetangga Kampung Simpang Tiga itu.

Program berkenaan bertujuan membina potensi diri anak-anak yatim terlibat.

Sementara itu, sebanyak 20 orang sukarelawan PAKK Teratak menyertai Kursus Pengukuhan Sukarelawan sebagai persediaan sukarelawan tersebut sekiranya berlaku sesuatu bencana.

Majlis Bandaraya Ipoh juara Kejohanan Sukan PBT Perak

Posted:

Majlis Bandaraya Ipoh juara Kejohanan Sukan PBT Perak

Majlis Bandaraya Ipoh juara Kejohanan Sukan PBT Perak


SAARANI (depan, dua dari kiri) bersama pasukan MBI yang memenangi Kejohanan Sukan antara PBT di Tapah, Perak baru-baru ini.


UNGGUL. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak di Padang Majlis Daerah Tapah, Tapah, Perak baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Perladangan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Saarani Mohammad berkata, PBT itu telah menewaskan 15 kontinjen lain yang turut bertanding dalam kejohanan dwitahunan tersebut.

Beliau berkata, kontinjen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak berada di tempat kedua dan ketiga selepas masing-masing mengutip sebanyak 25 mata dan 23 mata.

"Sebanyak 10 acara telah dipertandingkan pada kejohanan tersebut iaitu boling, menembak, karom, dart, bola jaring, bola sepak, sepak takraw, ping pong, badminton dan golf," katanya ketika ditemui di Tapah.

Kelab Teater Rimba PSMZA naib juara Pertandingan Dekon

Posted:

Kelab Teater Rimba PSMZA naib juara Pertandingan Dekon

Kelab Teater Rimba PSMZA naib juara Pertandingan Dekon


AHLI Kelab Teater Rimba PSMZA muncul naib juara Pertandingan Dekon di Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang baru-baru ini.


FESTIVAL. Kelab Teater Rimba, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu muncul naib juara Pertandingan Dekon sempena Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia kali ketiga di Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Kelab Teater Rimba PSMZA ditubuhkan di bawah Unit Kebudayaan dan Warisan diwakili Hishamudin Abdullah, Laila Zarifah Zulfikri, Mohd. Hazaman Hazami dan Mohd. Najib Roslan.

Mereka turut memenangi Kategori Pelakon Terbaik dan Dekon Terbaik.

Kelab tersebut mementaskan teater bertajuk Datuk Bahaman olahan bersama AK Hidayat dan dibantu Awang Abdullah.

Menurut Pegawai Kebudayaan dan Warisan PSMZA, Normala Ahmad, kumpulan yang sama juga akan mewakili daerah Dungun ke pertandingan Pengkisahan sejarah Peringkat negeri Terengganu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Mati jatuh bangunan ketika diserbu

Posted:

Mati jatuh bangunan ketika diserbu

Mati jatuh bangunan ketika diserbu

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

MAYAT pegawai Rela yang maut selepas terjatuh dari pangsapuri di Banda Hilir, Melaka kelmarin.


MELAKA - Seorang pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri dekat Jalan Melaka Raya 5 di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4.25 petang itu, mangsa yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sebelum kejadian itu, sepasukan anggota polis yang melakukan operasi rutin mengetuk pintu rumah mangsa yang didiami bersama empat rakannya termasuk tiga wanita.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebaik anggota polis masuk, mangsa yang berasal dari Merlimau, Jasin sudah terjatuh ke bawah dalam keadaan terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

211 sekolah di Muar ditutup

Posted:

211 sekolah di Muar ditutup

211 sekolah di Muar ditutup

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


BANDAR Muar di Johor diselubungi jerebu teruk semalam.


NUSAJAYA – Sebanyak 211 buah sekolah di Muar dekat sini ditutup dua hari bermula tengah hari semalam disebabkan keadaan berjerebu di daerah tersebut yang kini pada tahap bahaya.

Ini bermakna sebanyak 76,940 murid di sekolah terbabit akan mendapat rehat selama empat hari. Mereka akan kembali bersekolah pada Isnin ini sekiranya tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kembali baik.

Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Mohd. Nor A. Ghani (gambar kecil) berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menerima pekeliling mengenai garis panduan menangani jerebu yang membenarkan sekolah memberi cuti kepada pelajar sekiranya bacaan IPU melebihi 300.

"Kita telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan untuk menutup sekolah di kawasan yang mempunyai IPU melebihi 300 iaitu di tahap berbahaya.

"Setakat pukul 11 pagi semalam, IPU di Muar mencatatkan bacaan sehingga 383. Atas sebab ini maka keputusan menutup sekolah tersebut dilakukan," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Perlukan moral, akhlak terpuji

Posted:

Perlukan moral, akhlak terpuji

Perlukan moral, akhlak terpuji

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat berilmu perlu dilengkapi moral dan akhlak terpuji untuk membentuk masyarakat dan negara terbilang.

Perdana Menteri berkata, masyarakat berilmu juga bakal melonjakkan prestasi dan menjamin kemakmuran negara.

"Secara peribadi, saya juga berpendapat bahawa ilmu perlu dilengkapi dengan moral dan akhlak terpuji. Gabungan ilmu dan moral akan membentuk masyarakat dan negara terbilang," katanya dalam laman sosial Facebook beliau semalam.

Najib berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai kepentingan melabur menerusi ilmu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Annuar harus profesional

Posted:

Annuar harus profesional

Annuar harus profesional

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

AZZUDDIN


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan bahawa Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa boleh mengusulkan sebarang perkara berbangkit mengikut saluran yang sah.

Individu yang dimaksudkan Azzuddin ialah Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah merangkap pemangku Presiden KAFA serta Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail yang juga Exco FAM.

Jelas beliau, Annuar seharusnya bersikap lebih profesional dengan menggunakan 'suaranya' melalui kedua-dua individu terbabit dan bukan menerusi kenyataan terbuka menerusi laman sosial Facebook milik bekas Timbalan Presiden FAM itu.

"Annuar sepatutnya boleh menggunakan suaranya menerusi Exco mereka (KAFA) sendiri untuk menanyakan soalan berbangkit, bukan secara terbuka dengan memberikan tanggapan buruk kepada FAM.

''Beliau sepatutnya lebih bersikap profesional dan FAM boleh memberi maklum balas jika ada sebarang isu berbangkit.

"Mengenai pertikaiannya berhubung dana kewangan Harimau Malaya yang menjalani latihan di Australia dan Harimau Muda di Slovakia, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco FAM.

"Apakah beliau tidak dimaklumkan sebarang maklumat mengenai hal tersebut oleh Exco mereka sendiri?

"Saya tidak tahu tetapi saya enggan menggunakan media sebagai 'orang tengah'.

"Sebaliknya, Annuar boleh rujuk dengan Exco mereka sekiranya masih ada beberapa perkara yang beliau belum jelas dengan perkara ini," kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Annuar mempersoalkan FAM yang menghantar skuad Harimau Muda ke Slovakia dengan mendakwa sesi latihan di negara Eropah itu bertujuan untuk memudahkan pegawai pasukan dan isteri masing-masing melancong ke luar negara.

Selepas mempertikaikan isu tajaan hak penyiaran FAM sebanyak RM30 juta, bekas Menteri Belia dan Sukan itu sekali lagi menempelak badan induk tersebut dengan menyifatkan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Australia sebagai 'tidak berbaloi'.

Keselamatan Malaysia terjamin

Posted:

Keselamatan Malaysia terjamin

Keselamatan Malaysia terjamin

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi jaminan bahawa tuan rumah Sukan SEA 2013, Myanmar akan meningkatkan kawalan keselamatan terhadap kontinjen-kontinjen negara bertanding terutama Malaysia.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar menjelaskan, sebagai negara penganjur, Myanmar sudah pasti akan berpegang kepada komitmennya dalam memastikan keselamatan para atlet dan pegawai dari kesemua 11 kontinjen demi menjaga imej mereka.

Jelas Tunku Imran, kelemahan dalam segi keselamatan bagi kerajaan pemerintah negara tersebut yang sedang berdepan dengan pergolakan etnik Rohingya dan penganut Buddha itu sudah pasti akan menjejaskan sektor pelancongan, sekali gus memburukkan lagi ekonomi mereka.

"Saya rasa kerajaan Myanmar akan memastikan keselamatan para atlet dan pegawai negara yang akan bertanding di Naypyitaw nanti adalah terkawal," jelas Tunku Imran baru-baru ini.

"Mereka sudah tentu mahu menjaga imej negara mereka. Jika pergolakan itu tidak dapat dikawal dan melarat ke semua gelanggang temasya Sukan SEA nanti, ia pasti akan membuatkan para pelancong takut ke negara mereka, sekali gus memberi tamparan hebat dalam segi sektor pelancongan.

"Jadi saya rasa isu keselamatan atlet dan pegawai kontinjen kita adalah terjamin di sana dan mereka tidak perlu berasa bimbang, sebaliknya fokus kepada tugas dan peranan masing-masing."

Ketika ditanya sama ada kontinjen negara perlu diiringi dengan anggota keselamatan dari Malaysia seperti pada Sukan Komanwel 2012 di New Delhi, Tunku Imran menegaskan ia tidak diperlukan buat masa ini.

"Kita pernah menggunakan khidmat anggota keselamatan kita sendiri pada Sukan Komanwel di New Delhi dan itu pun atas permintaan atlet dan para pegawai.

"Namun, situasinya berbeza kali ini kerana saya yakin kerajaan Myanmar dapat mengawal krisis pergolakan di negara mereka daripada melarat ke gelanggang-gelanggang pertandingan.

"Jadi saya rasa kita tidak perlu menghantar anggota keselamatan sebagai pengiring sekali lagi," jelasnya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan bahawa Myanmar bersetuju menyediakan satu penerbangan khas untuk kontinjen negara dari Kuala Lumpur terus ke Naypyitaw, yang juga pusat pentadbiran Myanmar dengan menggunakan Myanmar Airlines.

"Jaminan itu diberikan oleh pihak penganjur Sukan SEA kepada kita menerusi sepucuk surat baru-baru ini," kata Kok Chi.

"Dengan kemudahan penerbangan khas itu, anggota kontinjen negara tidak perlu bermalam di Yangon sebelum menyambung perjalanan ke Naypyitaw dengan penerbangan domestik.

"Beberapa persatuan sukan kebangsaan dan media tempatan yang sudah melakukan tinjauan awal sebelum ini juga memberi maklum balas positif kepada kita mengenai keadaan keselamatan di negara itu."

Temasya Sukan SEA 2013 bakal berlangsung dari 11 hingga 22 Disember depan.

Kelantan tekad kutip mata penuh

Posted:

Kelantan tekad kutip mata penuh

Kelantan tekad kutip mata penuh

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


HODAK (kanan) mahu memperkemas skuad kendaliannya bagi menghadapi baki saingan liga serta final Piala FA menentang Johor DT pada penghujung bulan ini.


KELANTAN berazam mahu mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali The Red Warrriors, Bojan Hodak optmis pasukannya mampu melakar kemenangan pada pertemuan itu selepas Terengganu dikhabarkan kehilangan beberapa tonggak utama seperti Jean Effa Owana, Vincent Bikana dan Abdul Manaf Mamat akibat penggantungan.

Beliau berkata, ketiadaan beberapa tonggak utama dalam skuad Peteh mahu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan tiga mata berharga menjadi milik Kelantan pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, meskipun tumpuan Kelantan lebih terarah kepada persiapan untuk menghadapi final Piala FA 29 Jun ini, namun beliau mahu barisan pemainnya tetap fokus dan memberikan aksi terbaik bertemu Terengganu.

"Kita turut kehilangan tiga tonggak utama seperti Indra Putra (Mahayuddin), Nik Shahrul Azim (Ab. Halim) dan Daudsu (Jamaluddin), namun ia tidak menjejaskan persiapan pasukan untuk pertemuan ini.

"Begitupun, kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan mereka. Kita pernah tewas kepada mereka dalam saingan Piala FA baru-baru ini, namun situasi perlawanan kali ini pasti berbeza.

"Kelebihan bermain pada waktu malam akan kami gunakan sebaik mungkin.

"Tempoh rehat saingan Liga Super sebelum ini juga memberikan ruang secukupnya untuk saya memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan," kata Hodak semalam.

Tambahnya, beliau menjangkakan perlawanan malam ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan mahu mencatatkan kemenangan dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super.

Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, beliau mahu tetap fokus terhadap empat baki perlawanan liga musim ini.

"Setiap perlawanan amat penting bagi Kelantan dan kita tidak akan mengambil mudah. Dua perlawanan iaitu bertemu Terengganu (malam ini) dan Pahang (25 Jun) amat penting sebagai persiapan sebelum ke final Piala FA.

"Jika kita menang dalam dua perlawanan itu, ia merupakan suntikan moral menjelang aksi final nanti," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Kuasa perubatan dalam tumbuhan

Posted:

Kuasa perubatan dalam tumbuhan

Kuasa perubatan dalam tumbuhan

BUAH mengkudu boleh mengatasi masalah darah tinggi, demam dan rasa nyeri.


BUAH-BUAHAN dan herba merupakan sumber makanan lazim dalam diet seharian. Namun, tidak ramai yang sedar tentang nutrien dan manfaat perubatannya. Fungsi tumbuh-tumbuhan itu khususnya dari segi kesihatan, rawatan dan penyembuhan masih kurang didedahkan. Berikut, dijelaskan secara lanjut tentang tiga jenis tumbuhan yang mempunyai kuasa perubatan.

Bunga lawang

Dikenali sebagai buah pekak, kembang lawang atau bunga lawang, ia merupakan sejenis rempah yang memiliki rasa seakan-akan jintan manis. Biasanya, bunga lawang ini dijadikan rempah penyedap makanan. Bunga lawang banyak ditemui dalam masakan kaum India, Thailand, Vietnam dan Indonesia seperti kari atau sebagai penyedap rasa masakan. Di Indonesia khususnya, rempah ini digunakan di beberapa daerah yang memiliki ciri khas masakan berperisa rempah yang kaya. Antaranya ialah gulai Aceh, rendang Padang, masakan Jawa dan Bali.

Selain memberi rasa kepada makanan, bunga lawang mempunyai kesan perubatan yang sangat mujarab. Secara amnya, bunga lawang dikenali sebagai agen penyembuh jangkitan respirasi dan radang, selesema (influenza), selesema babi dan burung.

Selain itu ia juga boleh dijadikan penawar kepada gangguan pencernaan, perut kembung, kehilangan nafsu makan, kolik bayi, batuk dan bronkitis. Bunga lawang juga digunakan secara oral untuk meningkatkan penghasilan susu ibu, kesakitan haid, memudahkan kelahiran bayi, meningkatkan libido dan menangani gejala klimakterik lelaki.

Dalam industri pembuatan, minyak bunga lawang digunakan sebagai komponen utama dalam aroma sabun, kosmetik, pewangi dan ubat gigi. Bunga lawang juga digunakan secara meluas dalam industri farmasi bagi mengawal bau ubat-ubatan.

Mengkudu

Rasa buahnya yang tawar dan bau yang kurang menyenangkan bukan alasan untuk kita menghindari buah mengkudu atau buah noni.

Selain dijadikan jus, daun dan pulpa mengkudu didapati mempunyai pelbagai manfaat penyembuhan. Antaranya, mengatasi masalah darah tinggi, demam, rasa nyeri dan jangkitan.

Buah mengkudu merupakan sumber utama vitamin C, A, B kompleks, kalsium, sulfur, kalium, fosfor serta asid amino seperti fenilalanin dan tirosin. Kebiasaannya, mengkudu digunakan sebagai agen antiinflamasi bagi mengurangkan rasa sakit berkait dengan penyakit artritis dan ketidakselesaan sendi.

Mengkudu merupakan pelindung terbaik untuk ginjal, hati dan perut. Ia membantu menyeimbangkan kandungan alkalin dalam tubuh. Bukan itu sahaja, mengkudu juga membantu pankreas mengatur dan menstabilkan kadar gula dalam darah. Ia bermanfaat bagi mereka yang menderita diabetes mahupun hipoglisemia.


BUNGA lawang banyak ditemui dalam masakan masyarakat Indonesia, Thailand, Vietnam dan India.


Pengambilan jus mengkudu terbukti melindungi perkembangan sel kanser kerana ia bersifat antitumor di samping berkemampuan mencegah luka dalam usus, menurunkan kandungan asid di dalam perut dan meningkatkan lendir yang melindungi lapisan perut.

Bendalu

Bendalu atau benalu ialah tumbuhan yang menumpang dan memperoleh makanan daripada tumbuhan yang ditumpangnya. Ia digolongkan dalam spesies mistletoe atau mistletoe eropaatau iaitu sejenis hemiparasit semak.

Beberapa penelitian dan fakta membuktikan, bendalu memberi kesan positif terhadap kanser. Di Jerman misalnya, pesakit kanser diubati dengan memberikan ubat tradisional berupa ekstrak bendalu yang dipercayai mampu menghalang dan memusnahkan sel tumor sekali gus meningkatkan kekebalan tubuh. Bagaimanapun, tumbuhan bendalu hanya ditemui di tempat bermusim dingin.

Keberkesanan bendalu merawat kanser ditemui sekitar tahun 1920. Jerman meneruskan kajian dan akhirnya bendalu dijadikan ubat sokongan kepada pesakit kanser. Sehingga hari ini, para onkologi menggunakannya sebagai ubat utama dalam penyembuhan kanser.

Hasil penyelidikan mendedahkan bendalu memiliki zat lektin atau dikenali sebagai mistellektin. Di Jerman, penggunaan mistellektin diterapkan dalam rawatan terapi kanser. Malah, menurut statistik, pesakit yang diubati menggunakan mistellektin secara umumnya menunjukkan kualiti hidup semakin baik.

Bagi mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, pemberian mistellektin mengurangkan kesan akibat rawatan itu seperti rasa mual, keguguran rambut, pening dan kehilangan nafsu makan.

Di Asia Tenggara, catatan pengkaji botani menunjukkan bendalu digunakan di Pulau Jawa sejak tahun 1968. Ia digunakan sebagai ubat tradisional bagi merawat penyakit cacar air dan lembu, cirit-birit, ubat untuk cacing kait pada anjing, tumor dan kanser.

Malaysia dilanda cuaca panas

Posted:

Malaysia dilanda cuaca panas

Malaysia dilanda cuaca panas


ORANG ramai membasahkan kaki masing-masing bagi menyejukkan badan di Putrajaya baru-baru ini.


SEORANG rakan mengeluh kerana cuaca di Malaysia sangat panas. Beliau juga menjangkakan suhu semakin hangat pada minggu-minggu yang akan datang.

Pada masa ini, kebanyakan tempat di negara ini dilanda cuaca panas dan kering. Menurut pakar kaji cuaca, keadaan ini mungkin berlanjutan sehingga September 2013.

Menurut laporan berita, Subang di Selangor mencatat suhu setinggi 36.2 darjah Celsius pada 7 Jun lalu manakala suhu di ibu kota Kuala Lumpur mencecah 36 darjah Celcius pada 4 Jun lalu.

Media juga memetik Pengarah Pusat Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong sebagai berkata, cuaca panas yang melanda negara pada masa ini hasil kombinasi beberapa faktor.

"Musim Monsun Barat Daya biasanya membawa cuaca panas dan kering. Tetapi suhu dan haba meningkat dengan kedatangan ribut tropika dari Filipina dan tekanan rendah di Lautan Hindi," katanya.

Bagaimanapun, cuaca panas ini belum mencapai tahap gelombang panas.

Menurut statistik Jabatan Meteorologi, hari paling panas di Malaysia dicatat pada 18 Mei lalu iaitu di Chuping, Perlis. Suhunya mencecah 38.9 darjah manakala beberapa tempat di Melaka turut mencatat tahap kepanasan 38 darjah Celcius.

Seseorang yang terdedah kepada suhu panas menghadapi risiko keletihan dan mungkin juga mengalami strok.

Penyakit bersangkut paut dengan cuaca panas telah menyebabkan kematian beribu-ribu orang pada dekad-dekad yang lampau.

Pada tahun 1980, gelombang panas di Amerika Syarikat menjadi punca kematian 1,250 orang manakala 50,000 lagi mati semasa gelombang panas melanda benua Eropah pada tahun 2003.

Apakah itu fenomena gelombang panas?

Gelombang panas

Gelombang panas berlaku apabila suhu semasa adalah lebih tinggi daripada suhu normal setempat.

Menurut pakar kaji cuaca, suhu bagi orang yang berasal dari kawasan panas yang dianggap normal boleh menjadi gelombang panas di daerah yang biasanya mempunyai suhu lebih rendah.

Gelombang panas yang teruk dikenal pasti sebagai punca kematian akibat hipertemia iaitu suhu badan meningkat menjadi amat panas. Ia juga boleh menjadi penyebab gangguan bekalan tenaga berikutan peningkatan penggunaan alat pendingin hawa.


SEORANG lelaki di New Delhi, India membasuh muka ekoran cuaca yang sangat panas iaitu melebih 45 darjah Celsius pada 24 Mei lalu. - Gambar hiasan


Pakar juga menjelaskan, gelombang panas merupakan satu situasi suhu tinggi selama beberapa hari yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada individu yang terdedah kepada cuaca berkenaan.

Gelombang panas terjadi apabila suhu tinggi luar biasa berlangsung selama beberapa hari. Ia juga boleh berlaku dalam waktu yang singkat dengan pertambahan suhu secara mendadak.

Di sebalik cuaca panas, warga Malaysia belum diserang gelombang panas sehingga hari ini, jelas pihak berkuasa berkaitan.

Seorang pegawai jabatan berkenaan yang enggan namanya disiarkan menerangkan, musim panas kini disebabkan angin Monsun Barat Daya yang biasanya membawa awan yang sedikit.

"Ini mendedahkan kita kepada lebih sinar matahari dan panas terik.

"Biasanya suhu ketika ini sekitar 33 darjah tetapi kita mengalami suhu 34 hingga 35 darjah Celcius," kata beliau.

Pegawai itu menjelaskan, catatan suhu itu belum mencecah suhu yang dianggap gelombang panas tetapi seandainya melebihi 37 darjah, barulah Malaysia mengalami apa yang dikatakan sebagai gelombang panas seperti yang dicatat kali terakhir semasa fenomena El Nino pada tahun 1998.

Sementara itu, pakar-pakar kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah melainkan mereka perlu menjalani aktiviti harian.

Jauhi panas terik

"Minum banyak air jika anda perlu keluar rumah. Anda juga dinasihatkan tinggal di dalam rumah yang memiliki kelengkapan pendingin hawa ataupun yang mempunyai pengudaraan yang mencukupi.

"Walaupun terpaksa keluar rumah, jauhilah daripada panas terik matahari.

"Elakkan daripada melakukan aktiviti lasak dan pastikan minum air setiap jam walaupun anda tidak berasa dahaga," nasihat pengamal perubatan, Dr. Shuhaimi Jamil dari Rawang, Selangor.

Bagaimanapun, Shuhaimi mengingatkan pesakit yang terpaksa minum air dalam kuantiti terhad seperti pesakit buah pinggang supaya mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Seorang maut, dua parah pacuan empat roda jatuh gaung

Posted:

Seorang maut, dua parah pacuan empat roda jatuh gaung

Seorang maut, dua parah pacuan empat roda jatuh gaung

20/06/2013 10:35pm

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka

terhumban ke dalam gaung di Jalan Bukit Kokol, Menggatal dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, Dokin Sabin, 50, dari Kampung Tombongon, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala manakala lima adiknya, ibu serta saudara mereka yang lain belum dikenal pasti identiti dan kecederaan yang dialami.

Difahamkan, kesemua mereka berhimpit menaiki pacuan empat roda itu.

Keadaan itu ,menyebabkan tujuh anggota keluarga berkenaan terpaksa

dikeluarkan pasukan bomba dengan bantuan orang ramai manakala tiga lagi,

termasuk Dokin, tersepit dalam remukan kenderaan sebelum dikeluarkan lebih sejam kemudian.

Kenderaan yang dinaiki mereka juga difahamkan tiba-tiba hilang kawalan

hingga terjunam ke dalam gaung kira-kira 61 meter.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Mohd. Afendy K.Ramin berkata, dua jentera bersama 14 anggota dikejar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.14 petang bagi mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap. - Bernama

Tengku Abdullah bersedia jumpa Khairy bincang isu bole sepak

Posted:

Tengku Abdullah bersedia jumpa Khairy bincang isu bole sepak

Tengku Abdullah bersedia jumpa Khairy bincang isu bole sepak

20/06/2013 10:33pm

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin

mengenai soal masa depan sukan itu.

"Saya boleh berjumpa dan bersedia dengan sesiapa sahaja termasuk beliau

(Khairy) pada bila-bila masa sahaja," katanya ketika diminta mengulas

mengenai kenyataan Khairy yang hanya mahu bertemu dengan mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan untuk berbincang mengenai isu berkenaan.

Semalam, Khairy dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau bersedia untuk

berjumpa dengan pegawai tertinggi badan induk bola sepak negara itu seperti

Tengku Abdullah dan bukannya menerusi media tempatan. - Bernama

Jerebu tidak jejas perlumbaan J1M 2013

Posted:

Jerebu tidak jejas perlumbaan J1M 2013

Jerebu tidak jejas perlumbaan J1M 2013

20/06/2013 10:31pm

KUALA LUMPUR - Keadaan jerebu yang melanda beberapa negeri di bahagian selatan Semenanjung dijangka tidak akan menjejaskan edisi ke-48 perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M 2013) yang bermula Rabu depan.

Ketua Pegawai Operasi J1M 2013, Datuk Naim Mohamad hari ini berkata, perlumbaan akan berjalan seperti dijadualkan dan hanya akan mengubah laluan sekiranya melibatkan kawasan yang mempunyai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap bahaya.

Beliau berkata, Ketua Komisar dan pegawai teknikal perlumbaan memerlukan

sekurang-kurangnya 24 jam untuk melibat keadaan cuaca dan membuat 'recce' laluan alternatif sekiranya perlu

Naim yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), yakin keadaan jerebu ketika ini akan bertambah baik menjelang hari perlumbaan. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Hujan monsun ragut 120 nyawa di India

Posted:

Hujan monsun ragut 120 nyawa di India

Hujan monsun ragut 120 nyawa di India

KUIL Kedarnath (tengah) ditenggelami air banjir kilat di bandar Rudraprayag, di negeri Uttarakhand, India semalam.- REUTERS


DEHRADUN - Angka kematian akibat banjir kilat yang berpunca daripada hujan monsun di utara India meningkat kepada 120 orang, kata beberapa pegawai semalam.

Musim hujan di India tiba lebih awal pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Sekurang-kurangnya 110 orang telah terkorban. Kerajaan negeri dan pihak tentera cuba untuk menyelamat ribuan pelancong yang terperangkap dekat beberapa buah perkampungan dan kuil Hindu yang digenangi air," kata Menteri Pengurusan Bencana Negeri Uttarakhand, Jaspal Arya.

Di negeri Himachal Pradesh yang berjiran dengan Uttarakhand sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam kejadian tanah runtuh yang turut memusnahkan 500 buah rumah dan bangunan kerajaan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan tentera kelmarin menyatakan, lima buah lapangan terbang di utara India telah diaktifkan untuk mempercepat operasi menyelamat.

Pada kebiasaannya, sektor pertanian di India amat bergantung kepada hujan monsun yang turun selepas musim kemarau.

Hujan monsun turun di India pada akhir bulan Jun dan berterusan hingga September depan tetapi pada masa yang sama, fenomena cuaca ini akan menyebabkan banjir.

Pada tahun ini, hujan monsun turun lebih awal sekali gus mendedahkan kelemahan kerajaan dalam melakukan persiapan apabila negara ditimpa bencana. - AFP

Bot solar terbesar dunia berlabuh di New York

Posted:

Bot solar terbesar dunia berlabuh di New York

Bot solar terbesar dunia berlabuh di New York


AFP
BOT solar terbesar di dunia, MS Turanor PlanetSolar, tiba di marina Teluk Utara di New York pada Isnin lalu.


NEW YORK - Bot solar terbesar di dunia, Turanor PlanetSolar, berlabuh di Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika dalam misi mengkaji kesan perubahan iklim ke atas arus bawah laut Gulf Stream.

Arus tersebut bermula di Laut Caribbean dan berakhir di utara Lautan Atlantik.

Ditaja sebahagiannya oleh kerajaan Switzerland, bot sepanjang 35 meter itu sarat dengan panel solar. Panel tersebut boleh dibuka dan ditutup seperti sayap burung.

Ia ditutup semasa Turanor memasuki pelabuhan dan dibuka apabila bot itu belayar di lautan.

Pada Mei 2012, bot berkenaan menjadi kenderaan berkuasa solar pertama yang mengelilingi dunia.

Pengembaraan tersebut mengambil masa selama 584 hari dan merangkumi jarak lebih 60,000 kilometer.

Memiliki berat 90 tan, bot itu bergerak pada kelajuan purata 10 kilometer sejam.

Bot tersebut berlayar dari La Ciotat di Perancis lebih dua bulan lalu. Dalam perjalanannya, bot itu pernah berhenti termasuk di bandar raya Miami di tenggara AS.

"Matlamat utama kami adalah untuk mengkaji arus Gulf Stream," kata kapten kapal tersebut, Gerard d'Aboville.

Bot itu tidak mengeluarkan sebarang bahan pencemaran kerana dijana sepenuhnya oleh kuasa solar.

Turanor PlanetSolar sedang dalam perjalanan untuk mengumpul data sepanjang perjalanan sejauh 8,000 kilometer antara Miami dan bandar Bergen di Norway. - AFP

Guru pertama di dunia mengajar dari angkasa lepas

Posted:

Guru pertama di dunia mengajar dari angkasa lepas

Guru pertama di dunia mengajar dari angkasa lepas


GAMBAR menunjukkan imej Yaping bersama dua anggota angkasawan lain yang dihantar ke angkasa baru-baru ini.- AFPi


BEIJING - Guru pertama yang dihantar ke angkasa oleh pemerintah China dijadualkan memberi kuliah kepada para pelajarnya melalui satu sidang video hari ini, lapor rangkaian Televisyen Pusat China (CCTV).

Kuliah yang disampaikan guru wanita berkenaan, Wang Yaping, akan disiarkan oleh CCTV bermula dari pukul 10.04 pagi sehingga 10.55 pagi waktu tempatan.

Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, Yaping yang berusia 33 tahun itu merupakan angkasawan wanita China kedua dihantar ke angkasa lepas.

Dia akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Terdahulu, China telah melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas pada 11 Jun lalu.

Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, dalam wilayah Gansu.

Kapal angkasa itu berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Josiah suka 'wanita Melayu terakhir'

Posted:

Josiah suka 'wanita Melayu terakhir'

Josiah suka 'wanita Melayu terakhir'

AKTOR berwajah kacukan Amerika-Latin yang bernama Josiah Hogan ini mencipta nama menerusi watak Razif dalam drama Bicara Hati. Dia kemudiannya mula mencuri hati para peminat wanita selepas membawa peranan Dr. Hud, seorang lelaki budiman dalam drama yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV9 iaitu Cinta Jangan Pergi.

Mengakui sukar untuk menerima peranan utama dalam drama mahupun filem Malaysia kerana wajah Amerika-Latin yang dimilikinya, namun dia bersyukur kerana sering ditawarkan dengan watak-watak mencabar.

"Alhamdulillah, perlahan-lahan saya mendapat kepercayaan untuk membawa watak yang mencabar dan berharap ia berterusan. Memang saya suka pada watak mencabar dan baharu," ujar Josiah.

Pernyataan tersebut, antara lain merujuk kepada peranan baharu yang dibawanya kini dalam drama seram berjudul What If yang sedang ditayangkan di 8TV. Josiah memegang watak lelaki gila dan psiko bernama Imzan.

Lancar bertutur dalam bahasa Melayu tanpa secalit pun slanga Sepanyol, aktor berusia 27 tahun itu juga sebenarnya mempunyai selera luar biasa terhadap wanita pilihannya.

Luar biasa yang dimaksudkan adalah kerana Josiah bukan menyukai wanita Amerika-Latin seperti dirinya malah dia lebih sukakan wanita Melayu yang penuh dengan ciri-ciri ketimuran.

Baru sahaja melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan wanita Melayu dari Kuantan, Pahang, pada 25 Mei lalu, Josiah atau nama Islamnya Mohamad Musleh itu memilih seorang jururawat sebagai isterinya.

"Nama dia (isteri) Nurul Hidayu Noordin dan dia boleh diibaratkan seperti Wanita Melayu Terakhir, pandai memasak dan seorang yang ada disiplin," tuturnya yang memiliki seorang anak lelaki bernama Irvine Hogan, 7, hasil perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita Melayu dari Temerloh, Pahang.

JOSIAH baharu mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 25 Mei lalu.


Kahwin pada usia 19 tahun

Menyingkap sedikit sisi peribadi Josiah, dedahnya, dia pernah berkahwin pada usia 19 tahun tetapi malangnya, jodoh mereka tidak berpanjangan atas sebab tiada persefahaman.

Selama tiga tahun hidup menduda, Josiah masih tidak serik memperisterikan wanita Melayu dan hatinya mula terbuka untuk Nurul yang berusia 23 tahun itu.

"Saya mula mengenali Nurul sekitar 2010 menerusi sebuah majlis hari ulang tahun temannya. Kebetulan kawan saya bercinta dengan kawannya dan kami mula berkenalan daripada situ. Lama-kelamaan kami intim dan bercinta.

"Saya bersyukur kerana selain dihadirkan dengan isteri yang penyabar dan memahami, anak lelaki saya juga sangat mesra dengan Nurul. Sebabnya, saya hantar anak saya ke sekolah Cina dan kebetulan isteri boleh cakap Mandarin. Jadi, dia selalu bantu anak saya buat kerja sekolah dan mereka menjadi mesra," luahnya.

Begitupun, dedah Josiah, isterinya agak cemburu dan tidak akan menonton lakonannya. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan babak-babak romantik.

Mengulas lanjut, ujar Josiah, ada sekali sahaja isterinya menonton lakonannya menerusi telefilem Cinta Hero Malaya.

"Sebelum kahwin lagi dia cakap tidak mahu menonton cerita lakonan saya. Cuma dia ada tonton satu telefilem lakonan saya iaitu Cinta Hero Malaya. Sebabnya dalam cerita itu saya galas peranan sebagai lelaki lembut," ujarnya sambil ketawa mengatakan cemburu isterinya itu tanda sayang.

Sepanyol

Mengenali Josiah dengan lebih mendalam, luahnya, dia menetap di Malaysia ketika berusia enam tahun.

Ramah bercerita tentang dirinya, Josiah melanjutkan perbualannya.

"Ibu saya berkahwin dengan bapa tiri saya iaitu orang Kelantan. Saya tinggal di Kelantan dan dibesarkan di sana sebelum berpindah ke Kuantan. Disebabkan itu, saya juga pandai cakap dialek Kelantan," ujarnya yang tidak tahu langsung bercakap dalam bahasa Sepanyol kerana tidak diajar oleh ibunya.

Ujarnya, dia memeluk Islam pada usia empat tahun dan ibunya pula memeluk Islam sebelum berkahwin dengan bapa tirinya.


JEHAN MISKIN selaku pengarah drama seram What If, memilih Josiah memegang watak utama.


Sengaja berkongsi bagaimana dia mula menceburkan diri dalam bidang lakonan, jelas Josiah, dia pernah menerima tawaran berlakon di Hollywood memandangkan bapa saudaranya kenal dengan orang filem di sana. Malangnya, hasratnya untuk mencipta nama di Hollywood tidak kesampaian selepas bercerai dengan isteri pertamanya.

"Kebetulan masa dapat tawaran, saya bercerai dengan dia (isteri pertama). Mahkamah memutuskan hak penjagaan anak adalah secara bergilir. Saya akhirnya menolak tawaran itu kerana memikirkan mengenai Irvine," ungkapnya.

Mengulas lanjut, Josiah kemudiannya bekerja di sebuah syarikat automotif jenama mewah dan akhirnya ditawarkan sebagai pelakon dalam telefilem Tangisan Langsuir pada tahun 2010.

lelaki gila, psiko

Bercerita tentang drama terbaharunya berjudul What If arahan pelakon Jehan Miskin, Josiah mengakui menyukai watak Imzan, seorang lelaki gila dan psiko.

"Episod pertama membawa penonton terus ke wad gila. Imzan dimasukkan ke wad gila oleh bapa mertuanya walaupun sebenarnya dia tidak gila. Ketika di wad gila, dia menulis dalam diari namun dia tidak sedar memiliki kuasa yang mampu menjadikan setiap cerita yang ditulisnya menjadi kenyataan di alam realiti. Saya suka melakonkan watak gila dan psiko ini kerana ia mencabar," ceritanya.

Ditebak adakah watak Imzan ini yang paling mencabar pernah dilakonkannya, menurut Josiah, watak Dr. Hud dalam drama Cinta Jangan Pergi lebih mencabar.

Katanya, watak itu memerlukan dia menjadi seorang yang segak dan budiman, sedangkan dia bukan begitu.

"Saya sebenarnya seorang yang gila-gila dan bukan juga seorang yang segak dalam berpakaian. Tetapi, Dr. Hud memaksa saya jadi seorang lelaki budiman dan segak," jelasnya mengakhiri perbualan.

Dharma terkejut menang anugerah

Posted:

Dharma terkejut menang anugerah

Dharma terkejut menang anugerah

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

DHARMA HARUN merancang untuk membikin Adik Manja The Returns dalam bentuk drama bersiri.


KEHADIRAN pelakon dan pengarah Dharma Harun Al-Rashid semasa acara Anugerah Blokbuster 2 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) pada 15 Jun lalu sekadar memenuhi kehendak keluarganya.

Walaupun filem arahannya iaitu Adik Manja The Returns tercalon dalam beberapa kategori, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.

Namun begitu, berlaku sedikit kejutan apabila Dharma menjadi pilihan orang ramai untuk memenangi kategori Direktor Baharu Terhebat.

Ternyata kemenangan tersebut cukup bermakna buat pengarah yang pernah menjadi teraju utama filem Adik Manja itu kerana dia telah menewaskan calon pilihan seperti Syafiq Yusof untuk filem Saya Amat Menyintaimu (SAM).

Dharma yang ditemui selepas berakhirnya acara pada malam tersebut ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan kemenangan itu.

"Saya tidak menyangka akan muncul sebagai salah seorang pemenang kerana saingan daripada calon-calon lain yang lebih hebat.

"Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya seolah-olah tidak percaya, tetapi saya menganggapnya sebagai rezeki yang tidak dijangka," ujarnya.

Ketika ditanya pandangannya terhadap kemenangan itu, Dharma tidak menolak kemungkinan filem Adik Manja yang pernah dibintanginya bersama Nookumalasari turut memberi impak.

Ujarnya, dia percaya orang ramai yang mengundi dirinya menerusi filem Adik Manja The Returns untuk kategori berkenaan merupakan golongan yang meminati filem Adik Manja yang diterbitkan pada tahun 1979.

"Saya berasa kemenangan ini sesuatu yang sangat berbaloi memandangkan filem ini mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan di pawagam iaitu setelah tiga tahun dihasilkan.

"Lagipun ini bukan kemenangan buat saya seorang sahaja kerana semua pelakon telah memberikan lakonan yang terbaik, meskipun filem Adik Manja The Returns kurang mendapat sambutan di pawagam," jelasnya.

Berkenaan dengan sambutan filem berkenaan, Dharma menyatakan bahawa antara punca filem itu gagal meraih kutipan tinggi di pawagam ialah saingan daripada dua filem antarabangsa.

DHARMA bersama Maria Tengku Sabri dan pelakon kanak-kanak, Raykarl.


"Filem arahan saya ini ditayangkan secara serentak dengan CZ12 yang dibintangi Jackie Chan dan Jack Reacher lakonan Tom Cruise. Jadi, ia turut memberi kesan kepada kutipan filem arahan saya.

"Sedangkan semasa ditayangkan di Astro First pula ia mendapat sambutan yang baik, malah saya menerima banyak pujian daripada orang ramai yang sudah menontonnya," jelasnya.

Drama bersiri

Dengan kemenangan itu, Dharma berkata, ia telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menghasilkan Adik Manja The Returns dalam versi drama bersiri pula.

Jelas pengarah berusia 57 tahun itu, perkara tersebut sudah lama dirancang dan dia telah berbincang dengan beberapa buah stesen televisyen.

"Kalau filem ini dibuat dalam versi drama sudah tentu jalan ceritanya akan menjadi lebih menarik dan disesuaikan dengan kehidupan remaja perempuan di kolej sekarang.

"Cuma buat masa ini, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan memandangkan kertas kerja untuk projek tersebut sudah disiapkan. Saya berharap ia dapat dihasilkan secepat mungkin," jelasnya.

Selain mahu membikin drama bersiri yang diadaptasi daripada filem arahannya itu, Dharma menyatakan dia bakal menghasilkan beberapa buah program realiti dan dokumentari pada masa akan datang.

Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah

Posted:

Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah

Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


SCHA dan Awal bakal membawa keluarga masing-masing mengerjakan Umrah pada Ramadan ini.


PASANGAN sama cantik sama padan, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari bakal mengerjakan umrah buat pertama kalinya selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Sudah mendaftar dengan sebuah agensi perkhidmatan umrah, akui Scha ketika ditemui pada sesi rakaman program Raya Sakan Bersama FBI di TV9, perkara utama yang ingin dimohon mereka di depan Kaabah adalah supaya dikurniakan anak.

Scha juga mengakui berasa takut dan dalam masa yang sama teruja kerana buat pertama kalinya dia bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu.

Scha dan Awal melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei 2012. Sudah setahun lebih mereka mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Scha tentang perancangannya menunaikan umrah bersama Awal.

KOSMO!: Bilakah Scha dan Awal merancang untuk mengerjakan umrah?

SCHA: Kami merancang mengerjakan umrah pada minggu kedua atau ketiga Ramadan ini.

Berapa lamakah kalian akan berada di sana nanti?

Kemungkinan kami akan berada di sana selama 10 hari.

Sudah mendaftar dengan agensi untuk mengerjakan umrah?

Kami sudah mendaftar dengan sebuah agensi, tetapi Awal masih melihat beberapa lagi agensi. Dia memang cerewet dan kalau boleh dia mahukan agensi yang benar-benar bagus.

Bagaimana boleh merancang untuk mengerjakan umrah bersama?

Satu hari, saya tiba-tiba terdetik untuk mengerjakan umrah dan menyatakan hasrat tersebut kepada dia (Awal). Tanpa banyak soal, Awal bersetuju dan kami terus merancang untuk mengerjakannya bersama pada tahun ini.

Adakah ini pertama kali kalian akan mengerjakan umrah?

Awal sudah pernah mengerjakan umrah, sebaliknya saya baru pertama kali.

Adakah kalian berdua sahaja ke sana nanti?

Keluarga saya dan Awal akan turut sama mengerjakan umrah.

SCHA akui berdebar mengerjakan umrah buat kali pertama.


Apa perkara utama yang ingin dipohon?

Tidak dinafikan memang kami pergi ke sana untuk berdoa mendapat cahaya mata. Selain itu, kami juga ingin berdoa agar lebih dimurahkan rezeki.

Bagaimana persiapan anda untuk ke sana?

Buat masa ini saya ada membeli beberapa buku panduan mengerjakan umrah. Kami juga akan menghadiri kursus untuk mendapat gambaran dan sedikit ilmu sebelum menjejakkan kaki ke sana.

Bagaimana anda ingin gambarkan perasaan apabila mengerjakan umrah nanti?

Sejujurnya, saya akui takut sebab pertama kali pergi ke sana dan dalam masa yang sama teruja untuk mengerjakan umrah. Saya juga teringin melihat keadaan di sana.

Selain mengerjakan umrah, bagaimana pula dengan jadual seni anda?

Buat masa ini, saya memang bercadang untuk mengehadkan aktiviti seni pada bulan puasa ini. Tetapi kalau ada aktiviti yang saya tidak boleh tolak, saya akan ambil. Contohnya, rakaman-rakaman yang sudah terikat seperti Melodi Raya, Kecohnya Beraya dan Raya Sakan Bersama FBI.

Bagaimana dengan persiapan puasa tahun ini?

Saya dan Awal memang akan bangun sahur setiap hari. Tetapi kalau Awal ada aktiviti seni pada sebelah pagi, dia akan beritahu saya yang dia tidak mahu bangun sahur.

Apa menu wajib berbuka puasa anda berdua?

Kalau untuk berbuka puasa, saya memang wajib ada ayam percik, air tebu dan popia basah. Awal pun sama cuma dia tidak makan nasi. Dia suka ratah lauk sahaja.

Apakah drama atau filem lakonan Scha yang akan datang?

Filem Papadom 2 dan filem aksi, Dampak akan keluar lepas raya nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved