Khamis, 21 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Harga roti naik berganda

Posted:

Harga roti naik berganda

Harga roti naik berganda

SEBAGAI peniaga kedai bakeri, Alif tiada pilihan selain menaikkan harga roti bagi menampung kos bekalan mentah.


DERETAN pastri seperti croissant, baguette dan bagel memenuhi troli logam di sebuah kedai roti yang terletak di pusat bandar Kaherah, Mesir. Mohammed Alif yang bekerja di kedai tersebut memberitahu meskipun makanan masih mencukupi, tetapi keuntungan sukar diperoleh.

Sejak akhir Disember lalu, mata wang Mesir telah susut lebih lapan peratus daripada nilai sebenarnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Situasi itu dikhuatiri menjejaskan keadaan ekonomi yang berpunca daripada ketidakstabilan politik akibat rusuhan yang sering berlaku di negara tersebut.

Peningkatan umum terhadap harga makanan di seluruh dunia juga secara tidak langsung menyebabkan peniaga kedai bakeri seperti Alif perlu membayar bahan-bahan diimport yang diniagakan dalam dolar sekali gus mengakibatkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan baharu Mesir.

Inflasi harga makanan melampau didorong kelemahan mata wang Mesir mengundang rasa cemas Presiden Mohamed Mursi yang bergelut dengan pelbagai isu selepas dua tahun mengambil alih pemerintahan daripada Hosni Mubarak.

Pada masa yang sama, ekonomi negara itu juga berdepan kesukaran untuk keluar daripada belenggu kemiskinan yang sekian lama dihadapi.

Menurut Alif, harga gula dan tepung 50 peratus lebih mahal berbanding setahun yang lalu. Keadaan itu menyebabkan pembuat roti tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga.

"Saya tidak boleh jual lebih mahal kerana tiada orang akan membelinya," katanya sambil mengisi rak dengan roti yang baru dimasak untuk menarik perhatian pembeli di kaki lima.


SETIAP tahun Mesir mengimport gandum ratusan ribu tan gandum bagi memenuhi keperluan penduduknya.


Pergolakan

Harga yang melambung tinggi mampu menyebabkan pelanggan lari. Malah, terdapat risiko lebih besar menanti. Jika harga naik terlalu cepat atau bekalan mula menipis, besar kemungkinan berlaku pergolakan dalam negara yang pernah mencatat sejarah berlaku rusuhan akibat kenaikan harga roti.

Justeru, ia merupakan salah satu sebab mengapa kerajaan pimpinan Mursi masih mengekalkan bekalan subsidi roti kosong meskipun ia menjadi satu beban yang berat pada bajet negara. Harga roti kosong dijual kurang daripada AS$0.01 (RM0.03) sekeping dan ia disasarkan kepada golongan miskin.

Bagaimanapun, tiada sebarang subsidi untuk produk seperti yang dijual di kedai roti Alif, yang memenuhi keperluan pelanggan golongan pertengahan dan atasan. Sehubungan itu, Alif dan perniagaan lain terpaksa menanggung beban terhadap kenaikan harga.

Sesetengah penjual roti pula telah mula mengurangkan saiz roti dan kek dalam usaha melindungi margin. Data yang dikeluarkan kerajaan minggu lalu menunjukkan, segelintir peniaga telah mula menaikkan harga untuk menampung kos tersebut.

Laporan tahunan inflasi harga pengguna di bandar-bandar besar di Mesir, melonjak kepada 8.2 peratus pada bulan Februari berbanding 6.3 peratus pada Januari. Kenaikan itu mencecah paras tertinggi sejak Mei tahun lalu. Bulan lepas sahaja, harga makanan dan minuman meningkat sehingga 9.3 peratus.

Ahli Ekonomi Standard Chartered di Dubai, Nancy Fahim meramalkan, kelemahan ekonomi Mesir mungkin mengehadkan sebarang peningkatan dalam inflasi keseluruhan. Tetapi, inflasi purata kebangsaan dalam tahun fiskal semasa sehingga Jun, mungkin boleh menjadi lebih rendah berbanding purata fiskal tahun lepas iaitu 8.7 peratus.

"Kombinasi antara inflasi dan peningkatan kadar pengangguran yang tinggi, secara rasmi dianggarkan sebanyak 13 peratus.

"Jumlah ini mampu memberi tekanan kepada kerajaan supaya mengekalkan subsidi walaupun ia akan meningkatkan kos perbelanjaan pada kewangan negara," jelas beliau.

Setiap tahun, kerajaan Mesir membelanjakan lebih AS$5.5 bilion (RM17.17 bilion) untuk subsidi makanan yang merangkumi beras, minyak dan gula.

Pemotongan subsidi roti mengakibatkan rusuhan dahsyat pada tahun 1977 manakala pada tahun 2008, Mubarak berdepan dengan para penunjuk perasaan yang membantah pemotongan subsidi tersebut.

Mata wang susut

Pada tahun 2003, penyusutan mendadak nilai mata wang Mesir telah menyebabkan harga roti tidak bersubsidi meningkat. Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Mesir membeli roti kosong yang lebih murah sekali gus mencetuskan kekurangan bekalan.

Walaupun terdapat kelemahan mata wang, bekalan roti masih mencukupi. Namun, tahun ini import gandum turun mendadak kerana krisis ekonomi menjadikan Mesir sukar untuk mengatur bayaran.

Antara 1 Januari hingga 20 Februari lalu, negara itu membeli 235,000 tan gandum, kira-kira satu pertiga daripada jumlah gandum yang dibeli dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pedagang gandum di Kaherah berkata, Mesir akan melaksanakan stok strategik yang berjumlah hampir 2.3 juta tan bagi mengelak penggunaan pertukaran asing untuk barangan import.

Pada musim menuai di Mesir yang dijangka bermula akhir bulan April, kerajaan menyasar untuk meningkatkan jumlah gandum tempatan yang diperoleh kepada empat juta tan dengan menaikkan harga belian sebanyak lima peratus. Pada tahun-tahun sebelumnya, sasaran adalah antara 2.4 hingga 3.7 juta tan.

Ironinya, kejayaan terhadap strategi ini bergantung pada keadaan cuaca, kecekapan birokrasi dan faktor-faktor lain. Sebagai pembeli gandum terbesar di dunia, Mesir amat bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan 84 juta penduduknya. Separuh daripada gandum yang digunakan mereka terdiri daripada gandum import.


KELIHATAN beberapa pelanggan wanita beratur untuk membeli roti di sebuah kedai kaki lima yang terdapat di Kaherah.


Kemiskinan

Menurut statistik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2010/2011, satu daripada empat rakyat Mesir hidup di bawah garis kemiskinan kebangsaan dengan pendapatan AS$1.65 (RM5.15) sehari. Pakar ekonomi pula mengatakan lebih ramai yang hidup di atas garis kemiskinan.

Bagi Mohammed Ali yang menetap di Kaherah, kenaikan harga sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan kewangan mereka hanya cukup untuk perbelanjaan keperluan asas.

Berdiri di hadapan sebuah gerai roti di jalan yang sibuk di bandar tersebut, Ali berkata, dia tidak mampu memikirkan tentang perbelanjaan untuk barangan mewah atau percutian ke luar negara.

"Harga makanan semakin meningkat, ekonomi pula semakin lemah dan ahli politik hanya duduk di kerusi mereka. Saya hanya mempunyai sedikit duit untuk membeli makanan, tapi tidak yang lain," ujarnya dengan nada sedih sambil membimbit beg plastik kecil yang berisi gulungan roti untuk keluarganya.

Sementara itu, peniaga roti yang biasanya menerima subsidi kerajaan untuk menampung kos rendah roti dan harga bahan api yang lebih tinggi mengatakan, mereka masih belum dibayar seperti sebelumnya.

Kerajaan berhutang pembayaran dengan peniaga roti sejak enam bulan lalu. Ketua persatuan pembuat roti pada bulan Februari lalu menegaskan, mereka tidak teragak-agak melakukan mogok jika masalah itu tidak diselesaikan segera.

Harga di pasar awam turut meningkat. Pemilik Alfa Market, salah satu rangkaian pasar raya mewah Mesir, Mohamad Zada memberitahu, pihaknya terpaksa menaikkan harga barangan beberapa kali sejak dua bulan lalu.

"Harga minyak masak sahaja telah naik tiga kali dalam tempoh tersebut. Terdapat kenaikan antara 20 hingga 30 peratus untuk segala-galanya," ungkap Zada.

Pada masa ini, Zada tidak mendengar sebarang rungutan daripada pelanggan tentang kenaikan harga tersebut. Namun, Alfa Market sangat berhati-hati untuk mengehadkan harga roti yang dijual walaupun produk makanan mampu memberi keuntungan berganda.

"Orang mengatakan, perubahan harga roti merupakan satu jenayah," tegasnya.

Bekas menteri kewangan dan ahli ekonomi Mesir, Samir Radwan berkata, Mesir perlu mengambil pengajaran daripada kesengsaraan masa silam.

"Sejarah pemberontakan di Mesir merupakan sejarah mengenai indeks harga. Saya amat bimbang tentang perkara ini," tutur Radwan memetik corak pemerintahan yang diguna pakai sejak tahun 1919.

Komitmen DBKL atasi kesesakan

Posted:

Komitmen DBKL atasi kesesakan

Komitmen DBKL atasi kesesakan


PROJEK Aliran Transit Massa fasa pertama yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang dijangka siap akhir tahun 2016.


BILAKAH agaknya jawapan kepada soalan, 'kenapa lambat?' tidak lagi dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas oleh mereka yang bekerja di ibu kota. Bilakah masanya petugas dapat tiba awal, dalam keadaan relaks dan ceria ke tempat kerja?

Taraf hidup yang lebih baik dan jumlah kenderaan yang semakin banyak antara faktor penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Kemudahan pengangkutan awam juga cuba dipertingkatkan tetapi penggunaannya masih perlu dioptimumkan kerana ketika ini hanya 19 peratus yang mengisi ruang-ruang pengangkutan awam di ibu kota.

Bagi kerajaan kecekapan pengangkutan awam memang diberi perhatian serius dalam usaha mensejahterakan kehidupan warga kota. Ini termasuk penambahbaikan secara komprehensif dan memperkasa perkhidmatan bas, rel yang merangkumi sambungan jajaran monorel serta Aliran Transit Ringan (LRT), integrasi antara mod pengangkutan awam serta rangkaian pengangkutan awam itu sendiri.

Fasa pertama

Kerajaan juga dalam proses melaksanakan projek Aliran Transit Massa (MRT) yang dijangka menjadi antara alternatif menyelesaikan kerumitan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota. Fasa pertama projek itu yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang dijangka siap mengikut jadual pada akhir tahun 2016. Ia melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memikul tanggungjawab menjayakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Dalam pelan itu, disasarkan pada tahun 2020 nisbah pisah ragam antara pengguna pengangkutan awam dan pengangkutan persendirian ialah 40-60.

Antara inisiatif yang digaris dalam merealisasi matlamat anjakan peraturan penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi, kawalan perancangan pembangunan melalui pembangunan berorientasikan sistem rel diberi perhatian.

Ini mengorak kepada peranan DBKL dalam memberi kelulusan kepada mana-mana projek pembinaan pembangunan.

"Kami memberi kelulusan perancangan pembangunan dengan melihat kepada kedudukan, tata letak bangunan itu. Umpamanya, sekarang ini kita mempunyai kawasan yang direntasi kemudahan LRT dan monorel.


MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri) melihat gambar foto pembinaan jalan selepas merasmikan pembukaan jalan keluar masuk ke Kampung Sungai Penchala melalui jalan Datuk Sulaiman Taman Tun Dr. Ismail sambil diperhatikan oleh Ahmad Phesal.


"Kawasan-kawasan ini akan kami beri tumpuan. Kawalan pembangunan akan tertumpu kepada pembangunan di sekitar koridor rel," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Tambah beliau, penumpuan pembangunan yang berpusat kepada kawasan koridor rel akan menggalakkan warga kota memilih pengangkutan awam.

Selain itu, konsep Park n Ride turut dilaksanakan untuk memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan di kawasan tertentu dan menggunakan sistem pengangkutan rel atau bas untuk masuk ke pusat bandar.

Setakat ini, dua projek diberi kelulusan untuk pelaksanaannya iaitu di Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan.

Projek Park n Ride di Stesen LRT Sungai Besi telah siap dan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini.

Menerapkan elemen mesra pengguna bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), kemudahan setinggi tiga tingkat itu di Stesen LRT Sungai Besi turut dilengkapi 220 parkir, lif, kamera litar tertutup, tandas, gerai makan dan laluan pejalan kaki yang menghubungkannya dengan Stesen LRT Sungai Besi.

Dalam pada itu, kesesakan lalu lintas tidak sekadar difokuskan kepada faktor penjalanan kenderaan keluar masuk ke pusat ibu kota, malahan ia berpunca daripada kelambatan pemanduan semasa carian lot tempat letak kereta.

Menyedari permasalahan itu, DBKL dalam proses merangka sistem maklumat, paparan elektronik yang akan dipasang di sekitar bandar raya ini bagi membekalkan informasi kepada orang awam berhubung lot tempat letak kereta berdekatan yang masih kosong.

Laluan bas

"Sistem tempat letak kereta ini akan memudahkan kami menyelaras laluan bas. Jadi, apabila mereka meletakkan kenderaan di sini, mereka juga boleh menggunakan bas contohnya perkhidmatan Go KL City Bus untuk ke lokasi sekitar laluan bas Go KL," katanya.

Ketika ditanya mengenai konsep Dibenarkan Membelok Kiri di Kuala Lumpur atau Authorised Left Turn yang dilancarkan tahun lalu, beliau berkata pelaksanaannya memberi kesan positif dalam melancarkan perjalanan trafik.

Justeru, DBKL akan menambah bilangan di persimpangan lain dan dijangka lapan lagi persimpangan akan dilaksanakan.

Setakat ini, hanya enam lokasi pelaksanaannya iaitu di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja ke Jalan Parlimen, Jalan Raja Abdullah ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda Musa Abdul Aziz ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Dalam strategi perancangan DBKL, pusat-pusat pertumbuhan baharu yang terdiri daripada Pusat Pertumbuhan Daerah, Pusat Pertumbuhan Kejiranan dan Pusat Pertumbuhan Tempatan diwujudkan bagi tujuan mengurangkan tekanan tinggi atau kesesakan melampau kepada rangkaian jalan raya di pusat bandar.

Melalui inisiatif ini, pusat beli-belah, bank-bank, institusi pendidikan dan pusat perubatan diwujudkan di kawasan pertumbuhan baharu di luar Pusat Daerah Perniagaan.

"Seperti yang ditetapkan dalam perancangan, usaha supaya kami untuk mewujudkan pusat kejiranan ini ialah sebagai langkah mengurangkan semua urusan tertumpu terus ke pusat bandar. Dengan wujudnya pusat kejiranan ini, orang ramai tidak perlu masuk ke bandar dan inilah satu daripada perkara yang akan kami beri tumpuan," kata Ahmad Phesal. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Seorang tertuduh dakwa diupah

Posted:

Seorang tertuduh dakwa diupah

Seorang tertuduh dakwa diupah

SEORANG daripada lapan lelaki Filipina dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Tawau semalam selepas menghadapi pertuduhan melakukan keganasan.


TAWAU - Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah semalam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dengan dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dilakukan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati manakala bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan pengganas dilakukan mengikut Seksyen 130K(A) kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup.

Kenyataan Hooland di hadapan Hakim P. Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.

Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukan perkara itu.

Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pengganas Sulu wanita ditangkap

Posted:

Pengganas Sulu wanita ditangkap

Pengganas Sulu wanita ditangkap


DUA lelaki ditahan pasukan keselamatan di Kampung Tanjung Labian semalam kerana tiada dokumen pengenalan diri.


LAHAD DATU - Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas bersenjatakan parang manakala seorang pengganas wanita diberkas dalam operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu di sini semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pengganas lelaki itu mati ditembak pada pukul 1.30 petang susulan daripada pertempuran yang tercetus pada pukul 11.30 pagi manakala dalam pertempuran tersebut juga seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.

"Kita membunuh seorang musuh manakala seorang musuh wanita berusia 40-an ditahan.

"Anggota tentera daripada Unit Grup Gerak Khas (GGK) yang cedera pula stabil dirawat di Hospital Lahad Datu selepas pembedahan," kata beliau pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16 di sini semalam.

Menurut beliau, pengganas lelaki yang ditembak mati itu hanya bersenjatakan parang manakala wanita itu pula tiada senjata semasa ditangkap.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tuan rumah wanita ditawan empat penceroboh Sulu lapar

Posted:

Tuan rumah wanita ditawan empat penceroboh Sulu lapar

Tuan rumah wanita ditawan empat penceroboh Sulu lapar

LAHAD DATU - Berpuluh-puluh penduduk di Kampung Kembara Sakti, Felda Sahabat 42 dekat sini semalam bertempiaran lari selepas kampung mereka didatangi empat lelaki bersenjata api dipercayai saki-baki kepada kumpulan pengganas Sulu.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, kumpulan lelaki berpakaian serba hitam kemudian memasuki rumah seorang penduduk di situ dan menjadikan tuan rumah berkenaan sebagai tawanan.

Satu sumber memberitahu, tuan rumah berkenaan membabitkan seorang wanita yang semasa kejadian tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Tuan rumah itu diikat kedua-dua belah kaki dan tangan sebelum mangsa turut diugut bunuh jika melawan atau membuat bising. Selepas itu, kumpulan pengganas terbabit masuk ke dapur dan sibuk mencari makanan kerana dipercayai terlalu lapar.

Tuan rumah yang menyedari kumpulan empat lelaki itu terlalu sibuk mencari makanan di dapur mengambil peluang melepaskan diri.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Fokus 100 peratus - Rajagobal

Posted:

Fokus 100 peratus - Rajagobal

Fokus 100 peratus - Rajagobal

Oleh SHAHRIL NIZAM
ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (empat dari kiri) gigih merencanakan strategi dengan barisan penyerangnya menjelang pertemuan menentang Yemen malam ini.


ATAS kertas, peluang skuad Harimau Malaya untuk mengatasi Yemen pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 memang nampak sukar.

Ia gara-gara prestasi yang tidak menentu dipamerkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu di pentas antarabangsa kebelakangan ini.

Meskipun menyedari hakikat tersebut, Rajagobal belum mahu menyerah awal.

Menurutnya, jika mahu meraih keputusan yang positif, pemainnya perlu mengekalkan konsentrasi sehingga ke minit terakhir permainan.

Skuad negara akan menentang Yemen dalam kempen Kelayakan Piala Asia di Stadium Shah Alam malam ini.

Rajagobal menjelaskan, pemain negara harus mengatasi 'penyakit hilang fokus' dalam permainan yang menjadi punca utama kepada dua kekalahan terakhir di pentas antarabangsa.

Pada aksi pertama kelayakan menentang Qatar awal bulan lalu, kesilapan yang dilakukan pemain tengah, K. Reuben telah membuka ruang kepada pemain lawan menjaringkan gol pada minit-minit terakhir yang menyaksikan mereka tewas 0-2.

Sindrom hilang konsentrasi itu berterusan Ahad lepas apabila gawang negara dibolosi dua gol di penghujung perlawanan ketika kalah 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.

"Saya akui pemain kita kerap hilang fokus terutamanya pada lewat perlawanan.

"Perkara ini sudah saya tegas berulang kali kepada pemain supaya tidak melakukan kesilapan yang sama.

"Mereka perlu mengekalkan konsentrasi sehingga perlawanan berakhir, tidak boleh hilang tumpuan walaupun ketika menguasai permainan," katanya pada sidang akhbar perlawanan Malaysia dan Yemen semalam.

Menentang pasukan pada ranking ke-170 dunia, Rajagobal tidak mempunyai pilihan lain selain meraih tiga mata untuk mencerahkan peluang dalam saingan Kumpulan D.

Skuad negara ketika ini menghuni tangga terbawah kumpulan manakala Yemen yang turut memburu tiga mata pertama, di tangga ketiga.

"Sudah tentu kami mahukan tiga mata. Kita akan guna kelebihan sebagai tuan rumah untuk meraih keputusan yang baik," tambah Rajagobal.

Rajagobal dijangka menyandarkan harapan kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Amri Yahyah di bahagian serangan dan berkemungkinan menggandingkan Safiq Rahim serta K. Gurusamy untuk mengemudi jentera tengah.

Kehadiran semula Wan Zack Haikal Wan Noor yang pulih daripada kecederaan turut memberi lebih banyak pilihan kepada Rajagobal untuk mengisi posisi sayap kanan manakala posisi sayap kiri pula bakal digalas Ashari Samsudin.

Sneijder mahu tebus kecewa

Posted:

Sneijder mahu tebus kecewa

Sneijder mahu tebus kecewa

SNEIJDER kembali menyarung jersi Belanda setelah terlepas empat perlawanan ekoran masalah kecederaan.


ROTTERDAM, Belanda - Pemain tengah Belanda, Wesley Sneijder tidak sabar untuk membuat penampilan semula di pentas antarabangsa.

Sneijder akan membantu Belanda menghadapi saingan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Estonia awal pagi esok.

Sneijder diketepikan sepanjang empat perlawanan terakhir Belanda ekoran masalah kecederaan dan kurang cergas.

Bagaimanapun, dia berazam untuk menebus kekecewaan itu dengan mempamer aksi terbaik seperti mana yang dilakukan bersama Galatasaray selepas berhijrah daripada Inter Milan ekoran masalah kontrak, Januari lalu.

Ketika ini, Belanda memimpin kedudukan teratas Kumpulan D selepas mengumpul 12 mata, tiga mata di hadapan Hungary dan Romania (sembilan), diikuti Turki dan Estonia (tiga) manakala Andorra gagal mengutip mata.

Selepas bertemu Estonia, Belanda akan melayan kunjungan Romania di Amsterdam awal pagi Rabu depan.

"Ada logiknya saya tidak bermain untuk skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu kerana saya tidak beraksi dalam sebarang perlawanan selama hampir empat bulan," jelas Sneijder.

"Jadi, ia bukan sesuatu yang pelik kalau saya tidak beraksi dan ia bukan sesuatu yang pelik kalau saya kembali bermain.

"Mereka tidak sepatutnya mengetepikan saya kerana saya bukannya berusia 39 tahun," katanya.

Belanda mempamerkan aksi yang konsisten meskipun beraksi tanpa khidmat Sneijder apabila mencatat seri ketika menentang Jerman dan Itali pada aksi persahabatan sejak mengalahkan Romania 4-1 di Bucharest, Oktober lepas.

Ketika berdepan Itali, jurulatih Louis van Gaal menurunkan barisan pemain paling muda dalam sejarah skuad Belanda dengan purata usia 22 tahun meskipun hanya mencatat seri 1-1.

"Pertemuan dengan Itali dan Jerman membuktikan bahawa kami mampu memberi saingan kepada pasukan hebat lain di dunia ini," kata Van Gaal.

"Kini kami harus membuktikannya sekali lagi ke atas Estonia dan Romania." - Reuters

Malaysia hos Siri Super Istaf

Posted:

Malaysia hos Siri Super Istaf

Malaysia hos Siri Super Istaf

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


AHMAD (kanan) bersama Halim ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpu semalam.


MALAYSIA diberikan penghormatan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) untuk menjadi tuan rumah bagi aksi pembukaan dan penutup Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf 2013 yang akan membuka tirainya pada Mei depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, walaupun hanya tinggal lagi dua bulan tetapi badan induk sukan sepak takraw negara bersedia menerima tawaran Istaf agar kejohanan yang telah disusun dengan baik itu tidak akan terjejas sejak daripada awal penganjurannya.

"Yang pertama bagi PSM, kami berasa bangga kerana Istaf memberi penghormatan kepada Malaysia untuk kejohanan pembukaan dan penutup Siri Super 2013.

"Sebenarnya kami menerima kerana masa penganjuran kejohanan semakin singkat, Vietnam secara tiba-tiba menarik diri atas alasan yang tidak dapat dielakkan.

"Jadi, kami tidak mahu Siri Super yang telah diatur 'cantik', tiba-tiba menghadapi masalah pada peringkat awal. Sebagai negara yang memulakan sepak takraw, saya rasa kami perlu memberi sokongan sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar Bengkel Siri Super Istaf 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader dan Pengarah Urusan UFA Sports Asia, Jeff Chue.

Terdahulu, Siri Super Istaf pertama telah dijadualkan berlangsung di Vietnam, namun disebabkan negara itu menarik diri, jadi tawaran tersebut terus diberikan kepada PSM yang merancang untuk menganjurkannya di Negeri Sembilan pada 16 hingga 19 Mei depan.

Siri kedua akan mengikuti jadual seperti biasa iaitu di Thailand (26-29 Jun), diikuti India (27 Ogos-1 September) sebelum kembali semula di Sabah pada 31 Oktober hingga 3 November depan.

Biarpun sedar kesukaran yang bakal dihadapi PSM untuk menerima tawaran tersebut, namun Ahmad mengakui, beliau lebih risau dengan pencapaian skuad negara yang akan beraksi sepanjang kejohanan tersebut.

"Memang satu tanggungjawab yang berat tetapi saya rasa kepakaran yang dimiliki untuk menjadi penganjur sudah cukup dan kejohanan ini akan berjalan dengan lancar.

"Begitupun, bagi rakyat Malaysia, saya rasa peluang menjadi tuan rumah Siri Super sahaja tidak mencukupi kerana mereka mengharapkan satu kejayaan daripada skuad negara yang telah dinantikan sejak sekian lama, maka ini yang membebankan sedikit.

"Namun, kami di peringkat PSM akan berusaha keras untuk mengadakan program-program latihan bagi persiapan menghadapi Siri Super Istaf dan kebetulan tahun ini ada Sukan SEA.

"Antara program pada bulan April ini ialah pemain-pemain kita akan berlatih di luar negara, dan buat pertama kali sembilan pemain negara akan bergandingan dengan pemain-pemain Thailand bagi menyertai liga di Thailand," katanya.

Sementara itu, Halim berkata, kepercayaannya terhadap kepimpinan PSM telah memberi keyakinan kepadanya untuk untuk menawarkan aksi pembukaan kejohanan tersebut diadakan di Malaysia.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Penduduk Tanjong Karang bakal dapat hospital baharu

Posted:

Penduduk Tanjong Karang bakal dapat hospital baharu

Penduduk Tanjong Karang bakal dapat hospital baharu

21/03/2013 10:23pm

TANJONG KARANG — Lebih 200,000 penduduk sekitar kawasan Tanjong Karang bakal mendapat manfaat kemudahan kesihatan terbaik di Selangor apabila sebuah hospital baharu dibina di tanah seluas 16.1 hektar di Kampung Sungai Terap, yang dijangka siap menjelang 2016.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hospital baharu yang menelan kos hampir RM300 juta itu akan menempatkan pakar dalam pelbagai bidang kesihatan selain memuatkan 150 katil pesakit bagi memenuhi tuntutan masyarakat di kawasan itu.

"Ketika ini, Hospital Tanjong Karang yang sedia ada didapati tidak sesuai dari segi lokasinya, selain ruang yang terhad. Hospital baharu ini akan memuatkan 150 katil berbanding hospital sedia ada yang hanya menyediakan 114 katil.

"Justeru, dengan adanya hospital baharu ini, ia diharapkan dapat memenuhi keperluan semasa kesihatan rakyat dan ia akan dibina di atas tapak baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengesahan Tapak Pembinaan Hospital Baharu Tanjong Karang di Sungai Terap hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. - BERNAMA

Ismail Ahmad Ketua Pengarah JPJ yang baharu

Posted:

Ismail Ahmad Ketua Pengarah JPJ yang baharu

Ismail Ahmad Ketua Pengarah JPJ yang baharu

21/03/2013 7:40pm

KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad dilantik Ketua Pengarah JPJ yang baharu mulai 25 Mac ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Solah Mat Hassan yang tamat tempoh secara kontrak pada 24 Mac.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Ismail akan membolehkan beliau menerajui dan meneruskan kecemerlangan JPJ melalui penguatkuasaan dan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berteknologi tinggi ke arah mencapai pengurusan penguatkuasaan pengangkutan jalan bertaraf dunia pada tahun 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan merakam setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Solah atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang empat tahun lima bulan menyandang jawatan Ketua Pengarah JPJ. — BERNAMA

Tiada penaja, Jamal Abdillah teruskan konsert

Posted:

Tiada penaja, Jamal Abdillah teruskan konsert

Tiada penaja, Jamal Abdillah teruskan konsert

21/03/2013 7:36pm

KUALA LUMPUR - Walaupun konsert Extravaganza - P. Ramlee Dalam Kenangan tidak mendapat sebarang tajaan, Raja Pop, Jamal Abdillah tetap akan meneruskan konsert tersebut.

Jamal memberitahu, semua itu adalah kerana minat dan kecintaan dirinya serta demi mengenang karya seniman agung tersebut.

Konsert solo keempat tersebut akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya selama empat hari berturut-turut, bermula 30 Mei hingga 2 Jun 2013. - KOSMO!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera Malaysia didakwa mahu bunuh Jamalul Kiram

Posted:

Tentera Malaysia didakwa mahu bunuh Jamalul Kiram

Tentera Malaysia didakwa mahu bunuh Jamalul Kiram

GAMBAR fail menunjukkan Jamalul Kiram minum air di dalam rumahnya di bandar Taguig, Manila pada 5 Mac lalu.-AP


MANILA - Tentera Malaysia didakwa merancang untuk membunuh pemimpin pengganas Sulu, Jamalul Kiram III dan para pengikutnya, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.

Seorang anak perempuan kepada Jamalul Kiram, Jacel Kiram berkata, seorang peguam, Mario Lozada telah berjumpa dengan seorang lelaki bernama Sunny Ng yang dipercayai sebagai pegawai tentera Malaysia berpangkat kolonel di restoran Genting Palace di kompleks kasino Resorts World, bandar Pasay pada Isnin lalu.

Menurutnya, pertemuan itu diatur oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bernama Kenneth Lee yang mempunyai kaitan dengan sebuah firma Malaysia, tempat Lozada bekerja sebagai penasihat undang-undang.

"Mereka membayangkan kepada Lozada bahawa kedatangan ke sini adalah untuk membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya (termasuk penasihat Jamalul Kiram, Pastor Boy Saycon)," dakwa Jacel pada satu sidang media di kediamannya di bandar Taguig.

Jacel berkata, Biro Siasatan Kebangsaan dan beberapa pegawai tentera Filipina memberi komitmen untuk menyiasat dakwaan untuk membunuh Jamalul Kiram.

"Malaysia berani untuk bertindak radikal kerana kenyataan Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang pro-Malaysia," katanya.

Kelmarin, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani mendakwa Ng dan empat orang 'komando' telah tiba di negara ini.

Menurutnya, mereka mahu membunuh Jamalul Kiram dan para pengikutnya.

Idjirani turut mendakwa Ng mengupah tiga anggota Tentera Rakyat Baharu untuk melakukan misi tersebut.

Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut bapanya.

Menurut akhbar dalam talian GMA News, gambar itu sebelum ini telah diterbitkan di muka hadapan akhbar Philippine Star.

Selepas dimaklumkan oleh beberapa orang pembaca, pihak GMA News kemudian turut mengesahkan imej tersebut sebenarnya palsu.

Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet.

Sementara itu,Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika dihubungi Kosmo! menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) menyifatkan tuduhan terbaharu itu sebagai mengarut.

Serangan siber berlaku di Korea Selatan

Posted:

Serangan siber berlaku di Korea Selatan

Serangan siber berlaku di Korea Selatan


SEORANG lelaki (kiri) cuba untuk menggunakan sebuah Mesin Teler Automatik semasa serangan siber berlaku di Seoul.-AP


SEOUL - Rangkaian komputer di dua bank utama dan tiga stesen penyiaran televisyen terkenal di negara ini digodam semalam.

Serangan tersebut menyebabkan mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang lumpuh di seluruh Korea Selatan.

Agensi Keselamatan Maklumat menyatakan, serangan siber itu berlaku pada pukul 2 petang waktu tempatan apabila imej tengkorak muncul pada sejumlah skrin komputer.

Menurut pihak polis dan para pegawai Korea Selatan yang menyiasat kes itu menyatakan punca serangan tersebut masih belum jelas.

Namun, terdapat spekulasi bahawa serangan siber itu dilakukan oleh Korea Utara. Sebahagian komputer mula beroperasi selepas lebih dua jam dan 30 minit tergendala.

Kejadian itu berlaku selepas Korea Utara dikenakan sekatan barang mewah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melakukan ujian nuklear pada Februari lalu.

Sebuah kumpulan yang tidak dikenali yang bernama Whois Team mengaku menggodam komputer-komputer itu.

Komputer-komputer yang terjejas itu ialah milik rangkaian televisyen YTN, MBC dan KBS.

Ia turut menjejaskan komputer Bank Shinhan dan NongHyup.

Di sebuah kedai kopi Starbucks di sini, para pelanggan diminta untuk membayar tunai manakala terdapat barisan di mesin-mesin pengeluaran dan memasukkan wang semasa kejadian tersebut berlaku.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ekoran kejadian itu, pihak tentera meningkatkan tahap berjaga-jaga berhubung serangan siber.

Bagaimanapun, para pegawai pertahanan melaporkan tiada tanda-tanda serangan siber berlaku pada rangkaian komputer kementerian tersebut. - Agensi

Ribuan bangkai udang terdampar di pantai

Posted:

Ribuan bangkai udang terdampar di pantai

Ribuan bangkai udang terdampar di pantai


SEORANG penduduk mengambil sejumlah daripada ribuan udang yang ditemui mati di sebuah pantai di bandar Coronel kelmarin.-REUTERS


CORONEL - Ribuan bangkai udang terdampar di sebuah pantai di sini, kira-kira 540 kilometer ke barat daya Santiago, Chile kelmarin.

Udang tersebut mati ekoran pencemaran yang berlaku di kawasan habitatnya dekat pantai tersebut.

Pencemaran itu berlaku selepas air yang digunakan untuk menyejukkan dua loji termoelektrik dilepaskan ke laut tersebut. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Emelda tutup mulut

Posted:

Emelda tutup mulut

Emelda tutup mulut

EMELDA kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir dalam bidang Ijazah Komunikasi di kampus luar UUM.


MASIH menyembunyikan identiti dan gambar anak angkatnya, Edra Rafael yang kini memasuki usia dua tahun, Emelda tetap dengan pendiriannya sampai sekarang.

Kata Emelda atau nama sebenarnya Emelda Rosmila Abdul Hamid, 33, kehidupannya sebagai seorang ibu, pelakon dan pelajar separuh masa kini dilimpahi keceriaan setiap hari.

"Saya minta maaf, buat masa sekarang saya belum bersedia untuk menceritakan atau mendedahkan anak angkat saya kerana takut perkara yang tidak diingini berlaku kepadanya kalau saya berbuat demikian.

"Harap semua pihak menghormati keputusan saya kali ini," ujar Emelda atau mesra disapa Mel yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sembunyi: Amukan Azazil di Cathay Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


KABIR BHATIA (tiga dari kanan) dan Emelda (kiri) bersama barisan karyawan filem Sembunyi: Amukan Azazil.


Mahu anak

Emelda menegaskan, dia bukan seperti artis lain yang perlu berkongsi semua cerita peribadi dan tidak merasakan adalah perlu untuk mendedahkan identiti anak angkatnya.

"Biarlah anak saya membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain kerana dia juga berhak untuk hidup sedemikian," ujar Emelda yang mahu mengunci mulut daripada membicarakan soal anak.

Sebelum ini, Emelda dan suaminya, Adlin Aman Ramlie pernah membawa anak angkatnya yang ketika itu berusia lima bulan sekitar Ogos tahun 2011 ke majlis akikah cucu penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman namun mereka enggan disiarkan gambar mereka bersama.

Dalam pada itu, katanya dia dan suami masih berusaha untuk memiliki zuriat sendiri dan tidak putus-putus berdoa.

"Saya tidak pernah putus asa, setiap hari kami mencuba dan berdoa supaya dikurniakan cahaya mata. Buat masa sekarang belum ada rezeki lagi dan kami menunggu rezeki dari Allah.

"Kami tidak merancang dan dalam masa sama kami turut menjalani rawatan di hospital atas nasihat doktor untuk memudahkan saya hamil.

"Tapi entah kenapa sampai sekarang belum dikurniakan cahaya mata, mungkin Tuhan mahu kami bermanja-manja dan bercinta terlebih dahulu," tambahnya. yang mengahwini Adlin pada 22 Mei 2009 di Ipoh, Perak.

FIGURA ini mahu anak angkatnya membesar secara normal seperti kanak-kanak biasa yang lain.


Pengajian tahun akhir

Sementara itu, Emelda tidak lokek untuk berkongsi kehidupannya bergelar pelajar yang sudah hampir bergraduasi tidak lama lagi.

Emelda kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir dalam bidang Ijazah Komunikasi di kampus luar Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Tidak susah untuk membahagikan masa untuk rumah tangga, karier dan pelajaran kerana saya bukan pelajar sepenuh masa. Insya-Allah bulan Oktober ini saya akan menamatkan pengajian saya.

"Jadi, selain waktu kuliah itu saya gunakan untuk berlakon dan uruskan keluarga," ujar lulusan Diploma Senireka Grafik itu.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu juga berkongsi pengalamannya berlakon dalam produksi Sembunyi: Amukan Azazil yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Mac nanti.

Emelda melakonkan watak Melur, seorang wanita kampung yang bertukar sifatnya apabila terlalu dikongkong oleh suaminya, Atan (lakonan Sharnaaz Ahmad).

"Suami saya dalam filem ini sangat garang dan Melur merupakan seorang isteri yang akur dengan arahan suami. Berlakon dalam filem ini banyak cabarannya terutama apabila penggambaran dilakukan di dalam hutan pada bulan Ramadan.

"Tambah memenatkan apabila penggambaran tamat beberapa hari sebelum Hari Raya Puasa dan menerusi filem ini saya perlu menari dan menyanyi," ujar Emelda yang pertama kali digandingkan bersama Sharnaaz.

Syazwan nafi punca perpisahan Keith, Tyas

Posted:

Syazwan nafi punca perpisahan Keith, Tyas

Syazwan nafi punca perpisahan Keith, Tyas

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

SYAZWAN ZULKIFLY berlakon sebagai kekasih Tyas Mirasih dalam filem Laga.


RUANGAN pojok sebuah akhbar tempatan Ahad lalu menyiarkan laporan mengenai perpisahan pelakon dan model terkenal yang mencipta nama di Indonesia, Keith Foo dan Tyas Mirasih yang dikatakan berpunca daripada orang ketiga iaitu pelakon Syazwan Zulkifly.

Syazwan, 26, sebelum ini bergandingan dengan Tyas menerusi filem Laga.

Syazwan yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini mengulas lanjut berkenaan gosip yang mengaitkan dirinya sebagai punca perpisahan dua pelakon itu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syazwan yang menjawab tentang kontroversi terbabit.

Kosmo!: Mungkin Syazwan boleh komen mengenai kontroversi yang mengaitkan nama anda sebagai punca perpisahan Keith Foo dan Tyas Mirasih?

SYAZWAN: Saya, Tyas dan pihak produksi filem Laga tahu apa yang terjadi dan sepanjang penggambaran tiada masalah antara kami. Apabila timbul cerita sebegini, saya rasa tidak selesa dan kisah percintaan atau perpisahan mereka pun saya dengar daripada Tyas sendiri memandangkan kami masih berhubung sebagai kawan sampai sekarang.

Sejauh manakah perkenalan antara Syazwan dengan Tyas secara peribadinya?

Menerusi filem Laga, Tyas melakonkan watak kekasih saya dan tiada sebarang babak romantik antara kami berdua pun. Saya seronok mengenali dia kerana kami boleh jadi sekepala dan saya sering menumpangkan dia menaiki kereta saya bersama dua orang pembantu peribadinya sepanjang berada di Kuala Kangsar, Perak. Kali terakhir kami bertemu pun tiga minggu lalu ketika dia berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanakah pula hubungan Syazwan dengan Keith Foo?

Saya tidak salahkan Keith dan saya juga tidak mengenalinya secara personal. Tapi sebelum ini saya pernah satu kali bercakap dengannya menerusi telefon ketika terdengar khabar angin mengenai hubungan mereka yang semakin renggang melalui Tyas. Tiada kes saya merampas kekasih Keith dan tidak rasa kenapa saya perlu jadi orang ketiga dalam hubungan mereka. Kami tiada masalah dan insya-Allah kami akan digabungkan bersama dalam sebuah drama adaptasi novel pada awal bulan Mei nanti yang turut dibintangi Farid Kamil, Nabila Huda dan Izara Aishah.

Adakah wujud unsur sabotaj yang ingin memecahbelahkan hubungan Syazwan, Keith dan Tyas?

Saya tidak fikir orang dalam produksi yang boleh menyampaikan cerita begini kepada Keith atau Tyas, pastinya pihak terbabit mempunyai akses yang cepat untuk berhubung dengan pihak Keith atau Tyas di Indonesia ketika itu.

Apabila timbul gosip sebegini, adakah ia menjejaskan karier atau kehidupan peribadi Syazwan?

Saya tidak merasakan ia menjejaskan kerjaya atau kehidupan saya cuma gosip sebegini akan 'menambah nasi' terhadap kata-kata orang sebelum ini bahawa saya kaki perempuan. Memang betul saya kenal ramai perempuan dan secara peribadinya, saya rasa tidak salah kerana saya juga masih solo.

Apakah tindakan Syazwan selepas ini?

Saya tidak terfikir untuk mengambil sebarang tindakan buat masa sekarang dan biarlah masalah ini diselesaikan sendiri oleh Keith atau Tyas. Cuma saya tertanya-tanya kenapa perlu cakap saya menjadi punca mereka putus cinta?

Apakah perkembangan terkini Syazwan?

Saya baru selesai penggambaran drama bersiri Karlos dan sedang menjalani penggambaran telefilem Wisalah Cinta terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. bersama Zamarul Hisyam dan Lisdawati, kemudian akan ke set telefilem Ad-Din bergandingan dengan Talha Harith.

G-Dragon komen kes skandal ganja

Posted:

G-Dragon komen kes skandal ganja

G-Dragon komen kes skandal ganja

G-DRAGON


DUA tahun lalu, vokalis utama Big Band, G-Dragon pernah terbabit dengan kes penyalahgunaan ganja dan baru-baru ini melalui program televisyen popular Korea Selatan, Thank You, penyanyi itu membuka mulut mengenai perkara tersebut.

Katanya, ekoran kesalahannya dua tahun lalu, dia tidak dibenarkan muncul di TV dan menyebabkan dirinya kehilangan ramai peminat.

"Ekoran kejadian dua tahun lalu, aku tidak dibenarkan muncul di TV dan peminat juga mulai melupakan diriku.

"Ketika masih remaja dan sedang mengecapi kejayaan yang luar biasa, aku tidak pernah merasakan itu semua suatu realiti. Sebelum aku menyedarinya, aku rasa letih meraih populariti.

"Aku berasa diri ini kosong dan tak tahu bagaimana untuk bersyukur. Aku fikir bahawa akulah yang terbaik!" ujarnya.

Selepas kejadian itu, G-Dragon mengakui dia sering menangis dan mula sedar akan kesalahannya. Jelas penyanyi yang akan mengadakan konsert solonya tidak lama lagi itu, dia kini tinggal bersama keluarganya dan belajar untuk menghargai mereka.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved