Rabu, 29 Mei 2013

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Zoo dan kebun di FITC

Posted:

Zoo dan kebun di FITC

Zoo dan kebun di FITC

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

MELANGKAH masuk ke Farm In The City (FITC) di Seri Kembangan, Selangor pandangan pasti tertarik kepada seekor kuda di dalam kandang. Kejinakan kuda itu menarik perhatian pengunjung terutama kanak-kanak malah lensa kamera mereka turut merakam gambar kenangan.

Uniknya mengenai kuda yang berwarna coklat dan mempunyai tompokan putih itu merupakan spesies kuda terkecil di dunia. Ia dikenali sebagai spesies Falabella atau terkenal dengan nama Ferrari di dalam dunia haiwan.

Kuda Falabella merupakan antara salah satu tarikan kepada pengunjung di FITC.

Selain kuda Falabella, kelihatan juga kanak-kanak sedang menunggang kuda padi di kandang berhampiran.

"Saya amat teruja kerana berpeluang menaiki kuda padi di FITC. Walaupun hanya menunggang sebanyak satu pusingan, saya berasa amat gementar kerana risau akan terjatuh daripada kuda," ujar seorang pengunjung, Alicia Pek, 11.

Menurut Alicia, itu bukanlah kali pertama dia menunggang kuda tetapi menunggang kuda di FITC merupakan antara pengalaman yang menyeronokkan sewaktu beriadah bersama keluarga di situ.

Setiap satu pusingan kuda padi yang hanya boleh ditunggang oleh kanak-kanak itu dibantu oleh dua orang pengiring. Cajnya pula ialah sebanyak RM5 untuk satu pusingan.

Zoo dan kebun

Tidak sampai setahun dibuka, FITC merupakan antara destinasi pelancong mahupun warga kota beriadah terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Suasana dan dekorasi di taman itu membuatkan pengunjung terasa seperti di kampung walaupun pada hakikatnya berada di kota. Selain itu, ayam-ayam yang dilepaskan berkeliaran di sekitar taman menambahkan mood seperti di kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif FITC, Allan Phoon, 39, memberitahu, FITC merupakan sebuah taman yang menggabungkan konsep zoo, kebun sayur-sayuran dan buah-buahan.


KEBUN sayur dan buah-buahan membuatkan FITC berbeza dengan zoo lain.


"Pengunjung dapat merasai suasana dan persekitaran semula jadi seolah-olah berada di kampung. Selain itu, pihak kami juga memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan membelai setiap haiwan.

"Melalui cara ini, pihak kami berharap dapat mendidik generasi masa kini terutama kanak-kanak untuk mengetahui atau lebih peka mengenai haiwan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan," ujarnya.

Tambahnya, terdapat kira-kira 40 spesies buah tempatan dan tumbuhan seperti betik, mangga, sawi dan koko ditanam sekitar taman.

Menangkap ikan

Pengunjung dapat melihat kira-kira 100 spesies haiwan termasuk yang jarang ditemui di Malaysia. Antaranya, walabi iaitu spesies kanggaru terkecil di dunia, gagak albino, buaya terkecil di dunia dari lautan Amazon iaitu Dwaft Caiman dan skunk albino.

Di tengah-tengah taman itu, terdapat tasik buatan yang menempatkan ribuan ikan koi. Apabila loceng di tepi tasik itu dibunyikan, ikan-ikan itu pasti menghampiri jeti kecil untuk memakan makanan yang diberikan pengunjung.

Itik dan angsa juga merupakan antara penghias utama yang menceriakan tasik itu.

Di kawasan tanah seluas 2.8 hektar itu, FITC terbahagi

kepada 18 stesen dengan setiap satunya berbeza-beza. Antara stesen yang menjadi tumpuan terutama kepada kanak-kanak ialah Pet Village iaitu sebuah taman yang menempatkan arnab dan tikus belanda. Kanak-kanak berpeluang memberi makan sayur-sayuran kepada dua spesies haiwan itu.

Berdekatan dengan Pet Village, kelihatan kanak-kanak sedang asyik menangkap ikan dalam longkang buatan yang dinamakan sebagai Longkang Fishing.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran FITC, Rajagopal Yagambram, Longkang Fishing merupakan antara tempat untuk mengimbau kenangan ibu bapa yang membesar di kampung sewaktu kecil.

"Dahulu, kanak-kanak di kampung sering menangkap ikan di kawasan parit dan ia amat menyeronokkan. Jadi, kami bawakan situasi dan senario yang sama di sini. Kanak-kanak boleh menangkap ikan di longkang bersih dengan menggunakan penyauk jaring yang disediakan. Ikan-ikan yang ditangkap harus dilepaskan kembali dan tidak boleh dibawa pulang," ujarnya.

Menurut Rajagopal, setiap pengunjung boleh memegang dan membelai setiap haiwan yang tidak berbisa tetapi dengan syarat tidak mencederakannya.

"Makanan yang ingin diberikan kepada haiwan boleh didapati daripada penjaga di setiap stesen dan pengunjung dilarang memberi sembarangan makanan," katanya

KANAK-KANAK yang mengunjungi FITC akan diberi sijil kedatangan.


sambil memberi burung Turaco makan buah betik di taman Free-flight Bird Aviary.

Tidak hanya tertumpu kepada keseronokan semata-mata, FITC juga memberi pelbagai program pendidikan kepada pengunjung tanpa mengira umur iaitu mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan haiwan. Program tersebut memberi informasi mengenai habitat, kelakuan dan taburan geografi haiwan yang terdapat di seluruh dunia.

Tambah Rajagopal, ruangan dewan pameran FITC memberi informasi kepada pengunjung mengenai cara pembiakan kura-kura secara lebih dekat.

Kafe dan restoran yang menyediakan pelbagai minuman dan makanan juga disediakan untuk pengunjung beristirehat sebentar sebelum meneruskan eksplorasi di taman itu. Selain itu, pengunjung juga boleh berehat di sebuah rumah kampung yang mempunyai ciri tradisional di stesen Kampung Kiosk.

Seorang lagi pengunjung, Steven Kong, 38, memberitahu, dia berasa gembira kerana dapat beriadah bersama isteri dan tiga anaknya ketika berkunjung ke FITC pada cuti umum sempena Hari Buruh baru-baru ini.

"Ini kali pertama saya ke sini. FITC berbeza dengan zoo yang terdapat di tempat lain. Selain zoo yang menempatkan haiwan, kebun buah-buahan dan sayur-sayuran juga merupakan antara daya tarikan pelancongan di sini.

"Anak-anak saya juga berpeluang memberi makan kepada arnab, kambing dan lembu. Ini merupakan satu pendedahan baharu kepada mereka untuk lebih mengetahui kehidupan haiwan," ujarnya yang berasal dari Damansara, Selangor.

Berlibur gaya santai di Seoul

Posted:

Berlibur gaya santai di Seoul

Berlibur gaya santai di Seoul

SUNGAI yang terdapat di tengah-tengah laluan Cheong Gye Cheon merupakan penghubung antara Sungai Han dan Laut Kuning.


MEMANG tidak dinafikan panorama indah yang dipaparkan menerusi filem Korea telah membawa saya dan tiga rakan ke Seoul pada bulan Mac lalu.

Kami membuat perancangan selama setahun termasuk mengumpul dana untuk menampung perbelanjaan percutian kami selama seminggu di ibu negara Korea Selatan itu.

Bagi memudahkan percutian di Seoul, kami terlebih dulu menghubungi beberapa kenalan dari Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Suwon untuk bertindak sebagai pemandu pelancong sepanjang kami berada di sana.

Menjejakkan kaki di bumi Seoul, saya bagaikan terpukau dengan keadaan cuaca dan keindahan panorama alam di sekitar bandar itu. Ketika kunjungan kami, Seoul sedang dalam musim luruh dan kelihatan pokok-pokok tanpa daun menghiasi segenap bandar.

Memandangkan kami menggunakan pengangkutan awam sepanjang percutian, kad pascabayar merupakan antara komponen penting bagi kami. Sistem kad digunakan untuk menaiki bas, teksi dan kereta api di Korea Selatan,

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kami menaiki kereta api selama satu jam ke Changdeokgung untuk ke tempat penginapan di rumah tumpangan Beewon.

Rumah tumpangan empat tingkat itu terletak di tengah-tengah Changdeokgung dan mempunyai bilik luas yang menjamin keselesaan pelancong. Pihak rumah tumpangan hanya menyediakan tilam dan bantal untuk beristirehat di bilik yang turut dilengkapi dengan kelengkapan elektrik seperti televisyen dan peti ais.

Setiap malam, kami hanya tidur di atas lantai yang beralaskan tilam. Namun, bilik itu mempunyai sistem pemanas di bahagian lantai yang memberi keselesaan walaupun suhu ketika itu mencecah -2 darjah Celcius.

Masjid Iteawon

Pada hari pertama percutian di Seoul, kami ke Iteawon yang terletak bersempadan dengan bahagian utara Sungai Hangang. Kawasan itu dikenali sebagai Daerah Pelancongan untuk para pelancong melihat kepelbagaian budaya di Korea Selatan.

Kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan bukanlah berasal dari negara itu. Sebaliknya, dari negara luar seperti Arab Saudi, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia. Mereka turut membuka pelbagai perniagaan di sana. Kepelbagaian masyarakat yang tinggal di situ memudahkan kami untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dalam setiap urus niaga.

MASJID Itaewon merupakan antara tempat ibadah umat Islam terbesar di Seoul.


Kebanyakan kedai di situ menjual snek dan biskut yang halal sekali gus memudahkan kami untuk mencari stok makanan sepanjang percutian tersebut.

Pada pemerhatian saya, deretan kedai kopi yang sentiasa penuh dengan pelanggan mendominasi segenap bandar itu selain butik beli-belah. Pada telahan saya, cuaca sejuk membuatkan masyarakat di sana gemar meminum minuman panas terutamanya kopi.

Satu-satunya masjid di tengah kota iaitu Masjid Itaewon. Ia ternyata telah menarik pandangan saya. Ia merupakan satu panorama unik apabila terdapat sebuah masjid yang tersergam indah di tengah-tengah kesibukan kota itu.

Kafe kucing

Dalam perancangan percutian ke Korea Selatan sejak setahun lalu, tiga rakan saya ingin ke Myeongdong yang terkenal sebagai syurga beli-belah.

Setibanya saya di sana, ia saling tidak tumpah seperti suasana di Jalan Petaling, Kuala Lumpur. Di Myeongdong, butik-butik terkenal daripada jenama antarabangsa menghiasi segenap jalan. Kami menghabiskan masa selama satu jam untuk bersiar-siar sekitar bandar itu.

Selain itu, kios-kios yang menjual pelbagai barang kulit, kasut dan perhiasan juga menambahkan lagi kesibukan kawasan tersebut.

Disebabkan kurangnya sumber makanan halal di sana, kami hanya dapat menikmati hidangan makanan laut dan sajian nasi. Antara hidangan makan malam yang menjadi kegemaran ialah Rabokki iaitu sejenis makanan stimbot. Ia merupakan hidangan terkenal di seluruh Korea Selatan.

Kunjungan saya ke Myeongdong bukanlah untuk membeli-belah semata-mata, sebaliknya saya lebih tertumpu kepada sebuah kafe yang terkenal dengan nama Cat Cafe. Ia terletak berhampiran kawasan perumahan dan kedai-kedai.

Uniknya mengenai kafe itu adalah pengunjung dapat menikmati secawan kopi sambil melihat dan membelai kucing yang terdapat di situ. Telatah kucing-kucing pelbagai spesies itu ternyata membuatkan kami ketawa. Ada yang datang menghampiri kami dan ada juga memanjat setiap penjuru kafe.

Selain itu, pengunjung juga dapat memberi makanan yang dijual oleh pihak kafe kepada kucing-kucing. Maskot kucing di luar kafe juga merupakan salah satu tarikan kepada pengunjung untuk masuk ke situ.

PENULIS sempat bergambar kenangan di Dataran Gwanghwamun berlatarbelakangkan tugu Laksamana Yi Sun-Sin.


Dataran Bersejarah

Di Korea Selatan terutamanya Seoul, saya melihat budaya minum air suam menjadi satu tabiat bagi masyarakat di sana. Mesin air juga mudah didapati di segenap bandar. Kebanyakan restoran juga menyediakan air suam secara percuma kepada pelanggan.

Sekiranya anda berpeluang ke Seoul, Dataran Gwanghwamun yang terletak di Jongno-gu merupakan destinasi wajib untuk dikunjungi. Dataran itu merupakan sebuah tanah lapang yang menempatkan dua tugu bersejarah iaitu Laksamana Yi Sun-sin dan Maharaja Sejong yang merupakan antara individu penting dalam menentang pencerobohan Jepun di Korea pada tahun 1592 hingga 1598.

Dataran itu merupakan tempat pelancong untuk mendapat informasi lengkap mengenai sejarah Korea Selatan.

Kami juga berpeluang melihat Istana Gyeongbokgung yang merupakan singgahsana maharaja ketika era Dinasti Joseon. Ketika kunjungan ke pekarangan istana itu, kami berpeluang melihat pengawal-pengawal istana berlakon melakukan istiadat pertukaran waktu pekerjaan ketika era berkenaan.

Selain daripada pergerakan formasi barisan pelakon, pakaian pengawal berwarna-warni yang dipakai sepanjang lakonan itu ternyata menarik perhatian sesiapa sahaja yang menonton.

Sepanjang seminggu di Seoul, kami juga berkesempatan ke Universiti Wanita Ewha untuk melihat aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pelajar-pelajar di sana.

Kunjungan ke Pulau Namiseom di Chuncheon mengingatkan saya kepada panorama di dalam sebuah drama Korea yang terkenal iaitu Winter Sonata dan Autumn In My Heart. Pulau yang mempunyai pemandangan dan tumbuh-tumbuhan yang unik itu merupakan lokasi penggambaran dua drama berkenaan.

Apa yang saya dapat simpulkan mengenai percutian di Seoul adalah pujian yang menggunung terhadap sistem pengangkutan awam di Korea Selatan terutamanya kereta api. Sistem yang dikendalikan amat efisien dan ia memudahkan kami untuk bergerak ke setiap destinasi pelancongan.

Penginapan ala kolonial British

Posted:

Penginapan ala kolonial British

Penginapan ala kolonial British

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


KEDIAMAN Undang Rembau Ke-19 ini masih utuh walaupun sudah berusia lebih 50 tahun.


BERKUNJUNG ke Rembau, Negeri Sembilan yang terkenal dengan jolokan daerah beradat pasti memberikan pengalaman percutian menarik buat anda.

Pemanduan satu jam dari ibu negara ke daerah itu ternyata tidak memenatkan, lebih-lebih lagi jika menggunakan jalan lama ke sana. Jangan disangka bahawa daerah yang terkenal dengan adat perpatih itu tidak mempunyai tarikan pelancongan.

Produk kristal umpamanya merupakan salah satu signatur yang membantu industri pelancongan di daerah itu. Taman Tema Air Panas Wet World di Pedas juga merupakan antara kawasan sering dikunjungi pelancong sekiranya ke Rembau.

Usah risau mengenai perihal penginapan di Rembau kerana terdapat banyak hotel di bandar itu dan homestay yang diusahakan oleh penduduk di sana.

Bagi yang ingin mencari kelainan, anda boleh cuba untuk menginap di Kampungstay Legong Ulu yang terletak di Kampung Legong Ulu kira-kira 15 minit dari bandar Rembau.

Kampungstay yang dimiliki oleh anak jati kampung itu, Mohd. Foudzi Ipap, 54, ternyata berbeza dengan homestay lain yang terdapat di sana.

Menurut Foudzi, konsep kampungstay adalah pelancong tidak tinggal bersama dengan pemilik dan mereka melakukan aktiviti secara sendirian. Berbeza dengan homestay iaitu pelancong tinggal bersama pemilik rumah.

"Rumah dua tingkat dan mempunyai empat bilik ini dibina oleh arkitek British pada tahun 1948 iaitu pada zaman penjajahan British. Disebabkan itu, konsep seni bina terutamanya pada bahagian luar dan dalam rumah mempunyai pengaruh dari negara tersebut.


SELAIN katil dan perabot, setiap bilik juga dilengkapi pendingin hawa.


"Setiap bilik dilengkapi pendingin hawa dan katil yang selesa untuk pelancong. Sementara itu, televisyen dan peti sejuk juga merupakan antara kelengkapan asas untuk kegunaan pelancong. Mereka yang menginap di sini dapat merasai ketenangan dan suasana kampung," ujarnya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Jelasnya, rumah itu merupakan peninggalan arwah bapanya yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Undang Rembau ke-19 iaitu Datuk Undang Ipap Abdullah.

Rumah tersebut turut didiami Foudzi ketika masih kecil dan kini ia dijadikan kampungstay.

Pengkaji sejarah juga manjadikan rumah itu sebagai rujukan terutamanya mengenai tinggalan seni bina British di Malaysia.

Pada bahagian ruang tamu rumah itu, terpampang gambar Allahyarham Ipap untuk tatapan mereka yang ingin melihat rupa paras orang terpenting di daerah itu suatu ketika dahulu.

Pakej penginapan

Pakej untuk setiap pelancong yang ingin menginap di Kampungstay Legong Ulu terbahagi kepada dua iaitu individu dan juga kumpulan.

Bagi pakej individu, harga bilik ialah RM100 hingga RM150 untuk semalam manakala untuk berkumpulan pula, RM200 untuk tiga hari dua malam yang disertakan dengan hidangan katering pada setiap kali waktu makan.

"Sekurang-kurangnya 20 individu diperlukan dalam pakej kumpulan dan pelbagai aktiviti diatur untuk mereka sepanjang berada di Rembau. Antaranya, memancing udang galah dan melihat kelip-kelip di Sungai Timun, pendedahan mengenai menoreh getah di Kampung Agam dan ekspedisi ke Gunung Datuk.

"Kebanyakan pelancong yang menginap di sini datang dari luar negara. Mereka ke sini untuk mengadakan kajian mengenai sejarah dan melihat keindahan suasana kampung," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved