Isnin, 15 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Doktor falsafah wanita yang melukis

Posted:

Doktor falsafah wanita yang melukis

Doktor falsafah wanita yang melukis

WANITA memang sinonim dengan jiwa yang feminin dan penuh kelembutan. Selain tangkas di dapur, wanita juga berjaya mengawal keseimbangan antara komitmen terhadap kerjaya dan perhatian ke atas keluarga.

Kini, timbul satu lagi cabang baharu yang diceburi wanita untuk menunjukkan sisi mereka yang cenderung kepada kesenian terutama dalam bidang seni lukisan.

Mengimbas perkembangan seni feminis di Barat, bakat pelukis wanita seperti Helen Frankenthaler, Grace Hartigan dan Bridget Riley mula mendapat perhatian sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.

Sehingga penghujung 1960-an, karya yang dihasilkan sukar dibezakan dengan karya pelukis lelaki kerana mereka telah berusaha keras bersaing dalam dunia seni arus perdana yang didominasi oleh kaum Adam.

Menurut kajian oleh seorang penyelidik, Yuen Chee Ling dari Universiti Sains Malaysia pada 2007, pelukis wanita di Malaysia mula dipelopori oleh Rosalind Foo pada abad ke-20.

Kemudian muncul nama-nama baharu dalam arena seni lukis wanita iaitu Georgette Chen, Liu Siat Mui, Hamidah Suhaimi dan Norma Abbas.

Kajian berkenaan menghuraikan perasaan, pemikiran dan psikologi dalaman pelukis untuk penelitian estetik wanita dengan sensitiviti mereka sebagai seorang wanita.

Monsun seni Ruzaika

Bekas pensyarah fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Ruzaika Omar Basaree, 65, mula mengesan minatnya dalam seni lukisan selepas melihat bapanya menghasilkan seni khat kaligrafi sejak kecil.

Berbekalkan minat tersebut, Ruzaika bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan setelah tamat persekolahan pada 1967.

Pada tahun 1968, Ruzaika menghantar permohonan masuk ke Institut Teknologi Mara yang pada ketika itu ada menawarkan jurusan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka bagi meneruskan minat dalam bidang tersebut.

Melangkau hampir empat dekad pembabitannya dalam seni lukisan, perjalanan Ruzaika sebagai seorang pelukis juga telah melalui beberapa perubahan terhadap kecenderungan seni.


Penaung UWA, Puan Sri Norliah Adam (kiri) mendengar penerangan mengenai lukisan yang dihasilkan oleh Yaya Maembong (kanan).


Monsun seni wanita yang murah dengan senyuman ini bermula pada tahun pertama pengajiannya dengan penghasilan lukisan Barat kerana dipengaruhi oleh pensyarah yang rata-rata baru pulang daripada melanjutkan pengajian dari luar negara.

Namun, Ruzaika kemudian beralih kepada penghasilan asemblaj kerawang dan lukisan mengunakan mix media (bahantara campuran) ketika menetap di Dungun, Terengganu sekitar 1975 hingga 1982.

"Saya tertarik dengan seni kerawang yang banyak ditemui di Terengganu kerana seni tradisionalnya lebih mencerminkan identiti kita.

"Kemudian, pada era 1980-an, saya mula tertarik kepada seni Islam yang banyak bermain dengan susunan corak yang bersimetri," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran Pelukis Wanita dan Kontemporarinya (PWK) yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) sejak 2 April lalu hingga 19 April ini.

Prinsip asas lukisan yang banyak menggunakan elemen pengulangan dan permainan warna jelas dilihat melalui lukisan Ruzaika di pameran tersebut.

Uniknya, idea menghasilkan karya itu timbul selepas kunjungannya ke sebuah masjid lama di Beijing, China pada bulan November tahun lalu.

Karya yang dipamerkan di PWK itu diinspirasikan daripada motif bunga pada corak kasut yang dijual kepada pengunjung wanita yang mahu masuk ke dalam masjid di sana. Lukisannya dihasilkan menggunakan bahan campuran yang diterjemahkan di atas kanvas.

Menurut Ruzaika, usai menamatkan perkhidmatan sebagai pensyarah di UiTM, dia kini dalam perancangan untuk menyertai UM sebagai pendidik.

Ruzaika merupakan salah seorang daripada 16 pelukis wanita tempatan yang menjayakan majlis jualan dan PWK.

Kesemua mereka telah mempamerkan sebanyak 62 karya yang menampilkan pelbagai jenis tema dan keunikan tersendiri. Selain Ruzaika, beberapa pelukis wanita yang terlibat ialah Raja Datin Zuraida Raja Mansur, Dr. Nor Azlin Hamidon, Dr. Mariani Md. Nor dan Rube Jamal.

Seni kaligrafi atas kanvas

Sebuah seni khat yang diabadikan di atas sekeping simen menjadi penyebab utama Nor Azlin, 42, menghasilkan karya beraliran seperti itu sehingga ke hari ini.

Cintanya pada seni khat kaligrafi Islam bertitik mula selepas melihat perhiasan kaligrafi atas sekeping simen yang digantung di rumah datuknya sewaktu kecil.

Nor Azlin mengakui masih menyimpan perhiasan tersebut kerana terkenang kepada nilai sentimental yang ada pada perhiasan itu. Nor Azlin yang menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya pada tahun 1995 tidak membantutkan minatnya terhadap seni khat kerana telah memasang impian untuk menyambung minatnya itu selepas tamat pengajian.

Katanya, dia meneruskan ijazah sarjana dalam jurusan Sejarah Seni di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika, Universiti London disebabkan cintanya yang mendalam ke atas cabang seni berkenaan.


NOR Azlin percaya seni khat mampu menyampaikan mesej yang menyentuh jiwa kerohanian penggemar lukisan kerana ia berasaskan huruf jawi yang digunakan dalam kitab suci, al-Quran.


Bakat Nor Azlin mula dikesan sejak di bangku sekolah iaitu ketika berada di tingkatan tiga pada tahun 1986. Dua tahun berikutnya, dia berjaya merangkul gelaran johan pada pertandingan Manifestasi Seni Khat Kebangsaan sewaktu berumur 17 tahun.

"Saya menghasilkan karya bermotifkan khat disebabkan elemen spiritual yang ada padanya dan percaya ia dapat menyampaikan mesej yang baik kepada orang awam.

"Sesebuah karya itu ada mesej tersirat dan tersendiri yang mahu disampaikan oleh pengkarya kepada masyarakat," jelas pensyarah Akademi Pengajian Melayu UM itu.

Baginya, pameran seni yang menghimpunkan pelukis wanita tanah air berkenaan meletakkan pengkarya wanita setaraf dengan pengkarya lelaki.

Penerimaan masyarakat terhadap seni lukisan juga dilihat semakin meningkat sekali gus membakar semangat beliau untuk bergiat lebih aktif kerana mampu menjadi satu bentuk pelaburan masa depan.

Kontemporari si pelukis lelaki

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa PWK, Ahmed Ghazi Ibrahim berkata, pameran tersebut menampilkan pelukis profesional dan amatur dari dalam serta luar negara bagi menonjolkan bakat pelukis wanita.

Menurutnya, kebanyakan pelukis menggunakan akrilik, cat minyak dan bahantara campuran untuk melukis mengikut kecenderungan masing-masing.

"Tema lukisan yang dipamerkan juga berbeza. Ada pelukis yang menghasilkan karya abstrak, realistik, imaginasi dan figuratif.

"Beberapa orang pelukis luar negara yang terlibat termasuklah dari Pakistan, Iran dan Amerika Syarikat," katanya.

Jelas beliau, perkataan kontemporari pada pameran tersebut merujuk kepada beberapa orang pelukis lelaki yang turut terlibat mempamerkan sebanyak 33 lukisan.

Pelukis lelaki yang terlibat ialah Datuk Hashim Yaacob, Datuk M. Nasir, S. Amin Shahab, Usop Kopratasa, Suzlee Ibrahim, Ahmed Ghazi, Tajuddin Ismail dan Sani Sudin.

Tiga jelitawan pewaris seni Ismail Maembong

Posted:

Tiga jelitawan pewaris seni Ismail Maembong

Tiga jelitawan pewaris seni Ismail Maembong


MAEMBONG bergambar bersama anaknya, Emma yang juga seorang pelakon dan pelukis berbakat dalam sebuah pameran berasingan tidak lama dahulu.


KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Demikian peribahasa yang sesuai menggambarkan bakat seni yang dikurniakan kepada tiga orang daripada 11 orang anak Ismail Embong, 65, iaitu Rabbiati Adawiyah Ismail, 38, Siti Nor Ashikin Ismail, 29 dan Fatimah Rohani Ismail, 21.

Ismail Embong atau Maembong merupakan seorang pelukis prolifik dan pakar rujuk seni negara yang telah berkecimpung dalam lapangan seni sejak lebih tiga dekad.

Pelukis terkenal berkenaan yang berkahwin dengan wanita berketurunan Inggeris, Yatimah Zainab menerima pendidikan dalam bidang seni di Kolej Seni dan Rekaan, England pada awal tahun 1970 dan mula bergiat aktif dalam dunia lukisan pada pertengahan 1980-an.

Maembong berjaya mempamerkan usaha kerasnya selama 12 tahun menghasilkan lukisan Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada Pameran Sulalatus Salatin di Balai Seni Visual Negara pada pertengahan tahun lalu.

Anaknya, Rabbiati Adawiyah yang selesa dipanggil Yaya mengenal berus lukisan ketika membesar dengan menemani Maembong melukis di rumah sejak kecil.

Melukis kerana rindu

Bagaimanapun, Yaya hanya mula melukis selepas tinggal berjauhan dengan bapanya kerana sudah bekerja dan berdikari sewaktu berumur awal 20-an.

Pada ketika itu, Yaya menghasilkan lukisan potret keluarganya bila dia merindui bapanya yang selalu menjadi tempat untuk bermanja dan berkongsi cerita.

Katanya, dia aktif melukis secara serius sejak 10 tahun lalu dan karyanya telah dipamerkan di lebih 10 pameran dalam negara selama tempoh itu.

"Setakat ini kira-kira 20 buah lukisan yang saya pernah hasilkan berjaya dijual pada pameran yang disertai.

"Kebanyakan lukisan tersebut bertemakan figura manusia, seni abstrak dan diinspirasikan daripada imaginasi," katanya yang sering melukis selepas mendapat ilham melalui visual yang dilihat menerusi mimpi.

Yaya pernah menghasilkan sebuah lukisan suasana persekitaran yang ranap dihanyutkan oleh ombak besar selepas bermimpi tentangnya.

Secara kebetulan, tidak lama kemudian berlaku bencana tsunami pada tahun 2006 dan pada ketika itu ibunya, Yatimah terus menghubungi Yaya untuk memberitahu mengenai apa yang berlaku.

Tambah Yaya, dia hanya mengetahui tentang lukisan yang dihasilkannya itu merupakan gambaran tsunami.

Ditanya tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Yaya terus memberitahu, pengalaman menyertai pameran lukisan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya tidak boleh lupa perasaan berpeluang menyertai ayah mengadakan pameran lukisan sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC.

"Saya rasa bertuah apabila terdapat beberapa orang pemimpin terkemuka negara melihat hasil karya yang saya hasilkan," katanya.

Dia yang kini bergiat aktif dalam beberapa cabang seni lain memberitahu pernah berlakon dalam beberapa drama seperti Anak Bertuah (RTM), Nanininu (RTM) dan Diandra yang bakal disiarkan di TV3.


SHIKIN menunjukkan beberapa buah lukisan figuratif wanita dalam pakaian tradisional kimono Jepun yang dihasilkannya.


Cari idea ketika bercuti

Siti Nor Ashikin atau Shikin pula suka mengikut bapanya menjelajah ke seluruh pelosok negeri terutamanya di kawasan perkampungan bagi menghasilkan lukisan yang baik.

Kata Shikin, bapanya membawa mereka adik-beradik menaiki bas kebudayaan mini yang kelihatan seperti sebuah studio bergerak ketika melawat beberapa buah kampung di Kedah, Rantau Panjang di Kelantan dan di Pulau Pinang.

Shikin mempunyai kecenderungan melukis menggunakan bahan yang jarang digunakan seperti menghasilkan lukisan menggunakan tali mop.

Sikapnya yang tidak boleh duduk diam untuk tempoh yang lama mendorongnya menghasilkan lukisan daripada apa sahaja bahan yang dilihat menarik.

Ketiga-tiga beradik itu mempamerkan hasil karya mereka di pameran Pelukis Wanita dan Kontemporarinya yang diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) bermula 2 hingga 19 April ini.

Bagaimanapun, Fatimah Rohani (Emma Maembong) yang juga salah pelakon yang sedang meningkat naik kebelakangan ini hanya mewakilkan sebanyak lima buah lukisannya untuk pameran tersebut.

Emma tidak berkesempatan hadir semasa acara perasmian kerana terlibat dengan persiapan penganjuran majlis anugerah hiburan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. - NADIA SHAIFUL BAHARI

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Kena serbu ketika proses dadah

Posted:

Kena serbu ketika proses dadah

Kena serbu ketika proses dadah

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

AB. RASHID menunjukkan sebahagian heroin yang dirampas daripada tiga individu termasuk sepasang suami isteri pada sidang akhbar di Kajang, Selangor semalam.


KAJANG - Taktik tiga individu termasuk sepasang suami isteri membina rumah di perkampungan Orang Asli di Kachau, Ulu Semenyih dekat sini untuk dijadikan makmal memproses dadah terbongkar apabila diserbu bersama heroin bernilai RM300,000 Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kegiatan haram itu dikesan selepas polis menerima aduan daripada penduduk yang curiga mengenai tindak-tanduk tiga suspek tersebut di dalam kampung mereka.

"Makmal itu diserbu pada pukul 4 petang. Pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar dan tiga ketulan mampat dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM300,000.

"Kita percaya mereka membina makmal dadah tersebut beberapa minggu lalu berdasarkan peralatan yang dirampas dalam keadaan baharu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Lelaki mati ditembak ketika bersarapan

Posted:

Lelaki mati ditembak ketika bersarapan

Lelaki mati ditembak ketika bersarapan


MUTHAZAGAL mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Taiping, Perak semalam.


TAIPING - Seorang lelaki yang sedang menikmati sarapan pagi maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam kejadian yang turut disaksikan lebih 20 pelanggan di sebuah warung di Dataran Pasar, Simpang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, kejadian pukul 9.05 pagi itu mengakibatkan A. Muthazagal, 46, mati di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan di belakang kepalanya.

Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa didatangi seorang lelaki memakai topi keledar bertutup penuh yang terus melepaskan tembakan.

"Suspek yang memakai baju T dan berseluar panjang itu kemudian melarikan diri ke seberang jalan dan menaiki sebuah motosikal jenis Yahama Ego berwarna hitam yang ditunggang oleh seorang lelaki lain," katanya kepada Kosmo! semalam.

Santapan terakhir

Posted:

Santapan terakhir

Santapan terakhir

Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my

ANGGOTA polis memeriksa mayat Kok Soon yang mati ditembak ketika sedang makan di sebuah restoran di Seremban kelmarin.


SEREMBAN - Seorang penjenayah bertindak kejam apabila menembak mati seorang ahli perniagaan dari jarak dekat ketika mangsa sedang menjamu selera bersama isteri dan dua anaknya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland di sini kelmarin.

Kejadian mengejutkan pukul 6.55 petang itu mengakibatkan Tan Kok Soon,56, mati di restoran tersebut selepas terkena tembakan di belakang badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Superintendan Zazali Hashim berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang makan bersama ahli keluarganya didatangi suspek yang menunggang sebuah motosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh.

Katanya, suspek kemudian terus melepaskan tembakan dari belakang mangsa mengakibatkan ahli perniagaan tersebut rebah di hadapan isteri dan dua anaknya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Hutan terbakar di Korea Selatan

Posted:

Hutan terbakar di Korea Selatan

Hutan terbakar di Korea Selatan

GAMBAR menunjukkan kebakaran hutan yang berlaku di kawasan itu semalam.


GOSEONG, Korea Selatan - Beberapa buah helikopter daripada Perkhidmatan Perhutanan Korea Selatan memadamkan kebakaran hutan di Zon Bebas Tentera di sini, 330 kilometer ke timur laut Seoul semalam.

Kebakaran itu mula dikesan di bahagian utara zon tersebut kelmarin sebelum ia merebak dalam lingkungan 100 meter dari sebuah pos kawasan pihak berkuasa negara ini.

Punca sebenar kebakaran tersebut masih belum diketahui.

Bagaimanapun, agensi berita Yonhap kelmarin menyatakan, kebakaran itu berjaya dikawal oleh pihak berkuasa Korea Selatan.

Kira-kira 18 jam selepas kebakaran itu dikesan, askar-askar Korea Selatan yang dibantu anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut daripada terus merebak. Kawasan Zon Bebas Tentera itu memisahkan negara Korea Utara dengan Korea Selatan.

Beberapa pegawai menyatakan, seramai 80 anggota bomba dan sembilan jentera bomba diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk memberikan bantuan tambahan jika diperlukan.

Kebakaran hutan itu berlaku ketika Korea Utara membuat ancaman untuk melakukan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan Jepun.

Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat sekatan pengimportan barang-barang mewah ke Korea Utara.

Sekatan itu dibuat setelah Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu. - Agensi

Kutip beg selepas pesawat terlajak

Posted:

Kutip beg selepas pesawat terlajak

Kutip beg selepas pesawat terlajak


BADAN pesawat itu terputus dua.


DENPASAR - Sekumpulan anggota penyelamat menggunakan sebuah bot untuk mengutip beg-beg milik penumpang dan kru yang terapung di sini semalam.

Beg-beg itu bertaburan selepas ia keluar dari sebuah pesawat baharu syarikat Lion Air yang terlajak ke dalam laut semasa mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali.

Walaupun pesawat Boeing 737-800 itu terputus dua, kesemua 108 orang yang menaiki pesawat tersebut termasuk tujuh kru, seorang bayi dan empat warga asing selamat.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Bambang Ervan berkata, pihaknya akan melakukan siasatan bagi mengetahui punca pesawat yang berlepas dari Bandung itu terlajak kelmarin.

Sebuah kumpulan yang menyiasat insiden itu telah memperoleh perakam penerbangan pesawat tersebut.

Badan pesawat tersebut juga akan ditanggalkan bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan bagi mengetahui punca nahas itu.

Menurut Bambang, juruterbang dan pembantunya akan disiasat sama ada mereka mengambil dadah.

Nahas itu berlaku ketika hujan.

Pesawat tersebut diterima oleh pihak syarikat berkenaan pada bulan lalu daripada syarikat Boeing.

Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Dewi berkata, pesawat tersebut berada dalam posisi pendaratan apabila ia kemudiannya merempuh laut.

"Semua penumpang yang berada dalam keadaan panik dan ketakutan kemudian menjerit kerana mereka bimbang akan lemas.

"Saya meninggalkan semua barang milik saya sebelum menuju ke pintu kecemasan.

"Saya keluar dari pesawat dan berenang sebelum anggota-anggota penyelamat membantu saya," katanya kepada agensi berita AP.

Pesawat itu terlajak 50 meter dari landasan.

Seramai 52 mangsa dirawat di hospital dengan sebahagian mereka cedera di kepala dan patah tulang. - Agensi

Psy perkenal tarian pinggul

Posted:

Psy perkenal tarian pinggul

Psy perkenal tarian pinggul


SEJUMLAH penonton menyaksikan aksi Psy yang menunjukkan aksinya seperti terbang semasa dia membuat persembahan.


SEOUL - Bintang rap Korea Selatan, Psy kelmarin mendedahkan tarian goyang pinggul dalam video muzik terbaharunya yang berjudul Gentleman di laman YouTube.

Psy juga menyanyi dan melakukan gerakan tarian tersebut semasa dia membuat persembahan yang disaksikan 50,000 orang di sebuah stadium di sini kelmarin.

Video muzik penyanyi berusia 35 tahun itu kini mencatatkan lebih 13 juta tontonan selepas dimuat naik sejurus konsert Psy bermula di stadium tersebut.

Video muzik penyanyi itu yang berjudul Oppa Gangnam Style telah mencatatkan lebih satu bilion tontonan sejak dimuat naik pada pertengahan tahun lalu.

Pada sidang akhbar sebelum konsertnya bermula, Psy menyatakan, dia mahu penduduk Korea Utara turut berkongsi kegembiraan dan keseronokan semasa bergembira dengan muziknya.

Dia membuat kenyataan itu ketika mengulas tentang krisis di Semenanjung Korea yang semakin memuncak selepas Korea Utara mengancam mahu melancarkan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan Jepun.

Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan sekatan pengimportan barang mewah ke Korea Utara kerana negara itu melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.

"Pada malam ini, kita dan 50,000 rakyat Korea...kita akan menyanyi bersama-sama dengan kuat.

"Kami akan menjerit dan kita amat dekat dengan mereka (penduduk Korea Utara) supaya mereka boleh mendengar.

"Adalah diharapkan menerusi Gangnam Style dan Gentleman, video muzik serta reka tari saya, mereka (penduduk Korea Utara) akan turut terhibur bersama-sama," kata Psy.

Dalam video muzik itu, Psy membuat gurauan terhadap wanita-wanita antaranya dia bertindak menarik kerusi semasa mereka mahu duduk. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Semakin ramai dapat manfaat program 1Azam

Posted:

Semakin ramai dapat manfaat program 1Azam

Semakin ramai dapat manfaat program 1Azam

15/04/2013 8:25pm

KUALA LUMPUR - Semakin ramai individu mendapat manfaat daripada program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang diperkenalkan kerajaan pada 2010 untuk meningkatkan taraf hidup warga kota, khususnya golongan berpendapatan rendah. Melalui bantuan Azam Niaga, peserta dilatih dan dibimbing menerusi pendekatan sosioekonomi dan inovatif bagi memilih bidang yang mereka minat dan mahir berdasarkan potensi individu.

Untuk itu, bagi menggalakkan masyarakat bergiat aktif dalam program ini, 45 lagi peserta program itu di Bandar Tun Razak di sini, menerima barangan permulaan perniagaan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) 2013.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan hari ini berkata ia bagi membantu individu terlibat menjalankan perniagaan dengan bantuan barangan disediakan oleh kerajaan.

"Ia antara usaha kerajaan untuk membolehkan golongan tersebut berdikari berteraskan konsep kebajikan produktif", katanya.

Pada majlis itu, 23 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menerima kad Orang Kelainan Upaya (OKU) serta surat kelulusan bantuan KAR1SMA.

Tahun lepas, 13,693 orang menerima bantuan KAR1SMA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan 2,044 daripadanya dari kawasan Bandar Tun Razak, menerima bantuan orang tua, kanak-kanak dan elaun pekerja OKU.

Bagi program 1Azam yang bermula dari 1 Jan 2011 hingga 2 Jan 2013, seramai 106,967 peserta menyertai program Teman 1Azam di seluruh negara, dengan 2,414 daripada jumlah itu meliputi peserta Kuala Lumpur yang menerima peruntukan RM13 juta.

Antara projek yang mendapat sambutan dalam kalangan peserta ialah jahitan, pengusaha kedai makanan serta jualan kuih-muih. - Bernama

Gangguan bekalan air di Kuala Lumpur pulih, Gombak masih dalam pemulihan

Posted:

Gangguan bekalan air di Kuala Lumpur pulih, Gombak masih dalam pemulihan

Gangguan bekalan air di Kuala Lumpur pulih, Gombak masih dalam pemulihan

15/04/2013 8:04pm

KUALA LUMPUR - Gangguan bekalan air di kawasan sekitar Kuala Lumpur sejak minggu lepas sudah pulih sepenuhnya, sementara di Gombak masih dalam tempoh pemulihan.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), kira-kira 90 peratus daripada 61,392 akaun penggunanya di 55 kawasan yang mengalami gangguan air di Gombak masih dalam tempoh pemulihan.

"Bagaimanapun, beberapa kawasan lain yang terlibat dengan gangguan bekalan air ini dijangka akan pulih secara berperingkat dalam tempoh beberapa hari, khususnya di kawasan berkedudukan tinggi dan di penghujung sistem bekalan air," menurut Syabas dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada masa ini, Syabas menyediakan 42 buah lori tangki dan 525 tangki air statik untuk penghantaran ke kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air.

"Pihak Syabas memohon kerjasama dan bantuan daripada semua pengguna dan penduduk setempat bagi membolehkan lori tangki dapat sampai ke destinasi yang diperlukan tanpa sebarang kesulitan," menurutnya.

Hampir 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 11 April lepas berikutan paip pecah di Kampung Melayu Batu Caves, Gombak.

Menurut Syabas, sejak Pelan Tindakan Kecemasan diaktifkan, kira-kira 300 tenaga kerja telah digerakkan bagi membantu pengguna dan melakukan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa. - Bernama

Orang Asli berhimpun bantah kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan

Posted:

Orang Asli berhimpun bantah kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan

Orang Asli berhimpun bantah kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan

15/04/2013 7:51pm

GUA MUSANG - Kira-kira 300 penduduk Orang Asli berhimpun secara aman di Kampung Angkek, di sini, hari ini bagi membantah kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini berhubung isu tanah adat milik kaum itu.

Semasa berhimpun selama dua jam bermula 11 pagi, mereka meluah rasa kecewa dengan sikap Ahmad yang didakwa mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar harian bahawa tidak ada istilah tanah adat kaum itu di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan itu Azmi Badol berkata bagi mereka, kenyataan itu seolah-olah 'menghalalkan' langkah kerajaan negeri pimpinan PAS untuk terus merampas tanah adat itu yang diusahakan sejak sekian lama untuk diberi kepada syarikat asing bagi pembangunan ladang rakyat.

Beliau berkata, kenyataan Ahmad juga amat mengguris perasaan masyarakat Orang Asli yang telah sekian lama membangunkan tanah adat itu.

Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin kerajaan negeri yang melaungkan pemerintahan Islam kerana menghina kaum Orang Asli yang tidak mempunyai tanah walaupun pernah didesak supaya diwartakan, katanya ketika ditemui semasa perhimpunan itu.

Azmi berkata, Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah adat itu kerana mereka juga warganegara ini.

"Pemimpin berkenaan sepatutnya berfikir secara rasional terhadap perasaan kaum lain berhubung perkara itu kerana sekarang ini bukan sahaja Orang Asli kehilangan tanah untuk bercucuk tanam, malah kami juga hilang mata pencarian disebabkan hutan dibuka ladang secara meluas.

"Sebelum ini kita sudah berulang kali menyerahkan memorandum kepada pemimpin kerajaan negeri untuk menyelesaikan tanah yang diterokai kami namun tidak pernah diberi pembelaan dan seolah-olah kami ini adalah kaum pendatang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Balar, Kamal Alek pula berkata hampir keseluruhan kampung Orang Asli diancam dengan pembukaan ladang rakyat tanpa menghiraukan pelbagai masalah yang menimpa kaum itu.

"Kita mempertahankan tanah adat ini kerana banyak tanaman lama yang diusahakan nenek moyang kami serta kubur dimusnahkan syarikat pembangunan ladang rakyat," dakwanya.

Sementara itu, Penghulu Kampung Lambok Damak Angah berkata, penduduk Orang Asli merasa semakin tertindas dengan pemerintahan kerajaan PAS yang merampas tanah mereka. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Gigih kumpul aset

Posted:

Gigih kumpul aset

Gigih kumpul aset

FARA menafikan dia telah bergelar jutawan berdasarkan banyak kemenangan yang diperolehnya.


TIDAK dinafikan daripada segi luaran, Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd. Fadzil seorang yang berjaya. Pada usia 33 tahun, namanya berada di puncak sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen popular sejak menceburi bidang radio pada tahun 2004.

Bukan itu sahaja, selain turut bergelar pelakon, Fara juga memiliki beberapa cabang perniagaan seperti Fafau Entertainment, Rojak Box dan homestay. Melihat kesibukan Fara, sudah pasti ramai yang beranggapan Fara hidup dalam kemewahan.

Bagaimanapun, ujar Fara rezeki yang diterima hari ini tidak digunakan untuk dirinya seorang sahaja, sebaliknya dikongsikan bersama keluarganya.

"Niat utama saya mula-mula bekerja adalah untuk membantu ibu bapa mengurangkan beban mereka seperti selesaikan segala hutang-hutang yang mereka ada. Mereka berhutang pun sebab hantar saya sambung belajar selain saya juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap adik-beradik yang lain.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah ada beberapa perniagaan seperti Fafau Entertaiment. Walaupun tidak menguruskan artis lain selain diri saya, tetapi syarikat itu berjalan dengan baik. Saya juga selalu mengadakan kolaborasi bersama syarikat Darling Ngasri untuk menerbitkan drama.

"Homestay pula, telah saya usahakan sejak beberapa tahun lalu dan bulan lepas saya baru sahaja membuka perusahaan makanan iaitu Rojak Box di KL Sentral yang saya kongsi bersama rakan saya," ujarnya tentang aset yang dimilikinya kini.

Disoal selama bekerja keras dalam bidang penyiaran dan perniagaan adakah kini Fara boleh digelar seorang jutawan, Fara hanya ketawa sebelum menjawab.

Ujarnya: "Orang lain mungkin lihat saya hidup mewah, tetapi mereka tidak faham. Mungkin pendapatan yang saya terima agar besar jumlahnya, tetapi dalam masa yang sama saya juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.

"Jujur saya katakan, saya belum ada aset untuk bergelar seorang jutawan. Jika saya menggunakan semua pendapatan untuk diri saya seorang, ya mungkin saya sudah bergelar jutawan sekarang ini. Setakat ini, saya masih perlu bekerja keras setiap hari untuk menjadi jutawan."

Bercakap mengenai populariti, akui Fara dia mula terasa tempias populariti sejak menjadi pengacara program Melodi. Sejak itu, kehidupannya sedikit berubah apabila wajahnya semakin dikenali ramai.

FARA akan kembali ke pentas teater menerusi Teater Nyonya & The Gang pada 14 Jun ini.


"Saya mula rasa popular sejak menjadi pengacara program Melodi. Saya tidak pernah nafikan orang kenal saya kerana program itu dan kebetulan pada waktu yang sama, saya juga muncul di program yang lain serta beberapa buah drama," balasnya.

Tambahnya lagi, bakat bercakap yang dimilikinya digunakan sebaik mungkin. Bukan itu sahaja, dirinya yang sesuai untuk pelbagai majlis juga dirasakan antara penyumbang kepada kejayaannya hari ini.

"Apabila saya bercakap, tidak kiralah di radio atau di mana-mana sahaja, saya akan fikirkan yang saya bercakap untuk semua orang tidak kira peringkat umur atau status. Jika orang minta saya jadi pengacara untuk majlis di luar bandar, saya akan bercakap macam orang kampung, kalau diminta untuk majlis yang dihadiri golongan urban saya akan bercakap ikut cara mereka.

"Saya juga sering menjadi pengacara untuk majlis korporat. Maknanya saya mempunyai peminat daripada pelbagai lapisan usia. Semua acara di mana sahaja, semuanya saya boleh masuk. Jadi, sebelum buka mulut saya harus berfikir terlebih dahulu," katanya.

Plihan pertama

Sudah bergelar penyampai radio, pengacara dan pelakon popular, disoal bidang manakah yang menjadi pilihan utamanya, Fara tidak mengambil masa yang panjang untuk menjawab.

"Radio," katanya ringkas sebelum menjelaskan menjadi penyampai radio merupakan kerjaya untuk tempoh masa yang panjang berbanding pengacaraan dan berlakon.

"Orang tidak kisah saya tidak cantik, gemuk atau tidak pandai fesyen kerana mereka hanya ingin mendengar suara saya sahaja.

"Kalau berlakon, sudah tua atau tidak menepati pasaran, sudah tidak ada tawaran lakonan. Jadi, bekerja di radio merupakan pilihan terbaik saya, lagipun saya bermula dengan radio, jadi cinta pertama saya sememangnya di radio," jelasnya.

Balasnya lagi, dia tidak pernah merasa penat bekerja kerana dia melakukan kerja yang diminati.

Meskipun sudah berjaya, Fara masih menyimpan impian terbesarnya yang telah dirancang sejak dua tahun yang lalu. Jika tidak aral melintang, impiannya itu pasti akan dilaksanakan pada tahun ini.

"Perancangan masa depan saya untuk memberi kembali kepada masyarakat menerusi kerja amal. Sudah dua tahun saya rancang, tetapi untuk buat sesuatu kepada masyarakat, saya kena rancang dengan betul sebab itu ia mengambil masa yang agak lama.

"Fokus saya ialah warga emas dan kanak-kanak. Apa yang saya miliki hari ini bukan milik saya seorang, jadi saya harus berkongsi dengan orang yang memerlukan. Sudah menjadi tugas saya untuk membantu. Harapan saya agar tahun ini saya dapat laksanakannya," ujar Fara tentang impiannya itu.

FARA mempunyai impian untuk berbakti dan berkongsi harta sepencariannya dengan warga emas dan kanak-kanak.


Mangsa fesyen

Sementara itu, jika diperhatikan, setiap kali Fara muncul pada majlis anugerah, ada sahaja kritikan yang diterimanya berkenaan dengan fesyen yang digayakannya. Contohnyan ketika Fara menjadi pengacara Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, daripada empat helai pakaian yang disarungnya, pasti salah satunya ada yang tidak kena pada mata pengkritik.

Mengakui tidak pandai berfesyen, tetapi itu tidak bermakna Fara tidak berusaha untuk kelihatan cantik ketika berada di majlis besar ataupun kaca televisyen.

"Masalah fesyen dan Fara sangat berkawan baik (ketawa). Sebenarnya saya sudah sampai tahap tidak kisah tentang fesyen. Masalah pakaian juga berlaku ketika saya menjadi pengacara Melodi.

"Saya sedar yang diri saya bukanlah seorang model, sebab itu saya malas untuk bercakap tentang pemilihan pakaian. Jika saya bercakap banyak, nanti orang akan melabel diri saya seorang diva pula," balasnya.

Tidak berputus asa, kata Fara, dia hanya boleh mencantikkan pakaian yang disarungnya dengan bahasa pertuturannya sahaja.

"Untuk mengalih perhatian khalayak terhadap fesyen yang saya gayakan, apa yang saya lakukan adalah tenggelamkan masalah pakaian itu dengan gaya pertuturan saya.

"Itu sahaja yang saya mampu lakukan. Kalau pakai cantik-cantik, tetapi tidak pandai bercakap dan jalankan tugas dengan baik pun tidak guna juga. Itu caranya saya motivasikan diri.

"Bagi saya cantik itu sangat universal. Mungkin pada mata sesetengah orang pakaian yang saya pakai tidak cantik dan setengah lagi kata cantik. Saya sangat berusaha untuk kelihatan cantik tetapi saya harus terima hakikat saya bukan model, hanya bakat bercakap saya yang lebih cantik," katanya lagi.

Nora berani, Shirin terkilan

Posted:

Nora berani, Shirin terkilan

Nora berani, Shirin terkilan

Oleh HARYATI KARIM

NORADANISH


KEGAGALAN pelakon utama filem Mencari Cinta, Rusdi Ramli hadir ke majlis tayangan perdana filem itu baru-baru ini disifatkan sebagai tidak profesional oleh pengarahnya Shirin Khuzaimi, sedangkan heroin filem tersebut Nora Danish menghadirkan diri.

Pengarah filem tersebut menganggap Rusdi gagal menghadirkan diri ke majlis tersebut kerana bimbang dengan kontroversi babak atas ranjangnya bersama Nora Danish.

Shirin juga mendakwa penerbit filem tersebut, Khairul Anuar Zainal Kadri mengatakan Rusdi mempunyai komitmen kerja lain.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Shirin tentang filem yang diterbitkan oleh Armnett Sdn. Bhd. dan Red Movies Sdn. Bhd. itu dengan bajet RM1.5 juta tersebut.

Kosmo!: Mengapakah hero filem ini, Rusdi Ramli tidak hadir? Adakah Shirin sudah dimaklumkan tentang ketidakhadirannya?

SHIRIN: Saya tidak pasti kenapa dia tidak hadir, mungkin dia sibuk. Namun bagi saya, dia seorang pelakon yang tidak profesional kerana tidak hadir ke majlis tayangan perdana filemnya sendiri. Sudah pasti pihak produksi ada menjemputnya tetapi sejak kontroversi tercetus, saya cuba menghubungi Rusdi, bagaimanapun tidak berjawab.

Adakah hal ini berkaitan dengan adegan intim yang banyak terdapat dalam filem ini membabitkan dia dengan Nora Danish?

Saya kecewa bila dia memberikan kenyataan kononnya tidak senang dengan aksinya dalam babak tersebut. Walhal ketika penggambaran, dia bersetuju dengan setiap babak yang saya arahkan, tidak ada sebarang bantahan. Saya juga tanya pendapatnya terlebih dahulu sebelum penggambaran babak tersebut dilakukan.

Bagaimanakah pula dengan tindakan pihak penerbit yang mengeluarkan trailer filem yang membabitkan babak kontroversi itu di laman pengkongsian video YouTube sebagai gimik untuk menarik perhatian penonton dan mendapat publisiti percuma?

Sebenarnya ia bukan gimik kerana selain babak tersebut, kami telah memuat naik tiga trailer yang lain, tetapi kenapa babak itu sahaja yang menarik perhatian. Kami tidak meraih sebarang keuntungan daripada kontroversi tersebut.

Filem ini juga banyak menerima kritikan sebelum ia ditayangkan pada 25 April ini. Boleh anda komen sedikit?

Saya mengaku filem ini dikritik hebat gara-gara babak panas yang dimaksudkan itu sedangkan jika penonton menonton sendiri filem ini, babak tersebut tidak seperti yang disangkakan. Lagipun filem ini bukan berunsur seks sebaliknya berunsur romantik.

Apakah keperluan babak intim seperti tidak berbaju di atas katil ini dipertontonkan?

Saya kira ia memang satu keperluan kerana filem ini bercerita tentang percintaan selepas berkahwin. Itu yang ingin saya tonjolkan kerana pada zaman sekarang jarang orang berkahwin dahulu, kemudian baru bercinta.

Siti Nurhaliza jemput Zizan berduet

Posted:

Siti Nurhaliza jemput Zizan berduet

Siti Nurhaliza jemput Zizan berduet

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


SITI dan Zizan bergabung vokal dan aura mendendangkan lagu hit Dewa, Sedang Ingin Bercinta.


SETELAH berehat selama tiga bulan untuk menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu, kini penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin kembali aktif membuat persembahan.

Terbaharu, pelantun lagu Galau itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha pada 11 April lalu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Jika ada beberapa artis yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha pada tahun ini kurang mendapat sambutan, Siti sebaliknya berjaya menarik perhatian peminat yang rata-ratanya terdiri daripada bos dan setiausaha untuk hadir menyaksikan persembahannya pada petang itu.

Menampilkan tema Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza, tetamu yang hadir memenuhi segenap ruang dewan hotel yang mampu memuatkan 80 buah meja itu.

"Alhamdulillah, ia adalah berkat rezeki dan kepercayaan peminat terhadap nyanyian dan persembahan Siti," ungkapnya kepada media usai mengadakan persembahan.

Mengulas lanjut, ujar Siti, mungkin ada yang beranggapan jika seseorang artis jarang muncul menerusi media, popularitinya akan menurun.

Begitupun, kata Siti, jika artis tersebut sentiasa membuat yang terbaik dalam persembahannya, pasti figura tersebut sentiasa dinanti-nantikan peminat.

Menyampaikan sebanyak 10 buah lagu termasuklah lagu popularnya sendiri seperti Pendirianku, Galau, Usah Diragui, Diari Hatiku dan Muara Hati.

Selain itu, Siti juga menyanyikan lagu-lagu popular lain seperti Kenangan Terindah, Pak Ketipak Ketipung dan lagu Inggeris, Love On Top.

Siti turut menggamatkan suasana apabila menjemput bos-bos menari bersamanya.

Majlis pada hari itu juga diserikan dengan kehadiran pelawak Zizan Razak sebagai pengacara majlis dan buat julung kalinya juga, Siti menjemput Zizan untuk berduet bersamanya lagu Sedang Ingin Bercinta dendangan kumpulan Dewa.

Selesa jaga suami

Mula kembali aktif dalam bidang seni bermula bulan April ini, ulas Siti, bagaimanapun dia masih perlu mengehadkan aktivitinya memandangkan keadaan suaminya, Datuk K masih belum pulih sepenuhnya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di New Zealand sebelum ini.

Tidak berasa terbeban, dedah Siti, dia selesa menjaga sendiri suaminya tanpa bantuan orang lain.

"Semasa berada di New Zealand, memang ada terfikir untuk mengupah seorang jururawat menjaga dia (Datuk Khalid). Tetapi, apabila saya sudah menjaga dia selama dua minggu, saya rasa mampu menjaganya sendiri tanpa bantuan orang lain. Dia juga mesti lebih selesa jika isterinya yang melakukannya berbanding orang lain," ujarnya.

Akui Siti, dia juga berasa bersyukur kerana pengorbanannya itu menjadikan hubungannya bersama suami dan anak-anak semakin erat.

Zizan tidak sangka

Sementara itu, menurut Zizan, dia tidak menyangka dapat berduet bersama Siti dan menganggap ia seperti bulan jatuh ke riba.

"Saya tidak sangka dapat bergandingan dengan Siti kerana memang saya meminatinya sejak kecil lagi," ujar Zizan yang menganggap Siti seorang penyanyi yang high class, bijak dan sangat berbakat.

Mengulas lanjut, kata Zizan, Siti yang menjemputnya untuk berduet bersama untuk lagu Sedang Ingin Bercinta pada majlis Minggu Setiausaha itu.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, ulas Zizan, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadzil, selain empat buah filem lakonannya iaitu KL Gangster 2, Tokan, KL Zombie dan Bikers Kental bakal ditayangkan di pawagam pada tahun ini.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved