Selasa, 11 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Cebisan budaya Brazil di Malaysia

Posted:

Cebisan budaya Brazil di Malaysia

Cebisan budaya Brazil di Malaysia

MINAT Juliana Md. Saman, 28, terhadap seni mempertahankan diri dari Brazil iaitu capoeira bermula kira-kira 10 bulan lalu. Dia merupakan salah seorang daripada 20 pelajar yang bernaung di bawah Capoeira Camara Malaysia (CCM) yang berpusat di Lembah Klang.

Belum pun sampai setahun mempelajari capoeira, Juliana telah memegang tali pinggang putih dan kuning sekali gus. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakannya.

"Dahulu saya beranggapan capoeira sejenis tarian. Tetapi apabila menyertai persatuan ini, barulah saya tahu ia seni mempertahankan diri yang digabungkan bersama tarian.

"Setiap kilasan dan gerakan capoeira ternyata mampu mengelirukan pihak lawan terutama ketika sesi latihan atau semasa mengadakan persembahan pentas," ujar gadis ini yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah institusi kewangan di ibu negara.

Menurutnya, tenaga pengajar dan pengasas CCM yang diketuai oleh Cristiano Genuino da Silva banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

"Walaupun tegas, Cristiano tahu kebolehan setiap pelajarnya. Dia juga individu yang memberi inspirasi kepada saya untuk mendalami seni mempertahankan diri yang berasal dari negaranya itu," jelas Juliana.

Capoeira ialah salah satu daripada tarian kebudayaan yang menjadi signatur negara Brazil di mata dunia selain Bumba Meu Boi, Frevo dan Caboclinho

Sejak berhijrah dari Recife iaitu sebuah kota metropolitan di utara Brazil ke Kuala Lumpur, Cristiano kini mencipta nama sebagai salah seorang pelopor dalam memperkenalkan capoeira kepada masyarakat di Malaysia.

Kelincahannya dalam kebanyakan pertunjukan dan demonstrasi capoeira di seluruh negara ternyata menarik perhatian pengunjung.

Kejayaan jejaka berbadan sasa berusia 38 tahun itu menarik minat masyarakat Malaysia terhadap capoeira tidak semudah yang disangka. Dia datang ke Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu selepas mendapat tawaran pekerjaan sebagai jurulatih capoeira daripada salah seorang rakan senegara yang bermastautin di Malaysia.

Diperdaya

"Apabila sampai di Kuala Lumpur, saya diberi tempat tinggal dan pekerjaan. Namun, pekerjaan itu bukanlah sebagai jurulatih seni mempertahankan diri. Saya juga terpaksa berkongsi rumah dengan lima individu lain yang tidak dikenali.

"Apabila sedar telah diperdaya, saya keluar daripada kumpulan itu dan memulakan kehidupan baharu di ibu kota walaupun tanpa mengenali sesiapa pun ketika itu," ujarnya.


SUASANA majlis graduasi pelajar-pelajar baharu CCM atau dikenali sebagai batizado dalam bahasa Portugis yang berlangsung tahun lalu.


Cerita Cristiano lagi, sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia, rakan-rakannya di Brazil menyampaikan perkhabaran bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan penduduknya berpenyakit malaria.

"Lapan tahun saya di sini, saya tiada masalah dengan orang Islam dan kebanyakan rakan-rakan terdiri daripada orang Melayu. Mereka ternyata membantu saya memahami budaya dan masyarakat di sini. Demam malaria bukanlah satu ancaman berbahaya. Mereka sengaja menakut-nakutkan saya," jelasnya.

Ketika Kosmo! menemuinya baru-baru ini, wajahnya mengalami sedikit kecederaan semasa sesi latihan.

Walaupun mempunyai pengalaman yang luas mengenai seni mempertahankan itu, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu tidak berbangga dengan kebolehan yang dimiliki. Dia juga kagum dengan masyarakat Malaysia yang menyambut baik budaya dari negara Amerika Selatan itu.

Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam capoeira, dia yang dikenali sebagai soldadu yang bermaksud instruktor atau askar dalam bahasa Portugis ada jawapannya.

Menurutnya, judo merupakan seni mempertahankan diri yang pertama dipelajarinya ketika berumur lapan tahun. Dia ternyata menguasai setiap teknik judo. Sejak kecil, mendiang ayahnya gemar bercerita mengenai seni mempertahankan diri yang sering dipersembahkan di jalanan.

Disebabkan mendiang ayahnya itu seorang askar, dia juga sering menceritakan mengenai kehidupan sebagai seorang askar kepada anaknya itu.

"Saya suka mendengar cerita daripada ayah. Dia banyak memberi maklumat mengenai capoeira walaupun saya tidak pernah mengetahui teknik-teknik seni mempertahankan diri itu.

"Sehingga umur 16 tahun, saya terlihat sekumpulan remaja dan kanak-kanak sedang bertarung. Kilasan kaki dan gerakan pantas yang diselangi dengan alunan gendang sama seperti yang diceritakan bapa," ujarnya yang kehilangan bapa sejak 25 tahun lalu.

Mendiang bapa

Sejak itu, Cristiano mendalami segenap aspek capoeira seperti gerakan, kilasan dan alatan muzik yang digunakan. Dia juga menyertai pelbagai kursus dan persatuan di Brazil untuk memantapkan lagi kemahirannya itu.

"Penglibatan saya dalam capoeira ini adalah cara saya untuk membanggakan bapa. Saya juga menyertai Angkatan Tentera Brazil (Brazilian Armed Forces) untuk mengikuti jejak langkah bapa. Walaupun hanya mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam pasukan itu, sekurang-kurangnya saya dapat merasai apa yang telah dilalui oleh bapa," ujarnya.

Menurut Cristiano, dia juga amat mengagumi tiga orang gurunya di Brazil iaitu Master Liminha, Master Grillo dan Master Joao Capoeira yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

Sebelum berhijrah ke Malaysia, Cristiano juga pernah bekerja di syarikat telekomunikasi, peluncur air dan jurulatih capoeira di Brazil.

Diberi peluang mengajar capoeira di salah sebuah universiti awam merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan Cristiano sepanjang dia berada di Malaysia.


PERSEMBAHAN pentas merupakan salah satu cara terbaik yang dilakukan oleh CCM untuk memperkenalkan capoeira secara jelas kepada masyarakat Malaysia.


Ketika memulakan pengajiannya, pihak universiti tidak memberi kebenaran untuk mengadakan sesi kelas kerana khuatir capoeira mempunyai pengaruh negatif kepada pelajar-pelajar.

"Pihak universiti bimbang capoeira mempunyai elemen-elemen agama Kristian. Saya telah memberi penjelasan kepada mereka bahawa capoeira merupakan sebuah seni mempertahankan diri yang tiada kaitan dengan agama.

"Menerusi capoeira, matlamat saya ialah untuk menyatukan umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Seperti salah seorang rakan saya yang menjadi jurulatih capoeira di Iran. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang Islam dan Yahudi. Tetapi mereka boleh berkawan dan belajar capoeira bersama-sama," ujarnya.

Cristiano kini dikenali dengan gelaran Brazilasia iaitu gabungan nama negara Brazil dan Malaysia kerana sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negara ini.

Dia juga sedang mengenali hati budi seorang gadis Melayu dan mendapat restu daripada keluarganya. Selain itu, dia kini sedang mendalami cara hidup sebagai seorang Islam sebagai persediaan awal.

Pelihara singa simbol kemewahan

Posted:

Pelihara singa simbol kemewahan

Pelihara singa simbol kemewahan


SINGA bukanlah haiwan yang sesuai untuk dijadikan peliharaan di rumah.


BAGI kebanyakan golongan elit di Kabul, memiliki rumah besar, mempunyai pengawal dan deretan kereta mewah merupakan cara mereka menunjukkan kekayaan, namun salah seorang daripada mereka mengambil pendekatan berbeza dengan memelihara singa.

Mohammad Shafiq, 42, seorang usahawan, berbangga apabila melihat anak singa peliharaannya merayau-rayau di bahagian tingkat atas rumah agamnya yang terletak di tengah Kabul.

"Saya memperoleh singa ini melalui seorang kawan dari Kandahar. Dia mengetahui minat saya terhadap haiwan seperti anjing dan burung, tetapi memiliki seekor singa melebihi jangkaan saya.

"Sebelum ini, saya tidak pernah melihat singa pada jarak yang dekat kerana haiwan ini hanya terdapat di zoo atau menonton dalam televisyen sahaja. Sebab itu, saya tidak teragak-agak membeli seekor singa untuk dipelihara."

Singa yang belum diberi nama itu tidak diikat atau dirantai, bahkan ia dibiarkan bebas. Pada waktu siang, ia tidur di satu sudut dan turun ke tempat makanan ketika dinihari.

Mohammad membelanjakan hampir AS$1,000 (RM3,009) untuk menampung kos makanan iaitu daging segar selain mengupah veterinar untuk memeriksa kesihatan singa itu.

Sejak 12 tahun pencerobohan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, hampir RM30.99 bilion telah disalurkan untuk menghapuskan puak Taliban. Disebabkan itu, sebahagian penduduk mendapat keuntungan daripada situasi yang menggadaikan ribuan nyawa. Malah mereka tidak segan silu mempamerkan kemewahan kepada umum.

Simbol kekayaan

Kabul dipenuhi rumah-rumah mewah hartawan yang indah dihias lampu-lampu candelier. Kawasan itu mendapat jolokan nama sebagai Istana Poppy, menggambarkan perusahaan ganja yang menjadi sumber ekonomi negara itu.

Setakat ini, hanya Mohammad yang memegang status simbol kekayaan yang berbeza dengan kebanyakan jutawan di negara itu.

Sebelum ini, Mohammad merupakan salah seorang pejuang ketika kejatuhan Taliban. Beliau memperoleh kekayaan melalui kontrak pembinaan untuk beberapa pelanggan termasuk daripada Kedutaan AS.


MEMILIKI rumah agam salah satu kebanggaan kepada golongan elit di Afghanistan.


Menurutnya, sewaktu mendapat singa itu, ia baru berumur dua bulan dan menjangkakan bakal menginjak usia enam bulan.

"Saya perlu menanggung kos berjumlah RM61,979 termasuk penghantaran dari Kandahar ke Kabul menggunakan jalan darat," ujar Mohammad. Dia mengelak untuk menjawab soalan berkaitan proses penghantaran singa itu yang perlu melalui perjalanan sejauh 480 kilometer yang berisiko terkena letupan bom.

Dia menepis pandangan yang mengatakan perbuatan memelihara haiwan liar itu suatu kekejaman. Ketika kunjungan wartawan AFP ke rumah agamnya, singa itu kelihatan gemuruh dan mengaum apabila orang sekeliling cuba mendekatinya.

Mohammad bercadang untuk memindahkan haiwan tersebut ke kawasan luas atau bangunan lain di bandar Afghan.

Pengarah hidupan liar, Persatuan Dunia Perlindungan Haiwan, Claire McMaster mengkritik perbuatan Mohammad dan memberi amaran bahawa singa yang 'ditawan' boleh membawa kecelakaan kepada orang di sekeliling.

"Haiwan ganas tidak boleh dipelihara seperti haiwan peliharaan kerana perkara itu sangat kejam dengan menjauhkan mereka daripada tabiat asal.

"Masalah lain yang mungkin terjadi ialah perubahan saiz dan tindak tanduk haiwan itu. Ia boleh mencederakan atau membunuh penjaganya," tambah Claire.

Zoo Kabul pernah mempunyai beberapa ekor singa yang didermakan oleh China. Salah satunya ialah singa buta sebelah mata yang menjadi simbol perjuangan Afghan selepas mengharungi pelbagai rintangan dan peperangan ketika era Taliban.

Dinamakan sebagai Marjan, singa yang lahir pada tahun 1976 itu menjadi buta akibat bom yang diletupkan ketika peperangan berlaku di negara tersebut.

"Saya berasa terkejut jika singa dipelihara sebagai haiwan peliharaan di Kabul," ujar pengarah Zoo Kabul, Aziz Gul Saqeb. Dia berkata, memelihara singa adalah sangat sukar memandangkan ia merupakan haiwan ganas.

Setakat ini, Mohammad berasa gembira dengan haiwan peliharaannya namun mengakui dia tidak mungkin dapat menyimpan singa itu dalam tempoh yang lama.

"Saya tidak tahu, mungkin saya akan memberikannya kepada Zoo Kabul suatu hari nanti," akhiri Mohammad. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pembayaran bil di hujung jari

Posted:

Pembayaran bil di hujung jari

Pembayaran bil di hujung jari

Oleh SUHANA VERU

SEBELUM ini, Farizan Mohd. Mydin, 34, terpaksa beratur panjang di pejabat pos semata-mata mahu membuat urusan pembayaran bil.

Malahan, ibu kepada tiga orang anak itu terpaksa menunggu berjam-jam di situ walaupun sibuk dengan tugas sehariannya sebagai guru.

Mahu atau tidak, itulah situasi yang terpaksa ditempuh sejak lapan tahun lalu, namun selepas berjinak-jinak menggunakan pembayaran secara dalam talian, kesemua urusan itu kini mudah dilakukan.

Terbaharu, Farizan menggunakan gajet Samsung Galaxy Note 1 untuk membuat pembayaran bil air, elektrik, Astro, tempahan tiket penerbangan, yuran persekolahan anak-anak dan banyak lagi.

"Pada mulanya, saya berasa ragu-ragu untuk membuat pembayaran bil melalui telefon bimbit kerana tidak mengetahui selok-belok pembayaran," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Selayang, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, dia bimbang jika wang di dalam bank dipotong tetapi pembayaran tidak berjaya dilakukan. Bagaimanapun, anak jati Pulau Pinang itu memberanikan diri untuk membuat pembayaran bil elektrik melalui gajet miliknya.

"Memandangkan jumlah bil tersebut tidak banyak jadi, saya cuba membuat pembayaran dengan mendaftar di laman web Maybank2u.com dan mengisi kesemua butiran diri termasuk jenis pembayaran yang mahu dilakukan.

"Alhamdulillah, tidak sampai dua minit pembayaran itu berjaya dibuat malah, terdapat nombor transaksi, masa dan nombor akaun yang tercatat pada resit yang boleh dijadikan rujukan," tuturnya.

Sejak itu, Farizan melakukan kesemua urusan pembayaran bil menerusi telefon pintarnya.


MOHD. SUKRI menunjukkan cara-cara membuat pembayaran melalui aplikasi iZakat.


"Ia bukan sahaja mudah dan paling penting menjimatkan masa kerana kita boleh membuat pembayaran pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Aspek keselamatan

Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM), kira-kira 300 juta transaksi kewangan dengan nilai hampir RM15 trilion dilakukan oleh rakyat Malaysia menerusi saluran elektronik pada tahun lalu.

Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, ia termasuklah pemindahan wang, pembayaran bil, pembelian barangan serta pembayaran pelaburan dalam pasaran kewangan dengan saluran paling popular ialah perbankan internet.

Sejak sedekad lalu, pembayaran elektronik telah meningkat secara purata sebanyak 23.4 peratus setahun.

Walaupun terdapat peningkatan pembayaran secara elektronik, namun masih ramai yang tidak menggunakan kemudahan berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Unit Pembangunan Web dan Multimedia Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Mohd. Sukri Md. Azhari berkata, orang ramai tidak perlu bimbang membuat pembayaran menerusi telefon bimbit.

Dari segi aspek keselamatan, tidak perlu bimbang kerana transaksi tersebut menggunakan pin keselamatan. Semua transaksi yang dibuat akan disalurkan terus ke dalam akaun bank tanpa melibatkan wang tunai.

"Setiap bank menyediakan sistem keselamatan yang tinggi lagipun, akaun seseorang tidak mudah digodam kerana terdapat kata laluan," katanya sambil memberitahu sistem berkenaan turut dikawal BNM.

Bayar zakat

Bertutur lanjut, pihaknya juga melancarkan iZakat yang memudahkan umat Islam di negara ini membuat pembayaran zakat pendapatan, emas, perniagaan, saham, wang simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengguna android dan iOS boleh memuat turun aplikasi tersebut untuk membuat kesemua urusan itu. Seseorang itu dikehendaki mengisi butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan akaun bank sahaja.

Kemudian, pengguna itu boleh membuat bayaran secara terus melalui telefon bimbit mereka.


ORANG ramai terpaksa menunggu dalam tempoh masa lama bagi membuat pembayaran bil di pejabat pos berbanding pembayaran secara dalam talian.


Pada kebiasaan, ujarnya, setelah pengguna membuat pembayaran sekali gus ia akan memasuki ke pelayan PPZ dengan memaklumkan individu berkenaan telah membuat pembayaran.

"Jadi, tiada sebarang masalah akan berlaku dari segi pembayaran," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya juga tidak terkecuali berhadapan dengan masalah termasuk menerima aduan daripada orang ramai.

"Kebanyakan masalah berlaku apabila wang pengguna telah dipotong tetapi resit tidak dikeluarkan. Dalam hal ini, kami akan memeriksa butiran pengguna itu dan akan memaklumkan kepada bank yang mempunyai pautan dalam urusan pembayaran berkenaan.

"Ia bukan masalah besar dan kami biasanya berjaya menyelesaikannya," jelasnya yang memberitahu belum pernah berlaku kes wang pengguna lesap.

Bagi melindungi data-data dalam aplikasi itu, beliau berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dua kali dalam setahun. Tindakan itu bagi memastikan butiran pengguna selamat.

"Kerja-kerja itu mengambil masa kira-kira empat jam dan ia dilakukan pada waktu malam kerana pada waktu itu tidak ramai yang membuat bayaran," ujarnya.

Setakat ini, kira-kira 5,700 pengguna telah menggunakan aplikasi berkenaan.

Selamatkan belut sebelum terlambat

Posted:

Selamatkan belut sebelum terlambat

Selamatkan belut sebelum terlambat


BELUT turut menjadi hidangan kegemaran sesetengah orang.


DI telapak tangan penyelidik alam sekitar New York, Chris Bowser terdapat seekor belut lut sinar yang kecil. Beliau terpesona melihat keunikan belut itu sambil menganggukkan kepala.

"Ini bernilai AS$1 (RM3.09)," katanya ketika ditemui di Newburgh, Amerika Syarikat (AS). Ia dikenali sebagai glass eel.

Setiap musim bunga, anak-anak belut dari arah Lautan Atlantik bergerak geliang-geliut mencari arah ke sungai-sungai di sepanjang pesisiran Amerika Utara.

Ikan itu mempunyai mata berwarna hitam bersaiz besar pada hujung badan yang berukuran sama dengan cacing tanah.

Bowser yang bekerja dengan Jabatan Konservasi Alam Sekitar Negeri New York (NYSDEC) menggelarkan fenomena itu sebagai satu daripada migrasi paling misteri dan terhebat di planet ini.

Bagaimanapun, jumlah belut yang melakukan perjalanan itu semakin lama semakin berkurangan.

Ketidakseimbangan antara stok belut di seluruh dunia dan permintaan di Asia telah meningkatkan harganya iaitu menyamai kaviar.

Belut air tawar dikenali sebagai unagi di Jepun dan mempunyai kedudukan terbaik dalam senarai menu sushi pilihan.

Harganya pernah mencapai rekod sebanyak RM17,667 untuk setiap kilogram kg) pada musim 2012, ujar Pihak Berkuasa Perikanan Maine. Sekadar perbandingan, udang kara yang terkenal dari New England hanya berharga RM8.32 bagi setiap 0.45kg.

Peningkatan harga yang menggila barangkali menjadi khabar gembira kepada sesetengah pihak terutamanya pemburu. Namun, kerubut belut itu menggambarkan kumpulan orang ramai melakukan kemusnahan.

Penyelidikan yang diberi dana oleh Kesatuan Eropah (EU) mendapati ketika ini bilangan anak-anak belut di timur Atlantik menurun lebih kurang 95 peratus.

Penurunan mengejut

Benua Asia juga berdepan krisis yang sama, Jepun telah meletakkan belut dalam senarai merah spesies terancam pada bulan Februari lalu.

Di Amerika Utara pula, Kanada menunjukkan penurunan mengejut dan telah memperkenalkan larangan memancing yang teruk, manakala pihak berkuasa AS memberi klasifikasi ikan itu sebagai 'susut'.

Di AS, Maine dan beberapa negeri di Carolina Selatan yang diberikan kuasa mengeluarkan lesen komersial untuk menuai anak belut.

BOWSER mengakui permintaan terhadap belut semakin meningkat di seluruh dunia sekali gus menyebabkan harganya semakin mahal.


Pada 21 Mei lalu, mesyuarat Suruhanjaya Perikanan Marin Negeri-Negeri Atlantik akan mengenakan sekatan baharu.

Namun, Kate Taylor daripada Suruhanjaya Perikanan berkata, terlalu sedikit yang diketahui mengenai belut misteri itu sehingga pihak berkuasa AS menghadapi waktu yang sukar untuk menentukan perkara yang perlu dibuat.

"Terdapat banyak ketidakpastian," katanya melalui telefon.

Berdiri pada paras lutut di Quassaick Creek, Newburgh, Bowser meneliti pompang iaitu jaring menangkap ikan yang berbentuk corong bagi menangkap anak-anak belut yang datang dari laut.

Jaring itu merupakan salah satu bahagian penyelidikan yang dijalankan oleh Bowser, dibantu oleh para pelajar kolej berdekatan, Kolej Mount Saint Mary.

Kajian dijalankan dengan menentukan bilangan dan tabiat anak-anak belut.

Anak-anak belut itu dari Lautan Atlantik, kemudian ke Sungai Hudson melalui terminal minyak, Quassaick dengan berenang di bawah jambatan dan rel sebelum muncul di kawasan berbukit.

Para pelajar berhati-hati mengaut hidupan menggeliang-geliut itu ke dalam baldi. Kemudian, belut-belut itu akan dilepaskan semula selepas data diambil.

"Belut ini umpama spageti yang diletak atas tangan kecuali ia bergerak," ujar salah seorang sukarelawan.

Mereka menemui 240 spesimen, menurun berbanding kiraan pada minggu lalu, Bowser berkata, ia mungkin refleks kitaran pasang surut lunar yang sekarang sedang menjauhi bulan penuh.

Misteri belut

Paling mencabar adalah dalam memahami bilangan belut pada skala yang lebih global.

Tiada siapa yang mengetahui tempat kelahiran belut-belut Atlantik walaupun terdapat sebahagian bukti menunjukkan sebuah kawasan di laut dikenali sebagai Laut Sargasso.

Dari situ, berjuta-juta anak belut membawa diri dari Lautan Atlantik ke Amerika Utara atau Eropah. Tiada sesiapapun yang mengetahui laluan atau bagaimana belut-belut itu mampu selamat sepanjang perjalanan tersebut.

Kedatangan ikan itu pada musim bunga, memudiki sungai dengan semangat jitu, malah merangkak pada permukaan apabila berdepan halangan.


BELUT kini merupakan spesies terancam termasuk di Jepun.


Ia semata-mata mahu menjadikan kawasan berlumpur di banyak kawasan pedalaman tanah besar sebagai tempat tinggal.

Anak-anak belut berubah menjadi ikan air tawar dan menjadi bentuk serpentin biasa yang berukuran sehingga 1.5 meter panjang dengan warna kulit bertukar kepada kekuningan.

Kemudian, antara 10 hingga 20 tahun atau lebih, epik pengembaraan tersebut berlaku lagi, cuma terbalik.

Secara tiba-tiba, belut dewasa meninggalkan sungai dan mengubah diri menjadi hidupan laut sekali gus mengesan semua perjalanan anaknya ke laut.

Pada peringkat akhir ini, belut kekuningan menjadi warna perak, mata menjadi besar untuk penglihatan dalam air, manakala sistem penghadaman terhenti. Ia hidup dengan simpanan lemak.

Tanpa diketahui sebabnya, ia kini berenang beratus-ratus, malah berjuta-juta batu semula ke Sargasso.

Di situ, buat kali pertama dan terakhir dalam kehidupan, belut yang kelaparan itu mengawan dan mati.

"Ia tidak masuk akal," luah Bowser.

Bowser yang juga pendidik orang awam untuk NYSDEC dan Institut Sumber Air Cornell mengarahkan kumpulan pelajar terbabit memeriksa bekas kaca mengandungi belut kuning berukuran kira-kira 0.3 meter panjang.

Jika belut sukar digenggam, kehidupan dalamannya lebih misteri dan membingungkan. - AFP

Gajah Sudan Selatan pakai kolar satelit

Posted:

Gajah Sudan Selatan pakai kolar satelit

Gajah Sudan Selatan pakai kolar satelit


SEORANG lelaki memasang kolar satelit pada seekor gajah liar di Sudan Selatan.


PERSATUAN Konservasi Hidupan Liar (WCS) Sudan mengambil langkah drastik dengan memasang kolar satelit yang menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada gajah-gajah liar negara tersebut.

Tindakan tersebut dibuat selepas pemburuan haiwan tersebut secara haram meningkat dengan mendadak.

Projek itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Konservasi Hidupan Liar dan Pelancongan Sudan Selatan termasuk pembiayaan dan pemantauan.

Pemasangan kolar terbabit di seluruh Sudan Selatan dapat membantu pihaknya memerhati dan memahami paten pergerakan gajah.

Populasi gajah di Sudan Selatan menurun iaitu kurang 5,000 ekor ketika ini berbanding kira-kira 80,000 ekor sekitar tahun 1950-an.

Bagaimanapun, atas faktor keselamatan daripada pemburu-pemburu haram, lokasi pemasangan kolar satelit pada gajah itu dirahsiakan. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Golf MARPA 2013 jadi pengikat silaturahim

Posted:

Golf MARPA 2013 jadi pengikat silaturahim

Golf MARPA 2013 jadi pengikat silaturahim

MAXIMUS (barisan depan, enam dari kiri) bersama barisan peserta Perlawanan Golf MARPA 2013 di Kajang, Selangor baru-baru ini.


ERAT. Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia (MARPA) telah menganjurkan Perlawanan Golf Persahabatan MARPA 2013 bagi mengeratkan hubungan antara pengamal teknologi sinaran di negara ini di Impian Golf & Country Club, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia merangkap Presiden MARPA, Datuk Dr. Muhammad Lebai Juri berkata, hubungan baik itu diharap dapat meningkatkan usaha memberikan kesedaran dan memupuk budaya mengutamakan keselamatan dalam kalangan pengamal teknologi sinaran dan orang awam.

"Perlawanan tersebut diadakan buat julung-julung kali dengan menarik penyertaan kira-kira 80 orang terdiri daripada ahli-ahli MARPA dan orang awam," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili.

Program sukarelawan pupuk minat pelajar terhadap budaya

Posted:

Program sukarelawan pupuk minat pelajar terhadap budaya

Program sukarelawan pupuk minat pelajar terhadap budaya


SEBAHAGIAN pelajar UiTM Pulau Pinang yang menyertai program sukarelawan di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.


KHIDMAT. Sebanyak 30 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang telah menyertai program sukarelawan Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Patih di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh Skuad Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM yang bertujuan mendekatkan pelajar institusi pengajian tinggi dengan masyarakat.

Pengarah program, Nadiah Mohamad berkata, program sukarelawan seperti itu juga bermatlamat memupuk minat pelajar untuk mendalami budaya dan Adat Perpatih yang masih diamalkan di Negeri Sembilan.

"Sepanjang tiga hari berada di Negeri Sembilan, pelbagai aktiviti dijalankan seperti gotong-royong atau rewang bersama penduduk kampung untuk majlis kenduri kahwin.

"Selain itu, pelajar juga sempat mempelajari cara bermain alatan muzik tradisional Cak Lempong dan belajar loghat Negeri Sembilan," katanya.

IDR anjur majlis ramah mesra bersama pengamal media

Posted:

IDR anjur majlis ramah mesra bersama pengamal media

IDR anjur majlis ramah mesra bersama pengamal media


ABDUL RAHMAN (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian daripada pengamal media Perak pada Program Ramah Mesra IDR di Ipoh, Perak baru-baru ini.


MESRA. Institut Darul Ridzuan (IDR) telah mengadakan majlis ramah mesra dengan pengamal media negeri Perak bertempat di Restoran Simpang Tiga, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim berkata, majlis tersebut bertujuan merapatkan hubungan agensi kerajaan negeri Perak itu dengan wakil media tempatan.

Beliau berkata, IDR sebagai badan pemikir menjalankan peranan di belakang tabir bagi merangka strategi dan pelan tindakan sosioekonomi untuk kerajaan negeri.

"Namun mulai tahun 2013, kami telah merangka beberapa program melibatkan penyertaan rakyat Perak yang turut memerlukan sokongan pengamal media tempatan bagi menjayakannya," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Maut angkara bom ikan

Posted:

Maut angkara bom ikan

Maut angkara bom ikan

Oleh NUR AISHAH AMIN, ALFEY CHESTER dan ROSMAWATI SALIHIN
berita@kosmo.com.my

KEADAAN rumah kayu disewa Attaulah di Kampung Air, Semporna yang dibom semalam.


SEMPORNA - Seorang lelaki warga Pakistan maut manakala empat rakan senegaranya terselamat selepas sebutir bom dipercayai bom ikan meletup di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Air di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.20 pagi itu, peniaga kain, Attaulah Hukmat Khan, 35, yang sedang tidur di ruang tamu rumah kayu itu ditemui mati di dalam laut. Rakan-rakannya pula tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah berkata, semasa kejadian Attaulah tidur di ruang tamu manakala empat rakannya yang berumur 22 dan 50 tahun tidur di dalam bilik.

"Pemeriksaan awal mendapati hanya terdapat kesan goresan di perut dan dada mangsa, namun polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut Mohd. Firdaus, kesan letupan itu dapat dilihat pada dinding, ruang tamu dan tingkap kaca yang pecah. Lantai yang pecah itu dipercayai menjadi penyebab mangsa tercampak masuk ke dalam laut sebelum mayatnya ditemui.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Maut dirempuh motosikal remaja

Posted:

Maut dirempuh motosikal remaja

Maut dirempuh motosikal remaja

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
berita@kosmo.com.my


JENAZAH Nor Asmah dituntut oleh ahli keluarga di rumah mayat HTAR semalam.


KUALA LANGAT – Hasrat Ketua Wanita UMNO cawangan Jenjarom untuk membuat pemeriksaan darah di Klinik Kesihatan Jenjarom di sini tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah motosikal lain kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi di hadapan Klinik Kesihatan Jenjarom itu, Nor Asmah Paniti, 52, yang menunggang motosikal Modenas seorang diri dilanggar dari belakang oleh motosikal jenis EX5.

Penunggang motosikal EX5 ialah seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika Nor Asmah mahu membelok ke kanan untuk masuk ke kawasan klinik kesihatan.

Akibat rempuhan kuat, Nor Asmah terjatuh daripada motosikal menyebabkan kepalanya cedera parah manakala kaki dan tangan kanannya patah menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) selepas 14 jam menerima rawatan.

Remaja terbabit pula patah tangan kiri selain mengalami luka-luka di badan dan dirawat di Hospital Banting.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

BN fail 21 petisyen PRU-13

Posted:

BN fail 21 petisyen PRU-13

BN fail 21 petisyen PRU-13

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk memfailkan 21 petisyen bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira pelbagai faktor seperti menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan perbelanjaan tidak munasabah.

Menurutnya, BN pada mulanya merancang untuk memfailkan 50 petisyen namun dikurangkan kepada 21 selepas mempertimbangkan nasihat pasukan petugas undang-undang parti.

"Semua petisyen ini mempunyai asas yang kukuh dan mempunyai merit yang wajar dipertimbangkan mahkamah kelak," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Busana Muslimah inspirasi Prof. Muhaya

Posted:

Busana Muslimah inspirasi Prof. Muhaya

Busana Muslimah inspirasi Prof. Muhaya

Oleh ALIF ABU BAKAR

TREND sering dijadikan ukuran bagi penghasilan sesuatu gaya. Sama ada di luar atau di dalam negara, majoriti pengusaha butik atau pereka fesyen lazimnya merujuk kepada perkembangan trend semasa dan gaya hangat yang menjadi ikutan masyarakat dunia.

Begitu juga dalam konteks fesyen Muslimah. Ketika ini, gaya-gaya turban dan selendang dengan inspirasi puak atau geometri dirasakan wajib dimiliki setiap wanita. Begitu juga dengan baju kurung dan jubah dengan potongan moden yang menjadi pilihan rata-rata golongan Hawa.

Rantaian fesyen sebegitu tidak membelenggu butik Modest Culture. Malah jenama yang ditubuhkan sejak bulan November tahun lalu itu dengan beraninya mencipta trend Muslimah tersendiri tanpa perlu runsing terhadap saingan industri fesyen Muslimah yang lain.

"Alhamdulillah, kami berjaya membentuk kelompok pengikut tersendiri dan penerimaan masyarakat terhadap jenama ini semakin berkembang," ujar Pengarah Urusan Modest Culture, Noor Atiyah Azmi, 28, ketika ditemui Stailo.

Modest Culture diwujudkan atas inspirasi pakar motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan Noor Atiyah yang merupakan salah seorang anak Muhaya.

Benih idea kelahiran Modest Culture bermula pada penghujung tahun lalu. Ia sememangnya menjadi impian Muhaya mahu mewujudkan jenama fesyen peribadi untuk wanita Muslimah.


JENAMA ini mula mendapat perhatian masyarakat melalui sentuhan Islamik.


Bermula dengan jualan tudung, Modest Culture beroperasi secara talian pada peringkat pengenalan. Jubah menjadi item kedua di bawah jenama itu. Akhirnya mereka sepakat membuka butik khusus bagi menempatkan item-item Modest Culture.

"Butik ini dilancarkan pada bulan lalu. Sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu apabila ibu sendiri turun ke butik," tambah Noor Atiyah.

Rekaan-rekaan Modest Culture merupakan hasil usaha Muhaya bersama pereka butik yang dilantiknya. Paling penting, bagi memastikan setiap helaian item jualannya menepati garis panduan aurat wanita, Modest Culture turut merujuk kepada seorang ustaz bagi menutup keraguan pelanggan.

Penggunaan fabrik utama seperti likra dan kapas likra juga membuatkan jubah-jubah di Modest Culture praktikal. Hanya tinggal disarungkan tanpa perlu bersusah payah menggosoknya.

Menurut Noor Atiyah, likra menjadi pilihan Modest Culture atas sebab keselesaan. Penggunaan warna-warna gelap pada busana mereka berjaya menyembunyikan bentuk tubuh secara ketara.

Begitu juga dengan tudung-tudung di butik itu. Semuanya labuh menutup dada. Noor Atiyah berkata: "Hanya bahagian tepi tudung tidak menutupi penuh bahu. Berdasarkan konsultasi daripada ustaz, ia tidak mengapa dan masih menepati syariat Islam.

"Bahagian depan tudung pula kami terapkan teknik twist bagi memberi efek berombak agar gaya tidak tampak terlalu mendatar."


NOOR ATIYAH (kiri) mengusahakan butik Modest Culture bersama ibu, Prof. Muhaya (kanan) yang banyak memberi panduan dan nasihat.


Signatur Muhaya

Menyelak sehelai demi sehelai jubah di Modest Culture, langkah pasti terhenti di rak Prof. Muhaya Signature. Set jubah lengkap dengan tudung yang sering menjadi gaya rasmi Muhaya dipamerkan di rak tersebut.

Menggunakan nama Get It Right The First Time, koleksi itu menawarkan baju dan kain berasingan dengan corak pada kain dan tudung direka senada. Baju pula dibiar kosong tanpa sebarang motif agar penampilan tidak sarat.

Mereka yang bercadang ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan umrah atau haji digalakkan memiliki sehelai bolero daripada Modest Culture. Jubah berkonsep tanpa lengan itu didatangkan dalam dua warna gelap dan bebas tanpa sebarang corak.

Untuk kemudahan pakaian di rumah pula, kardigan panjang mungkin idea yang baik. Ia sangat praktikal saat menerima kunjungan tetamu di luar jangkaan. Kesuntukan masa untuk bersiap menjadikan item ini pilihan terbaik bagi menutup aurat dengan sempurna.

Jubah Elegance potongan A di bawah koleksi Modest pula menepati cita rasa wanita muda. Motif ceria yang tidak terlalu menyerlah membuatkan si pemakai kelihatan sederhana namun masih menarik.

Khusus bagi golongan ibu yang hamil atau dalam tempoh menyusukan anak, jubah Nursing Mum dengan nama Smart Mum pasti memberi keselesaan yang memuaskan hati.

Mengambil rekaan serupa daripada koleksi Modest, perbezaan jubah Smart Mum terletak pada bahagian dada yang mempunyai bukaan bagi tujuan penyusuan.

"Kesemua pakaian di Modest Culture dijual dalam jumlah terhad. Sehubungan itu nilai eksklusif bagi sehelai pakaian di sini amat tinggi," jelas Noor Atiyah yang turut menambah bahawa saiz jubah di butik itu terdiri daripada S, M, L dan XL.


BOLERO tanpa lengan sesuai dipakai ketika mengerjakan umrah atau haji di tanah suci.


Solat Ready

Himpunan tudung Modest Culture pula menyaksikan koleksi Solat Ready sebagai item paling hangat dalam kalangan pelanggan. Setiap tudung direka dengan labuh yang sama pada bahagian depan dan belakang.

"Tudung disediakan dalam saiz S dan M sahaja buat masa ini. Apa yang membezakan setiap tudung ini adalah saiz lilitan muka.

"Pelanggan juga boleh memilih sama ada mahukan tudung pelapik keras dengan motif-motif yang pelbagai atau tudung pelapik lembut yang direka polos. Tidak lama lagi kami akan keluarkan tudung dengan cetakan paisley," ungkap Noor Atiyah.

Mereka yang membelanjakan RM200 ke atas secara automatik layak untuk menjadi ahli MC Friends Club. Ia memberikan kelebihan kepada ahli menikmati potongan item-item terpilih dan tawaran semasa.

Seri perincian daisi

Posted:

Seri perincian daisi

Seri perincian daisi

RENDA bunga daisi di pergelangan baju menyerlahkan penampilan.


PERCIKAN rona-rona terang seperti kuning, merah, merah jambu dan hijau tiffany pada dres Quratul Daisy itu seolah-olah menghidupkan aura kewanitaan penuh elegan.

Ditambah pula dengan perincian ringkas bunga daisi pada kedua-dua pergelangan tangan dres tersebut, nilai eksklusif busana Muslimah itu kian terpapar.

Apa yang menarik pada dres keluaran butik KZ Nabihah itu ialah materialnya yang ringkas dan keselesaan pengguna. Likra khas yang diimport dari Korea menjadikan Quratul Daisy tidak panas dipakai malah sesuai digayakan pada majlis-majlis formal.

"Fabrik likra yang kami gunakan tidak melekap pada badan seperti kebanyakan likra. Sehubungan itu, kesopanan seseorang wanita masih terjaga tambahan pula potongan setiap pakaian kami memang sengaja dibuat longgar bagi menutup pinggang.

"Pelanggan kami masih boleh berfesyen dan pada masa yang sama, menutup aurat mengikut syariat yang ditetapkan Islam. Memang pakaian kami tiada yang direka pendek," jelas pengasas KZ Nabihah, Nabihah Ab. Rahman, 24, ketika ditemui Kosmo!.

Selain warna-warna terang, Quratul Daisy juga didatangkan dalam rona gelap seperti coklat, biru gelap dan hitam. Perincian renda bunga daisi yang melingkari kawasan pergelangan baju pula disesuaikan mengikut warna utama dres.

"Bahagian lain pada dres ini tidak diberi sebarang perincian agar ia tidak terlalu sarat dan praktikal dipakai secara harian," tambah Nabihah yang memiliki Diploma Pertanian daripada Kolej Risda Melaka.

Dres yang disediakan dua helai itu juga menekankan penggunaan kain polos senada dengan baju. Memandangkan trend peplum kembali diminati golongan wanita pada masa kini, Quratul Daisy juga menggunakan jenis potongan tersebut cuma ia disuntik elemen sopan.

Saiz bagi Quratul Daisy bermula daripada XS sehingga 6XL. Ia dijual pada harga RM175 sepasang. Kata Nabihah: "Kami turut menjual tudung dan selendang moden pada harga serendah RM9." - ALIF ABU BAKAR

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tiada alasan gagal pamer belang

Posted:

Tiada alasan gagal pamer belang

Tiada alasan gagal pamer belang

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SKUAD Harimau Malaya harus mengelak daripada menerima kekalahan ketika menentang Sydney Olympic FC hari ini jika tidak mahu terus dikritik peminat bola sepak tanah air.


JIKA pasukan berstatus kelab sukar untuk ditewaskan, lupakan sahaja hasrat menyambar tiket pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Itu reaksi seorang legenda bola sepak kebangsaan terhadap skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan kedua berdepan Sydney Olympic FC di Padang Sukan Belmore, Sydney hari ini (5 petang waktu Malaysia).

Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, sebarang keputusan dalam aksi tersebut tidak memberikan apa-apamakna buat skuad Harimau Malaya.

Sebaliknya, ia hanya mengundang kecaman banyak pihak, terutamanya apabila Harimau Malaya dimalukan Canberra FC dengan kekalahan 2-3 minggu lalu.

"Kita pasukan kebangsaan, mengapa perlu berdepan pasukan berstatus kelab.

"Jika tewas, bukankah kita juga yang malu besar? Jadi, tiada lagi alasan untuk kita tewas (berdepan Sydney Olympic hari ini) selepas tumpas kepada Canberra tempoh hari.

"Sekiranya pasukan berstatus kelab pun sukar untuk kita tewaskan, saya tidak nampak sebarang kemungkinan kita mampu mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015," katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merahsiakan pertukaran pasukan yang akan ditentang Harimau Malaya dalam baki dua lagi aksi di Australia.

Mengikut jadual asal, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal sepatutnya berdepan Marconi Stallions hari ini.

Namun, ia dipinda Khamis depan manakala aksi berdepan satu lagi pasukan iaitu Sydney United yang sepatutnya berlangsung pada hari yang sama pula dibatalkan.

Pada 3 Jun lalu, laman Twitter rasmi Sydney Olympic juga mengesahkan bakal berdepan Harimau Malaya hari ini.

Sehingga semalam, masih tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan FAM berhubung perkara itu.

"Saya hairan dengan situasi ini, mengapa ia perlu dirahsiakan?

"Saya akui, atas kertas reputasi Sydney Olympic juga bukan calang-calang kerana muncul naib juara Liga South Wales musim lalu.

"Bagaimanapun, ada baiknya ia dimaklumkan kepada umum bagi mengelak sebarang spekulasi," jelasnya.

Untuk rekod, siri jelajah Australia itu merupakan persiapan Rajagobal membentuk barisan terbaik sebelum berdepan Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam aksi peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober depan.

Ketika ini, skuad negara menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan tiga mata selepas dikecewakan Qatar 0-2 sebelum kembali bangkit mengecewakan Yemen 2-1 di Stadium Shah Alam, 22 Mac lalu.

Harimau Malaya juga bakal berdepan Chelsea pada 21 Julai dan Barcelona (10 Ogos) dalam dua lagi aksi persahabatan sebelum menyambung misi dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Henjutan Fatehah

Posted:

Henjutan Fatehah

Henjutan Fatehah

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


FATEHAH (tengah) diapit Mc Culloch (kiri) dan Ummi Hamimah pada majlis penyampaian pingat GP Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.


RATU trek negara, Fatehah Mustapa berjaya dalam misinya memenangi pingat emas acara keirin wanita pada pusingan kedua Kejohanan Trek Berbasikal Grand Prix (GP) Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Lebih manis, kejayaan pelumba Sime Derby Foundation (SDF) itu juga dicipta dengan menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Kaarle Mc Culloch yang mewakili Jayco Australia.

Fatehah, 24, melakukan pecutan bertenaga untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa 12.586 saat bagi menewaskan Mc Culloch yang merekodkan 12.682s.

Seorang lagi pelumba negara, Ummi Hamimah Mohamad daripada SDF juga tidak pulang tangan kosong apabila menduduki tempat ketiga dengan rakaman masa 13.006s.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu mempertahankan tiga pingat emas yang dimenanginya pada pusingan pertama GP Asia Tenggara juga di Cheras minggu lalu.

Selain menjuarai acara keirin, Fatehah turut memenangi acara pecut berpasukan bergandingan dengan Ummi Hamimah dan 500 meter ujian masa individu.

"Gembira sekali kerana dapat mengekalkan tiga pingat emas, terutamanya emas hari ini (semalam) selepas menewaskan Mc Culloch.

"Bukan senang nak mengalahkannya. Sebelum ini saya dua kali tewas kepadanya, jadi kali ini memang saya puas hati.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi kepadanya, mungkin dia keletihan selepas pulang daripada latihan di Jepun dan saya sudah beberapa bulan menjalani latihan. Mungkin nasib saya baik hari ini," jelas Fatehah semalam.

Kejayaan itu juga mungkin menjadi penyuntik semangat yang amat dinantikan Fatehah menjelang GP Jerman di Cottbus hujung bulan depan.

Fatehah akan turun dalam dua acara di bumi Jerman nanti dengan misi menambah mata kelayakan ke Kejohanan Dunia dalam acara keirin dan pecut.

"Saya akan menyertai GP Kebangsaan selepas ini dan kemudian akan terbang ke Jerman. Kejayaan menewaskan Mc Culloch kali ini akan menjadi penyuntik semangat kepada saya untuk mengumpul mata acara keirin dan pecut nanti.

"Misi saya di Jerman nanti sekurang-kurangnya layak ke final acara keirin dan suku akhir acara pecut.

"Saingan di sana nanti amat sengit kerana saya akan bersaing dengan semua pelumba hebat Eropah nanti.

"Apa pun saya akan cuba melakukan yang terbaik," tambah Fatehah.

KBS, DBKL capai kata sepakat

Posted:

KBS, DBKL capai kata sepakat

KBS, DBKL capai kata sepakat

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


MALAYSIA memiliki dua velodrom terbuka ketika ini iaitu Velodrom Kuala Lumpur (gambar) di Cheras.


PEMBINAAN velodrom bertaraf antarabangsa yang sebelum ini dirancang dibina di Nilai, Negeri Sembilan dikhabarkan bakal ditukar ke pusat bandar raya atas faktor lokasi yang lebih strategik.

Pada Bajet 2013, September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan velodrom kelas satu itu dibina di Nilai.

Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjual hartanah milik mereka iaitu di Velodrom Kuala Lumpur (VKL), Cheras turut bercadang membina velodrom kelas satu berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur bagi menggantikan VKL yang bakal dirobohkan.

Situasi itu bakal menyaksikan dua velodrom bertaraf dunia akan dibina di negara ini.

Justeru, dalam satu pertemuan yang diadakan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta DBKL semalam bagi membincangkan pembinaan velodrom tertutup itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad memberitahu, cadangan membina satu velodrom kelas satu telah mendapat persetujuan positif kedua-dua pihak.

"Cadangan kami sebelum ini supaya hanya satu velodrom kelas satu dibina nampaknya mendapat perhatian memandangkan pembinaan dua velodrom kelas satu mungkin akan merugikan.

"Pertama sekali, kos penyelenggaraan bakal meningkat untuk sesebuah velodrom dan satu lagi kita mungkin tidak cukup kejohanan perlumbaan untuk dianjurkan," kata Naim.

Beliau turut berkata, cadangan asal PKBM sebelum ini supaya peruntukan pembinaan velodrom di Nilai digunakan bagi pembinaan lima velodrom terbuka yang boleh digunakan sebagai latihan kepada para pelumba tempatan.

"Kami berharap peruntukan yang ada digunakan bagi pembinaan lima velodrom dengan setiap satunya dibina di zon utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.

"Dengan itu, pembangunan di negeri-negeri lain turut dapat ditingkatkan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Romantika rasa di Romanza

Posted:

Romantika rasa di Romanza

Romantika rasa di Romanza

Oleh ALIF ABU BAKAR

DEKORASI dan pencahayaan minimum menghidupkan suasana romantik restoran ini.


MEMBELOK kenderaan ke simpang kanan Jalan Ampang dari arah pusat bandar raya Kuala Lumpur bakal menemukan anda dengan Lorong Nibong. Ada sesuatu yang menjentik keterujaan di sebalik kesepian Lorong Nibong itu.

Di kiri kanan lorong sempit itu berdirinya beberapa restoran eksklusif yang menjadi pilihan kebanyakan golongan ekspatriat. Cukup bertuah perniagaan restoran fine dining di situ. Mana tidaknya, hampir keseluruhan kawasan tersebut dipenuhi pejabat kedutaan pelbagai negara.

Barangkali masyarakat tempatan sedikit gentar untuk berkunjung ke barisan restoran di situ. Bimbang harganya tidak menepati isi poket yang dibawa. Namun persepsi itu ternyata tidak benar. Cuba anda melangkah ke dalam Romanza Le Restaurant yang telah beroperasi sejak setahun lalu.

Saat pintu restoran itu ditolak, pandangan pasti terpukau dengan dekorasi berkonsep klasik dari segenap sudut. Gambar-gambar legenda ternama dunia seperti Andrea Bocelli, Aishwarya Rai dan Charlie Chaplin menghiasi dinding restoran tersebut.

Inspirasi

"Saya perlu berterima kasih kepada penyanyi kegemaran saya, Andrea Bocelli yang banyak memberi inspirasi kepada hiasan dalaman Romanza. Muzik-muzik romantisnya juga mencetuskan idea saya menamakan restoran ini sebagai Romanza yang bermaksud romantik dalam bahasa Itali.

"Susun atur, pemilihan perabot sehinggalah kepada napkin dan hiasan dalaman restoran ini saya lakukan sendiri," jelas pemilik Romanza, Shena Mohamed, 33, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


DUCK confit merupakan antara hidangan utama di Romanza.


Sesudah melabuhkan punggung di atas kerusi empuk restoran itu, anda boleh terus menelaah menu yang diberikan pelayan. Untuk pembuka selera, anda disarankan memesan chicken caesar salad yang menjadi antara kegemaran pelanggan di Romanza.

Hirisan kepingan dada ayam bersama salad mentega rangup yang dihidangkan dengan aioli ikan bilis pasti memberikan keenakan berganda kepada tunas rasa.

Jika bosan dengan juadah ayam atau ikan, apa kata tukar kebiasaan itu kepada itik. Duck confit hidangan Romanza sangat enak apabila diadun bersama rempah dan sos buatan mereka sendiri.

Sempurnakan makan malam romantik anda bersama pencuci mulut istimewa seperti chocolate marquis atau raspberry sorbet. Manisan eksotik itu mampu meninggalkan momen indah anda di Romanza.

Setiap resipi di Romanza dipilih dan ditetapkan oleh Ketua Chef, Steven Kruger yang diterbangkan dari Afrika Selatan. Bagaimanapun, Shena masih terlibat secara langsung dalam penetapan menu yang ingin disajikan.

Anda juga jangan terkejut dengan harga berpatutan yang ditawarkan Romanza. Walaupun berstatus restoran fine dining, Romanza sebenarnya sangat bertimbang rasa dalam soal penetapan harga. Nyata perbandingan harga dengan servis, bahagian makanan dan suasana yang diterima menjadikan pelaburan di Romanza amat berbaloi.

Sebagai contoh menu chicken caesar salad dalam hidangan besar cuma berharga RM23.

Selain dibuka bagi pengunjung restoran pada waktu malam, Romanza turut menawarkan servis katering.

Gajet penjimat minyak terkini

Posted:

Gajet penjimat minyak terkini

Gajet penjimat minyak terkini

Oleh NASRI JAMALUDIN

PEMASANGAN MP-R HD cukup mudah iaitu hanya cucuk ke tempat soket pencucuh rokok.


"BIASANYA dengan isian petrol sebanyak RM50, saya boleh ulang-alik selama empat hari dari rumah di Selayang ke tempat kerja di Damansara Utama. Menggunakan alat ini, saya hanya mengisi semula pada hari keenam. Alhamdulillah, jimat dua hari perjalanan."

Itulah antara komen wanita dikenali sebagai Sarah yang dibuat dalam laman web www.mpr4u.my berhubung kepuasannya menggunakan gajet penjimat minyak MaxPower Revolution (MP-R) keluaran syarikat Bumiputera, Kilauan Impian Sdn. Bhd. (Kilauan Impian). Sarah menggunakan kereta Honda Jazz untuk ke tempat kerja setiap hari.

Syarikat berkenaan yang telah memasarkan produk tersebut sejak lebih empat tahun lalu kini mengorak langkah dengan memperkenalkan gajet terbaharu bagi kenderaan berat dikenali sebagai MP-R Heavy Duty (MP-R HD).

Penggunaan gajet itu membolehkan pemilik kenderaan berat menjimatkan penggunaan minyak sehingga 30 peratus.

"Sebelum ini, kami mencipta gajet penjimat minyak khusus untuk kereta tetapi atas permintaan pengusaha-pengusaha lori terhasillah MP-R HD.

"Selain menjimatkan penggunaan minyak, MP-R HD turut menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk menambah kuasa pecutan, memanjangkan jangka hayat alat ganti dan mengoptimumkan fungsi alat-alat elektronik kenderaan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaharizal Ariffin.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran gajet itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Kilauan Impian, Kapten (B) Shaharudin Ariffin.

Pada bulan pertama di pasaran sebanyak 2,000 unit MP-R HD telah dijual. Sehubungan itu, syarikat berkenaan menyasarkan jualan sebanyak 3,000 unit setiap bulan.


HAMZAH (tengah) melancarkan gajet penjimat minyak di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Gajet tersebut telah memasuki pasaran Indonesia dan Thailand selain bakal menembusi Filipina serta Vietnam dalam masa terdekat.

Pada majlis tersebut turut dilancarkan MPR versi baharu untuk kegunaan kereta.

Stabilkan arus elektrik

Kedua-dua gajet jimat minyak itu berfungsi dengan menstabilkan arus elektrik kenderaan sekali gus memantapkan pembakaran bahan api, melancarkan pemanduan, mengurangkan tekanan terhadap enjin dan menambah kuasa pecut kenderaan.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya menyambut baik inovasi anak tempatan sekali gus menyatakan kesudian untuk bekerjasama mengetengahkan produk-produk terbaik ke pasaran antarabangsa.

"Di sinilah peranan Kementerian Luar sebagai agen kepada masyarakat dalam negara yang mahu memasarkan produk di peringkat antarabangsa. Menariknya langkah itu juga membolehkan rakyat negara luar untuk turut sama menikmati teknologi terkini dari Malaysia," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan MP-R HD yang bersaiz kompak pada harga promosi iaitu RM299 manakala MPR pula berharga RM219 seunit.

Untuk maklumat lanjut berkaitan produk dan pengedar, layari laman web www.mpr4u.my dan www.fb.com.mpr4u atau hubungi talian 010-510 9300.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bekas ejen CIA dedah rahsia AS intip e-mel

Posted:

Bekas ejen CIA dedah rahsia AS intip e-mel

Bekas ejen CIA dedah rahsia AS intip e-mel

GAMBAR fail 29 Januari 2010 menunjukkan ibu pejabat Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat di Fort Meade, Maryland.- AFP


WASHINGTON - Seorang bekas petugas Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang bekerja sebagai kontraktor di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) mendedahkan dalam satu wawancara yang disiarkan kelmarin bahawa dia yang membocorkan rahsia satu program pemantauan sulit AS ekoran timbul kesedaran untuk melindungi kebebasan asas penduduk di seluruh dunia.

Berlindung di sebuah bilik hotel di Hong Kong, kontraktor tersebut, Edward Snowden memberitahu, dia berfikir panjang sebelum memutuskan untuk mendedahkan program sulit NSA tersebut yang diberi nama PRISM.

Namun, lelaki berusia 29 tahun itu berkata, dia terpaksa belot terhadap majikannya kerana berasa Amerika Syarikat (AS) telah membina program mesin pengintip yang boleh mengintip maklumat setiap warga AS.

"Saya tidak mahu tinggal dalam masyarakat yang melakukan perkara keji ini, saya tidak mahu tinggal dalam dunia yang mana perbuatan dan percakapan saya dirakamkan. Saya tidak boleh menyokong program seperti ini," katanya dalam wawancara bersama akhbar Guardian.

Temu bual itu diisiarkan di laman web akhbar berkenaan.

"NSA membina infrastruktur yang membolehkannya memintas hampir apa sahaja," jelas Snowden.

"Keupayaan itu membolehkan NSA mengintip apa sahaja komunikasi manusia. Jika saya mahu melihat kandungan e-mel anda atau mendengar panggilan telefon isteri anda, saya hanya perlu memintasnya dengan PRISM. Saya boleh mengintip e-mel, kata laluan, rekod panggilan telefon dan maklumat kad kredit anda," tambahnya.

Dalam temu bual tersebut, Snowden memberitahu, dia berpindah ke Hong Kong tiga minggu lalu sekali gus meninggalkan kehidupan selesa di Hawaii, gaji AS$200,000 (RM618,700), seorang teman wanita, kerjaya yang stabil dan keluarga yang menyayanginya.

"Saya rela berkorban semuanya kerana saya tidak boleh hidup tanpa rasa bersalah apabila mengetahui saya membenarkan kerajaan AS memusnahkan privasi, kebebasan internet dan kebebasan asas penduduk di seluruh dunia," kata Snowden.

Lelaki tersebut terlibat dalam kes pelanggaran keselamatan negara yang antara terbesar dalam sejarah AS. Dia setara dengan pembocor maklumat Pentagon, Daniel Ellsberg dan Bradley Manning yang mendedahkan kabel diplomatik AS kepada laman web WikiLeaks.

"Saya tidak berniat untuk bersembunyi kerana saya tahu saya tidak membuat salah," katanya.

"Saya juga tidak takut kerana ini merupakan pilihan saya sendiri," tambah Snowden.

Setakat ini, pihak berkuasa AS mengklasifikasikan pembocoran maklumat itu sebagai kes jenayah.

"Saya kini berada di jalan buntu," jelas bekas ejen CIA itu.

Menurutnya, dia mungkin akan diekstradisi ke AS atau disoal siasat pihak berkuasa China ataupun berdepan tindakan balas CIA.

"Ya, CIA mungkin menghantar ejen-ejennya untuk memburu saya. Mereka juga boleh menghantar anggota perisikan pihak ketiga. CIA bekerjasama rapat dengan sejumlah negara. Agensi itu juga boleh mengupah kongsi gelap bagi tujuan tersebut," ujarnya.

Hong Kong yang mempunyai kuasa pentadbiran sendiri menandatangani perjanjian ekstradisi dengan AS.

Snowden membesar di Bandar Elizabeth, Carolina Utara sebelum berpindah ke Maryland dekat ibu pejabat NSA di Fort Meade.

Dia belajar komputer di kolej komuniti Maryland tetapi gagal menamatkan pengajian untuk mendapatkan diploma.

Snowden mula menyertai NSA sebagai pengawal keselamatan di sebuah fasiliti rahsia di Universiti Maryland. - Reuters

Pemimpin Vietnam berdepan undi percaya

Posted:

Pemimpin Vietnam berdepan undi percaya

Pemimpin Vietnam berdepan undi percaya


FOTO yang dirakam pada 22 Oktober 2012 menunjukkan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung tersenyum ketika berjalan di belakang Setiausaha Agung parti komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong (kiri) dan Presiden parti, Truong Tan Sang. Mereka akan mengetahui keputusan undi percaya pada hari ini.- AFP


HANOI - Para pemimpin tertinggi Vietnam berdepan undi percaya buat pertama kalinya semalam dalam usaha mereka untuk mengurangkan kemarahan rakyat terhadap masalah ketelusan dan rasuah.

Undi yang akan diadakan pada setiap tahun itu diluluskan oleh pemerintah pada November lalu. Ia memerlukan semua pemimpin kanan termasuklah perdana menteri dan presiden mendapat sokongan daripada para menteri.

Proses itu adalah sebahagian daripada komitmen baharu pemerintah untuk lebih telus. Namun para pemerhati menyifatkan langkah tersebut tidak memberi kesan kepada hirarki pemerintahan komunis.

Menurut media tempatan, pegawai yang menerima sokongan kurang separuh daripada para menteri untuk dua tahun berturut-turut mungkin dipaksa meletak jawatan. Bagaimanapun, proses itu dilihat sebagai rumit, perlahan dan tidak bermakna.

"Semua orang akan mendapat undi," kata bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Budaya Vietnam, Nguyen Minh Thuyet.

Thuyet juga yakin para pemimpin akan menyokong antara satu sama lain tanpa mengambil kira prestasi mereka. Keputusan undian dijangka diumumkan pada hari ini.

Keputusan yang amat dinanti-nantikan adalah undi untuk Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung. Beliau diberi mandat untuk penggal kedua oleh parti walaupun tidak popular dalam kalangan rakyat. - AFP

Hotel runtuh beberapa saat

Posted:

Hotel runtuh beberapa saat

Hotel runtuh beberapa saat


SEBUAH hotel berusia 27 tahun diletupkan di bandar Qingdao, dalam wilayah Shandong di timur China semalam.- AFP


QINGDAO - Binaan tersebut berdiri teguh selama 27 tahun di sini, dalam wilayah Shandong di timur China. Namun, dua menara Hotel Haitian itu menjadi timbunan konkrit dalam masa hanya beberapa saat.

Hotel lima bintang itu yang merupakan antara yang tertua di wilayah berkenaan diruntuhkan pada pukul 5 pagi semalam sebelum orang ramai keluar ke pejabat.

Bangunan itu diletupkan bagi memberi laluan untuk membina sebuah hotel baharu.

Proses meletupkan bangunan tersebut dilakukan secara terkawal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Penduduk di bangunan itu dipisahkan dari lokasi letupan tersebut oleh sebuah zon penampang sejauh 200 meter sebagai langkah keselamatan.

Menurut media tempatan, hotel tersebut telah diubahsuai pada tahun 2003 dan mempunyai 600 bilik yang menghadap pemandangan laut sebelum ia diruntuhkan. Menara hotel itu mempunyai ketinggian 26 dan 14 tingkat setiap satu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved